JENERAL ABUDULLAH BIN AHMAD NASUTION TUDM (BERSARA)
PGAT PSAT SSAP SPTS DPTS PAT JMN KMN AMN PJK AMK AAP BK PTU MA(Lancaster) psc(UK) jt TUDM
PANGLIMA TENTERA UDARA KE 13
(4 MAC 2003 HINGGA 4 APRIL 2004)
Abdullah bin Ahmad atau popular dengan panggilan ‘Dollah Nasution' dilahirkan di Kampung Chikus, Teluk Intan, Perak pada 5 Julai 1948. Beliau menyertai latihan Pegawai Kadet di Federal Military College (FMC) dan ditauliahkan ke pangkat Pilot Officer pada 22 September 1968. Beliau menyempurnakan latihan penerbangan di Flying Training School (FTS), Alor Setar dan dianugerahi Sayap Penerbangan pada 8 Februari 1970.
Pilot Officer Abdullah memulakan kerjaya juruterbang sebagai juruterbang helikopter dan beliau pernah berkhidmat di No 5 Skn di TUDM Labuan, Jurulatih Sekolah Latihan Penerbangan Helikopter (SLPH) di TUDM Kuala Lumpur, Juruterbang Pemeriksa (Pilot Examiner) di Markas Udara dan Flight Commander di No. 10 Skn, TUDM Kuantan. Abdullah menjalani Helicopter Flying Instructor Course (QHI) di United Kingdom dalam tahun 1972. Beliau dinaikkan ke pangkat Squadron Leader pada 21 Jun 1979.
Catatan: Nasution merujuk kepada salah satu keturunan keluarga etnik Mandailing yang berasal dari utara Sumatera, Indonesia. Selain dari "Nasution" nama keturunan keluarga dari etnik Mandailing yang agak terkenal ialah Lubis dan Batubara. Selain adri itu ialah keturunan keluarga Pulungan, Batubara, Rangkuti, Daulae, Parinduri, Dalimunte, dan Matondang.
Rujukan: https://ms.wikipedia.org/wiki/Orang_Batak_Mandailing
Setelah 12 tahun berkhidmat sebagai juruterbang helikopter, pada tahun 1982, ‘Dollah Nasution’ telah mengikuti kursus peralihan (conversion) ke pesawat pejuang sehingga berjaya dan selepas itu, beliau mengekalkan pegangan dual category pilot (pejuang dan helikopter) sehingga beliau bersara. Pada tahun 1982 juga, Mej (U) Abdullah mengikuti kursus staf di RAF Staff College, Bracknell, United Kingdom dan sepulangnya ke tanah air dilantik mejadi Ketua No. 6 Skn, TUDM Kuantan (pesawat Tebuan) dan seterusnya dinaikkan ke pangkat Leftenan Kolonel (Udara) pada 11 Jun 1984. Selepas itu beliau memegang pelbagai jawatan staf dan operasi seperti PS1 Pejuang di Markas Besar Operasi Udara (MABES), Flight Commander dan kemudiannya Ketua No 12 Skn (F5E) di TUDM Butterworth, Ketua Cawang Penerbangan TUDM Butterworth, Ketua Jurulatih Pusat Latihan Terbang (PULATIBANG I) TUDM Alor Setar dan Komandan Sekolah Pegawai Kadet TUDM.
Catatan: Walaupun penulis tidak pernah berkhidmat secara langsung di bawah naungan beliau, beliau telah mula mengenali penulis ketika penulis berpangkat Kapt TUDM dan berkhidmat sebagai PS2 Latih (Belanjawan) di DTU-Latih (1992). Ketika itu beliau yang masih berpangkat Lt Kol TUDM merupakan Komandan SPK TUDM. Penulis beberapa kali menghadiri mesyuarat yang melibatkan kewangan di SPK yang dipengerusikan oleh beliau.
Pada tahun 1988 Lt Kol Abdullah TUDM telah menghadiri kursus Master in Defence Studies and International Relations di Univesity of Lancaster, United Kingdom selama setahun. Pada 8 Oktober 1992, Lt Kol Abdullah TUDM telah dinaikkan ke pangkat Kolonel TUDM dan dilantik menjadi Pegawai Memerintah Pangkalan TUDM Kuantan dan setahun kemudian ditukarkan Departmen Tentera Udara sebagai Pengarah Latih.
Catatan: Ketika beliau menyandang jawatan Pengarah Latih, Penulis berkhidmat sebagai PS2 SISMAT C di Bahagian Materiel. Penulis telah memohon untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah (Advanced Diploma in Business Studies) di ITM. Namun setelah ditaja di dalam Lembaga Udara (Air Board), permohonan penulis telah tidak diluluskan. Penulis telah menulis surat rayuan terus kepada Panglima Tentera Udara ketika itu, Lt Jen Dato' Seri Abdul Ghani Aziz TUDM dan dengan izin Allah (swt) rayuan tersebut diluluskan. Kol 'Dollah Nasution' dengan wajah gembira menyampaikan maklumat kelulusan itu kepada penulis ketika berada di dalam lift di MINDEF.
‘Dollah Nasution’ dinaikkan ke pangkat Brig Jen TUDM pada 1 Januari 1995 untuk mengambil alih tugas sebagai Panglima No 1 Divisyen Udara. Pada 31 Disember 1996 Brig Jen Abdullah TUDM telah dilantik untuk menyandang jawatan Komandan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT), dua tahun kemudian Abdullah ditukarkan ke Markas ATM menjadi Ketua Pengarah Cawangan Latihan di BOLP.
Catatan: Pernah penulis mendengar desas-desus atau berita angin berkaitan pertukaran Dollah Nasution dari Panglima No 1 Divisyen Udara ke jawatan Komandan MPAT. Dikatakan berlalu perbezaan pendapat atau kesilapan pengurusan yang berlaku antara beliau dengan PTU. Akibatnya beliau yang dianggap mempunyai bright future di dalam barisan pelapis kepimpinan TUDM telah dipinggirkan ke MPAT dan Markas ATM selama beberapa tahun. Tetapi itu hanya cerita yang penulis dengar, tiada rekod atau catatan rasmi untuk dijadikan rujukan.
Pada 1 Julai 2000, Dollah Nasution dinaikkan ke pangkat Mej Jen TUDM dan dlantik menjadi Ketua Staf Operasi (KSO) dan pada 11 Jun 2001 dinaikkan ke pangkat Lt Jen TUDM untuk menjawat tugas sebagai Timbalan PTU.
Kerjaya 'Dollah Nasution' sampai ke kemuncaknya apabila dilantik menjadi Panglima Tentera Udara yang ke 13 dan dinaikkan ke pangkat Jeneral TUDM pada 4 Mac 2003. Beliau menggantikan Jen Dato' Sri Suleiman bin Mahmud TUDM.
Jeneral Dato’ Seri Abdullah bin Ahmad TUDM bersara sebagai PTU pada 5 April 2004 setelah memimpin TUDM selama satu tahun, satu bulan dan satu hari.
Catatan: Dua hari sebelum tarikh persaraannya, iaitu pada 3 April 2004, 'Dollah Nasution' telah mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Udara yang terakhirnya. Dalam mesyuarat itu, Lembaga Udara telah meluluskan kenaikan pangkat penulis dari Mejar TUDM ke Lt Kol TUDM berkuatkuasa pada 1 Februari 2004. Semasa aku menghulur tangan untuk mengucapkan Selamat Bersara (ketika penulis menyertai sending off street lining di laluan keluar dari Wisma Pertahanan ke Balai Pengawal MINDEF pada 5 April itu, beliau sempat mengucapkan TAHNIAH kepada penulis. Sebelum dinaikkan ke pangkat Lt Kol TUDM, penulis merupakan Pegawai Khas TUDM di Perbendaharaan Malaysia (Putrajaya) sejak 11 Disember 1999.
Penulis bersama Jen Tan Sri Dollah Nasution (2010)
Abdullah juga merupakan Panglima pertama yang memiliki kelayakan sebagai Jurulatih Terbang Kategori A (Cat A) bagi ketiga-tiga kategori pesawat TUDM iaitu helikopter, angkut dan pejuang. Malah, pada usia 56 tahun, Abdullah berjaya membuktikan kemampuannya dengan menunjukkan aksi hebat ketika menerbangkan tiga jenis pesawat, F/A-18D, CN235 dan Alouette III secara berterusan dalam tempoh sejam ketika berlangsungnya sesi pertunjukan udara di pangkalan TUDM Subang.
Sepanjang tempohnya kerjayanya sebagai juruterbang, Dollah Nasution telah menerbangkan pelbagai jenis pesawat seperti Alouette, Nuri S61A, Tebuan CL41G, F5E, MB339A, CN235, F/A-18D dan MiG-29 dengan jumlah jam penerbangan melebihi 5000 jam.
Keberanian luar biasa beliau terserlah apabila melakukan penerbangan solo sambil menunjukkan pelbagai aksi menarik dan mendebarkan semasa menerbangkan helikopter Allouette III buatan Perancis yang berusia lebih 30 tahun dan merupakan pesawat tertua milik TUDM. Abdullah juga pernah menjadi anak Malaysia dan Panglima tentera pertama di dunia melakukan aksi lagak ngeri di atas kapal terbang di udara. Aksi yang dikenali sebagai Wing Walker itu memerlukan beliau keluar dari tempat duduk dan berdiri di atas sayap ketika pesawat sedang terbang. Abdullah melakukannya ketika menghadiri Pertunjukan Udara Royal International Air Tatoo, (RIAT) London, England pada 17 Julai 2002.
Pertunjukan Udara Royal International Air Tatoo
‘Dollah Nasution’ yang juga dikenali sebagai devil pilot telah mencatatkan kejayaan tersendiri apabila melakukan pertunjukan udara pada pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada Oktober 2003, ketika berusia 55 tahun. Penerbangan solo menggunakan helikopter Allouette III dilakukan bagi memberi penghormatan kepada tetamu khas, Dato’ Seri Dr. Mahathir bin Mohamad (kini Tun) yang ketika itu hanya beberapa hari sahaja bakal bersara daripada jawatan Perdana Menteri.
Abdullah telah berkahwin dengan Puan Sri Hajah Nuritun Ashikin binti Kassim dan dikurniakan 4 orang anak.
Abdullah Ahmad telah menerima anugerah Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena Hari Keputeraan Yang Di Pertuan Agong XIV, Tuanku Abul Halim al Muadzam Shah pada bulan Jun 2014.
Dollah Nasution menyerahkan tugas kepada Nik Mohamad
Setelah bersara, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Abdullah TUDM (Bersara) telah menyertai bidang korporat dan dilantik menjadi peneraju beberapa syarkat seperti Ketua Pegawai Eksekutif untuk Langkawi Aerospace Training Centre (LATC), Pengarah Destini Prima Sdn Bhd, Pengarah Atlan Holdings Bhd., Pengarah Naluri Corp Bhd. serta DFZ Capital Bhd. Beliau juga telah dilantik menjadi Pengerusi Eksekutif pertama Suruhanjaya Penerbangan Awam (MAVCOM) yang ditubuhkan pada tahun 2015.
Menteri sahkan gaji bos MAVCOM RM85,000 sebulan
Geraldine Tong: Diterbitkan: May 30, 2018 5:45 PM
Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) Datuk Seri Abdullah Ahmad dibayar gaji sebanyak RM85,000 sebulan.
"Gaji dan elaun sebenarnya, selepas bonus adalah RM85,000 sebulan (pada 2018). Ia lebih daripada gaji asas perdana menteri iaitu RM20,000 ke atas sebulan," kata Loke dalam sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya hari ini.
Bagaimanapun beliau menyatakan MAVCOM tidak dibiayai oleh kerajaan, selain pemberian geran sebanyak RM90 juta.
Beliau berkata pendapatan tahunan MAVCOM adalah RM35 juta manakala kos operasi tahunannya ialah RM25 juta.
Loke menambah beliau tetap membangkitkan isu itu dalam kabinet dan Perdana Menteri telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa mengkaji semula gaji Pengerusi dari badan berkanun, suruhanjaya dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Loke juga berkata pada masa ini, MAVCOM tidak akan mengalami nasib yang sama seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
"MAVCOM akan kekal buat masa ini. Kami tidak bercadang untuk menghapuskan MAVCOM, "katanya.
Rujuk:
https://www.malaysiakini.com/news/427509
CATATAN: APA ITU MAVCOM
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 2016 di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771] sebagai satu entiti bebas yang bertanggungjawab untuk mengawal selia perkara ekonomi dan komersial berhubungan dengan industri penerbangan awam di Malaysia. Matlamat kami adalah untuk menjadikan industri penerbangan awam di Malaysia berdaya maju dari segi komersial, berorientasikan pengguna dan berdaya tahan, agar dapat menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Fungsi-fungsi kami, seperti yang dinyatakan di dalam Akta 771 tersebut, merangkumi:
- mengawal selia perkara ekonomi yang berhubungan dengan industri penerbangan awam;
- memperuntukkan suatu mekanisme bagi perlindungan pengguna;
- memperuntukkan suatu mekanisme bagi penyelesaian pertikaian antara penyedia perkhidmatan penerbangan;
- mentadbir dan menguruskan hak trafik udara; dan
- menasihati Kerajaan, mentadbir dan menguruskan laluan-laluan di bawah obligasi perkhidmatan awam.
Fungsi MAVCOM adalah berbeza daripada fungsi Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM). DCA di MOT bertanggungjawab untuk menggubal dasar utama serta perbincangan antara kerajaan dengan kerajaan (termasuklah untuk menerajui rundingan dua hala atau pelbagai hala mengenai hak trafik udara), manakala CAAM pula akan terus mengawal selia aspek teknikal dan keselamatan bagi industri penerbangan awam di Malaysia.
Rujukan:
https://www.mavcom.my/bm/mengenai-kami/
Tan Sri juga tidak pernah meninggalkan nama penulis sebagai salah seorang tetamu jemputan untuk setiap majlis perkahwinan anak-anak beliau.
Penulis juga pernah mendengar cerita staf di pejabat PTU yang menyatakan bahawa Tan Sri juga akan membancuh kopi atau teh tarik sendiri di pantri pejabatnya. Sebagai Panglima Tentera Udara, beliau hanya perlu menyebut atau meminta sahaja. Namun beliau lebih suka membuatnya sendiri.
Semoga Allah (swt) terus mengurniakan kesejahteraan dan kerahmatan untuk Tan Sri Abdullah Nasution serta keluarga di dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment