MEJAR JENERAL DATO' AMIR HASHIM TUDM
TEGAR MENENTANG ARUS
Kali ini aku nak menulis mengenai salah seorang IKON dan
SIFU kepada Pegawai-Pegawai Materiel TUDM. Dia bukan sahaja pegawai atasan
kepada diriku. Tetapi juga seorang sahabat yang boleh bersembang tanpa sekatan
sejak awal tahun 90an.
Perjalanan kerja beliau lebih kurang diriku, iaitu hanya 3
tahun pertama sahaja kerjaya dalam TUDM bertugas di unit. Selebihnya di MINDEF
atau belajar. Hanya beliau telah diberi peluang berkhidmat sebagai Ketua Cawang
Materiel (Logistik) selama dua tahun di TUDM Kuantan. Manakala diriku tidak
pernah diberi peluang ke jawatan itu.
Beliau telah mencipta sejarah sebagai Pegawai Materiel
pertama diberi amanah untuk menjadi Panglima Pendidikan Udara, Komandan Akademi
Latihan Ketenteraan UPNM dan AKS J4 di Markas Angkatan Bersama.
Beliau bersara wajib dari ATM (TUDM) pada 31 Mac 2017 dan mula bercuti sebelum
menjalani Latihan Peralihan
(LPK) pada 16 Sep 2016.
MEJAR JENERAL
DATO' HAJI AMIR BIN HASHIM PSAT DSAP DIMP PAT JSM SMP KMN AMP BKT PJM PPS PPA MSc(DRM)(USA) BAcc(UITM) DIA(ITM) TUDM
(371060)
Amir bin Hashim dilahirkan di Tg Bidara, Melaka pada 1
April 1957. Beliau mendapat pendidikan
menengah di Sek Men Masjid Tanah sebelum dipilih ke Kolej Melayu Kuala Kangsar
sehingga menamatkan STPM. Beliau menyertai latihan Pegawai Kedet TJP ke 34 di
Pre-OCTU, Port Dickson dari 10 Julai 1978 hingga 31 Jan 1979 dan Cawangan
Kadet, Maktab Tentera DiRaja mulai 2 Jan 1979 sehingga ditauliahkan sebagai Leftenan Muda (Udara)
pada 23 Jun 1979.
Sebaik sahaja menamatkan Kursus Asas Pegawai Bekalan dari 1
Okt 1979 hingga 30 Jun 1980 ditauliahkan, beliau ditugaskan di PPU 3, TUDM
Kuantan sebagai Ketua Flait Bekalan sehingga 1 Nov 1981.
Jawatan-jawatan lain:
(1) PS3 Beli, DTU (Nov 81 - Jul 82)
(2) LPK (L2) - Kursus ITM (Jul 82 - Jul 85)
(3) PS3 Belanjawan - 1
Jul 85.- 2 Jan 89
(4) PS2 Belanjawan/Wang A - 3 Jan 89 - 6 Jul 91.
(5) LPK (L2)- ITM (Jul 91 - Dis 93)
(6) Ketua Cawang Materiel, TUDM Kuantan - 4 Dis 93 - 6 Jun 95.
Semasa Amir berkhidmat sebagai KCM TUDM Kuantan, aku
berkhidmat sebagai PS2 SISMAT C yang menguruskan Sumber Manusia. Nama beliau
telah dicalonkan untuk mengikuti kursus staf di Australia tetapi dibatalkan
untuk memberi laluan kepada pegawai lain. Beliau juga pernah dicalonkan untuk
mengikuti kursus Sarjana Perakaunan di UKM. Tetapi tidak kesampaian kerana
masalah ekonomi negara yang memotong belanjawan berkursus. AKS Materiel pada
masa itu adalah Brig Jen Hj Abdul Rahman Rais TUDM. Beliau amat menyayangi Amir
dan merancang untuk groom Amir sebagai pelapis kepimpinan Materiel di masa
depan.
Bagaimanapun pada bulan Nov 1998 beliau telah terpilih
untuk mengikuti kursus Master in Defence Resource Planning and Management di
Naval Post-Graduate school, Monterey, USA selama setahun setengah. Sepulangnya
dari USA beliau menjawat jawatan Pengarah Materiel dan dinaikkan ke pangkat Kol
TUDM.
(1) PS1 Wang, MTU - 17 Jun 95 - 30 Nov 98.
(2) LPK (L3) - Kursus USA (Nov 98 - Jul 2000)
(3) Pengarah Materiel, MTU - 1 Jul 2000 - 30 Jan 2004.
Di antara Dis 1999 hingga Feb 2004 aku bertugas di
Kementerian Kewangan. Putrajaya sebagai Pegawai Khas TUDM. Pada bulan Dis 2003,
aku menghantar surat permohonan untuk bersara awal setelah melihat kedudukan
aku dalam senarai kekananan Mejar TUDM, aku tidak nampak bayang untuk dinaikkan
ke pangkat Lt Kol. Pada masa itu usiaku sudah masuk 44 tahun. AKS Materiel masa
itu ialah Brig Jen Dato' Othman Majid.
Dato' Othman memanggil aku untuk temujanji. Semasa
temujanji, beliau memujuk aku supaya menarik balik surat permohonan untuk
bersara kerana beliau mempunyai perancangan kerjaya untuk aku. Kata-kata Dato'
Othman kepada aku;
"...Toha, saya kenal kamu dan mengetahui kebolehan dan
kemampuan kamu. Kalau boleh pegawai macam kamu dan Yunus akan menggantikan kami
yang akan meninggalkan perkhidmatan. Saya mahu kamu teruskan perkhidmatan dan
jangan berhenti. Materiel need people like you. For your info, saya telah
memohon untuk bersara awal mulai 1 Feb 2004 kerana sudah mendapat tawaran dari
AIROD, menunggu kelulusan MAT. Nanti, Kol Amir akan ambil alih jawatan saya, Lt
Kol Kamarudin (PS1 SISMAT) akan ambil alih tugas Amir dan you akan ambil tugas
Kamarudin, I will make sure you get your rank...".
Janji beliau (Dato' Othman) ditepati, apabila beliau mula
menjalani latihan peralihan sebelum bersara, Amir telah dinaikkan ke pangkat
Brig Jen TUDM untuk mengambil-alih jawatan AKS Materiel. Amir adalah AKS
Materiel ke 10. Pada masa itu beliau berusia 47 tahun. Dan pastinya urutan
janji itu melibatkan diriku yang dinaikkan ke pangkat Lt Kol TUDM mulai 1 Feb
2004 dan menjawat jawatan PS1 SISMAT.
(1) AKS Materiel,MTU (1 Feb 2004 - 28 Jul 2007)
(2) Panglima Pendidikan Udara (28 Jul 2007 - Jul 2008)
(3) Komandan Akademi Latihan Ketenteraan, UPNM - (Jul 2008 - 14
Mac 2011)
(4) AKS J4 (Operasi Logistik), MAB (15 Mac 2011 - 15 Sep 2016)
Kerjaya Amir melalui laluan sukar apabila Jen Datuk Azizan
bin Ariffin TUDM dilantik menjadi PTU pada tahun 2006. Azizan (kemudiannya Tan
Sri) mempunyai hasrat untuk membersihkan gejala rasuah dan salahguna kuasa di
Markas Logistik Udara (MLU). Satu Lembaga Penyiasatan diwujudkan dan diketuai
oleh Brig Jen Datuk Che Akmar bin Mohd Nor TUDM. Amir cuba dikaitkan atas
jawatannya sebagai AKS Materiel dengan isu penyalahgunaan kuasa di MLU.
(******** terlalu banyak cerita di sini********). Namun sehingga penyiasatan
selesai, nama beliau bersih. Namun pihak kepimpinan TUDM waktu itu telah
menukarkan beliau ke Markas Pendidikan Udara sebagai Panglima. Inilah
julung-julung kalinya seorang Pegawai Materiel diberikan penghormatan menjadi
Panglima Pendidikan Udara.
Semasa di peringkat awal Dato' Amir ditukarkan dari jawatan
AKS Materiel, berlaku banyak kekeliruan di kalangan Pegawai Materiel. Pada masa
itu seluruh warga Materiel boleh dikatakan berkabung kerana untuk kali keduanya
jawatan AKS Materiel terlepas ke tangan pegawai bukan dari Cawang Materiel.
Kali pertama dalam tahun 1989 apabila AKS Materiel pada masa itu dipertuduh di
Mahkamah atas kes rasuah. Selama 3 tahun jawatan AKS Materiel telah diambil
alih oleh Brig Jen Tunku Jaafar Laksamana (juruterbang) dan Brig Jen Datuk Wan
Abdul Majid (Kejuruteraan) sebelum diambil-alih oleh Brig Jen Dato' Richard
Robless pada tahun 1993.
Nama Brig Jen Anim kemudiannya dibersihkan apabila Mahkamah
mendapati beliau tidak bersalah. Walaupun nama telah dibersihkan, damage had
been done. Nama beliau mungkin telah
bersih tapi beliau telah kehilangan segala-galanya dalam kerjaya beliau. Beliau
adalah seorang pegawai Materiel yang dedikasi dan berpotensi. Beliau hanya
berusia 40 tahun ketika dinaikkan ke pangkat Brig Jen, mempunyai masa yang
panjang lagi untuk memimpin masyarakat Materiel TUDM ke arah yang lebih
cemerlang dan gemilang. Namun taqdir Allah yang menentukan kerjaya beliau
diakhiri sebegitu. Satu kerugian besar
kepada warga Materiel dan TUDM amnya.
Brig Jen Roslan bin Saad TUDM (juruterbang) ditukarkan dari
jawatan Panglima No 2 Divisyen (Labuan) ke AKS Materiel sehingga Nov 2007. Kemudiannya,
Kol Roslan bin Kasim TUDM dilantik menjadi AKS Materiel dan dinaikkan ke
pangkat Brig Jen TUDM untuk tempoh 8 bulan sahaja sebelum bersara pada bulan
Jul 2009 dan digantikan oleh Kol Azizan bin Shaari TUDM. Azizan kemudiannya
dinaikkan ke pangkat Brig Jen pada bulan Sep 2008.
Rezeki di atas kesakitan orang lain. Ketentuan Allah swt,
seperti yang dikatakan sendiri oleh Dato' Amir.
Apa yang berlaku ke atas diri saya adalah ketetapan Allah.
Ada hikmahnya. Kedegilan saya juga ada hikmahnya. Dengan sebab pertukaran saya dari jawatan AKS
Materiel secara paksa, ia memberi peluang kepada pegawai Materiel lain naik
jadi Jeneral. Pada tahun 2008, saya ada 8 tahun lagi perkhidmatan. Kalau tiada
kes ini, saya akan terus jadi AKS Materiel. Roslan dan Azizan tak rasa jadi
Jeneral sebab mereka lebih tua dari saya. Tak mungkin pegawai Materiel lain
akan dinaikkan pangkat untuk mengisi jawatan di Markas Pendidikan atau UPNM.
Mereka terpaksa mencarikan saya jawatan lain supaya saya tidak jadi AKS
Materiel.
Dengan sebab saya dikeluarkan dari jawatan AKS Materiel,
Roslan Kasim dapat rasa jadi Jeneral walaupun hanya 6 bulan, Azizan pun dapat
jadi Jeneral. Azizan lebih bernasib baik kerana Roslan gagal dalam usahanya
untuk menambah lanjutan usia persaraan ke 58. Bertambah lagi rezekinya apabila
usia persaraan ditambah ke 60 tahun.
Hasil Lembaga Penyiasatan itu, ramai pegawai TUDM
(kebanyakannya dari MLU) yang ditamatkan perkhidmatan (antara tahun 2008 hingga
2010) termasuk Panglimanya.
Tempoh perkhidmatan beliau di MPU juga tidak panjang, hanya
satu tahun sebelum beliau ditukarkan ke UPNM untuk menuandang jawatan Komandan
ALK. Ini juga kali pertama seorang pegawai Materiel diberi tugas itu. Di ALK
UPNM tempoh perkhidmatan beliau selama 3 tahun. Jawatan terakhir beliau sebelum
bersara ialah sebagai AKS J4 di Markas Angkatan Bersama. Beliau menyandang
jawatan itu selama 5 tahun lebih.
Dato' Amir amat terkenal dengan karakter yang berani
bersuara. Dengan pengetahuan yang dimiliki, beliau sanggup berbahas dengan
pegawai atasan atas dasar hak dan peraturan. Keberaniannya diiringi oleh
suaranya yang lantang dan bahasanya yang berbisa (rang kata mulut tak ada
insurans). 'Takut atau kalah' tidak ada
dalam kamus hidup beliau. Kalau Jeneral-Jeneral lain yang not well equipped tak
usahlah cuba nak berbahas dengan beliau. Akan kena sembelih depan-depan. Atas
sebab itu juga, mungkin ramai pegawai-pegawai kanan tidak menyenangi beliau.
Perwatakan dan gaya bahasanya yang agak kasar (mungkin
pembawaan gaya orang Melaka) mungkin tidak sesuai dengan sebahagian orang,
khususnya yang baru mengenali beliau. Tetapi bagi orang yang telah lama
mengenalinya ia adalah biasa dan itulah Dato' Amir. Namun beliau amat ramah dan
mudah dihampiri dan cepat mesra. Satu lagi, beliau suka bercakap terus terang,
tiada berselindung atau berkias.
Bukan sahaja di kalangan pegawai kanan tentera, jika
bermesyuarat dengan pegawai perkhidmatan awam pun beliau begitu lantang
menyuarakan kepentingan perkhidmatan. Pegawai tinggi awal pun akan surrender
kalau berbahas berkaitan kewangan, belanjawan dan perolehan dengan beliau.
Dalam beberapa sessi mesyuarat utama di MINDEF yang melibatkan individu yang
terkenal dengan karakter ego and blunt seperti Datuk Azizah Abod, Tan Sri
Subhan pun give up untuk berhujjah dengan Dato' Amir. Itulah keistimewaan Dato'
Amir yang tidak dapat diwarisi oleh orang lain.
Beliau amat berani menongkah melawan arus demi menegakkan
prinsipnya.
Kenaikan Pangkat:
(1) Leftenan Muda (Udara) - 23 Jun 1979
(2) Leftenan (Udara) - 23 Jun 1983
(3) Kapten (Udara) - 1 Jul 1985
(4) Mejar TUDM - 16 Okt 1989
(5) Leftenan Kolonel TUDM - 17 Jun 1995
(6) Kolonel TUDM - 1 Julai 2000
(7) Brigadier Jeneral TUDM - 1 Feb 2004
(8) Mejar Jeneral TUDM - 29 Mei 2013
Begitu juga rekod dalam Cawang Materiel, beliau juga
penyandang pangkat Brig Jen yang paling lama (9 tahun 3 bulan). Sebelum ini Dato' Ali Nasirudin menyandang
pangkat Brig Jen TUDM selama 6 tahun 11 bulan sebelum dinaikkan ke pangkat Mej
Jen TUDM.
Kursus-kursus penting dan pencapaian cemerlang yang pernah
beliau ikuti sepanjang tempoh perkhidmatannya ialah:
(1) Basic Supply Officer Course di TUDM Kinrara (1 Okt 1979 -
30 Jun 1980)
(2) Supply Officer Explosive Course di United Kingdom (9 Nov
1981),
(3) Diploma in Accountancy, di ITM Shah Alam (1 Jul 1982 - 30
Jun 1985),
(4) Financial Comptroller Staff Officer and Budget Officer
Course di USA (18 Feb 1989 ke 29 Jun 1989)- dalam kursus ini beliau dianugerahi
dengan Honours Graduate dan merupakan pelajar Negara asing pertama menerima
anugerah tersebut.
(5) Advanced Diploma in Accountancy di ITM Shah Alam (7 Jul 1991 - 31 Dis 1993)
(6) Master in Defence Resource Planning and Management, USNPGS
(27 Dis 1998 - 22 Jun 2000)
(7) Kursus Kepimpinan dan Pengurusan Utaman JUSA di INTAN Bukit
Kiara- beliau telah menerima anugerah
Hadiah Siswa Terbaik dan merupakan pegawai ATM yang pertama menerima hadiah
tersebut.
Dato' Amir juga memecah tradisi TUDM sebagai pegawai
Materiel pertama diberi peluang menyandang jawatan Panglima Pendidikan dan
Latihan Udara (2007 - 2008) dan juga Komandan Akademi Latihan Ketenteraan, UPNM
(2008 - 2012) sebelum ditukarkan ke Markas Angkatan Bersama (MAB) untuk
menyandang jawatan AKS J4. Ini menjadikan beliau sebagai seorang pegawai kanan
Materiel yang paling berpengalaman dari aspek kepelbagaian penugasan yang di
luar dunia Materiel TUDM.
Walaupun Amir terkorban jawatan AKS Materiel atas situasi
dan krisis integriti di MLU, ia sebenarnya memberi kelebihan kepada Cawangan
Materiel TUDM. Materiel ada dua Jeneral dalam satu. Malah di antara 2013 hingga
2016, Materiel mempunyai dua Mejar Jeneral. Itu hikmah dari satu kesusahan.
Dato' Amir berkahwin dengan Datin Hajjah Khairiyah binti Hj
Ab Karim (atau lebih mesra dengan panggilan Kak Elly) dan dikurniakan 4 orang
anak, iaitu Faaiz Hafizi, Faaiz Azizi, Farah Hanim dan Faaiz Hafifi.
Dato' Amir adalah seorang pegawai yang aktif dalam sukan
terutamanya badminton dan golf.
Nota sampingan: Kalau cakap mengenai golf ni, rasanya bukan
setakat aktif dan memiliki single handicap tetapi ke tahap Hantu Golf. Kalau
beliau bermain ke taraf professional mungkin beliau dah jadi millionaire. Tapi
beliau enggan menjadi pemain pro kerana pemain pro tak boleh sergah orang. Lagi
pun beliau akan kehilangan ramai kawan-kawan airforce kerana tak ada sapa yang nak main dengan beliau.
SELAMAT BERSARA DATO' AMIR
PERBARISAN MERAIKAN PERSARAAN
DI INSMAT, KINRARA
PADA 29 Nov 2016
PERBARISAN MERAIKAN PERSARAAN
DI INSMAT, KINRARA
PADA 29 Nov 2016
menandatangani plaka perasmian mock-up
bergambar di depan mock-up
plaka Arena Dato' Amir Hashim
selamat tinggal TUDM
Sebagai mantan subordinat, mantan murid dalam gelanggang persilatan Materiel, sebagai junior, sebagai sahabat, aku mendoakan agar beliau menghabiskan masa persaraan dengan bahagia bersama ahli keluarga dan sentiasa dalam keberkatan dan kerahmatan Allah swt.
Semoga segala dugaan dan cabaran getir yang Dato' lalui sepanjang tempoh perkhidmatan (khususnya dalam 10 tahun terakhir) bakal menjadi kenangan yang menebalkan lagi keimanan untuk menghadapi cabaran di dunia persaraan. Lebih tenang dan berlapang hati dalam menghadapi kerenah manusia yang sememangnya tidak pernah lekang dari sifat hasad dengki, khianat dan saling mencari kesalahan sesame manusia.
My Note
Aku ada sedikit cerita berkaitan dengan post-BOI ke atas MLU. Antara tindakan selepas siasatan ialah untuk mengaitkan Dato Amir dengan individu-individu yang dituduh melakukan salahguna kuasa yang mengakibatkan jutaan RM. Antara perkara yang diberikan tumpuan ialah Dato Amir ada kaitan dengan tindakan individu di MLU memberikan kerja-kerja senggaraan komponen pesawat kepada sebuah syarikat yang tidak mempunyai capability tetapi memanipulasikan klausa kontrak bagi membolehkan syarikat A memonopoli kerja-kerja senggaraan di luar skop kontrak.
Syarikat A mempunyai kontrak dengan Kerajaan (TUDM) dengan skop peralatan produk keluaran DotDot, UK. Tetapi pihak syarikat berjaya mengubahsuai ayat dalam kontrak yang membolehkan syarikat menerima semua jenis alatan TUDM. Sukar untuk dibuktikan sama ada kesilapan ini akibat kecuaian, terlepas pandang atau memang terdapat konspirasi individu tertentu yang menyediakan dokumen kontrak.
Kenapa dengan Dato' Amir?
Kenapa dengan aku?
Apa peranan aku dan kaitannya dengan prasangka pihak kepimpinan TUDM terhadap Dato' Amir?
Apa soalan yang diajukan ke atasku?
Apa jawapanku?
Tunggulah penulisanku nanti. Insyaallah jawapannya akan kutulis selepas November 2019. Itupun sekiranya aku masih hidup ketika itu.
The Otherside of Midnight
Sebenarnya banyak lagi kesah tentang Dato' Amir yang akan aku tulis sama ada yang patut diikuti (dicontohi oleh generasi muda). Ada sebahagian cerita hanya untuk hiburan semata-mata. Selain dari melalui kenangan, pengalaman dan ingatanku sendiri, cerita dari beliau sendiri atau yang diceritakan oleh kawan-kawan beliau.
No comments:
Post a Comment