Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang
YANG AWAL DAN YANG AKHIR
Showing posts with label BELASUNGKAWA. Show all posts
Showing posts with label BELASUNGKAWA. Show all posts

Friday, July 4, 2014

AF 075: MISI DI BULAN RAMADHAN

MISI KE PARIT BESAR DI BULAN RAMADHAN


Awal pagi 3 Julai 2014 aku menerima berita bahawa salah seorang staf di bawah naungan iaitu PW U I Yazid bin Yusop telah mengalami kemalangan jalan raya di hadapan Giant Shah Alam. 

Ketika kejadian berlaku Yazid sedang bercuti panjang sebelum menjalani latihan peralihan. Unit terakhirnya ialah di Pejabat Wakil TUDM di AIROD Sdn Bhd.

Beliau yang menunggang motor sikal bersama isterinya telah melanggar sebuah kereta yang berhenti di tepi jalan berhampiran lampu isyarat. Beliau tercampak ke tepi jalan dan mengalami kecederaan patah tangan dan buku lali. Manakala isterinya Puan Haslinda yang
membonceng telah tercampak ke tengah jalan lalu dilanggar oleh dua buah kereta lain. Satu darinya melarikan diri. Puan haslinda meninggal dunia di tempat kejadian dan kedua-duanya di bawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah HTAR) Klang,


 
 
keadaan kereta yang dilanggar Yazid
keadaan motorsikal Yazid selepas kemalangan

Sebagai Pegawai Memerintah, setelah berbincang dengan Panglima, aku terus mengambil tindakan pentadbiran mengarahkan Pegawai Tadbir/Ajutan untuk melaksanakan urusan yang berkaitan.

Maklumat adalah Yazid masih di ICU menunggu pembedahan manakala almarhumah isterinya akan menjalani pembedahan post mortem dan dijangka selesai jam 1400. Oleh kerana telah dipastikan telah ada pegawai yang menguruskan di HTAR untuk memantau keadaan dan perkembangan aku terus ke pejabat pagi itu kerana ada mesyuarat yang telah dijadualkan. Terlalu ramai orang di sana tidak membantu menyelesaikan masalah, malah mungkin mengganggu urusan.

Setelah mendapat maklumat bahawa almarhumah akan dikebumikan di kampung halaman di Pt Besar, Batu Pahat aku pun memberitahu Panglima bahawa aku volunteer untuk mengetuai rombongan mengiringi jenazah. Kebetulan Pt Besar berdekatan dengan rumah kakak iparku. Aku memberitahu isteriku untuk membawanya bersama kerana yang meninggal adalah isteri anggota.  Kebetulan pagi itu isteriku Adibah ada program ugama (BAKAT) di Masjid PU Subang dan dijangka selesai waktu tengahari.

Arrangement dibuat, jam 1100H pemandu akan memngambil Adibah di masjid dan terus bawa ke PU KL. Kami akan bertolak bersama dari PU KL.

Ketika sedang mempengerusikan mesyuarat, kira-kira jam 1000H aku menerima mesej bahawa mayat telah siap dimandikafankan dan akan bergerak bila-bila masa sahaja. Kelamkabut sekejap. Aku pun menghantar mesej kepada isteriku supaya arrangment awal dibatalkan. Kalau dia bertolak pada waktu itu (dekat jam 1100H) dan terpaksa melalui jammed teruk untuk ke KL mungkin lebih sejam baru sampai. Kalau bertolak selepas jam 1200H mungkin sampai BP semuanya sudah selesai.

Maka, aku terus bertolak ke BP tanpa membawa isteriku. Aku membawa Ajutan, Kapt Wan Ismail bersama.


Van jenazah membuat persiapan

Melepasi exit Kajang, ada maklumat terbaru. maklumat awal salah. Mayat masih belum di post mortem lagi, dan jangkaan awal selesai jam 1400H adalah kekal. Tapi aku dah terlepas jauh. Ketika kami keluar Tol Ayer Hitam (Johor) lebih kurang jam 1330H, jenazah masih belum bergerak. Maka aku mengambil keputusan untuk singgah berehat di rumah bapak di Pt Lapis Mahang.

Lebih kurang jam 1530 kami bergerak dari rumah bapak ke arah bandar Batu Pahat.

Jenazah sampai di rumah keluarga Almarhumah di Pt Besar lebih kurang jam 1615H. Setelah ahli keluarga melihat jenazah, ia di bawa ke Masjid Pt Besar untuk disolatkan selepas waktu Asr. Tanah perkuburan islam terletak bersebelahan dengan masjid. 

Urusan pengkebumian selesai lebih kurang jam 1800H.







membacakan talqin


menyiram air mawar dan menabur bunga di pusara almarhumah, atas permintaan ahli keluarga
 

 
menyampaikan ucapan takziah dan derma kilat kepada ayahanda almarhumah

Semoga Allah melimpahi keampunan dan kerahmatan ke atas ruh almarhumah Haslinda.


Selesai urusan di Pt Besar aku singgah membeli juadah berbuka di simpang Parit Raja Darat untuk di bawa ke rumah emak dan berbuka di sana dan berehat sebelum bertola pulang ke KL.

Kami bergerak dari kampung jam 2000H dan sampai KL jam 2230H.

Takziah kepada PW U I Yazid, didoakan semoga segera sembuh dan dan bersabar menghadapi dugaan dan ujian Allah ini serta tabahkan hati untuk meneruskan kehidupan dan mendidik anak-anak.



.

Monday, January 27, 2014

AF072: MIDNIGHT MISSION TO AYER BALOI


PERGINYA SEORANG BINTARA

Pada jam 0844H, 28 JAN 14 ketika menunggu ketibaan Panglima untuk memulakan Mesyuarat JTP di MLU, aku terima mesej (SMS) dari Ketua MATRA 1, Lt Kol Abdullah bin Lazim.

"As Salam Tuan, dukacita dimaklumkan PW MATRA I, PW Saiful Nizam meninggal dunia pagi tadi dalam kemalangan jalanraya. Saya sedang urus."

Setelah dimaklumkan mayat akan menjalani prosedur post mortem di PPUM dan akan mengambil masa yang panjang dan Lt Kol Abdullah telah pun berada di sana untuk menguruskannya aku mengambil keputusan meneruskan menyertai mesyuarat sehingga selesai.

Semasa mesyuarat Panglima turut mengikuti perkembangan insiden dan memastikan segala urusan dilaksanakan dengan lancar. Aku juga meminta kebenaran kepada Panglima untuk mengetuai rombongan mengiringi jenazah setelah selesai post mortem, dimandikan dan disolatkan di Masjid PU Subang.

Setelah selesai dua mesyuarat lebih kurang jam 1230, aku terus pulang ke rumah untuk menukar pakaian bagi istiadat pengkebumian.

Jenazah hanya dapat dibawa keluar dari PPUM pada jam 1600 dan tiba di Masjid PU Subang pada jam 1630 untuk dimandikan. Kelewatan adalah disebabkan oleh masalah dokumen yang tidak lengkap kerana wallet allahyarham telah hilang (mungkin dicuri orang) semasa berlaku kemalangan.

Jenazah disolatkan selepas waktu Asar. Begitu ramai sekali yang hadir mensolatkan, aku jangkakan lebih dari 400 orang.


Bertolak dari PU Subang pada jam 1820. Ramai juga anggota TUDM yang turut mengiringi van jenazah. Sebuah bas 44 penumpang, sebuah van membawa family, sebuah van membawa kumpulan pengusung, sebuah MPV Hiace sebagai pemandu konvoi.

Jenazah diusung keluar dari Masjid PU Subang dengan penuh istiadat ketenteraan

 
 
melalui hiway ELITE dan masuk ke PLUS di persimpangan Nilai 
.

Perjalanan dari PU Subang ke Ayer Baloi begitu lancar, tidak melalui masalah kesesakan. Berhenti rehat di R n R Ayer Keroh Melaka untuk bersolat dan mengambil sedikit nafas. Aku sampai ke Tol Plaza Simpang Rengam pada jam 2145 dan aku berhenti menunggu sehingga konvoi mencukupi untuk meneruskan perjalanan ke Ayer Baloi.

Rombongan jenazah selamat sampai ke Kg Ayer Baloi pada hampir jam 2300H. Agak tepat seperti yang aku jangkakan sebelum bertolak. Alhamdulillah tiada halangan sepanjang perjalanan. Biasanya kalau bertolak dalam jam 1800 keadaan trafik di PLUS antara Nilai ke Seremban memang agak teruk.

Selepas memulakan perjalanan dari Tol Plaza, aku menghubungi rakan lama ku Cikgu Hj Marjuni Suradi dan Cikgu Zakaria Bokhari. Kedua-duanya adalah rakan sekelasku semasa di Tingkatan 6 Rendah Sek Alam Shah Cheras pada tahun 1977. Mereka berdua datang ke rumah keluarga almarhum untuk turut memberi penghormatan terakhir dan mengiringi jenazah di tanah perkuburan.

Perjalanan dari Simpang Rengam melalui pekan Benut, Sg Pinggan dan Sanglang telah mengimbau semula kesah hidupku masa kecil-kecil dulu. Masa aku kecil ayahku membawa aku dan abang-abangku ke Johor Bahru melalui jalan Pontian ini dengan menaiki bas (kami panggil bas sangkut-sangkut sebab akan berhenti setiap kali ditahan orang). Jalan dulu agak teruk berbanding sekarang yang sudah cantik dan disenggara dengan baik.

Rumah balu almarhum bersebelahan dengan Sek Keb Ayer Baloi. Betul-betul di sebelah kanan sekolah.


Sek Keb Ayer Baloi. Kami memparkir kenderaan di kawasan sekolah ini

Ratusan juga orang kampung yang menunggu di perkarangan rumah. Keadaan agak teratur kerana rombongan anggota TUDM dari TUDM Bukit Lunchu (323 Skn) telah berada di sana untuk menguruskan bantuan logistik seperti khemah, generator dan menggali liang lahad.

Setelah orang kampung mensolatkan jenazah dan mengadakan tahlil ringkas, jenazah dibawa ke tanag perkuburan. Kebetulan, tanah perkuburan pula betul-betul di sebelah kiri sekolah tersebut. Maknanya sangat hampir dengan rumah keluarga allahyarham. Semuanya jarak jalan kaki sahaja.

 
jenazah dibawa keluar dari rumah keluarga isteri allahyarham
 
tiba di tanah perkuburan Kg Ayer Baloi

Jenazah dibawa ke tanah perkuburan lebih kurang jam 2359H. Keadaan di sana begitu teratur dan berjalan lancar, kerana semuanya sudah siap. Terima kasih TUDM Bukit Lunchu atas bantuan yang diberikan dari arah Selatan.

jenazah diturunkan ke liang lahad
bertemu sahabat lama, Zakaria Bokhari (kiri) dan Marjuni Hj Suradi (kanan)

menyirami pusara
membacakan Fatihah dan penghormatan terakhir sebelum meninggalkan tanah perkuburan

Selesai pengkebumian pada jam 0030, kami berjalan kaki ke rumah keluarga allahyarham untuk acara seterusnya iaitu penyerahan bendera Malaysia dan TUDM kepada balu allahyarham dan penyerahan wang Khairat Kematian derma-derma dari pelbagai pihak.

Ketua MATRA 1 menyerahkan bendera kepada Pegawai Memerintah
Pegawai Memerintah menyerahkan bendera Malaysia dan TUDM kepada balu allahyarham, Puan Nora bt Mohd Noor.

Segalanya berlaku secara impomptu. Sejak aku berkhidmat lebih 32 tahun dalam TUDM dan banyak kali menghadiri majlis pengkebumian anggota TUDM sama ada pegawai atau LLP, inilah kali pertama aku hadir sebagai pegawai yang paling kanan dalam majlis seperti ini. Sebelum ini, aku hanya melihat dari jauh sahaja. 

Secara spontan aku menyusun sendiri skrip untuk disampaikan.

"Puan, saya mewakili Panglima Tentera Udara dan seluruh warga TUDM mengucapkan takziah kepada Puan serta keluarga. Kami mendoakan semoga ruh allahyarham akan dicucuri rahmat dan keampunan oleh Allah swt.

Saya ingin menyerahkan bendera Malaysia dan TUDM ini sebagai lambang jasa dan bakti yang telah dicurahkan oleh allahyarham kepada negara, ATM dan TUDM khasnya. Semoga ia akan dapat dijadikan kenangan sebagai pembakar semangat kepada anak-anak Puan untuk berbakti kepada negara seperti ayahnya."

Seterusnya adalah penyampaian Surat takziah, wang Khairat Kematian dan sumbangan ikhlas dari pelbagai pihak seperti rakan setugas, kariah masjid, BAKAT dan juga sumbangan peribadi dari Panglima Bantuan Udara.


 
 
 
 
 
 
 
menyampaikan kata-kata pesanan

Entah bagaimana aku terlintas dan merasa bertanggungjawab untuk menyampaikan pesanan ini kepada balu allahyarham. 

"Allahyarham semasa hidupnya adalah seorang pekerja yang baik dan disukai oleh semua rakan sekerja dan pegawainya. Allahyarham dikenali sebagai seorang yang ringan tulang, mudah menghulurkan pertolongan apabila diperlukan, dan sedia berkerjasama dan tidak cerewet. Oleh sebab itu kita lihat hari ini begitu ramai rakan-rakan yang mensolatkan jenazahnya dan sukarela untuk mengiringi jenazah allahyarham hingga ke sini. Marilah kita doakan kesejahteraan ruhnya.

Buat pengetahuan Puan, selepas ini Puan akan menerima pelbagai ganjaran dan pampasan yang layak diterima oleh allahyarham seperti gratuiti, Koperasi Tentera, Insuran Kelompok dan LTAT. Jumlahnya agak besar.

Gunakanlah wang tersebut dengan sebaik-baiknya khususnya untuk persediaan masa depan anak-anak.

Saya ingin menasihatkan Puan supaya berhati-hati kerana selepas ini mungkin ramai orang yang menemui Puan untuk memujuk dan menawarkan berbagai-bagai skim pelaburan dan harta. Sebahagian darinya adalah individu yang berniat buruk untuk menipu Puan bagi mendapatkan wang Puan.

Oleh itu, Puan jangan mudah terikut dengan pujukan mereka. Dapatkan nasihat dari orang yang dipercayai sebelum membuat apa-apa keputusan berkaitan wang Puan.

Saya harap Puan terus bersabar dan tabah menghadapi ujian Allah ini"


abang ipar allahyarham menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak TUDM. Beliau melahirkan rasa besar hati di atas keprihatinan pihak TUDM membantu menguruskan jenazah allahyarham sehingga selesai
.
Setelah menikmati sedikit jamuan yang disediakan oleh keluarga dan jiran-jiran, aku memohon izin untuk meninggalkan rumah dan bertolak pulang ke KL mendahului rombongan yang lain, lebih kurang jam 0105.

Aku selamat sampai ke rumah di KPTOJ pada jam 0405. Manakala rombonganlain yang diketuai oleh Lt Kol Abdullah Lazim sampai jam 280510H Jan 14.

Terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam mengurus jenazah allahyarham sehingga sempurna disemadikan.
  • MATRA 1.
  • PU Kuala Lumpur.
  • PU Subang.
  • Skn 323 Bukit Lunchu.
Bagi diriku ini adalah satu pengalaman yang begitu memberi erti sepanjang kerjayaku di dalam perkhidmatan TUDM.


Allahyarham Saiful Nizam bin Omar

Allahyarham 717411 Pegawai Waren (Udara) I Saiful Nizam bin Omar dilahirkan di Parit Panjang, Mukim Ayer Baloi, Pontian, Johor pada 30 Ogos 1969. Allahyarham menyertai latihan rekrut TUDM di Pusat Latihan Rekrut (sekarang Institut Latihan Tentera Udara), TUDM Ipoh pada 29 Feb 1991. Allahyarham menamatkan kursus Asas Mekanik dalam Ketukangan Enjin di Institut Teknologi Udara, Kinrara pada . Beliau berkhidmat di Pangkalan Udara Kuching dari tahun 1996 sehingga ditukarkan ke MATRA 1 pada tahun 2006 dan dinaikkan ke pangkat PW(U) II. Di MATRA 1 beliau bertugas sebagai Ketua Juruteknik dalam Aerospace Inspection Section (AIS) dan dinaikkan ke pangkat PW(U) I pada 1 Jul 2011. Allahyarham sepatutnya akan bersara wajib pada 27Feb 2016.

Allahyarham berumahtangga dengan Puan Nora binti Mohd Noor yang juga berasal dari Ayer Baloi pada tahun 21 Okt 1995 dan dikurniakan 5 orang anak, 2 lelaki dan 3 perempuan yang berusia antara 6 hingga 18 tahun (Syaida Khairina, Mohd Haziq Hazlan, Syasya Qistina, Izzah Irdina dan Aniq Aqlan). 

Pelajaran dari pengalaman ini.
  • Sikap sebahagian anggota masyarakat Malaysia masih ditahap yang HINA apabila sanggup mencuri dompet orang lain yang mengalami kemalangan, apa lagi kematian. Kehilangan wang masih boleh diterima, tetapi kehilangan dokumen penting seperti Kad Pengenalan, Lesen Memandu atau mungkin ada dokumen penting berkaitan isteri atau anak-anak akan menyulitkan banyak pihak khususnya keluarga mangsa kemalangan.
  • Ramainya orang yang turut mensolatkan jenazah allahyarham di Masjid PU Subang menggambarkan allahyarham adalah seorang anggota yang disukai oleh rakan dan masyarakat setempat. Mengikut sahabat saya Brig Jen Datuk Hj Romlee (Komander PU Subang), allahyarham adalah antara ahli kariah masjid yang rajin berjemaah di masjid termasuk waktu Subuh. KEMULIAAN yang diberikan kepada jenazahnya adalah antara bukti yang dapat dilihat.
  • Allahyarham adalah seorang warga TUDM yang baik. Semoga tulisan ini akan kekal dan dibaca orang sehingga hari Kiamat. Mudah-mudahan suatu hari nanti anak-anak dan ahli keluarga allahyarham akan membaca blog ini dan merasa bangga dengan ayah mereka dan terus mendoakan kesejahteraan ruh ayah mereka.
  • aku ada lagi satu PEMERHATIAN dan KOMEN berkaitan kehadiran, namun aku simpan dulu komen ini untuk sementara waktu.

Blog ini ditulis bukan sesekali dengan niat membangga diri dapat menjayakan sesuatu tugas kerana tugas menguruskan jenazah sehingga selesai adalah kewajipan setiap orang islam. Ini adalah semata-mata penulisan berkaitan pengalaman kerana kebetulan aku mendapat peluang untuk melakukannya.

Abu Hurairah ra meriwayatkan: 
“Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Kewajiban seorang muslim terhadap seorang muslim yang lainnya lima perkara, iaitu: Menjawab salam, menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah ke perkuburan), memenuhi jemputan dan mendoakan orang yang bersin.” [HR Bukhari & Muslim]

Beberapa hikmah yang boleh kita perolehi sekiranya kita menziarahi jenazah. Antaranya :
  1. kita berpeluang menzahirkan perasaan simpati kepada keluarga jenazah,
  2. mengurangkan tekanan emosi keluarga jenazah yang kehilangan ahli keluarganya,
  3. dapat mengeratkan silaturrahim dengan keluarga jenazah dan
  4. menunaikan fardu kifayah iaitu memberikan hak sebagai seorang muslim keatas muslim yang lain.
  5. menziarahi jenazah dapat melahirkan rasa keinsafan dalam diri kita tentang kematian itu pasti menjemput kita suatu hari nanti,
  6. kematian adalah sebahagian daripada qadha Allah yang wajib diterima oleh semua makhluknya.
  7. Kita juga dapat bermuhasabah diri tentang ibadat yang telah kita lakukan selama ini. Kita akan terfikir, adakah ibadah kita selama ini mencukupi untuk di buat bekalan di akhirat nanti.
Saya menerima emel berikut pada 9 Feb 14.

Shamsul Bahrin Abdul Manan A931 - JPPBP mbahrin@epf.gov.my

Feb 9



Assalam tuan. Maaf menganggu.  Saya ada membaca blog tuan mengenai arwah  di atas daripada rakan opis saya. Saya antara yang terawal berada di situ. Saya sempat membantu arwah membaca allahhu akbar dan mengucap dua kalimah syahadat sebelum beliau menghembuskan nafas yg terakhir di depan saya. 

Sungguh menyayat hati dan doakan arwah berada di sisi orang2 yang beriman dan ditempatkan di syurga. Kirim salam saya buat keluarga arwah. Semuga tabah menghadapinya. 

SEMOGA ALLAH MELIMPAHI RAHMAT DAN KEAMPUNAN KE ATAS RUH ALLAHYARHAM SAIFUL NIZAM SERTA MEMBERIKAN KEKUATAN KEPADA AHLI KELUARGANYA UNTUK MENERUSKAN PERJUANGAN YANG PASTINYA LEBIH MENCABAR.




ACHTUNG!
if you are interested
Other than this, you are invited to visit my other 
BLOGs:
coltoras1959.blogspot.com
dan
tjp37spk.blogspot.com

thank you