Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang
YANG AWAL DAN YANG AKHIR

Tuesday, September 10, 2013

AF 056: OLE-OLE BANDUNG IBU KOTA PERIANGAN


ole-ole bandung
2012



Aku membuka dan menulis tajuk ini semasa berada di bilik Hotel Aston Primera Pasteur, Bandung, Indonesia. Biasalah, aku punya masalah, ke mana sahaja aku out-station (walaupun keluar daerah- kecuali balik rumah emak-bapak aku di kampung), malam pertama penginapan, aku mengalami kesukaran untuk tidor. Kalau keadaan seperti sekarang, ada free wi-fi dalam hotel, terubatlah sikit penyakit aku. Boleh gunakan masa untuk tibai kawan-kawan dalam facebook.  Bila mereka semua dah tidur, mulalah aku mencari bahan untuk menambah kandungan blog aku ini.

Sebelum itu aku ingin mengimbau sedikit tentang jejakan kakiku ke Tanah Pulau Jawa, bumi di mana Embah-embah (datuk-nenek) ku dilahirkan sebelum mereka berhijrah ke Tanah Melayu di awal tahun 1920an akibat himpitan hidup untuk meneruskan 'survival' anak cucu mereka.  Ini adalah kali ke 3 aku menjejakan kaki ke Tanah Jawa.  Pastinya AKU amat bersyukur kepada Allah swt kerana di atas keberanian, ketabahan dan kenekadan mereka belayar menempuh gelora lautan sehelai sepinggang untuk meneroka penempatan baru di Tanah Melayu.  Kini AKU, adik-beradik aku, anak cucu aku dapat menjalani kehidupan dengan penuh kemakmuran, harmoni dan aman sentosa sebagai rakyat Malaysia yang merdeka. Semoga Allah swt mengampuni segala dosa mereka dan dilimpahi dengan rahmat dan ganjaran pahala di atas amal ibadah mereka serta kesempurnaan yang diwariskan kepada KAMI.

Termasuk perjalanan ini, adalah kali ke 5 aku berpeluang menjejaki akki ke negara Indonesia. Kali pertama tahun 1990 ketika menyertai Eksesais Elang MALINDO di Medan dan kali kedua semasa mengikuti Program pertukaran Pegawai TUDM-TNIAU pada tahun 2006.

Perjalanan ke 4 ke Indonesia berlaku dalam tahun 2010 apabila aku berpeluang menyertai delegasi TUDM dalam mesyuarat dengan syarikat pembuat (OEM) pesawat CN-235-220 TUDM di Bandung.


OLE-OLE BANDUNG 1
LSM/TCG FOR CN235 AT BANDUNG


Perjalananku kali keempat ke tanah tumpah darah nenda-nendaku ialah pada 3 - 6 Mei 2010 untuk menyertai mesyuarat Logistic Support Management (LSM), Spares Provisioning Review (SPR) and Technical Coordination Group (TCG) di PT Dirgantara Indonesia (Indonesian Aerospace) @ PTDI dengan menaiki pesawat CN235 dari PU Subang.

Delegasi TUDM diketuai oleh Panglima Logistik Udara pada masa itu, Mej Jen Dato Ackbal Abdul Samad TUDM. Anggota delegasi lain ialah Lt Kol Mohd Nazir, Lt Kol Yee (1 Sqn), Lt Kol Zainal, Kapt Babudas dan beberapa lagi pegawai dari PU Kuching.

Mesyuarat LSM/TCG/SPR ini adalah agenda dwi-tahunan antara TUDM dan PTDI yang berfungsi memantau perkembangan semua isu berkaitan dengan dukungan logistik ke atas 8 buah pesawat CN-235 di dalam inventori TUDM.  Mesyuarat seperti ini amat penting bagi memastikan setipa permasalahan dapat ditangani secara langsung.  Staf PTDI yang mempunyai kemahiran khusus dalam bidang tertentu seperti teknikal/kejuruteraan (air frame, avionik dan sebagainya), pembekalan alatganti dan pembaikan komponen akan memberikan maklum balas serta memberikan taklimat mengenai perkembangan dan tindakan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan berkaitan dengan isu yang dibangkitkan.

Oleh kerana tugasan ini adalah sama seperti tugasan yang akan aku ceritakan kali ini maka aku tidak akan menulis panjang kesah-kesah siri lawatan kerja kali ini. Programnya adalah bermesyuarat, menjamu selera dan bershopping di Kota Bandung. Hanya anggota delegasinya sahaja yang berbeza.  

 
 
 
 
 
 


OLE-OLE BANDUNG 2
LSM/TCG FOR CN235 AT BANDUNG


Hotel Aston Primera Pasteur

Lepas aku buka dan buat introduksi ini, aku akan sambung atau tambah tulisan dan gambar-gambar lagi bila-bila masa free.

Pada 10 Sep 2012 aku telah mengetuai delegasi TUDM untuk menghadiri Mesyuarat Dukungan Logistik (LSM) pesawat CN235 di Bandung dari 10 hingga 14 Sep 2012. Kami bertolak dari Air Movement, PU Subang pada jam 0500H menaiki pesawat CN235 menuju ke Bandung.  Setelah berada dalam pesawat selama lebih kurang 3 jam setengah, pesawat yang dipandu oleh Kapt Raja Ismail Fahmi bin Raja Ibrahim TUDM dan dibantu oleh Kapt Mohd Hafiz bin Hashim TUDM dari No 1 Skn PU Kuching, pesawat mendaratiba di LANUD Hussein Sastranegara, Bandung pada jam 0830 WIB. 

Seharusnya, delegasi ini diketuai oleh Panglima Logistik Udara tetapi di saat akhir beliau telah mendapat lorongan Allah swt untuk menunaikan Fardhu Haji ke Mekah.  Oleh kerana beliau kesuntukan masa untuk membuat persiapan ke tanah suci maka selaku 'second in-charge' telah secara automatik memikul tanggungjawab untuk mengambil-alih tugas mengepalai delegasi TUDM.



Pesawat kami tidak mendarat di Terminal Lapangan Terbang komersil tetapi di hadapan hangar pangkalan udara (LANUD) Hussein.  Disambut oleh staf dari PT Dirgantara Indonesia (PTDI) atau 'Indonesian Aerospace' yang diketuai oleh Bapak Mula Warman dan sementara menunggu pihak imigresen memeriksa beg dan menguruskan passport kami, kami di bawa ke pejabat (HQ) PTDI untuk breakfast.  Agak lama menunggu kerana Bapak Mula telah dipanggil oleh CEO atas keperluan tugas.  Lebih kurang jam 12 kami bertolak untuk makan tengahari di  Restoran Sederhana sebuah restoran masakan Padang berdekatan dengan hotel bakal kami akan menginap iaitu Hotel Aston Primera Pasteur di Jalan DR Djunjunan.


Kueh mueh yang dihidang semasa rehat (breakfast) menyambut ketibaan kami di HQ Indonesian Aerospace

Petang itu juga, setelah selesai urusan check-in dan berehat sebentar, jam 1500 WIB aku mengadakan mesyuarat koordinasi sebagai persediaan untuk mesyuarat esok harinya.  Selesai mesyuarat kami berehat sementara menunggu untuk makan malam. Malam itu, kami sekali lagi di bawa makan ke sebuah restoran masakan Padang (Restoran Sari Sunda) tetapi berlainan lokasi.  Nasi padang memang sedap.  Di KL sekarang pun dah banyak restoran Padang atau Minang ini. Namun di sini berbeza, khususnya ada ikan grame goreng (ikan itu diletakkan dalam kedudukan berdiri seolah-olah sedang berenang). Tempe dan tauhu goreng adalah wajib.  Sambalnya juga nyaman, berpijar juga bibir, tapi...Jawa makan kalau tak pedas sampai berair mata, tak Jawa la. Balik negeri asal pulak tuuuuu.

Malam itu, balik bilik dengan perut sendat, kerana kandungan makan tengahari tadi pun masih berada di dalam perut.  Cuma keesokan paginya, aku terpaksa berehat hampir setengah jam untuk melangsaikan urusan perbankan.

Jejak Sahabat- Gatot Himawan Adibowo

Pada petang hari ketibaan semalam aku menghantar 'sms' kepada 2 rakan sekelasku semasa belajar Senibina di UTM dari tahun 1977-1979, lebih kurang 33 tahun yang lalu, iaitu Muhammad Yusuf Purnawarman dan Gatot Himawan Adibowo. Keduanya adalah anak watan Indonesia yang belajar di UTM. Ada seorang lagi pelajar wanita Indonesia, Indasari, tetapi aku pun sudah lupa yang satu ini (lost contact sejak aku tinggalkan UTM). Yusuf dan Gatot juga sudah lost contact.  Yusuf adalah anak mantan Kepala Polisi Rep Indonesia (KAPOLRI) pada masa itu. Kiranya keluarga elite.

Kedua-duanya membalas sms aku.  Yusuf membalas dahulu dan menyatakan tidak dapat berjumpa kerana tugas di Jakarta. Tapi beliau akan ke KL pada 25hb Sep ini kerana majlis perkahwinan rakan di KL. Beliau berjanji akan mendapatkan waktu untuk datang menemui aku.  Bapak Gatot membalas kemudiannya dan setelah mengira-ngira waktu kosong aku, beliau terus menetapkan dan berjanji akan ke Bandung pada petang 11hb Sep.
.
 
 
 
 

Paling Istimewa

Hari kedua, selepas menamatkan mesyuarat pada jam 12.30 dan makan tengahari di hotel, aku berehat dan solat di bilik. Lebih kurang jam 3 petang, aku menerima panggilan dari reception, bahawa Bpk Gatot sudah ada di lobby. Betapa berbunga gembira hatiku, dan terus bertukar pakaian dan turun ke lobby.

Kami bersalam dan berpelukkan melepaskan kerinduan seorang sahabat yang terpisah sekian lama. 33 tahun bukan satu masa yang pendek.  Dari 'diri aku' seorang remaja berusia 18 tahun dan seorang pelajar hingga aku kini bergelar 'datuk' kepada dua orang cucu!.  Tempoh yang amat panjang serta suatu situasi yang amat sukar diramalkan. Selain rambutnya yang sudah semakin putih, yang lainya fizikal Gatot tidak banyak berubah. Masih ganteng dan sihat. Perutnya juga tidak gendut.  Memang wajar sekali kerana hobinya memanjat gunung.
.
 
gambar kenangan pertemuan hampir 3 jam dengan rakan sekuliahku di UTM tahun 1977/79- Bapak Gatot Himawan Adibowo

Setelah berbual lebih kurang 15 minit dan mengambil beberapa gamabra untuk merakamkan pertemuan, kami pergi ke kompleks perniagaan Giant yang berhampiran hotel. Aku minum Kopi Aceh Aren. Mencuba resepi Bandung, makan ais durian.  Sesuatu yang baru untuk diperkenalkan di Malaysia. Warga Indonesia memang kreatif dalam men'diversify' produk makanannya. Dari durian fresh menjadi pelbagai hidangan. Ada durian asli, ada durian with aice cream, ada durian bakar, ada juice durian, ada pie durian, dan macam-macam lagi.



Hampir 3 jam kami berbual mengimbau kenangan lama, menyebut satu persatu kawan-kawan sekuliah, yang sudah maju sehingga membuka firma dan mempunyai property di seberang laut, yang telah meninggal dunia, yang bertukar kerjaya dari dunia senibina atau yang telah memasang dua 'barrel'.  Suka-duka kehidupan lampau sebagai pelajar Senibina.

Sebelum berpisah petang itu, kami singgah minum air kelapa ais di warung tepi jalan. Walaupun pantang di sini membeli makan minum di warung tepi jalanan (risiko sakit perut) namun demi hati kawan, aku turuti pelawaannya. 

Pertemuan akan diakhiri dengan perpisahan.  Sama ada sementara atau perpisahan kekal, hanya Allah sahaja yang mengetahui.  Perpisahan diakhiri dengan pelukan sesama saudara serta rakan yang telah begitu lama terpisah.  Aku menahan air mata dari mengalir di atas perpisahan ini.

Petang itu aku tidak menyertai rakan-rakan yang lain keluar ke bandaraya Bandung untuk aktiviti sampingan. Namun aku amat berpuas hati dengan pengisian waktu yang singkat bersama sahabatku Gatot Himawan Adibowo.
.
Lawatan ke PTDI
.
Untuk makluman ini adalah lawatan rasmi aku kali ke 4 ke Indonesia sejak aku berkhidmat dalam TUDM pada tahun 1981. Kali pertama; menyertai Eksesais Elang-Malindo di Medan (1990) diikuti lawatan pertukaran pegawai TUDM-TNIAU (2006),dan program LSM/TCG CN235 di Bandung (2010).  Setiap program lawatan (kecuali Medan, 1990) ada agenda melawat kompleks industri penerbangan Indonesian Aerospace' atau PTDI.

Program pada hari ketiga (Rabu, 12hb Sep) adalah lawatan ke premis PTDI dan NTP (PT Nusantara Turbin dan Propulsi). PT bermakna Perusahaan Terbatas atau di Malaysia kita sebut sebagai Syarikat Bhd (Public Limited Company). NTP adalah anak syarikat kepada PTDI.  Ia ditubuhkan pada akhir tahun 80an sebagai satu program offset antara Kerajaan Republik Indonesia dengan Syarikat General Electric, USA. Ia bermula dengan sebagai sebuah departmen di dalam organisasi PTDI (dulunya dikenali sebagai PT Industri Pesawat Terbang Nusantara atau IPTN).  Perkembangan industri yang pesat serta keupayaan yang semakin tinggi dalam memperluaskan kemampuan teknikal sebagai sebuah 'MRO', dan kemudiannya didaftarkan sebagai sebuah syarikat perdagangan.


 
 



PTDI atau asalnya IPTN juga mempunyai sejarahnya yang tersendiri.  Sebuah syarikat industri pembuatan pesawat terbang yang berdiri megah dalam sebuah negara membangun yang masih dibelenggu dengan masalah kemiskinan penduduknya merupakan satu 'keistimewaan' kepada PTDI itu sendiri. Bapak Ir B.J.Habibie (Bacharudin Jusuf Habibie), mantan Presiden Indonesia ke 3 merupakan insan yang bertanggungjawab membawa dan membangunkan industri aviasi di Indonesia. Beliau juga adalah CEO/Presiden Direktur pertama IPTN sebelum dilantik menjadi Menteri Teknologi kemudian menjadi Naib Presiden Indonesia dan akhirnya mengangkat sumpah sebagai Presiden pada 21 Mei 1998 hingga 20 Okt 1999.


    On April 26, 1976 , based on the Notary Act No. 15, in Jakarta, the PT. Industri Pesawat Terbang Nurtanio was officially established with Dr. BJ. Habibie as its President Director. When the physical facilities of this industry was completed , on August 1976 President Soeharto inaugurated this aircraft industry.
    On October 11, 1985, PT. Industri Pesawat Terbang Nurtanio was removed to the PT. Industri Pesawat Terbang Nusantara or IPTN (ref: www.indonesian-aerospace.com).

Jutawan berShopping

Lepas tamat lawatan makan tengahari dihotel, mandi solat Zohor/Asar, terus bertolak ke Pasar Baru Trade Centre di Jalan Otto Iskandar Dinata pada jam 1500.  Mungkin kalau nak dibanding dengan Nilai 3, sukar kerana Nilai 3 kawasannya luas dan terletak jauh dari hiruk-pikuk dan kesesakan.  Pasar Baru terletak di tengah kota Bandung. Nak sampai pun jalan sesak, semakin hampir semakin sesak kerana peniaga tepi jalan dan juga kereta yang di parkir di kiri kanan jalan membuatkan jalan semakin sempit. Dia punya jalan naik parking slot bertingkatnya amat sempit, cukup-cukup muat kereta. Kalau biasa di KL saja, memang tak berani nak bawak. Pasar 11 tingkat ini mengkhusus jualan produk tekstil.  Kalau datang ke sini memang boleh hilang kewarasan untuk membeli belah.  Kaum wanita khususnya- pasti mabuk.  Telekung sahaja berpuluh/ratus design.  Warga indonesia memang amat kreatif. Bahan jualan yang popular ialah kain ela yang mempamirkan design yang terbaru, kain langsir, telekung, jeans dan sebagainya.  Kalau ingin ke Indonesia untuk berbelanja datanglah ke Bandung. Tapi ingat!.  jangan datang pada hari mulai petang Jumaat hingga Ahad malam. Bandung akan dipenuhi oleh warga Jakarta yang mahu beristirehat dan bershopping.  Juga rakyat Singapura dan Malaysia.  Jalan akan jadi sesak, hotel will be fully booked, dan pastinya harga barangan akan melambung.

.
 
  
 
 

Habis shopping jam 1730- semua lot jaualan akan ditutup hampir serentak begitu juga pembeli akan keluar mulai jam 1700 untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas. Kedai tak akan menerima pelanggan sahaja. Pelayan kedai pun tidak mahu menunggu dan mahu cepat pulang. Ini kedai taukeh punya, tutup lewat tak akan ada overtime. 

Merentasi kota Bandung waktu Maghrib memang menyesakkan. Tapi tak ape la, itu driver punya urusan. Syarikat dah bayar dia untuk memandu mengikut arahan 'vehicle commander'. Kami (saya bersama Lt Kol David dan Maghrib Chwee (dari Naber) menghala ke Jalan Cihampelas.  Aku sengaja tak mau beli kerepek di Pasar Baru kerana ada sebabnya, dan aku minta supaya membawa aku ke Jalan Cihampelas. Kalau di Pasar Baru memang harganya murah sedikit tetapi pilihan terhad- hanya sejenis dua sahaja.  Selain dari suasana yang tidak bersih, yang tidak tahan di Pasar Baru ialah menghadapi kerenah pujukan si penjual serta pengemis yang sentiasa mengekori perjalanan kita.


keadaan kedai kerepek pisang dan makanan segera di Pasar Baru

Siapa tak kenal dengan Jalan Cihampelas? Ia terkenal dengan tempat bershopping bagi produk berasaskan kain 'jeans' dan kulit.  Banyak factory outlet di sini dengan harga yang baik dan kualiti yang tidak menghampakan.  Kalau anda ingin membeli pelbagai jenis kerepek pisang pelbagai perasa datang la ke Cihampelas Road ini.  Di Cihampelas ada kerepek pisang perasa durian, strawberry, blueberry, choc, kopi, yang berbijan atau bermentega dan lain-lain.  Bentuknya juga pelbagai rupa, ada yang leper, bergulung, berputar, berlapis dan sebagainya.

Bagi aku yang paling penting ialah kebersihan, khususnya bila berurusan dengan makanan di Indonesia ini.  Di Pasar Baru, kerepek dijual secara terbuka di gerai tingkat bawah, di tepi jalan yang agak kotor dan laluan kenderaan (asap dan habuk), di Putra Snack, No 122, Jalan Cihampelas (berhampiran dengan Hotel Aston Tropicana dan Hotel Fave) ia kedai biasa yang bersih dan berbungkus rapi.  Mana yang dijual secara timbangan diletakkan dalam container bercermin dan tertutup.  Mungkin mahal sedikit, tapi kebersihannya terjamin .


 
keadaan kedai kerepek dan makan segera di Cihampelas

.
Setelah menamatkan sessi shopping di pasar Baru dan Cihampelas, kami makan malam  di Restoran HDL 293, Cilaki.  Makan seafood.  Tapi aku order nasi goreng kerang sahaja. Balik keletihan dan tidur.



Keesokan paginya aku kena serangan diarea. teruk juga, rasanya lebih 10 kali aku kelur masuk bilik air.  Syukur aku ada membawa ubat sakit perut dan ceret beret baki dari ubat RSAT yang aku gunakan 2-3 bulan yang lalu. Masih berkesan.  Lebih kurang jam 1230H baru beransur sembuh.  

Tengahari aku mesti turun juga ke bilik persidangan kerana aku kena mendengar taklimat serta semakan akhir keputusan 'provisioning' dan 'technical support' action item yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Setelah persetujuan dicapai, aku dan Pak Mula Warman Wangsaputra yang mewakili PTDI menandatangani dokumen persetujuan.  Diikuti oleh ucapan penutup dan penyampaian cenderamata.  Alhamdulillah segala-galanya selesai dengan baik dan berjaya.
 .
 
 
    
 
.

Keseluruhan petang dan malam itu aku berehat di bilik sahaja sehingga malamnya aami semua ada majlis makan malam yang dihostkan oleh PTI di Rumah Ikan. 



Lepas makan aku merancang untuk mandi kolam air panas (hotspring) di Ciater dan telah dipersetujui oleh pihak PTDI. Namun majoriti ahli rombongan sudah keletihan dan mahu berehat sahaja. Maka kami membatalkan rancangan dan pulang ke hotel.

Keesokan paginya, kami berkemas dan menghantar luggage ke pesawat pada jam 1000 dan check out dari hotel pada jam 1300H.  Pesawat yang dijadualkan berlepas jam 1500H, tetapi aku meminta pilot untuk mendapatkan kebenaran untuk berlepas jam 1400H. 

Kami sampai di PU Subang pada jam 1930H dan aku selamat sampai di rumah pada jam 2100H lebih.  Terus tukar pakaian dan bergegas ke surau Luqman Hakim kerana ada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Surau Luqman Hakim.
.
sebelum bertolak pulang ke Malaysia

No comments:

Post a Comment