Walaupun Taman Panchor Jaya (TPJ) Fasa 1 dan 2 telah dibuka pada tahun 1993, sejarah masjid ini bermula pada tahun 1999 apabila berlaku perbincangan di kalangan beberapa Persatuan Penduduk di Taman Panchor Jaya tentang keperluan pembinaan sebuah masjid untuk kegunaan masyarakat islam di Taman Panchor Jaya yang semakin bertambah. Gabungan Persatuan Penduduk telah memajukan permohonan ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) untuk mendapatkan tapak pembinaan sebuah masjid.
Pada 24 Ogos 2000, JHEAINS telah meluluskan sebidang tanah berkeluasan 10,537.86 meter persegi di Lot 1648, Pesiaran Semarak 3, Taman Panchor Jaya Fasa 4. Pada 26 Januari 2003, sebuah Jawatankuasa Penajaan Pembinaan Masjid di Taman Panchor Jaya telah ditubuhkan dan Pengerusinya ialah Tuan Hj Wan Abdullah bin Wan Su.
Pada 17 Februari 2004, Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS) telah meluluskan pembinaan sebuah masjid untuk kariah Taman Panchor Jaya. Kerja-kerja di tapak pembinaan telah bermula pada 2 Mei 2006 oleh Syarikat Osuba Sdn Bhd dengan nilai kontrak sebanyak RM3.6 juta.
Pada 6 Jun 2006, majlis penetapan arah qiblat telah disempurnakan oleh Mufti Negeri Sembilan. Pada 17 September 2007, projek pembinaan masjid telah disiapkan dan dinamakan sebagai Masjid Kariah Panchor Jaya (MKPJ). Perisytiharan MKPJ untuk memulakan Solat Jumaat telah disempurnakan oleh Mufti Negeri Sembilan, Sohibus Samahah Dato’ Sheikh Hj Mohd Murtadza bin Sheikh Hj Ahmad (allahyarham) pada 27 Disember 2007. Solat Jumaat pertama didirikan di MKPJ pada 28 Disember 2007.
Setelah bangunan masjid disiapkan dan seterusnya dioperasikan, pemilihan sebuah Jawatan Kuasa Pengurusan telah dibuat dan Tuan Hj Wan Abdullah bin Wan Su telah dipilih sebagai Pengerusi MKPJ yang pertama. Pada 5 Mac 2008, majlis Perasmian MKPJ telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Mohammad bin Hassan.
Operasi MKPJ turut terjejas lanjutan dari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila negara mengalami musibah wabak COVID-19 mulai 18 Mac 2020 sehingga 31 Ogos 2020. Sepanjang tempoh tersebut, banyak pengalaman baru yang dipelajari khususnya dalam mengurus organisasi dalam situasi krisis (crisis management).
Pada 1 April 2021, penulis yang baru menetap di dalam kariah hanya setahun 3 bulan telah diberi kepercayaan untuk mengambil-alih jawatan jawatan Pengerusi MKPJ dari Tuan Haji Wan Abdullah yang mengundurkan diri.
Pengerusi telah mengusahakan permohonan penukaran nama Masjid Kariah Panchor Jaya kepada Masjid AlMunawwarah Kariah Panchor Jaya (MMKPJ) dan telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Sembilan pada 14 Jun 2023. Selanjutya pada 25 Julai 2023, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan telah meluluskan tanah rizab tambahan seluas 8,389 meter persegi untuk Masjid.
Di dalam kariah MMKPJ terdapat enam buah surau yang masih berfungsi. Surau-surau telah dibina sebelum pembinaan masjid ini, iaitu: Surau Nurul Hidayah di Pesiaran Semarak 2, TPJ Fasa 1; Surau As Salam di Jalan Semarak 37, TPJ Fasa 6; Surau Al Mubarak di Jalan Semarak 41, TPJ Fasa 7; Surau Al Ikhwan di Jalan Sri Telawi 4 Taman Sri Telawi; Surau Taman Bukit Margosa di Jalan Margosa 2/1; dan Surau Wakaf di Jalan Margosa 11, Taman Bukit Margosa.
Surau Wakaf merupakan sebuah surau sementara yang dibina di atas tanah rezab Majlis Bandaraya Seremban untuk memenuhi keperluan sebahagian penduduk Taman Bukit Margosa yang terbahagi dua akibat pembinaan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) pada tahun 2009. Bagaimanapun surau ini hanya mendapat pengiktirafan sementara (tiada watikah) dari Jabatan Agama Islam (JHEAINS) - tidak boleh membina bangunan tetap. Melalui sumber maklumat yang penulis terima, Persatuan Penduduk Taman Bukit Margosa menentang pembinaan Surau Wakaf ini kerana dianggap memecahkan kariah Surau Bukit Margosa yang sedia ada. Bagaimanapun, mulai bulan April 2022, iaitu setelah penulis mengambil-alih jawatan Pengerusi MKPJ, kami telah memberikan pengiktirafan (atas dasar syiar Islam) kepada surau ini sebagai surau di bawah naungan MKPJ serta turut menerima bantuan yang sama dari pihak masjid. Akhirnya Surau Wakaf menerima tauliah dari JHEAINS pada tahun 2024.
MKPJ merupakan salah sebuah masjid yang aktif dalam daerah Seremban dan pernah menerima anugerah salah satu masjid terbaik (kemudahan prasarana) di Negeri Sembilan. Aktiviti atau program ilmu berbentuk kuliah pengajian kitab atau tazkirah diadakan setiap hari sertajuga aktiviti kemasyarakatan dan pengurusan bantuan asnafnya.
Antara individu yang paling awal penulis kenali di MKPJ ialah Ketua Imamnya (Imam I), iaitu Cikgu Bukhari bin Kadam (Sek Men Keb Seri Ampangan) yang berasal dari Rengit, Johor - berketurunan Jawa seperti penulis. Maka, pertalian darah keJawaan itu lebih memudahkan penulis berkenal rapat dengan beliau serta pegawai-pegawai dan ahli jawatankuasa masjid yang lain.
Lebih kurang dua bulan penulis berpindah ke kariah Masjid ini, dunia (termasuk Malaysia) telah dilanda wabak COVID-19 dan Kerajaan telah mengisytiharkan Arahan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke seluruh negara buat kali pertamanya dari 18 hingga 31 Mac 2020 dan kemudiannya dilanjutkan beberapa kali sehingga digantikan dengan PKP Bersyarat (PKPB) pada 13 Mei 2020 dan kemudiannya dipinda menjadi PKP Pemantauan (PKPP) pada 9 Jun 2020 hingga 31 Ogos 2020.
Semasa pelaksanaan PKP (Fasa 1) dan PKPB, semua masjid dan surau telah ditutup kepada orang ramai untuk melaksanakan solat jemaah seperti biasa. Jumlah jemaah dihadkan kepada 12 orang pegawai/AJK sahaja (termasuk Imam) dan perlu mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) yang sangat ketat - segala aktiviti masjid yang lain turut terhenti. Jumlah ini kemudiannya dilonggarkan kepada 50 orang.
Mulai bulan Jun 2020, apabila PKPP mula dilaksanakan, jumlah jemaah dinaikkan kepada 1/3 kapasiti masjid di seluruh Negeri Sembilan kecuali bagi kawasan yang digazetkan dan jemaah perlu memohon secara on-line (JHEAINS) untuk mendapatkan tempat setiap minggu. Manakala kuota tambahan diberikan mengikut saiz masjid dengan menggunakan kupon.
Apabila aktiviti masjid dibuka semula, banyak kejanggalan dalam melaksanakan norma baru (pematuhan SOP) yang tidak selari dengan kehendak atau amalan sunnah seperti amalan penjarakkan (distancing) menyebabkan makmum tidak dibenarkan merapatkan saf (jarak antara jemaah adalah 1.5 meter), sentiasa memakai pelitup muka (mask) dan bersanitasi, membawa sejadah sendiri, tidak boleh bersalam tangan dan mesti memeriksa suhu badan dan menulis nama atau QR Code scanning (MySejahtera) setiap kali memasuki ke masjid.
Penulis mula membuat penampilan (melalui perantaraan Imam Tuan Hj Bukhari) dengan menawarkan diri untuk (sesekali) membantu Bilal MKPJ melaungkan azan. Pada masa itu MKPJ mempunyai 3 orang Muazzin iaitu Tuan Hj Abdul Wahab bin Mahmood, Tuan Hj Khir Salleh bin Suhaili dan Encik Zakaria bin Saad (Pak Ya). Akhirnya setelah dipersetujui oleh AJK Masjid, pada 14 Oktober 2020 penulis memulakan tugas sebagai Bilal No. 4. Inilah jawatan (post) pertama penulis selepas bersara dari TUDM - first post retirement post.
Ketika ribuan penduduk Malaysia menemui maut akibat virus COVID-19, penulis sentiasa berharap, andainya penulis turut menjadi korban, biarlah ketika sedang sujud di dalam masjid atau ketika melaungkan azan.
PENGERUSI JAWATANKUASA KARIAH MKPJ
Sejak awal perpindahanku ke Taman Ampangan, rakan-rakan sejemaah ada memaklumkan bahawa tempoh penggal Jawatankuasa Pengurusan MKPJ telah pun tamat pada 31 Disember 2020 tetapi Mesyuarat Agong Pemilihan (MAP) AJK baru telah ditangguhkan kerana wabak COVID-19 dan pelaksanaan PKP di seluruh Negara. Terdapat beberapa orang ahli kariah MKPJ yang mula mendekati penulis dan memujuk untuk dicalonkan sebagai Pengerusi baru. Sudah pastinya penulis menolak hasrat mereka itu dengan alasan yang paling kukuh iaitu sebagai orang baru di dalam kariah dan tidak wajar dan tidak layak untuk menyandang jawatan tersebut.
Tempoh perlantikan Jawatankuasa MKPJ bagi Sesi 2019/2020 yang sepatutnya tamat pada 31 Disember 2020 telah dilanjutkan sehingga 31 Mac 2010. Bagaimanapun pihak JHEINS (melalui PAID Seremban) tidak membenarkan kariah masjid (seluruh Negeri Sembilan) mengadakan MAP secara terbuka seperti kebiasaannya. Ahli kariah diarahkan membuat pencalonan berasaskan ‘pasangan calon’ iaitu setiap satu pencalonan mengandungi Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari bersama tandatangan Pencadang, Penyokong dan Saksi untuk setiap nama calon.
Setelah dipujuk dan diray, akhirnya penulis dengan berat hati bersetuju menerima tawaran untuk dicalonkan. Keputusan dibuat kira-kira 2 minggu sebelum tarikh tutup pencalonan. Pencalonan dibuat bersama Lt Kol Azman bin Abd Razak (B) sebagai calon Setiausaha dan Tuan Hj Hasan bin Dindiar sebagai Bendahari. Selain dari itu, terdapat dua lagi pencalonan.
Kesemua calon telah melalui temuduga oleh JHEAINS pada 8 Februari 2021.
Setelah temuduga berlalu, sebelum keputusan dikeluarkan, angin bertiup kencang bahawa YB ADUN Lenggeng (dari Parti Amanah Nasional) mahukan calon dari kalangan 'orang beliau' untuk menguruskan masjid. MKPJ merupakan masjid yang terbesar di dalam DUN Lenggeng - paling ramai jumlah pengundi. Maka ia penting untuk strategi politik. Jika Pengerusi Masjid dapat dikawal oleh ADUN, maka banyak kelebihan yang bakal diperolehi. Maka, ramai ahli kariah yang menyuarakan kebimbangan.
Secara peribadi, penulis tidak mengambil endah tentang apa jua motif mereka kerana penulis sendiri tidak berminat dan tidak pernah bercita-cita untuk memegang jawatan ini. Penulis juga tidak mempunyai apa-apa agenda (selain dari untuk berbakti kepada masyarakat jika dipilih) ketika menyatakan persetujuan untuk dicalonkan. Jadi, sama ada dapat atau pun tidak, ia tidak memberi apa-apa kesan kepada diri dan masa depan penulis.
Namun mereka hanya boleh merancang, Allah (swt) adalah sebenar-benar perancang. Pada 8 Mac 2021, penulis menerima watikah perlantikan dari Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS melalui JHEAINS) sebagai Pengerusi MKPJ berkuatkuasa pada 1 April 2021. Majlis serah terima tugas Pengerusi MKPJ dilaksanakan dengan penuh istiadat dan tertib pada hari Juma’at, 2 April 2021 jam 12.30 tengahari.
Dalam ucapan ulung penulis sebagai Pengerusi, terus terang penulis nyatakan bahawa penulis TIDAK LAYAK dan TIDAK BERMINAT untuk memikul amanah ini atas banyak faktor. Namun apabila amanah telah diberikan, penulis akan melaksanakan amanah ini dengan sebaik mungkin dan sedia untuk digantikan pada bila-bila masa.
“Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari kemudian, serta tetap mendirikan shalat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Mafhum QS At-Taubah: 18)
SENARAI NAMA JAWATAN KUASA PENGURUSAN MKPJ UNTUK SESI 2021/2022
Pengerusi:
Mej Jen Dato’ Hj Toharudin bin Ab Rasid TUDM (Bersara) - Johor
Setiausaha:
Lt Kol Hj Azman bin Abd Razak (Bersara) - Kedah
Bendahari:
Tuan Hj Hassan bin Dindiar - Melaka
Ahli Jawatan Kuasa (Ketua Biro):
- Tuan Hj Bukhari bin Kadam (Ibadah & Kerohanian) - Johor
- Tuan Hj Ismail bin Mohamad Yunus (Dakwah & Pembangunan Ummah) - Perak.
- Tuan Hj Effendy Onn bin Hj Siam (Ekonomi dan Pengurusan Aset)- Johor
- Encik Mohd Shahril bin Rosli (Sistem Komunikasi & Elekronik) - Terengganu
- Tuan Hj Mohd Yusof Bin Yaakob (Pengurusan Bangunan & Utiliti) - NS
- Encik Roslan bin Othman (Keselamatan, Kesihatan & Alam Sekitar)- NS - meletak jawatan pada bulan Ogos 2021 dan digantikan oleh Tuan Hj Hashim bin Osman- Selangor
- Tuan Hj Zain Zuraini bin Yaacob (Keraian dan Pengaduan Awam) - NS
- Puan Hamidah binti Mohd Noor (Hal Ehwal Wanita & Kebajikan) - NS
- Encik Hariffin bin Md Janor (Belia, Sukarelawan & Khidmat Komuniti)- NS
Pemeriksa Kira-Kira:
- Lt Kol Hj Shaari bin Sulan (Bersara) - NS
- Tuan Hj Sharudin bin Sinin - NS
Pada bulan Januari 2022, penulis membuat rombakan kecil dalam AJK untuk disesuaikan dengan kebolehan dan minat individu dan keperluan semasa.
- Tuan Hj Bukhari bin Kadam (Ibadah & Kerohanian).
- Tuan Hj Ismail bin Mohamad Yunus (Dakwah & Pembangunan Ummah).
- Tuan Hj Effendy Onn bin Hj Siam (Pengurusan Aset).
- Encik Mohd Shahril bin Rosli (Sistem Komunikasi & Teknologi Maklumat).
- Tuan Hj Mohd Yusof Bin Yaakob (Pengurusan Bangunan & Senggaraan).
- Tuan Hj Hashim bin Osman (Keselamatan dan Keraian).
- Tuan Hj Zain Zuraini bin Yaacob (Kesihatan, Landskap dan Alam Sekitar).
- Puan Hamidah binti Mohd Noor (Kebajikan, Kekeluargaan dan Hal Ehwal Muslimat).
- Encik Hariffin bin Md Janor (Belia, Sukarelawan & Sukarelawan).
Sementara itu, barisan Pegawai Syariah Masjid (telah sedia berkhidmat) adalah seperti berikut:
Imam:
- Tuan Hj Bukari bin Kadam (Ketua Imam) - Johor
- Ustaz Muhammad Syafi Al Hafiz bin Anizar - NS
- Ustaz Dr Mohd Sobri bin Noh - Pahang
- Tuan Hj Senin bin Jantan - Melaka
- Ustaz Syukri bin Abdullah - Kelantan
Bilal:
- Tuan Hj Abdul Wahab bin Mahmood - Kelantan
- Tuan Hj Khir Salleh bin Suhaili - Perak
- Encik Zakaria bin Saad - Kedah
Siak:
- Tuan Hj Mohd Noor bin Lahu- Johor
- En Ibrahim bin Komeng- NS
Pepatah Melayu ada menyebut “lain padang lain belang” dan “rambut sama hitam hati lain-lain”. Tepat sekali, ingatan orang tua-tua dahulu kepada kita yang berhijrah ke tempat baru. “Jangan ikut resmi ayam betina, bertelur sebiji riuh sekampung, ikutlah resmi padi, makin berisi makin menunduk” dan jangan sesekali jadi seperti “kaduk naik junjung”.
Ini adalah kali pertama aku mengetuai (secara rasmi) pentadbiran dan pengurusan sebuah institusi agama dan kemasyarakatan. Lebih signifikan lagi ialah di satu tempat yang masih asing bagiku. Aku di lahirkan dan dibesarkan di sebuah kampong masyarakat Jawa di Batu Pahat, Johor, mula bekerja dan membina keluarga di perantauan, sebahagian besarnya dalam masyarakat ketenteraan di Lembah Klang, setelah bersara berhijrah ke Taman Ampangan, Seremban di tengah-tengah masyarakat dalam sebuah negeri yang masih kuat dipengaruhi Adat Perpatih.
Walaupun ini bukan pertama kali penulis terlibat dengan pengurusan rumah ibadat, pengalaman lalu amat kecil dan ringan. Penulis pernah menjadi Setiausaha dan Imam Surau semasa tinggal di Seksyen 17, Shah Alam (1988-1993). Pernah menjadi Timbalan Pengerusi Surau Al Firdaus di Desa Tun Hussein Onn, Kem MINDEF (2001-2007), Pengerusi Surau Al Islah, Desa Wangsa Keramat (2008-2009) dan AJK & Timbalan Pengerusi Surau Luqman Al-Hakim, Desa Tunku Osman Jewa, Kem MINDEF (2012-2019). Suasana persekitarannya, sistem pentadbiran dan skop tanggungjawabnya jauh berbeza. Namun pengalaman tersebut banyak membantu penulis dalam melaksanakan tugas baru ini.
Penduduk Taman Panchor Jaya dan Taman-Taman sekitarnya merupakan kawasan yang mempunyai penduduk 'nasional' - campuran penduduk tempatan dengan orang Negeri dari daerah luar serta penghijrah dari luar Negeri Sembilan (seperti penulis). Penulis sengaja menulis nama negeri asal di hujung setiap nama AJK/Pegawai untuk menunjukkan keterbukaan masyarakat di dalam kariah MKPJ.
POLA IDEOLOGI POLITIK
Kawasan kariah MKPJ ini adalah sebahagian dari DUN Lenggeng. Dahulunya merupakan kubu kuat UMNO. Dengar ceritanya penyokong kuat Tok Mat (Dato' Seri Mohammad bin Hassan). Namun, setelah selesai PRU ke 14 (2018), Negeri Sembilan ditawan oleh Pakatan Harapan dan DUN Lenggeng dimenangi oleh calon Parti Amanah Negara (AMANAH) - serpihan dari PAS.
Pun begitu, penulis kagum dengan kematangan sikap politik masyarakat di sini. Penulis tidak pernah melihat berlakunya perselisihan di kalangan pengikut parti politik di kawasan ini. Tidak pernah terdengar mana-mana ahli kariah ahli UMNO atau PAS memburuk-burukkan ADUN Lenggeng dari Parti AMANAH mahupun Menteri Besar dari PKR. Tidak pernah juga terdengar penyokong parti pemerintah yang mengungkit keburukan Kerajaan BN yang lalu.
Catatan 1: Kawasan Parlimen SEREMBAN (DAP) mempunyai 6 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu LENGGENG(Amanah), NILAI (DAP), TEMIANG (DAP), AMPANGAN (PKR), LOBAK (DAP) dan SIKAMAT (PKR). Seremban adalah satu-satunya kawasan Parlimen di Malaysia yang mempunyai sehingga 6 kerusi DUN.
Catatan 2: Selepas PRU 15 (2022), kesemua kerusi mengikut parti politik dikekalkan KECUALI bagi DUN LENGGENG yang diagihkan (dan dimenangi) oleh BN-UMNO. Walaupun rata-rata penyokong AMANAH tidak bersetuju dan kecewa dengan pengagihan ini, suasana tetap damai.
PENGALAMAN BERHARGA
Penulis ingin berkongsi pengalaman terlibat secara langsung menangani karenah ahli kariah masjid semasa menyambut Hari Raya Eidul Fitri 1441, 1442 dan 1443 Hijrah.
Pada Syawal 1441 Hijrah (2020) adalah kali pertama penulis menyambut Hari Raya selepas bersara dan juga kali pertama beraya di rumah milik sendiri di Taman Ampangan. Malangnya Hari Raya bersejarah ini berlalu dalam suasana yang sangat menyayukan hati.
Fasa pertama PKP yang mula dikuatkuasakan selama 3 bulan mulai 18 Mac hingga 31 Mac 2020 dan kemudian disambung beberapa kali sehingga 31 Mei 2020 sebelum berubah ke tahap pemantauan (PKPP) mulai 1 Jun 2020. 1 Syawal 1441 jatuh pada 24 Mei 2020. Maka. seluruh rakyat Malaysia terpaksa menyambut Ramadhan dan Hari Raya di rumah masing-masing.
Selanjutnya, tarikh 1 Syawal 1442 Hijri jatuh pada 13 Mei 2021. Tahun tersebut suasana Hari Raya juga berbeza. Sepanjang bulan Ramadhan pihak Kerajaan telah membenarkan jumlah jemaah tanpa had di semua masjid dengan syarat pematuhan kepada SOP asas seperti memakai pelitup muka (mask), membawa sejadah sendiri, memakai sanitizer, menjaga penjarakkan serta meminimakan masa di dalam masjid. Di samping itu aktiviti memasak dan majlis-majlis jamuan di masjid masih tidak dibenarkan. Semua hidangan dibuat dalam bentuk bungkusan (packs) dan dibawa pulang ke rumah. Masjid dibenarkan menerima lebihan jemaah dan menaikkan khemah sementara. Sepanjang bulan Ramadhan, aktiviti ibadah di masjid berjalan lancar dan meriah. Dengan kelonggaran ini, MKPJ boleh menampung jemaah sehingga melebihi 1000 orang termasuk jemaah wanita.
Kadar penjangkitan wabak kembali meningkat pada akhir April 2021. Ini adalah bulan pertama penulis menyandang tugas Pengerusi MKPJ. Mulai 6 Mei 2021, Kerajaan Negeri Sembilan telah mengeluarkan arahan baru menghadkan semula jumlah jemaah mengikut kapasiti sebenar masjid sahaja (kawasan solat berbumbung tetap). Mendirikan khemah tidak dibenarkan. Dengan syarat baru ini, MKPJ hanya mampu menampung seramai 500 – 550 jemaah sahaja. Pihak pengurusan MKPJ terpaksa telah menyusun program kaedah pengagihan tempat kepada ahli kariah. Ahli kariah begitu teruja untuk bersolat Hari Raya di masjid.
Bagaimanapun, pada 10 Mei 2021, Kerajaan pusat telah membuat pengumuman mengejut prosedur PKP terbaru untuk seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun 2021 dengan menghadkan jumlah jemaah untuk solat Waktu, solat Jumaat dan solat Hari Raya kepada 50 orang sahaja. Maka berlaku sedikit kekecohan di saat akhir untuk short list agihan kuota kehadiran (di kalangan ahli kariah) untuk solat Hari Raya dan Solat Jumaat.
Pada 12 Mei 2021 juga, Kerajaan mengeluarkan arahan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang mengandungi 5 Fasa. Mulai 26 Ogos 2021, Negeri Sembilan telah beralih kepada Fasa 2 dengan jumlah jemaah dinaikkan kepada 50 orang dan seterusnya ke Fasa 3 pada 2 September apabila jumlah jemaah dinaikkan kepada 150 orang. Moral umat Islam di Negeri Sembilan semakin meningkat apabila negeri ini berjaya melepasi Fasa 3 dengan lebih cepat di memasuki Fasa 4 pada 22 September 2021. Dengan perubahan ke fasa 4 ini, jumlah jemaah di masjid/surau telah ditingkatkan mengikut kapasiti ruang masjid seperti yang dilaksanakan sebelum 12 Mei 2021 dahulu.
Krisis wabak COVID-19 disertai oleh krisis politik negara yang berlarutan sejak perletakan Tun Dr Mahathir dari jawatan Perdana Menteri pada 23 Februari 2020. Ketika status wabak COVID-19 masih membimbangkan, politik Malaysia semakin keruh sehingga menyebabkan Tan Sri Muhyiddin hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat dan terpaksa meletakkan jawatan pada 16 Ogos 2021 dan digantikan oleh Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob pada 21 Ogos 2021.
Pada 9 Mac 2022 Perdana Menteri Malaysia telah membuat pengumuman fasa peralihan ke endemik yang dikuatkuasakan mulai 1 April 2022.() Hampir kesemua SOP ketat yang dilaksanakan selama lebih dua tahun telah dilonggarkan. SOP ini adalah berkaitan dengan kegiatan kemasyarakatan, keagamaan, persekolahan, ekonomi dan perniagaan, pelancongan dan pembukaan sempadan negara.
Selaras dengan arahan Kerajaan Persekutuan di atas, pihak JHEAINS telah mengeluarkan arahan SOP bagi aktiviti masjid dan surau di Negeri Sembilan pada 23 Mac 2022.
https://covid-19.moh.gov.my/faqsop/pelan-pemulihan-negara
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/855522/negeri-sembilan-masuk-fasa-dua
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/ppn-melaka-beralih-ke-fasa-2-negeri-sembilan-ke-fasa-3-317462
https://www.sinarharian.com.my/article/162893/BERITA/Nasional/ Negeri-Sembilan-beralih-ke-Fasa-4-PPN-mulai-Jumaat
PENDEMIK KE ENDEMIK
Wabak COVID-19 masih belum pulih sepenuhnya, ia baru sahaja memasuki fasa endemik. Seluruh rakyat (seluruh dunia) perlu mengadaptasi cara kehidupan yang baru sehingga status wabak maut ini bertukar menjadi penyakit biasa.
Bagaimanapun, setiap ahli kariah MKPJ termasuk diri penulis wajib bersyukur kepada Allah (swt) yang telah mengurniakan sebuah masjid di kawasan ini untuk kemudahan umat islam melaksanakan ibadah fardhu ain, fardhu kifayah dan sunnah. Penghargaan harus diberi kepada mereka yang berusaha merancang, memohon dan mengurus projek pembinaan masjid seterusnya mereka yang telah berkhidmat sebagai Pegawai atau AJK atau Sukarelawan sejak masjid ini beroperasi sehingga hari ini. Tanpa kesungguhan mereka, masjid yang tersergam indah ini hanya sekadar menjadi hiasan atau kebanggaan sahaja tanpa diimarahkan.
Satu lagi kumpulan manusia penting yang menjadi pemangkin kepada bersemaraknya aktiviti MKPJ ialah para dermawan dan sukarelawan. Mereka ini terdiri dari ahli kariah dan orang luar kariah. Bermula kepada individu yang memasukkan wang ke dalam tabung masjid setiap hari, setiap minggu, setiap bulan dan setiap tahun selama bertahun-tahun, diikuti oleh penderma yang menaja pelbagai aktiviti seperti pembayaran bil utiliti, bekalan air mineral, bahan-bahan dapur, barang-barang untuk food bank, peralatan masjid, pembinaan/senggaraan bangunan, tabung khairat, tabung asnaf, sajian jamuan, keraian, penceramah jemputan dan lain-lain. Selanjutnya tanpa insan yang ringan tangan, ringan tulang, mengorbankan masa dan tenaga mereka untuk melaksanakan aktiviti MKPJ. Pihak pengurusan hanya mampu mengucapkan terima kasih, selebihnya hanya Allah yang tahu ganjaran yang wajar diterima oleh mereka.
PERANCANGAN, PELAKSANAAN DAN IMPIAN
Setelah 15 tahun, sejak disiapkan pada tahun 2007, MKPJ semakin banyak mengalami kerosakan sama ada kerosakan teknikal dan binaan (technical defect), kerosakan oleh faktor tangan manusia atau pun keusangan semula jadi akibat dari hukum alam seperti cuaca atau iklim. Ini menyebabkan kos senggaraan semakin meningkat dari tahun ke tahun.
Selain dari itu, beberapa perkara telah tidak diberikan perhatian sewajarnya seperti keadaan perpustakaan, pengurusan aset dan kawasan sembelihan. Bagaimanapun, di peringkat permulaannya rancangan menaiktaraf dan menambah baik MKPJ tidak dapat dilaksanakan dengan baik kerana tabung MKPJ telah terjejas akibat dari pelaksanaan PKP yang berpanjangan. Kutipan mingguan terjejas teruk kerana jumlah jemaah yang dibenarkan hadir ke masjid amat terhad. Penderma dari kalangan ahli perniagaan yang selama ini merupakan penderma utama juga jauh berkurangan kerana aktiviti ekonomi dan perniagaan hampir lumpuh.
Mulai awal Jun 2022, pihak Masjid telah memperkenalkan dua Tabung Pandu Lalu setiap hari Jumaat antara jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari. Sambutannya amat memberangsangkan.
23 April 2021- Mesyuarat AJK MKPJ Siri pertama
10 Mei 2021- Menyantuni kariah yang menerima bantuan kebajikan
18 Jun 2021- Temuramah oleh RTM – Negeri Sembilan FM mengenai Tabung Pandu Lalu dan Kaunter Rezeki dan Amal Kariah MKPJ
11 Julai 2021 – menerima bantuan bakul makanan dari YB Anthony Loke, MP Seremban
Selain dari itu, dalam tempoh Penggal Pertama menerajui MKPJ mulai 1 April 2021 hingga 31 Disember 2022, beberapa penambahbaikan dan pembaharuan telah berjaya dilaksanakan, antaranya adalah:
- Kerja-kerja menaiktaraf dalaman bilik perpustakaan kepada Pejabat Sekretariat Masjid yang lengkapi dengan peralatan/perabut yang bersesuaian.
- Kerja-kerja menaiktaraf dalaman bilik audio (bilik azan) dan bilik rehat imam menjadi Bilik tetamu VIP dan bilik rehat Pegawai.
- Pemasangan bumbung metal deck di atas bumbung konkrit keseluruhan sayap kiri bangunan Masjid yang mengalami kebocoran yang berlarutan akibat masalah teknikal pembinaan.
- Pemasangan awning di keseluruhan kaki lima sayap kanan, hadapan dan sayap kiri Masjid bagi menghindari dinding Masjid menjadi lebih cepat usang akibat tempias hujan.
- Pembinaan rak buku di ruang limpahan sayap kiri Masjid untuk memperkenalkan perpustakaan terbuka. Lokasi yang berhampiran kafetaria dan dewan kuliah dianggap sangat sesuai untuk ruang membaca yang santai.
- Kerja-kerja menaiktaraf stor-stor lama supaya lebih kemas dan praktikal.
- Penyeragaman papan tanda dan penunjuk arah di semua bahagian Masjid.
- Pembinaan 3 tiang bendera di hadapan lobi utama Masjid.
- Pembinaan stor yang dilengkapi almari) untuk menyimpan barang-barang fabrik dapur/kafetaria, stok makanan dalam tin/botol dan juga peralatan dan perabut berlipat.
- Pembinaan tambahan satu bilik tandas (lelaki).
- Pemasangan dinding poly-glass (penahan hujan) di ruang solat sayap kiri.
- Masjid telah memulakan projek menebusguna tanah rizab masjid yang terbiar bagi pembinaan Kompleks Sembelihan Fasa 1 dan kawasan rekreasi yang boleh digunakan untuk tapak perniagaan dan telah disiapkan pada bulan Jun 2022. Walaupun projek ini menelan kos yang tinggi, faedah untuk jangka panjang dan sederhana ia telah menampakkan impak yang besar kepada aktiviti Masjid.
Pada bulan Mac 2022, Masjid telah melaksanakan dua projek besar yang memerlukan tempoh yang panjang kerana ia melibatkan proses permohonan, penilaian dan kelulusan pelbagai pihak berkuasa:
- Projek pembinaan sebuah Dewan Serbaguna. Permohonan telah dimajukan ke JHEAINS pada Mac 2022 dan diluluskan pada bulan April 2022 seterusnya mendapat kelulusan khas bagi mengutip derma pada bulan Mei 2022. Permohonan untuk kelulusan rekabentuk dan pembinaan telah mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pada 29 November 2023. Status tarikh 31 Disember 2024, status projek ini masih menunggu kelulusan (Kementerian Kewangan - LHDN) berkaitan penajaan penuh dari seorang dermawan, Dato’ Hj Mohd Yusof (melalui syarikat Warisan CGT Sdn Bhd) yang telah menyatakan hasratnya pada bulan Oktober 2022.
- Projek pembinaan kawasan letak kenderaan tambahan. Projek ini melibatkan sebidang tanah selauas 8200 meter persegi milik Kerajaan Negeri yang merupakan tanah rizab talian (line tower transmission) Tenaga Nasional Berhad (TNB). Permohonan telah dimajukan ke Pejabat Daerah dan Tanah Seremban (PTS) pada bulan Mac 2022 dan keputusannya (tidak diluluskan) diterima pada bulan Mac 2023. Permohonan baru telah dimajukan pada bulan April 2023 dan status terkini telah mendapat kebenaran dari TNB dan masih menunggu keputusan muktamad dari PTS.
PENGGAL KEDUA PENTADBIRAN - DARI MKPJ KE MMKPJ
Tawaran pencalonan jawatan Eksekutif (Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari) untuk tahun 2023-4024 dikeluarkan pada bulan Oktober 2022. Namun sehingga tarikh terakhir pencalonan dibuka, tiada lagi yang menghantar pencalonan. Penulis yang berhasrat enggan melanjutkan tempoh jawatan TERPAKSA mengisi borang pencalonan untuk dihantar pada hari yang sama. Jika tiada langsung yang ingin menawarkan diri, yang bakal bermasalah adalah pengurusan masjid. Maka penulis sekali lagi menawarkan diri untuk dicalonkan (bersama calon Setiausaha dan Bendahari yang sama).
Setelah menerima watikah dari Majlis Agama Islam Negeri (MAINS), selaku Pengerusi, penulis menyusun semula barisan Jawatan Kuasa Masjid dengan mengekalkan bekalkan sebahagian AJK lama dan menampilkan muka-muka baru.
JAWATAN KUASA PENGURUSAN MKPJ UNTUK SESI 2021/2022
Pengerusi:
Mej Jen Dato’ Hj Toharudin bin Ab Rasid TUDM (Bersara).
Setiausaha:
Lt Kol Hj Azman bin Abd Razak (Bersara).
Bendahari:
Tuan Hj Hassan bin Dindiar. Meletak jawatan pada Mei 2024 dan digantikan oleh Encik Idznirosdin bin Idris.
Ahli Jawatan Kuasa (Ketua Biro/Unit):
- Tuan Hj Bukhari bin Kadam (Ibadah & Kerohanian).
- Tuan Hj Ismail bin Mohamad Yunus (Dakwah & Pengimarahan Masjid).
- Tuan Hj Effendy Onn bin Hj Siam (Khidmat Komuniti dan Hal Ehwal Surau)
- Tuan Hj Abu Hurairah bin Hj Suak (Sistem Komunikasi & Multimedia).
- Tuan Hj Mohd Yusof Bin Yaakob (Senggaraan Bangunan & Pemantauan Projek).
- Tuan Hj Hashim bin Osman (Keraian dan Keselamatan).
- Tuan Hj Zain Zuraini bin Yaacob (Landskap dan Keceriaan Alam Sekitar ).
- Puan Hamidah binti Mohd Noor (Kebajikan, Kekeluargaan dan Hal Ehwal Muslimat)
- Encik Hariffin bin Md Janor (Pendidikan, Belia dan Kesukarelawanan).
- Encik Safol Azha bin Sulaiman (Keusahawanan dan Pengaduan Awam).
- Tuan Hj Sahrom bin Yasin (Pengurusan Aset).
- Tuan Hj Abdul Wahab bin Mahmud (Pengurusan Jenazah).
Pemeriksa Kira-Kira:
- Tuan Dr Hj Ahmad Mahir bin Abdullah. meletak jawatan pada April 2014 dan dihantikan oleh Tuan Hj Ishak bin Abdul Majeed.
- Encik Mohd Rahimi bin Ghazali.
Sepanjang penggal kedua ini, kami meneruskan usaha untuk memantapkan lagi sistem pengurusan masjid dengan pentadbiran ala korporat. Pembangunan dan pembaharuan diteruskan. Keutamaan terus diberikan kepada aspek keselesaan jemaah, peningkatan kelengkapan masjid, kebajikan kariah, landskap serta kempen peningkatan jemaah.
- Penjenamaan semula MKPJ kepada MKPJ ‘Al Munawwarah’ (MKPJ Yang Bercahaya) diikuti dengan pengenalan bendera baru untuk MKPJ serta perubahan logo, wawasan dan misinya.
Bendera MMKPJ
Logo MKPJ lama (kiri) dan MMKPJ baru (kanan)
Antara projek penaikatarafan dan penambahbaikan yang telah diselesaikan adalah seperti berikut:
- Kerja-kerja menaiktaraf sistem audio dan elektronik di dalam bilik audio visual termasuk memasang rak logam untuk peralatan dan dokumen.
- Kerja-kerja memasang lampu baru bagi menaiktaraf sistem pencahayaan dalam ruang solat utama dan lampu warna-warni di lobi kanan dan belakang Masjid.
- Kerja-kerja menambah dan meningkatkan sistem kawalan keselamatan (closed sircuit televisyen @ CCTV) di dalam dan luar bangunan Masjid mengikut sentitiviti kawasan.
- Kerja-kerja mengubahsuai (pembesaran) Pejabat Sekretariat Masjid bagi menempatkan Pejabat Ketua Majlis Imam, ruang menunggu (tetamu) serta galeri (pamiran).
- Projek Kompleks Sembelihan Fasa 2 telah dilaksanakan dengan mengubahsuai lapangan sembelihan kepada lapangan multifunction (untuk lapang sasar latihan memanah.
- Penubuhan Kelab Memanah Usamah bin Zaid pada bulan April 2023.
Berikut pula adalah projek-projek besar penggal 2023-2024 yang masih dalam perancangan dan dijangka akan mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan:
- Projek penggantian permaidani di ruang solat utama Masjid.
- Projek menaiktaraf pusat sumber yang meliputi pengurusan buku di perpustakaan dan ruang membaca di sayap kiri bangunan Masjid.
- Projek pengubahsuaian dan pembinaan stor menyimpan stok makanan berbungkus, makanan kering (untuk SBKB dan KRAJ) di sebelah Dewan Kuliah berhadapan dengan tempat wuduk lelaki.
- Projek pemasangan sistem solar menyeluruh untuk Masjid penjimatan tenaga elektrik.
- Projek mengecat semula bangunan dan pagar Masjid.
- Projek pengubahsuaian tandas lelaki dan wanita.
- Projek mengubahsuai dan menaiktaraf ruang limpahan di sayap kiri Masjid untuk ruang solat berdinding dan berhawa dingin untuk jemaah muslimat.
- Projek pembinaan kawasan parkir kereta (Projek 2021-2022)- masih tertangguh kerana masalah birokrasi dengan Pejabat Tanah Daerah Seremban.
- Projek Amal Bantuan Rawatan dan Pendidikan untuk golongan yang memerlukan (keluarga miskin).
- Projek mewujudkan ‘Tabung Haji MKPJ’ bagi bantuan atau subsidi Haji Badal dan Subsidi menunaikan ibadah Haji kepada Pegawai Masjid yang berjasa tetapi tidak berkemampuan.
- Cadangan pembinaan Dewan Serbaguna yang telah diluluskan oleh JHEAINS pada 31 Mac 2022 dan usaha pengumpulan dana telah dimulakan pada bulan Mei 2022 masih belum dapat dilaksanakan kerana pihak yang berjanji untuk membiayai projek bernilai RM3 juta itu menghadapi masalah. Kutipan dari ahli kariah yang bernilai RM420,000 (lebih kurang) masih jauh dari mencukupi.
- Projek menaiktaraf ruang memasak kepada ‘Dapur dan Kafetaria MKPJ’ mengandungi ruang memasak (dapur yang sistematik), dewan makan (kafetaria), stor makanan kering, bilik sejuk beku dan stor peralatan masak-memasak dengan mengutamakan faktor keselamatan (safety first).
- Projek membina (renovation) bilik tetamu VIP cum galeri sejarah MKPJ berhampiran lobi sayap kanan masjid.
- Projek Klinik Rawatan Islam.
Peristiwa Bersejarah 30 Julai 2021 - Khatib Jumaat
Sejarah berulang pada 31 Disember 2021
Bersama YB MB Negeri Sembilan semasa sambutan Hari Raya MKPJ 2022
No comments:
Post a Comment