Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang
YANG AWAL DAN YANG AKHIR

Tuesday, September 3, 2013

EPISODE 021: INDONESIA

.

.
   JIRAN SERUMPUN   

Indonesia dan Malaysia adalah dua negara serumpun yang dipanggil Nusantara.  Namun akibat angkara penjajah Barat seperti Portugis, Belanda dan Inggeris, kepulauan Melayu ini berpecahbelah menjadi Negara Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei.

Malah lebih 30% penduduk Malaysia adalah penghijrah dari Indonesia,majoritinya adalah etnik Jawa yang berasal dari Pulau Jawa (termasuklah datuk dan nenek aku).  Selain dari Jawa, etnik lain yang agak ramai ialah Bugis, Banjar, Bawean, Minangkabau, dan Acheh.  Oleh itu, ramai penduduk Malaya masih mempunyai saudara mara di Indonesia.  


KALI PERTAMA - 1982
PONTIANAK

Selepas gagal dalam latihan asas penerbangan helikopter di TUDM Kluang pada bulan Jun 1981, aku bertukar ke Cawang Logistik dan mengikuti kursus intensif tanpa sijil 'air movement module' di ITU Kinrara pada bulan September.  Sebaik sahaja tamat kursus aku ditukarkan ke TUDM Kuching membuat tugas DAMO.  Aku sudah ceritakan secara panjang lebar di bawah Tajuk 16: TUDM Kuching.

Di Kuching aku berpeluang mengikut penerbangan pesawat Nuri No 7 Skn ke beberapa tempat di Sarawak seperti Sibu, Bau, Matu-Daru, Niah, Miri hinggalah ke Labuan.  Selain dari itu terdapat perkhidmatan penerbangan sekali seminggu oleh pesawat Caribou dari No 8 Skn Labuan.  Caribou kadangkala ditugaskan untuk terbang ke Lapangan Terbang Supadio, Pontianak, Indonesia untuk menghantar peralatan ke pejabat ALO Pontianak yang pada masa itu diketuai oleh Mej (U) Ramli Robani seorang pegawai KLLU.  (Mej Ramli bersara Kol TUDM).


Sepanjang perkhdimatanku di TUDM Kuching, aku berpeluang sebanyak dua kali ke Pontianak menaiki pesawat Caribou- untuk tugas pegawai pembayar gaji (dua orang sahaja airmen yang ada di sana).  Aku tidak berapa ingat tempoh penerbangan dari TUDM Kuching ke Supadio- mungkin 2 jam. Dari Supadio ke bandar Pontianak kami akan dijemput oleh kenderaan yang diuruskan oleh pejabat ALO. Setiap tasking akan menginap satu malam - untuk memberi peluang kepada crew dan anggota membeli belah di sana.  Pernah juga aku merasai peristiwa yang mengecutkan telur, apabila sebaik sahaja 'take-off' dalam setengah jam, pesawat mengalami kerosakan sebelah enjin (kedengaran bunyi lain macam) dan juruterbang membawa pesawat patah balik ke Kuching. 


Jarak antara Supadio ke Pontianak lebih kurang 9 batu (11.5 km) dan mengambil masa lebih kurang 15 minit menaiki jeep Kijang (local assemble car). Perjalanan yang dekat itu ada juga melalui kawasan perkampungan.  Penempatan staf ALO adalah di sebuah bangunan milik TNI. Kami juga mendapat bilik di situ.  Sebuah bilik yang simple- untuk tidor sahaja.

Bandar Pontianak merupakan bandar yang paling besar di Kalimantan.  Penduduknya juga agak padat, namun sepanjang aku di bandar ini, aku tidak terjumpa yang bangunan yang melebihi 5 tingkat.  Kebanyakannya 3 tingkat sahaja.  Mungkin mereka takut gempa bumi.

Sasaran pelancong ke Pontianak ialah gedung beli belah.  Masa itu 'keinginan untuk shopping' masih belum wujud.  Apa yang terfikir adalah nak beli souvenir untuk buat koleksi.  Selain dari itu yang dicari ialah kain batik sarung (untuk emak aku), batik kebaya (sempat beli untuk tunang aku), rokok keretek (brand Djarum) untuk bapak aku.  Lagi satu yang menjadi tumpuan ialah keset (tape) lagu-lagu Indonesia yang begitu popular waktu itu khususnya lagu Broery, Bon Tutopoly, Abiet Ade, Emilia Contessa, Daniel Sehuleka dll.  Semasa aku betukar keluar dari Kuching, beratus keset yang aku ada.

Pemergian kali kedua adalah lebih kurang sahaja, cuma dah tau mana nak pergi dulu, apa nak beli dulu. 

KALI KEDUA - 1991
ELANG MALINDO- MEDAN

Medan  adalah bandar di Indonesia kedua yang aku jejaki sejak memasuki TUDM (selepas Pontianak). Ini juga merupakan tugas rasmi ke luar negara yang pertama. Pada masa itu aku bertugas sebagai PS3 Logistik di Markas Pertahanan Udara. Aku membuat tugas sebagai 'Logistic Liaison Officer'  dalam eksesais udara ELANG MALINDO (satu latihan/eksesais udara bersama antara TUDM dengan TNI-AU) yang dilangsungkan di Pangkalan Udara (LANUD) Medan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Polonia selama seminggu. 

Penerbangan yang membawa saya dan Abas dari TUDM Butterworth ke Medan dengan pesawat Fokker milik TNI-AU.  Pesawat itu yang membawa tim TNI-AU yang bertugas di Butterworth sepanjang Ex Elang MALINDO.

 sesampainya di Polonia, Medan Int Airport- satu-satunya gambar di Medan yang masih ada dalam simpananku.

Semasa bertugas aku tinggal di Mes Pegawai TNI-AU LANUD Medan manakala lain-lain pangkat ditempatkan di premis yang lain.  Rakan tugasku ialah Kapt Abas Hassan dari No 12 Skn dan beberapa orang staf komunikasi TUDM dan Skn Semboyan Bantuan Udara.  Aku lupa nama-nama mereka kecuali pegawainya Lt Kamarudin.

Apa yang spesel duduk di Mes TNI ialah menu makanan hariannya. Malaysia-Indonesia banyak persamaan kebudayaan dan makanan, khususnya diriku yang berketurunan Jawa. Namun kebiasaan di sana dan di Malaysia adalah berbeza.  Contohnya semasa sarapan pagi, kalau di Malaysia, paling berat menu untuk sarapan ialah nasi lemak.  Di sana, disediakan nasi putih nasi putih lauk ayam goreng, tempeh goreng, sambal dan sayur masak tumis.  Sapu je la, kalau tak lapar- dan tengahari pun lauk yang sama sahaja. 

Tugas aku sepanjang eksesais ialah memastikan persediaan pihak Indonesia membantu pesawat pejuang yang beroperasi di Medan khususnya bahanapi.   Bila malam kami hanya mengambil peluang merayau-rayau di bandar Medan.  Tidak ada yang spesel di sini, macam seperti di Pontianak, lagi pun aku tidak punya banyak ongkos waktu itu.  Sempat beli 'paint arts' sahaja.  Benda baru yang aku  pelajari di sini ialah wujudnya perniagaan 'massage parlour' secara terbuka.  Terlalu banyak.  Semua gambar massageur dipaparkan di kaunter untuk membolehkan pelanggan memilih mana-mana massager yang berkenan di hati.

Dihari terakhir di Indonesia (setelah tugas rasmi selesai) kami merancang untuk ke Danau Toba. Kami berunding dengan pegawai tinggi TNI-AU untuk mendapatkan bantuan kenderaan.  Memandangkan masa tidak mencukupi kerana Toba agak jauh dari Medan melalui jalan darat (176), kami hanya sampai ke satu perkampungan di kawasan tinggi (jalan ke arah Danau Toba).  Jalanrayanya kecil di lereng curam dan bengkang bengkok (satah condong) yang memerlukan pemandu yang mahir. Sepanjang perjalanan kami melalui banyak perkampungan Batak.  Gerai-gerai tepi jalan yang menjual 'babi panggang' milik orang Batak adalah satu pemandangan biasa. 

 
 
kedai makan babi panggang

Kami lupa nama kampung tempat kami singgah itu.  Sejuk seperti di Cameron highland.  Aku tak pasti kaum(etnik) apa yang menghuni kampung itu.  Tapi satu pelajaran yang aku dapat di sini ialah operasi pelacuran yang berlaku di tengah-tengah masyarakat kampung.  Di celah-celah rumah penduduk kampung, ada rumah pelacuran.  Orang tua-tua duduk bersembang dan kanak-kanak bermain di depan rumah macam biasa sahaja.  Bila ada pelancong datang, maka anak-anak muda bermotorsikal, akan datang menawarkan wanita-wanita penghibur.  Wanita-wanita itu menghuni di rumah yang lain- mungkin asrama. Dia akan bawa satu persatu di depan pelancong tanpa bayaran sehingga pelancong berkenaan bersetuju.

Bayangkan kanak-kanak membesar dengan persekitaran seperti itu, tidak mungkinkah anak-anak itu yang akan mewarisi kerja-kerja terkutuk itu. 

Kami pulang ke TUDM Butterworth dengan menaiki pesawat C130 TUDM yang juga membawa pulang tim Indonesia yang bertugas di Malaysia.

KALI KETIGA - 2006
EXCHANGE PROGRAMME TUDM & TNI-AU

Lawatan ke Indonesia kali ini lebih santai dan menyeronokkan kerana ia tidak melibatkan urusan rasmi dan disertai kumpulan yang agak besar.  Semasa aku bertugas di MTU-Materiel sebagai PS1 Kontrak, aku telah terpilih untuk mengikuti program pertukaran pegawai antara TUDM dengan TNI-AU dari 7 hingga 11 Ogos 2006.  Delegasi TUDM seramai 13 pegawai diketuai oleh Lt Kol Abd Manaf bin Zaid TUDM (pada masa itu Komander PU Kuala Lumpur).
Antara ahli rombongan ialah Lt Kol Nazir, Lt Kol Asri, Mej Harun, Mej Shafiza, Kapt Shukur Nemat, Kapt Asmadi dan Kapt Zumairi.

Kami bertolak dari Terminal PU Subang menaiki pesawat milik TNI-AU yang datang ke Malaysia membawa delegasi TNI-AU.   Kami mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Halim Perdanakusuma.  Hari sudah agak gelap. Selepas diberi sambutan sederhana di LTA Halim, kami terus dibawa ke Mes Pegawai Pangkalan Udara (LANUD) Atang Sendjaya di Bogor tempat dimana kami akan menginap.

ketibaan di Halim Perdanakusuma International Airport, Jakarta

Pihak tuan rumah telah menyediakan acara sambutan dengan jamuan dan nyanyian (3 piece band dan penyanyi).   Kerana sudah agak lewat dan letih, masih lagi beruniform, maka kita pun kurang enjoy.   Namun ada juga pegawai kita yang memenuhi kehendak majlis, mewakili delegasi untuk menyumbangkan suara mereka.

Keadaan bilik di mes tersebut adalah memuaskan dan diselenggara dengan baik - hanya bangunan sahaja yang agak lama - mungkin sejak zaman koloni Belanda lagi.  Pokoknya malam itu tiada gangguan.

 
jamuan ketibaan di Mes Pegawai Pangkalan Udara Atang Sendjaya, Bogor

Keesokan paginya kami memulakan program lawatan ke Markas Besar Operasi Udara di Jakarta dan menerima taklimat organisasi di situ.

Taklimat di Markas Besar Operasi Udara, Jakarta
 bergambar di lobi MABES
break

Setelah menginap satu malam lagi di mes ini,keesokan paginya kami menaiki pesawat (helikopter Super Puma) ke Bandong untuk lawatan seterusnya.  Kami mendarat di LANUD  Hussein Sastranegara.   Pagi itu kami terus di bawa melawat ke pangkalan udara tersebut khususnya ke bahagian logistiknya- depoh senggara.   Selepas makan tengahari di sebuah restoran, kami check-in di salah sebuah hotel dan petang itu kami diberi waktu untuk meronda bandaraya Bandong.


berlepas dari Jakarta

ketibaan di LANUD Hussein Bandung 
disambut oleh Komando Pangkalan dan warga TNI-AU Hussein Sasteranegara 

makan tengahari- nasi Padang

Malam itu,sekali lagi kami dijamu oleh pihak tuan rumah, Komandan LANUD Hussein.  Seperti juga di Jakarta, ada jamuan dan penyanyi.




 
 
lawatan ke Depot Senggara, Bandong

Keesokan paginya, program kami adalah melawat fasilitas  Indonesian Aerospace (PT Dirgantara Indonesia) di Bandong. PT Dirgantara adalah sebuah syarikat pembuat pesawat yang mengeluarkan pesawat CN dan helikopter Super Puma.  Pada masa ini TUDM memiliki 8 buah pesawat CN235 buatan syarikat ini. 

 
 

Petang itu kami bertolak ke Yokyakarta menaiki pesawat CN dan mendarat di LANUD Adi Sucipto yang merupakan pangkalan latihan TNI-AU yang terbesar di Indonesia.  Kami disambut oleh Komandan PULATBANG yang berpangkat Marskal Pertama (setaraf Brig Jen).  Kebetulan  Komandan tersebut merupakan rakan seangkatan dengan Ketua Delegasi kami, Lt Kol Manaf (beliau mendapat latihan asas penerbangan di PULATBANG TNI-AU pada tahun 1975.  Maka kami diberi sambutan yang istimewa - maklumlah bertemu rakan lama.

 
 
 
 
 


Setelah menikmati jamuan ringan, kami di bawa melawat ke pangkalan tersebut.  Selepas itu kami di bawa ke Mes Perwira PULATBANG dimana kami menginap pada malam tersebut.  Biliknya jauh lebih baik dari mes di Atang Sendjaya.  Petang itu kami berjalan-jalan ke Kota Yokyakarta.

Keesokan paginya kami dibawa melawat Chandi Borobudur.  Salah sebuah Tujuh Benda Ajaib di dunia.  


 

lawatan ke Chandi Borobudur, Yokyakarta

Petang itu kami bertolak pulang ke Jakarta dan menginap di mes yang kami menginap semasa ketibaan dulu. Hari terakhir, kami di bawa melawat Taman Mini Indonesia.  Sungguh menakjubkan.  Melaka cuba membawa idea ini dengan membina Taman Mini Malaysia di Air Keroh- tapi rasanya masih dibawah 10% dari apa yanga ada di Taman Mini Indonesia. 
Taman Mini Jakarta adalah satu destinasi pelancongan yang unik dan menarik sekali.  Di sini kita seolah-olah melawat seluruh Indonesia.  Rekabentuk rumah serta budaya rakyat Indonesia dari Sabang (Utara Sumatera) ke Marauke (Papua) dibuatkan replika di taman ini.

;
 
 
 
 

lawatan ke Taman Mini Indonesia,Jakarta

  

  
Taman Mini Indonesia

Semasa pulang kami meminta benih pokok pisang (buah tanpa henti) seperti dalam gambar di atas.  Masa itu aku duduk di rumah pangsapuri Desa Wangsa Keramat yang tiada tanah maka benih tersebut diambil oleh Lt Kol Manaf (ketua delegsi) dan ditanam di rumah beliau di OMQ PUKL.  Hanya pada tahun 2009, setelah berpindah ke OMQ MINDEF baru aku ambil anak benih dari rumah Kol Manaf dan kini ia membiak di kawasan rumah aku.

Walaupun lawatan kali ini agak memenatkan kerana dalam masa 5 hari 4 malam dipenuhi dengan program yang padat di loaksi yang berjauhan iaitu Jakarta, Bandong dan Yokyakarta.  Kami pulang ke Malaysia dengan menggunakan penerbangan pesawat C130 dari Halim Perdanakusuma IA ke PU Subang.  Kebetulan pesawat tersebut datang ke Indonesia membawa pegawai-pegawai kanan TUDM atas jemputan pihak TNI-AU.  Pesawat TUDM akan kembali ke Jakarta untuk membawa Kumpulan Pegawai TNI-AU dalam program pertukaran dan pulang ke Malaysia membawa pegawai-pegawai kanan TUDM yang selesai tugasan.


Kita bertemu semula di TAJUK 319: Ole-Ole Bandung

2 comments:

  1. assalamualaikum tuan..sekarang sya bekerja di medan sebagai staf ALO

    ReplyDelete