MAJLIS MAKAN MALAM PEGAWAI-PEGAWAI MATERIEL
SEMPENA PERSARAAN PEGAWAI-PEGAWAI KANAN MATERIEL
DI BALLROOM, SAMA-SAMA HOTEL, SEPANG
PADA 3 OGOS 2019
TETAMU KANAN YANG HADIR:
1. Y.Bhg Brig Jen Dato Dr Hj Mohd Yunus bin Hj Masjuki TUDM dan Datin Hjh Norliza binti Hj Wagiyo.
2. Y.Bhg Brig Jen Mohammad Shuairi bin Abdullah TUDM,
3. Y.Bhg Brig Jen Hj Zainal bin Abd Manaf TUDM dan Puan Hjh Norani,
4. Y.Bhg Brig Jen Dato' Hj Othman bin Ahmad TUDM dan Datin Rahimah.
Awal mula pertama mula, marilah kita merafak
setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah swt kerana dengan limpah kurnia dan
ehsannya pada hari ini kita masih diberi nyawa dan kesihatan yang baik untuk
menghirup udara milikNya dan melanggani pelbagai nikmatNya yang tidak terperi
secara percuma.
Kedua, Sebelum lebih panjang lagi melontarkan kata saya
ingin mendahului ucapan saya ini dengan permohonan maaf sekiranya ada ayat-ayat
yang bakal saya lontarkan nanti tidak sesuai atau menyentuh perasaan
saudara/saudari sekelian.
Ini merupakan pertemuan serta peluang berucap secara rasmi
yang terakhir saya dengan Dato'-Dato' dan saudara/saudari sekelian. Jadi,
walaupun saya amat gembira kerana dapat melepaskan bebanan khidmat yang telah
dipikul hampir 40 tahun, sebagai insan yang mempunyai hati yang rapuh, saya
tetap menyimpan rasa kesedihan dan kesayuan untuk meninggalkan organisasi yang
menjadi punca pendapatan kehidupan saya dan ahli keluarga saya.
Dan ketiga, saya dan isteri ingin menyampaikan ucapan
terima kasih yang tidak terhingga kepada kepimpinan Materiel khususnya AKS
Materiel, YBhg Brig Jen Dato' Dr Mohd Yunus yang telah memberi keizinan untuk
Bahagian Materiel menganjurkan Majlis Makan Malam ini bagi meraikan persaraan
saya dan rakan-rakan saya. Juga kepada saudara-saudari serta isteri atau suami
yang melapangkan masa dan sudi untuk hadir dalam majlis ini, Ini adalah satu
penghormatan yang amat besar untuk diri kami dan isteri kami. Pastinya majlis
ini akan menjadi kenangan kami selagi saya masih memiliki daya ingatan atau
sehingga saya menutup mata yang terakhir nanti.
.
Brig Jen Dato' Dr Mohd Yunus bin Masjuki TUDM
AKS Materiel
Saudara dan saudari yang saya dikasihi sekelian,
Dalam kerjaya kita, terdapat beberapa perkara yang saya
harapkan atau cita-citakan telah gagal dicapai, dan beberapa perkara yang tidak
pernah diharapkan atau dijangka telah berlaku. Tidak pernah ada dalam mimpi
saya untuk melangkahkan kaki keluar dari bulatan dunia TUDM ini sebagai seorang
Mejar Jeneral. Kerana sebelum ini saya pernah dua kali memohon untuk bersara
awal semasa berpangkat Mejar dan sekali lagi semasa berpangkat Lt Kol.
Bagaimanapun kesemuanya tidak menjadi kenyataan kerana dipujuk untuk meneruskan
perkhidmatan. Dan dua atau tiga tahun yang lalu, saya sudah merasakan yang saya
akan bersara wajib dalam pangkat Kolonel sahaja. Bagaimanapun Allah telah
menentukan segala-galanya berbeza sebagaimana yang saya rancang.
Di awal tahun 80an dulu, dalam perjawatan Materiel TUDM
(waktu itu dikenali sebagai Cawang Bekalan, dan kemudiannya Logistik) hanya ada
1 Brig Gen, 2 Kol dan 6 atau 7 Lt Kol sahaja. Majoriti pegawai Materiel bersara
dalam pangkat Mejar sahaja. Hari ini kita dapatai lebih dari 30 pegawai
Materiel berpangkat Lt Kol ke atas. Malah malam ini, dalam sejarah TUDM kita
ada 5 orang GENERAL Materiel yang masih berkhidmat. Ini adalah satu kemajuan
atau peningkatan yang positif serta pengiktirafan kepimpinan TUDM kepada
peranan Materiel dalam TUDM.
Riwayat hidup saya bermula dari desa/kampung, melalui
kehidupan anak-anak kampung yang dikelilingi tradisi masyarakat Jawa serta
kehijauan kebun kecil getah, kelapa dan kopi yang menjadi hasil dan pendapatan
keluarga. Tiada bekalan paip air dan cahaya api elektrik menyinari rumah. Pergi
sekolah tanpa mandi pagi adalah perkara biasa. Ubat gigi adalah satu item yang
mewah. Sama ada guna lumpur atau arang sebagai ubat gigi. Kami ke sekolah
dengan kasut putih dari bahan plastik tanpa stokin kerana jalan yang becak dan
kotor. Sampai sekolah basuh kaki basuh kasut, pakai balik- kering sendiri.
Apabila saya gagal dalam pengajian di UTM dalam tahun 1979
dan menganggur hampir setahun di kampung, saya melangkah kaki menggadai tubuh
badan untuk menjadi seorang pegawai kadet pada 2 Apr 1980 dan mengangkat sumpah
ikrar taat setia pada 5 Apr. 9 bulan
menjalani latihan Pegawai Kadet Tauliah Jangka Pendek Panggilan ke 37 (TJP37)
di SPK Port Dickson.
Sebab musabab saya masuk tentera bukanlah kerana cinta
kepada negara, atau untuk berjuang melawan musuh atau berkhidmat kepada bangsa
dan agama, tetapi kerana malu kerana telah mengecewakan kedua ibu bapa saya
akibat gagal UTM, kerana berkhidmat dengan Kerajaan pada masa itu gaji amat
rendah, kelulusan SPM gaji hanya RM370.00 manakla elaun Pegawai Kadet elaun
RM400 sebulan, latihan hanya 9 bulan dapat pangkat Leftenan Muda bergaji
RM700.00.
Setelah tamat latihan Pegawai Kadet di Port Dickson saya
dihantar ke Sekolah Latihan Penerbangan (kemudian jadi PULATIBANG dan sekarang
INSPEN) untuk mengikuti latihan asas penerbangan. Antara pegawai yang sama-sama
gagal latihan penerbangan dan kemudiannya menyertai Cawang Logistik (Materiel)
ialah; Mej Rajakandan a/l Ratnasingam (B), Mej Zolkeple bin Ayob (B), Brig Jen
Mohamad Shuairi bin Abdullah, Mej Othman bin Md Jahim (B), Allahyarham Mej
Osman bin Haroon (B) dan Kapt Selvaraj a/l Muthu (B).
Pegawai Materiel TJP37 yang ditauliahkan terus ke Cawang
Materiel ialah Brig Gen Dato Yohanez Ahmad (B) dan Lt Kol Khairudin Zahari (B).
Seorang lagi intake saya dalam Materiel ialah Lt Kol Ahmad Zaini bin Mohd Ali
(B) dari Cawang KLLU.
Dari 10 pegawai Materiel dari TJP37, sekarang tinggal Brig
Jen Mohamad Shuairi sahaja yang masih dalam perkhidmatan. Last Mohican of RMAF
Materiel Intake 37. Intake kami yang masih berkhidmat dalam TUDM sekarang ialah
Lt Jen Dato' Kamalruzaman bin Mohd Othman TUDM, Brig Jen Dato' Sanusi Samion
TUDM, Brig Jen Felix Gonsalvez TUDM, Kol Sabri bin Shamsudin TUDM dan Kol
Tamilanty TUDM. Manakala yang sudah bersara ialah Mej Jen Dato' Khairil Asri
bin Baharin TUDM, Mej Jen Datuk Romlee bin Yahya TUDM, Brig Jen Hj Hasaza bin
Hanafiah TUDM dan Brig Jen Hj Jumali bin Salamat TUDM.
Setelah gagal latihan penerbangan dan pertukaran ke Cawang
Logistik diluluskan, saya berkhidmat di TUDM Kuching sebagai DAMO. Saya
hanya menghadiri Kursus Asas Pegawai Logistik pada bulan April 1983. Lima dari
18 coursemates saya adalah dari Intake TJP43 yang baru beberapa hari
ditauliahkan seperti Lt M David Marshall Parnabas, Lt M Razali bin Ahmad
Rogigan, Lt M Abu Hanipah bin Hussein, Lt M Mohd Yusnillah bin Mohd Yunus dan
Lt M Ahmad Nazri bin Nayan (satu-satunya yang masih tinggal dalam perkhidmatan
hari ini).
Yang lain adalah super seniors dari TJP 37 hingga TJP 40
dan 2 dari Regular Intake 21. Mereka ialah Lt Zambri Ahmad, Lt M Sulaiman
Idris, Lt M Othman Jahim, Lt M Mior Muhammad Mior Sulaiman, Lt M Radzali Ratin,
Lt M Muhd Sakir Yusof, Lt M Rusli Ibrahim Lt M Mohd Johany Abdullah, Lt M
Borsra Wahab, Lt M Romlee Mat Piah, Lt M Nasir Mamat dan Lt M Lim Eng Lye.
Setamatnya Kursus Asas logistik, saya melangsungkan
perkahwinan pada bulan Oktober 1983. Selesai majlis perkahwinan cuti terus
melapor ke TUDM Kuantan dengan menunggang motosikal Suzuki Cup 80cc dari Batu
Pahat ke Kuantan.
OC (Ketua Cawang Logistik) saya di TUDM Kuantan ialah Mej
Nik Hishamuddin (allahyarham) dan kemudian digantikan oleh Mej Azizan Shaari.
Baru 4 bulan melapor ke Kuantan, saya dihantar mengikuti kursus selama 3 bulan
di Sekolah Kor Kelengkapan di Batu Kantomen. Sekali lagi saya menggunakan
khidmat motorsikal kapcai saya berulang alik KL - Kuantan setiap minggu atau dua
minggu.
Pada bulan Mei 1986 saya terpilih melanjutkan pengajian ke
ITM selama 3 tahun. Itulah unit terakhir saya sepanjang perkhidmatan saya,
iaitu ketika berpangkat Leftenan. Pada waktu itu, terpilih ke IPTA merupakan
satu kebanggaan bagi seseorang pegawai kerana dalam setahun hanya 2 atau 3
pegawai sahaja yang terpilih ke IPTA. Bersama saya ke ITM pada masa itu ialah
LtM Zainal (DCS) dan LtM Kamarudin Kasim (CIT).
Setamatnya pengajian di ITM pada Jun 1989, saya ditukarkan
ke MPPU, masih dalam pangkat Leftenan. Saya hanya dinaikkan ke pangkat Kapten
pada bulan Ogos 1989 setelah 8 tahun perkhidmatan, walaupun telah lulsu
peperiksaan pada tahun 1985 menyebabkan saya kehilangan seniority Kapt selama 7
bulan.
Pada penghujung tahun 1991 saya dipanggil temuduga kerjaya
oleh PS1 SISLOG (Lt Kol Ahmad Haidir) dan seterusnya membawa saya berhijrah ke
MINDEF untuk mengambil-alih jawatan
sebagai PS2 Belanjawan Latihan (perjawatan Kapten). Cabaran besar pada waktu
itu ialah pelaksanaan kursus di bawah Projek MOU UK yang melibatkan
berpuluh-puluh kursus pegawai dan juruteknik pesawat Hawk, Simulator Hawk dan
Radar Martello. Melayani kerenah birokrasi pemilihan di peringkat Cawangan,
peringkat TUDM, pejabat Pesuruhjaya Tinggi UK serta pelbagai masalah yang
dihadapi pelatih TUDM di UK.
Ingatan saya kepada pegawai-pegawai muda, janganlah
menyangka jika kita ditugaskan di unit luar Lembah Klang, atau di pasukan 3
khidmat (luar TUDM), kita merasa dipinggirkan atau dilupakan. Sebagai seorang
pegawai, tugas kita adalah berkerja. Dimana sahaja anda ditugaskan. akan ada
pegawai staf di Markas yang memantau dan menilai kebolehan dan keupayaan anda.
Jangan merasa kecewa atau putus asa atau marah jika tertinggal kenaikan pangkat
atau kursus berbanding rakan kita. Jika, sememangnya kita capable and eligible,
giliran kita akan sampai.
Pada bulan Jun 1993, seiring dengan penstrukturan
organisasi TUDM secara besar-besaran, saya ditukarkan ke jawatan PS2 SISMAT C
yang menguruskan sumber manusia warga Materiel. APTU Materiel pada masa itu,
allahyarham Brig Jen Abdul Rahman Rais TUDM telah menawarkan saya mennjadi
Pegawai Logistik dalam Tim Projek MiG29 di Russia. Namun saya menolak kerana
saya mempunyai cita-cita untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah. Saya
menamakan Lt Kol Zainudin Sahak (Zico) untuk menggantikan tempat saya.
Cita-cita saya dimakbulkan Allah. Pada bulan Jun 1994 saya terpilih untuk
melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di ITM, iaitu kursus ADBS (HRM) dan saya
mendapat anugerah Pelajar Terbaik semasa Konvokesyen tahun 1996.
Kenapa saya menyebut perkara ini, bukan untuk kebanggaan
diri saya tetapi yang paling menyentuh perasaan saya pada masa itu ialah, saya
dapat membawa kedua ibu bapa saya masuk dalam Dewan Seri Budiman untuk
menyaksikan saya menerima ijazah. Akhirnya saya dapat menebus malu kerana
mengecewakan kedua ibu bapa saya atas kegagalan saya di UTM dalam tahun 1979
dahulu.
Satu lagi signifikan bagi pengajian saya di ITM ialah, saya
mendaftar diri untuk Kursus Diploma Lanjutan (ADBS) tetapi saya konvokesyen
dengan ijazah Sarjana Muda Kepujian kerana bertepatan dengan pengiktirafan ITM
sebagai sebuah Universiti.
Setamatnya kursus di ITM, saya kembali ke SISMAT di bawah
APTU Materiel yang baru iaitu Brig Jen Dato Mohd Idris bin Saman TUDM. Legasi
saya semasa dalam jawatan tersebut saya telah memperkenalkan PAPTUM (Pekeliling
APTU Materiel). PAPTUM dapat menyampaikan banyak maklumat berkaitan dasar dan
amalan pengurusan kepada warga Materiel di unit-unit TUDM.
Kebanggaan saya pula ialah apabila cadangan saya
menjenamakan semula SEKLOG kepada PLPL diterimapakai dan kekal sehingga ia
ditukar menjadi INSMAT. Pada masa ini
saya sudah merancang untuk mengambil-alih kursus-kursus Penstoran Bahan Letupan di ITSBL ke PLPL
tetapi terpaksa ditangguhkan kerana PLPL di PU Subang tidak mempunyai prasarana
yang mencukupi untuk menampung keperluan ini.
Sepanjang tahun 1999 saya berkursus di MTAT dan setelah
tamat kursus saya ditukarkan ke Kementerian Kewangan (MOF) selama 4 tahun.
Semasa di MOF ini saya telah dua kali menyatakan hasrat untuk menamatkan
perkhidmatan kerana telah mendapat tawaran kerja yang agak baik dari beberapa
buah syarikat (selain dari melihat masa depan yang tidak menggalakkan dalam kerjaya
saya). Namun, AKS Materiel pada masa
itu, Brig Jen Dato' Othman Abd Majid TUDM tidak meluluskan permohonan saya.
Pada bulan Februari 2004, saya pulang ke MINDEF dan
dinaikkan ke pangkat Lt Kol sebagaimana yang dijanjikan oleh pihak pengurusan
yang tidak membenarkan saya untuk bersara awal. Sekali lagi saya membuat tugas
PS 1 SISMAT di bawah AKS Materiel yang baru, Brig Jen Dato' Amir Hashim TUDM.
Setelah 5 tahun ditinggalkan, PAPTUM saya sudah semakin dilupakan. Seterusnya
saya memperkenalkan MAKSMA (Memo AKS
Materiel) bagi menggantikan PAPTUM. Bagaimanapun, MAKSMA juga terkubur setelah
saya meninggalkan SISMAT kerana pelaksanaannya memerlukan minat, inovasi,
kemahuan serta kemahiran penulisan untuk mentafsirkan hasrat kepimpinan di
Markas TUDM.
Satu perkara yang menjadi kebanggaan serta kenangan
terindah saya semasa menjadi PS1 SISMAT kali ini ialah KEJAYAAN memindahkan
Kursus-kursus Penstoran Bahan Letupan dari ITSBL (Butterworth) ke PLPL. Pada
masa ini, PLPL telah mempunyai kampus tetap dan tersusun di TUDM Kinrara.
Pada tahun 2005 saya ditukarkan dari PS1 SISMAT ke PS1
Kontrak bagi menyusun semula pengurusan kontrak-kontrak TUDM. Pada penghujung
2006, berlaku TSUNAMI 2 di Markas Logistik Udara (MLU) di mana satu siasatan
secara besar-besaran ke atas pengurusan perolehan di MLU. Ramai yang tidak tahu
atau sudah lupa bahawa TSUNAMI 1 berlaku pada tahun 1985 (Lembaga Penyiasatan
ke atas pengurusan perolehan di Pusat Maeriel Udara). Hasil dari Tsunami 2 itu,
ramai pegawai TUDM yang berhentikan secara keji dari perkhidmatan TUDM.
Lanjutan dari itu, satu rombakan besar-besaran berlaku di MLU. Brig Gen Ackbal
Abdul Samad TUDM telah dilantik menjadi Panglima Logistik Udara. Saya sendiri
ditukarkan dari PS 1 Kontrak ke MLU pada bulan Feb 2007 untuk mengambil-alih
jawatan PS1 Pembaikan.
Selama 14 bulan menyandang jawatan sebagai PS1 Pembaikan
merupakan satu tempoh yang sungguh mencabar dan mendebarkan. Selain melayani
Lembaga Penyiasatan yang masih aktif dan membuat pelbagai reformasi,
transformasi dan inovasi, kami diduga lagi dengan peristiwa pahit kes
kehilangan dua buah Engine J85 pesawat F5E pada tahun 2008 merupakan kemuncak
kepada hilangnya kepercayaan kepimpinan TUDM kepada warga Materiel. Peristiwa
yang menggemparkan negara ini benar-benar menguji kesabaran dan kekuatan
dalaman saya dan rakan-rakan yang ada pada masa itu. Siasatan polis, siasatan
oleh Lembaga Siasatan, siasatan SPRM, siasatan PDRM dan Jawatankuasa Kira-kira
Wang Negara (PAC) bertindan dan berterusan.
Mantan PS2 dan PS3 Pembaikan saya, Mejar Raja Rizal
Iskandar dan Mej Ammadi Atan mungkin boleh berkongsi cerita tentang bagaimana
peritnya hidup di Cawang Pembaikan pada waktu itu. Pernah saya menangis di
tengah malam apabila PS2 saya yang saya kenali seorang pegawai yang bersih, Lt
Kol Shafiq Khee terpaksa duduk dalam sel tahanan PDRM selama seminggu untuk
disoalsiasat. Terbayang juga, itu adalah tahun terakhir perkhidmatan saya dalam
TUDM. Alhamdulillah segalanya berakhir dengan baik. Walaupun keputusan mahkamah
berpihak kepada individu yang dituduh dan didakwa, setidak-tidaknya staf saya
di Cawang Pembaikan tidak terlibat dengan jenayah ini.
Dalam tempoh kegetiran itu, saya masih dikurniakan rezeki
Allah dengan kenaikan pangkat Kolonel pada bulan Jun 2009 atas jawatan Ketua
Staf Khidmat (KSK). Sebelum itu, saya sudah memangku jawatan KSK sejak bulan
Julai 2008. Oleh kerana itu, saya disebut-sebut (di belakang saya) sebagai
kurang layak untuk mendapat kenaikan pangkat ini kerana tidak pergi MPAT, tidak
pernah buat tugas KCM selain dari masih ramai yang lebih senior dan lebih
layak. Sindrom inilah yang kemudiannya menambah paku dan duri dalam perjalanan
kerjaya saya kemudian.
Saudara dan saudari yang saya dikasihi sekelian,
Adalah diharapkan, peristiwa getir ini dapat memberi
peringatan dan pengajaran kepada semua
PEGAWAI MATERIEL dan panjangkan kepada anggota di bawah perintah tentang
pentingnya integriti dalam tugas seharian kita. Sudah terlalu banyak kita
mendengar cerita tentang pegawai-pegawai Materiel yang disiasat polis atau
SPRM, didakwa di mahkamah, dihukum dan diberhentikan dari perkhidmatan.
Selain dari sentiasa menentukan diri kita memiliki
integriti yang tinggi, kita juga wajar sentiasa
dan sensitif dengan persekitaran kita. Jangan meletakkan 100%
kepercayaan kepada orang sekeliling kita, mesti ada sedikit rasa sangsi jika
kita melihat sesuatu yang kurang lazim pada diri seseorang. Selain itu,
kita harus berwaspada kerana sentiasa
ada orang yang menunggu sedikit sahaja kesilapan kita untuk menjatuhkan kita.
Sepanjang tempoh berkhidmat di MLU saya telah dua kali
mendapat pencalonan ke MPAT iaitu untuk tahun 2009 dan 2010. Namun kedua-duanya
dibatalkan atas keperluan perkhidmatan.
Ketika saya sedang menunaikan Fardhu Haji pada hujung tahun
2010 saya telah mendapat berita pertukaran saya keluar dari MLU ke satu jawatan
yang tidak wujud dalam organisasi TUDM, iaitu sebagai Pengarah Pengurusan
Strategik.
Sepulangnya dari tanah suci, pada bulan Januari 2011 saya
melapor diri ke Markas TUDM ke jawatan baru tanpa pejabat, tiada meja dan staf.
Saya hanya membuat kerja di dalam pantry. Saya ditugaskan untuk menyertai tim
nukleas kepada penubuhan sebuah Bahagian baru di Markas TUDM yang dinamakan
Bahagian Pengurusan Strategik (BPS).
Dalam keadaan yang masih ad-hoc, tanpa perjawatan, tanpa
pejabat dan tanpa staf, BPS dipertanggungjawabkan menerajui program
Transformasi TUDM "Air Force Next Generation (AFNG)" kearah sebuah
angkatan berspektrum penuh pada 2020. Sebagai Pengarah Pengurusan Strategik
yang pertama, selain dari menyediakan draf cadangan struktur organisasi dan
fungsinya, menyedia dan menguruskan penerbitan Pelan Transformasi TUDM (RMAF
Transformation Plan), saya juga diperlukan membuat road-show ke semua pangkalan
TUDM untuk membuat penerangan mengenai apa itu AFNG.
Semasa bertugas di BPS inilah, saya didatangi oleh beberapa
orang sahabat yang bersimpati dengan situasi saya dan menceritakan beberapa
cerita rekaan memfitnah saya yang disebarkan semasa saya berada di tanah suci.
Mungkin, itulah antara sebab mengapa pihak atasan TUDM membuat keputusan
drastik menukarkan saya keluar dari MLU semasa ketiadaan saya.
Sedikit demi sedikit Allah menunjukkan kebenaran dan
kepalsuan.
Pada bulan Feb 2012, saya telah dipanggil oleh PTU (Jen Tan
Sri Rodzali TUDM) yang meminta saya kembali ke MLU sebagai KSK untuk membantu
Panglima pada masa itu, Mej Jen Dato' Kamalruzaman bagi memperbetulkan beberapa
perkara yang melibatkan diversion ke atas sistem pengurusan yang telah
ditransformed pada tahun 2007/2008 dahulu. Walaupun PTU memberi pilihan sama
ada saya setuju atau tidak dengan tawarannya, saya melihat ke arah yang
positif. Walaupun jawatan KSK merupakan jawatan yang panas dan sensitif, saya
menerima arahan itu sebagai satu sinar baru, kepercayaan pemimpin tertinggi
TUDM kepada keupayaan saya dan pada masa yang sama akan membuktikan bahawa apa
yang disebarkan sebelum ini tentang keburukan saya adalah fitnah.
Pada bulan April 2013, saya telah dicalonkan untuk
menghadiri Kursus Bahasa Korea selama 9 bulan diikuti oleh Kursus Staf di Korea
National Defence University (KNDU) selama satu tahun. Beberapa hari sebelum MAT bersidang saya
telah menghantar surat kepada AKS Sumber Manusia bahawa saya menolak pencalonan
tersebut atas beberapa alasan yang munasabah. Pencalonan tersebut dibatalkan.
Pada penghujung tahun 2013, TUDM membuat penstrukturan
semula organisasinya dan nama MLU di tukar menjadi Markas Pemerintahan Bantuan
Udara (MPBU) dan pada bulan Julai 2013, Panglimanya, Mej Jen Dato' Kamalruzaman bin Mohd Othman TUDM digantikan
oleh Lt Jen Datuk Che Akmar bin Mohd Nor TUDM.
Pada bulan Feb 2014, saya ditukarkan ke MK ATM-KOMLEK untuk
mengambil-alih jawatan Pengarah Bantuan Khidmat (PBK) bagi menggantikan Kol
Kamarudin yang dirancang untuk menjawat Pengarah Materiel. Namun pertukaran
tersebut dibatalkan kerana pertukaran Kol Kamarudin tidak diluluskan, maka saya
kekal di MPBU.
Pada bulan Julai 2014, saya ditukarkan ke MTU-Materiel
untuk menyandang jawatan Pengarah Materiel. Tapi pertukaran kali ini saya
berasa amat janggal, agak pelik dan curious.
Tugas Pengarah dikosongkan oleh Kol Zaki sejak Feb 2014, tiada pemangku.
Semasa mengambil-alih jawatan itu, tiada proper handing-taking over dibuat,
arahan AKS (semasa membuat arrival), buat lah apa yang patut. Macamana boleh
berlaku kepada satu jawatan yang penting dalam Cawang Materiel TUDM. Jawatan
paling kanan selepas AKS Materiel. Tanpa memikirkan perkara yang negatif, saya
terus melaksanakan tugas saya.
Setelah beberapa minggu dan bulan menduduki kerusi
Pengarah, kejanggalan semakin terasa. AKS tidak pernah berbincang berkaitan
'MATERIEL' dengan saya. Tiada decision making yang dibincang bersama. Kalau ada
pun, sekadar mewakili beliau dalam mana-mana mesyuarat yang beliau tidak dapat
pergi kerana ada tugasan lain. Dan bertambah janggal apabila PS1 Kontrak dan
PS1 Perolehan yang sepatutnya di bawah tanggungjawab Pengarah Materiel
diarahkan berurusan terus dengan AKS.
Hanya PS1 SISMAT sahaja di bawah Pengarah. Banyak lagi boleh
diceritakan, tapi cukuplah sekadar itu.
Saya menjadi Pengarah Materiel hanya 7 bulan sahaja. Pada
bulan Mac 2015, tanpa mendapat apa-apa maklumat dan bayangan, tiba-tiba saya
ditukarkan ke MK ATM-KOMLEK dan diarahkan melapor diri dalam tempoh beberapa
hari sahaja.
Jadi saya serahkan kepada saudara-sudari untuk membuat
persepsi masing-masing tentang kepimpinan Materiel pada masa itu.
.
.
Saudara dan saudari yang saya dikasihi sekelian,
Itulah dunia Materiel TUDM, sifat ingin membunuh kerjaya
sesama ahli keluarga ini telah berlaku sejak berpuluh tahun yang lalu. Pada
ahun 1978, Pengarah Bekalan berpangkat Group Captain (pegawai terkanan dalam
Cawang Bekalan) telah dijatuhi hukuman 7 tahun penjara atas tuduhan rasuah.
Pada tahun 1989, APTU Materiel kedua didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah
juga. Alhamdulillah, dia memenangi perbicaraan dan dibebaskan. Tetapi dia
kehilangan jawatan dan maruah. Beberapa tahun lalu, saya berbual panjang
dengannya dan beliau memberitahu bahawa apa yang berlaku adalah fitnah dari
pegawai kanannya sendiri. Kita telah 3 kali kehilangan jawatan APTU/AKS ke
tangan orang lain. Bukan atas perbuatan orang luar (bukan Materiel) tetapi di
kalangan kita juga.
Marilah kita belajarlah dari pengalaman ini. Berilah
sokongan kepada sahabat kita yang berjaya dan yang diberi amanah untuk memimpin
kita. Kecuali dia benar dan jelas melakukan jenayah untuk kita ketepikan.
Mungkin kita mahukan jawatan itu kerana kita rasa kita lebih layak. Tetapi
Allah Maha Mengetahui siapa yang lebih layak. Jika kita tidak mendapat tempat
itu, Allah akan beri yang lain. Bukan semua pangkat dan jawatan itu satu nikmat
atau anugerah, sebahagiannya adalah ujian. Untuk menguji kekuatan jiwa dan iman
kita.
Pada 16 Mac 2015 saya mula bertugas di KOMLEK dan inilah
kali pertama saya berpeluang bertugas di organisasi 3 KHIDMAT. 34 tahun khidmat saya di ATM sebelum itu, 7
tahun berkursus, 4 tahun di MOF, selebihnya terkurung dalam tempurung TUDM.
Hampir 6 tahun di MLU, hampir 8 tahun di MTU. Tiga kali di SISMAT.
3 tahun di KOMLEK adalah satu pengalaman yang cukup
terkesan di penghujung kerjaya saya. Dalam situasi membuat kayuhan mendaki
bukit untuk menggapai bintang, satu persatu saya dipintas. Kalau 10 tahun yang
lalu (2019), semasa saya menjadi KSK, kalau tanya 250 pegawai Materiel, lebih
90% akan kata saya adalah pengganti Dato Azizan sebagai AKS Materiel. Walaupun
saya tidak bercita-cita sangat sampai ke tahap itu, namun bila semua orang
sebut, datang juga PERASAAN PERASAN.
Mengikut perkiraan mudah pada tahun 2009 ialah Mej Jen
Dato' Azizan akan bersara pada tahun 2016. Pada masa itu ada 3 pegawai Materiel
berpangkat Kolonel iaitu Kol Mohd Zaki bersara tahun 2014, Kol Kamarudin
bersara tahun 2015 dan saya akan bersara tahun 2019. Secara teorinya siapa lagi
yang layak jadi AKS?. Tapi dengan kehendak Allah, teori itu tidak berlaku.
Mustahil saya tidak terasa apa-apa apabila empat orang
pegawai yang dinaikkan Kolonel selepas saya telah dinaikkan ke pangkat
Brigedier Jeneral mendahului saya. TAPI, oleh kerana saya sendiri tidak
terlalu ambitious, perkara tersebut tidak terlalu menekan
perasaan saya. Saya terima (rezeki mereka adalah) ketentuan Allah disamping
melihat sudut positif kepada mereka..
Jadi, tidak ada sebab untuk saya berasa marah atau cemburu
dengan kenaikan mereka kerana sebelum
ini, walaupun dalam pangkat Kapt, Mej dan Lt Kol saya agak ketinggalan dari
mereka namun semasa naik Kolonel saya telah memintas ramai senior saya. Semua
itu adalah pusingan roda kehidupan kita dan itu semua kerja Allah.
Sebagai manusia biasa, saya akui saya agak terkilan, namun
saya mengakui saya mempunyai banyak kekurangan dan kelemahan saya yang
menyebabkan kepimpinan TUDM tidak memberikan apa yang saya harapkan.
Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan diri saya dan
saudara/saudari semua supaya melaksanakan tugas dengan baik dan seikhlas
mungkin. Manusia biasa pastinya ada perasaan dan emosi. TETAPI Jangan sesekali
tewas dengan emosi dan perasaan kita.
Apabila berada di MK ATM, saya merasakan suatu kelegaan kerana
tiada gangguan hantu TUDM. NAMUN ia tidak berlaku. Satu kes AP59 bernilai
RM2.54 juta yang dilakukan oleh pegawai lain telah dibebankan ke atas nama saya
dan 2 orang lagi pegawai walaupun kesalahan tidak patuh kepada prosedur itu
berlaku di luar bidang tugas dan pengetahuan saya. Walaupun isu itu
diselesaikan tanpa tindakan kewangan tetapi image, reputasi saya telah
tercalar. Pada masa yang sama saya terpaksa menghadapi kerenah menghadapi
siasatan yang berpanjangan sehingga perkara itu diselesaikan.
Di KOMLEK saya menggunakan segala ilmu, pengalaman dan
kepakaran saya untuk mengubah landskap dan sistem kerja di KOMLEK, terutamanya
dalam pengurusan perolehan dan kontrak. Tempoh perkhidmatan saya di KOMLEK amat
menyeronokkan kerana mendapat sokongan padu dari boss saya (Laksamana Pertama
Dato' Aris Adi Tan bin Abdullah). Saya juga berpeluang menjelajah ke seluruh
pelusuk negara dari Perlis sampai ke Sabah, melawat kem-kem yang sebelum ini
saya tidak pernah dengar namanya sebelum ini.
Di KOMLEK saya menimba ilmu dan terlibat secara langsung dengan pengurusan dan pengoperasian sistem
komunikasi strategik ATM seperti sistem AMSS, P4, NCO dan Satelite serta
pengurusan sistem telefoni awam (PABX).
Mulai Mei 2018 saya ditukarkan ke Bahagian Logistik Pertahanan
(BLP) dinaikkan ke pangkat Brigedier Jeneral - mengambil alih jawatan Ketua
Pengarah Operasi Logistik (KPOL). Memandangkan tempoh perkhidmatan saya hanya
tinggal setahun perkhidmatan, maka saya sedar bahawa inilah destinasi terakhir
saya sebelum bersara.
Di BLP, sebagai No. 2 Man kepada Mej Jen Dato' Razif (AKS
LP) yang pada ketika itu sedang menghitung hari menunggu cuti sebelum latihan
peralihan, .memberi peluang kepada saya untuk mewakili AKS LP untuk menghadiri
pelbagai mesyuarat yang melibatkan pengurusan tertingggi ATM. Saya dapat
menimba banyak pengalaman dan membina rangkaian dengan barisan pegawai-pegawai
kanan ATM. Itu semua adalah lorong-lorong yang disediakan oleh Allah untuk saya
memudahkan baki perjalanan kerjaya saya.
Apabila MG Dato Razif mula bercuti pada 17 Dis 18, saya
diarahkan untuk memangku jawatan AKS LP. Selepas mengambil-alih jawatan, dalam
satu pertemuan dengan YBhg PAT atas urusan kerja, saya mengambil kesempatan
untuk bertanyakan hal tersebut. Jawapan PAT ialah "...tak ada pengganti.
You pegang sampai you habis (cuti bersara)". Kedudukan itu tidak mengubah
tugas harian saya kerana saya telah banyak melakukan tugas AKS sejak saya
menjadi Ketua Pengarah pada bulan Mei 18.
Sebagai AKS LP, saya merupakan ahli tetap kepada banyak
jawatankuasa pengurusan tertinggi ATM. Faktor-faktor tersebut yang mungkin
telah menukar nasib saya di penghujung perkhidmatan saya.
Saudara dan saudari yang saya dikasihi sekelian,
Sebagai seorang Pegawai Materiel, saya tidak pernah
bermimpi untuk sampai ke tahap ini. TETAPI, jika telah ditaqdirkan begitu, maka
kehendak Allah juga yang mempermudahkan perkara yang sulit dan sukar. Setelah
bertahun-tahun diuji dengan pelbagai dugaan dan cabaran, akhirnya itulah
ketetapannya.
Hidup perlu ada angan-angan,
Dari angan-angan akan timbul cita-cita dan impian,
Dari impian akan datang tekad atau iltizam,
Dari iltizam akan wujud usaha dan kesungguhan,
Iringi angan-angan, impian, iltizam dan usaha dengan doa,
Setiap usaha akan ada dugaan dan cabaran,
Iringi setiap usaha dengan doa dan Tawakkal,
Kerana Allah sahaja yang Maha Pemilik dan Maha Penentu,
Iringi setiap kejayaan dengan kesyukuran,
Usah iringi kegagalan dengan kedukaan dan sumpahan,
Kembali kepada usaha, doa, tawakkal dan kesyukuran,
Kita merancang,
Allah juga merancang,
Sesungguhnya Allah jua sebaik-baik Perancang.
Oleh itu, saya menyeru saudara/saudari Tuan/Puan warga
Materiel semua agar meneruskan sokongan padu dan kerjasama yang tidak berbelah
bahagi agar beliau lebih mudah untuk melaksanakan tugasnya yang amat berat itu.
Ayat 54: Surah Ali Imron
Saudara dan saudari yang saya dikasihi sekelian,
Satu perkara yang saya merasa agak
terkilan ialah semasa menjadi Pengarah Materiel, saya cuba memperkenalkan dan
menerbitkan buku Pelan Transformasi dan Strategik Materiel (PTSM). Ia adalah
susulan kepada arahan yang ditetapkan dalam milestone Pelan Transformasi AFNG.
Ia telah beberapa kali dibengkelkan, namun sehingga kini ia masih belum
dizahirkan malah tidak ada hasrat untuk meneruskannya. Walaupun begitu, ia
adalah hak dan bidang kuasa AKS Materiel untuk membuat keputusan ke atasnya.
Mungkin ia tidak lagi bersesuaian.
Sepertimana yang saya sebutkan lebih
awal bahawa semasa menjadi PS 1 SISMAt, saya telah berjaya memindahkan Kursus
Bahan Letupan dari ITSBL ke PLPL (INSMAT). Pada masa yang sama saya mempunyai
impian untuk mewujudkan Sekolah Integerasi Logistik dan Komputer (SILK)
berasaskan kepada kedudukan pada masa itu (sehingga sekarang) bahawa
kursus-kursus Integrated Logistic System dan Information Technology tidak
mempunyai process owner. Andainya INSMAT beriltizam menubuhkan dan seterusnya
melatih kursus-kursus berkaitan ILS dan ITC, insyaallah suatu hari nanti,
kepakaran ILS dan ICT dalam TUDM adalah
produk INSMAT menjadi satu kepakaran Materiel. Saya amat berharap, generasi
Materiel akan berbuat sesuatu untuk menjadikan impian ini satu reality.
Usaha dan Pencapaian bukan kerana untuk
mencipta LEGASI (kerana setiap yang telah dilaksanakan itu tidak mencatakan
nama sesiapa) tetapi semata-mata untuk masa depan Materiel yang lebih
cemerlang.
Saudara dan saudari yang saya dikasihi
sekelian,
Cawang Materiel sudah terlalu banyak
melalui zaman kegelapan, zaman dihina dan diperlekehkan dan integriti kita
dipersoalkan. Materiel akan berpecah dan lemah apabila kita bercakap bahasa
kita sendiri, apabila kita menjadi haloba dengan jawatan dan pangkat, apabila
kita hanya menjaga diri sendiri untuk masa depan sendiri malah kita sanggup
memijak kepala kawan kita sendiri.
Materiel akan lemah apabila kita tidak
mahu berkongsi maklumat, apabila kita menyekat dan menghalang kejayaan
rakan-rakan kita, apabila wujud sifat dengki mendengki, jatuh menjatuhkan dan
apabila kelemahan dan kesalahan dilindungi supaya wajah kita sentiasa kelihatan
cantik dan menawan.
Materiel akan lemah apabila budaya
membodek atau CARMA semakin berleluasa, apabila sindrom menyanjung dan memuja secara berlebihan
dibiarkan berterusan.
Materiel akan menjadi lemah dan lumpuh
apabila INTEGRITI kita semakin rapuh dan MARUAH kita boleh dijual beli dengan
harga yang murah, semurah harga bilik karaoke, green fees dan goodies.
Saudara dan saudari yang saya dikasihi sekelian,
Anda semua amat beruntung dan bertuah, kerana mendapat Brig Gen Dato' Dr Yunus sebagai AKS Materiel. Dalam tempoh dua tahun menerajui Materiel TUDM, saya dapat melihat banyak perubahan yang telah dilaksanakan. Selain dari berpengalaman dan mempunyai kelayakan semua kursus kerjaya yang sepatutnya dilalui oleh pegawai ATM, setakat hari ini beliau merupakan pegawai kanan TUDM yang memiliki kelayakan akademik yang tertinggi dalam TUDM, iaitu memiliki ijazah kedoktoran (PhD) dan tiga ijazah Sarjana. Selain dari itu, beliau juga mempunyai banyak idea dan inspirasi untuk menaikkan martabat Materiel.
Beliau memperkenalkan Materiel Wisdom sebagai strategic guide, menerbitkan Materiel Coffee Table, menghidupkan Penal Team Management Materiel untuk menggantikan Lembaga Kepakaran Materiel yang telah sekian lama tidak aktif, kerjasama MIPMM dan lain-lain lagi. Beliau juga amat aktif dalam pengurusan sukan serta berada di mana-mana membuat lawatan kebajikan ke atas warga Materiel. Sesuatu yang amat sukar dan berat dilakukan oleh sebahagian besar pemimpin kita.
Beliau memperkenalkan Materiel Wisdom sebagai strategic guide, menerbitkan Materiel Coffee Table, menghidupkan Penal Team Management Materiel untuk menggantikan Lembaga Kepakaran Materiel yang telah sekian lama tidak aktif, kerjasama MIPMM dan lain-lain lagi. Beliau juga amat aktif dalam pengurusan sukan serta berada di mana-mana membuat lawatan kebajikan ke atas warga Materiel. Sesuatu yang amat sukar dan berat dilakukan oleh sebahagian besar pemimpin kita.
Saudara dan saudari yang saya dikasihi sekelian,
BAKAT adalah satu komplimen bukan satu komitmen. Ia satu secondary activity bukan primary. Ia satu kegiatan sukarela bukan paksa. Kewujudannya harus menggembirakan bukan mendukakan atau menyakitkan.
Isteri atau BAKAT yang harus berbangga dengan kejayaan suami bukan suami berbangga dengan kejayaan BAKAT. Sebagai anggota ATM, yang telah bersumpah setia, BAKAT bukan alasan untuk seseorang pegawai tidak mematuhi arahan. Sebaliknya, BAKAT tidak memerlukan alasan untuk tidak mematuhi arahan dari pejabat kerana arahan yang paling mulia dilaksanakan oleh seorang ahli BAKAT adalah arahan dari suaminya. Sebab itu, SUAMI tidak diperlukan menjadi ahli BAKAT.
Bukan tujuan saya ingin demotiovate untuk isteri-isteri Pegawai Materiel aktif dalam BAKAT. Aktiviti BAKAT adalah baik jika kehadirannya menggembirakan. Dan keaktifan isteri dalam aktiviti BAKAT bukan menjadi penyebab kepada seorang Pegawai Materiel yang baik terganggu kerjayanya. BAKAT harus berperanan membakar semangat suami untuk maju dan sukses dalam kerjaya dan BUKAN menjadi BATU API untuk membakar kerjaya suami ahli BAKAT yang lain.
Nasihat saya, uruslah BAKAT dengan sebaik-baiknya dengan penuh HIKMAH barulah boleh kita berbangga dengan ungkapan DI BELAKANG KEJAYAAN SEORANG SUAMI ADALAH KERANA BERDIRINYA SEORANG WANITA BERNAMA ISTERI.
Saudara-saudari sekelian,
Hampir 40 tahun dalam perkhidmatan, pelbagai jawatan dan organisasi saya berkhidmat, sudah pasti banyak kelemahan diri saya yang menyebabkan saya membuat kesilapan dalam perbuatan dan perkataan saya. Saya dengan rasa hina dan rendah diri untuk diri SAYA DAN ISTERI SAYA, ADIBAH memohon ampun dan maaf.
Sampaikan salam saya kepada sahabat-sahabat Pegawai Materiel yang tidak hadir dan yang mengenali saya. Sampaikan salam saya kepada warga Materiel di pasukan masing-masing. Jika sekiranya di belakang hari nanti, terdapat sesiapa sahaja yang menyebut kelemahan dan kesalahan saya atau isteri saya, sampaikan permohonan maaf kami kepada mereka.
Insyaallah, selagi saya ada hayat saya dan selagi saya tidak hilang ingatan, saya tidak akan melupakan dunia Bekalan, Logistik atau pun Materiel yang menjadi sebahagian dari darah daging saya dan ahli keluarga saya.
Mengejar Bintang
Pangkat itu Kuasa
Pangkat itu Kuasa
Pangkat itu Gaji
Pangkat itu Keistimewaan dan layanan
Ada peluang dapat gelaran Dato' dan isteri dipanggil Datin
Dapat kereta staf Perdana - boleh parking kat rumah, boleh bawa balik kampung.
Bila bersara dapat beli kereta (Perdana) dengan harga yang murah
Bintang itu letaknya tingg
Setinggi langit
lebih tinggi dari puncak gunung
lebih tinggi dari awan yang berarak
Biar setinggi mana
Tapi manusia tetap berusaha
Tetap mencari jalan untuk menggapainya
Walaupun terpaksa pijak kepala saudara dan sahabat sendiri
Kata peribahasa
Tuah ayam nampak di kakinya
Tetapi, hanya Allah yang Maha Mengetahui Tuah hambaNya
Jodoh, maut dan rezeki Allah yang punya
Oleh kerana bintang itu tinggi
Ia memang sukar untuk dicapai
Orang berdoa siang dan malam hari
Agar terang bintang menyinari
Ada orang mencari bintang
Merangkak di padang kontang
Ada yang sanggup merenangi gelombang
Begitu sukar banyak menghalang
Ada orang mencari bintang
Memijak memanjat kepala orang
Tidak mengira dari mana ia datang
Jangan sampai permintaan diulang
Ada pula yang hanya berjalan lenggang,
Ada orang, duduk kaki bersilang
Bersiul sambil kaki bergoyang
Lalu bintang bergolek datang
Ada orang inginkan bintang
Kerana perut engkau kecundang
Ada juga yang gemuk gelumang
Bintang tetap datang
Ada yang kemaruk untuk mencapai bintang
Lalu seribu cerita dikarang
Mencari buruk dan aib orang
Agar bintang orang masuk ke longkang
Ada orang yang khidmatnya cemerlang
Bekerja tidak membilang
Berusaha tanpa berhalang
Perkara peribadi jauh dibuang
Namun bintang tidak juga datang
Ada orang yang memang dah belang
Ada orang yang memang dah belang
Allah tetap bagi bintang
Belangnya tak pernah hilang
Taring dan kuku semakin panjang
Dengan bintang ada yang jadi binatang
Dengan bintang dia akan tambah hutang
Dengan bintang ada yang jadi hulubalang
Dengan bintang akal dia akan hilang
Wahai insan bestari
Sementara sahaja kita di atas muka bumi
Antara hidup dan mati bagai antara dua jari
Semakin tinggi pangkat diberi
Semakin besar bebanan menghempap diri
Di atas dunia bintang dibahu membangga diri,
Esok di dalam kubur kita akan sendiri
Bintang tidak berguna lagi
Sinar bintang tidak dapat menerangi kubur kita
Sinar bintang tidak dapat menerangi kubur kita
Lagi banyak bintang lebih berat tanggungan diri
Dosa sendiri tidak tentu terlepas diri
Dosa orang lain turut dibebani
Dosa orang lain turut dibebani
Ingatlah wahai diri
Ingatlah wahai diri
Ingatlah wahai diri
Akhir kata saya dan isteri dengan rasa hina dan rendah diri sekali
lagi memohon ampun dan maaf zahir dan batin.
Selamat meneruskan perjuangan,
Selamat majujaya,
Selamat majujaya,
Selamat membina kerjaya yang cemerlang,
Selamat membina keluarga bahagia,
Selamat dunia selamat akhirat
Selamat dunia selamat akhirat
WABLLAHI TAUFIQ WAL HIDAYAH
WASSALAMU ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH