Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang
YANG AWAL DAN YANG AKHIR

Monday, September 9, 2013

AF052: LEMHANNAS



LEMHANNAS 

Pada malam 7hb Jun 2012 semasa menikmati jamuan Majlis Tahlil sempena HUT TUDM ke 54 di Masjid Jame' PUKL aku diberi maklumat oleh salah seorang rakan semeja bahawa nama aku sebagai calon simpanan untuk mengikuti kursus di LEMHANNAS, Indonesia.  LEMHANNAS adalah sebuah institusi ketenteraan/ strategik yang tertinggi di Indonesia.

Walaupun sejak lebih 30 tahun berkhidmat dalam TUDM aku tidak pernah sekalipun diberi peluang mengikuti KURSUS di luar negara (ulang sekali lagi, TIDAK PERNAH), berita tersebut (sebagai calon simpanan) tidak sedikit pun memberikan kegembiraan kepada aku. Bukan aku tidak menghargai berita pencalunan itu, TAPI aku tahu, nama aku hanyalah mangkuk plastik sebagai reserve kepada pinggan Noritake.  Oleh kerana Noritake dijaga dan dihandle dengan berhati-hati, jadi dalam keadaan biasa ia tak akan jatuh dan pecah. Mangkuk plastik hanya akan jadi mangkuk simpanan sahaja.  Aku sedar dan amat sedar nama aku hanyalah sebagai penghias dalam proses pemilihan.  Oleh kerana calun utama adalah 'fighter pilot' dan 'future General', maka calun simpanan mestilah calun yang tidak akan menjadi saingan dan benar-benar akan disimpan.

Sewajarnya calun simpanan, kalau tidak berjaya tahun ini akan menjadi calun tetap tahun berikutnya atau calun untuk kursus yang setaraf yang ditawarkan berikutnya.  Tapi, ini pun aku jangkakan tak mungkin berlaku kepada diri aku kerana semua kursus-kursus jenis ini telah ada calun yang tersusun dalam 'RMAF succession planning'.  Tambahan pula ini kursus tertinggi yang setaraf dengan RCDS (UK), DSSC (Australia), NDU (Pakistan), NDC (India), NDU (Beijing), NDU(USA) dan NDC (Thailand).  Dalam sejarah TUDM, hanya seorang pegawai Cawang Materiel yang pernah diberi peluang mengikuti kursus jenis ini.  Seingat aku hanya Brig Gen Abdul Rahman Rais (allahyarham) sahaja pegawai Materiel yang pernah diberi peluang berkursus di Air War College di USA di hujung tahun 1980an. 

Lagi pun dalam usiaku sudah mencapai 53 tahun, semangat untuk berkursus (lama pulak tu) sudah tidak wujud lagi.  Seperti yang aku tulis dalam tajuk blog sebelum ini, tempoh perkhidmatanku hanya tinggal 3 tahun lagi (aku telah merancang untuk bersara awal pada usia 56 tahun). 2013-2014-2015.  Tolak kursus peralihan (resettlement), tolak cuti sebelum bersara, mungkin tinggal dua tahun lebih sahaja. Jadi, tidak berekonomi untuk TUDM menghantar aku berkursus 'CAREER'.

Percayalah, aku juga bukan pegawai Materiel pertama yang terpilih.  Jadi, tak perlu sama sekali aku membuat persediaan fizikal dan mental.  Adalah lebih berfaedah kalau aku membuat persediaan untuk BERSARA. Aku pun tidak sedikit pun merasa terkilan atau kecil hati kerana tidak pernah terpilih mengikuti kursus ke luar negara.  Allah telah menetapkan itu semua dalam kamus hidupku.  Aku tetap bersyukur dengan apa jua anugerah yang telah aku nikmati dalam TUDM sejak 30 tahun yang lalu.


Aku mesti berterima kasih kepada TUDM. Walaupun tidak mempunyai SATU PUN kursus kerjaya dan TIDAK PERNAH diberi peluang berkursus ke luar negara, aku pernah mendapat peluang membuat diploma dan ijazah pertama semasa dalam TUDM.  Itu pun kedua-dua peluang tersebut perolehi dengan tukaran yang amat mahal dalam kerjayaku.

Semasa membuat diploma di ITM (1986-1989) aku kehilangan 'seniority' dalam pangkat Kapten selama 7 bulan, kerana mereka tidak mahu memberi pangkat Pemangku Kapten sebelum aku ke ITM walaupun aku layak (memegang jawatan Kapten, lulus ujian kenaikan pangkat dan mendapat sokongan kuat dalam laporan prestasi tahunan dan KHAS.

Sekali lagi, semasa aku memohon untuk mengikuti kursus Diploma Lanjutan (juga di ITM) kali pertama pada tahun 1992, permohonan aku tidak disokong di peringkat APTU Anggota (pada masa itu). Aku akur.  Pada tahun 1994 sekali lagi aku memohon kursus yang sama dan kali ini disenaraikan dalam Lembaga Udara.  Tetapi keputusannya nama aku juga digugurkan- tidak disokong.  Tetapi aku mengambil langkah berani pada masa itu, menulis surat terus kepada PTU (masa itu: Lt Gen Dato' Abdul Ghani) merayu supaya keputusan Lembaga dipertimbangkan semula.  Dengan kuasa Allah, Allah melorongkan hati PTU untuk meluluskan rayuanku.  Siapa yang tak kenal Dato' Abdul Ghani Aziz?  Siapa berani mempersoalkan keputusannya? 

Itulah sejarah KEPAYAHAN diriku dalam melalui 'lorong kerjaya'ku. Kursus tertinggi yang aku terima dalam kerjaya ialah 'staff course' di MTAT pada tahun 1999.  Melihat jalan hadapanku yang agak suram dan jauh berliku (selepas tamat MTAT), aku mengambil inisiatif mengambil 'MBA' secara persendirian (sambilan) di UKM pada tahun 2001 dan lulus pada tahun 2003. Perancangan peribadiku pada waktu itu ialah akan menamatkan perkhidmatan secara bersara awal pada tahun 2004 dan mencari jalan hidup di luar TUDM. Dalam pemikiranku, dengan ada pangkat Mejar dan memiliki MBA, serta masih berusia 44 tahun, harga 'diriku' dalam pasaran pekerjaan mungkin lebih mahal sedikit.

Tapi, Allah menentukan yang lain, permohonanku untuk bersara (Dis 2003) telah ditolak oleh AKS Materiel masa itu (Brig Jen Dato' Othman bin Majid TUDM).  Aku dipujuk supaya menangguhkan keputusanku untuk bersara.  Sebagai pampasannya, aku dinaikkan ke pangkat Lt Kol pada bulan Feb 2004. 

Apabila Kerajaan menambah umur bersara selama 2 tahun lagi pada tahun 2007 telah menjadikan usia bersara Lt Kol.  Namun aku mengesahkan tidak akan mengambil opsyen tersebut.  Maka umur persaraanku akan kekal kepada 53 tahun (2012). Sekali lagi peristiwa di luar dugaan berlaku kepada diriku. Aku dinaikkan ke pangkat Kol pada 2009, maka umur persaraanku menjadi 56 tahun iaitu pada tahun 2015.  Walaupun pada tahun 2011 usia persaraan dinaikkan untuk 2 tahun lagi (58)  tetapi aku kekal memilih usia bersara 56 tahun.

Pada tahun 2010, nama aku telah dicalonkan untuk mengikuti kursus di MPAT untuk tahun 2011.  Namun di saat akhir (setelah menjalani ujian Bahasa), aku dimaklumkan bahawa aku tidak perlu pergi- TETAPI hingga ke hari ini aku tidak pernah membaca surat yang menyatakan pencalonan nama aku digugurkan.

Jadi, kali ini, bila mendengar khabar bahawa nama aku dicalonkan untuk ke LEMHANNAS (bertaraf lebih tinggi dari MPAT), maka ketiak aku merasa gatal.  Sehingga kini aku menganggap ia adalah satu gimik sahaja dalam riwayat hidupku dalam TUDM.

Oh ye, apa itu LEMHANNAS?.  Walaupun tak mungkin dapat pergi, elok juga tau serba sedikit tentang institusi ini.  Setidak-tidaknya, aku menempa sejarah sebagai pegawai Materiel pertama dicalunkan sebagai calun simpanan untuk ke LEMHANNAS ini.  

Aku buat sedikit research dalam internet (wikipedia).




 

LEMHANNAS adalah singkatan kepada Lembaga Ketahanan Nasional.  Ia adalah sebuah Lembaga (Authority) Pemerintah Bukan Kementerian Indonesia yang berfungsi melaksanakan tugas pemerintahan di bidang pendidikan pimpinan peringkat nasional, pengkajian strategik ketahanan nasional dan pemantapan nilai-nilai kebangsaan.

Nama asalnya ialah Lembaga Pertahanan Nasional yang ditubuhkan pada 20 Mei 1965 berdasarkan Peraturan Pemerintah Nomor 37 Tahun 1964, dan diletakkan terus di bawah Presiden Indonesia.  Bagaimanapun pada tahun 1983, lembaga ini berubah nama menjadi Lembaga Ketahanan Nasional (LEMHANNAS), dan diletakkan di bawah Panglima ABRI. Pada tahun 1994 lembaga ini dipertanggungjawabkan di bawah Menteri Pertahanan dan Keamanan (MENHAKAM)

Pada tahun 2001, LEMHANNAS merupakan Lembaga Pemerintah Non-Departemen yang bertanggung jawab kepada Presiden. Sejak tahun 2006, berdasarkan Perintah Presiden (Perpres) No. 67 Tahun 2006,  jawatan Gabenor LEMHANNAS yang setaraf dengan Jawatan Menteri.  Senarai Gabenor LEMHANNAS (sebelum 2006 jawatan Komandan- sejak ditukar menjadi Gabenur ia dipegang oleh bukan pegawai tentera) ialah:
  1. Mayjen (TNI) Wiluyo Puspoyudo (1965-1967)
  2. Mayjen (TNI) Suadi (1968-1970)
  3. Letjen (TNI) A. Kosasih (1970-1974)
  4. Letjen (TNI) Sayidiman Suryohadiprojo (1974-1978)
  5. Letjen (TNI) Sutopo Yuwono (1978-1983)
  6. Letjen (TNI) Soebijakto (1983-1989)
  7. Letjen (TNI) Soekarto (1989-1994)
  8. Mayjen (TNI) R. Hartono (1994-1995)
  9. Letjen (TNI) Moetojib (1995-1996)
  10. Letjen (TNI) Sofyan Effendi (1996-1998)
  11. Letjen (TNI) Agum Gumelar, M.Sc. (1998-1999)
  12. Letjen (TNI) Johny J. Lumintang (1999-2001)
  13. Prof. Dr. Ermaya Suradinata, MH (2001-2005)
  14. Prof. Dr. Muladi, SH (2005-2011)
  15. Prof. Dr. Ir. Budi Susilo Soepandji, CES, DEA (2011- sekarang)

SETERUSNYA....




Sebagai mangkuk hiasan, aku diarahkan (pakai telefon sahaja) supaya melaporkan diri ke Kedutaan Indonesia pada 090900h Jun 2012 untuk mengambil ujian Bahasa Indonesia. Walaupun dah tau apa resultnya, pergi saja laaaa...Tak hadir nanti kena surat tunjuk sebab la pulakk.

Maka pada tarikh yang ditetapkan, aku bersama calon tetap pun hadir ke DUBES Indonesia di Jalan Tun Razak untuk menjalani Tes Bahasa. Test berlangsung selama 2 jam setengah.  Macam duduk peperiksaan UPSR.  Soalan berkaitan ujian pendengaran, tatabahasa, dan pengetahuan.  Perkataan seerti, perkataan berlawan, membina ayat pasif dan aktif, membina soalan, isi tempat kosong dan memahami karangan. 

Sepatutnya ada dua calon TLDM sekali dengan kami pada pagi itu tapi kedua-duanya tidak hadir kerana ada tugasan lain.

Aku tak berminat untuk mengetahui keputusannya kerana aku tahu yang aku tak akan terpilih pergi. Tapi aku pernah di beritahu oleh pihak MTU-Latih bahawa aku dapat markah 89% dan Yazid lebih tinggi dari aku. Maknanya Yazid lebih Jawa dari aku nampaknya.



SENARAI PEGAWAI-PEGAWAI TUDM 
YANG PERNAH MENGIKUTI KURSUS DI LEMHANNAS
  • KOLONEL NORDIN BIN RIJALUDDIN TUDM (2011/2012)
  • KOLONEL HJ MOHD YAZID BIN ARSHAD (2012/2013)

No comments:

Post a Comment