
"ZZA"
YANG MATI HIDUP SEMULA
Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Haji Zulkifli bin Haji Zainal Abidin atau dikenali oleh warga ATM sebagai 'ZZA' adalah Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke 20. Perlantikan beliau sebagai PAT ke 20 agak luar biasa atau di luar kebiasaan.
CATATAN 1: Pada suatu ketika dalam tahun 2016 - 2018, Tentera Darat mempunyai 3 orang JENERAL 4 BINTANG dalam satu masa, iaitu Jeneral Tan Sri Raja Mohamad Afandi bin Mohamad Noor, PAT , Jeneral Tan Sri Zulkifli bin Zainal Abidin, NC UPNM (Tan Sri ZZA) dan Jeneral Tan Sri Zulkiple bin Kasim, PTD .
Sejarah 10 TAHUN terakhir Tan Sri ZZA sungguh berliku.
ZZA sepatutnya bersara wajib pada 30 November 2018 dan telah pun memulakan cuti pra-peralihan pada 15 Mei 2018 setelah menyerahkan tugas sebagai Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia UPNM kepada penggantinya Leftenan Jeneral Dato' Haji Abdul Halim bin Jalal.
Namun, keputusan luar jangka Pilihan Raya Umum ke 14 pada 9 Mei 2018 telah mengubah segala-galanya. Apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional (BN), Kerjaaan baharu telah memendekkan kontrak jawatan Panglima Angkatan Tentera yang sedia ada, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor (RMA) dari 20 Jun 2019 kepada 20 Disember 2018. Dengan itu RMA akan mula bercuti pada 20 Jun 2018.
CATATAN 2: Mengapa Kerajaan PH yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir menamatkan perkhidmatan Raja Mohamed Affandi, dapat penulis teka. Walaupun tanpa rujukan bertulis tetapi penulis amat yakin bahawa ia berpunca kepada beberapa kenyataan (ucapan) Affandi yang menyatakan sokongan terbuka (secara langsung) kepada Najib (sebelum PRU). Namun, mengapa Tun Dr Mahathir memanggil semula ZZA untuk kembali berkhidmat, penulis kurang pasti kerana tiada sumber yang boleh dipercayai. "Cuma dengar gitu-gitu sahaja". Pun begitu, penulis percaya, alasannya lebih kurang sama dengan perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Dato' Seri Mohamad Shukri bin Abdul) dan perlantikan Abd Hamid bin Bador sebagai IGP.
Majlis Angkatan Tentera (MAT) setelah diperkenan oleh SPB Yang DiPertuan Agong XV telah meluluskan perlantikan ZZA sebagai Panglima Angkatan Tentera yang ke 20 mulai 20 Jun 2018.
PANGLIMA ANGKATAN TENTERA
Panglima Angkatan Tentera (PAT) atau dalam Bahasa Inggerisnya Chief of Defence Forces (CDF) adalah Ketua Eksekutif atau Ikhtisas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan meupakan pegawai ATM yang paling kanan sebagai penasihat kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong (YDPA) Malaysia, Perdana Menteri dan juga Menteri Pertahanan. PAT juga merupakan jawatan dan pangkat yang tertinggi seseorang pegawai perkhidmatan tetap dalam ATM selepas YDPA selaku Panglima Tertinggi ATM (Supreme Commander atau Commander-in-Chief).
Nama asal jawatan PAT ialah Ketua Turus Angkatan Tentera (KTAT) atau Chief of Armed Forces Staff (CAFS) sehingga ditukar menjadi Panglima Angkatan Tentera pada tahun 1980.
Walaupun PAT dan ketiga-tiga Ketua Perkhidmatan (PTD, PTL dan PTU) sama-sama berpangkat Jeneral 4 bintang (atau setaraf), dan berkemungkinan salah satu dari Panglima Perkhidmatan itu lebih lama atau lebih kanan memegang pangkat Jeneral namun PAT tetap paling kanan dalam senarai kekananan pegawai ATM.
PAT adalah Ahli Tetap dalam Majlis Angkatan Tentera (MAT) yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan. Ahli-ahli MAT yang lain ialah PTD, PTL, PTU, Wakil Majlis Raja-Raja dan Ketua Staf Markas ATM. Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan merupakan Setiausaha MAT manakala Ketua Sekretariatnya ialah Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA).
SENARAI PAT
Terdapat percanggahan fakta sejarah apabila jawatan KTAT hanya diwujudkan pada 4 September 1962 bukan 11 Jun 1956. Ini mengambil kira bahawa jawatan KTAT ini belum diwujudkan sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Pada masa itu, pasukan tentera Tanah Melayu masih terlalu kecil dan didominasi oleh Tentera Darat. Pada tahun 1956, Maj Gen Brook bukan dilantik sebagai Chief of Armed Forces Staff Malaya tetapi sebagai General Officer Commanding (GOC) of Army, Malaya.
Jawatan Chief of Naval Staff dan Chief of Air Staff hanya diwujudkan dalam tahun 1957 atau 1959.
Nama Angkatan Tentera Malaysia secara rasminya dirasmikan bersekali dengan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963. Bagaimanapun, organisasi Angkatan Tentera yang meliputi ketiga-tiga perkhidmatan (Darat, Laut dan Udara) telah dilaksanakan lebih awal. Oleh sebab itu, Gen Rodney More dicatatkan mengambi tugas sebagai Chief of Armed Forces pada 4 September 1962.
Oleh itu, catatan sejarah yang paling logik diterima ialah jawatan Chief of Malayan Armed Forces diwujudkan pada 4 September 1962, setahun sebelum negara Malaysia. Ini kerana catatan dalam wikipedia menunjukkan Jen Tan Sri Rodney Moore melepaskan jawatan KTTD pada 4 September 1962 untuk memberi laluan kepada anak Melayu pertama menjadi KTTD, iaitu Tunku Osman Jewa.
Kemungkinan kedua ialah kedudukan Maj Gen Brook dan Gen Rodney ketika itu hanyalah sebagai Chief of Staff of the Army sahaja. Oleh kerana ketika itu Malaya hanya didominasi oleh Tentera Darat, maka Chief of Staff of the Army dianggap sebagai Panglima kepada Tentera di Malaya.
Sehingga tajuk ini ditulis pada 22 Mei 2025, seramai 23 orang pegawai kanan ATM telah dilantik menjadi KTAT dan PAT.
PAT boleh dilantik dari ketiga-tiga Perkhidmatan ATM (TDM, TLDM dan TUDM). Bagaimanapun sejak jawatan ini diwujudkan, dari jumlah 23 orang yang menyandang jawatan ini, hanya seorang dari TLDM dan dua orang dari TUDM.
Berikut adalah senarai Ketua Turus Tentera ATM atau Panglima ATM:
Major General Frank Hasting Brook (18 Mac 1909 – 25 Januari 1982)
General Officer Commanding of Army, Malaya (11 Jun 1956 hingga 26 Oktober 1959) - 3 tahun 137 hari
(jawatan Chief of Armed Forces Staff masih belum diwujudkan)
General Dato' Sir James Newton Rodney Moore (9 Jun 1905– 19 Mei 1985).
Chief of Staff of the Malayan Army (27 Oktober 1959 hingga 3 September 1962) - 3 tahun 311 hari
Kemudian dilantik menjadi Chief of Staff of the Malaysian Armed Forces and Director of Border Operations (4 Sep 1962 hingga 6 Januari 1964) - 1 tahun 119 hari
Tan Sri (Kehormat)
Lt Gen Tunku Osman Jewa mengucapkan Selamat Jalan kepada Gen Rodney pada 7 Januari 1964
Jeneral Tan Sri Tunku Osman Jewa bin Tunku Mohamed Jewa (24 November 1919 – 19 Apr 1994)
Ketua Turus Angkatan Tentera (7 Januari 1964 hingga 24 Nov 1969) - 5 tahun 327 hari
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)
Jeneral Tan Sri Abdul Hamid bin Abidin @ Bidin (1 Jul 1918–12 Jun 1996)
Ketua Turus Angkatan Tentera (25 Nov 1969 - 30 Jun 1970) - 217 hari.
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)
Jeneral Tan Sri Ibrahim bin Ismail (19 Okt 1922 – 23 Dis 2010)
Ketua Turus Angkatan Tentera (1 Jul 1970 - 30 Nov 1977) - 7 tahun 52 hari.
(dari jawatan Panglima Divisyen Kedua Infantri dan Ketua Eksekutif MAGERAN)
Tun (setelah bersara)
Jeneral Tan Sri Dato' Mohd Sany bin Abdul Ghaffar (19 Januari 1927 – 23 Ogos 2015)
Ketua Turus Angkatan Tentera (1 Dis 1977 hingga 19 Jan 1981) - 3 tahun 49 hari
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)
Jeneral Tan Sri Dato' Mohd Ghazali Mohd Seth (4 Februari 1929 - 24 Ogos 2021)
Panglima Angkatan Tentera (20 Jan 1981 hingga 31 Okt 1985) - 4 tahun 284 hari. (dari jawatan Panglima Tentera Darat)
Jeneral Tan Sri Dato' Mohd Ghazali bin Che Mat (19 Disember 1931 - 7 Julai 2021)
Panglima Angkatan Tentera (1 Nov 1985 hingga 5 Okt 1987) - 1 tahun 338 hari
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)
Jeneral Tan Sri Dato' Seri Mohamed Hashim bin Mohamed Ali (10 April 1937 - kini)
Panglima Angkatan Tentera (6 Okt 1987 hingga 10 Apr 1992) - 4 tahun 187 hari
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)
Tun (setelah bersara)
Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Yaacob Mohd Zain (1936 - kini)
Panglima Angkatan Tentera (11 Apr 1992 - 3 Mac 1993) - 326 hari.
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)
Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Abdul Rahman bin Abdul Hamid (11 November 1938 - 2 Jun 2022)
Panglima Angkatan Tentera (4 Mac 1933 hingga 31 Jan 1994) - 333 hari.
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)
Jeneral Tan Sri Dato' Borhan bin Ahmad (12 Disember 1939 - kini)
Panglima Angkatan Tentera (1 Feb 1994 - 2 Feb 1995) - 1 tahun 1 hari.
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)
Jeneral Tan Sri Dato' Seri Ismail bin Omar (1941 - kini)
Panglima Angkatan Tentera (3 Feb 1995 - 31 Dis 1998) - 3 tahun 331 hari
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)
Jeneral Tan Sri Dato' Seri Mohd Zahidi bin Zainuddin (30 April 1948 - kini)
Panglima Angkatan Tentera (1 Jan 1999 hingga 28 Ap 2005) - 6 tahun 117 hari
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)
Laksamana Tan Sri Dato' Seri Mohammad Anwar bin Mohammad Nor TLDM (12 Mac 1950 - kini)
Panglima Angkatan Tentera (29 Apr 2005 hingga 31 Jan 2007) - 1 tahun 277 hari
(dari jawatan Panglima Tentera Laut)
Jeneral Tan Sri Dato' Seri Abdul Aziz bin Zainal (26 Ogos 1951 - kini)
Panglima Angkatan Tentera (1 Feb 2007 hingga 31 Ogos 2009) - 2 tahun 211 hari
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)
Jeneral Tan Sri Dato' Sri Azizan bin Ariffin TUDM (25 Oktober 1952 - kini)
Panglima Angkatan Tentera (1 Sep 2009 hingga 14 Jun 2011) - 1 tahun 286 hari
(dari jawatan Panglima Tentera Udara)
Jeneral Tan Sri Dato' Seri (Dr) Zulkifeli bin Mohd Zin (14 Jun 1954 - kini)
Panglima Angkatan Tentera (15 Jun 2011 hingga 16 Dis 2016) - 5 tahun 184 hari
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)
Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor (20 Jun 1957 - kini)
Panglima Angkatan Tentera (17 Dis 2016 hingga 19 Jun 2018) - 1 tahun 185 hari
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)
Jeneral Tan Sri Dato' Seri Zulkifli bin Zainal Abidin (30 November 1958 - kini)
Panglima Angkatan Tentera (20 Jun 2018 - 31 Disember 2019) - 1 tahun 193 hari.
((dari jawatan Panglima Tentera Darat dan Naib Canselor UPNM)
Jeneral Tan Sri Dato' Sri Affendi bin Buang TUDM (21 Ogos 1962 - kini)
Panglima Angkatan Tentera (2 Januari 2020 - 6 September 2023)- 3 tahun 244 hari.
(dari jawatan Panglima Tentera Udara)
Jeneral Tan Sri Dato' Seri Mohammad bin Abdul Rahman (15 Mac 1964 - kini)
Panglima Angkatan Tentera (7 September 2023 - 30 Januari 2025) - 1 tahun 144 hari.
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)
Jeneral Datuk Mohd Nizam bin Jaffar (3 Ogos 1966 - kini)
Panglima Angkatan Tentera (31 Januari 2025) -
(dari jawatan Assisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota)
BIODATA ZZA
JENERAL TAN SRI HAJI ZULKIFLI BIN HAJI ZAINAL ABIDIN
PGAT PMN PSM PJN SIMP SPTS SPMT SSTM SPKK DHMS DGPN PSAT DPTS DPMS DGMK PAT JSM KMN BSK AMK PJM rcds mpat lmt FCILT MM (AIM) Manila ADBM (Wales)
Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin telah dilahirkan di Port Weld (sekarang Kuala Sepetang), Taiping Perak pada tanggal 30 November 1958. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Lenggong, Perak dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Maktab Tentera Diraja. Beliau telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada 21 Disember 1978 ke dalam Kor Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Zulkifli berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan dari Asian Institute of Management, Manila, Filipina. Selain itu, Tan Sri Hj Zulkifli juga memperolehi Diploma Lanjutan dalam Perniagaan dan Pengurusan (Kepujian) dari Swansea Institute of Higher Education, University of Wales. Beliau juga mempunyai diploma MTAT, MPAT dan Diploma dari Royal College of Defence Studies (Imperial Defence College), London. Zulkifli juga telah menghadiri pelbagai kursus-kursus akademik dan ketenteraan di luar negara seperti di New Zealand, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Zulkifli telah berpeluang menjawat pelbagai jawatan di peringkat staf, pemerintahan dan latihan di pelbagai peringkat Tentera Darat dan Angkatan Tentera berikut:
- Ketua Platun dalam Batalion Infantri.
- Ketua Platun Risik Gempur.
- Pegawai Semboyan Rejimen (RSO).
- Pegawai Perisikan (IO)
- Ajutan
- Senior Instructor di New Zealand Army Infantry School (1986 - 1988)
- Jurulatih IPDA (1992 - 1993)
- Penolong Ketua Kompeni.
- Ketua Kompeni.
- Pegawai Latih.
- Pegawai Memerintah.
- Pegawai Staf 3,2 dan 1.
- PSK, MA dan ADC.
- Komandan PUASDA (1992 - 1993)
- Panglima Briged.
- AKS Perancang Pertahanan di Markas ATM
- Naib Canselor UPNM (2008 - 2010)
- Timbalan PTD (Mei 2010 - Jun 2011)
- Panglima Tentera Darat(PTD) (Jun 2011 - 2013)
- Naib Canselor UPNM (2013 - 2018)
Zulkifli mempunyai banyak pengalaman akademik dan telah dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia sebanyak dua kali, iaitu dari 1 Mei 2008 hingga 20 Mei 2010 dan dari 14 Jun 2013 hingga 15 Mei 2018. Beliau telah menghadiri pengajian di Naval Post Graduate School, Monterey USA, Defence Management di Canberra Australia dan Senior Development Program di John F. Kennedy School of Government, Harvard University, Massachusetts, Amerika Syarikat pada tahun 2010.
Zulkifli mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang kejurulatihan khasnya apabila telah dipinjamkan ke New Zealand Army sebagai Jurulatih Kanan di New Zealand Army Infantry School daripada tahun 1986 sehingga 1988. Beliau bertanggungjawab dalam pengajaran pegawai dan anggota New Zealand Army dan negara-negara Komanwel yang lain dalam pengajian senjata, taktik dan Counter Insurgency Warfare. Pengalaman ketenteraan Jeneral Tan Sri Hj Zulkifli amat luas dimana telah terlibat secara aktif dalam operasi Counter Insurgency Warfare semasa operasi melawan anasir komunis selama 10 tahun bermula dari tahun 1979 dan berakhir pada tahun 1989.
Sepanjang perkhidmatan sebelum dilantik menjadi PAT ke 20, Jeneral Tan Sri Hj Zulkifli telah menunjukkan prestasi yang sangat cemerlang dalam kerjaya, begitu juga kursus-kursus yang dihadiri, beliau seringkali merangkul gelaran penuntut terbaik keseluruhan. Kecemerlangan dan kepimpinan beliau adalah kunci utama beliau terpilih menyandang pelbagai jawatan penting dalam ATM. Zulkifli juga terkenal sebagai seorang pakar penembak tepat (sharp shooter).
Sebagai mengiktiraf perkhidmatan dan sumbangannya kepada negara, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin telah dianugerahkan Darjah Kebesaran PANGLIMA MANGKU NEGARA (PMN) dan PANGLIMA SETIA MAHKOTA (PSM) yang membawa gelaran “Tan Sri” daripada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Tan Sri juga dianugerahkan berberapa anugerah kebesaran yang membawa gelaran Dato' Seri/Datuk/Dato' dari Kerajaan Persekutuan dan Negeri seperti PJN Persekutuan), SPTS & DPTS (Perak), SIMP (Pahang), SPMT (Terengganu), SSTM (Negeri Sembilan), SPKK (Kelantan) DHMS & DGMK (Kedah), DGPN (P.Pinang) serta DPMS (Selangor). Beliau turyt menerima anugerah Darjah Kepahlawanan ATM, PGAT dan PSAT.
Pada 2017, Lembaga Pengurusan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia telah melantik Tan Sri sebagai Profesor Ikhtisas. Beliau juga merupakan Adjunt Professor di Pusat Inovasi Perniagaan dan Usahawan Teknologi (CBIT), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) sejak tahun 2010.
Dalam bidang pengurusan, minat Jeneral Tan Sri Hj Zulkifli adalah dalam Pertahanan, Latihan dan Pengurusan Sumber Manusia. Dalam pengajian pertahanan dan keselamatan, beliau amat meminati dalam bidang Total Defence, Counter Insurgency Warfare and Terrorism. Beliau juga merupakan pembaca gemar dalam subjek Kepimpinan dan Pembangunan.
Antara pencapaian beliau di sepanjang perkhidmatan adalah menjadi penuntut terbaik dalam pelbagai kursus ketenteraan yang beliau hadiri. Semasa memegang jawatan sebagai Panglima 7 Briged, beliau juga telah berjaya memenangi Army Award Excellence in Management pada tahun 2006 dan Armed Forces Award of Excellence pada tahun 2007.
Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin sudah berkahwin dengan pasangannya Puan Sri Datin Seri Hajjah Rusnah binti Haji A. Rahman dan mereka telah dikurniakan empat orang cahaya mata. Pada masa lapang, beliau suka berkebun, memancing dan memburu.
http://www.mafhq.mil.my/index.php/my/panglima-tertinggi/profil-pat
https://en.wikipedia.org/wiki/Zulkifli_Zainal_Abidin
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/06/433166/zulkifli-zainal-abidin-bakal-pat
ZZA memakai beret Kehormat Rejimen Gerak Khas
Serah Terima Tugas PAT Ke-20
Ditulis oleh www.btdmonline.net
Diterbitkan: 20 Jun 2018
KUALA LUMPUR: Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkerja di Kementerian Pertahanan hadir dalam Majlis Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Tentera diantara Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin di Auditorium Kementerian Pertahanan pada 20 Jun 2018.
Majlis diteruskan dengan menandatangai Nota Serah Terima Tugas PAT Ke-20 yang saksikan oleh Menteri Pertahanan (MENHAN), Hj Mohamad Sabu.
Pada masa sama, majlis juga bersempena dengan persaraan mantan PAT yang akan bersara setelah 42 tahun menabur bakti dan mengabdikan diri kepada ATM serta peralihan tampuk pemerintahan ATM yang baharu.
Mengimbas keperibadian PAT Ke-20, Jen Tan Sri Dato’ Sri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin, beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan pernah memegang beberapa jawatan penting antaranya sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat pada 20 Mei 2010 dan seterusnya dilantik sebagai Panglima Tentera Darat Ke-24 pada 14 Jun 2011.
Majlis diakhiri dengan acara simbolik iaitu street lining bagi memberi penghargaan dan penghormatan terakhir kepada mantan PAT oleh pegawai-pegawai ATM bermula dari pintu hadapan Kementerian Pertahanan hingga ke Balai Pengawal Utama.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Halimi Abd Manaf, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affandi Buang TUDM.




Tan Sri ZZA pada hari pertama melapor diri ke Wisma Pertahanan untuk memasuki
pejabat PAT
LALUAN BERLIKU
Tulisan (di bawah tajuk kecil) ini bukanlah diambil melalui bahan rujukan rasmi. Penulis mendapat maklumat melalui bloggers dan juga perbualan sesama pegawai kanan ATM (khususnya Tentera Darat) yang mengenali dan mengikuti perkembangan kerjaya Jen Tan Sri Zulkifli bin Zainal Abidin (ZZA). Sumber menyifatkan bahawa kembalinya ZZA dalam tampuk tertinggi ATM adalah langkah yang tepat tetapi di luar jangkaan - walaupun terdapat segelintir dari kalangan yang rapat dengan beliau telah dapat menghidu perubahan itu.
Mengikut sumber itu juga, berasaskan kelaziman atau tradisi perlantikan PAT, ketika ZZA menyandang jawatan PTD merupakan salah seorang pewaris jawatan PAT. Pesaing beliau adalah PTL atau PTU. ZZA telah dilantik sebagai Panglima Tentera Darat (PTD) pada 14 Jun 2011. Berasaskan kepada prestasi perkhidmatannya, beliau telah dilihat sebagai bakal pengganti PAT.
Namun pada 14 Jun 2013, Majlis Angkatan Tentera telah membuat rombakan luar jangka dalam barisan kepimpinan Tentera Darat. Menteri Pertahanan (MENHAN) ketika itu ialah Dato' Sri Hishammuddin bin Hussein (mulai 16 Mei 2013) dan PAT ialah Jen Tan Sri Zulkifeli bin Mohd Zin.
CATATAN 3: Perubahan ini berlaku ketika kemuncak pencerobohan militan Sulu di Lahad Datu mulai Februari 2013. Zulkifli dikatakan tidak sependapat dengan pucuk pimpinan ATM (tidak pasti sama ada MENHAN atau PAT) berkaitan operasi menamatkan pencerobohan itu. Tidak mungkin MENHAN kerana beliau baru sebulan melapor diri (menggantikan Dato' Seri Ahmad Zahid).
Pada 14 Jun 2013, Ketua Staf Markas ATM, Lt Jen Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor telah dilantik menjadi PTD. Manakala ZZA ditukarkan ke jawatan Naib Canselor (NC) UPNM.
Dalam organisasi ATM, jawatan NC UPNM adalah perjawatan Leftenan Jeneral. Maka, pertukaran ZZA ke UPNM sebagai satu demotion exercise. Atau, sebagai usaha untuk memaksa beliau bersara lebih awal. Dalam istilah HR juga disebut sebagai constructive dismissal. Perlu dimakumi bahawa ZZA telah pernah menduduki kerusi NC UPNM selama 3 tahun sebelum dilantik menjadi PTD. Maka ZZA bertahan dalam buangan di UPNM selama 5 tahun. Satu tempoh jawatan yang terlalu panjang bagi seorang yang berpangkat 4 bintang.
Pada 19 Disember 2016, apabila Tan Sri Zulkifli Mohd Zin bersara dari jawatan PAT, hukuman ke atas ZZA masih belum diringankan atau diampunkan. Maka, Raja Affandi dilantik sebagai PAT ke 19. ZZA kekal di UPNM.
Sehinggalah berlaku pertukaran Kerajaan dari BN kepada PH pada 9 Mei 2018. Beberapa hari sahaja Tun Dr Mahathir mengambil alih jawatan PM (kali kedua), Kerajaan telah memutuskan untuk menamatkan kontrak perkhidmatan Raja Affandi pada 20 Jun 2018. Mengikut tempoh lanjutan kontrak dengan Kerajaan sebelumnya, tarikh persaraan beliau adalah pada 31 Disember 2018. ZZA yang ketika itu telah bercuti sebelum bersara pada 30 November 2018.
Maka, ramai yang berpendapat, walaupun ZZA sepatutnya sudah boleh melupakan cita-citanya untuk menjadi PAT dan telah dipinggirkan selama lima tahun beliau (di UPNM) telah diberikan haknya semula.
"Meraka merancang, Allah juga merancang, Allah adalah sebaik-baik perancang"
(Surah Ali Imran: Ayat 54)
PERKENALAN PUTERA LAPIS MAHANG DENGAN ZZA
Pada 8 April 2018 penulis telah dinaikkan dari pangkat Kolonel TUDM ke Brigedier Jeneral TUDM dan ditukarkan jawatan dari Pengarah Bantuan Khidmat, Bahagian KOMLEK, Markas ATM ke jawatan Ketua Pengarah Operasi Logistik, Bahagian Logistik Pertahanan (BLP), Markas ATM.
PAT ketika itu adalah YM Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi. Pembaca boleh merujuk semula episod penulisan tentang Raja Affandi di sini:
Boss penulis adalah Mej Jen Dato' Mohd Razif bin Idris (AKS Logistik Pertahanan). Razif akan mula bercuti dan menjalani latihan peralihan (sebelum bersara) mulai 18 Disember 2018. Beliau sudah mula mengurangkan komitmennya di dalam pejabat. Kebetulan, penulis sendiri sudah memasuki tahun terakhir perkhidmatan, akan mula bercuti pada bulan April 2019. Pun begitu, penulis tidak pernah merasakan untuk mengambil kesempatan untuk mengurangkan komitmen tugas-tugas di pejabat.
Selaku orang nombor dua di BLP, penulis kerap mewakili AKS LP (Dato' Razif) untuk menghadiri banyak mesyuarat penting di peringkat ATM dan MINDEF di mana AKS LP merupakan ahli tetap atau ahli jemputan seperti Mesyuarat Jawatan Kuasa Kewangan dan Akaun (JKKA), Jawatan Kuasa Pengurusan Kewangan dan Aset (JPKA) MINDEF, Jawatan Kuasa Perolehan (JKP) MINDEF, , Jawatan Kuasa Keupayaan Operasi dan Kesiapsiagaan ATM (JKOKK), Forum Bulanan PAT, Forum Bulanan Ketua Staf Markas ATM, Jawatan Kuasa Integriti dan Tadbir Urus (JITU) ATM, Jawatan Kuasa Spesifikasi Pakaian (JKSP) ATM, Jawatan Kuasa Spesifikasi Peralatan ATM hinggalah ke forum tertinggi di peringkat ATM iaitu Jawatan Kuasa Panglima-Panglima ATM (JPP).
Amalan dan mewakili AKS di atas diteruskan setelah Raja digantikan oleh ZZA mulai 20 Jun 2028.
Terus terang penulis katakan bahawa sebelum bertukar ke BLP, penulis tidak pernah bersemuka dengan ZZA, jauh sekali untuk bertegur sapa atau berbual.
Kekerapan kehadiran penulis dalam mesyuarat-mesyuarat di atas menyebabkan penulis cepat dikenali oleh barisan kepimpinan tertinggi ATM.
Kali pertama penulis berpeluang bertemu secara dekat dengan ZZA (dan seterusnya kerap bertemu) adalah ketika penulis, selaku Ketua Pengarah Operasi Logistik (KPOL) di BLP membantu menguruskan persiapan kediaman rasmi PAT di Bukit Petaling (berhampiran dengan Istana Negara lama). Beliau baru mengambil alih kediaman rasmi tersebut yang dikosongkan oleh Raja Affandi. BLP perlu memperlengkapkan semula kediaman tersebut mengikut hak dan kelayakan penghuninya.
Selepas itu, penulis kerap mewakili AKS LP dalam beberapa mesyuarat yang dipengerusikan oleh PAT. Dari situlah juga beliau mengenali diri penulis. Gaya kepimpinan dan pengurusannya yang lebih terbuka, approacheable dan mudah mesra menyebabkan pegawai-pegawai kanan di bawahnya lebih bersedia untuk mengutarakan buah fikiran dan berbincang. Sepanjang pengalaman bermesyuarat dengan Tan Sri ZZA, aku tidak pernah melalui situasi yang stress. Beliau bijak mengawal suasana dengan cerita-cerita berbentuk humour dan sesekali dalam gurauan itu beliau terlepas kata yang mengenakan seseorang atau melepaskan sindiran tajam.
ZZA juga merupakan individu yang membuka laluan baru dalam kerjaya penulis. Pada awalnya, penulis insaf dan sedar bahawa kenaikan ke pangkat Brig Jen TUDM dan pertukaran ke BLP pada bulan April 2018 sebagai KPOL merupakan puncak tertinggi atau titik terakhir dalam kerjaya penulis. Tanpa dijangka, tanpa disangka dan tidak pernah terfikir sekalipun, hala perjalanan kerjaya penulis berubah di penghujung destinasi. ZZA telah memberi jalan untuk penulis mengambil alih jawatan AKS LP apabila Mej Jen Dato’ Razif memulakan cuti pra-persaraan pada 17 Disember 2018. Dalam persetujuan bersama di peringkat kepimpinan tertinggi ATM, perjawatan AKS LP (Mej Jen) merupakan jawatan tri-service tetapi ia adalah quota yang diperuntukan kepada Tentera Darat. Manakala perjawatan KPOL (Brig Jen) adalah quota yang diperuntukkan kepada TUDM. Logiknya, kerjaya penulis akan tamat di situ sebagaimana yang berlaku kepada predecessor penulis.
Pada mulanya penulis menganggap arahan tersebut hanya sekadar memangku tugas sehingga pihak ATM menetapkan penggantinya yang hakiki. Rupanya ia dikekalkan sehingga penulis mengakhiri perkhidmatan.
Selain itu, ZZA merupakan insan yang mencadangkan kenaikan pangkat penulis ke Mej Jen TUDM berkuatkuasa 9 April 2019, iaitu 43 hari sebelum penulis memulakan cuti pra-persaraan. Satu kedudukan yang yang sebenarnya telah tiada dari impian penulis.
KERLIPAN BINTANG DI HUJUNG PERJALANAN
Allah (swt) apabila mahu memberikan rezeki kepada hambanya dengan pelbagai cara penyampaian. Ada yang mudah dan straight foward dan ada yang terpaksa melalui jalan yang becak berliku-liku. Firman Allah (swt) yang bermaksud;
“.....Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia (Allah) akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." (Surah Ath Thalaq, Ayat 2 dan 3).
Penulis, sejak zaman kanak-kanak melalui kejayaan dan kemalangan atau kegagalan, melalui saat mencicipi kemanisan dan menelan kepahitan. Penulis sedar, penulis adalah insan yang terlalu banyak dosa dan penulis insaf bahawa Allah (swt) telah memberi terlalu banyak rezeki tidak seimbang dengan dosa dan kejahatan yang aku telah lakukan. Oleh sebab itu, ia mengingatkan penulis bahawa bukan setiap nikmat itu adalah anugerah, sebahagiannya adalah ujian yang berterusan. Jika Allah mahu memberi sesuatu, Allah meletakkan individu tertentu di tempat-tempat yang boleh melorongkan jalan bagi memudahkan perjalananku.
Genap setahun sebelum penulis memulakan cuti untuk bersara, penulis ditukarkan ke BLP sebagai KPOL, dan dinaikkan ke pangkat Brig Jen TUDM. Orang kata, dapatlah pencen satu bintang. Penulis tidak pernah sama sekali memikirkan apa-apa lagi ganjaran kenaikan pangkat lagi dalam kerjaya selepas itu.
Sedikit kesah sebelum berlakunya kenaikan pangkat ke Mejar Jeneral TUDM. Semasa penulis mengambil alih tugas AKS LP pada 17 Disember 2018, pihak ATM masih belum menentukan calon untuk menggantikan Mej Jen Dato’ Razif. Seperti yang penulis sebut sebelum ini, jawatan AKS LP (dua bintang) ini adalah quota untuk Tentera Darat.
Desas-desus ketika itu menyebut bahawa tempat Dato' Razif akan diambil alih oleh Brig Jen Dato’ Hassim bin Jabar (KPD) dari Markas Pemerintahan Latihan TD. Namun MAT telah menggunakan pangkat yang dikosongkan oleh Dato’ Razif untuk menaikkan pangkat Brig Jen Dato’ Mahendra Sivapatha Sundram (Ketua Pengarah Cawangan Operasi di BOLP) dan beliau dikekalkan di BOLP untuk menyelesaikan projek Kertas Putih Pertahanan (KPP) sehingga 21 Mei 2019. Selepas itu baharulah Dato’ Hassim dinaikkan pangkat dan mengisi jawatan AKS LP. Oleh itu, sementara menunggu tarikh 21 Mei itu, penulis telah diarahkan untuk melaksanakan tugas AKS LP. Penulis sepatutnya memulakan cuti sebelum mengikuti latihan peralihan pada 21 April 2019.
Lebih kurang dalam bulan Februari 2019, dalam satu pertemuan (berkaitan kerja) di pejabatnya, PAT, ada bertanya kepada penulis,
“Dato’ bila habis (tamat perkhidmatan)?.”
Catatan: Walaupun penulis belum menerima rasmi (investiture) anugerah Dato’ (baru menerima surat tawaran rasmi dari SUK Pahang pada bulan Oktober 2018, PAT selalu memanggil aku dengan panggilan Dato’).
“Tarikh bersara 22 November, Tan Sri, tapi saya akan mula bercuti pada 21 April 2019,” jawab penulis.
“Eh, tak boleh la macam tu. Pengganti you akan sampai pada bulan Mei. You tak boleh extend ke?”, soal PAT lagi. Aku mendiamkan diri, tidak tahu apa hendak dijawab.
“Ok never mind, I will talk to your Chief (PTU)”, kata PAT menamatkan tajuk perbualan.
Pertengahan bulan Mac, lebih kurang dua minggu sebelum berlangsungnya Pamiran LIMA ’19, AKSPA (Mej Jen Dato’ Hj Azlan - kebetulan skuad penulis -TJP 37) ada menemui penulis di pejabat. Beliau telah menceritakan pertemuan dan perbualan beliau dengan PAT seperti berikut;
"Tan Sri ada apa-apa plan ke untuk Jen (Brig Jen) Toha ke?”.
"Ada appointment kosong ke,?” PAT menyoal kembali.
"Perjawatan di Markas ATM tak ada Tan Sri, tapi di Air Force ada satu jawatan two star kosong pada 9 April, setakat ini Air Force masih belum nominate calon (ditaja dalam Senior Board) untuk isi jawatan itu.”
Menurut Dato’ Azlan, PAT terus menelefon PTU mungkin untuk mendapatkan restu bagi meminjamkan perjawatan TUDM (AKS Sumber Manusia) mulai 9 April hingga 21 Mei 2019. Lanjutan dari itu, dalam tempoh seminggu, semua tindakan staf dilaksanakan di peringkat TUDM dan Markas ATM (BPA) dan seterusnya dibawa ke sidang MAT yang berlangsung pada 21 Mac 2019 untuk diluluskan.
Sepanjang tempoh penulis berada di Pamiran LIMA (23 hingga 30 Mac 2019) penulis telah berada pada tahap morale yang paling tinggi kerana ketika itu penulis sudah mengetahui bahawa MAT telah meluluskan kenaikan pangkat penulis ke Mej Jen TUDM berkuatkuasa 9 April 2019. Hanya menunggu perkenan YDP Agong sahaja. Semua maklumat masih dalam kategori RAHSIA BESAR.
Kawat (dari MTU-BSM) mengenai perkenan SPB YDP Agong dikeluarkan pada 17 April 2019 dan majlis pemakaian pangkat Mejar Jeneral TUDM disempurnakan oleh PTU (Jen Tan Sri Affendi bin Buang TUDM) pada 19 April 2019 di Bilik Eagle Nest, Tingkat 19 jam 1100H.
Oleh itu, penulis tidak dapat menafikan bahawa peranan dan kepercayaan serta hadiah yang diberi oleh Jen Tan Sri Zulkifli bin Zainal Abidin kepada penulis untuk mengakhiri perkhidmatan dengan penuh gemerlapan.
KUNJUNGAN HORMAT
Beberapa hari sebelum meninggalkan pejabat dan Wisma Pertahanan buat kali terakhir di dalam seragam TUDM, pada 14 April 2019 jam 0930H, penulis mengadakan kunjungan hormat perpisahan kepada Panglima Angkatan Tentera. Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin di pejabat beliau di Tingkat 5, Wisma Pertahanan.
Pastinya penulis mengambil kesempatan menyampaikan luahan rasa terima kasih di atas apa kurniaan Allah (swt) di luar jangkaan yang penulis terima dalam tempoh singkat dan padat di bawah naungan beliau.
TERIMA KASIH TAN SRI ZZA
JASAMU DI KENANG
SEMOGA ALLAH MEMBERKATI KEHIDUPAN TAN SRI SERTA KELUARGA DI DUNIA DAN AKHIRAT
No comments:
Post a Comment