Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang
YANG AWAL DAN YANG AKHIR

Monday, September 3, 2018

AF 126 AHMAD HASBULLAH KEBANGGAN SKOT 37



3001404
PEGAWAI KADET AHMAD HASBULLAH BIN HJ MOHD NAWAWI
h
 
Penyempurnaan pemakaian pangkat JENERAL dilakukan oleh YB MENHAN dan dibantu oleh isteri, Datin Seri Noor Akma

Menandatangani dokumen serah terima tugas PTD

 
Menerima dokumen serah terima tugas

Kawalan Kehormatan di hari pertama bertugas sebagai PTD

 
bersama YB MENHAN

menyerahkan tugas TPTD kepada Lt Jen Dato' Hasagaya

SKOT TJP PERTAMA DINAIKKAN KE PANGKAT JENERAL 4 BINTANG 

Puncak kejayaan dan kebanggaan seluruh warga pegawai ATM (Darat dan Udara) dari Panggilan TJP 37, Sekolah Pegawai Kadet, Port Dickson (bermula 5 Apr 1980) apabila SKOT kami Pegawai Kadet Ahmad Hasbullah bin Mohd Nawawi (3001404) dimasyhurkan sebagai PANGLIMA TENTERA DARAT ke 27 dan dinaikkan ke pangkat JENERAL (penuh) pada hari ini, 3 Sep 2018. Kami amat berbangga dengan pencapaianmu skot.


Image result for kem segenting
Padang Kawad Kem Segenting, Port Dickson

 Image result for kompleks bn kasturi kem segenting
Berek Pegawai Kadet SPK 1980 (Bn Kasturi/Jebat) 

Ahmad Hasbullah menyertai kumpulan 279 Pegawai Kadet Tauliah Jangka Pendek (TJP) Panggilan ke  37 memulakan latihan asas ketenteraan di Sekolah Pegawai Kadet mulai 5 April 1980 (mengangkat sumpah dan ikrar taat setia). Semasa latihan beliau ditempatkan di Batalion Jebat, Kem Segenting. TJP 37 mengandungi 3 Batalion (Bn) Kadet iaitu; TUAH, JEBAT dan KASTURI. Bn Tuah ditempatkan di Kem Sebatang Karah (sebelum ini adalah kem untuk Pre-OCTU), manakala Bn Jebat dan Bn Kasturi ditempatkan di Kem Segenting (sebelum ini adalah kem infantri). Apabila Kompleks SPK baru (terletak antara Kem Segenting/Kem Sebatang karah) siap dibina pada tahun 1982, ketiga-tiga Batalion Kadet ini disatukan. Premis Bn Tuah di Kem Sebatang Karah diambil-alih Institut Pegawai Kanan TD (INSPEKA) manakala Kem Segenting (premis Bn Jebat/Kasturi) diambil-alih oleh Sekolah Peertukangan Perantis ATM (AFATS).







Semasa di SPK, Ahmad Hasbullah tidak begitu menyerlah, low profile, bukan rank holder, sebab itu ia kurang dikenali. Malah banyak kalangan skot yang tidak menyedari bila masa beliau meninggalkan kami untuk ke Portsea.





Semasa Fasa 3 latihan (1/3 terakhir), Ahmad Hasbullah telah terpilih untuk mengikuti latihan di Officers' Cadet School, Portsea, Australia selama setahun. Oleh yang demikian, Ahmad Hasbullah tidak ditauliahkan bersama Pegawai Kadet TJP37 pada 24 Jan 1981.  Beliau menyertai perbarisan pentauliahan bersama Pegawai Kadet TJP40 pada bulan Dis 1981.

BIODATA AHMAD HASBULLAH

JENERAL TAN SRI DATO’ SERI PANGLIMA HJ AHMAD HASBULLAH BIN 
HJ MOHD NAWAWI  PGAT PSM PJN SPTS DCSM PSAT DGMK DPMS DSAP 
DMPN DPMK PAT JSM KAT KMN AMK PJM PPS usawc mpat plsc (Canada) 
MA (Lancaster) MSS (USAWC)

AHMAD HASBULLAH dilahirkan di Kuala Kangsar, Perak pada 10 November 1960.  Setelah menamatkan pengajian di peringkat sekolah menengah, beliau memohon untuk mengikuti latihan Pegawai Kadet dan telah dipilih mengikuti latihan Pegawai Kadet Tauliah Jangka Pendek Panggilan ke 37 (TJP 37) di Sekolah Pegawai Kadet, Port Dickson sebelum terpilih untuk meneruskan latihan di Officers' Cadet School, Portsea, Australia. Beliau telah  ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 11 Disember 1981.

Setelah ditauliahkan, beliau ditugaskan ke unit pertama di Batalion Ke 25 RAMD di Kem Remilies, Ipoh, Perak. AHMAD HASBULLAH merupakan seorang pegawai muda yang cemerlang, sentiasa mendapat keputusan terbaik dalam setiap kursus yang dihadiri.




Sepanjang karier, AHMAD HASBULLAH telah melaksanakan  tugas-tugas pemerintahan, staf di pasukan dan markas formasi serta sebagai jurulatih. Beliau berpengalaman  terlibat secara langsung memerangi ancaman komunis di sempadan tanah air sehinggalah perletakan senjata Parti Komunis Malaya (PKM) pada 2 Disember 1989.

Pada tahun 1986, semasa berpangkat Kapten, beliau ditugaskan sebagai Jurulatih di Sekolah Pegawai Kadet, Port Dickson dan pernah juga bertugas sebagai Juruarah di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) pada tahun 1993. Kerjaya AHMAD HASBULLAH dalam Tentera Darat terus menyerlah. Pada tahun 1995, AHMAD HASBULLAH  telah dinaikkan ke pangkat Leftenan Kolonel dan diamanahkan untuk menjadi Pegawai Memerintah Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja iaitu unit pertamanya selepas ditauliahkan. 

Setelah berjaya melaksanakan tugas sebagai Pegawai Memerintah, beliau telah diamanahkan  menyandang beberapa tugas utama iaitu Pegawai Staf 1 Tadbir di Markas Tentera Darat dan Ketua Staf Markas 11 Briged, Sungai Buloh.

Setamatnya kursus setahun di MPAT,  Ahmad Hasbullah ditukarkan ke jawatan Ketua Staf di Markas 11 Briged, Kem Sungai Buloh mulai 3 November 2000 sehingga 1 April 2001 apabila beliau dinaikkan ke pangkat Kol untuk menyandang jawatan sebagai Pengarah Pendidikan ATM.

Ahmad Hasbullah merupakan satu-satunya Pegawai Infantri dan juga pegawai bukan dari Kor KPA-Pendidikan yang pernah dilantik ke jawatan itu dengan misi untuk membuat reformasi di Jabatan Arah Pelajaran ATM. Dalam tempoh 2 tahun menyandang jawatan itu, beliau telah sama-sama berperanan dalam mengubah dasar Skim Pengajian Tinggi ATM apabila cuti melanjutkan pengajian bergaji penuh diluluskan kepada warga ATM untuk semua tahap pengajian dan Program Pengajian Jarak Jauh (PJJ) dengan Universiti Terbuka Malaysia mula diperkenalkan. Beliau juga terlibat secara langsung dalam proses mewujudkan Skim Tabung Pinjaman Akademik dan Pengajian Tinggi ATM (TAPAT) dan Skim Pinjaman Akademik Anak Tentera (SPAAT) yang boleh dinikmati oleh warga ATM sehingga kini.

Pada 18 April 2003, skuad Ahmad Hasbullah telah ditukarkan ke jawatan Kolonel Latih di Cawangan Operasi dan Latihan, Markas TD. Lima bulan sahaja dalam jawatan itu iaitu pada 10 September 2003, beliau telah dinaikkan ke pangkat Brig Jen dan mengambil alih jawatan Assisten Ketua Staf Operasi dan Latihan (AKS OPLAT). Pada 27 Jun 2004, beliau telah terpilih mengikuti Interntional Fellows Program  di US Army War College (USAWC),Carlisle, Pennsylvania selama setahun. 

Kesinambungan tugas sebagai pemerintah diteruskan apabila beliau dilantik sebagai Panglima 11 Briged pada tahun 2005. seterusnya dinaikkan pangkat Mejar Jeneral pada tahun 1997 untuk menyandang jawatan Panglima 3 Divisyen Infantri, Kem trendak, Melaka pada tahun 2007.  Dua tahun kemudian, AHMAD HASBULLAH dinaikkan pangkat Leftenan Jeneral untuk mengambil-alih jawatan Panglima Medan Tentera Darat pada tahun 2009. 

Pada 1 Ogos 2011, AHMAD HASBULLAH dipertanggungjawabkan untuk memegang jawatan Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD) sehingga tarikh perlantikan sebagai Panglima Tentera Darat (PTD) mulai 3 Sep 2018. Sepanjang tempoh 7 tahun menyandang jawatan TPTD beliau telah berkhidmat di bawah tiga orang PTD iaitu Jen Tan Sri Zulkifli bin Zainal Abidin, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi dan Jen Tan Sri Zulkiple bin Kassim.

AHMAD HASBULLAH telah mengikuti pelbagai kursus profesional di dalam dan luar negara. Antaranya ialah di Australia Infantry Centre di Singleton; US Army Infantry School di Fort Benning Georgia; Canadian Land Forces Command and Staff College dan US Army War College (USAWC). Beliau mempunyai kelulusan Diploma in Training and Development (Leicester University UK),  Master in International Relations and Strategic Studies (Lancaster)  dan Master of  Strategic Studies (USAWC).  

Semasa menuntut di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) pada tahun 2000, beliau telah terpilih sebagai Penuntut Terbaik Akademik dan dianugerahkan Hadiah Lembaga MPAT.

AHMAD HASBULLAH telah dianugerahkan tiga orang cahayamata hasil perkahwinannya dengan Datin Seri Noor Akmar binti Yaacob.  Hobi beliau ialah membaca, menembak dan bersukan.


  
Bergambar bersama skot Mej Jen Dato' Hj Azlan Abd Rahman


Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-27, Jen Dato' Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi secara rasminya memulakan tugas sebagai PTD pada 4 Sep 2018. Sejurus ketibaannya di perkarangan Wisma Pertahanan, beliau disambut oleh pegawai-pegawai kanan Tentera Darat dan seterusnya menerima tabik hormat daripada Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD).

Beliau kemudiannya memeriksa KKU tersebut yang terdiri daripada tiga pegawai serta 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Mej Mohd Izham Ahmad Rashidi dan diiringi Pancaragam Pusat RAMD.


 
disambut oleh Mej Jen Dato' Yaakob Samiran

menerima dan membalas tabik diiringi Pa

memeriksa perbarisan KKU dan memberi tabik hormat kepada panji-paji RAMD

  
memeriksa KKU


bersalaman dengan pegawai-pegawai kanan TD


PERINTAH ULUNG PTD KE 27
5 SEP 2018



PERINTAH ULUNG 
PANGLIMA TENTERA DARAT KE-27
DATARAN PANGLIMA TENTERA DARAT
5 SEPTEMBER 2018


Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Alhamdulillahi rabbul alamin. wassalatuwassala sayidina muhammad, waala-alihi wassabbihi ajmain.

Dato’-Dato’, saudara saudari serta hadirin sekalian,

Terima kasih kerana hadir dalam acara rasmi, acara regimental perutusan perintah ulung panglima tentera darat pada pagi ini. dengan izin allah subhanahu wataala jua, dengan rasminya saya telah dilantik sebagai Panglima Tentera Darat yang ke-27.

Jawatan yang diamanahkan ini, bagaikan mimpi menjadi kenyataan. dengan rendah diri, saya zahirkan rasa kesyukuran serta reda dengan ketentuan allah subhanahu wataala, tuhan yang menguji kesabaran dan merencanakan cabaran kehidupan hamba-hambanya. maha suci allah yang maha mengetahui rahsia dan hikmah di sebalik setiap peristiwa yang berlaku di alam semesta ini.

Saya  menjunjung  kasih  setinggi-tingginya  Ke  Bawah  DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong atas limpah perkenan restu baginda ke atas pelantikan saya. ikrar taat setia saya lafaz kepada seri paduka baginda selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Sebagai  kaki  tangan   kerajaan,  saya   turut   merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Malaysia, khususnya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri,  Yang Berhormat Menteri Pertahanan dan Yang Berbahagia Panglima Angkatan Tentera kerana merestui pelantikan bersejarah dan penuh bermakna ini.

Ucapan terima kasih dan penghargaan dipanjangkan kepada staf-staf Markas Tentera Darat, kerjasama berterusan tanpa mengira masa membolehkan saya berdiri di hadapan perbarisan sebagai Panglima Tentera Darat. tidak lengkap, jika saya tidak mengucapkan  terima  kasih  kepada  mereka  yang  telah mendoakan, kepada mereka yang telah memberikan kata-kata semangat dan inspirasi untuk saya terus berkhidmat. saya amat menghargainya.

Ingin  saya  rakamkan  setinggi-tinggi  penghargaan  dan jutaan  terima  kasih  kepada  Yang  Berbahagia  Jeneral  Tan  Sri Dato’ Sri Zulkiple bin Hj Kassim, Panglima Tentera Darat yang ke 26 yang telah membawa Tentera Darat ke tahap keberadaan kita sekarang. hanya allah yang menilai dan membalasnya.

Dato’-Dato’ dan saudara saudari sekalian,

Dalam usia 85 tahun Tentera Darat telah menyaksikan sejumlah 27 kali pertukaran kepimpinannya namun tanggungjawab utama Tentera Darat mempertahankan kedaulatan negara tidak pernah berubah. Satu tanggungjawab yang amat mulia di sisi agama dan masyarakat. tanpa perkhidmatan angkatan tentera kedaulatan dan keselamatan negara pasti akan terancam. Pada hakikatnya rakyat dan negara memerlukan khidmat bakti kita. Ini merupakan satu pengiktirafan terhadap kemampuan kita sebagai individu dan organisasi. Menyedari kita adalah elemen penting menentukan kemakmuran dan keamanan negara, wajarlah ini dijadikan pencetus semangat untuk kita terus menabur bakti demi kesejahteraan dan kedaulatan negara tanpa mengharap pujian dan penghargaan.

Kini giliran saya menerajui Tentera Darat dan saya berikrar dan  berjanji  akan  melaksanakan  amanah  selari  dengan wewenang   yang   diberi   dengan   penuh   dedikasi   dan   komited dengan apa jua tugasan selagi tidak melanggar peraturan dan hukum syarak. Selagi tidak mengkhianati sumpah taat setia kepada raja dan negara dan selagi tidak bercanggah dengan ikrar kesateria. Kepada Allah saya berdoa dan berserah memberi kekuatan dan kebijaksanaan supaya emosi dan nafsu tidak mempengaruhi keputusan-keputusan yang bakal saya buat demi negara, demi Tentera Darat. Tugas memikul amanah ini mustahil dapat saya dilaksanakan tanpa kerjasama dan sokongan Dato’- Dato’ dan rakan-rakan seperjuangan yang saya kasihi sekalian.

Saya  mengajak  kita  untuk  mengimbas  perintah  ulung panglima angkatan tentera yang menekankan   kepada empat tonggak utama iaitu:

Pertama, angkatan yang profesional.
Kedua, ketumbukan yang siap siaga.
Ketiga, keutuhan organisasi.
Keempat, memperkasakan kualiti hidup.

Saya telah membuat perkiraan keadaan dengan matlamat utama memenuhi hasrat Panglima Angkatan Tentera diikuti dengan  matlamat  kedua  mengekal  dan  meningkatkan  status siaga tentera darat.  Mengambil kira keadaan semasa  dan cabaran cabarannya, beberapa pendekatan telah dikaji dan saya telah memutuskan pendekatan terbaik yang mampu kita capai. Demi memudahkan kefahaman dan perlaksanaan, saya telah rangkumkan pendekatan tersebut menjadi singkatan asas.

A - bermaksud - amal
S - bermaksud - sistem pemerintahan regimental
A - bermaksud - adaptasi
S - bermaksud - siap siaga

Singkatan A, bermaksud Amal. Memasuki perkhidmatan tentera menjadi satu kebanggaan bagi kita semua yang terpilih dan lulus dalam semua ujiannya.  Ramai yang ingin menyertai tentera tetapi tidak berjaya. Tidak keterlaluan jika saya nyatakan kita adalah kalangan rakyat yang istimewa yang terpilih  diberi  kepercayaan  dan  tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara. Jelas bukan semua rakyat mampu melaksanakan tugas murni ini. tugas yang memerlukan pengorbanan di mana dari awal lagi kita telah mengorbankan tatacara kehidupan dan keselesaan sebagai orang awam.

Kita dilatih untuk menjadi anggota tentera, diberi ilmu pengetahuan dan kepakaran dalam bidang ketenteraan malah dibayar upah untuk melaksanakan tanggungjawab kita sama ada semasa aman mahupun kekacauan. Tiada siapa yang dapat ramalkan  bila  dan  di  mana  perkhidmatan  kita  diperlukan.  apa yang  ditagih  adalah  agar  kita  perlu  kekal  bersedia,  kekal cerdas, dan kekal cergas dan mengamalkan etika kerja tentera.

Selain dari dilatih, elemen penting yang menjadi penambat semangat dan akur janji pengorbanan kita adalah ikrar kesateria. ikrar kesateria ibarat roh yang berperanan membimbing tindak tanduk kita dan juga merupakan pendukung kecemerlangan keperibadian warga tentera darat.

Ikrar Kesateria bukannya hanya sekadar dilafazkan di bibir. setiap baris ikrar mempunyai makna yang perlu diamalkan. hanya anggota yang menghayati, memahami dan mengamalkan ikrar kesateria akhirnya dapat membentuk jati diri yang cinta dan sayangkan diri sendiri, cinta sayangkan rakan, cinta dan sayangkan organisasi serta negara

Jati  diri  seorang  anggota  tentera  darat  adalah  ibarat akar  tunjang  sebatang  pokok  yang  tumbuh  dan  menjulang tinggi. Walaupun dilanda ribut dan taufan, pokok kekal tidak tumbang  kerana  kuat  dan  kukuhnya  akar  tunjang.  Begitulah juga jika jati diri kita, kukuh dan kuat, walau apa pun cabaran akan dapat kita atasi. insya-allah

Saya  mahukan  ikrar  kesateria  dihayati  dan  dijiwai  oleh warga Tentera Darat. semua ilmu dan nilai ketenteraan yang dipelajari di pusat-pusat latihan seperti baris pagi, baris sukan baris solat jumaat dan seumpamanya hendaklah diamalkan sepenuhnya. Penguatkuasaan arahan back to basic ini, memerlukan semua pemerintah mengurus perubahan ini dengan bijak dan menjadi agen perubahan yang efektif. Pertukaran dari zon selesa akan menimbulkan keadaan yang tidak senang pada mulanya.  Adalah satu kerugian yang besar sekiranya ilmu yang dipelajari tidak dimanfaatkan dan hanya digunakan bertujuan untuk lulus berkursus sahaja. apa yang diajar, dilatih di pusat latihan mempunyai hubung kait tugasan dan peranan kita mempertahankan negara. Saya yakin jika warga Tentera Darat mengamalkan   sepenuhnya   dengan   sendirinya   Tentera Darat pasti lebih dihormati, disegani dan dekat di hati rakyat.

‘S’ singkatan yang kedua bermaksud Sistem Pemerintahan Rejimental.  bukannya sesuatu yang asing bagi kita. budaya ini telah didedahkan sejak kita mulai memasuki tentera. dengan mengamalkan sistem ini warganya tertib, kemas, teratur, seragam  dan  berdisiplin.  Patuh  kepada  peraturan  dan  adat resam tentera adalah kunci kejayaan kita dalam apa jua tugasan yang diberi di peringkat pasukan, formasi, negeri mahupun persekutuan.

Pembentukan kelakuan dan etika warga Tentera Darat sangat  penting  bagi  menjamin  kepatuhan  arahan  dan  disiplin. Dari kaca mata masyarakat tentera darat gah dengan disiplin, gah dengan taat setia, dan gah dengan keseragaman serta mempunyai nilai-nilai murni dan terpuji yang boleh diteladani dan diperagakan.

Masyarakat berlumba lumba untuk mengejar kemewahan, kesenangan, kejayaan hidup tanpa mengira cara. Arus perubahan sedikit sebanyak memberi cabaran kepada warga tentera darat mengekalkan adat resam ketenteraan. Sebagai sebahagian dari masyarakat warga tentera darat tidak terkecuali menghadapi fenomena individualistik dan materialistik. Budaya berhutang, budaya moon lighting, budaya judi siber dan seumpamanya jika tidak dibendung akan menjadi barah di dalam organisasi. Tradisi ketenteraan yang telah diamalkan sejak sekian lama dikhuatiri akan dilupai.

Sistem pemerintahan rejimental ini akan terus di perkasa bermula dengan perwatakan dan penampilan ketenteraan. Ini merangkumi keterampilan individu, keterampilan pasukan, peralatan dan fasilitas.

Budaya cintakan pakaian   seragam akan terus diterap seawal nya di pusat-pusat latihan. Perwatakan dan kekemasan beruniform pada sebilang masa memberi impak dan imej yang positif. Tidak kira di mana kita berada menjadi tanggungjawab semua untuk kekalkan keterampilan sebagai warga Tentera Darat. Hormatilah diri sendiri dahulu sebelum boleh mengharapkan orang lain menghormati kita.

Dalam nada yang sama saya mengingatkan tanggungjawab menjaga tahap kesihatan dan bmi adalah tanggungjawab individu. Setiap anggota mesti berada pada tahap kecergasan yang disasarkan.

Dari segi perkasaan aset, kita bertanggungjawab terhadap semua aset yang kita warisi berkeadaan baik, dipelihara dan boleh digunakan sebilang masa.  Aset inilah yang akan kita guna semasa kecemasan. Justeru jaga dan sayangilah aset yang ada seperti kepunyaan kita dan amallah budaya selenggaraan. Insiden kenderaan tentera rosak di lebuh raya tidak patut berlaku jika di selenggara mengikut jadual oleh anggota yang terlatih.

Manakala  fasilitas,  bangunan  dan  persekitaran  kem perlulah memaparkan keadaan sekeliling yang kemas, bersih, ceria dan positif. Keadaan ini menonjolkan imej serta budaya tentera yang sebenar.

Kekuatan  tentera  darat  datangnya  dari  usaha  dan kerjasama berkumpulan. justeru setiap lapisan anggota mesti menanam sifat kekitaan dan kepunyaan terhadap organisasi. Pemimpin hendaklah mengenali dan mengambil tahu hal-hal anggota  sebilang  masa  supaya  tiada  ruang  untuk  amalkan nafsi-nafsi atau kau kau, aku aku.

Saya yakin budaya ambil tahu, ingat mengingati dan prihatin sesama kita akan mengelakkan kita terjebak dalam menyebar berita tidak benar malah menjadi pertahanan terhadap sindrom surat layang atau sebaran viral yang tidak bertanggungjawab. Mari sama-sama kita jaga dan lindungi aib dan maruah tentera darat.

Bagi  meneruskan  warisan  ketenteraan,  aktiviti  yang bersifat rejimental perlu dipergiatkan lagi ke arah memperkukuhkan esprit d’corp dan semangat berpasukan. Hubungan di antara pegawai dan lain-lain pangkat perlu dipelihara.  Pegawai  dan  PTTK  sebagai  tulang  belakang perlu menggandakan usaha ke arah itu.  Belajarlah dari aktiviti yang diadakan demi kesinambungan tradisi. Mulai sekarang jadikan sistem pemerintahan regimental sebagai budaya dan panduan kehidupan seharian.

Trend mengejar kemewahan dan kesenangan menyebabkan bukan sahaja tugas hakiki terabai malah tumpuan kepada keluarga juga turut terjejas. Tentera Darat merupakan satu keluarga yang besar, yang tentunya ada kekurangan, tentunya ada isu dan masalah dalaman. Isu-isu rumah tangga kita selesaikan sesama kita tanpa perlu jiran atau orang lain mengetahuinya. Inilah tuntutan semua agama. peranan bakat (badan kebajikan anggota tentera) juga amat penting bagi menentukan  moral  dan  kebajikan  isteri  dan  keluarga diutamakan.  Gunakan  platform  bakat  sebaik  mungkin berdasarkan peranan hakiki untuk membantu pemerintahan.

Dalam membudaya dan mengamalkan sistem pemerintahan regimental,  aspek  agama  serta  kerohanian  juga  diberi keutamaan supaya kita berjaya di dunia dan akhirat. Di samping kemas, segak, berdisiplin, saya juga inginkan anggota yang berakhlak   mulia,   berteraskan   iman,   berilmu   dan   bertakwa. perintah majlis angkatan tentera bilangan 9 tahun 1991 masih lagi relevan dan masih berkuat kuasa. Justeru semua peringkat pemerintahan bertanggungjawab sepenuhnya melaksanakan dasar pembinaan mental dan kerohanian islam seperti yang diarah. Bagi anggota yang bukan islam anda perlu juga mengikut panduan kepercayaan dan aktiviti agama masing-masing.

Dato’-Dato’, dan saudara saudari sekalian,

Singkatan seterusnya adalah A - Adaptasi. Tentera Darat sebagai benteng pertahanan negara tidak boleh hanya berada di dalam  kepompongnya  sendiri  dan  mesti  sentiasa  hidup, senantiasa peka dan bergerak mengikut peredaran semasa. Perubahan teknologi akan melibatkan perubahan doktrin dan struktur. Semua warga perlu bijak menyesuaikan diri, boleh mengadaptasi, fleksibel, serta bersedia menghadapi apa sahaja ancaman. Di sini pentingnya aspek kepimpinan yang mampu menggunakan kebijaksanaan mengadun elemen manusia, peralatan dan metode (man, machine, and methode)

Menjayakan wadah adaptasi berkait rapat dengan ilmu dan kemahiran. ilmu sentiasa berkembang dan melalui proses lapuk dan usang. Untuk kekal relevan kita mesti memperlengkap dengan  ilmu-ilmu  terkini  bukan  terbatas  kepada  ilmu peperangan.    begitu juga dalam bidang kemahiran, pelbagai kemahiran yang diperlukan bersesuaian dengan keperluan terkini mesti dipelajari dan dikuasai. Saya mengalu-alukan idea- idea baru dari warga Tentera Darat.

Dalam konteks pemerintahan, saya memandang serius terhadap menepati tempuh masa  dan waktu.  Tidak patuhan masa akan menyebabkan timbul berbagai masalah mendatang. kegagalan mematuhi dan menghormati masa sebenarnya melibatkan   soal   sikap, soal   amanah, soal kejujuran, soal kecekapan, soal tatacara pengurusan dan soal imej. sebagai organisasi yang bertanggungjawab, tentera darat mesti mempamerkan imej yang positif dan nilai-nilai murni yang sepatutnya diteladani dan dicontohi masyarakat. Kita mesti bijak membahagikan masa untuk diri sendiri, keluarga, organisasi, masyarakat dan kepada tuhan kerana masa yang berlalu adalah sejarah dan tidak dapat lagi dibeli dengan wang ringgit.

Dalam aspek pengurusan, saya menuntut agar pengurusan di laksana dengan cekap, berintegriti, amanah, praktikal dan telus melalui pelan integriti tentera darat.

Saya juga mahukan prosedur dan perintah tetap dikemas kini dan senantiasa relevan termasuk laporan kerosakan, laporan kecacatan dan laporan kerosakan berek. Semua pelanggaran dan tidak pematuhan arahan perlu diambil tindakan mengikut prosedur. situasi ini kadang-kadang mempunyai elemen kebajikan walaupun sah benar ketidakpatuhan ataupun kesalahan telah berlaku. Ada sifat kasihan, tolak ansur dan budi bicara di kalangan warga, namun tidak patuhan mengambil tindakan sebenarnya memberi kesan negatif kepada tentera darat. Yang salah perlu diambil tindakan. ini merupakan tindakan pencegahan.

Dato’-Dato’, saudara saudari sekalian,

'S' – Siap siaga singkatan terakhir.  Keadaan ini memerlukan warganya senantiasa mempunyai mindset  ke arah melaksanakan tugas yang diberi mempertahankan negara dengan jayanya. Masing-masing mempunyai peranan dan tanggungjawab bagi menghadapi sebarang ancaman termasuk membantu pihak berkuasa awam.

Tugas Tentera Darat semasa aman adalah berlatih. selain dari latihan tradisional, ancaman bukan tradisi seperti keganasan dan terrorisma mempengaruhi sistem dan corak latihan  kita.  Justeru,  sistem  dan  corak   latihan  yang  lebih kreatif, terkini,  serta inovatif perlu digubal.

Bagi   mengetahui   status   semasa   tentera   darat,   semua formasi akan diuji mengikut direktif latihan yang dikeluarkan. Setiap  pemerintah  bertanggungjawab  menentukan  warga mereka terlatih mengikut kitaran 24 bulan dan mencapai tahap kesiagaan yang dilaporkan.  Keutamaan tentera darat adalah latihan kerana itu adalah kebajikan. saya tidak akan kompromi jika anggota tidak dilatih.

Oleh itu latihan medan peringkat Briged termasuk elemen logistik  di  kedua  dua  pemerintahan  medan  akan  dilaksanakan pada tahun hadapan sebagai salah satu aktiviti utama sambutan hari Tentera Darat. Satu ketika dahulu tentera darat terkenal dengan kepakaran dan kejayaan dalam peperangan melawan insurgensi, persoalan saya adakah kita masih lagi kekal di tahap yang telah diiktiraf itu?  Tiada jalan pendek untuk berjaya hanya dengan latihan, dan latihan, dan latihan.

Seiring dengan keperluan dan tuntutan semasa, Panduan Strategik Tentera Darat Army 2 10 +10 akan diganti dengan Army 4 Next G. Plan ini menjurus melengkapkan ketumbukan Tentera Darat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. pelan ini perlulah dimonitor dan dikemas kini, semua warga Tentera Darat perlu didedahkan dengan pelan ini.

Bagi keperluan siap siaga dan persiapan tempur formasi, pendekatan G Plan yang diperkenalkan sejak Ogos 2011 akan terus menjadi panduan utama. Dengan peruntukan kewangan yang terhad, pendekatan ini nyata telah membuahkan hasil. misi dan tugasan tentera darat tidak terjejas apabila keperluan minimum setiap formasi diberi keutamaan. Cabarannya adalah mengubah cara pengurusan lama kepada pendekatan G Plan. Mulai Penggal Keempat 2018, prestasi pegawai memerintah dan ke atas akan diukur secara objektif. Satu garis panduan akan dikeluarkan membudayakan konsep pengukuran ini.

Bagi keselesaan dan kesejahteraan warga Tentera Darat Q Plan akan diguna pakai sepenuhnya. Seperti G Plan semua pemerintah  perlu  peka  dengan  perancangan  dan pelaksanaannya. walaupun peruntukan kewangan tidak mencukupi. Tentera Darat akan senantiasa fokus kepada penambahbaikan kualiti hidup warganya merangkumi keselesaan kem-kem serta senggaraan dan baik pulih bangunan teknikal termasuk penyediaan rumah keluarga angkatan tentera (RKAT).

Kebajikan warga keluarga dan veteran dititikberatkan dan akan  diberi  perhatian sejajar  dengan  pelan  strategi Kementerian  dan  Angkatan Tentera  Malaysia termasuk penjagaan kesihatan, aspek pengurusan kewangan, pendidikan dan sebagainya.

Selain G dan Q Plan, Tentera Darat mengguna pakai alat pengurusan lain seperti Situational Forces Scoring (SFS), Balance Score Card (BSC), Malaysian Army Standard (MAST), serta Sistem Star Rating (SSR). penggunaan alat pengurusan ini telah pun diuji dan terbukti menghasilkan kesan positif. Pun begitu saya mengalu-alukan idea pendekatan baru.

Dato’-Dato’, saudara saudari sekalian,

Apa yang saya arahkan bukan sesuatu yang saya reka, ia berupa peringatan terhadap peranan dan tanggungjawab kita, supaya kita tidak leka atau complacent. Bukan setiap hari kita akan bernasib baik dan terlepas dari kealpaan.  Akronim ASAS yang saya uar-uarkan bukanlah retorik, bukan angan-angan kosong malah adalah satu kenyataan dan kebenaran. Tanpa asas kita akan sukar mencapai hasrat panglima angkatan tentera.

ASAS  umpama  rencah  dan  garam  di  dalam  masakan.  Andai kata ada satu bahan yang kurang maka hilanglah keenakan masakan tersebut. semua peringkat pemerintahan bertanggungjawab untuk merealisasikan asas. Marilah kita bersama-sama menggembleng usaha, membulatkan tekad, menggandakan kudrat, untuk sama-sama memelihara martabat Tentera Darat. Berhadapan kekurangan peruntukan bukan alasan untuk kita tidak melaksanakan tugas dengan cemerlang. selagi terdaya,  kewibawaan dan imej Tentera Darat tetap kita pelihara. Direktif terkini Panglima Tentera Darat boleh dijadikan rujukan. 

Sebelum mengakhiri, saya mengajak saudara dan saudari bersama-sama melafazkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia untuk sama- sama menjunjung perintah serta menjalankan tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas.

Selamat menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan komited. Tugas mempertahankan negara memerlukan kita semua fokus memperbaiki diri, giat berlatih untuk kekal siaga, tiada ruang untuk kita berangan angan, tiada ruang untuk kita moonlighting dan berniaga, tiada ruang untuk kita gadaikan maruah dan integriti. Ayuh langkah bersama saya, bertekad melaksanakan amanah yang diberi sebaik mungkin dan tidak mengkhianati ikrar kesateria kita.

Sekian, Wabillahhitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
  
GAGAH SETIA

 JENERAL DATO’ SERI PANGLIMA HJ AHMAD HASBULLAH BIN HJ MOHD NAWAWI
PANGLIMA TENTERA DARAT KE-27

Pemangku PAT


Pada 12 Sep 2018, Jen Dato Seri Ahmad Hasbullah yang memangku tugas Panglima Angkatan Tentera telah menghadiri Perbarisan Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Yang DiPertuan Agong  (sempenan dengan Hari Ulangtahun Keputeraan SPB Yang DiPertuan Agong XV, Sultan Muhammad V di Dataran Pahlawan, Presint 1, Putrajaya.


  
  
  
  



ALBUM PTD BERSAMA S37


dalam salah satu aktiviti latihan pegawai kadet bersama-sama skot TJP37 (Batalion Jebat) Sekolah Pegawai Kadet Port Dickson

sebelah kanan ialah Presiden Kelab S37- Kol Hj Abdul Razak Hussain
bersama skot Kol Roslan Hj Shaari KOD (kiri) dan Kapt Dato' Hazizan Ahmad RAMD (Bersara)
menghadiri salah satu majlis perkahwinan skot lain. Wanita itu adalah Brig Jen Norhuda Ahmad (Bersara), mantan Jurulatih SPK 1980.


memberi ucapan dalam salah satu majlis REUNION S37

salah satu reunion S37 di Wisma Perwira ATM (2017)

dalam salah satu majlis perkahwinan skot yang lain

menyertai sukan kegemarannya bersama S37


majlis HUT S37 ke 37


ReUnion S37 2017 di WP ATM


reunion di PULAMOR Port Dickson 2014


di padang golf


Reunion 2014


Reunion S37 2014
wajah ceria di padang golf


bersama skot di salah satu majlis perkahwinan di Dewan UIAM Gombak


bersama skot Mej Mohd Husin (B)


bersama penulis ketika menghadiri majlis pembukaan LIMA 2013


Dalam satu majlis di Istana Sultan Terengganu


menghadiri majlis perkahwinan anak penulis di Dewan Seroja (2014)
  .






DIRGAHAYU SKOT!

PADA 6 Mei 2019, dua minggu seelum memulakan cuti sebelum bersara, aku membuat Kunjungan Hormat ke atas Panglima Tentera Darat.

Menandatangani Buku Tetamu

Menyerahkan dua Buku 'Dari Meja PTD 27'


Menyerahkan Plaka Rasmi PTD

Pelukan skot

Menyerahkan Coin PTD

Menerima cenderahati balasan Plaka AKS LP


Menerima Coin AKS LP

Pelukan Perpisahan

Bersempena dengan Hari Keputeraan rasmi Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada 9 September 2019, Ahmad Hasbullah telah dikurniai anugerah Darjah Kebesaran Setia Mahkota Negara, PANGLIMA SETIA MAHKOTA (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.


Bersempena dengan Hari Ulang Tahun ke 86 ATM  pada 16 September 2019, Ahmad Hasbullah telah dikurniai anugerah Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Kelas Pertama 'PANGLIMA GAGAH ANGKATAN TENTERA (PGAT) OLEH DYMM SPB Yang DiPertuan Agong XVI yng dilangsungkan di Istana Bukit Melawati Putrajaya pada 8 Oktober 2019.



.




.

No comments:

Post a Comment