Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang
YANG AWAL DAN YANG AKHIR

Saturday, May 24, 2025

AF 154 : ZZA KENALAN DI HUJUNG PERKHIDMATAN


"ZZA"
YANG MATI HIDUP SEMULA

Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Haji Zulkifli bin Haji Zainal Abidin atau dikenali oleh warga ATM sebagai 'ZZA' adalah Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke 20. Perlantikan beliau sebagai PAT ke 20 agak luar biasa atau di luar kebiasaan.

CATATAN 1:  Pada suatu ketika dalam tahun 2016 - 2018, Tentera Darat mempunyai 3 orang JENERAL 4 BINTANG dalam satu masa, iaitu Jeneral Tan Sri Raja Mohamad Afandi bin Mohamad Noor, PAT , Jeneral Tan Sri Zulkifli bin Zainal Abidin, NC UPNM (Tan Sri ZZA) dan Jeneral Tan Sri Zulkiple bin Kasim, PTD .

Sejarah 10 TAHUN terakhir Tan Sri ZZA sungguh berliku.

ZZA sepatutnya bersara wajib pada 30 November 2018 dan telah pun memulakan cuti pra-peralihan pada 15 Mei 2018 setelah menyerahkan tugas sebagai Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia UPNM kepada penggantinya Leftenan Jeneral Dato' Haji Abdul Halim bin Jalal. 

Namun, keputusan luar jangka Pilihan Raya Umum ke 14 pada 9 Mei 2018 telah mengubah segala-galanya. Apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional (BN), Kerjaaan baharu telah memendekkan kontrak jawatan Panglima Angkatan Tentera yang sedia ada, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor (RMA) dari 20 Jun 2019 kepada 20 Disember 2018. Dengan itu RMA akan mula bercuti pada 20 Jun 2018.

CATATAN 2: Mengapa Kerajaan PH yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir menamatkan perkhidmatan Raja Mohamed Affandi, dapat penulis teka. Walaupun tanpa rujukan bertulis tetapi penulis amat yakin bahawa ia berpunca kepada beberapa kenyataan (ucapan) Affandi yang menyatakan sokongan terbuka (secara langsung) kepada Najib (sebelum PRU). Namun, mengapa Tun Dr Mahathir memanggil semula ZZA untuk kembali berkhidmat, penulis kurang pasti kerana tiada sumber yang boleh dipercayai. "Cuma dengar gitu-gitu sahaja". Pun begitu, penulis percaya, alasannya lebih kurang sama dengan perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Dato' Seri Mohamad Shukri bin Abdul) dan perlantikan Abd Hamid bin Bador sebagai IGP. 

Majlis Angkatan Tentera (MAT) setelah diperkenan oleh SPB Yang DiPertuan Agong XV telah meluluskan perlantikan ZZA sebagai Panglima Angkatan Tentera yang ke 20 mulai 20 Jun 2018.

PANGLIMA ANGKATAN TENTERA

Panglima Angkatan Tentera (PAT) atau dalam Bahasa Inggerisnya Chief of Defence Forces (CDF)  adalah Ketua Eksekutif atau Ikhtisas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan meupakan pegawai ATM yang paling kanan sebagai penasihat kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong (YDPA) Malaysia, Perdana Menteri dan juga Menteri Pertahanan. PAT juga merupakan jawatan dan pangkat yang tertinggi seseorang pegawai perkhidmatan tetap dalam ATM  selepas YDPA selaku Panglima Tertinggi ATM (Supreme Commander atau Commander-in-Chief).

Nama asal jawatan PAT ialah Ketua Turus Angkatan Tentera (KTAT) atau Chief of Armed Forces Staff (CAFS) sehingga ditukar menjadi Panglima Angkatan Tentera  pada tahun 1980.

Walaupun PAT dan ketiga-tiga Ketua Perkhidmatan (PTD, PTL dan PTU) sama-sama berpangkat Jeneral 4 bintang (atau setaraf), dan berkemungkinan salah satu dari Panglima Perkhidmatan itu lebih lama atau lebih kanan memegang pangkat Jeneral namun PAT tetap paling kanan dalam senarai kekananan pegawai ATM. 

PAT adalah Ahli Tetap dalam Majlis  Angkatan Tentera (MAT) yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan. Ahli-ahli MAT yang lain ialah PTD, PTL, PTU, Wakil Majlis Raja-Raja dan Ketua Staf Markas ATM. Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan merupakan Setiausaha MAT manakala Ketua Sekretariatnya ialah Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA).   

SENARAI PAT

Terdapat percanggahan fakta sejarah apabila jawatan KTAT hanya diwujudkan pada 4 September 1962 bukan 11 Jun 1956. Ini mengambil kira bahawa jawatan KTAT ini belum diwujudkan sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Pada masa itu, pasukan tentera Tanah Melayu masih terlalu kecil dan didominasi oleh Tentera Darat. Pada tahun 1956, Maj Gen Brook bukan dilantik sebagai Chief of Armed Forces Staff Malaya tetapi sebagai General Officer Commanding (GOC) of Army, Malaya.

Jawatan Chief of Naval Staff dan Chief of Air Staff hanya diwujudkan dalam tahun 1957 atau 1959. 

Nama Angkatan Tentera Malaysia secara rasminya dirasmikan bersekali dengan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963. Bagaimanapun, organisasi Angkatan Tentera yang meliputi ketiga-tiga perkhidmatan (Darat, Laut dan Udara) telah dilaksanakan lebih awal.  Oleh sebab itu, Gen Rodney More dicatatkan mengambi tugas sebagai Chief of Armed Forces pada 4 September 1962. 

Oleh itu, catatan sejarah yang paling logik diterima ialah jawatan Chief of Malayan Armed Forces diwujudkan pada 4 September 1962, setahun sebelum negara Malaysia. Ini kerana catatan dalam wikipedia menunjukkan Jen Tan Sri Rodney Moore melepaskan jawatan KTTD pada 4 September 1962 untuk memberi laluan kepada anak Melayu pertama menjadi KTTD, iaitu Tunku Osman Jewa. 

Kemungkinan kedua ialah kedudukan Maj Gen Brook dan Gen Rodney ketika itu hanyalah sebagai Chief of Staff of the Army sahaja. Oleh kerana ketika itu Malaya hanya didominasi oleh Tentera Darat, maka Chief of Staff of the Army dianggap sebagai Panglima kepada Tentera di Malaya.

Sehingga tajuk ini ditulis pada 22 Mei 2025, seramai 23 orang pegawai kanan ATM telah dilantik menjadi KTAT dan PAT.

PAT boleh dilantik dari ketiga-tiga Perkhidmatan ATM (TDM, TLDM dan TUDM). Bagaimanapun sejak jawatan ini diwujudkan, dari jumlah 23 orang yang menyandang jawatan ini, hanya seorang dari TLDM dan dua orang dari TUDM.

Berikut adalah senarai Ketua Turus Tentera ATM atau Panglima ATM: 

Major General 
Frank Hasting Brook (18 Mac 1909 – 25 Januari 1982)
General Officer Commanding of Army, Malaya  (11 Jun 1956 hingga 26 Oktober 1959) - 3 tahun 137 hari 
(jawatan Chief of Armed Forces Staff masih belum diwujudkan)

General 
Dato' Sir James Newton Rodney Moore (9 Jun 1905– 19 Mei 1985).
Chief of  Staff of the Malayan Army (27 Oktober 1959 hingga 3 September 1962) - 3 tahun 311 hari
Kemudian dilantik menjadi Chief of Staff of the Malaysian Armed Forces and Director of Border Operations (4 Sep 1962 hingga 6 Januari 1964) - 1 tahun 119 hari
Tan Sri (Kehormat)

Lt Gen Tunku Osman Jewa mengucapkan Selamat Jalan kepada Gen Rodney pada 7 Januari 1964


Jeneral Tan Sri Tunku Osman Jewa bin Tunku Mohamed Jewa (24 November 1919 – 19 Apr 1994)
Ketua Turus Angkatan Tentera (7 Januari 1964 hingga 24 Nov 1969) - 5 tahun 327 hari
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)

Jeneral 
Tan Sri Abdul Hamid bin Abidin @ Bidin (1 Jul 1918–12 Jun 1996) 
Ketua Turus Angkatan Tentera (25 Nov 1969 - 30 Jun 1970) - 217 hari.
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)

Jeneral Tan Sri
 Ibrahim bin Ismail (19 Okt 1922 – 23 Dis 2010)  
Ketua Turus Angkatan Tentera (1 Jul 1970 - 30 Nov 1977) - 7 tahun 52 hari.
(dari jawatan Panglima Divisyen Kedua Infantri dan Ketua Eksekutif MAGERAN)
Tun (setelah bersara)

Jeneral 
Tan Sri Dato' Mohd Sany bin Abdul Ghaffar (19 Januari 1927 – 23 Ogos 2015) 
Ketua Turus Angkatan Tentera (1 Dis 1977 hingga 19 Jan 1981) - 3 tahun 49 hari
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)

Jeneral 
Tan Sri Dato' Mohd Ghazali Mohd Seth (4 Februari 1929 - 24 Ogos 2021)
Panglima Angkatan Tentera  (20 Jan 1981 hingga 31 Okt 1985) - 4 tahun 284 hari.  (dari jawatan Panglima Tentera Darat)     

Jeneral Tan Sri Dato' Mohd Ghazali bin Che Mat (19 Disember 1931 - 7 Julai 2021)
Panglima Angkatan Tentera  (1 Nov 1985 hingga  5 Okt 1987) - 1 tahun 338 hari  
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)
   
Jeneral Tan Sri Dato' Seri Mohamed Hashim bin Mohamed Ali (10 April 1937 - kini)
Panglima Angkatan Tentera (6 Okt 1987 hingga 10 Apr 1992) - 4 tahun 187 hari  
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)
Tun (setelah bersara)

Jeneral 
Tan Sri Dato' Seri Panglima Yaacob Mohd Zain (1936 - kini)
Panglima Angkatan Tentera (11 Apr 1992 - 3 Mac 1993) - 326 hari.
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)

Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Abdul Rahman bin Abdul Hamid (11 November 1938 - 2 Jun 2022)
Panglima Angkatan Tentera (4 Mac 1933 hingga 31 Jan 1994) -  333 hari.
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)

Jeneral 
Tan Sri Dato' Borhan bin Ahmad (12 Disember 1939 - kini)
Panglima Angkatan Tentera  (1 Feb 1994 - 2 Feb 1995) - 1 tahun 1 hari.
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)

Jeneral Tan Sri Dato' Seri Ismail bin Omar (1941 - kini)
Panglima Angkatan Tentera (3 Feb 1995 - 31 Dis 1998) - 3 tahun 331 hari
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)

Jeneral 
Tan Sri Dato' Seri Mohd Zahidi bin Zainuddin (30 April 1948 - kini)
Panglima Angkatan Tentera (1 Jan 1999 hingga 28 Ap 2005) - 6 tahun 117 hari
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)

Laksamana 
Tan Sri Dato' Seri Mohammad Anwar bin Mohammad Nor TLDM (12 Mac 1950 - kini)
Panglima Angkatan Tentera  (29 Apr 2005 hingga 31 Jan 2007) -  1 tahun 277 hari
(dari jawatan Panglima Tentera Laut)

Jeneral 
Tan Sri Dato' Seri Abdul Aziz bin Zainal (26 Ogos 1951 - kini)
Panglima Angkatan Tentera  (1 Feb 2007 hingga 31 Ogos 2009) - 2 tahun  211 hari
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)

Jeneral Tan Sri Dato' Sri Azizan bin Ariffin TUDM (25 Oktober 1952 - kini) 
Panglima Angkatan Tentera (1 Sep 2009 hingga  14 Jun 2011) - 1 tahun 286 hari
(dari jawatan Panglima Tentera Udara)

Jeneral 
Tan Sri Dato' Seri (Dr) Zulkifeli bin Mohd Zin (14 Jun 1954 - kini)
Panglima Angkatan Tentera  (15 Jun 2011 hingga 16 Dis 2016) - 5 tahun 184 hari 
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)
    
Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor (20 Jun 1957 - kini)
Panglima Angkatan Tentera (17 Dis 2016 hingga 19 Jun 2018) - 1 tahun 185 hari
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)

Jeneral 
Tan Sri Dato' Seri Zulkifli bin Zainal Abidin (30 November 1958 - kini)
Panglima Angkatan Tentera  (20 Jun 2018 - 31 Disember 2019) - 1 tahun 193 hari.
((dari jawatan Panglima Tentera Darat dan Naib Canselor UPNM)

Jeneral Tan Sri Dato' Sri Affendi bin Buang TUDM (21 Ogos 1962 - kini)
Panglima Angkatan Tentera  (2 Januari 2020 - 6 September 2023)- 3 tahun 244 hari.  
(dari jawatan Panglima Tentera Udara)

Jeneral Tan Sri Dato' Seri Mohammad bin Abdul Rahman (15 Mac 1964 - kini)
Panglima Angkatan Tentera  (7 September 2023 - 30 Januari 2025) - 1 tahun 144 hari.
(dari jawatan Panglima Tentera Darat)

Jeneral Datuk Mohd Nizam bin Jaffar (3 Ogos 1966 - kini)
Panglima Angkatan Tentera  (31 Januari 2025) - 
(dari jawatan Assisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota)

BIODATA ZZA



JENERAL TAN SRI HAJI ZULKIFLI BIN HAJI ZAINAL ABIDIN
PGAT PMN PSM PJN SIMP SPTS SPMT SSTM SPKK DHMS DGPN PSAT DPTS DPMS DGMK PAT JSM KMN BSK AMK PJM rcds mpat lmt FCILT MM (AIM) Manila ADBM (Wales)
         
Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin telah dilahirkan di Port Weld (sekarang Kuala Sepetang), Taiping Perak pada tanggal 30 November 1958. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Lenggong, Perak dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Maktab Tentera Diraja. Beliau telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada 21 Disember 1978 ke dalam Kor Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Zulkifli berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan dari Asian Institute of Management, Manila, Filipina. Selain itu, Tan Sri Hj Zulkifli juga memperolehi Diploma Lanjutan dalam Perniagaan dan Pengurusan (Kepujian) dari Swansea Institute of Higher Education, University of Wales. Beliau juga mempunyai diploma MTAT, MPAT dan Diploma dari Royal College of Defence Studies (Imperial Defence College), London. Zulkifli juga telah menghadiri pelbagai kursus-kursus akademik dan ketenteraan di luar negara seperti di New Zealand, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Zulkifli telah berpeluang menjawat pelbagai jawatan di peringkat staf, pemerintahan dan latihan di pelbagai peringkat Tentera Darat dan Angkatan Tentera berikut:
  • Ketua Platun dalam Batalion Infantri.
  • Ketua Platun Risik Gempur.
  • Pegawai Semboyan Rejimen (RSO).
  • Pegawai Perisikan (IO)
  • Ajutan
  • Senior Instructor di New Zealand Army Infantry School (1986 - 1988)
  • Jurulatih IPDA (1992 - 1993)
  • Penolong Ketua Kompeni.
  • Ketua Kompeni.
  • Pegawai Latih.
  • Pegawai Memerintah.
  • Pegawai Staf 3,2 dan 1.
  • PSK, MA dan ADC.
  • Komandan PUASDA (1992 - 1993)
  • Panglima Briged.
  • AKS Perancang Pertahanan di Markas ATM
  • Naib Canselor UPNM (2008 - 2010)
  • Timbalan PTD (Mei 2010 - Jun 2011)
  • Panglima Tentera Darat(PTD) (Jun 2011 - 2013)
  • Naib Canselor UPNM (2013 - 2018)
Zulkifli mempunyai banyak pengalaman akademik dan telah dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia sebanyak dua kali, iaitu dari 1 Mei 2008 hingga 20 Mei 2010 dan dari 14 Jun 2013 hingga 15 Mei 2018. Beliau telah menghadiri pengajian di Naval Post Graduate School, Monterey USA, Defence Management di Canberra Australia dan Senior Development Program di John F. Kennedy School of Government, Harvard University, Massachusetts, Amerika Syarikat pada tahun 2010. 

Zulkifli mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang kejurulatihan khasnya apabila telah dipinjamkan ke New Zealand Army sebagai Jurulatih Kanan di New Zealand Army Infantry School daripada tahun 1986 sehingga 1988. Beliau bertanggungjawab dalam pengajaran pegawai dan anggota New Zealand Army dan negara-negara Komanwel yang lain dalam pengajian senjata, taktik dan Counter Insurgency Warfare. Pengalaman ketenteraan Jeneral Tan Sri Hj Zulkifli amat luas dimana telah terlibat secara aktif dalam operasi Counter Insurgency Warfare semasa operasi melawan anasir komunis selama 10 tahun bermula dari tahun 1979 dan berakhir pada tahun 1989.

Sepanjang perkhidmatan sebelum dilantik menjadi PAT ke 20, Jeneral Tan Sri Hj Zulkifli telah menunjukkan prestasi yang sangat cemerlang dalam kerjaya, begitu juga kursus-kursus yang dihadiri, beliau seringkali merangkul gelaran penuntut terbaik keseluruhan. Kecemerlangan dan kepimpinan beliau adalah kunci utama beliau terpilih menyandang pelbagai jawatan penting dalam ATM. Zulkifli juga terkenal sebagai seorang pakar penembak tepat (sharp shooter).

Sebagai mengiktiraf perkhidmatan dan sumbangannya kepada negara, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin telah dianugerahkan Darjah Kebesaran PANGLIMA MANGKU NEGARA (PMN) dan PANGLIMA SETIA MAHKOTA (PSM) yang membawa gelaran “Tan Sri” daripada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.  Tan Sri juga dianugerahkan berberapa anugerah kebesaran yang membawa gelaran Dato' Seri/Datuk/Dato' dari Kerajaan Persekutuan dan Negeri seperti  PJN Persekutuan), SPTS & DPTS (Perak), SIMP (Pahang), SPMT (Terengganu), SSTM (Negeri Sembilan), SPKK (Kelantan) DHMS & DGMK (Kedah), DGPN (P.Pinang) serta DPMS (Selangor). Beliau turyt menerima anugerah Darjah Kepahlawanan ATM, PGAT dan PSAT.

Pada 2017, Lembaga Pengurusan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia telah melantik Tan Sri sebagai Profesor Ikhtisas. Beliau juga merupakan Adjunt Professor di Pusat Inovasi Perniagaan dan Usahawan Teknologi (CBIT), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) sejak tahun 2010.

Dalam bidang pengurusan, minat Jeneral Tan Sri Hj Zulkifli adalah dalam Pertahanan, Latihan dan Pengurusan Sumber Manusia. Dalam pengajian pertahanan dan keselamatan, beliau amat meminati dalam bidang Total Defence, Counter Insurgency Warfare and Terrorism. Beliau juga merupakan pembaca gemar dalam subjek Kepimpinan dan Pembangunan.

Antara pencapaian beliau di sepanjang perkhidmatan adalah menjadi penuntut terbaik dalam pelbagai kursus ketenteraan yang beliau hadiri. Semasa memegang jawatan sebagai Panglima 7 Briged, beliau juga telah berjaya memenangi Army Award Excellence in Management pada tahun 2006 dan Armed Forces Award of Excellence pada tahun 2007.

Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin sudah berkahwin dengan pasangannya Puan Sri Datin Seri Hajjah Rusnah binti Haji A. Rahman dan mereka telah dikurniakan empat orang cahaya mata. Pada masa lapang, beliau suka berkebun, memancing dan memburu.


http://www.mafhq.mil.my/index.php/my/panglima-tertinggi/profil-pat
https://en.wikipedia.org/wiki/Zulkifli_Zainal_Abidin
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/06/433166/zulkifli-zainal-abidin-bakal-pat

ZZA memakai beret Kehormat Rejimen Gerak Khas

Serah Terima Tugas PAT Ke-20
Ditulis oleh www.btdmonline.net
Diterbitkan: 20 Jun 2018

KUALA LUMPUR: Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkerja di Kementerian Pertahanan hadir dalam  Majlis Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Tentera diantara  Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin di Auditorium Kementerian Pertahanan pada 20 Jun 2018.

Majlis diteruskan dengan menandatangai Nota Serah Terima Tugas PAT Ke-20 yang saksikan oleh  Menteri Pertahanan (MENHAN), Hj Mohamad Sabu.

Pada masa sama, majlis juga bersempena dengan persaraan mantan PAT yang akan bersara setelah 42 tahun menabur bakti dan mengabdikan diri kepada ATM serta peralihan tampuk pemerintahan ATM yang baharu.

Mengimbas keperibadian PAT Ke-20, Jen Tan Sri Dato’ Sri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin, beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan pernah memegang beberapa jawatan penting antaranya sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat pada 20 Mei 2010 dan seterusnya dilantik sebagai Panglima Tentera Darat Ke-24 pada 14 Jun 2011.

Majlis diakhiri dengan acara  simbolik iaitu street lining bagi memberi penghargaan dan penghormatan terakhir kepada mantan PAT oleh pegawai-pegawai ATM bermula dari pintu hadapan Kementerian Pertahanan hingga ke Balai Pengawal Utama.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Halimi Abd Manaf, Panglima Tentera Darat,  Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim,  Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affandi Buang TUDM.




Tan Sri ZZA pada hari pertama melapor diri ke Wisma Pertahanan untuk memasuki 
pejabat PAT

LALUAN BERLIKU

Tulisan (di bawah tajuk kecil) ini bukanlah diambil melalui bahan rujukan rasmi. Penulis mendapat maklumat melalui bloggers dan juga perbualan sesama pegawai kanan ATM (khususnya Tentera Darat) yang mengenali dan mengikuti perkembangan kerjaya Jen Tan Sri Zulkifli bin Zainal Abidin (ZZA). Sumber menyifatkan bahawa kembalinya ZZA dalam tampuk tertinggi ATM adalah langkah yang tepat tetapi di luar jangkaan - walaupun terdapat segelintir dari kalangan yang rapat dengan beliau telah dapat menghidu perubahan itu. 

Mengikut sumber itu juga, berasaskan kelaziman atau tradisi perlantikan PAT, ketika  ZZA menyandang jawatan PTD merupakan salah seorang pewaris jawatan PAT. Pesaing beliau adalah PTL atau PTU. ZZA telah dilantik sebagai Panglima Tentera Darat (PTD) pada 14 Jun 2011. Berasaskan kepada prestasi perkhidmatannya, beliau telah dilihat sebagai bakal pengganti PAT. 

Namun pada 14 Jun 2013, Majlis Angkatan Tentera  telah membuat rombakan luar jangka dalam barisan kepimpinan Tentera Darat. Menteri Pertahanan (MENHAN) ketika itu ialah Dato' Sri Hishammuddin bin Hussein (mulai 16 Mei 2013) dan PAT ialah Jen Tan Sri Zulkifeli bin Mohd Zin.

CATATAN 3:  Perubahan ini berlaku ketika kemuncak pencerobohan militan Sulu di Lahad Datu mulai Februari 2013. Zulkifli dikatakan tidak sependapat dengan pucuk pimpinan ATM (tidak pasti sama ada MENHAN atau PAT) berkaitan operasi menamatkan pencerobohan itu.  Tidak mungkin MENHAN kerana beliau baru sebulan melapor diri (menggantikan Dato' Seri Ahmad Zahid).

Pada 14 Jun 2013, Ketua Staf Markas ATM, Lt Jen Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor telah dilantik menjadi PTD. Manakala ZZA ditukarkan ke jawatan Naib Canselor (NC) UPNM.

Dalam organisasi ATM, jawatan NC UPNM adalah perjawatan Leftenan Jeneral. Maka, pertukaran ZZA ke UPNM sebagai satu demotion exercise. Atau, sebagai usaha untuk memaksa beliau bersara lebih awal. Dalam istilah HR juga disebut sebagai constructive dismissal.  Perlu dimakumi bahawa ZZA telah pernah menduduki kerusi NC UPNM selama 3 tahun sebelum dilantik menjadi PTD. Maka ZZA bertahan dalam buangan di UPNM selama 5 tahun. Satu tempoh jawatan yang terlalu panjang bagi seorang yang berpangkat 4 bintang.

Pada  19 Disember 2016, apabila Tan Sri Zulkifli Mohd  Zin bersara dari jawatan PAT, hukuman ke atas ZZA masih belum diringankan atau diampunkan. Maka, Raja Affandi dilantik sebagai PAT ke 19. ZZA kekal di UPNM.

Sehinggalah berlaku pertukaran Kerajaan dari BN kepada PH pada 9 Mei 2018. Beberapa hari sahaja Tun Dr Mahathir mengambil alih jawatan PM (kali kedua), Kerajaan telah memutuskan untuk menamatkan kontrak perkhidmatan Raja Affandi pada 20 Jun 2018. Mengikut tempoh lanjutan kontrak dengan Kerajaan sebelumnya, tarikh persaraan beliau adalah pada 31 Disember 2018. ZZA yang ketika itu telah bercuti sebelum bersara pada 30 November 2018.

Maka, ramai yang berpendapat, walaupun ZZA sepatutnya sudah boleh melupakan cita-citanya untuk menjadi PAT dan telah dipinggirkan selama lima tahun beliau (di UPNM) telah diberikan haknya semula.

"Meraka merancang, Allah juga merancang, Allah adalah sebaik-baik perancang"
(Surah Ali Imran: Ayat 54)

PERKENALAN PUTERA LAPIS MAHANG DENGAN ZZA

Pada 8 April 2018 penulis telah dinaikkan dari pangkat Kolonel TUDM ke Brigedier Jeneral TUDM dan ditukarkan jawatan dari Pengarah Bantuan Khidmat, Bahagian KOMLEK, Markas ATM  ke jawatan Ketua Pengarah Operasi Logistik, Bahagian Logistik Pertahanan (BLP), Markas ATM.

PAT ketika itu adalah YM Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi. Pembaca boleh merujuk semula episod penulisan tentang Raja Affandi di sini:
https://tohairforce1981.blogspot.com/2018/06/af-119-jeneral-tan-sri-raja-mohamed.html.  Di dalam episod tersebut penulis telah menulis tentang siapa Raja Affandi dan bagaimana hubungan penulis dengan beliau.

Boss penulis adalah Mej Jen Dato' Mohd Razif bin Idris (AKS Logistik Pertahanan). Razif akan mula bercuti dan menjalani latihan peralihan (sebelum bersara) mulai 18 Disember 2018. Beliau sudah mula mengurangkan komitmennya di dalam pejabat. Kebetulan,  penulis sendiri sudah memasuki tahun terakhir perkhidmatan, akan mula bercuti pada bulan April 2019. Pun begitu, penulis tidak pernah merasakan untuk mengambil kesempatan untuk mengurangkan komitmen tugas-tugas di pejabat.

Selaku orang nombor dua di BLP, penulis kerap mewakili AKS LP (Dato' Razif) untuk menghadiri banyak mesyuarat penting di peringkat ATM dan MINDEF di mana AKS LP merupakan ahli tetap atau ahli jemputan seperti Mesyuarat Jawatan Kuasa Kewangan dan Akaun (JKKA), Jawatan Kuasa Pengurusan Kewangan dan Aset (JPKA) MINDEF, Jawatan Kuasa Perolehan (JKP) MINDEF,  , Jawatan Kuasa Keupayaan Operasi  dan Kesiapsiagaan ATM 
(JKOKK), Forum Bulanan PAT, Forum Bulanan Ketua Staf Markas ATM, Jawatan Kuasa Integriti dan Tadbir Urus (JITU) ATM, Jawatan Kuasa Spesifikasi Pakaian (JKSP) ATM, Jawatan Kuasa Spesifikasi Peralatan ATM hinggalah ke forum tertinggi di peringkat ATM iaitu Jawatan Kuasa Panglima-Panglima ATM (JPP).

Amalan dan mewakili AKS di atas diteruskan setelah Raja digantikan oleh ZZA mulai 20 Jun 2028.

Terus terang penulis katakan bahawa sebelum bertukar ke BLP, penulis tidak pernah bersemuka dengan ZZA, jauh sekali untuk bertegur sapa atau berbual.

Kekerapan kehadiran penulis dalam mesyuarat-mesyuarat di atas menyebabkan penulis cepat dikenali oleh barisan kepimpinan tertinggi ATM. 

Kali pertama penulis berpeluang bertemu secara dekat dengan ZZA  (dan seterusnya kerap bertemu) adalah ketika penulis, selaku Ketua Pengarah Operasi Logistik (KPOL) di BLP membantu menguruskan persiapan kediaman rasmi PAT di Bukit Petaling (berhampiran dengan Istana Negara lama). Beliau baru mengambil alih kediaman rasmi tersebut yang dikosongkan oleh Raja Affandi. BLP perlu memperlengkapkan semula kediaman tersebut mengikut hak dan kelayakan penghuninya.

Selepas itu, penulis kerap mewakili AKS LP dalam beberapa mesyuarat yang dipengerusikan oleh PAT. Dari situlah juga beliau mengenali diri penulis. Gaya kepimpinan dan pengurusannya yang lebih terbuka, approacheable dan mudah mesra menyebabkan pegawai-pegawai kanan di bawahnya lebih bersedia untuk mengutarakan buah fikiran dan berbincang.  Sepanjang pengalaman bermesyuarat dengan Tan Sri ZZA, aku tidak pernah melalui situasi yang stress. Beliau bijak mengawal suasana dengan cerita-cerita berbentuk humour dan sesekali dalam gurauan itu beliau terlepas kata yang mengenakan seseorang atau melepaskan sindiran tajam.  

ZZA juga merupakan individu yang membuka laluan baru dalam kerjaya penulis. Pada awalnya, penulis insaf dan sedar bahawa kenaikan ke pangkat Brig Jen TUDM dan pertukaran ke BLP pada bulan April 2018 sebagai KPOL merupakan puncak tertinggi atau titik terakhir dalam kerjaya penulis. Tanpa dijangka, tanpa disangka dan tidak pernah terfikir sekalipun, hala perjalanan kerjaya penulis  berubah di penghujung destinasi.  ZZA telah memberi jalan untuk penulis mengambil alih jawatan AKS LP apabila Mej Jen Dato’ Razif memulakan cuti pra-persaraan pada 17 Disember 2018.  Dalam persetujuan bersama di peringkat kepimpinan tertinggi ATM, perjawatan AKS LP (Mej Jen) merupakan jawatan tri-service tetapi ia adalah quota yang diperuntukan kepada Tentera Darat. Manakala perjawatan KPOL (Brig Jen) adalah quota yang diperuntukkan kepada TUDM. Logiknya, kerjaya penulis akan tamat di situ sebagaimana yang berlaku kepada predecessor penulis.

Pada mulanya penulis menganggap arahan tersebut hanya sekadar memangku tugas sehingga pihak ATM menetapkan penggantinya yang hakiki. Rupanya ia dikekalkan sehingga penulis mengakhiri perkhidmatan. 

Selain itu, ZZA merupakan insan yang mencadangkan kenaikan pangkat penulis ke Mej Jen TUDM berkuatkuasa 9 April 2019, iaitu 43 hari sebelum penulis memulakan cuti pra-persaraan. Satu kedudukan yang yang sebenarnya telah tiada dari impian penulis.

KERLIPAN BINTANG DI HUJUNG PERJALANAN

Allah (swt) apabila mahu memberikan rezeki kepada hambanya dengan pelbagai cara penyampaian. Ada yang mudah dan straight foward dan ada yang terpaksa melalui jalan yang becak berliku-liku. Firman Allah (swt) yang bermaksud;

“.....Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia (Allah) akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." (Surah Ath Thalaq, Ayat 2 dan 3).

Penulis, sejak zaman kanak-kanak melalui kejayaan dan kemalangan atau kegagalan, melalui saat mencicipi kemanisan dan menelan kepahitan. Penulis sedar, penulis adalah insan yang terlalu banyak dosa dan penulis insaf bahawa Allah (swt) telah memberi terlalu banyak rezeki tidak seimbang dengan dosa dan kejahatan yang aku telah lakukan. Oleh sebab itu, ia mengingatkan penulis bahawa bukan setiap nikmat itu adalah anugerah, sebahagiannya adalah ujian yang berterusan. Jika Allah mahu memberi sesuatu, Allah meletakkan individu tertentu di tempat-tempat yang boleh melorongkan jalan bagi memudahkan perjalananku.

Genap setahun sebelum penulis memulakan cuti untuk bersara, penulis ditukarkan ke BLP sebagai KPOL, dan dinaikkan ke pangkat Brig Jen TUDM. Orang kata, dapatlah pencen satu bintang. Penulis tidak pernah sama sekali memikirkan apa-apa lagi ganjaran kenaikan pangkat lagi dalam kerjaya selepas itu.

Sedikit kesah sebelum berlakunya kenaikan pangkat ke Mejar Jeneral TUDM. Semasa penulis mengambil alih tugas AKS LP pada 17 Disember 2018, pihak ATM masih belum menentukan calon untuk menggantikan Mej Jen Dato’ Razif. Seperti yang penulis sebut sebelum ini, jawatan AKS LP (dua bintang) ini adalah quota untuk Tentera Darat. 

Desas-desus ketika itu menyebut bahawa tempat Dato' Razif akan diambil alih oleh Brig Jen Dato’ Hassim bin Jabar (KPD) dari Markas Pemerintahan Latihan TD. Namun MAT telah menggunakan pangkat yang dikosongkan oleh Dato’ Razif untuk menaikkan pangkat Brig Jen Dato’ Mahendra Sivapatha Sundram (Ketua Pengarah Cawangan Operasi di BOLP) dan beliau dikekalkan di BOLP untuk menyelesaikan projek Kertas Putih Pertahanan (KPP) sehingga 21 Mei 2019. Selepas itu baharulah Dato’ Hassim dinaikkan pangkat dan mengisi jawatan AKS LP. Oleh itu, sementara menunggu tarikh 21 Mei itu, penulis telah diarahkan untuk melaksanakan tugas AKS LP.  Penulis sepatutnya memulakan cuti sebelum mengikuti latihan peralihan pada 21 April 2019.

Lebih kurang dalam bulan Februari 2019, dalam satu pertemuan (berkaitan kerja) di pejabatnya,  PAT, ada  bertanya kepada penulis,

“Dato’ bila habis (tamat perkhidmatan)?.”

Catatan: Walaupun penulis belum menerima rasmi (investiture) anugerah Dato’ (baru menerima surat tawaran rasmi dari SUK Pahang pada bulan Oktober 2018, PAT selalu memanggil aku dengan panggilan Dato’).

“Tarikh bersara 22 November, Tan Sri, tapi saya akan mula bercuti pada 21 April 2019,” jawab penulis.

“Eh, tak boleh la macam tu. Pengganti you akan sampai pada bulan Mei. You tak boleh extend ke?”, soal PAT lagi. Aku mendiamkan diri, tidak tahu apa  hendak dijawab.

“Ok never mind, I will talk to your Chief  (PTU)”, kata PAT menamatkan tajuk   perbualan.

Pertengahan bulan Mac, lebih kurang dua minggu sebelum berlangsungnya Pamiran LIMA ’19, AKSPA (Mej Jen Dato’ Hj Azlan - kebetulan skuad penulis -TJP 37) ada menemui penulis di pejabat. Beliau telah menceritakan pertemuan dan perbualan beliau dengan PAT seperti berikut;

"Tan Sri ada apa-apa plan ke untuk Jen (Brig Jen) Toha ke?”.

"Ada appointment kosong ke,?” PAT menyoal kembali.

"Perjawatan di Markas ATM tak ada Tan Sri, tapi di Air Force ada satu jawatan two star kosong pada 9 April, setakat ini Air Force masih belum nominate calon  (ditaja dalam Senior Board) untuk isi jawatan itu.”

Menurut Dato’ Azlan, PAT terus menelefon PTU mungkin untuk mendapatkan restu bagi meminjamkan perjawatan TUDM (AKS Sumber Manusia) mulai 9 April hingga 21 Mei 2019. Lanjutan dari itu, dalam tempoh seminggu, semua tindakan staf dilaksanakan di peringkat TUDM dan Markas ATM (BPA) dan seterusnya dibawa ke sidang MAT yang berlangsung pada 21 Mac 2019 untuk diluluskan.

Sepanjang tempoh penulis berada di Pamiran LIMA (23 hingga 30 Mac 2019) penulis telah berada pada tahap morale yang paling tinggi kerana ketika itu penulis sudah mengetahui bahawa MAT telah meluluskan kenaikan pangkat penulis ke Mej Jen TUDM berkuatkuasa 9 April 2019. Hanya menunggu perkenan YDP Agong sahaja. Semua maklumat masih dalam kategori RAHSIA BESAR.

Kawat (dari MTU-BSM) mengenai perkenan SPB YDP Agong dikeluarkan pada 17 April 2019 dan majlis pemakaian pangkat Mejar Jeneral TUDM disempurnakan oleh PTU (Jen Tan Sri Affendi bin Buang TUDM) pada 19 April 2019 di Bilik Eagle Nest, Tingkat 19 jam 1100H. 


Oleh itu, penulis tidak dapat menafikan bahawa peranan dan kepercayaan serta hadiah yang diberi oleh Jen Tan Sri Zulkifli bin Zainal Abidin kepada penulis untuk mengakhiri perkhidmatan dengan penuh gemerlapan.

KUNJUNGAN HORMAT

Beberapa hari sebelum meninggalkan pejabat dan Wisma Pertahanan buat kali terakhir di dalam seragam TUDM, pada 14 April 2019 jam 0930H, penulis mengadakan kunjungan hormat perpisahan kepada Panglima Angkatan Tentera. Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin di pejabat beliau di Tingkat 5, Wisma Pertahanan.

Pastinya penulis mengambil kesempatan menyampaikan luahan rasa terima kasih di atas apa kurniaan Allah (swt) di luar jangkaan yang penulis terima dalam tempoh singkat dan padat di bawah naungan beliau.


TERIMA KASIH TAN SRI ZZA
JASAMU DI KENANG
SEMOGA ALLAH MEMBERKATI KEHIDUPAN TAN SRI SERTA KELUARGA DI DUNIA DAN AKHIRAT

Sunday, May 18, 2025

AF 153 : ACKBAL "KRUEGER" ABDUL SAMAD

JENERAL TAN SRI DATO SRI HJ ACKBAL BIN HAJI ABDUL SAMAD PGAT PSM PJN SSAP SIMP DPPN PSAT DPKK DSAP DIMP PAT JSM SAP KAT AMN AMP PJM PPS PPA dssc(Aust) psc(NZ) tp(UK) jt TUDM (Bersara)

MUQADDIMAH

Penulis bukanlah seseorang yang begitu rapat dengan Tan Sri Ackbal yang membolehkan penulis layak untuk menulis atau bercerita tentang Ackbal. Sepanjang tempoh perkhidmatan penulis selama hampir 40 tahun, penulis hanya dua kali berpeluang berkhidmat dalam satu bangunan dengan Ackbal. Kali pertama di PULATIBANG 3 (Pangkalan TUDM Kuantan) dalam tahun 1984/1985. Ketika itu beliau masih berpangkat Lt (Udara)  dan sedang mengikuti kursus peralihan pesawat pejuang (FLIT) MB-339A (Aermacchi) di PULATIBANG 3. Penulis meninggalkan TUDM Kuantan pada bulan Jun 1986.

Kali kedua di Markas Logistik Udara (MLU) antara tahun 2007 hingga 2010. Ketika itu beliau telah berpangkat Brig Jen TUDM dan memegang jawatan Panglima Logistik Udara. Penulis melapor diri ke MLU pada bulan April 2007, iaitu 3 bulan selepas beliau mengambil alih jawatan Panglima pada 24 Januari 2007. Ketika itu, penulis masih berpangkat Lt Kol TUDM membuat tugas PS1 Khidmat Pembaikan dari bulan April 2007 hingga Julai 2008. Kemudiannya, penulis memangku jawatan Ketua Staf Khidmat (KSK) sehingga 1 Jun 2009 apabila penulis dinaikkan ke pangkat Kol TUDM dan mengambil alih jawatan KSK secara hakiki. 

Semasa di MLU kami melalui zaman sukar apabila kehadiran kami pada awal 2007 ketika MLU sedang dilanda Tsunami.  Tsunami di MLU dikaitkan dengan penyiasatan secara menyeluruh dalam pelaksanaan perolehan alat ganti dan perkhidmatan pembaikan/senggaraan di MLU.  Penyiasatan ini adalah sebagai menyelongkar salah guna kuasa dan penyelewengan dalam sistem perolehan yang disyaki telah berlangsung selama bertahun-tahun. Ackbal telah diberi tugas berat oleh kepimpinan TUDM untuk membuat revamp dan perekayasaan sistem pengurusan perolehan di MLU. Dan aku merupakan salah seorang yang kena picked up untuk menyertai team beliau. 

Terlalu banyak usaha bersama kami untuk mengembalikan imej dan prestasi MLU.  Kami juga diuji dengan insiden kehilangan dua buah enjin J85 (pesawat F5E) dari gudang (MPS) di MATRA I  pada awal 2008.  Insiden ini telah menggemparkan negara dan MLU yang baru dalam proses pemulihan selepas dilanda Tsunami terus diasak dengan pelbagai siasatan dalaman (Board of Inquiry dan Provost Marshall) serta dari pihak luar  seperti PDRM dan juga Jawatan Kuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia.

Banyak lagi cabaran dan dugaan yang terpaksa dirempuh sepanjang tempoh 4 tahun Ackbal menyandang tugas Panglima MLU.

PERMULAAN KERJAYA YANG CEMERLANG

Ackbal bin Hj Abdul Samad dilahirkan pada 4 September 1962 adalah anak kelahiran Segamat,  Johor dan dibesarkan di Klang dan Petalling Jaya, Selangor. Ackbal merupakan bekas penuntut Cawangan Putera, Maktab Tentera Diraja (RMC) dari tahun 1978 sehingga 1979 sebelum menyertai latihan Pegawai Kadet Tauliah Tetap Siri ke 21 di RMC mulai 1 Jun 1980 dan ditauliahkan ke pangkat Lt M (Udara) pada 17 Jun 1982. Semasa di RMC, Pegawai Kadet Ackbal telah terpilih sebagai pegawai penerima Panji-Panji Diraja sempena perbarisan penyerahan panji-panji 'Diraja' pada 3 Jun 1981.

Lt M (U) Ackbal di PULATIBANG 1

Catatan 1: Aku memulakan latihan Pegawai Kadet Pengambilan Tauliah Jangka Pendek (TJP) Siri ke 37 di Kem Sebatang Karah / Kem Segenting, Port Dickson mulai 5 April 1980 dan ditauliahkan pada 24 Januari 1981. Bagaimanapun, tarikh seniority Pegawai Tauliah Tetap diambil kira mulai tarikh latihan Pegawai Kadet manakala Pegawai TJP berkuatkuasa mulai tarikh tauliah.

Setelah ditauliahkan, Lt M (U) Ackbal telah mengikuti latihan asas penerbangan di Pusat Latihan Terbang I (PULATIBANG I), TUDM Alor Setar mulai 2 Mei 1983 dan berjaya dianugerahi sayap penerbangan pada bulan Mei 1984.  Beliau dinaikkan ke pangkat Lt (U) pada 17 Jun 1984. Di akhir tempoh latihan di PULATIBANG I, Ackbal  telah berjaya meraih kesemua piala-piala pusingan yang disediakan, iaitu Piala Penerbangan Kajian Bawah Terbaik, Piala Pelatih Juruterbang Terbaik dan Piala Penuntut Terbaik Keseluruhan. Pada 1 September 1984, Ackbal memulakan kursus peralihan ke pesawat pejuang atau fighter lead-in training  (FLIT) di PULATIBlANG 3, TUDM Kuantan menggunakan pesawat MB339A sehingga Jun 1985 dan di PULATIBANG 3 juga Ackbal berjaya meraih anugerah Pelatih Terbaik.


Pesawat FLIT jenis MB-339A di PULATIBANG 3

Catatan 2Pertama kali aku mengenali Ackbal di PULATIBANG 3. Ketika beliau melapor diri ke PULATIBANG 3, penulis adalah Pegawai Logistik di unit tersebut. Kami sama-sama Lt (Udara), penulis sudah berumahtangga dan tinggal di OMQ, manakala Ackbal masih bujang dan tinggal di Mes Pegawai. Kami tidak berkawan rapat kerana kami berdua bersifat pendiam dan reserve. Penulis  meninggalkan PULATIBANG 3 pada bulan Jun 1986 untuk melanjutkan pengajian ke ITM Shah Alam.

Kapt (U) Ackbal di ITPS

JURUTERBANG OPERASI DAN JURUTERBANG PENGUJI

Setelah mengikuti kursus peralihan ke pesawat Skyhawk di No. 9 Skn, TUDM Kuantan selama 6 bulan Ackbal memulakan kerjaya sebagai juruterbang operasi pada 14 April 1986 di No 6 Skn, TUDM Kuantan di mana beliau menerbangkan pesawat A4/TA4  Skyhawk dari tahun 1985 hingga 1988, sebelum bertukar ditukarkan ke No 12 Skn di TUDM Butterworth sebagai seorang Juruterbang pesawat  F5E dari bulan Mei 1988 hingga Januari 1991.  Semasa bertugas diNo. 12 Skn, Ackbal berpeluang mengikuti kursus Electronic Warfare di USA dari bulan Mei hingga November 1989.

Pesawat A4  Skyhawk buatan McDonell Douglas, USA yang berkhidmat di No. 6 dan 9 Skn antara tahun 1982 - 1994

Pesawat F5E  Tiger buatan Northorp, USA yang berkhidmat di No. 12 Skn antara tahun 1976 - 1999

Kapt (U) Ackbal di No 12 Skn

Pada14 Januari 1991, Ackbal telah terpilih mengikuti kursus jurulatih juruterbang (QFI) di Institut Latihan Instruktor Terbang (ILIT) di TUDM Alor Setar selama satu tahun dan Ackbal telah menerima hadiah sebagai Penuntut Terbaik Kursus Jurulatih Penerbangan. Sebaik sahaja menerima kelayakan sebagai jurulatih (QFI), beliau berkhidmat sebagai Jurulatih di PULATIBANG 1 sehingga bulan November 1992 apabila dinaikkan ke pangkat Mej TUDM dan terpilih untuk mengikuti Kursus Juruterbang Penguji Pesawat di International Test Pilot School (ITPS), United Kingdom selama setahun.

Catatan 3: Pada tahun 1992, ketka penulis bertugas di DTU Latih, Kapt Ackbal TUDM telah melapor diri ke pejabat DTU Latih kerana beliau terpilih mengikuti kursus di IPTS, United  Kingdom (UK). Kebetulan penulis merupakan desk officer untuk kursus-kursus di UK. Kursus ITPS tersebut bernilai lebih RM1.3 juta. Penulis terlibat secara langsung dalam rundingan harga dengan pihak penganjur. Jumlah RM1 juta untuk satu kursus dalam tahun 1992 adalah satu nilai yang sangat besar.  Kadar elaun kursus luar negara ketika itu juga amat rendah. Peserta kursus ini tidak layak menerima bantuan dari Kerajaan UK kerana ia  kursus anjuran swasta.

Melalui rundingan dengan pihak IPTS, penulis berjaya mendapatkan pelbagai kemudahan untuk Ackbal dan isterinya seperti rumah sewa, kenderaan dan elaun sara hidup yang agak lumayan.

Penulis turut membantu Ackbal menguruskan tiket penerbangan, mengembil beg bagasi dan pakaian musim sejuknya. Apa yang penulis buat ketika itu adalah  atas dasar tugas utama penulis sebagai pegawai yang menguruskan belanjawan latihan serta ticketing officer di Cawangan Latih..
 

Sepulangnya dari kursus pada bulan Disember 1993, pada hari pertama melapor diri ke MINDEF, Ackbal terus menemui penulis yang ketika itu sudah bertukar jawatan ke Bahagian Materiel sebagai PS2 SISMAT C. Rupanya beliau membawa ole-ole dari London untuk penulis. Sehelai jaket kulit berwarna coklat. Katanya, beliau memang telah berniat membelikan penulis hadiah untuk penulis sejak hari berangkat ke UK dahulu kerana penulis telah banyak membantu mempermudahkan urusan kursus beliau.

Sepulangnya dari ITPS, pada bulan Disember 1993, Akcbal menyertai Tim Projek (Dalam Negeri) Perolehan Pesawat MiG-29MKM dan kemudiannya mengikuti Kursus Peralihan Penerbangan Pesawat MiG-29N di Rusia dari bulan Julai 1994 hingga April 1995. Selaku perintis kepada penubuhan dan pengoperasian pesawat MiG-29MKM di TUDM Kuantan, sebahagian kerjaya Ackbal sebagai juruterbang, jurulatih dan juruterbang penguji berada di Pangkalan TUDM Kuantan sehinggalah beliau menjawat jawatan Pegawai Memerintah No 19 Skn pada Julai 1997 hingga Februari 2000. Sepanjang tempoh tersebut beliau menyandang pelbagai jawatan seperti Pegawai Piawaian Penerbangan, Ketua Bahagian Operasi dan Pegawai Laksana sama ada di No 17 atau No 19 Skn.


Pesawat MiG-29N buatan Mikoyan-Gurevich, Rusia di No. 17 dan 19 Skn antara tahun 1992 - 2015

Semasa berkhidmat di No 17 Skn, TUDM Kuantan, Mej Ackbal TUDM menghadiri Staff and Command Course selama 6 bulan di di RNZAF Staff College, Whenuapai, Auckland, New Zealand pada 11 Mei 1996. Selain daripada itu, Ackbal juga merupakan salah seorang daripada Ahli Tim Aerobatik pesawat MiG-29N untuk Pertunjukan Udara LIMA pada tahun 1995 dan 1997 di mana beliau merupakan juruterbang Solo Display.

Pada tahun 2000, Lt Kol Ackbal TUDM ditukarkan  ke No 1 Divisyen Udara sebagai PS1 Piawaian, Keselamatan dan Kesiapsiagaan (SSR), kemudian dinaikkan ke pangkat Kolonel TUDM pada 1 Jun 2001 sebagai Ketua SSR di Inspektorat Jeneral TUDM.  Pada 11 Disember 2000 hingga Disember 2001, Ackbal telah dipilih menghadiri kursus Defence and Strategic Studies Course (DSSC) di Center for Defence and Strategic Studies (CDSS) di Weston Creek, Australia. Setamatnya kursus di Australia, Kol Ackbal TUDM ditukarkan ke Markas Tentera Udara untuk menyandang tugas Pengarah Rancang Udara di Bahagian Perancangan dan Pembangunan (P & P) mulai 13 Disember 2001. Pada 1 Oktober 2004 beliau kembali ke Pangkalan Udara Kuantan sebagai Komander Pangkalan.

KERLIPAN BINTANG

Pada 3 April 2006, Ackbal telah dinaikkan ke pangkat Brig Jen TUDM dan ditugaskan sebagai Panglima No 4 Divisyen Udara di Labuan sehingga 24 Januari 2007 apabila ditukarkan ke jawatan sebagai Panglima Logistik Udara. Semasa menjawat jawatan Panglima di Markas Logistik Udara (MLU), Ackbal telah dinaikkan ke pangkat Mej Jen TUDM pada 30 Oktober 2009 dan kekal dalam jawatan tersebut.  

Brig Jen Ackbal TUDM di Markas No 4 Divisyen Udara

Mej Jen Ackbal TUDM di Markas Log Udara/Markas No 1 Div Udara

Catatan 4:  Penulis ditukarkan ke MLU pada 7 April 2007 sebagai PS1 Pembaikan. Hampir 4 tahun penulis berkhidmat di bawah Panglima Brig Jen Dato' Ackbal. Penulis diamanahkan untuk memikul tugas sebagai PS1 Khidmat Pembaikan. Pertukaran ini adalah lanjutan dari berlakunya siasatan secara besar-besaran oleh sebuah Lembaga Penyiasatan berkaitan dengan pengurusan perolehan di MLU. Sebahagian besar pegawai di MLU telah ditukarkan keluar dan penulis adalah antara pegawai yang dipilih mengisi perjawatan yang dikosongkan.

Sebaik sahaja melapor diri, penulis telah diberi pelbagai tugasan oleh Panglima (Ackbal) untuk membuat reformasi dan perekayasaan ke atas sistem dan proses kerja di Cawangan Khidmat Pembaikan (CKP). Antara tugasan/projek tersebut ialah menyusun dan menerbitka Arahan Proses Kerja Pembaikan diikuti oleh mewujudkan modula SPKB (computerisation) proses kerja di CKP. Semasa di CKP, penulis turut terlibat secara langsung dengan penyelesaian hutang terbengkalai dengan syarikat kontraktor (AIROD dan ZETRO) yang terabai sejak seawal tahun 2003 melibatkan jumlah kerja bernilai lebih RM120 juta.

Pada bulan Julai 2008, penulis telah diberi amanah memangku tugas Ketua Staf Khidmat (KSK) sehingga disahkan jawatan pada bulan Jun 2009 dan menyandang jawatan tersebut sehingga Disember 2010. Dalam tempoh tersebut telah berlaku peirstiwa pahit dalam sejarah TUDM iaitu kehilangan dua buah enjin pesawat F5E dari gudang MATRA 1. Kedua-dua enjin yang rosak itu menunggu untuk dihantar pembaikan ke AIROD. Antara siasatan yang menggerunkan ialah oleh Jawatan Kuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Selain dari itu, penulis juga terlibat secara langsung memantau Semak Stok (100%) kesemua MATRA akibat kecuaian pengurusan terdahulu yang tidak mengambil tindakan ke atas teguran Perbendaharaan pada tahun 2005. Itulah antara pengalaman pahit bersama yang penulis lalui bersama Ackbal.

Pesawat SU-30MKM di No. 11 Skn antara tahun 2008 - kini

Setelah memerintah Markas Logistik Udara selama selama 3 tahun 7 bulan, Ackbal telah bertukar ke jawatan sebagai Panglima No 1 Divisyen Udara mulai 3 September 2010.  Setahun lebih sedikit sahaja di Markas No. 1 Divisyen Udara, pada 8 November 2011 Ackbal telah dinaikkan ke pangkat Lt Jen TUDM dan dilantik menjadi Panglima Operasi Udara, iaitu jawatan ketiga terkanan dalam heirarki TUDM (selepas PTU dan TPTU).

Lt Jen Ackbal TUDM di MOU dan MAB

Pada 20 Oktober 2014, Ackbal TUDM telah ditukarkan ke jawatan Panglima Angkatan Bersama sehingga 4 Ogos 2015 dan kembali menjawat jawatan Panglima Operasi Udara sehingga dilantik menjadi  Timbalan Panglima Tentera Udara pada 21 Disember 2016.

Pada 3 Januari 2020, Ackbal mencapai puncak kerjayanya sebagai pegawai TUDM apabila diberi amanah untuk mengambil alih tugas sebagai Panglima Tentera Udara (PTU) yang ke 19 bagi menggantikan rakan skuad ‘RMC Boy’nya Jen Tan Sri Affendi yang dilantik menjadi PAT yang ke 21. 



Affendi (bersama isteri Ackbal) menyempurnakan kenaikan pangkat Ackbal ke Jeneral TUDM

Ackbal menerima tugas dari Affendi

Ackbal membalas tabik hormat perbarisan menerima tugas sebagai PTU

Tan Sri Ackbal telah berkahwin dengan Puan Sri Dato’ Norainy binti Shahar Alam dan telah dikurniakan dengan empat orang cahaya mata. 

Tan Sri Ackbal merupakan seorang pengurus yang berpegang kepada prinsip realist, praktikal, tegas dan sentiasa mengutamakan kualiti, ketepatan waktu dan keberkesanan tugas serta mengutamakan strategi win-win situation  apabila berdepan dengan situasi di mana beliau perlu membuat keputusan. Ketika menerajui Markas Logistik Udara antara tahun 2007 hingga 2010 beliau berjaya melaksanakan transformasi yang menggabungkan elemen keberkesanan, kecekapan, penambahbaikan dan integriti.

Walaupun didewasakan sebagai seorang juruterbang pejuang sehingga mencapai ke tahap juruterbang penguji bertauliah, beliau juga mempunyai jiwa logistik yang tinggi dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan imej pengurusan logistik ke tahap yang cemerlang dan world class.

ANUGERAH DAN GELARAN

Ackbal merupakan salah seorang penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan daripada DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong XII pada tahun 2006.

Pada bulan Jun 2020, Jen Dato’ Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM  telah menerima anugerah Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) oleh SPB Yang Dipertuan Agong XVI, Tuanku Sultan Abdullah Al Mustaffa Billah Shah yang membawa gelaran Tan Sri. Sebelum itu, Ackbal juga telah menerima beberapa anugerah bintang kebesaran yang membawa gelaran seperti Panglima Jasa Negara (PJN), Seri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP), Darjah Panglima Pangkuan Negeri Pulau Pinang (DPPN) Seri Indera Mahkota Pahang (SIMP), Dato' Paduka Kesatria Mahkota Kelantan (DPKK) dan lain-lain serta Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Kelas Pertama, Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT).

Setelah memerintah Markas Logistik Udara selama selama 3 tahun 7 bulan, Ackbal telah bertukar ke jawatan sebagai Panglima No 1 Divisyen Udara mulai 3 September 2010.  Setahun lebih sedikit sahaja di Markas No. 1 Divisyen Udara, pada 8 November 2011 Ackbal telah dinaikkan ke pangkat Lt Jen TUDM dan dilantik menjadi Panglima Operasi Udara (PANGOP), iaitu jawatan ketiga terkanan dalam heirarki TUDM (selepas PTU dan TPTU).

Pada 20 Oktober 2014, Ackbal TUDM telah ditukarkan ke jawatan Panglima Angkatan Bersama sehingga 4 Ogos 2015 dan kembali menjawat jawatan PANGOP sehingga dilantik menjadi  Timbalan Panglima Tentera Udara (TPTU) pada 21 Disember 2016.

Pada 3 Januari 2020, Ackbal mencapai puncak kerjayanya sebagai pegawai TUDM apabila diberi amanah untuk mengambil alih tugas sebagai Panglima Tentera Udara (PTU) yang ke 19 bagi menggantikan rakan skuad ‘RMC Boy’nya Jen Tan Sri Affendi yang dilantik menjadi Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang ke 21. 

Setelah menerajui TUDM selama 2 tahun 2 bulan, pada 4 Mac 2022, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah menyerahkan tugas Panglima Tentera Udara kepada penggantinya, Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM untuk memulakan cuti sebelum bersara wajib pada 3 September 2022.

Ackbal sebak ketika membalas tabik hormat perbarisan perpisahan

 

Ackbal menyerahkan tongkat kuasa PTU kepada Asghar Khan 

Tan Sri Ackbal mengambil alih tampuk kepimpinan TUDM ketika negara sedang tekanan yang amat berat akibat wabak COVID-19 yang melanda negara sejak akhir tahun 2019. Keterbatasan pergerakan dan aktiviti operasi dan bukan operasi, masalah ekonomi yang meruncing serta penglibatan sebahagian dari warga TUDM di barisan hadapan untuk menangani aktiviti pencegahan penularan wabak telah menyebabkan beliau tidak dapat merealisasikan sebahagian besar dari wawasannya. Keupayaan sebenar Ackbal yang telah melakar banyak sejarah kecemerlangan TUDM sebelum itu, tidak dapat direalisasikan ketika beliau berada di puncak kerjayanya.

Catatan 5: Dalam tempoh perkhidmatan di bawah Ackbal itu, penulis dapat mengenali setiap sudut kepimpinan Ackbal dalam menangani pelbagai krisis yang dihadapinya. Penulis boleh membuat kesimpulan bahawa Ackbal, seorang juruterbang pejuang mempunyai jiwa ‘menjaga nama logistik’ melebihi pegawai-pegawai kanan Materiel dan Kejuruteraan yang ada di dalam TUDM.

Kebetulan, ketika beliau memulakan tugas memimpin organisasi TUDM, penulis sudah pun bersara dari perkhidmatan, sedang terkurung di bawah undang-undang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak dapat memberi perhatian kepada perkembangan TUDM. Oleh itu, penulis tidak dapat menulis komen atau mengulas pencapaian Ackbal sebagai PTU.






PERSARAAN PENULIS

Penulis memulakan cuti pada 22 Mei 2019 sebelum menjalani latihan peralihan pada 22 Ogos 2019. Pada 10 Mei 2019, penulis telah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Timbalan PTU sebagai tradisi perpisahan di kalangan pegawai-pegawai kanan ATM.



Pihak TUDM telah memberikan penghormatan kepada penulis satu perbarisan persaraan pada 2 Ogos 2019 di Padang Kawad TUDM Kinrara. Ackbal, ketika masih menyandang jawatan TPTU telah mewakili PTU sebagai TETAMU KEHORMAT dalam Perbarisan tersebut.




 

Catatan 6. Semua pegawai tinggi TUDM dari peringkat tertinggi sebagai PTU, Pangllima Markas Formasi, Komander Pangkalan, Pemerintah Skuadron Operasi di unit amat prihatin dengan serviceability pesawat dan peralatan di bawah naungan atau jagaannya.  Mereka mahu tahap serviceability mesti mencapai 100% atau setidak-tidaknya mencapai 60 hingga 70%.  Namun realitinya, angka tersebut amat sukar dicapai. Apatah lagi, mereka dikejar oleh bayang-bayang untuk menjadi penyandang anugerah skuadron terbaik dan sebagainya. Mereka akan melenting bagaikan ejection seat jika pesawat mereka tidak boeh terbang kerana masalah alat ganti atau tempoh senggaraan yang lewat. Kebanyakan Pegawai kanan TUDM yang tidak pernah didedahkan dengan sistem dokongan logistik menganggap kegagalan mencapai sasaran tersebut adalah kelemahan pegawai logistik atau Markas Logistik.  

Selaku Panglima Logistik Udara, antara cabaran yang pelik tetapi benar yang dapat pelajari adalah situasi seperti berikut (melibatkan senggaraan dan alat ganti pesawat).  

  • Ada peruntukan kewangan tetapi tiada kontrak (atau tempoh kontrak telah expired), maka perolehan atau pembelian tidak boleh dilakukan. Proses meperbaharui tempoh kontrak, walaupun diambil jauh lebih awal dari tarikh expiry, ia tertakluk kepada kelulusan atau budi bicara pihak Perbendaharaan (MOF). Pegawai di MOF (termasuk Menteri Kewangan) tidak mengenali masalah emergency atau operational requirement
  • Ada kontrak yang masih berkuatkuasa tetapi  peruntukan kewangan (bajet) tahun semasa tidak mencukupi maka perolehan  tidak boleh dilakukan juga. Kebiasaannya TUDM tidak mendapat lebih dari 60% dari jumlah Belanjawan OE yang dipohon setiap tahun.  Pelik tetapi betul, setiap tahun, MLU melakukan perbelanjaan yang menyalahi peraturan kewangan, iaitu meluluskan pembelian walaupun bajet tidak mencukupi. Ia berkaitan dengan lead-time penerimaan alat ganti dan pembaikan peralatan. Setiap awal tahun apabila MLU merima peruntukan dari MINDEF, lebih 50-60% dari jumlah peruntukan itu sudah committed untuk membayar perolehan tahun sebelumnya (yang dijangka sampai dalam tahun semasa).
  • Ada peruntukan kewangan dan ada kontrak yang berkuatkuasa tetapi siling (had bumbung) kontrak telah habis atau tidak mencukupi, perolehan juga tidak boleh dilakukan. 
  • Pelbagai kekangan dasar Kerajaan ke atas pengurusan perbelanjaan, dasar kewangan, pengurusan kontrak dan perolehan telah menyebabkan banyak keperluan operasi TUDM tidak dapat disesuaikan dengan dasar tersebut.
  • Peningkatan kos alat ganti, komponen dan penyeleggaraan khususnyayang melibatkan mata wang negara asing, khususnya United Kingdom, United States, Perancis dan Rusia, meningkat saban tahun. Trend ini tidak selari dengan kenaikan peruntukan tahunan yang diterima TUDM.
  • Kebergantungan yang tinggi kepada produk negara asing dalam perolehan peralatan pertahanan. Kaedah Pembelian Tempatan (LPO) tidak mungkin boleh digunakan kerana kosnya yang tinggi dan tiada sumber dalam negara. 

Sebagai penjelasan kepada faktor-faktor di atas, perlu dinyatakan bahawa pengujudan kontrak dukungan pesawat, terutamanya secara Rundingan Terus (Direct Negotiation) terpaksa melalui karenah birokrasi yang meloyakan. Permohonan kontrak dari MLU (menyambung kontrak atau permohonan tambahan siling) perlu dimajukan ke MTU-Materiel (Kontrak) untuk kelulusan PTU (selaku Pengurus Program Pertahanan Ruang Angkasa) sebelum dimajukan ke Bahagian Perolehan MINDEF. Permohonan dari Perkhidmatan perlu melalui Jawatankuasa Tapisan di peringkat Bahagian Perolehan sebelum ditaja dalam Lembaga Perolehan Kementerian Pertahanan (LPKP).

Penulis berani menytakan perkara ini kerana penulis mempunyai pengalaman berkhidmat di Bahagian Pengurusan Perolehan (BPK) di Perbendaharaan Malaysia selama 4 tahun dan pernah menjadi PS1 Kontrak di MTU (Bahagian Materiel selama 2 tahun, telah biasa dengan segala kerenah birokrasi dan adat istiadat lapuk dalam sistem perolehan ini.

Hanya permohonan yang disokong oleh LPKP dan ditandatangani oleh KSU sahaja akan dibawa ke MOF untuk kelulusan muktamad. Tidak semua permohonan berjalan lancar yang boleh selesai antara 3 hingga 6 bulan. Banyak juga permohonan yang ‘ding dong’ atau turun-naik di tahap tertentu kerana memerlukan maklumat tambahan atau dipersoalkan. Banyak kontrak yang lewat menerima kelulusan sehingga melewati tarikh tamat kontrak. Mangsanya ialah pihak pengguna seperti MLU.

Satu lagi perkara baru yang dipelajari oleh mana-mana Logistics Commander ialah politik dalam MINDEF. Sebahagian besar syarikat-syarikat utama yang mempunyai kontrak dengan KEMENTAH bagi mendukung  aset TUDM ini telah established berpuluh tahun. Mereka mempunyai keistimewaan tersendiri tentang hubungan atau network mereka dengan pihak atasan sama ada di MINDEF atau MOF mahupun dengan kepimpinan tertinggi TUDM.  Logistics Commander sudah tentu mempunyai opsyen yang terbaik untuk memastikan operasi aset TUDM mendapat dukungan yang terbaik. Bagaimanapun beliau terikat untuk berurusan dengan syarikat yang disebutkan (ada network) tadi. Kadangkala beliau berada dalam kedudukan sukar atau terperangkap atau menyimpan perasaan apabila prinsipnya tidak selari dengan kehendak atau pemikiran  pegawai atasannya. .

Selaku salah seorang pegawai yang paling hampir dengan Logistics Commander, penulis dapat melihat ketabahan Ackbal menghadapi dan mengharungi situasi dan cabaran dalam melaksanakan tugas dan peranannya. Pengalamanku dalam bidang perolehan di peringkat MINDEF dan MOF banyak membantu penulis untuk memberi kefahaman kepada beliau tentang karenah birokrasi dalam sistem pengurusan kontrak dan perolehan Kerajaan.

ANTARA PERANCANGAN DAN KENYATAAN

"Mereka merancang, Allah juga merancang. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang" : Surah Ali 'Imran: Ayat 54

Selain dari cerita-cerita peribadi yang penulis catatkan (tulisan kuning) di atas, penulis turut menyimpan pelbagai versi cerita berkaitan kerjaya Ackbal.  Cerita ini diperolehi melalui perbualan kedai kopi bersama rakan-rakan sebaya serta pegawai-pegawai kanan yang mempunyai hubung kait dengan perancangan sumber manusia pegawai-pegawai tinggi.

Berasaskan sejarah kecemerlangan Ackbal sejak zaman pelajar RMC, latihan Pegawai Kadet, pelatih penerbang, tempoh khidmat sebagai pegawai dan juruterbang muda, jurulatih terbang dan pengalaman pememerintahannya, Ackbal telah dilihat sejak awal kerjayanya sebagai salah satu pewaris kepimpinan TUDM.

Pihak kepimpinan tertinggi TUDM telah menyediakan platform dan anak tangga yang kukuh kepada Ackbal dengan pelbagai kursus profesional dan jawatan yang mencabar. Beliau dinaikkan ke pangkat satu bintang ketika berusia 44 tahun dan mencapai pangkat Lt Jen TUDM pada usia 49 tahun. Bagaimanapun, selepas itu, perjalanan kerja beliau mengalami gangguan.

Ketika Ackbal dinaikkan ke pangkat Brig Jen TUDM pada tahun 2006, beliau telah disebut-sebut sebagai bakal PTU. Mengikut teori yang dibaca ketika itu, nama-nama yang disenaraikan dalam succession planning bagi jawatan PTU selepas Jen Tan Sri Azizan bin Ariffin TUDM (hingga 2012) ialah  Lt Jen Dato’ Rodzali TUDM (ketika itu PANGOP) (dijangka 2012 - 2015) dan seterusnya adalah Brig Jen Dato’ Akcbal TUDM (2015 - 2022). Bacaan ini berasaskan, semua pegawai berpangkat Mej Jen TUDM ke atas yang ada ketika itu akan bersara sebelum Rodzali (tahun 2015). Jika teori ini diambilkira, Ackbal akan menduduki jawatan PTU selama 7 tahun. Sebagai mengimbangi tempoh tersebut, kepimpinan TUDM telah menyediakan seorang lagi calon PTU, iaitu Roslan Saad (masih berpangkat Kol TUDM). Pada bulan Januari 2007, Kol Roslan Saad TUDM telah dinaikkan ke pangkat Brig Jen TUDM. Kenaikan pangkat Roslan telah mengubah pelan asal kepada pelan penggantian yang baru, iaitu; Azizan (2006 - 2012), Rodzali (2012 - 2015), Roslan (2015 - 2016) dan Ackbal (2016 - 2022).

Catatan 7: Selepas itu, kenaikan pangkat Roslan begitu laju memintas Ackbal. Mej Jen TUDM (2 Jan 2018), Lt Jen TUDM (20 Ogos 2010) sehingga dilantik menjadi TPTU pada 4 November 2010 dan PTU ke 17 pada 12 September 2014.

Pada 1 September 2009, berlaku peristiwa bersejarah apabila PTU, Jen Tan Sri Azizan bin Ariffin TUDM dilantik menjadi PAT.  Bagaimanapun, TPTU ketika itu, Lt Jen Datuk Seri Bashir bin Abu Bakar TUDM tidak dilantik menjadi PTU biarpun beliau masih mempunyai tempoh baki perkhidmatan lebih satu tahun setengah. Bahkan beliau (Bashir) dilantik menjadi PANGOP. Sebaliknya, Rodzali (PANGOP) telah dilantik menjadi PTU ke 16. Ia mengekalkan RMAF succession planning yang asal. Selanjutnya Lt Jen Dato' Seri Shahron bin Ibrahim TUDM (ketika itu Ketua Staf Markas ATM) dilantik menjadi TPTU. Shahron menyandang jawatan TPTU sehingga Ogos 2010 untuk bersara dan digantikan oleh Bashir. Bashir hanya menyandang jawatan tersebut (untuk kali kedua) selama dua bulan lebih sahaja kerana mencapai usia persaraan. Pada 4 November 2010, Roslan dilantik menjadi TPTU.

Catatan 8: Perlu diambil perhatian bahawa pada November 2011, Affendi bin Buang masih berpangkat Brig Jen TUDM, nama Affendi tidak langsung disebut sebagai salah satu calon bakal PTU. Namun perancangan Allah jauh melebihi keupayaan perancangan manusia. Affendi hanya dianaikkan ke pangkat Mej Jen TUDM pada Oktober 2013 dan Lt Jen TUDM pada Jun 2014 untuk mengambil alih jawatan Panglima Angkata Bersama (PAB).  Pada bulan Oktober 2014 Affendi dilantik menjadi PANGOP dan seterusnya sebagai TPTU mulai 1 Julai 2015.

Apabila Rodzali memulakan cuti pra-persaraan pada 12 September 2014, Roslan telah dilantik menjadi PTU ke 17.  Di sinilah RMAF succession plan telah berubah. Perjalananan Ackbal untuk menjadi PTU semakin sukar dan mencabar apabila Roslan memilih Lt Jen Dato’ Sri Che Akmar TUDM sebagai TPTU.  Pada 20 Oktober 2014, Ackbal telah ditukarkan ke jawatan Panglima Angkatan Bersama menggantikan Affendi. 

Catatan 9: Ini bermakna, pada bulan November 2014, persaingan untuk menjadi PTU (jika jawatan PTU sebelum tarikh bersara wajib) akan berlaku adalah antara Che Akmar (TPTU), Ackbal (PANGOP), Affendi (PAB) dan Sabri (PANGBAN).

Pada bulan November 2015, apabila Affendi dilantik menjadi TPTU, Ackbal kembali ke jawatan PANGOP dan selanjutnya apabila Affendi dilantik menjadi PTU pada 21 Disember 2016, Ackbal telah dilantik menjadi TPTU.

Apabila Che Akmar mengosongkan jawatan TPTU pada bulan November 2015, PTU (Roslan) telah memilih Affendi untuk menjadi Timbalannya. Perlantikan ini mengikut teori semasa telah menutup terus laluan Ackbal untuk menjadi PTU kerana usia Ackbal dan Affendi hanya berbeza  14 hari sahaja. 

Catatan: Affendi dilahirkan pada 21 Ogos 1962 manakala Ackbal pada 4 September 1962. Mereka sama-sama belajar dalam Tingkatan 4 di Maktab Tentera Diraja (RMC) pada awal tahun 1978 hingga akhir 1979. Setelah tamat MCE (RMC) pada tahun 1980, Affendi menyertai latihan Pegawai Kadet Tauliah Jangka Pendek (TJP) Intake ke 38 di Sekolah Pegawai Kadet, Port Dickson mulai 1 Julai 1980 manakala Ackbal menyertai latihan Pegawai Kadet Tauliah Tetap Intake ke 21 di RMC, Sg Besi mulai 1 Jun 1980. Affendi menerima sayap penerbangan pada bulan Disember 1982 manakala Ackbal pada bulan Mei 1984.

Pada 21  Disember 2016, Affendi dilantik menjadi PTU ke 18 dan beliau memilih Ackbal menjadi Timbalannya. Teori kasarnya, kedua-duanya akan bersara dalam jawatan itu, pada tahun 2022 kecuali Affendi bersara lebih awal untuk memberi laluan kepada skuad ‘OP’nya. 

Bagaimanapun, rezeki yang muktamad untuk seseorang telah ditetapkan oleh Allah (swt). Manusia hanya merancang dan boleh menyusun angan-angan. Manusia juga boleh berusaha untuk mempercepatkan atau menghalang perjalanan sesama manusia. 

 

Allah (swt) mengurniakan Affendi rezeki untuk menjadi PTU di luar jangkaan sesiapa dan Allah (swt) juga menetapkan Ackbal menerima rezeki menjadi PTU dengan melalui pelbagai ujian dan halangan. Allah Yang Maha Adil telah menyediakan lorong untuk kedua-duanya menduduki kerusi PTU. 

Pada 2 Januari 2020, Affendi (Apai) telah dilantik menjadi Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke 21 dan perlantikan ini telah memberi laluan kepada skuad OPnya, Ackbal (Krueger) untuk mengisi jawatan PTU ke 19.

COFFEE TABLE
MEMOIR JEN TAN SRI ACKBAL 'KRUEGER'
TERBITAN MARKAS TENTERA UDARA
SEMPENA PERSARAAN BELIAU

Buku Memoir Krueger yang dihadiahkan khas untuk penulis

Personal note dari Ackbal