Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang
YANG AWAL DAN YANG AKHIR

Saturday, January 7, 2017

AF 106 WIRA ATM: LT KOL AHMAD BIN ABD RASHID

Pada malam 7 Jan 2017, aku yang balik ke rumah di Seremban telah terbaca entry dalam facebook Kapt Hisam Ilias TUDM cerita mengenai kepahlawanan seorang pegawai ATM yang bernama Lt Kol Ahmad bin Abd Rashid.

Membaca entry ini aku masih lagi teringat tentang satu berita dalam satu akhbar. Dalam tahun 1985, masa itu aku berpangkat Leftenan, bertugas di TUDM Kuantan. Aku terbaca berita tentang satu kemalangan jalanraya yang melibatkan seorang pegawai kanan ATM berpangkat Leftenan Kolonel dari Rejimen Komando.

Pada masa itu, aku hanya sekadar membaca dan tidak berminat untuk mengetahui lebih terperinci, siapakah pegawai itu.


Namun setelah membaca entry Kapt Hisam, aku ingin berbuat sesuatu supaya rakyat Malaysia khususnya generasi muda ATM membaca semula riwayat seorang anak watan yang memiliki keberanian dan kecekapan yang luar biasa.



ALMARHUM LT KOL AHMAD BIN ABD RASHID PGB



Ahmad bin Abd Rashid dilahirkan di Batu 18, Kampung Tok Ya, Mukim Padang Perahu, Kubang Pasu, Jitra, Kedah, pada 23 Januari 1949. Beliau adalah anak sulung daripada empat orang anak hasil perkongsian hidup Encik Rashit bin Hassan dengan Puan Salasiah bte Othman. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Jitra. Seterusnya menyambung pelajaran di Sekolah Ahmad Tajuddin, Jitra dan melanjutkan pelajaran menengah di St. Michael School, Alor Setar hingga Tingkatan Lima.

Selepas menamatkan persekolahannya di peringkat Senior Cambridge dengan Pangkat Dua, beliau memohon untuk menjadi seorang Pegawai Tentera pada 28 Julai 1967. Beliau ditauliahkan sebagai Leftenan Muda (Pegawai Tauliah Jangka Pendek) pada 28 Februari 1968 dan ditugaskan menjadi Ketua Platun di Batalion Ke-5 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD). Beliau kemudiannya bertukar ke-13 RAMD. Semasa di 13 RAMD beliau telah memohon untuk menyertai Rejimen Gerak Khas Malaysia (RGKM) atau Komando. 

Selepas lulus Kursus Asas Komando dan berjaya memperoleh Beret Hijau (Komando), beliau ditukarkan menjadi Ketua Trup di Rejimen Gerak Khas (MSSR). Lt Muda  Ahmad kemudiannya terpilih mengikuti latihan lanjutan Komando di Rejimen Para Komando Angkatan Darat (RPKAD) yang sekarang dinamakan KOPASUS di Kem Batu Jajar, Bandung, Indonesia pada tahun 1971. Pada 2 Oktober 1974 Kapt Ahmad dipilih mengetuai Pasukan Khas Perisikan Tempur (PKPT) yang baharu diwujudkan ketika itu. Beliau merupakan pemerintah pertama PKPT.

Satu kajian dibuat oleh Jawatankuasa Perancangan Gerakan Negeri Pahang bagi memusnahkan kesemua pengganas komunis dan anasir bawah tanah yang menyokong pengganas di sekitar kawasan Karak, Sungai Dua dan Telemong, Pahang. Untuk tujuan tersebut, satu rancangan gerakan tempur secara besar- besaran serentak dengan tindakan dari Cawangan Khas Polis dan pihak awam bagi menangkap para penyokong pengganas komunis di kawasan berkenaan dilancarkan. Pihak Cawangan Khas yang telah berjaya menyusupi organisasi pengganas berjaya menentukan pengganas komunis yang bertapak di kawasan pendalaman Batu Lintang GR VE 863118 memperoleh bekalan makanan basah dan kering daripada penyokong mereka di bandar Karak. Beberapa tempat mengambil barang makanan telah ditetapkan di sekitar ladang getah kawasan terbabit.

Pada 29 November 1974, pihak Cawangan Khas memaklumkan bahawa sejumlah bekalan makanan basah akan diletakkan di GR VE 896137 berhampiran Sungai Relok. Barang-barang tersebut di jangka akan diambil oleh pengganas pada 30 November 1974. Menurut Mej. Basri bin Din, beliau bersama-sama enam orang anggota diarah melaksanakan satu tugas khas menyerang hendap pengganas yang bakal datang mengambil sesuatu di satu “Dead Letter Box" (DLB) pengganas sebelum mereka berternu dengan satu kumpulan lagi di suatu lokasi lain.

Perintah untuk operasi khas ini telah disampaikan oleh Pegawai Memerintah 5 Renjer, Lt Kol Harchan Singh yang ketika itu sedang memimpin batalionnya melaksanakan Operasi Indera di kawasan Bentong-Raub, dengan berpakaian awam dari Bentong dan dimasukkan ke satu kawasan di Karak pada jam 12 tengah malam dengan misi untuk menangkap pengganas hidup-hidup. Walau bagaimanapun, pengganas tidak datang ke DLB yang bakal diserang hendap itu dan mereka telah dikeluarkan pada keesokan paginya.

Satu kumpulan PKPT mengandungi 11 orang anggota diketuai oleh Kapt Ahmad telah diaturgerakkan ke kawasan terbabit dari Kem Bentong pada jam 2.30 pagi 30 November 1974 untuk membuat serang hendap. Antara anggota yang terlibat adalah:

(1)   928133 Sjn Muit bin Ahmad

(2)   15889 KpI Adnan bin Mat Ukud

(3)   14694 Kpl Md Ghazali bin Abd Harnid

(4)   302381 LKpl Marjo bin Santariff

(5)   19533 Kpl Sulaiman bin Bawuk

(6)   22898 LKpI Samsuri bin Osman

(7)   302204 LKpl Kasmo bin Hj Mohd Nor

(8)   208464 LKpl Jah bin Mat

(9)   302177 Tpr Kamarul Ariffin bin Mat Johan

(10) 208667 Tpr Mohd Zaharuddin bin Ismail

(11) 650192 Tpr Abdul Kadir bin Mahamudin

Kumpulan PKPT sampai ke kedudukan serang hendap pada jam 3.30 pagi dan terus ditempatkan di kedudukan masing-masing oleh ketua kumpulan. Lebih kurang jam 10.00 pagi seorang awam masuk ke kawasan serang hendap. Beliau kelihatan membawa satu bungkusan itu dan meletakkannya di bawah sebatang pokok kecil lalu dengan tergesa-gesa meninggalkan tempat tersebut.

Pada jam 7.30 malam, satu lembaga manusia kelihatan merapati tempat bungkusan itu diletakkan. Pada mulanya ia bergerak dengan menggunakan lampu suluh. Apabila menghampiri tempat bungkusan itu diletakkan, beliau memadamkan lampu suluhnya. Dua anggota PKPT yang menggunakan M10 Ingrain lengkap dengan silencer melepaskan tembakan dari jarak dekat ke arah lembaga manusia yang sedang merapati bungkusan makanan. Dalam kegelapan malam Kapt Ahmad mara ke arah lembaga yang ditembak tetapi beliau tidak menjumpai apa-apa selain beberapa titisan darah.

"Awak pergi ikut titisan darah ini dengan lampu suluh," Kapt Ahmad memerintahkan saya, cerita Sjn Samsuri.

Tersentak saya buat seketika apabila mendengarkan perintah berkenaan. Tergambar dalam pemikiran saya bahawa saya akan menjadi sasaran tembakan pengganas dari hadapan kerana bergerak dengan menggunakan lampu suluh. Ingatan ngeri tersebut tidak terus saya layani dan saya dengan serta merta terus bergerak dengan lampu suluh menuruti titisan darah pengganas yang saya yakin tercedera parah. Setelah menuruti kesan darah buat beberapa ketika, saya sampai di tepi jalan.

Anjing kedengaran menyalak dari rumah yang terletak tidak jauh di hadapan kami. Kapt Ahmad mengarahkan saya berhenti membuat penjejakan dan kami diarahkannya berkumpul semula".

Ketua kumpulan, Kapt Ahmad mengarahkan anggotanya bergerak ke satu Tokong Cina di GR VE 887138. Tempat berkenaan dipercayai digunakan oleh pengganas sebagai tempat pertemuan mereka. Tokong tersebut letaknya kira-kira 350 ela dari kedudukan serang hendap. Selepas lima minit berada di situ ketua kumpulan PKPT membuat isyarat seperti bunyi burung sebagaimana yang dilakukan oleh pengganas. Sejurus kemudian muncul satu lembaga manusia dari celahan pokok untuk mara ke hadapan. Pengganas mungkin menyangka isyarat yang didengarnya itu datangnya daripada rakannya dan dengan sebab itu beliau keluar dari tempat persembunyiannya.

"Siapa itu?" Kapt. Ahmad mencabar lembaga manusia berkenaan.

Lembaga tersebut cuba melarikan diri tetapi tidak sempat melangkah lebih jauh kerana telah dimamahi peluru anggota PKPT yang bersedia menamatkan riwayatnya.

Penggeledahan sejauh lebih kurang 200 ela kehadapan dari tempat kejadian terus dilakukan oleh anggota PKPT sebelum berpatah semula membuat penyiasatan ke atas pengganas yang telah dibunuh. Pengganas tersebut dikenali sebagai CT 100. Dia merupakan seorang pengganas wanita berasal dari Karak dan pernah mengikuti latihan Pengganas di 12 Rejimen MNLA. Dia menyusup ke negeri Pahang bersama-sama pasukan Pengempur ke-6 pada bulan Oktober/November 1973 dan dipercayai telah berada di Karak sejak bulan Jun 1974. Sepucuk pistol Browning 9 mm, nombor pendaftaran T365332 dengan sarung buatan sendiri dan 11 butir peluru, peralatan peribadi, pakaian, ubat-ubatan serta peralatan memasak adalah antara barang-barang yang berjaya diperoleh daripada pengganas yang terbunuh.

Tindakan menyerbu kedudukan musuh dengan serta-merta sejurus selepas anggota melepaskan tembakan dalam kegelapan malam yang pekat ke arah pengganas yang belum diketahui sama ada hidup atau mati, tercedera atau sedang menyembunyikan diri serta sedang bersedia untuk bertindak merupakan perbuatan berisiko tinggi. Tindakan tersebut jelas melambangkan satu tindakan berani dan membelakangkan kepentingan serta keselamatan diri. Memerintahkan anggotanya membuat serang hendap ke satu lokasi lain dengan serta-merta setelah gagal mendapatkan musuh dalam serang hendap pertamanya juga melambangkan betapa dedikasi dan jitunya semangat beliau sebagai seorang pemimpin.

Kapt Ahmad ketika mengetuai kumpulan PKPT di Bentong dalam dua pertempuran kemudiannya berjaya membunuh empat orang pengganas. Di Kampung Karak Setia dalam Operasi Indera Empat pada 9 Disember 1974 beliau berjaya membunuh dua pengganas. Pengganas yang dibunuh adalah CT 101 (WL 2071) seorang anggota Pasukan Pengempur ke-6 dari selatan Thailand dan CT 102 yang berasal dari Kluang, Johor. CT 102 mempunyai alamat terakhir di Jinjang, Kuala Lumpur. Beliau dipercayai mula masuk ke hutan bersama-sama tiga lagi rakannya pada bulan Jun 1974.

Dalam Op Murai di kawasan Sungai Chetang pada 6 Ogos 1976 beliau dan kumpulannya berjaya membunuh dua lagi pengganas. Dalam Op Fitrah pada 18 Oktober 1976 di kawasan Estate Sungai Tawar, Baling, Kapt Ahmad dan kumpulannya berjaya membunuh DCM 103 dan CT 104 serta mencederakan CT 105.

Dengan sifat keberanian, kepimpinannya yang dinamik dan kesediaannya untuk berkorban apa sahaja demi agama, bangsa dan tanah airnya, maka DYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong V, Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah menganugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (P.G.B.) kepada beliau pada 4 Jun 1975.

Beliau mendirikan rumahtangga pada 19 Januari 1981 dengan Puan Aishah Looi bte Abdullah. Pada 1 Julai 1984, beliau dinaikkan ke pangkat Leftenan Kolonel dan menjadi Pegawai Memerintah  Rejimen Kedua Gerak Khas (2 RGK) yang berpangkalan di Kuala Kubu Baru. Ketika dinaikkan ke pangkat Leftenan Kolonel, Ahmad baru berusia 34 tahun.

Ajal dan maut di tangan Tuhan. Walaupun Lt Kol Ahmad sepanjang kerjayanya telah terlibat dalam operasi nekad dan pertempuran ngeri, namun ajalnya belum sampai dan beliau terselamat daripada diragut maut oleh tindakan pengganas. Lt Kol Ahmad meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Batu 224 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Serendah, Selangor. Tragedi malang yang menimpa Pahlawan Negara itu berlaku pada jam 3.15 pagi 8 Disember 1985 ketika beliau dalam perjalanan pulang, ke pasukannya selepas bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka. Kereta Turus yang dinaikinya terlibat dalam satu pelanggaran dengan sebuah lori.

Allahyar­ham Lt Kol Ahmad meninggalkan tiga orang anak lelaki Irwan Rashid, Yasier Rashid dan Hilmi Rashid serta seorang balu Puan Aishah Looi yang ketik­a itu sedang mengandung anak ketiga mereka Hilmi Rashid. Menurut Puan Aishah pemergian ­Allahyarham suaminya sewaktu beliau sedang mengandung merupakan satu peristiwa yang amat menyedihkan dan sama sekali di luar dugaannya.

Artikel ini adalah petikan dari buku PAHLAWAN ANGKATAN TENTERA MALAYSIA – Penerima S.P dan P.G.B (Jilid 2) ditulis oleh Syed Othman Syed Omar, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 1993

Lt Kol Ahmad meninggal dunia ketika berusia 35 tahun. Sangat muda dan ketika keperwiraan, kepemimpinan dan kemahirannya amat diperlukan negara. Dengan karima dan sifat kemimpinan disertai keberanian yang luar biasa, ANDAInya almarhum panjang usia sudah pasti boleh mencapai ke pangkat setidak-tidaknya 2 bintang.

Semoga ahli keluarga khususnya anak-anak almarhum mendapat pembelaan sewajarnya dari pihak yang berwajib sejajar dengan jasa bakti yang telah dicurahkan oleh almarhum.

Alfatihah...

5 comments:

  1. One of My best friend.. we did our basic freefall together

    ReplyDelete
  2. Semoga Allah merahmati roh LT KOL AHMAD BIN ABD RASHID kerana beliau adalah pejuang tulen yang berani membela negara dan rakyat menentang pengganas komunis. Tabik hormat dari saya.

    Ex-2nd Lt

    ReplyDelete
  3. saya adalah peg mem rejimen 22 komando yang ke 20 dan saya berusaha mengumpul sejarah peg mem terdahulu. saya amat hargai usaha penulis blog ini at least sy daapt maklumat. saya sempat berjumpa arwah semasa memerintah sebelum meninggal dunia di kuala kubu bharu. saya berusaha untuk mendapatkan maklumat keluarga beliau tetapi tidak dapat berhubung dgn balu atau anak2 arwah. arwah adalah co yg ke 4 dan gambar beliau saya semadikan di dalam galeri pasukan. wasalm

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalamu'alaikum Sir. Terbaik usaha Maj Gen Tohar menulis tentang lagenda ATM.
      Semoga Allahyarham di cucuri Rahmat Allah SWT. Teruskan mengumpul cerita dan berita bukan utk bacaan minda anak muda tetapi santapan jiwa dan raga perwira anak bangsa.

      Delete