Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang
YANG AWAL DAN YANG AKHIR

Wednesday, October 9, 2019

AF 145 PANGLIMA SETIA ANGKATAN TENTERA


MENERIMA ANUGERAH 'PSAT'

Dalam perkhidmatan ATM, menerima anugerah atau pengiktirafan adalah sesuatu yang amat penting kepada organisasi dan individu. Anugerah dalam bentu Sijil Penghargaan, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Green Endorsement, Pingat Keberanian mahu pun Darjah/Pingat Kebesaran (sama ada daripada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri atau pun Perkhidmatan ATM).

Aku menerima salinan kawat bertarikh 12 Sep 2019 yang menyatakan bahawa aku adalah salah seorang penerima anugerah Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT) Kelas Kedua iaitu Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) bersempena dengan Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia ke 86 pada 16 September 2019.

Sudah tentu, ia satu berita yang memeranjatkan dan amat menggembirakan. Apatah lagi dalam keadaan diriku yang telah sedang menjalani latihan peralihan selama hampir dua bulan dan telah meninggalkan pejabat (jawatan terakhir) sejak 21 Mei 2019 yang lalu.

Syarat dan kelayakan untuk menerima Darjah Kepahlawanan PSAT ialah

(1)  Pegawai-pegawai Angkatan Tentera berpangkat Mejar Jeneral dan setaraf ke atas.
atau Pegawai Tentera negara asing yang setaraf.


(2)  Kompisisi anugerah yang diterima ialah; Selempang Anugerah, Lencana Darjah, Bintang Darjah dan Bar reben berserta tiga semat bintang bucu lima.





Dalam senarai kekananan Darjah/Bintang/Pingat Persekutuan dan Negeri-Negeri di Malaysia yang berjumlah hampir 250, kedudukan PSAT adalah yang ke 45. Secara umumnya kedudukan PSAT ialah selepas Darjah/Bintang Kebesaran Persekutuan yang membawa gelaran Tan Sri dan Datuk (PJN dan PSD) serta semua Darjah/Bintang Kebesaran 'Kelas Pertama' Negeri  yang membawa gelaran Dato' Seri/Dato' Sri/Datuk Seri/Datuk Wira/Dato'. 

Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT)

Darjah dan Pingat lain di dalam senarai DKAT ialah:


(1)  Kelas Pertama: Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) yang dianugerahkan kepada Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, Panglima Angkatan Tentera Malaysia,
Panglima Tentera Darat, panglima Tentera Laut dan Panglima Tentera Udara dan juga pengurniaan Kehormat kepada Panglima-panglima Tentera negara asing yang setaraf. 

(2)  Kelas Kedua: Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT)  yang dianugerahkan kepada pegawai-pegawai Angkatan Tentera Malaysia yang berpangkat Mejar Jeneral setaraf dan ke atas dan juga Pegawai Tentera Negara Asing yang berpangkat setaraf.

(3)  Kelas Ketiga: Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) yang dianugerahkan kepada pegawai-pegawai Angkatan Tentera Malaysia yang berpangkat Kolonel dan Brigedier Jeneral setaraf dan juga Pegawai Tentera Negara Asing yang berpangkat setaraf.

(4)  Kelas Keempat: Kesatria Angkatan Tentera (KAT) yang dianugerahkan kepada Pegawai-pegawai ATM berpangkat Leftenan Kolonel atau setaraf kebawah (lazimnya sehingga Kapten sahaja) dan pegawai-pegawai Tentera Asing berpangkat setaraf.

(5)  Kelas Kelima: Bentara Angkatan Tentera (BAT) yang dianugerahkan kepada anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) di dalam ATM (biasanya paling rendah sehingga Sarjan sahaja). Manakala anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Tentera Asing juga boleh dianugerahkan Darjah BAT Kehormat.

Terima Kasih

Tentunya anugerah ini amat memeranjatkan kerana aku telah pun dalam percutian sebelum bersara wajib pada 21 November 2019, kira-kira 2 bulan lagi.

Sebelum ini aku pernah menerima DKAT sebanyak dua kali, iaitu Kesatria Angkatan Tentera (KAT) pada tahun 2005 semasa berpangkat Leftenan Kolonel TUDM dan Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) pada tahun 2015 semasa berpangkat Kolonel TUDM.

Kurniaan untuk PSAT sememangnya di luar jangkaan kerana jumlah kuota penerimanya amat terhad (hanya 4 penerima dari TUDM setiap tahun) dan masih ramai pegawai berpangkat Mejar Jeneral TUDM . Apa lagi, aku masih baru menyandang pangkat ini (mulai 9 April 2019) dan telah berada di hujung tempoh latihan peralihan.

Setinggi kesyukuran ke hadrat Allah (swt) yang memberikan aku dengan pelbagai rezeki dan kehormatan di hujung perkhidmatan walaupun aku insaf bahawa diriku ini terlalu banyak dosa dan keaiban yang hanya Allah sahaja mengetahuinya.

Allahu Akbar.

Terima kasih kepada Panglima Angkatan Tentera (PAT) dan Panglima Tentera Udara (PTU) yang menyokong aku untuk melayakkan diri sebagai penerima Darjah Kebesaran ini.

Istiadat Pengurniaan DKAT pada 8 Oktober 2019

Istiadat pengurniaan DKAT untuk tahun ini dilaksanakan dalam dua sesi iaitu sesi pertama pada 8 Oktober dan sesi kedua pada 9 Oktober. Raptai diadakan pada 7 Oktober. Raptai dan istiadat  di Istana Melawati, Putrajaya. Istiadat Pengurniaan disempurnakan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin alMustafa Billah Shah ibni almarhum Sultan Haji Ahmad Shah alMustaain Billah.
















Tiga pegawai kanan TUDM lain yang menerima anugerah yang sama dalam majlis ini ialah:

(1)   Mej Jen Dato' Hj Mohd Yazid bin Arshad TUDM.
(2)   Mej Jen Dato' Mohammad Norazlan bin Aris TUDM.
(3)   Mej Jen Dato' Hj Sardon bin Hassan TUDM.

Penerima PSAT dari TDM seramai 13 orang iaitu Lt Jen Dato' Dr Mohd Amin bin Muslan, Mej Jen Dato' Mohd Anuar bin Rijaluddin, Mej Jen Dato' Ahmad Nasir bin Abd Rahman, Mej Jen Dato' Mahendra Sivapatha Sundram, Mej Jen Dato' Mohd Zulkipli bin Zahir, Mej Jen Dato' Hj Azlan bin Abd Rahman, Mej Jen Dato' Md Din bin Abu, Mej Jen Dato' Hj Mohd Yusof bin Ali, Mej Jen Dato' Hj Hasim bin Jabar, Mej Jen Dato' Badrul Hisham bin Mohamed, Mej Jen Dato' Mohd Hasan bin Loman, Mej Jen Dato' Rezil bin Shahidin dan Mej Jen Abd Malik bin Jiran.

Manakala 5 penerima dari TLDM ialah Laksda Ir Shaiful Adli Chung bin Abdullah, Laksda Dato Sabri bin Zali, Laksda Dato' Muhamad Ridzuan bin Abd Rahman, Laksda Datuk Hj Mohd Ridzuan bin Hamzah dan Laksda Khalid bin Jaafar.

Ramai juga pegawai-pegawai yang pernah berkhidmat bersamaku di KOMLEK (MK ATM) yang menerima pingat seperti Kol Ben Khada TUDM, Lt Kol Erman Shah, Lt Kol Roslinda, Lt Kol Shahimi Pa'Wan dan Mej Ulul Azmi. TAHNIAH

Semoga anugerah ini akan menyumbangkan semangat kepada adik-adikku yang masih berkhidmat dalam ATM untuk terus bekerja bersungguh-sungguh dan bersemangat dan sentiasa mengutamakan pencapaian dan kecemerlangan.