Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang
YANG AWAL DAN YANG AKHIR

Tuesday, June 2, 2015

AF 087 REJIMEN ASKAR MELAYU DIRAJA

REJIMEN ASKAR MELAYU DIRAJA

ASKAR MELAYU memiliki sejarah tersendiri dalam catatan Sejarah Malaysia. Ia mempunyai perkaitan rapat dengan SEMANGAT KEPERWIRAAN BANGSA MELAYU MODEN serta KEDAULATAN NEGARA sehingga hari ini (semoga ia kekal hingga hari Qiamat).

Askar Melayu juga merupakan salah satu dari penyelamat nama MELAYU dalam negara kita.

Sehingga hari ini Askar Melayu merupakan hanya beberapa NAMA organisasi yang menggunakan nama MELAYU (sama ada berasaskan nama bangsa Melayu atau Persekutuan Tanah Melayu) yang masih kekal. Yang lain yang masih digunakan ialah Majlis Raja-Raja Melayu, Keretapi Tanah Melayu (KTM), Kolej (dulu Maktab) Melayu (MCKK), Kuala Kangsar, Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu (IPGKPM) (dulunya Maktab Perguruan Perempuan Melayu, Melaka) dan syarikat Akhbar Utusan Melayu.

Nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR), walaupun masih wujud tetapi tidak pernah digunakan lagi kerana orang Melayu sendiri lebih suka mengguakan abbreviation English dengan menggunakan nama UMNO- dari United Malays National Organization). Manakala akhbar Utusan Melayu satu-satunya akhbar yang menggunakan tulisan Jawi telahpun terkubur kerana ketiadaan pembaca/pelanggan.

Kutuliskan tajuk khusus mengenai Askar Melayu ini kerana sebahagian besar dari skot ku dalam TJP37 (malah semua intake Pegawai Kedet) adalah ditauliahkan dalam Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD). Malah kumpulan skot TD yang awal pakai BINTANG juga dari RAMD; ie: Ahmad Hasbullah, Abd Halim Jalal, Zamrose Mohd Zain dan Azlan Abd Rahman.

Satu lagi, kesemua PANGLIMA ATM (dari Tentera Darat) adalah ditauliahkan dalam RAMD. Kesemua PTD  kecuali Jen Tan Sri Zain Mahmud bin Hashim (KAD) adalah dari RAMD.


Rejimen Askar Melayu Diraja.jpg

  SEJARAH ASKAR MELAYU  

Sejak penjajahan oleh Kerajaan Kolonial British, pasukan-pasukan Tentera British dan juga Tentera British India (British Indian Army) seperti pasukan “Burma Rifles” telah ditugaskan untuk mengawal keselamatan. Ini melibatkan kos yang tinggi kerana pasukan-pasukan itu terpaksa dibawa daripaada Britain dan India untuk berkhidmat di Tanah Melayu.

Semenjak tahun 1902, Raja-Raja Melayu terutamanya Sultan Alang Iskandar Shah (Sultan Perak), Tuanku Muhamad Ibni Yam Tuan Antah (Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan), Raja Chulan (Raja Di Hilir Perak) dan Dato Abdullah Haji Dahan (Undang Luak Rembau) telah menggesa Kerajaan Kolonial British di Malaya untuk menubuhkan satu rejimen tentera yang dianggotai oleh orang-orang tempatan.

Image result for TUANKU MUHAMMAD YAMTUAN ANTAH    
  

Pada 23 November 1932, Jabatan Perang British memberikan persetujuan untuk penubuhan satu pasukan Askar Melayu sebagai satu rejimen tempatan dalam Angkatan Tentera British (Rejimen ini dilatih dan diurus oleh Rejimen Tentera British Malaya).

Pada 23 Januari 1933, Majlis Perundingan Persekutuan (Federal Consultative Council) telah meluluskan Akta No. 11 yang dikenali dengan nama Akta Rejimen Askar Melayu dan meluluskan peruntukan $70,000 bagi pembelian Kong Sang Rubber Estate di Port Dickson untuk tapak bagi kegunaan sebagai Pusat Latihan Rekrut Askar Melayu.

Pasukan Askar Melayu bermula dengan penubuhan Kompeni Percubaan Pertama (1st Experimental Company) pada tahun 1933 dan merupakan titik permulaan pasukan tentera anak watan di Tanah Melayu.

Pada 1 Februari 1933, seramai 25 orang anak Melayu daripada 100 orang calon telah dipilih sebagai “sesuai untuk diambil menjadi rekrut” di dalam pasukan Askar Melayu.

Pasukan Askar Melayu ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1933 di Haig Lines, Port Dickson, Negeri Sembilan. Pasukan ini di letakkan di bawah perintah Mejar G. Mc Bruce, sementara Kapten K.G. Exham dilantik menjadi Adjutan. Sarjan Mejar A. E. McCarthy dilantik menjadi Sarjan Mejar Rejimen dan Sarjan Kuartermaster E. Oldfiled menjadi Sarjan Kuartermaster. (mengikut buku Memoir Seorang Pejuang, Mej (B) Mohd Khalid bin Hamid menyatakan bahawa mereka mengangkat sumpah pada 3 Mac 1933).


Pasukan ini dikira sebagai percubaan kerana pada peringkat itu, ia bertujuan untuk menilai kesesuaian orang-orang melayu sebagai anggota tentera, dan bagaimana mereka dapat menyesuaikan diri dengan disiplin tentera (Mejar Jeneral G. Mcl. S. Bruce, O.B.E. M.C. (bersara). (Petikan dari rencana "Trying it out with No. 1 Squad", Pahlawan, Vol. 1, Kuala Lumpur, 1952)

BARISAN PERWIRA TERAWAL ASKAR MELAYU
BARISAN HADAPAN DARI KIRI
Usman bin Engguk, Jantan bin Abdul Rahman, Ismail bin Tahar, Ibrahim bin Sidek, Buyong bin Md Yasin, Ahmad bin Abdullah, Ngah bin Abdullah dan Ahmad bin Nordin 
BARIS KEDUA
Abdul Ghaffar bin Abdullah, Ismail bin Ahmad, Abdul Manap bin Abdullah, Hj Kadir bin Hj Hassan, Raja Lope Nor Rashid bin Raja Abdul Rahman, Ariffin bin Hj Sulaiman, Ahmad bin Dodo,  dan Buyong bin Md Yassin 
BARISAN KETIGA
Abdul Rahman bin Md. Yatim, Muhammad bin Kenit, Awang bin Abdullah, Musa bin Ismail, Usman bin Yunus, Abdul Samad bin Abdullah, Mohd Taib bin Jais dan Ismail bin Mahmud. (Naim dan Buyong adalah merupakan tukang masak).


Pembesaran Pasukan Askar Melayu

Pada 1 Januari 1935, atas kesungguhan anak-anak Melayu di dalam Kompeni Percubaan dan dengan kegigihan Mejar S. Bruce, 1 Kompeni Percubaan Askar Melayu ditukarkan menjadi Rejimen Askar Melayu dengan kekuatan permulaan seramai 150 orang anggota. Pengambilan anggota-anggota baru dipercepatkan. Dengan penambahan 232 orang anggota baru, dua Kompeni tempur telah ditubuhkan, dengan satu pasukan Ibu Pejabat sebagai elemen perintah, dan dikuatkan dengan platun bantuan dilengakan dengan mesingan Vickers, satu seksyen Semboyan dan satu unit tambur.

Pada 1 Januari 1938, Batalion Pertama Askar melayu (1 Melayu) mempunyai kekuatan 17 pegawai british dan 6 Pegawai Melayu, 11 Pegawai Waran dan 759 Pegawai Tak Bertauliah dan anggota Lain-Lain Pangkat.

Apabila bahang perang semakin hampir, latihan ketenteraan dipertingkatkan. Latihan jalan lasak di peringkat battalion dan peringkat briged kerapkali diadakan. 1 Melayu juga mula membuat latihan menggunakan mortar dan meriam penangkis kereta kebal. Dalam bulan Ogos 1941, satu platun bantuan ditubuhkan menggunakan 10 buah “Universal Carrier” ataupun lebih dikenali sebagai “Bren Gun Carrier’ di bawah pimpinan Kapten R.R.C. Carter. Platun bantuan ini menjalankan latihan bersama-sama Battalion ke-2 Loyals Regiment (North Lancashire) Tentera British.

Pada bulan Mac 1941, Gabenor Negeri-Negeri Selat memberikan kuasa untuk menambah kekuatan Rejimen Askar Melayu menjadi dua battalion. Batalion Ke-2 Askar Melayu ditubuhkan pada 1 Disember 1941. 1 Melayu dan 2 Melayu bersama-sama battalion Ke-2 Loyal Regiment (North Lancashire) diletakkan di bawah pemerintahan 1st Malaya Infantry Brigade. Briged ini akan memainkan peranan besar dalam mempertahankan Tanah Melayu semasa penjajahan Jepun.

Askar Melayu Semasa Perang Dunia II

Kompeni A, Batalion Kedua adalah unit Askar Melayu pertama menentang Tentera Jepun yang mendarat di Pantai Cinta Berahi (sekarang Pantai Cahaya Bulan), Kelantan pada 8 Dis 1941. Kekuatan Tentera Jepun yang berlipat ganda telah memaksa Kompeni A berundur ke Kuala Krai dan seterusnya ke Singapura. Di Singapura, Batalion Pertama dan Kedua Askar Melayu telah berjuang bersama Tentera British menentang kemaraan musuh. Askar Melayu telah berjuang dengan penuh semangat di sekitar kawasan Pasir Panjang, Buena Vista, Labrador dan Alexander.


152 anggota Melayu (termasuk 7 pegawai Melayu) Rejimen Askar Melayu bersama 6 orang pegawai British yang dipinjamkan ke Rejimen Askar Melayu terkorban di Malaya dan Singapura semasa Perang Dunia II.



Perang Pasir Panjang

Jepun menyerang Singapura pada 8 Februari 1941 dan pada 9 Februari Kompeni “B”, Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu menerima serangan hebat daripada tentera Jepun di Pasir Laba lalu berundur ke Depot Normanton.

Serangan Jepun begitu hebat sekali di kawasan No 44 Indian Brigade dan pasukan Askar Melayu terpaksa berundur ke kedudukan yang lebi h selamat di belakang Sungai Pandan di West Coast Road dan pada 11 Februari mereka terus diasak oleh tentera Jepun.

Dalam pertempuran siang dan malam, platun dan seksyen menjadi terpisah dan pada 13 Febrauri 1941 Askar Melayu diserang dari udara dan meriam berat dan mortar menyebabkan korban jiwa di kalangan pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang lain.

Elemen dari Japanese 16th Division melancarkan serangan berat dengan sokongan kereta kebal dan pesawat perang sepanjang Pasir Panjang Ridge.

Bahagian depan pertahanan yang terdiri daripada Kompeni A dan B Batalion Kedua Askar Melayu, Batalion Pertama dan Loyals tidak dapat bertahan dan Batalion ke-2 mengundurkan diri ke daerah Brickworks Alexandra.

Kompeni “C” menpertahankan Kampung Pasir Panjang di hujung Reformatary Road dan terlibat dalam pertempran yang sengit dengan tentera Jepun.

Dalam pentempuran tersebut Prebet Yaacob Bin Bidin berjaya mejejaki kedudukan mortar musuh melalui rimbunan semak yang terbakar dan menewaskan musuh dengan tembakan senjata Bren-gun dan pada sebelah malam Kompeni C berundur ke kawasan Kilang Kerajaan sekitar 55 meter daripada Pasir Panjang Road.

Pada 14 Februari 1941 Batalion Pertama berundur dari Buona Vista Village ke Labrador dan serangan musuh semakin hebat maju menuruni Pasir Panjang Road mengasingkan Kompeni “C” Syarikat dan dan pada saat serangan itulah Leftenan Adnan b. Saidi dan anak buahnya berjuang bermati-matian dengan bom tangan dan senjata automatik sehingga ke titisan darah yang akhir.

Ramai pegawai dan anggota Askar Melayu telah tewas dalam pertempuran tangan ke tangan (hand-to-hand combat) dan ramai yang ditangkap dan diseksa oleh tentera Jepun termasuk Hero Lagenda Leftenan Adnan yang digantung dan ditikam dengan benet bertubi-tubi dan kuburnya masih belum ditemui hingga hari ini.

Leftenan Abbas b. Abdul Manan adalah satu-satunya pegawai yang masih hidup membawa empat anggotanya keluar daripada kawasan pembantaian Jepun dan akhirnya tiba di Markas Batalion.

Pertempuran terakhir Askar Melayu berlaku berhampiran Alexandra Brickworks dan Kopmpeni D berjaya membunuh 94 orang tentera Jepun walaupun mereka akhirnya terpaksa menyerah kalah pada 15 Februari 1941.

Askar Melayu yang selamat telah berkumpul pada 15 dan 16 Februari 1941 di Golf Keppel Link dan pada pagi 17 Februari seramai 8 orang pegawai dan 600 anggota dipisahkan daripada pegawai Tentera British berbaris untuk bergabung dengan tahanan tentera India di Farrer Park dan tentera British akhirnya dibawa ke Penjara Changi.

Selepas dua minggu dalam tahan Jepun seramai lima orang pegawai Askar Melayu telah dihukum bunuh oleh tentera Jepun kerana keengganan mereka untuk memakai pakaian awam dan menerima pembebasan.

Anggota yang melarikan diri ke Tanah Melayu telah ditangkap dan dipenjara selama satu tahun dan beberapa orang askar lain-lain pangkat telah dihantar sebagai buruh paksa ke Thailand dan Indonesia dan. majoriti akhirnya dibebaskan daripada kem penjara di Singapura.

Satu bulan selepas pendudukan semula Tentera British, Rejimen Askar Melayu dihidupkan semula pada 5 September 1945 dan dianggotai oleh veteran Perang Jepun 1941-1942

Darurat

Satu peristiwa yang tidak mungkin dapat dilupakan, sekaligus menjadi satu titik hitam dalam lipatan sejarah RAMD ialah Peristiwa Kalabakan. Dalam tragedi berdarah ini, seorang pegawai dan tujuh anggota Batallion ke-3 RAMD terkoban, manakala 18 orang anggota lagi tercedera. Peristiwa berdarah ini berlaku pada tanggal 29 Disember 1963. Tempat berlakunya tragedi berdarah yang menimpa Batallion ke-3 RAMD itu terletak tidak jauh dari tebing Sungai Kalabakan. Lokasinya kira-kira 30 batu ke utara Tawau dan 12 batu ke utara sempadan Kalimantan, Indonesia. Di situ terletak dua penempatan kecil Pasukan Keselamatan Malaysia yang terdiri daripada satu penempatan Pasukan Polis Hutan dan sebuah lagi penempatan tentera terletak di suatu lereng bukit.

Kedua-dua penempatan dipisahkan dalam jarak lebih 400 ela sahaja. Pos Polis yang dipagari dengan dawai berduri mempunuyai kekuatan 15 orang anggota, manakala penempatan pasukan tentera tidak pula berpagar. Anggota Platun 1 Kompeni A dan kemudiannya disertai oleh seksyen dari Platun 10 Kompeni C ditempatkan di situ. Kawasan perkhemahan ini terletak suatu kawasan lereng tanpa sistem keselamatan serta pertahanan yang lengkap. Ini berlaku kerana ketiadaaan bekalan peralatan walaupun usaha mendapatkannya telah berulangkali dilakukan.

Menurut laporan, seramai 130 orang tentera Indonesia daripada pelbagai pasukan bergerak dari Kalimantan menyusup ke kawasan Malaysia pada pertengahan Disember 1963. Pasukan ini singgah di Serudong dalam perjalanan menuju ke Selimpopon dengan melewati Tarakan untuk ke kem balak Teck Guan dekat Kalabakan. Mereka bermalam di situ pada 28 Disember. Mejar Zainol Abidin bersama dua seksyen dari Kompeni C digerakkan ke penempatan Platun 1 Kompeni A di Kalabakan pada 29 Disember bagi memperkuatkan subunit berkenaan. Tiga buah kubu, setiap satu untuk tiga orang, dibina untuk tujuan pertahanan, Kubu berkenaan terletak di kiri dan kanan serta di Sebelah kanan belakang rumah atap dan digunakan untuk menenmpatkan senjata RISLB. Rumah berkenaan diberikan oleh Mr. Ress Pengurus Bombay Burma Timber Company Limited.

Leftenan Kolonel (Bersara) Raja Shaharudin menyatakan, beliau ada menerima maklumat yang menyatakan satu kumpulan tentera Indonesia sedang bergerak dari Kalimantan menyusup masuk ke kawasan Malaysia. Mereka dilaporkan telah merampas barang-barang dr sebuah kedai kepunyaan seorang peniaga Cina di kawasan Serudong Laut. Mereka dikatakan sedang bergerak ke arah kawasan Kalabakan.

Tidak lama selepas itu satu tembakan kedengaran memecah keheningan malam dan kemudiannya diikuti pula oleh tembakan yang bertubi-tubi. Ketika saya dan sebilangan anggota keluar dari rumah untuk 'stand to', anggota TNI telah pun mula melepaskan tembakan dan melemaprkan bom tangan ke kedudukan kami, cerita Lettenan Kolonel (bersara) Raja Shaharudin. Semua anggota bertempiaran keluar dari rumah mencari perlindungan. Sarjan Abdul Aziz berjaya menerjunkan diri ke dalam kubu dan berada bersama ketua platun serta dua anggota lagi. Kami membalas tembakan dan turut melontarkan bom tangan ke arah anggota TNI, saya kemudiannya memerintahkan anggota agar mengambil perlindungan dan tidak melepaskan tembakan kecuali mereka melihat anggota TNI.

Tembak-menembak berhenti kira-kira pukul 11.00 malam, terang Leftenan Kolonel (Bersara) Raja Shaharudin. Mr. Ress, besama seorang lalaki datang menemui Leftenan Muda Raja Shaharudin sejurus selepas pertempuran berhenti. Pada lebih kurang pukul 3.30 pagi 30 Disember 1963 satu platun bantuan yang diketuai oleh Leftenan Muda Wan Nordin bnin Wan Mohammad (12176) sampai ke lokasi platun di Kalabakan. Anggotanya diarah mengumpulkan anggota yang terkorban dan tercedera sambil memberikan rawatan sekadar terdaya. Apabila matahari pagi 30 Disember 1963 mula menampakkan sinarnya, anggota mula melakukan penggeledahan kawasan secara terperinci bagi mengumpul mayat dan anggota yang tercedera untuk dimaklumkan kepada markas batalion. Lapan anggota termasuk ketua kompeni disahkan terkorban, manakala 18 anggota lagi tercedera.

Rejimen Askar Melayu DiRaja Sekarang

Ketika ini, 2 buah batalion Rejimen Askar Melayu DiRaja dikhususkan sebagai pasukan payung terjun (Para) ditugaskan menjadi komponen di dalam 10 Briged Para, asas kepada Pasukan Atur Cepat di dalam Angkatan Tentera Malaysia. Dua lagi batalion Rejimen Askar Melayu DiRaja ditukarkan menjadi batalion mekanis dan membentuk komponen 4 Briged Mekanis di dalam Tentera Darat Malaysia.

Batalion-batalion selainnya dicorakkan menjadi batalion infantri standard. Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu DiRaja (lebih dikenali sebagai 1 Melayu) adalah Batalion Istiadat. Batalion ini mengadakan upacara Kawalan Kehormat dan istiadat dalam acara-acara rasmi yang melibatkan Yang diPertuan Agong Malaysiaataupun ketua-ketua negara. Batalion ini juga mengadakan kawalan istiadat di Istana Negara. Pancaragam Pusat Askar Melayu biasanya mengiringi 1 Melayu semasa upacara-upacara rasmi di mana 1 Melayu membuat kawalan kehormatan.

Serang Hendap Di Sungai Semur

Dalam kejadian Sungai Semur pada 25 Mac, 1950, Platun No. 12 seramai 25 anggota dari Kompeni D, 3 RAMD telah diserang hendap oleh sekumpulan pengganas komunis dengan kekuatan seramai 250 anggota ketika menyusuri sungai tersebut kira-kira jam 10.30 pagi.

Dalam serang hendap di Sungai Semur ini, 17 orang anggota 3 RAMD terkorban dalam pertempuran menentang kira-kira 250 pengganas komunis sementara enam anggota cedera parah sementara dua lagi anggota mengalami cedera ringan. Meskipun tewas, mereka menunjukkan semangat juangn yang tinggi melawan pasukan musuh yang hampir 10 kali ganda kekuatan mereka. Malah mereka berjaya membunuh seramai 29 orang musuh.

Pasar Bakhara di Mogadishu

Bn 19 RAMD (Mekanis) ditempatkan untuk bertugas di Mogadishu mulai 18 Jun 1993. Dalam Perkhidmatan batalion ini dengan UNOSOM, batalion ini telah ditugaskan sebagai Pasukan Atur Cepat (Quick Reaction Force) UNOSOM. Pada 3 dan 4 Oktober 1993, Pasukan Petugas US Ranger dan Delta Force (unit elit dan komando khas Tentera A.S.) melakukan operasi untuk menawan beberapa konco kanan Mohamed Farrah Aidid. Malangnya operasi ini menghadapi masalah. Pasukan tentera tersebut terperangkap. Terdesak, Tentera Amerika Syarikat meminta bantuan UNOSOM dan 19 RAMD untuk memberikan bantuan meyelamatkan anggota Tentera Amerika yang terperangkap.

Tentera Amerika mahu menggunakan Kenderaan Perisai Radpanzer Condor milik 19 RAMD dan tidak mahukan bantuan askar 19 RAMD . 19 RAMD enggan menyerahkan Radpanzer Condor kepada Tentera Amerika, dan akhirnya satu kompromi dicapai. 19 RAMD membenarkan anggota tentera Amerika menaiki Condor, tetapi pemandu, komander dan pengendali senjata akan terdiri dari anggota 19 RAMD.

60 orang anggota 19 RAMD terbabit dalam operasi menyelamat askar Amerika berkenaan. Selepas diberi taklimat operasi, pasukan yang diketuai Leftenan Azman bergerak pada jam 11 malam. 16 buah Radpanzer Condor bergerak secara konvoi. Perjalanan ke tempat di mana tentera Amerika berlindung penuh dengan halangan, dan konvoi sering dihujani peluru dan roket. Mereka terpaksa mengelak periuk api yang ditanam di atas jalan dan tembakan penembak curi dari arah merata tempat menyebabkan pergerakan terganggu. Leftenan Azman memberi arahan dengan tenang semasa menghadapi serangan pemberontak ketika operasi menyelamat menaikkan semangat pasukan.

Akhirnya pada jam 7.45 pagi, 75 Renjer Amerika Syarikat berjaya diselamatkan. Dari 19 RAMD seorang askar telah terbunuh. Prebet Mat Aznan Awang telah terbunuh apabila roket RPG-7 menembusi kompartmen pemandu kereta perisai Kondor yang dipandunya. Peristiwa ini telah menjadi inspirasi kepada pengeluar filem Amerika untuk menerbitkan sebuah filem berjudul "Blackhawk Down" bagi 'mengenangkan' kembali kegagalan askar-askar mereka dalam operasinya di Mogadishu. Malangnya dalam filem ini tidak ditonjolkan penglibatan anggota 19 RAMD yang telah bersama-sama menyelamatkan askar-askar elit/komando Amerika terbabit;akibat daripada itu ianya mendapat bantahan daripada Kerajaan Malaysia,lebih-lebih lagi daripada Kementerian Pertahanan.



 1 RAMD  


 digeruni dan disegani 


Penubuhan Kompeni Percubaan pada 1 Mac 1933 yang terdiri daripada 25 pemuda-pemuda Melayu adalah merupakan perintis kepada penubuhan batalion ini. Secara rasminya Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja telah ditubuhkan pada 1 Jan 1938 di Port Dickson.  Sehingga kini seramai 40 orang Pegawai Memerintah telah memerintah batalion ini dan Pegawai Memerintah yang pertama ialah Lt Col G Mc Bruce. Pegawai Memerintah Melayu pertama yang juga Pegawai Memerintah ke-13 ialah Lt Kol Tengku Ahmad Ibni Al Marhum Tunku Besar Burhanuddin (1960-61) manakala Sarjan Mejar Rejimen Melayu pertama ialah PW 1 Ahmad (1953-54).

Sebagai sebuah batalion yang tertua dalam Angkatan Tentera Malaysia, batalion ini telah menjadikan tema "Digeruni dan Disegani" sebagai cogan kata pasukan. Digeruni oleh lawan dan disegani oleh rakan dan taulan. Perkataan ini melambangkan kecekalan dan semangat juang yang tinggi di kalangan anggotanya. Ia juga mencerminkan kesediaan dan kesanggupan setiap anggota pasukan untuk berkorban demi kepentingan agama, bangsa dan kedaulatan negara.

Penempatan Pasukan

Pasukan ini telah ditempatkan dibeberapa lokasi atau penempatan sehinggalah pasukan dipindahkan ke Kem Sungai Besi sejak Jan 1986. Kem–kem yang pernah diduduki oleh pasukan ialah:

Port Dickson, N. Sembilan mulai penubuhan 1 Jan 1938 hingga Dis 1941,
Pasir Panjang, Singapura mulai Dis 1941 hingga Feb 1942,
Sungai Besi, K. Lumpur mulai Jun 1946 hingga Jul 1947,
Taiping, Perak mulai Ogos 1947 hingga Jan 1950,
Mentakab, Pahang mulai Jan 1950 hingga Feb 1952,
Muar, Johor, mulai Mac 1952 hingga Mac 1953,
Batu Gajah, Perak mulai Apr 1953 Apr hingga 1955,
Kem Kepala Batas mulai Mei 1955 hingga Dis 1960,
Kem Sungai Besi, K.Lumpur mulai Jan 1961 hingga Dis 1963,
Taiping, Perak mulai Jan 1964 hingga Dis 1966
Sandakan dan Tawau, Sabah mulai Jan 1965 hingga Okt 1965 (tanpa keluarga),
Kem Sembawang, Singapura mulai Dis 1965 hingga Apr 1966 (tanpa keluarga),
Kem Semenggo, Kuching mulai Jan 1967 hingga Dis 1968
Kem Bt 5, Mentakab mulai Jan 1969 hingga Okt 1969 (tanpa keluarga),
Kem Balai Ringin, Sarawak mulai Jan 1970 hingga Dis 1970 (tanpa keluarga),
Kem Bt 5, Mentakab mulai Jan 1971 hingga Feb 1973,
Sandakan, Sabah mulai Mac 1973 hingga Feb Okt 1979,
Kem Bt 5, Mentakab mulai Nov 1979 hingga Dis 1983,
Kem Lok Kawi, Sabah mulai Dis 1983 hingga Jan 1984 (tanpa keluarga),
Kem Garison, Port Dickson mulai Jan 1984 hingga Dis 1985 


Sekarang:
Kem Sungai Besi, K. Lumpur mulai Jan 1986 hingga sekarang.



 2 RAMD  

 sentiasa tunjuk belang 



Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu DiRaja telah ditubuhkan dengan rasminya pada 1 Dis 1941 di Port Dickson dengan kekuatan seramai 453 orang di bawah pemerintahan Lt Kol F.W Young. Penubuhan batalion ini dilakukan apabila keadaan perhubungan di antara negara-negara di Eropah semakin bergolak di mana satu ketumbukan tentera dikerahkan di Tanah Melayu iaitu dari 12th Indian Infantry Brigade yang tiba pada bulan Ogos 1939.

Kedatangan mereka disambut baik, tetapi kerajaan British di Tanah Melayu mendesak pemimpin mereka untuk mengembangkan lagi Rejimen Askar Melayu Diraja, memandangkan tentera dari golongan anak watan mempunyai semangat juang yang tinggi bagi mempertahankan Tanah Melayu berbanding dengan tentera-tentera Commonwealth. Desakan yang dibuat tidak diendahkan sehinggalah tercetusnya peperangan di Eropah pada bulan Sep 1939, di mana pada waktu itu Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja baru berusia 4 tahun.

Setelah kekuatan Rejimen Askar Melayu Diraja bertambah, program latihan telah dirombak agar ianya bersesuaian dengan objektif penubuhannya. Anggota-anggotanya dihantar untuk menghadiri pelbagai kursus yang dirancang oleh Headquarters Malaya Command. Satu Carrier Platoon telah ditubuhkan pada awal bulan Ogos 1941 di bawah pemerintahan Kapt R.R.C Carter dan memulakan latihannya di bawah 2nd Royal Regiment.

Hasil dari pelaksanaan tugas memuaskan yang telah ditunjukkan oleh Rejimen Askar Melayu Diraja, maka satu kompeni baru telah ditubuhkan iaitu dikenali sebagai 'W' Kompeni di bawah pemerintahan Kapt W. Richardson. Kompeni ini telah dihantar ke Kampung Pergau, Kelantan pada Ogos 1941 seterusnya bergelar A Kompeni kepada Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja. Daripada pengkalan ini, wujudlah satu kem tentera di Sungai Pergau.

Penubuhan Batalion Sungai Pergau telah dijadikan satu tempat untuk mengintip kawasan sempadan Thailand bagi tujuan untuk mengelakkan penyusupan tentera Jepun masuk ke Tanah Melayu dari Negara Thailand. Pada waktu yang sama, di atas gesaan rakyat Tanah Melayu, Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu telah mengumumkan keputusan untuk membesarkan Rejimen Askar Melayu Diraja kepada dua Batalion.

Keputusan ini telah dicapai dimana nukleus dari Batalion Pertama ini telah ditukarkan ke Batalion Kedua. Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja ditubuhkan dibawah kuasa penubuhan daripada Pesuruh Jaya Tinggi British di Malaya iaitu Sir Gerald Templer. Genap seminggu sahaja batalion ini ditubuhkan, Tanah Melayu telah diserang oleh Tentera Jepun.


Lencana pengenalan yang menjadi identiti pasukan ini merupakan lambang harimau berjuang yang berlatarbelakangkan kain warna hijau yang diambil daripada salah satu warna yang terdapat di dalam salah satu diantara warna bendera Rejimen Askar Melayu DiRaja. Warna tersebut merupakan simbolik kepada Islam bersesuaian dengan keanggotaannya yang terdiri daripada penganut beragama Islam. Manakala gelaran dan cogankatanya ialah "Sentiasa Tunjuk Belang".

Pasukan ini juga pernah di tempatkan di beberapa penempatan:

Port Dickson/Singapura (1941–1947), 
Kem Sg Besi Kuala Lumpur (1948–1950), 
Kem Kuala Lipis, Pahang (1950–1952), 
Kem Taiping, Perak (1952–1960), 
Kem Pengkalan Chepa, Kelantan (1960–1962), 
Misi PBB- Congo (1962–1963), 
Kem Tawau, Sabah (1963–1964), 
Kem Desa Pahlawan, Kelantan (1964–1966), 
Kem Simanggang, Sarawak (1966 – 967), 
Port Dickson, Negeri Sembilan (1967–1968), 
Kem Tawau, Sabah (1968–1971), 
Kem Terendak, Melaka (1971–1972), 
Lundu, Sarawak (1972–1974), 
Kem Terendak, Melaka (1974–1976), 
Kem Lok Kawi, Sabah (1976–1979), 
Kem Mentakab, Pahang (1979–1988), 
Kem paket, Sri Aman, Sarawak (1988–1991)
Kem Sungai Ara, Pulau Pinang (semenjak dari tahun 1991 hingga sekarang)




 3 RAMD  

 teguh berani 



Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu DiRaja telah ditubuhkan pada 1 Jul 1948 di Port Dickson, Negeri Sembilan. Batalion ini merupakan batalion pertama yang ditubuhkan selepas Perang Dunia Pertama dan semasa tercetusnya darurat pada tahun 1948 – 1960. Asas keanggotaan batalion ini adalah daripada Batalion Pertama dan Batalion Kedua RAMD yang ditubuhkan terlebih dahulu. Pada awal penubuhannya, kebanyakan pegawai terdiri daripada rakyat British. Pegawai Memerintah pertama batalion ini adalah Leftenan Kolonel W.O. Walton. Pegawai-pegawai Melayu hanya terdiri daripada pegawai yang berpangkat Kapten dan Sabaltan.

Lambang pasukan adalah lambang Rejimen Askar Melayu Diraja dan menggunakan angka tiga huruf arab ( Ù£ ) membawa pengertian warga pasukan bersifat berani dan sentiasa berjuang demi menjaga maruah serta kewibawaan Kor Rejimen Askar Melayu Diraja. Cogankata pasukan pula adalah "Teguh Berani".

Penempatan Batalion

Penempatan pasukan bersama keluarga adalah:

Port Dickson, Negeri Sembilan mulai Jul 1948 hingga Mei 1949,
Kem Pengkalan Chepa, Kelantan mulai Mei 1949 hingga Mac 1955,
Kem Batu Gajah, Perak mulai Mac 1955 hingga Dis 1961,
Kem Kepala Batas, Kedah mulai Dis 1961 hingga Nov 1977,
Kem Kukusan, Tawau, Sabah mulai Nov 1963 hingga Jan 1964 (tanpa keluarga),
Kem Sibu, Sarawak mulai Mac 1965 hingga Okt 1965  (tanpa keluarga),
Kem Simanggang, Sarawak mulai Mei 1966 hingga Jun 1967  (tanpa keluarga)
Kem Karangan, Sabah mulai Jul 1970 hingga Dis 1970  (tanpa keluarga)
Kem Wardieburn, Kuala Lumpur mulai Nov 1977 hingga Nov 1980, 
Kem Miri, Sarawak  mulai Nov 80 hingga Nov 84.
Kem Desa Pahlawan, Kelantan mulai Nov 84 hingga Okt 95.

Sekarang:
Kem Lok Kawi, Sabah mulai Okt 95 hingga sekarang.



 4 RAMD  


 tetap unggul 


Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu DiRaja merupakan salah sebuah batalion infantri tertua di dalam Tentera Darat. Sejak ianya ditubuhkan, banyak peristiwa dan sejarah telah berlaku dan dapat dijadikan kenangan serta kemegahan pasukan. Pasukan ini telah ditubuhkan di Port Dickson pada 22 Nov 1949 (Penubuhan pasukan adalah melalui kuasa yang diluluskan; FED/M/3000/1/72). Anggota-anggota yang menjadi teras penubuhan adalah terdiri dari Pegawai Tanpa Tauliah (PTT) dan soldadu-soldadu yang terlatih dari Batalion Pertama, Kedua dan Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja serta rekrut-rekrut yang baru tamat menjalani latihan asas di Depoh Askar Melayu.

Sehingga kini, pasukan ini telah mempunyai seramai 33 orang Pegawai Memerintah dan Pegawai Memerintah yang pertama adalah Lt Col C.N.B Rose yang memerintah mulai tahun 1949 hingga 1952. Anak Melayu pertama yang menjadi Pegawai Memerintah adalah Lt Kol Abbas bin Abdul Manan yang memerintah dari tahun 1957 hingga 1958. Sarjan Mejar Rejimen yang pertama adalah WO 1 J.R Rose, yang berkhidmat di pasukan dari tahun 1949 hingga 1953, manakala anak Melayu yang pertama menjadi RSM adalah 545 PW 1 Ismail bin Chik MBE.

Kukri bersilang telah dipilih sebagai identiti utama pasukan. Ia adalah senjata yang biasanya digunakan oleh orang-orang Nepal yang berbangsa Gurkha dan merupakan senjata rasmi bagi bangsa Gurkha yang berkhidmat di Tanah Melayu sepanjang tempoh darurat. Gelaran GURKHA MALAYA telah diberikan ketika pasukan ini berada di Mentakab, Pahang pada tahun 1950, iaitu semasa di bawah pemerintahan Lt Kol C.N.B Rose selaku Pegawai Memerintah yang pertama.

Gelaran ini diberikan oleh Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya Tinggi British Ke Tanah Melayu kerana kehebatan anggota-anggota pasukan yang setanding dengan Tentera-Tentera Gurkha yang berkhidmat di Tanah Melayu pada tahun 1948 hingga 1960. Anggota-anggota pasukan ini telah mempamerkan mutu disiplin yang tinggi, bersifat garang, tahan lasak dan bersikap agresif.

Cogankata pasukan ialah "Tetap Unggul" atau FOREVER EXCELLENCE. Perkataan tersebut dipilih untuk memberi suatu inspirasi kepada warga Gurkha Malaya supaya terus berusaha mencapai kecemerlangan.

Penempatan pasukan

Semenjak penubuhan, pasukan telah melalui beberapa arus perubahan dan penempatan semula:

Port Dickson, Negeri Sembilan mulai 22 Nov 1949 hingga 1950,
Kem Mentakab, Pahang mulai Jan 1950 hingga Nov 1951,
Kem Port Dickson, Negeri Sembilan mulai Nov 1951 hingga Jan 1952 (tanpa keluarga),
Kem Mentakab, Pahang mulai Jan 1952 hingga Apr 1954,
Kem Tapah, Perak mulai Apr 1954 hingga Jan 1959,
Kem Kroh, Perak mulai Jan 1959 hingga Jan 1960 (tanpa keluarga),
Kem Mentakab, Pahang mulai Jan 1960 hingga Mac 1963,
Kem Majidee, Johor mulai Mac 1963 hingga Mac 1964,
Kuching, Sarawak mulai Mac 1964 hingga Okt 1964 (tanpa keluarga),
Kem Majidee, Johor mulai Okt 1964 hingga Ogos 1966,
Kem Kukusan, Tawau, Sabah mulai Ogos 1966 hingga Apr 1967 (tanpa keluarga),
Kem Majidee, Johor mulai Apr 1967 hingga Mac 1968,
Kem Bau, Sarawak mulai Mac 1968 hingga Mac 1969 (tanpa keluarga),
Kem Majidee, Johor mulai Mac 1969 hingga Mac 1970,
Kem Tawau, Sabah mulai Mac 1970 hingga Jul 1971 (tanpa keluarga),
Kem Majidee, Johor mulai Jul 1971 - Ogos 1971,
Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur mulai Ogos 1971 hingga Ogos 1974,
Kem Ipoh, Perak mulai Ogos 1974 hingga Dis 1978,
Kem Sandakan, Sabah mulai Dis 1978 hingga Dis 1981,
Kem Sungai Ara, Pulau Pinang mulai Dis 1981 hingga Jan 1991,
Kem Paket, Sri Aman, Sarawak mulai Jan 1991 hingga Nov 1994: dan

Sekarang:
Kem Tapah, Perak mulai Nov 1994 hingga sekarang.



 5 RAMD  

 beriman menentang 



Batalion ke 5 RAMD telah ditubuhkan pada 1 Apr 1951 di Port Dickson. Pada ketika itu Malaya sedang menghadapi zaman darurat yang pertama iaitu peperangan melawan pengganas komunis dari Parti Komunis Malaya. Pegawai Memerintah yang pertama ialah Lt Kol C.N.B Rose. Pegawai yang membantu mengasaskan batalion ini ialah Mej J. Clerk (Ketua Kompeni Markas), Kapt P.G Roxpell (Ajutan), Kapt T. Brandshan (Kuartermaster) dan PW 1 Griffith (Sarjan Mejar Rejimen).

Batalion ini telah mula mencatatkan sejarah yang pertama apabila mengadakan satu upacara perbarisan kehormatan di padang Singapura di mana Mej Jen A.G.Carol Scott, General Officer Commanding Singapore Base District telah mengambil tabik hormat pada Nov 1951. Tartan of KOSB masih dipakai adalah menandakan hubungan yang rapat antara unit First Battalion King’s Own Scottish Borderers dengan pasukan ini. Selain dari afiliasi yang sentiasa menjadi kebanggaan pasukan `bagpipes’ pasukan juga adalah merupakan yang pertama diwujudkan dalam Tentera Darat. Penggunaan bagpipes juga adalah berkait rapat dengan rejimen KOSB.

Lambang pasukan adalah Mahkota Harimau Berjuang, Keris Bersilang dan Pelapik Kain Tartan. Mahkota melambangkan status DiRaja, Harimau Berjuang melambangkan kegagahan dan keberanian manakala Pelapik Kain Tartan pula melambangkan pertalian yang rapat dengan ; Batalion Pertama King’s Own Scottish.

Cogankata pasukan adalah BERIMAN MENENTANG bermaksud percaya (kepercayaan kepada Allah S.W.T). Keimanan ini meliputi perkara yang berhubung dengan aqidah dan kepercayaan kepada rukun Islam dan rukun iman. Manakala MENENTANG pula bermaksud melawan, berhadapan atau merempuh. Sebagai seorang anggota tentera, konsep menentang lebih ditumpukan khas kepada penentangan terhadap pencerobohan negara terutamanya komunis dan anasir jahat yang cuba menghancurkan keamanan, kedaulatan dan kemakmuran negara. Manakala sebagai seorang Islam, konsep menentang pula lebih ditumpukan kepada penentangan terhadap godaan hawa nafsu dan menjauhi larangan Allah.

Penempatan Pasukan

Sepanjang penubuhan pasukan sehingga ke hari ini pasukan ini telah berpindah sebanyak 25 penempatan iaitu:

Port Dickson, Negeri Sembilan mulai Apr 1951 sehingga Sep 1951,
Raub, Pahang mulai Dis 1951 sehingga April 1952,
Butterworth, Pulau Pinang mulai Mei 1952 sehingga Jun 1953,
Alor Setar, Kedah, mulai Jul 1953 sehingga Apr 1955,
Muar, Johor mulai Mei 1955 sehingga Jan 1956,
Kluang, Johor mulai Feb 1956 sehingga Feb 1957,
Mentakab Pahang mulai Mac 1957 sehingga Mac 1959,
Kuala Lumpur mulai April 1959 sehingga Nov 1961,
Batu Gajah,Perak mulai Dis 1962 sehingga Ogos 1963,
Serian, Sarawak mulai Sep 1963 sehingga Feb 1964 (tanpa keluarga),
Batu Gajah, Perak mulai Mac 1964 sehingga Jan 1965,
Tawau, Sabah mulai Feb 1965 sehingga Ogos 1965 (tanpa keluarga),
Batu Gajah, Perak mulai Sep 1965 sehingga Okt 1965 (tanpa keluarga),
Ipoh, Perak mulai Nov 1965 sehingga Ogos 1966,
Sibu, Sarawak mulai Sep 1966 sehingga Julai 1967 (tanpa keluarga),
Ipoh, Perak mulai Ogos 1967 sehingga April 1968 (tanpa keluarga),
Serian, Sarawak mulai Mei 1968 sehingga Dis 1968 (tanpa keluarga),
Sg Besi, Selangor mulai Jan 1969 sehingga Ogos 1971,
Tawau, Sabah mulai Ogos 1971 sehingga Mei 1972  (tanpa keluarga),
Paroi, N. Sembilan mulai Mei 1972 sehingga Jan 1973  (tanpa keluarga),
Kuala Kubu, Selangor mulai Jan 1973 sehingga April 1975,
Miri, Sarawak mulai Mei 1975 sehingga Dis 1977,
Pengkalan Chepa, Kelantan mulai Jan 1978 sehingga Nov 1983,
Semenggo, Sarawak mulai Dis 1983 sehingga Nov 1987 dan


Sekarang:
Kem Batu 3 (Jalan Mersing), Kluang, Johor mulai Dis 1987 hingga sekarang.



 6 RAMD  

 berani mati 



Apabila tercetus keadaan darurat pada 17 Jun 1948 pasukan Askar Melayu hanya terdiri dari dua batalion sahaja. Jumlah pasukan infantri pada masa itu ialah 13 batalion (5 British, 6 Gurkha dan 2 Batalion Askar Melayu). Tentera Udara pula, mempunyai 100 buah kapal terbang dan pasukan polis mempunyai kekuatan anggota seramai 10,223 orang. Selepas itu 3 lagi pasukan Askar Melayu ditubuhkan, pasukan ke 3 pada 1 Julai 1948, pasukan ke 4 pada 1 April 1949 dan pasukan ke 5 pada 1 April 1951. Pada ketika itu juga pasukan Tentera Malaya telah diperbesarkan untuk persediaan bagi menghadapi kemerdekaan Malaya dan juga mengambil alih tanggungjawab keselamatan dalam negeri.

Penubuhan Batalion Ke Enam Rejimen Askar Melayu DiRaja (6 RAMD) adalah merupakan susulan kepada penubuhan batalion-batalion RAMD yang terdahulu iaitu 2 RAMD, 3 RAMD, 4 RAMD dan 5 RAMD. Ditubuhkan di Port Dickson pada peringkat awalnya pada 1 Mei 1952 dan pada 3 November 1952 batalion ini telah berpindah ke Kem Quetta, Kluang, Johor. Sejak itu tarikh 3 November 1952 telah dijadikan hari rasmi pasukan 6 RAMD. Batalion 6 RAMD adalah merupakan gabungan kompeni-kompeni dari keempat-keempat batalion RAMD di atas. Pada peringkat awal penubuhannya di Port Dickson, pegawai-pegawai 6 RAMD terdiri daripada pegawai-pegawai British (1st Devonshire and Dorset Regiment ) yang ditumpangkan atau dipinjamkan sementara. Keadaan ini berterusan sehinggalah awal tahun 1954. Walaubagaimanapun pada penghujung tahun 1954, suasana ini bertukar wajah di mana pada masa itu pegawai-pegawai berbangsa Melayu telah berjaya mendominasi kekuatan pegawai-pegawainya dengan 21 dari 26 pegawai-pegawai batalion ini terdiri daripada orang Melayu.

“BERANI MATI” merupakan cogan kata bagi pasukan dan ianya membawa maksud warga maroon yang mempunyai semangat yang cekal lagi kental dalam menghadapi apa jua cabaran sehingga sanggup berkorban walau apa sahaja tidak kira di mana, keadaan dan masa walaupun terpaksa mengorbankan nyawa sendiri. Pengorbanan bukanlah dengan keadaan dengan sia-sia tetapi demi mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanah tumpah darah yang tercinta. “BERANI MATI” sering dikaitkan dengan keberanian anggota-anggota atau individu ketika menentang musuh. Pemerintah British ketika itu menyebut ‘Branee Matee’. Penekanan cogan kata “BERANI MATI” mula diimplemantasikan di dalam acara rasmi dan tidak rasmi oleh Pegawai Memerintah ke enam belas iaitu Lt Kol Osman bin Mohd Isa ( 1 Jun 1982 hingga 31 Ogos 1984 ).

Lokasi Penempatan Pasukan

Batalion telah beberapa kali bertukar lokasi penempatan.    Lokasi-lokasi kem yang pernah di duduki oleh batalion ini semenjak dari penubuhannya sehingga sekarang adalah seperti di bawah:

Kem Port Dickson , Port Dickson (Mei 1952 – Nov 1952)
Kem Quetta, Kluang (Nov 1952 – Dis 1953)
Kem Batu 5, Mentakab (Jan 1953 – Mac 1957)
Kem Burma, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur (Mac 1957 – Apr 1959)
Kem Batu 3, Kluang (Apr 1959 – Nov 1974-
Misi PBB di Congo (UNIMOC) (Jul 1961 – Mac 1962)
Kem Kukusan, Tawau (Nov 1974 – Dis 1977)
Kem Town Barrack, Taiping (Jan 1978 – Dis 1993)
Kem Kukusan, Tawau (Jan 1994 – Dis 1996)
Kem Bukit Pinang, Kepala Batas (Jan 1997 – Mac 2010)

Sekarang:
Kem Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah  (Mac 2010 - sekarang




 7 RAMD  


 berani ikhlas 



Batalion Ketujuh Rejimen Askar Melayu Diraja (7 RAMD) telah ditubuhkan pada 01 Okt 1953 di Port Dickson Negeri Sembilan bagi membendung dan menghapuskan aktiviti PGK bersama-sama pasukan-pasukan Tentera British Komanwel dari Australia, New Zealand, Fiji, Negara Komanwel lain dan Afrika. Penubuhan tersebut adalah ekoran dari ancaman dan keganasan Parti Komunis Malaya (PKM) semasa Darurat Pertama pada tahun 1948 hingga 1960.

Kekuatan anggota Batalion ini adalah merupakan gabungan dari Rejimen Pertama, Kedua, Ketiga dan Kelima Askar Melayu Diraja yang dijadikan anggota Kompeni Repal pasukan ini. Lt Kol Gordon MC daripada pasukan Highlander Light Infantry merupakan Pegawai Memerintah pertama manakala WO I Frank Gil dari Cold Stream Guard merupakan SMR yang pertama.

Pada 14 Jan 1954, buat pertama kali pasukan telah diaturgerak menjalankan tugas gerakan di kawasan Raub, Pahang yang merupakan pasukan pertama yang diaturgerak di tempat pembunuhan Sir Henry Gurney. 7 RAMD telah pun dinaik taraf kepada Batalion Infantry Standard pada 31 Disember 1998 bawah pemerintahan Lt Kol Tahir bin Omar (411331) dalam perbarisan pasukan seramai 23 peg dan 437 LLP di Kem Kukusan, Tawau, Sabah.


Batalion ini menggunakan cogan kata BERANI- IKHLAS. BERANI melambangkan keberanian warga 7 RAMD dalam setiap tindakan demi memelihara kedaulatan dan keluhuran agama, bangsa dan negara. Manakala IKHLAS pula melambangkan tindak tanduk perlakuan warga 7 RAMD penuh keikhlasan luhur demi agama, bangsa dan negara. Cogan Kata ini diilhamkan oleh Pegawai Memerintah 7 RAMD yang pertama berbangsa Melayu iaitu Lt Kol Khalid bin Mohd Yasin, Pegawai Memerintah Keempat, pada tahun 1963.



 8 RAMD  

 pantang undur 



 Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu DiRaja telah ditubuhkan di Kementerian Pertahanan pada 23 Jul 1962. Objektif penubuhannya adalah untuk memperkasa kekuatan pertahanan dan mengekalkan keselamatan negara di era pasca-darurat pertama (1948-1960). Selepas ditubuhkan, 8 RAMD telah ditempatkan di Kem Bukit Temoh, Tapah, Perak. Pegawai Memerintah pertama ialah Lt Kol Othman bin Ibrahim yang memimpin pasukan mulai 1 Okt 1962 hingga 1 Okt 1964. Ajutan pertama adalah Kapten Hashim bin Hassan. Manakala Sarjan Mejar Rejimen pertama adalah 2919 PW I Mahat bin Rahman.

Pembentukan pasukan secara menyeluruh mengambil masa selama lebih kurang 6 tahun iaitu dari 11 Mac 1963 hingga 1 Jun 1968. Walaupun masa yang diambil agak panjang, tetapi hasilnya begitu membanggakan kerana pasukan ini terbentuk dari gabungan anak watan dari kalangan batalion Askar Melayu yang telahpun berjasa. Asas pembentukan 8 RAMD adalah rangkuman penggabungan kompeni-kompeni dari pasukan 2 RAMD, 4 RAMD dan 7 RAMD.

Sejak awal penubuhannya, 8 RAMD dibentuk sebagai batalion tempur biasa (batalion standard), di mana organisasinya mempunyai lima kompeni iaitu Kompeni Markas, Kompeni A, Kompeni B, Kompeni C dan Kompeni D. Organisasi ini tidak pernah berubah hinggalah Tentera Darat (TD) mengstrukturkan semula batalion-batalion Infantri pada tahun 1999.

Dengan pengstrukturan tersebut, 8 RAMD berada dalam kategori Batalion Infantri Standard (BIS). Organisasi BIS melibatkan beberapa perubahan melibatkan keanggotaan dan peralatan serta peranan yang boleh dilaksanakan oleh pasukan. Yang jelas pasukan ketika ini lebih efisien, mempunyai daya mobiliti tinggi dan daya tembak yang lebih memusnahkan.

8 RAMD menggunakan cogan kata PANTANG UNDUR. Ianya melambangkan kecekalan dan semangat juang yang tinggi di kalangan anggotanya. Ianya juga mencerminkan kesediaan dan kesanggupan setiap anggota pasukan untuk berkorban demi kepentingan agama, bangsa dan kedaulatan serta kesucian tanah air tercinta.

Penempatan

Batalion 8 RAMD telah ditempatkan di beberapa negeri iaitu Perak (2 kali), Sabah (3 kali), Singapura, Sarawak (4 kali), Kuala Lumpur, Melaka (2 kali) dan Pahang (2 kali). Sejak bulan November 1995, 8 RAMD berpangkalan di Kem Lipis, Kuala Lipis, Pahang. Namun sebelum itu, pernah ditempatkan di Kem Bentong pada tahun 1981 hingga tahun 1990. Ironinya, dua kali penugasan tersebut merangkumi lebih kurang 22 tahun atau lebih kurang separuh perkhidmatannya berada di Negeri Pahang sahaja.



  


 9 RAMD  

 sembilan tak kenal menyerah 


Sejarah pasukan ini bermula pada tahun 1965 di mana satu kumpulan pelopor Markas Pasukan telah ditubuhkan dan seterusnya berpindah ke Kem Majidee, Johor Bahru 01 Sep 1965. Pergerakan ini menandakan detik sejarah penubuhan Batalion ini dengan Lt Kol Mahmood bin Sulaiman dilantik sebagai Pegawai Memerintah yang pertama.

Pada 31 Dis 1965 Kompeni Markas dan Kompeni A ditubuhkan. Ini diikuti dengan Kompeni B pada 05 Mac 1966 dengan kedatangan 120 orang rekrut yang baru tersebut telah menubuhkan satu lagi kompeni tempur iaitu kompeni C. Penubuhan Kompeni D telah dilakukan apabila organisasi Batalion Infantri telah ditambahkan menjadi kepada empat kompeni.

Pada tahun 1970, Batalion ini telah diberi penghormatan untuk mewakili Tentera Darat Malaysia di dalam latihan ”Bersatu Padu” bersama Tentera dari Negara-negara Komanwel. Pada tahun 1974, Batalion telah sekali lagi dipilih untuk mengambil bahagian di dalam latihan di seberang laut iaitu “ Latin Forum “ di Australia. Kedua-dua penglibatan ini adalah merupakan yang pertama bagi sesebuah Batalion Infantri di dalam Tentera Darat Malaysia.

Di dalam gerakan menentang pengganas komunis, batalion ini telah berjaya membunuh seramai 38 anggota komunis dan menawan 16 yang lainnya. Kejayaan dan kecemerlangan ini telah dicatatkan di Sarawak di sepanjang tahun 1972 hingga 1974. Kejayaan ini merupakan satu pencapaian tertinggi yang pernah dicapai oleh sesuatu Batalion Infantri di dalam menentang pengganas komunis.

Berasaskan kepada kecemerlangan ini, Batalion Kesembilan RAMD telah diperkenankan oleh DYTM Seri Paduka Baginda untuk menerima panji-panjinya pada 22 Mac 1975. Batalion ini terkenal dengan moto “ Sembilan Tak Kenal Menyerah “ yang bermaksud pasukan ini pantang menyerah kalah apabila berhadapan dengan musuh yang dihadapinya dan akan berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir walaupun berada dalam keadaan yang getir.

Penganugerahan panji-panji oleh KDYMM kepada pasukan pada 22 Mac 1975.

SEMBILAN TAK KENAL MENYERAH adalah cogankata pasukan. Ianya membawa maksud bahawa warga pasukan ini Sentiasa bersedia, cekal dan sanggup menghadapi apa jua rintangan yang bakal mereka hadapi baik semasa latihan mahupun semasa keadaan sebenar.




 10 RAMD  

 rela berjuang 



Batalion Kesepuluh Rejimen Askar Melayu DiRaja (10 RAMD) telah ditubuhkan dengan rasminya pada 1 Jul 67, di Kem Sulva Line, Jalan Tambun, Ipoh, Perak. Di peringkat awal penubuhan, hanya Markas Batalion dan Markas Kompeni sahaja yang wujud di mana Kapt Rijaludin bin Mohd Salim telah dilantik sebagai Ketua Kompeni Markas, Kapt Mohd Ali bin Dollah sebagai Ajutan dan Lt Hashim bin Alwi sebagai Kuartermaster.

Anggota-anggotanya pula merupakan mereka yang diserapkan dari pasukan-pasukan RAMD yang lain. Kemudian Kompeni A telah ditubuhkan di mana ia telah diketuai oleh Kapt Mohd Sidek bin Jaafar dan disertai oleh anggota-anggota kompeni lepasan Pusat Latihan Rekrut (PLR), Port Dickson. Seterusnya, Mej Mohd Hashim bin Mohd Ali telah dilantik sebagai Penolong Pegawai Memerintah, diikuti dengan penubuhan Kompeni B.

Pada 18 Apr 68, pasukan telah menerima Lt Kol Mohkti bin Jabar sebagai Pegawai Memerintah yang pertama. Di peringkat akhir penubuhannya, Kompeni C dan Kompeni D telah ditubuhkan pada 6 Mei 68 di mana Lt Abu Zahrin bin Abu Bakar telah dilantik menjadi Ketua Kompeni D. Satu perbarisan sempena penubuhan 10 RAMD yang terdiri daripada 11 orang pegawai dan 275 orang LLP telah diadakan dan pengistiharan rasminya telah dibuat oleh Menteri Pertahanan.

Perbarisan tersebut telah dihadiri oleh Pegawai Kanan Tentera serta Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Negeri Perak. Kuasa penubuhan adalah FED (M) 3000/4/66 pada 6 Mei 68.

Seiring dengan penubuhan pasukan semasa ancaman komunis berlaku, pasukan telah memilih cogankata ‘RELA BERJUANG’. Rela membawa maksud rela ditugaskan kemana jua tanpa berbelah bahagi demi menegakkan maruah, agama, bangsa dan juga negara. Manakala Berjuang membawa pengertian sanggup berjuang dalam apa jua keadaan dengan tidak mengenal rasa takut.

Penempatan 10 RAMD:

Kem Sulva Lines, Ipoh, Perak mulai 1 Jul 1967 hingga 31 Dis 1968 (sementara);
Kem Sungai Udang Melaka dari 1 Jan 1969 - 1 Mei 1969 (sementara);
Kem Tasik Mas, bau, Sarawak dari 2 Mei 1969 - 20 Feb 1970 (tanpa keluarga);
Kem Terendak, Melaka dari 21 Feb 1970 - 28 Jan 1973;
Kem Simanggang, Sarawak dari 9 Jan 1973 - 30 Sep 1973 (tanpa keluarga);
Kem Terendak, Melaka dari 1 Okt 1973 - 17 Sep 1976;
Kem Semenggo, Kuching dari 18 Sep 1976 - 27 Dis 1979;
Kem Seberang Takir, Terengganu dari 28 Dis 1979 - 30 Okt 1989;
Kem Miri, Sarawak dari 1 Nov 1989 - 15 Dis 1994;
Kem Majidee, Johor Bahru dari16 Dis 1994 - 30 April 2014; dan

Sekarang:
Kem Bukit Banang mulai 1 Mei 2014 hingga sekarang.
10 RAMD merupakan unit infantri yang menghuni Kem Majidee yang terakhir sebelum kem tersebut ditutup dengan rasminya pada 22 Jun 2014. Kem Majidee telah menabur bakti kepada ribuan warga ATM sejak dibuka 74 tahun yang lalu. Bn 10 RAMD juga merupakan penghuni pertama Kem Bukit Banang yang baru dibuka



 11 RAMD  

 berjuang terus 



Pasukan ini telah ditubuhkan pada 14 Mei 1969 di Kem Majidee, Johor Bahru, Johor berikutan tercetusnya peristiwa hitam pertikaian kaum pada 13 Mei 1969. Ketika penubuhanya pasukan ini dipimpin oleh Lt Kol Ismail bin Ghows sebagai Pegawai Memerintah yang pertama. Keanggotaan pada masa itu terdiri dari anggota kerahan dan sukarela Negeri Johor.

Dua bulan selepas penubuhan, iaitu pada Julai 1969 pasukan telah diisytiharkan sebagai unit beroperasi penuh dan pada 12 Julai 1969 pasukan ini telah melaksanakan tugas buat kali pertamanya iaitu bertanggungjawab menjaga ketenteraman awam. Oleh kerana penubuhannya adalah semasa negara dalam keadaan yang gawat maka tiada perbarisan yang dilaksanakan pada masa tersebut.

Pasukan telah ditubuhkan sebagai Batalion Infantri Standard (BIS) pada 1 Okt 1998. Penubuhan BIS ini melibatkan perubahan pada pengstrukturan organisasi, peralatan dan persenjataan di pasukan.

Cogan Kata bagi pasukan 11 RAMD adalah “BERJUANG TERUS” yang memberi makna berjuang habis-habisan untuk mencapai kemenangan dan kejayaan tanpa menyerah kalah sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Penempatan Batalion

Sejak ditubuhkan, pasukan telah ditempatkan di beberapa buah kem di Semenanjung dan juga pernah berkhidmat di Sarawak sebelum ini. Penempatan pertama pasukan ialah:

Kem Majidee, Johor Bahru (18 Ogos 69-17 Ogos 69).
Kem Quetta I, Kluang (14 Mei 69-16 Apr 70),
Operasi FIASCO di Sarawak (Jan 71- Dis 71),
Kem Quetta II, Kluang (17 Apr 72-27 Sep 80),
Kem Sungai Besi (28 Sep 80-28 Sep 85),
Kem Kuala Lipis, Pahang (29 Sep 85-16 Nov 95); dan


Sekarang:
Kem Semenggo, Sarawak (17 Nov 95- sekarang).



 12 RAMD  

 tangkas gempur 



Batalion ke 12 RAMD Mekanis telah ditubuhkan pada 14 Mei 1969 di Kem Remillies, Ipoh, Perak dengan kekuatan asalnya seramai 12 Pegawai Tetap, 12 Pegawai Kerahan, seorang Kompeni Sarjan Mejar dan 610 anggota kerahan. Kuasa penubuhan pasukan ini ialah FED/(M)/300/6/72. Penubuhan pasukan ini adalah berlanjutan dari berlakunya Tragedi 13 Mei 1969 yang telah mencatatkan sejarah hitam negara.

Penubuhan pasukan ini juga adalah atas perkenan KDYMM Sutan Abu Bakar Riayatuddin Al Muadzam Shah iaitu Sultan Pahang selaku Yang DiPertua Rejimen Askar Melayu DiRaja pada ketika itu yang telah mengisytiharkan penubuhan 12 RAMD menggantikan 13 Batalion Infantri Askar Wataniah pada bulan Jun 1969. Dengan pengisytiharan tersebut, 12 RAMD secara langsung telah bertaraf operasional. Anggota-anggota pula telah diserapkan sebagai anggota tetap di dalam Angkatan Tentera Malaysia dan bukan lagi sebagai anggota kerahan.

Pegawai Memerintah yang pertama ialah Leftenan Kolonel Raja Aman Shah bin Raja Shahar Shah bermula pada 15 Mei 1969 sehingga 18 Oktober 1970 dan RSM yang pertama ialah 5225 PW I Ahmad bin Lebai Kari bermula dari 01 Jun 1969 hingga 15 September 1971. Selaras dengan permodenan dan peningkatan keupayaan pasukan-pasukan infantri, 12 RAMD telah dipilih sebagai salah sebuah Batalion Infantri Mekanize.

Pemilihan ini merupakan satu penghormatan dan pengiktirafan kepada keupayaan pasukan. Sehubungan dengan itu, beberapa peralatan dan persenjataan sebagai sebuah pasukan Mekanize telah dimasukkan ke dalam inventori pasukan. Sebagai permulaan transformasi sebagai sebuah Batalion Infantri Mekanise, 2 buah kenderaan berperisai iaitu Malaysian Infantry Fighthing Vehicle (MIFV K200)yang dinamakan LIPAN BARA telah diterima pada 24 Disember 1997.

Penerimaan secara rasmi telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Panglima 4 Bgd Mekanize ketika itu iaitu Brigedier Jeneral Dato’ Tengku Ariffin bin Tengku Muhamed pada 02 Januari 1998 di Komplek Kenderaan Jenis ‘B’ pasukan. Bermula dari tarikh tersebut, peranan dan tugas 12 RAMD telah berubah dari sebuah Batalion Infantri Standard kepada sebuah Batalion Infantri Mekanize.

Proses penyesuaian peranan telah disusun dari masa ke masa di mana pasukan pada ketika itu giat menjalani proses melatih anggota dan mengemaskini keperluan infrastruktur sebagai persediaan untuk menerima lebih banyak kenderaan MIFV K 200 dan seterusnya berupaya untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai sebuah Batalion Mekanize.

Sekali lagi, dalam transformasi Tentera Darat, inventori Kenderaan A pasukan telah dimantapkan lagi dengan perolehan Kenderaan Penggempur Adnan 300 (KP Adnan) menggantikan MIFV K200 pada tahun 2003. Buat permulaan pasukan telah menerima sebanyak 38 buah KP Adnan iaitu sebanyak 3 AVR, 7 IFV 40mm dan 28 buah IFV 12.7mm. Hingga kini, Kenderaan A pasukan telah dilengkapi dengan jumlah yang maksimum bagi sebuah Batalion Infantri Mekanis.

Cogan kata pasukan pada awal penubuhannya ialah “BERSATU TEGUH PANTANG UNDUR” yang telah diilhamkan oleh Pegawai Memerintah yang pertama. Memandangkan perkataan “UNDUR” mempunyai pengertian yang boleh menimbulkan salah faham maka ia ditukarkan kepada “MENYERAH” menjadikannya “BERSATU TEGUH PANTANG MENYERAH “. Perubahan cogankata ini telah diilhamkan oleh Leftenan Kolonel Mohd Abu bin Hj Ali (Pegawai Memerintah ke 8) semasa beliau memerintah batalion ini pada tahun 1981.

Pada awal tahun 1998, semasa pemerintahan Leftenan Kolonel Mohd Nasir bin Abdul Rahman (Pegawai Memerintah ke 17), beliau telah mengubah cogan kata lama dan ditukarkan kepada “TANGKAS GEMPUR”. Perubahan ini dibuat sesuai dengan keadaan masakini yang turut merubah peranan dan fungsi pasukan daripada sebuah batalion Infantri Standard kepada sebuah Batalion Infantri Mekanis. Ianya juga selaras dengan cogan kata 4 Bgd Mekanise iaitu“ TANGKAS PERKASA” dan Ikrar 3 Divisyen iaitu “PENGGEMPUR WAJA”.

Cogankata “TANGKAS GEMPUR” ini turut sama digunakan sebagai laungan Perang atau “Battle Cry” untuk pasukan ini. Maksud TANGKAS dalam cogankata ini ialah bererti cekap, cergas dan pantas pada setiap perkara yang dilakukan untuk menjadikan sebuah pasukan yang sentiasa bersedia untuk digerakan ke medan perang. Manakala GEMPUR pula bererti dapat membinasakan, menghancur dan memusnahkan sikap diri individu yang negatif dan melawan hawa nafsu agar dapat melahirkan perajurit terbilang dan pasukan yang unggul lagi digeruni demi mencapai kemenangan dalam mana-mana pertempuran atau peperangan.

Penempatan

Penempatan pertama pasukan ialah:

Kem Remilies Ipoh, Perak mulai 14 Mei 1969 hingga 21 Mei 1969.
Kem Batu Gajah, Perak mulai 22 Mei 1969 hingga 20 Mac 1970,
Kem Batu Uban, Pulau Pinang mulai 21 Mac 1971 hingga 12 Feb 1972,
Kem Serian, Kuching, Sarawak mulai 13 Feb 1972 hingga 12 Dis 1972,
Kem Taiping, Perak mulai 13 Dis 1972 hingga 25 Apr 1973,
Kem Sungai Ara, Pulau Pinang mulai 25 Apr 1973 hingga 01 Mei 1976,
Kem Kanowit, Sibu, Sarawak mulai 02 Mei 1976 hingga 31 Mac 1977,
Kem Sungai Ara, Pulau Pinang mulai 01 Apr 1977 hingga 31 Dis 1981,
Kem Sandakan, Sabah mulai 01 Jan 1982 hingga 31 Dis 1982; dan

Sekarang: 
Kem Daralockwood, Kuantan, Pahang mulai 01 Jan 1983 hingga sekarang,



 13 RAMD  

 pantang undur 



Sesuai dengan keadaan semasa di mana negara telah terancam kerana tercetusnya pertikaian perkauman pada 13 Mei 1969. Angkatan Tentera telah memainkan peranan yang penting dalam membantu memulihkan semula keadaan ketenteraman di dalam negara. Maka Tentera Darat telah mengambil keputusan untuk menambah kekuatan tempur Tentera Darat khasnya Kor Infantri. Rentetan daripada keperluan ini maka Batalion Ketiga Belas Rejimen Askar Melayu DiRaja telah ditubuhkan sebagai Batalion Infantri Biasa pada 1 Januari 1970 di Kem Batu 5, Mentakab Pahang.

Permulaan keanggotaan Batalion Ketiga Belas Rejimen Askar Melayu hasil daripada Gabungan satu kompeni dari 1 RAMD, 3 RAMD, 5 RAMD dan 7 RAMD. Pegawai Memerintah yang pertama dipilih bagi memimpin pasukan ini ialah Lt Kol Mahmud bin Mohd Yusof dan dibantu Kapt Hamzah bin Ahmad sebagai Ajutan pertama pasukan dan 6075 PW I Samir bin Putir sebagai Sarjan Mejar Rejimen pertama.

Selaras pengstrukturan semula pasukan Infantri, pasukan ini telah disusun semula menjadi sebuah Batalion Infantri Standard pada 15 Mac 1998 di Kem Pakit Sri Aman Sarawak Kuasa Penubuhan BIS MKTD/G-INF/5901 bertarikh 23 Jan 1998. Tugas dan tanggungjawab bagi pengstrukturan semula Batalion ini telah dipertanggungjawabkan kepada Lt Kol Ramlay bin Idris dengan dibantu oleh Kapt Kamarul Azmi bin Halib (3006232) sebagai Ajutan dan 1022465 PW I Othman bin Ahmad. Selaras dengan penstrukturan semula ini maka pegawai dan anggota-anggota Kompeni Delta telah diserapkan ke Kompeni Bantuan.

Sejak penubuhannya, Batalion ini menggunakan warna Biru/Merah/Biru yang membawa maksud keharmonian yang wujud dari keakraban dan kesefahaman di antara semua peringkat anggota di dalam pasukan. Merah pula menunjukan keberanian dan semangat keperwiraan untuk mempertahankan nusa dan bangsa.

Semangat ini tidak akan luntur sehingga ketitisan darah yang terakhir. Manakala cagan kata bagi pasukan ini ialah ”PANTANG UNDUR” yang mana Pantang bermaksud sesuatu yang terlarang atau ditegah sama sekali dan Undur bermaksud menghindar, mengelak dan tidak melaksanakan tanggungjawab. Setiap warga pasukan adalah komited dan tidak akan mengelakan diri daripada tanggungjawab yang dipikul sejajar dengan spesifikasi tugas masing-masing.

Penempatan Pasukan

Sejak ditubuhkan Batalion ini telah ditempatkan di beberapa kem di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bermula dengan:

Kem Batu 5, Mentakab, Pahang (01 Jan 1978 – 13 Nov 1970),
Kem Paroi, Seremban, N, Sembilan (14 Nov 1970 – 07 Apr 1072),
Kem Kukusan, Tawau, Sabah (08 Apr 1972 – 08 Feb 1975)
Kem Batu 3, Kluang, Johor (09 Feb 1975 – 09 Dis 1987),
Kem Kayangan, Kanowit, Sarawak (Operasi Tanpa Keluarga) (16 Jan 1979 – 10 Feb 1980),
Kem Semenggo, Kuching, Sarawak (10 Dis 1987 – 04 Dis 1990),
Kem Bentong, Pahang, (05 Dis 1990 - 12 Dis 1997),

Sekarang:
Kem Pakit, Sri Aman, Sarawak (13 Dis 1997 – sekarang).


 14 RAMD  

 teguh berani 



Batalion Keempat Belas Rejimen Askar Melayu Diraja telah ditubuhkan secara rasminya pada 01 Jan 1970 bertempat di Kem Majidee, Johor Baharu. Penubuhan batalion ini adalah ekoran tercetusnya Peristiwa 13 Mei 1969 yang mana batalion ini diwujudkan untuk memantapkan lagi pertahanan negara.

Kumpulan perintis pertama diketuai oleh Pegawai Memerintah pertama, Lt Kol Tahir bin Hj Ismail bersama 7 pegawai dan 12146 PW I Abdul Rahman bin Muhamad sebagai SMR pasukan yang pertama. Pada permulaan penubuhan batalion ini, anggotanya terdiri daripada 4 RAMD yang dijadikan sebagai Kompeni A, Kompeni B pula terdiri daripada 2 RAMD, Kompeni C dari 10 RAMD, Kompeni D dari 6 RAMD dan Kompeni Markas dari pelbagai unit RAMD.

Memandangkan penubuhan batalion ini datangnya daripada pelbagai unit infantri maka beberapa latihan yang dikenali sebagai Latihan EX WIRA telah diadakan untuk menyelaraskan kefahaman dan penyatuan anggota-anggota kompeni untuk disatukan sebagai satu pasukan. Latihan EX WIRA 1 bermula pada 12 Jun 1970 hingga 16 Jun 1970, EX WIRA 2 bermula 19 Jun 1970 hingga 11 Jul 1970 dan EX WIRA 3 dari 21 Ogos 1970 hingga 25 Ogos 1970.

Pada 01 Sep 1970, pasukan telah diberi taraf operasi dan pada 03 Sept 1970, pasukan telah diaturgerakkan buat pertama kalinya ke Kroh, Perak selama 3 bulan. Pada 01 Jan 1981, Bn ini telah dijadikan Batalion Gaya Baru dengan kekuatan pada masa itu seramai 41 pegawai dan 1082 LLP. Organisasi ini mewujudkan tiga platun bagi setiap kompeni repal dan sebuah kompeni bantuan yang mengandungi 1 x Platun Mesin Gun Berat, 1 x Platun Penangkis Kereta Kebal, 1 x Platun Kereta Perisai Pembawa Anggota dan 1 x Platun Risik Gempur.

Terdapat 2 cogan kata pasukan ini iaitu “WARGA WIRA” merupakan cogankata yang pertama. Manakala “TEGUH BERANI” merupakan cogan kata yang terkini dan digunakan sehingga sekarang. Pertukaran cogan kata ini dibuat sempena penganugerahan panji-panji pasukan. Perkataan ‘Teguh’ memberi pengertian keutuhan azam dan semangat dalam melaksanakan setiap amanah dan tanggungjawab meskipun nyawa menjadi taruhan. Manakala perkataan ‘Berani’ memberi pengertian keberanian dalam pengorbanan semasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab demi mencapai misi batalion.


Semenjak penubuhannya, batalion ini telah ditempatkan di tujuh penempatan yang bermula di Kem Majidee, Johor pada 1 Jan 1970 hingga penempatan terkini di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan yang bermula dari 16 Jun 2005 hingga sekarang.


 15 RAMD  

 sentiasa berani 



Sejak negara Malaysia merdeka masih terdapat ancaman-ancaman oleh kumpulan-kumpulan yang menentang dan cuba memerintah negara terutama Parti Komunis Malaya (PKM) yang sering membuat ancaman yang boleh mengancam keselamatan dan kestabilan negara serta sejajar dengan rancangan pembesaran Tentera Darat yang sedang pesat ketika itu maka Jabatan Arah Infantri telah menubuhkan satu Cawangan Khas yang dinamakan “Ops PEMBINA 70”.

Pada asalnya penubuhan batalion ini didahului oleh dua orang anggota iaitu seorang berpangkat Staf Sarjan sebagai Ketua Kerani dan seorang Sarjan sebagai Kerani Pejabat. Rangka Batalion diterajui dan dimulakan oleh seorang pegawai sebagai Ajutan iaitu Leftenan Mohd Yusof @ Ahmad Radzi bin Dahaman (12435) di bawah kuasa KP/TD/ATUR/4668 bertarikh 1 Ogos 70. Mulai 15 Ogos 1970 anggota batalion ini dikumpulkan sedikit demi sedikit untuk dijadikan batalion infantri yang lengkap.

Pada 1 Nov 70, anggota-anggota Staf “Ops PEMBINA 70” 15 RAMD mula berpindah ke kem pertama iaitu Kem Rasah, Seremban mengambil alih dari pasukan PENINJAU. Kem Rasah pada masa itu diduduki oleh Pasukan Pertahanan Tempatan Negeri Sembilan (NS LDC) Seremban. Proses pengambil alih kem tersebut daripada PENINJAU selesai dengan rasminya pada 7 Nov 70.

Pada 16 Nov 70, seramai 48 rekrut “Ops PEMBINA 70” 15 RAMD telah melapor diri dengan penambahan tersebut maka keselamatan Kem Rasah telah diserahkan sepenuhnya oleh Pasukan Pertahanan Tempatan Negeri Sembilan (NS LDC) Seremban kepada 15 RAMD pada 24 Nov 70. Beberapa kumpulan rekrut yang ditumpangkan ke unit-unit lain membuat latihan penyesuaian juga telah melapor diri berperingkat-peringkat.

Pegawai yang bertanggungjawab di atas proses penubuhan dan pembentukan awal ke arah sebuah Batalion Infantri yang lengkap dan berkemampuan ialah Leftenan Kolonel Othman bin Harun (12107) (Bekas Panglima Kor Tentera Darat) Pegawai Memerintah pertama yang memegang teraju pemerintahan mulai 1 Jan 71 dan 6566 Pegawai Waren 1 Mohd Radzi bin Along sebagai Sarjan Mejar Rejimen pertama. Perasmian penubuhan Batalion Kelima Belas Rejimen Askar Melayu Infantri biasa telah diadakan pada 15 Jan 71 di Kem Rasah, Negeri Sembilan dengan kekuatan 5 Pegawai dan 426 LLP.

Sejajar dengan peredaran dan pembangunan teknologi yang semakin maju dan canggih maka pengstrukturan Batalion Kelima Belas Rejimen Askar Melayu DiRaja telah disusun semula dan dinaik taraf sebagai sebuah Pasukan Batalion Infantri Standard (BIS).

Perasmian pengstrukturan sebagai sebuah Batalion Infantri Standard telah dirasmikan oleh Panglima Tentera Darat iaitu Jeneral Dato’ Seri Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin pada 26 Dis 98 di Kem Sri Miri yang diterajui oleh Leftenan Kolonel Mohd Dalib bin Basir (3000204) sebagai Pegawai Memerintah dan 1042434 Pegawai Waren 1 Mohd Nasaruddin bin Nor sebagai Sarjan Mejar Rejimen.

Warna yang menjadi lambang kemegahan pasukan adalah Merah melambangkan Keberanian, Putih melambangkan Kesucian, Bersih dan Adil dan Hitam melambangkan Ketabahan dan Kecekalan. Cogankata “SENTIASA BERANI” adalah cogankata yang menjadi kata-kata semangat bagi anggota pasukan.

Penempatan Batalion

Sepanjang tempoh perkhidmatannya yang genap 37 tahun pada 1 Ogos 07, 15 RAMD telah menduduki beberapa kem iaitu:

Kem Rasah Seremban mulai Nov 70 hingga Mei 72,
Kem Sandakan , Sabah mulai Mei 72 hingga Mei 73,
Kem Rasah Seremban mulai Mei 73 hingga Mei 75,
Kanowit, Sarawak mulai Mei 75 hingga Mei 76,
Kem Rasah, Seremban mulai Mei 76 hingga Okt 81,
Kanowit, Sarawak (Tanpa Keluarga) mulai Okt 81 hingga Dis 82,
Kem Majidee, Johor mulai Dis 82 hingga 15 Dis 94,
Kem Sri Miri, Sarawak mulai 16 Dis 94 hingga 08 Dis 99 dan

Kem Senawang, Seremban mulai Dis 99 hingga sekarang.



 16 RAMD  

 setia berbakti 


Batalion Keenam Belas Rejimen Askar Melayu Diraja telah dirangka penubuhannya di Bahagian Turus Tentera Darat, Kementerian Pertahanan pada 1 Ogos 1970. Penubuhan Batalion ini adalah serentak dengan perancangan pembesaran Angkatan Tentera dan pada masa itu, negara juga menghadapi ancaman yang kritikal dari Parti Komunis Malaya.

Pada awalnya batalion ini dirancang untuk ditubuhkan di Kem Sikamat, Seremban, tetapi oleh sebab beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, penubuhan batalion ini telah dipindahkan ke Kem Erskine, Kuala Kubu Baharu, Selangor.

Pada masa itu, Kem Erskine sedang diduduki oleh Batalion Kesebelas Askar Wataniah dan Batalion ini telah diarahkan untuk mengambilalih kem itu daripada Batalion Ke Sebelas Rejiman Askar Wataniah. Ekoran timbul masalah untuk mengumpulkan anggota dan peralatan serentak, penubuhan pasukan ini telah dilakukan secara berperingkat.

Nukleus batalion ini pada awalnya diletakkan terus di bawah kawalan Bahagian Turus Tentera Darat, Kementerian Pertahanan mulai dari 1 Ogos 1970. Staf nukleus batalion ini terdiri dari dua orang Pegawai Staf, seorang Ketua Kerani dan seorang Sarjan Kerani. Anggota tersebut ialah Lt Ibrahim bin M. Akib (Ajutan), Lt (KM) Mohd Tamin bin Hj Omar (Kuartermaster), Sjn Ahmad Husaini bin Md. Arob (Ketua Kerani) dan Sjn Mohd Ali bin Majid (Sjn Kerani).

Pada 8 Nov 1970, kumpulan pendahuluan pasukan ini telah bergerak dari Kementerian Pertahanan ke Kuala Kubu Bharu, untuk urusan mengambil alih Kem Erskine dari Batalion Kesebelas Rejimen Askar Wataniah. Kumpulan itu terdiri dari 3 Pegawai, 2 Pegawai Waren II, 2 Sarjan, 3 LKpl dan 1 Prebet. Kumpulan itu telah ditugaskan untuk mengambil alih kem, menerima peralatan pasukan yang dikeluarkan dan menerima anggota-anggota yang mula tiba dari lain-lain pasukan dan dari Pusat Latihan Rekrut.

Penubuhan Batalion ini telah menambahkan kekuatan Batalion Infantri bagi menghadapi ancaman musuh dari dalam dan luar negara. Batalion ini telah ditukarkan dari Batalion Infantri Biasa ke Batalion Infantri Standard pada 01 Mac 1999, di Kem Desa Pahlawan, Kelantan. Pertukaran batalion ini kepada Batalion Infantri Standard adalah sejajar dengan rancangan Angkatan Tentera Malaysia untuk pemodenan Tentera Darat Malaysia.

Struktur baru Batalion Infantri Sandard ini melibatkan pengurangan anggota dan peningkatan daya tempur ‘Combat Power’ khususnya dalam aspek kuasa tembakan, daya gerak (Mobiliti) dan komunikasi. Seiring dengan itu pengurangan anggota akan memberi lebih ruang kepada kenaikan pangkat terutamanya anggota Lain-lain Pangkat (LLP).

Tumpuan tahap pertama pelaksanaan Batalion Infantri Standard ini adalah kepada keanggotaan iaitu pengisian perjawatan penting dan latihan kepakaran. Pengstrukturan semula perjawatan dan batalion juga akan dilengkapi dengan pelbagai jenis kenderaan, persenjataan dan peralatan yang akan dilakukan secara berperingkat.

Cogankata pasukan ini ialah ’SETIA BERBAKTI’. Cogankata ini membawa makna kesetiaan pasukan kepada agama, negara dan pemerintah yang tidak berbelah bagi dan jasa bakti yang ditunjukkan oleh warga pasukan semenjak ditubuhkan.

Penempatan Pasukan

Penempatan pertama pasukan adalah di BTTD KEMENTAH ( 01 Ogos 1970 – 08 Nov 1970), Seterusnya pasukan telah di tempat di:

Kuala Kubu Bharu, Selangor (09 Nov 1970 – 28 Apr 1972),
Kanowit, Sarawak (29 Apr 1972 – 30 Apr 1975),
Pengkalan Chepa, Kelantan ( 01 Mei 1975 – 31 Dis 1977),
Kem Miri, Sarawak ( 01 Jan 1978 – 01 Nov 1980),
Kem Mahkota, Kluang Johor ( 02 Nov 1980 – 09 Okt 1990),
Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah ( 10 Okt 1990 – 29 Okt 1995),

Kem Desa Pahalwan, Kota Bharu, Kelantan ( 30 Okt 1995 – Sekarang).



  
 17 RAMD  

 pantang maut sebelum ajal 



Batalion ke Tujuh Belas Rejimen Askar Melayu DiRaja telah ditubuhkan di bawah Operasi PEMBENA di Kementerian Pertahanan (KEMENTAH), Kuala Lumpur pada 1 Ogos 1970. Pada awal penubuhan, pasukan ini ditadbir oleh seorang pegawai iaitu Kapten H.T. Sharif bin Abdul Gaffur, bersama-sama 10 anggota Lain- lain Pangkat.

Tiga bulan selepas penubuhannya, iaitu pada 9 Nov 1970, dengan kekuatan seramai 3 pegawai dan 57 LLP, pasukan ini telah dipindahkan ke Kem Majidee, Johor Bahru dan kem tersebut menjadi pengkalan pertama. 17 RAMD menerima Pegawai Memerintah pertama iaitu Leftenan Kolonel Adam bin Abu Bakar pada 23 Nov 1970 manakala kumpulan pertama perajurit seramai 100 orang diterima pada 14 Dis 1970.

Batalion ini telah dianugerahkan Panji- Panji Rejimen pada 13 Ogos 1992 oleh KDYMM Sultan Kedah. Upacara ini disempurnakan dengan penuh istiadat dan kegemilangan. Pegawai Panji- Panji Rejimen yang telah diberi penghormatan ialah Lt Syed Nasir Al Sagof dan bagi menghargai pengurniaan dan tradisi pasukan, Panji-Panji akan diarak keluar pada setiap Hari Ulang Tahun (HUT) pasukan bagi tujuan dipertontonkan kepada semua warga pasukan sempena Hari Penganugerahan Panji- Panji.

Pada 1 Jan 1992, pasukan ini telah menempa sejarah apabila telah dipilih untuk diubahsuaikan menjadi Batalion Infantri Para dan ia telah dirasmikan oleh Panglima 11 Div Strategik iaitu Mej Jen Dato’ Abd Ghani bin Abdullah. Serentak dengan itu, pasukan ini dikenali sebagai Batalion ke 17 RAMD Para dan berada di bawah naungan 10 Bgd Para. Pasukan ini juga telah diiktiraf ke tahap operasi sepenuhnya pada 1 Jan 1994.

Cogankata bagi pasukan ini ialah “Pantang Maut Sebelum Ajal” yang membawa makna, setiap anggota menanam semangat juang dan keberanian yang tinggi. Mereka akan berjuang habis-habisan sehingga ke titisan darah yang terakhir dan percaya bahawa ajal maut adalah ditentukan oleh Allah.

Penempatan Pasukan

Pada  awal penubuhan, pasukan ini ditubuhkan di Kementerian Pertahanan (KEMENTAH)  Kuala Lumpur pada 1 Ogos 1970. Tiga bulan selepas penubuhannya pasukan ini dipindahkan ke kem tetapnya:

Kem Majidee, Johor Bahru  9  November 1970 hingga Nov 1982;
Kem Kukusan, Tawau, Sabah pada Nov 1982 hingga 1986;

Kem Terendak, Melaka sehingga kini.




 18 RAMD  

 tangkas berjuang 



Batalion Kelapan Belas Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD) telah ditubuhkan dengan rasminya pada 1 Mei 1976, di bawah Rancangan Malaysia Ketiga di Kem Segenting, Port Dickson, Negeri Sembilan dengan Kuasa Penubuhan FED (M)/3000/6/72. Pasukan mengambil alih Kem 5 Renjer Malaysia yang berpindah ke Kem Terendak, Melaka. Pada peringkat awalnya penubuhan, pasukan telah ditempatkan di Kementerian Pertahanan.

Pada asasnya terdiri dari 3 pegawai dan 2 LLP dipimpin oleh Mejar Md Hashim bin Hussin (bersara Panglima Tentera Darat) mulai bulan Mac 1976. Sebagai Batalion percubaan, sebahagian besar kekuatan anggota pasukan ini diambil dari anggota rekrut lepasan Pusat Latihan Rekrut, Port Dickson sementara yang lainnya adalah anggota platun khas yang diambil dari unit-unit lain. Pasukan-pasukan yang terlibat dalam pengambilan ini ialah dari unit RAMD, Rejimen Gerak Khas (RGK), dan Pusat Latihan Tempur Tentera Tentera Darat (PULADA).

Pasukan ini telah diletakan di bawah tanggungjawab Penolong Pegawai Memerintah Mejar Md Hashim bin Hussin sehingga 4 Jun 1976. Leftenan Kolonel Abdul Rahman bin Lasim tiba di Kem Segenting untuk memegang teraju pemerintahan sebagai Pegawai Memerintah yang ulung. Beliau adalah dari pasukan 15 RAMD dan ditukarkan ke 18 RAMD mulai 1 Jun 1976. Pada 14 Ogos 1976, seramai 534 anggota rekrut baru tamat dari Pusat Latihan Rekrut telah melapor ke pasukan ini.

Selaras dengan pengstrukturan semula Tentera Darat, maka pasukan ini telah di susun semula menjadi sebuah Batalion Infantri Standard pada 10 April 1999 di Kem Sri Pantai, Kuala Terengganu. Tugas dan tanggungjawab bagi pengstrukturan semula batalion ini telah di pertanggungjawabkan kepada Lt Kol Mohamad Khir bin Abdullah (3002179) dengan dibantu oleh Kapt Abd Rashid bin Abd Razak (3005020) sebagai Ajutan, 1057514 PW I Sulam bin Kanan sebagai Sarjan Mejar Rejimen dengan kekuatan 19 Peg dan 472 LLP.

Tangkas Berjuang adalah cogankata pasukan yang bermaksud melambangkan haluan dan cita yang satu, ketangkasan dan keberkesanan perjuangan demi kejayaan.

Penempatan Pasukan

Penempatan pasukan 18 RAMD sejak ditubuhkan ialah:

Kem Segenting, Port Dickson, Negeri Sembilan (1976 hingga 1979).
Kem Kayangan, Kanowit, Sarawak (1980 hingga 1981),
Kem Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan (1981 hingga 1984),
Kem Senawang, Seremban, Negeri Sembilan (1984 hingga 1987),
Kem Sri Miri, Sarawak (1987 hingga 1990) dan

Kem Sri Pantai, Kuala Terengganu, Terengganu (1990 hingga sekarang).



 19 RAMD  

 tegak teguh gagah perkasa 



Sesuai dengan keadaan semasa di mana negara diancam kegiatan-kegiatan subversif Parti Komunis Malaya, Tentera Darat Malaysia telah mengambil keputusan untuk menambahkan kekuatan tempur khasnya Kor Infantri. Rentetan daripada keperluan ini, maka Batalion Kesembilan Belas Rejimen Askar Melayu DiRaja telah ditubuhkan sebagai sebuah Batalion Infantri Biasa pada 1 Jan 1977 di Kem Imphal, Kuala Lumpur.

Perasmian penubuhan pasukan telah diadakan dalam satu perbarisan ulung yang merangkumi semua warga pasukan di Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah. Perbarisan ini telah dirasmikan oleh Mej Jen Dato’ Abdul Jamil bin Ahmad (Panglima Wilayah Satu Darat) pada 20 Okt 1977. Pegawai Memerintah pertama yang dipilih bagi memimpin pasukan ini adalah Lt Kol Musa bin Dato’ Ghazali dengan dibantu oleh Kapt Roslly bin Yusoff (411353) sebagai Ajutan pertama pasukan dan 10525 PW I Sulaiman bin Ahmad sebagai Sarjan Mejar Rejimen (SMR) yang pertama.

Selaras dengan penstrukturan semula Tentera Darat maka pasukan ini disusun semula menjadi sebuah Batalion Infantri Mekanize pada 1 Jan 1987 di Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah. Tugas memimpin untuk penstrukturan semula batalion ini kepada batalion mekanize diberi kepada Lt Kol Hashim bin Yahya (410436). Pegawai dan anggota dari Skuadron APC Infantri telah diserap masuk ke pasukan sebagai nukleus kepada anggota krew kenderaan. Kenderaan perisai pertama yang dilengkapkan kepada pasukan ini adalah dari jenis V150 Commando buatan Amerika Syarikat dan kemudian ditukar kepada kenderaan jenis RPZ Condor pada tahun 1989.

Pada tahun 2003 Tentera Darat telah menstrukturkan semula batalion ini dengan memutuskan bahawa batalion ini akan menggunakan kenderaan berantai iaitu MIFV K 200 A1. Namun begitu pada awal tahun 2005 Tentera Darat telah memutuskan semula supaya 4 Briged Mekanis dilengkapi dengan sebuah Batalion Infantri Mekanize menggunakan Kenderaan Jenis ’A’ Beroda dan 2 buah Batalion Infantri Mekanize Berantai.

Berdasarkan ketetapan tersebut kenderaan perisai yang terdapat dalam pegangan semasa telah dibuat pengagihan semula. Pasukan 19 RAMD Mekanis telah diarahkan untuk menggunakan kembali kenderaan perisai jenis RPZ Condor.

Lencana pengenalan yang menjadi identiti pasukan ialah merupakan lencana berbentuk kenderaan jenis RPZ Condor, di belakangnya terdapat raifal bersilang dan tertera perkataan ‘MEKANIZE’ pada bahagian bawahnya. Pemakaian lencana ini adalah bagi menimbulkan rasa kebanggaan yang identiti tersendiri bagi warga penggempur 19 RAMD Mekanize sebagai pelopor Batalion Infantri Mekanize di dalam Tentera Darat Malaysia.

Selain itu, ia juga merupakan simbol kejayaan pasukan ini semasa berkhidmat di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Somalia.

Cogan kata pasukan ini adalah ‘TEGAK TEGUH GAGAH PERKASA’ di mana TEGAK TEGUH bermaksud semangat yang sentiasa utuh seiring dengan kekuatan jasmani dan rohani yang kukuh yang membolehkan setiap warga mampu berjuang dalam apa jua keadaan. Manakala GAGAH PERKASA bermaksud sifat-sifat tangkas yang wujud di dalam setiap jiwa warga pasukan akan membentuk satu angkatan yang mempunyai sifat keperkasaan yang terbilang.

Penempatan Pasukan


Semenjak dari penubuhan sehinggalah ke hari ini, penempatan pasukan ini telah dikekalkan di Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah Darul Aman. Walau bagaimanapun pada tahun 2004 terdapat ura-ura pasukan akan dipindahkan ke Kem Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan namun begitu rancangan tersebut tidak direalisasikan di atas sebab-sebab teknikal.



 20 RAMD  

 berjuang perkasa 



Penubuhan Batalion Kedua Puluh Rejimen Askar Melayu DiRaja (20 RAMD) adalah selaras dengan pembesaran Tentera Darat (TD) dalam Rancangan Malaysia Ketiga (RMK3) yang bermula pada tahun 1976. Pada 1 Januari 1977, kumpulan yang diketuai oleh Lt Kol Zainal Abidin bin Mohd Dan (12168) selaku Pegawai Memerintah yang pertama ini telah ditempatkan di Wade Wing KEMENTAH untuk urusan penubuhan.

Kumpulan nukleus ini terdiri daripada anggota-anggota dari pasukan 1 RAMD, 5 RAMD, 15 RAMD dan 16 RAMD yang masing-masing menyumbangkan 20 anggota. Keanggotaan ditambah lagi dengan platun-platun Kompeni Markas dari 8 RAMD, 9 RAMD, 11 RAMD, 12 RAMD, 13 RAMD, 14 RAMD dan 17 RAMD. Jumlah keanggotaan yang dapat dikumpul semasa penubuhan adalah 25 pegawai dan 365 anggota.

Selama 9 bulan, latihan dan pengurusan pembentukan pasukan yang optimum telah dilaksanakan untuk membina kematangan dan kepakaran. Akhirnya terbentuklah sebuah pasukan yang bersedia untuk melaksanakan tanggungjawabnya. Pada 8 Mei 1978, perasmian penubuhan pasukan telah dilakukan oleh Lt Jen Dato Ghazali bin Mohd Seth.

Sesebuah pasukan perlu mempunyai identiti tersendiri. Dalam hal ini, pasukan telah memilih lencana dan lambang tersendiri sebagai pengenalan identiti serta tradisi yang akan sentiasa dipelihara. Lencana warna pasukan adalah hasil cetusan idea dari Pegawai Memerintah yang pertama, Lt Kol Zainal Abidin bin Mohd Dan. Penggunaan warna tersebut adalah berinspirasikan kepada warna bendera negeri kelahiran beliau, iaitu Perak Darul Ridzuan.

Cogan Kata ‘Berjuang Berjasa’ membawa maksud seperti berikut: Berjuang. Kesediaan dan kesanggupan setiap anggota batalion mencurahkan khidmat bakti dengan penuh semangat dan jiwa raga tanpa mengira cabaran yang dihadapi. Pengorbanan akan dilakukan sehingga ke titisan darah yang terakhir demi mempertahankan negara. Berjasa. Setiap khidmat yang dicurahkan menjadi ingatan dan kenangan abadi sepanjang hayat.

Lokasi Penempatan Batalion

Dalam tempoh 30 tahun sejak ditubuhkan, pasukan telah ditempatkan di kem-kem seperti berikut:

Kem Desa Pahlawan, Bukit Cina pada 5 November 1977 dan kekal selama lapan tahun di sana sehingga Disember 1984.
Kem Sri Miri, Sarawak (Jan 1985 - 9 Nov 1987)
Kem Senawang, Negeri Sembilan (9 November 1987 hingga Dis 1999).

Sekarang:
Kem Sri Miri (Dis 1999 sehingga sekarang)


 21 RAMD  

 setia berani 



Penubuhan Batalion ke 21, Rejimen Askar Melayu DiRaja ini mempunyai sejarah yang tersendiri. Hal ini dapat dilihat melalui percantuman atau pertukaran designasi antara pasukan Rejimen Askar Melayu iaitu Batalion Ke-21 RAMD asal dan Batalion Ke-28 RAMD. Pertukaran designasi ini telah membawa kewujudan Batalion Kedua Puluh Satu Rejimen Askar Melayu Diraja yang baru pada 1 Jan 1983.

Batalion Ke-21 RAMD telah berfungsi sebagai Batalion Bantuan PULADA sementara Batalion Ke-28 RAMD pula ditukarkan menjadi 21 RAMD manakala anggota diserapkan terus ke unit-unit 15 RAMD, 16 RAMD dan 23 RAMD. Pada masa yang sama perasmian penubuhan batalion ini telah diadakan di Kem Tebrau, Johor Bharu dengan kekuatan 4 pegawai dan 250 LLP.

Cogankata batalion ini ialah "SETIA BERANI". Maksud dan pengertiannya bagi SETIA ialah ketaatan tanpa berbelah bahagi kepada agama, bangsa dan negara. Setia dalam perspektif yang luas adalah kesetiaan dalam perjuangan menegakkan kedaulatan negara dari sebarang ancaman sejajar dengan peranan Askar Melayu sebagai tulang belakang pertahanan negara. Manakala BERANI pula membawa pengertian perjuangan yang tidak mengenal rasa takut dengan berlandaskan kepada kebenaran dan prinsip-prinsip At-Tauhid.

Penempatan Batalion

Sehingga hari ini, pasukan telah dipindahkan sebanyak tiga kali.

Kem Tebrau, Johor Bharu, Johor mulai 1 Januari 1983 hingga 14 November 1991.
Kem Sri Kinabatangan, Sandakan, Sabah mulai 15 November 1991 hingga 16 Oktober 1994.

Sekarang:
Kem Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan dari 16 Okt 1994 sehingga sekarang.



 22 RAMD  

 berjuang terus berjuang 



Batalion Kedua Puluh Dua Rejimen Askar Melayu Diraja ditubuhkan ekoran dari penghijrahan secara besar-besaran pendatang dari Vietnam akibat dari peperangan. Kemasukan pendatang Vietnam ini dikhuatiri berlaku penyusupan oleh pengganas komunis yang menyelinap masuk bersama-sama pendatang.

Batalion ini ditubuhkan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga berikutan arahan kerajaan untuk membuat penambahan serta merta anggota pasukan keselamatan khususnya Tentera Darat (PRISTA) sebagai usaha untuk membendung ancaman Pengganas Komunis. Batalion ini telah ditubuhkan pada 1 Jan 1979 melalui arahan penubuhan yang bernombor FED(M)/3000/6/72 yang dikeluarkan oleh Cawangan Rancangan Tentera Darat dengan nama rasminya “ Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja”.

Penubuhan ini telah dibuat dengan rasminya di Jabatan Infantri, Kementerian Pertahanan. Arahan penubuhan tersebut telah ditandatangani oleh Leftenan Kolonel Suleiman bin Kudus.

Pada 15 Feb 1979, Batalion ini telah ditempatkan di Kem Wade Wing, KEMENTAH, Kuala Lumpur sebagai perintis pembentukan dengan kekuatan dua orang pegawai sahaja. Pegawai yang berkenaan ialah Leftenan Kolonel Hashim bin Mohamad Amin dan Leftenan (KM) Yusof bin Ahmad. Pada 3 Mac 1979 kekuatan Batalion telah bertambah kepada 4 orang apabila menerima SMR pertama iaitu 14122 PW 1 Supian bin Hj Ibrahim dan Ketua Kerani pertama iaitu 14461 SSjn Mansor bin Haji Mahadi.

Pada 22 Mac 1979, Sel Latihan telah ditubuhkan dan telah menerima rekrut pertama seramai 34 orang pada 23 Sep 1979. Sejak itu, kekuatan batalion ini mula bertambah sehingga diisytiharkan mencapai taraf operasi pada 08 Mei 1980. Batalion mula melaksanakan operasinya yang pertama iaitu ‘Operasi Bamboo’ di kawasan Kubu Gob, Kedah pada akhir Mei 1980.

Pada 15 April 1999, Batalion ini dengan rasminya telah ditukarkan dari organisasi Batalion biasa kepada Batalion Infantri Standard (BIS). Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pegawai Memerintah ketika itu, Lt Kol Fadzil Bin Mokhtar atas kuasa penubuhan BIS/FED/30000/1/98 di Kem Rasah Seremban Negeri Sembilan. Ketika itu pasukan berkekuatan 20 pegawai dan 375 anggota lain-lain pangkat.

Manakala moto pasukan adalah ”BERJUANG TERUS BERJUANG” yang membawa maksud batalion ini akan terus berjuang untuk mempertahankan agama,bangsa dan tanah air.

Penempatan pasukan:

Di sepanjang perkhidmatan batalion ini selama 28 tahun menabur bakti kepada negara, batalion ini telah di tempatkan di lokasi-lokasi seperti:

Kem Wade Wing, Kuala Lumpur (01 Jan 1979 – 22 Mac 1979,
Kem Batu Tiga (22 Mac 1979 – Awal Feb 1980),
Lapang Sasar Batu Tiga, Kluang (Awal Feb 1980 – 13 Mac 1980),
MSS, Sungai Petani (13 Mac 1980 – 07 Dis 1982),
Kem Sri Kinabatangan, Sandakan (07 Dis 1982 – 12 Nov 1986),
Kem Rasah, Seremban (12 Nov 1986 – 30 Okt 2000) 

Sekarang:
Kem Sri Kinabatangan,Sandakan (30 Okt 2000) hingga sekarang.


 23 RAMD  

 hubbul watan minal iman 



Upacara Menurunkan Bendera 11 RAW dan Menaikkan Bendera Batalion Ke-23 RAMD Pada 1 Mac 1979 Bertempat di Stadium Angkatan Tentera, Kuala Lumpur.

Batalion Kedua Puluh Tiga Rejimen Askar Melayu Diraja pada asalnya adalah merupakan Batalion Kesebelas Rejimen Askar Wataniah yang ditubuhkan di Kem Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan pada Dis 1961. Pada tanggal 1 Mac 1979 bertempat di Stadium Angkatan Tentera, Batalion ini telah dibubarkan dan digantikan dengan Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja bersempena dengan Hari Tentera Darat yang ke 46. Kuasa penubuhan batalion ini adalah dibawah FED (M) 3000/6/72.

“HUBBUL WATAN MINAL IMAN” yang membawa maksud “Profesionalisma dan Pengorbanan Demi Cinta dan Kasih Sayang Untuk Agama, Nusa dan Bangsa adalah separuh daripada Iman” yang telah diilhamkan oleh Mejar Amir bin Baharuddin.

Sepanjang penubuhannya batalion ini telah ditempatkan di beberapa lokasi termasuk Malaysia Timur:

Kem Sikamat, Seremban pada 1 Mac 1979 hingga 31 Jan 1981.
Kem Kanowit, Sarawak,
Kem Rasah, Seremban
Kem Sandakan, Sabah

Sekarang:
Kem Gua Permai, Ipoh dari 1 Jan 1989 hingga sekarang



 24 RAMD  

 berbakti berkorban 



Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu DiRaja berasal dari Pasukan Tentera Tempatan Persekutuan yang ditubuhkan pada tahun 1959 di Negeri Pahang Darul Makmur. Pada tahun 1969 pasukan ini telah disusun semula dan ditubuhkan menjadi Batalion Ke-12 Rejimen Askar Wataniah (12 MTA) tanpa kerahan. Oleh sebab keperluan negara dan keadaan keselamatan yang kurang stabil, 12 MTA telah dikerah sepenuh masa pada tahun 1963 di Kem Rabit, Temerloh, Pahang.

Pegawai Memerintah yang pertama ialah Leftenan Kolonel Tengku Ahmad Shah Ibni Sultan Abu Bakar (Sultan Pahang sekarang) yang mana pada masa itu baginda adalah DYMM Tengku Mahkota Pahang. Pada tahun 1963, kerana ancaman pengganas komunis, batalion ini telah dikerahkan sepenuh masa.

Pada 1 Mac 1979, sesuai dengan rancangan istimewa dan perkembangan ATM, 12 MTA telah dijadikan sebagai Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja. Pada masa itu pasukan sedang menjalankan Operasi Kota Golf di Lebuhraya Timur Barat. Acara proklamasi ini telah diadakan di dalam satu perbarisan di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur. Perbarisan bersejarah ini telah diadakan di Stadium Angkatan Tentera Kuala Lumpur dengan Kuasa Penubuhan FED/(M)/3000/6/72.DE.

Kekuatan Pegawai dan LLP semasa penubuhan terdiri dari 30 Pegawai dan 348 anggota Lain-lain Pangkat (LLP). Pegawai Memerintah pertama adalah Leftenan Kolonel Wan Idris bin Wan Mustafa. Kem yang pertama diduduki oleh 24 RAMD di Kem Seri Pantai, Seberang Takir, Terengganu pada Mac 1979.

Berbakti Berkorban adalah cogankata pasukan yang menjadi perangsang bagi meniupkan semangat kepada semua anggota pasukan ini yang sedia berjuang berteraskan kepada kerelaan dan kesetiaan untuk menabur khidmat bakti dan kesediaan untuk berkorban demi menjamin keutuhan dan kestabilan negara, bangsa dan agama.

Penempatan Pasukan

Sejarah penempatan 24 RAMD ialah:

Kem Sri Pantai, Seberang Takir, Kuala Terengganu.(1 Mac 1979 hingga 26 Dis 1979).
Kem Semenggo Kuching Sarawak (26 Dis 1979 hingga 11 Nov 1983),
Kem Pengkalan Chepa Kota Bahru, Kelantan (11 Nov 1983 hingga 16 Nov 1994),
Kem Sri Kinabatangan, Sandakan Sabah (16 Nov 1994 hingga 15 Nov 2000); dan

Sekarang:
Kem Rasah, Seremban, Negeri Sembilan (15 Nov 2000 hingga Sekarang).




 25 RAMD  

 sentiasa sedia 



Sejarah penubuhan Batalion Kedua Puluh Lima Rejimen Askar Melayu Diraja bermula pada tahun 1960. Pada ketika itu, batalion dikenali sebagai Pasukan Pertahanan Tempatan (PPT) yang bertempat di Alor Setar, Kedah dan Bukit Keteri, Perlis. Pada tahun 1964, pasukan telah dikerah sepenuh masa sebagai Batalion Infantri iaitu pasukan tempur sehingga tahun 1967.

Setelah itu, batalion sekali lagi dikerah sepenuh masa buat kali kedua disebabkan tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969. Pada ketika itu, batalion dikenali sebagai 13 MTA iaitu askar simpanan dan di tempatkan di Kem Batu Uban, Pulau Pinang.

Pada 1 Mac 1979 pasukan ini secara rasminya diserap menjadi warga RAMD dan dikenali sebagai Batalion Kedua Puluh Lima Rejimen Askar Melayu Diraja. Acara perasmian penubuhan batalion telah dilakukan di Stadium KEMENTAH, Kuala Lumpur pada 1 Mac 1979. Tarikh tersebut diambil bersempena dengan Hari Ulangtahun Tentera Darat yang Ke-46.

Sentiasa Sedia adalah cogankata yang digunakan oleh warga Batalion Kedua Puluh Lima Rejimen Askar Melayu Diraja. Cogankata ini membawa erti yang mendalam mengambarkan betapa tingginya semangat juang yang ditunjukkan oleh pasukan. Kesediaan penting bagi menghadapi sebarang anasir musuh yang boleh mengganggu gugat negara tercinta. Biarpun ribut melanda, bumi bergegar sekuat manapun pasukan sentiasa sedia digerakan pada bila-bila masa apabila diperlukan. Hal ini menunjukkan betapa taat dan setianya anggota untuk menghadapi musuh, apatah lagi untuk berundur. Berpantang maut sebelum ajal.

Penempatan Pasukan

Semenjak penubuhan pasukan ini, pasukan telah dipindahkan sebanyak empat kali. Di awal penubuhannya, pasukan ini ditempatkan di:

Kem Ramilies, Ipoh (1 Mac 1979 hingga 14 Okt 1982);
Kem Tapah (15 Okt 1982 hingga 10 Nov 1994);
Kem Pakit, Sri Aman, Sarawak (11 Nov 1994 - 14 Dis 1997);

Sekarang:
Kem Bentong, Pahang (14 Dis 1997 sehingga sekarang).


 26 RAMD  

 sedia berjuang 



Batalion Ke - 26, Rejimen Askar Melayu DiRaja telah ditubuhkan di bawah Rancangan Malaysia Ke - 3 sejajar dengan perkembangan Tentera Darat melalui Kuasa Waran Perjawatan FED(M)/3000/6/72. Batalion telah ditubuhkan di Wade Wing KEMENTAH pada 25 Mac 80. Perlantikan Pegawai Memerintah Pertama iaitu Lt Kol Abdullah bin Abdul Ghani pada 6 Mei 80.

Sepertimana yang dirancangkan oleh Jabatan Arah Infantri anggota Kompeni batalion ini telah dipenuhi dengan anggota terlatih dari empat batalion yang sedia tertubuh. Batalion yang terlibat terdiri dari 7 RAMD, 9 RAMD, 15 RAMD, dan 19 RAMD. Walaubagaimanapun pengambilan anggota-anggota telah ditangguhkan oleh sebab penglibatan mereka dalam ‘LATIHAN GONZALES 4’ dalam bulan Jun dan Julai 1980.

Seterusnya pejabat batalion telah berpindah ke Kem Imphal, KEMENTAH pada 18 Jun 80 dengan penyerahan Wade Wing kepada pihak atasan. Di samping menunggu persiapan pembinaan Kem baru di Jalan Tambun,Ipoh, batalion ini telah mengambil kesempatan memijam beberapa buah bangunan di Kem Changkat Batu Gajah. Dengan jasa baik pihak 2 BIM dan 25 RAMD Kumpulan Nukleus Batalion telah dapat berpindah dari Kem Imphal,KEMENTAH ke Kem Changkat, Batu Gajah pada 7 Jul 80. Sel Latihan batalion telah ditubuhkan pada 14 Jul 80. Seterusnya kursus pertama iaitu Kursus Platun Sarjan telah dianjurkan mulai 28 Jun hingga 28 Sep 80.

Dengan selesai pembinaan serta proses ambil alih kem baru (yang dinamakan Kem Gua Permai) Kumpulan Nukleus dan Sel Latihan telah bergerak buat kali terakhir dari Batu Gajah ke Ipoh pada 25 Ogos 80.

Pada 27 dan 28 Ogos 80 anggota yang telah ditukarkan dari keempat-empat batalion telah dikumpulkan di Kem Gua Permai. Walaupun mereka terdiri dari anggota terlatih adalah difikirkan wajar agar mereka digabung dan diberi latihan semula untuk mencapai taraf kecekapan yang sama. Matlamat jangkamasa panjang itu akan mernghasilkan suatu batalion yang bersefahaman dan kohesif kelak.

Seterusnya latihan telah di jalankan dengan pesatnya di Ipoh mulai 2 Sep 80 hingga 31 Jan 81. Selain dari manganjurkan Latihan Lanjutan untuk soldadu terlatih, beberapa Kursus seperti Kursus Ketua Seksyen dan PTT Kadar (Pbt ke L/Kpl) telah dilaksanakan. Tidak ketinggalan juga kursus-kursus kepakaran seperti Kursus Mertak, Rintis Serang, Semboyan, Tambor dan Pemandu.

Latihan dan penubuhan terus dijalankan dan telah berkemuncak dengan Ujian Geladi Missi (Mission Test Exercise) MULAI 1 Feb 81 hingga 4 Feb 81 dan 16/17 Feb 81 di peringkat Seksyen dan Platun. Ujian tersebut dikawal oleh Markas Tektikal Btalion di medan.

Pada 1 Nov 94,  pasukan ini telah dibubarkan secara rasmi dalam satu upacara penuh istiadat ketenteraan. Upacara pembubaran itu disempurnakan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Nor Mat Arshad di Kem Majidee, Johor Bharu. Pegawai Memerintah pada masa itu Lt Kol Abdul Rani bin Mohd Yusof.

Penubuhan semula Tim Nukleus Batalion Ke -26, Rejimen Askar Melayu DiRaja pada 26 Mei 2014 dan telah disempurnakan oleh Brigedier  Jeneral Dato’ Hj Azlan bin Abd Rahman, Pengarah Infantri di Rej 515 (AW) melalui Kuasa Waran Perjawatan FED(M)/3000/1/14. Pegawai Memerintah pertama Penubuhan Tim Nukleus iaitu Lt Kol Zawawi bin Adam (3003689). Penempatan pertama selepas penubuhan semula pasukan di Kem Kukusan, Tawau, Sabah.

Sebagai sebuah batalion Askar Melayu yang termuda dalam Angkatan Tentera Malaysia, batalion ini telah menjadikan tema “SEDIA BERJUANG”sebagai cogan kata pasukan. "SEDIA BERJUANG', perkataan ini melambangkan sikap semangat keperwiraan melayu untuk mempertahankan Agama, Bangsa dan Negara. 26 RAMD juga merupakan batalion pertama yang mempunyai Pegawai Memerintah berpangkat Kolonel.

Penempatan Pasukan

Batalion telah menduduki 4 kem tetap semasa penubuhan seperti berikut:

Kem Gua Permai, Ipoh, Perak  (25 Mac 1980 - 25 Nov 1988);
Kem Sri Kinabatangan, Sandakan, Sabah (25 Nov 1988 - 26 Nov 1991);
Kem Tebrau, Tebrau, Johor  (26 Nov 1991 - 1 Nov 1994);
2 Nov 1994 - 25 Mei 2014 (batalion dibubarkan)

Sekarang:
Kem Kukusan, Tawau, Sabah  (26 Mei 2014  hingga sekarang)


Image result for 13 rejimen askar melayu diraja

Maklumat diperolehi dari
-www.wikipedia.org
www.ramd.mil.my
-blogspot pasukan