Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang
YANG AWAL DAN YANG AKHIR

Sunday, December 20, 2015

AF093 PERTEMPURAN PASIR PANJANG DAN LT ADNAN

GAJAH MATI MENINGGALKAN TULANG,
HARIMAU MATI MENINGGALKAN BELANG,
MANUSIA MATI MENINGGALKAN NAMA

"Sejarah manusia membuktikan manusia yang baik meninggalkan nama yang baik, dikenang amal bakti, sumbangan dan kebaikannya. Manakala manusia yang jahat akan dikenang akan kezaliman dan kejahatannya."

Tanpa mengambil kira kalangan Rasulullah, para Anbiya' dan para ulama', banyak pemimpin atau individu yang namanya sentiasa disebut dan dijadikan idola walaupun ia telah meninggal dunia beratus tahun dahulu.  Nama seperti Abu Bakar AsSiddiq, 'Umar bin alKhattab, 'Umar bin Abdul 'Aziz, Salahuddin alAyubi, Muhammad alFateh, Hassan alBana, Muhammad 'Abduh, Idris Marbawi, Tok Kenali, Tun Dr Ismail, Tun Razak dan lain-lainnya sentiasa dikenang atas jasa dan sumbangan dalam bidang masing-masing.


Kebaikan bukan terhad kepada orang Muslim. Walaupun kebaikan manusia yang hakiki di sisi Allah swt perlu meletakkan keimanan dan ketaqwaan di senarai teratas, pandangan kemanusiaan tetap memberikan keluhuran jiwa seseorang sebagai asas untuk mengenang nama mereka. Nama-nama seperti Asoka, Mother Theresa dan Mahatma Gandhi dikenang sebagai tokoh agung zaman berzaman. Malah nama-nama yang diselangi dengan skandal peribadi seperti Lady Diana, Achmad Soekarno tetap dikenang sebagai idola.

LT ADNAN DAN REJIMEN ASKAR MELAYU

Leftenan Adnan bin Saidi bukanlah seorang Panglima Perang seperti General Percival, Admiral Mountbatten, General MacAthur, General Yamamoto atau General Gamal Abdul Nasser. Adnan juga bukan seorang Panglima Briged atau seorang Pegawai Memerintah sebuah Batalion. Dia hanya seorang Ketua Platun dalam Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD).

Bermula dengan hanya 25 pemuda Melayu, sebuah Kompeni Percubaan Askar Melayu telah diwujudkan pada 1 Mac 1933. Mereka dilatih dan diperintah oleh pegawai-pegawai dan SNCO berbangsa Inggeris. Pada 1 Jan 1935, Rejimen Askar Melayu ditubuhkan dengan kekuatan 150 orang sahaja.

Pada 1 Jan 1938, Batalion Pertama Askar Melayu ditubuhkan dengan kekuatan 17 pegawai British, 6 pegawai Askar Melayu, 11 Pegawai Waren (majoriti bangsa British) serta 759 lain-lain pangkat. Ini diikuti dengan penubuhan batalion kedua pada 1 Dis 1941, beberapa bulan sebelum tercetusnya Perang Dunia II.

Pertempuran Pasir Panjang

Pertempuran Pasir Panjang, yang berlangsung antara 13 dan 14 Februari 1942, sebahagian daripada serangan Empayar Jepun terhadap Singapura sewaktu Perang Dunia Kedua.

Pertempuran Pasir Panjang merupakan pertempuran besar yang terakhir antara pasukan pertahanan British di bawah Leftenan Jeneral Arthur Percival dan pasukan penyerang Jepun (Tentera Darat Ke-25) yang diperintah Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita di pulau Singapura.

Di pihak pertahanan, pertempuran melibatkan ketumbukan Briged Infantri Pertama Malaya yang dipertanggung jawab mempertahankan sektor pertahanan barat daya dan selatan pesisiran pantai, yang paling hampir bandar Singapura sendiri (sektor pertahanan yang digelar Singapore Fortress atau 'Kubu Singapura'). Briged Malaya merupakan lapisan pertahanan terakhir sebelum bandar dan pelabuhan Singapura dari arah barat. Pertempuran ini berjalan selama 48 jam dan menjulang nama Rejimen Askar Melayu menjadikannya satu pasukan tentera yang disegani di kalangan pasukan Tentera Komanwel. Jeneral Percival menyerah kalah sehari selepas Pertempuran Pasir Panjang.


Pasir Panjang Machine-Gun Pillbox 8, Nov 06.JPG  
  
Sebuah kubu kecil ('Pillbox') peninggalan pertahanan Pasir Panjang

Pertempuran ini bermula pada hari Jumaat, 13 Februari 1942 apabila pasukan Rejimen Askar Melayu yang ditugaskan untuk menghalang kemaraan pasukan elit Tentera Imperial Jepun menuju kawasan Pasir Panjang di Singapura bertembung dengan pasukan penyerang. Pasukan Askar Melayu mengadakan pertahanan di satu rabung dipanggil dengan nama Rabung Pasir Panjang (Pasir Panjang Ridge).

Sebelum itu seramai 13,000 orang tentera Jepun melakukan pendaratan amfibi di bahagian barat laut Singapura berdekatan Sarimbun dan mula bergerak ke arah selatan menuju Pasir Panjang. Mereka menawan lapangan terbang kecil RAF Tengah yang terletak di bahagian barat pulau Singapura dalam pergerakan mereka ke selatan menuju bandar Singapura dan pelabuhannya. Tentera seramai 13,000 orang ini merupakan sebahagian penting kekuatan keseluruhan kekuatan tentera Jepun seramai 36,000 orang yang mengambil bahagian dalam serangan ke atas Singapura.

Pada hari Selasa, 10 Februari 1942, askar-askar Jepun dapat melepasi barisan pertahanan di Jurong. Pertempuran kecil-kecilan berlaku di kawasan yang dikawal oleh Kompeni C Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu (Komp C, 1 Melayu). Anggota-anggota Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu (2 Melayu) berundur dari garisan pertahanan di Sungai Jurong. Briged Ke-44 India juga terpaksa berundur, sambil diserang askar Jepun. Pengunduran ini menyebabkan bahagian kanan garisan pertahanan 2 Melayu terdedah. 2 Melayu terpaksa berundur sama untuk mengekalkan keutuhan barisan pertahanan.

Pada hari Rabu, 11 Februari 1942, askar Jepun dengan bantuan kereta kebal mara menggunakan Jalan Jurong, Jalan Ulu Pandan Dan Jalan Reformatory (sekarang ini "Clementi Road"). Periuk api, kawat berduri dan halangan lain digunakan untuk cuba menyekat kemaraan askar Jepun. Kubu-kubu kecil (pillbox) yang dipertahankan oleh askar-askar juga tidak dapat menyekat kemaraan askar Jepun.

Pada jam 8.00 malam, kedudukan Askar Melayu di sebelah barat Jalan Reformatory dibedil dengan artileri Jepun. Unit Askar Melayu yang mengawal kawasan Pasir Panjang juga mula menerima serangan tinjauan oleh unit-unit peninjau askar Jepun.

Pada Khamis, 12 Februari 1942, Panglima Malaya Command, Leftenan Jeneral Percival mengarahkan barisan pertahanan diketatkan dan meliputi Empangan Pierce dan Empangan MacRitchie. Pasukan Jepun memperbaharui serangan-serangan di merata-rata tempat di barisan hadapan dengan serangan kereta kebal dan bedilan artileri. Di sebelah barat, pasukan Askar Melayu bersama-sama Batalion Kedua Rejimen Loyal (2 Loyal) British dan Briged Ke-44 India (sebahagian daripada Divisyen Infantri ke-17 (India British)) menentang dan menghentikan kemaraan askar-askar Jepun.

Pasukan Askar Melayu yang menjadi sebahagian daripada formasi Briged Infantri Pertama Malaya ditugaskan bertahan di Pasir Panjang. Briged ini diperintah Brigadier GGR Williams. Briged Pertama Malaya, bersama-sama Briged Ke-44 India dan Briged Infantri Kedua Malaya, menjadi sebahagian ketumbukan Singapore Fortress yang menjadi lapisan pertahanan terakhir Singapura. Briged Malaya terdiri daripada Batalion Kedua Rejimen Loyal (2 Loyal) di bawah pimpinan Leftenan Kolonel Mordaunt Elrington serta Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu (1 Melayu) di bawah pimpinan Leftenan Kolonel J.R.G Andre, yang terdiri daripada kurang tiga seksyen Platun Mortar, Platun Penangkis Kapal Terbang dengan Platun Pengangkut Bren Gun di bawah perintah Kapten RRC Carter bertindak sebagai pasukan simpanan. Batalion ketiga briged ini terdiri daripada Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu (2 Melayu) di bawah perintah Leftenan Kolonel F.W. Young. Batalion Kedua ini baru ditubuhkan dan tidak mempunyai platun-platun bantuan seperti Platun Mortar, Penangkis Kapal terbang dan Pengangkut Bren Gun. Mereka ditugaskan mempertahankan jalan masuk ke permatang Pasir Panjang, yang dikenali sebagai The Gap. Briged India ke-44 ditempatkan di rusuk kanan mereka. Pertahanan Pasir Panjang kebanyakannya dilakukan Batalion Pertama Askar Melayu (1 Melayu) oleh sebab batalion kedua rejimen itu, 2 Melayu, yang terlibat dengan pertempuran awal di Jurong, ditempatkan di bahagian timur sektor pertahanan yakni di Kranji dan kemudiannya di Mount Faber.


Kereta Kebal Jepun dalam Pertempuran Singapura

Pertempuran besar pertama antara Rejimen Askar Melayu dengan tentera Jepun berlaku pada lebih kurang jam 2.00 petang 13 Februari 1942, hari Jumaat. Divisyen Ke-18 Tentera Darat Ke-25 Jepun menyerang pinggir pantai barat daya sepanjang Permatang Pasir Panjang dan di kedua-dua belah Jalan Ayer Rajah. Pasukan Jepun didahului oleh Rejimen Infantri Ke-56 di bawah perintah Kolonel Yoshio Nasu. Rejimen ini menyerang permatang itu di sebelah pagi dengan dibantu pasukan artileri.

Satu daripada unit yang mempertahankan garisan pertahanan ialah Kompeni B, Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu. Kompeni B terpaksa berundur ke Pasir Panjang ekoran tembakan hebat daripada tentera Jepun yang disokong oleh tembakan artileri serta kereta kebal. Namun, sebelum perunduran dapat disempurnakan, pasukan Jepun berjaya menembusi kedudukan pertahanan Kompeni B. Berlaku pertarungan hebat dan anggota Kompeni B bertempur berdepan-depan menggunakan bayonet terhadap tentera Jepun. Sebilangan daripada anggota Kompeni B 1 Melayu dapat menyelamatkan diri sementara ramai yang menjadi tawanan perang. Penerobosan ini memaksa Briged Infantri ke-44 India dan Briged Infantri Pertama Malaya berundur ke garisan pertahanan di Mount Echo (persimpangan Jalan Ayer Raja dan Jalan Depot) di Buena Vista di pinggir pantai selatan pulau Singapura.

Serangan Kedua

Pada hari Sabtu 14 Februari, pasukan Jepun sekali lagi membuat serangan hebat ke atas kedudukan Askar Melayu. Kali ini serangan ke atas kedudukan yang dipertahan oleh Askar Melayu dimulakan pada jam 8.30 pagi, dan serangan Jepun sekali lagi dibantu oleh serangan mortar dan bedilan artileri.

Tetapi serangan ini dan beberapa serangan selepasnya berjaya dipatahkan Askar Melayu. Pertarungan jarak dekat termasuk pergelutan menggunakan bayonet berlaku di merata kedudukan yang dipertahankan oleh Askar Melayu.

Satu serangan hebat dengan sokongan kereta kebal dibuat ke atas kedudukan Askar Melayu, dan kali ini pasukan Jepun berjaya menembusi barisan pertahanan di sebelah kiri, memaksakan pengunduran askar-askar yang bertahan di sana. Mereka berundur ke garisan pertahanan lain di persimpangan Jalan Ayer Raja dan Jalan Depoh melalui kilang batu bata dan parit besar ke Bukit Chermin. Disebabkan pasukan-pasukan di sebelah kiri dan kanan kedudukan mereka tidak dapat bertahan, Briged Infantri Pertama Malaya terpaksa bersama-sama berundur menduduki kedudukan pertahanan baru di Bukit Chandu bagi mengekalkan keutuhan barisan pertahanan.

Bukit Chandu

Pihak Jepun menyerang kedudukan Briged Pertama Malaya sepanjang hari pada 14 Februari. Kedudukan mereka bertambah rumit kerana Mejar Jeneral Gordon Bennett, Panglima Divisyen Ke-8 Australia, hanya membenarkan pasukan artilerinya menembak lokasi musuh yang mengancam lokasi tentera Australia. Justeru Briged Malaya tidak mendapat bantuan artileri Australia yang ditempatkan bersebelahan mereka.

Pada pagi 14 Februari Divisyen Ke-18 Jepun,dengan didahului bedilan hebat mortar dan artileri selama dua jam, melancarkan serangan, sekali lagi, ke atas barisan pertahanan Briged Pertama Malaya.

Briged Malaya berjaya menangkis serangan ini dan beberapa serangan lain dalam pertempuran depan-depan. Kedua-dua pihak mengalami korban perang dan menanggung kerugian besar. Pada jam 4.00 petang, dengan dibantu kereta kebal, pihak Jepun (Divisyen Ke-18) berjaya menembusi rusuk kiri barisan pertahanan. Para tentera yang bertahan di rusuk ini terpaksa berundur ke garisan pertahanan baharu yang bermula dari persimpangan Jalan Ayer Rajah dan Jalan Depot merentasi Kilang Batu Bata dan sepanjang salur hingga ke Bukit Chermin. Oleh sebab unit di kedua-dua rusuk tidak dapat mempertahankan kedudukan masing-masing, Briged Pertama Malaya telah awal lagi mula berundur pada jam 2.30 petang. Pada ketika inilah Kompeni C Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu diarah bergerak ke barisan pertahanan baharu di Bukit Chandu.


Bukit Chandu mengambil sempena nama kilang pemprosesan candu yang terletak di kaki bukit. Bukit Chandu menjadi lokasi pertahanan penting kerana dua sebab: ia terletak di tanah tinggi di utara pulau; dan penawan kawasan ini oleh pihak Jepun akan membuka jalan kepada mereka untuk mara ke kawasan Alexandria di mana terletaknya depot peluru, Hospital Tentera Alexandra dan kawasan-kawasan penting lain. Bukit Chandu juga merupakan tempat pertahanan terakhir Kompeni C Rejimen Askar Melayu
.

 
Peta Singapura menunjukkan kedudukan Briged Pertama Malaya di Pasir Panjang serta kedudukan tentera di bawah pemerintahan British pada tahun 1942.


Kedudukan Kompeni C dipisahkan daripada lokasi Kompeni D, 1 Melayu oleh sebuah terusan yang menyalur ke arah Depot Minyak Normanton. Semasa pertempuran minyak terbakar di dalam terusan dan kebakaran minyak ini menyekat perunduran Kompeni C, yang diperintah Kapten HH Rix, ke arah selatan, yakni menuju arah lokasi Kompeni D.

Pada sebelah petang tentera Jepun meneruskan serangan terhadap Bukit Chandu dengan menyamar sebagai tentera Rejimen Punjab (India British). Anggota Kompeni C dapat meneka penyamaran ini kerana tentera British lazimnya bergerak dalam tiga barisan dan bukan empat seperti dilakukan Jepun yang sedang menyamar. Kompeni C melepaskan tembakan apabila penyamar sampai di lokasi mereka dan berjaya membunuh atau mencederakan beberapa orang penyamar.

Sementara itu Kompeni D, 1 Melayu menduduki kawasan di rusuk kanan batalion berdekatan kilang batu bata Alexandra. Pada awal senja sebarisan infantri Jepun juga bergerak di atas jalan menuju Alexandra. Mereka diserang hendap Kompeni D dan juga unit lain dan mengalami kerugian teruk. Lebih kurang 100 mayat dijumpai selepas serang hendap tersebut.

Pertempuran Terakhir

Tidak lama kemudian tentera Jepun melancarakan serangan hebat dan beramai-ramai terhadap kedudukan 1 Melayu. Serangan hebat ini berjaya mengatasi pertahanan Askar Melayu dan barisan pertahanan di sektor Pasir Panjang berjaya ditembusi pihak Jepun. Rejimen Askar Melayu meneruskan pertempuran mahupun kekurangan peluru dan bekalan. Sekali lagi serangan ini menyaksikan pertempuran berdepan-depan dengan bayonet. Lt Adnan bin Saidi (mengambil alih pemerintahan Kompeni C selepas kematian Kapten Rix) mengalami kecederaan teruk tetapi enggan menyerah kalah dan mengarahkan anggotanya meneruskan perjuangan. Akhirnya Pasir Panjang jatuh ke tangan Jepun. Adnan Saidi ditawan, namun tentera Jepun tidak melayannya sebagai tawanan perang. Beliau dipukul dan diikat kepada sebatang pokok lalu ditikam berkali-kali dengan bayonet. Memetik laporan Dol Ramli[5] dan Leftenan DH Webber,[6] sejarawan Alan Warren melaporkan bahawa mayat Lt Adnan kemudiannya digantung, kepala ke bawah, pada sebuah pokok bagi meraikan kejayaan mereka ke atas barisan pertahanan Bukit Chandu.

Korban

Rejimen Askar Melayu mengalami korban nyawa seramai 159 anggota, termasuk tujuh orang pegawai Melayu dan enam orang pegawai British sepanjang Kempen Tanah Melayu dan Singapura. Tidak dapat dipastikan berapa orang mengalami kecederaan; kebanyakan kematian dan kecederaan dialami rejimen tersebut antara 12 hingga 14 Februari 1942. Lebih kurang 600 ratus anggota Rejimen yang terselamat dikumpulkan di kawasan Kelab Golf Keppel di mana mereka dipisahkan daripada pegawai British mereka dan menjadi tawanan perang bersama-sama anggota Tentera India British. Tidak dapat dipastikan berapa orang tentera Jepun yang terkorban atau tercedera dalam pertempuran ini.

Kesan Pertempuran

Pertempuran Pasir Panjang tidak berapa signifikan dari segi strategi ketenteraan. Semenjak pendaratan Tentera Darat Ke-25 Jepun pada 8 Februari,unit-unit di bawah pemerintahan markas Kubu Singapura ('Singapore Fortress') yang ditempatkan di sana hanya ditugaskan untuk mempertahankan jalan masuk ke rabung tersebut. Laluan ini penting oleh sebab ia membuka jalan ke kawasan-kawasan penting seperti depot peluru dan hospital tentera, dan juga ke pekan Singapura itu sendiri. Penempatan Briged Malaya ini merupakan sebahagian daripada rancangan pihak Malaya Command untuk memperketatkan lagi pertahanan Pekan Singapura. Akan tetapi sebaliknya mereka berdepan dengan pasukan tempur utama Jepun.

Tambah pula, pada malam 14 Februari, keadaan sudah menjadi amat genting bagi pihak yang bertahan. Dari segi pertahanan, mereka tidak mempunyai kekuatan udara bagi menangkis serangan pengebom Jepun, tentera laut sudah tiada dengan kehilangan Pangkalan Tentera Laut di utara pulau, dan semangat sebilangan tentera Australia, India dan British sudah menjunam. Memetik laporan George Wort, seorang pegawai Batalion Pertama Askar Melayu dan Leftenan Kolonel Elrington, pegawai memerintah Batalion Kedua Rejimen Loyal, yang sama sama mempertahankan Pasir Panjang, penulis Peter Elphick memperikan bagaimana segelintir tentera Komanwel meninggalkan tugas apabila berdepan dengan musuh.[8] Tentera Darat di bawah pemerintahan Percival tidak berdaya melakukan serangan balas.[9] Penduduk awam pula diancam kematian dan kecederaan akibat pertempuran dan pengeboman. Tambah pula kehilangan empangan besar menjejaskan bekalan air dengan teruk. Pada malam 14/15 Februari Percival dan panglima-panglimanya membuat perhitungan sama ada mahu terus melawan atau menyerah diri.

Namun, anggota Askar Melayu tidak menyedari semua itu dan terus berjuang. Leftenan Adnan bin Saidi diperikan oleh ramai orang Malaysia dan Singapura sebagai wira kerana tindakan beliau di Bukit Chandu — beliau mengarahkan anggotanya berjuang terus dan tidak menyerah kalah. Ketaatan Askar Melayu ini bukan sahaja diakui pegawai British mereka, tetapi juga panglima tertinggi mereka di Singapura:

"Rejimen Askar Melayu menunjukkan apa yang boleh tercapai dengan esprit de corps ('semangat setia kawan') dan disiplin. Mereka tidak berganjak dari pos mereka dan ramai yang terkorban ... Askar muda dan yang belum diuji ini menunjukkan kebolehan mereka setanding tentera yang terbaik di Malaya, khususnya ketegaran mereka semasa mempertahankan Rabung Pasir Panjang semasa kemuncak Pertempuran Singapura, mereka menjadi contoh kesetiaan dan ketabahan yang akan menjadi tradisi ulung Rejimen mereka dan menjadi inspirasi kepada generasi-generasi selepas mereka."

Lt Gen Arthur Percival,
Panglima Malaya Command

petikan daripada laman web rasmi Rejimen Askar Melayu Diraja

 
 


Pertempuran Bukit Candu

Pertempuran Bukit Chandu adalah satu pertempuran semasa serangan Jepun ke atas Singapura semasa Perang Dunia II. Pertempuran ini menjulang nama Rejimen Askar Melayu menjadikannya satu pasukan tentera yang disegani di kalangan pasukan tentera Komanwel.

Pertempuran ini adalah sebagai lanjutan kepada Pertempuran Pasir Panjang yang berlaku pada hari sebelumnya. Pertempuran ini juga menampilkan keberanian askar Melayu, khususnya Leftenan Muda Adnan bin Saidi yang sanggup berkorban semasa memberikan tentangan berhabis-habisan kepada askar Jepun.

Selepas Pertempuran Pasir Panjang, Kompeni “C” dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu diarahkan berundur ke kedudukan Pt. 226 di Bukit Candu. Pemerintah Tentera British mengarahkan pasukan Askar Melayu bertahan di Bukit Candu. Sekiranya kedudukan ini jatuh ke tangan askar Jepun, mereka akan mempunyai laluan terbuka menuju Jalan Alexandra di mana terdapat depot Tentera British, tempat simpanan peluru dan juga Hospital Alexandra Tentera British.

Setelah pasukan tentera Komanwel di sebelah kiri dan sebelah kanan barisan pertahanan pasukan Askar Melayu berundur ke garisan pertahanan yang baru, pasukan Askar Melayu juga terpaksa berundur. Kompeni “C” di bawah pimpinan Kapten H.R. Rix diperintahkan menduduki kedudukan pertahanan di Pt. 226, Bukit Candu. Bukit Candu dinamakan sempena terdapatnya sebuah kilang memproses candu milik kerajaan British di kaki bukit ini. Di bukit inilah, Kompeni “C” 1 Melayu membuat pertahanan kali terakhir mereka menghadapi serangan Jepun.

Bedilan Berterusan

Kompeni “C” 1 Melayu ditugaskan bertahan di Bukit Candu (kini Kent Ridge). Mereka dibedil berterusan oleh pasukan artileri Jepun yang mahu memberikan sokongan kepada pasukan mereka yang membuat serangan. Bukit Candu merupakan kedudukan pertahanan yang penting kerana ia merupakan kawasan tinggi yang membolehkan pasukan yang menguasai kawasan tersebut dapat melihat keseluruhan Pulau Singapura di sebelah utara. Dan juga, sekiranya Jepun menguasai Bukit Candu, mereka akan boleh mara tanpa halangan ke Jalan Alexandra, yang menempatkan penempatan tentera yang penting.

Kedudukan Kompeni “C” dipisahkan dengan kedudukan Kompeni “D” oleh satu parit besar. Parit berkenaan penuh dengan minyak yang terbakar, akibat tumpahan daripada tangki simpanan di Depoh Normanton. Parit besar yang dipenuhi minyak yang terbakar ini menghalang pengunduran Kompeni “C” ke arah selatan. Kompeni “C” berada di bawah pemerintahan Kapten H.R. Rix, seorang pegawai yang pandai berbahasa Melayu. Kapten Rix menggesa askar-askarnya untuk berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir. Kapten H.R. Rix terbunuh bersama-sama anak buahnya dalam pertempuran di Bukit Candu.

Askar Jepun cuba menggunakan muslihat untuk memperdayakan askar-askar Melayu yang bertahan di Bukit Candu. Mereka menghantar satu kumpulan askar Jepun yang menggunakan pakaian uniform askar Punjabi untuk cuba menghampiri kedudukan Kompeni “C” Askar Melayu . Tetapi, anggota-anggota kompeni “C” menyedari muslihat ini apabila melihat askar Jepun yang berpakaian uniform askar Punjabi tersebut berkawat dalam barisan berempat-empat dan bukannya dalam barisan bertiga-tiga seperti kelaziman pasukan Tentera British. Mereka dibiarkan hampir ke garisan pertahanan Kompeni “C” Askar Melayu sebelum dihujani dengan peluru dari mesingan Lewis , mengakibatkan kehilangan jiwa yang banyak dan ramai anggota Jepun yang lain cedera. Askar Jepun yang terselamat bergolek dan merangkak turun semula ke tempat selamat untuk menyelamatkan diri mereka.

Serangan Terakhir

Leftenan Muda Adnan bin Saidi menjadi lambang keberanian Askar Melayu

Pada jam 4.00 petang, askar Jepun melancarkan serangan habis-habisan ke atas kedudukan Askar Melayu di Bukit Candu. Walaupun hampir kehabisan peluru dan dengan bilangan anggota yang jauh lebih sedikit berbanding dengan bilangan askar Jepun, Askar Melayu terus menentang serangan askar Jepun. Tetapi mereka tidak berdaya menahan serangan daripada pasukan yang jauh lebih besar dan pasukan Jepun terus mara menghampiri kedudukan Askar Melayu . Pelbagai senjata digunakan oleh Askar Melayu yang bertahan di sana, termasuklah bom tangan, pistol dan bayonet.

Leftenan Muda Adnan bin Saidi menggunakan mesingan Lewis untuk menentang askar-askar Jepun dan berjaya membunuh ramai askar Jepun. Walaupun terpaksa bertempur dalam jarak dekat dengan kadangkala terpaksa menggunakan bayonet dan tangan mereka, Askar Melayu terus mematahkan usaha askar Jepun untuk menguasai kedudukan tersebut. Ramai pegawai dan anggota Askar Melayu yang menjadi korban. Leftenan Muda Adnan bin Saidi sendiri cedera parah, tetapi masih berdegil tidak mahu berundur dan terus memberikan tentangan. Keberanian beliau membakar semangat anak-anak buahnya untuk terus berjuang.

Keperwiraan Askar Melayu

Walaupun dilihat sebagai satu kekalahan kepada Askar Melayu, pertempuran ini melihatkan keperwiraan Rejimen Askar Melayu dan daya juang yang tinggi. Ada pihak yang berpendapat sekiranya pasukan artileri Australia yang berada berhampiran diberikan kebenaran membantu pasukan Askar Melayu semasa pertempuran ini, kemungkinan besar keputusannya agak berlainan, dan mungkin perwira-perwira Melayu ini akan mencapai kemenangan.

Mubin Sheppard, seorang pegawai British yang menjadi tawanan perang selepas penyerahan diri Tentera British, menceritakan mengenai sahabatnya Leftenan Muda Adnan bin Saidi sebagai … “walaupun bilangan musuh jauh lebih ramai daripada bilangan askar-askarnya, dan dia dibom secara berterusan, Adnan terus berjuang dan menyebabkan kemalangan jiwa yang besar di kalangan askar-askar Jepun. Adnan pasti tidak menyerah diri walau apapun yang terjadi. Dia begitu dedikasi kepada perjuangannya. Sebelum pertempuran, dia menyeru anggota-anggota platunnya untuk "biar putih tulang, jangan putih mata".

Walau apapun, Tentera British, Tentera Australia, Tentera India British dan Tentera Jepun sendiri kagum dengan kebolehan Askar Melayu.

Koperal Yaakob, salah seorang daripada hanya beberapa orang askar Melayu yang terselamat semasa Pertempuran Bukit Chandu menyaksikan pembunuhan Leftenan Muda Adnan. Dalam keliru pertempuran, Yaakob rebah dan jatuh di atas mayat askar-askar lain yang terkorban. Dia membuat seperti orang mati.

Menurut Yaakob, tentangan hebat yang diberikan oleh Askar Melayu menyebabkan orang-orang Jepun naik berang dan apabila Adnan ditawan, mereka mengheretnya dan menolaknya masuk ke dalam satu karung guni. Askar Jepun kemudiannya menggantungkan Adnan dengan kaki di sebatang pohon ceri dan menikamnya menggunakan bayonet berulang kali. Leher Adnan juga dikelar berulang kali. Askar Jepun memberikan amaran kepada orang tempatan untuk tidak mengalihkan mayat Adnan, dan mayatnya tidak diusik walaupun lama selepas pertempuran tamat untuk diuruskan pengkebumiannya.

Askar-askar Australia yang bertahan berhampiran dengan Bukit Chandu melihat keberanian Askar Melayu semasa pertempuran. Menurut Leftenan Penrod V. Dean dari pasukan Batalion 2/4 Mesingan, anggota Askar Melayu menggali kubu pertahanan tetapi jelas sekali mereka tidak mempunyai persenjataan yang banyak. Mereka menentang askar Jepun dengan menggunakan senapang sahaja, dan apabila askar Jepun berjaya menembusi benteng pertahanan mereka, askar-askar Melayu melawan mereka menggunakan bayonet. Mereka menyerbu askar Jepun menggunakan bayonet dan berjaya menangkis kemaraan askar Jepun ke arah Reformatory Road. Jelas sekali askar Melayu cukup berani. Mereka berjuang bermati-matian, tetapi bilangan askar Jepun terlalu ramai - untuk setiap orang anggota Askar Melayu ada 10 ataupun 12 orang askar Jepun. Keadaan mereka bagaikan retak menunggu belah.

Keesokan hari Jeneral A. E. Percival megarahkan Tentera British untuk menyerah diri. Pihak Jepun mengasingkan pegawai dan anggota lain-lain pangkat dari pasukan askar Melayu. Anggota-anggota lain pangkat dihantar ke Farrer Park untuk bersama-sama dengan askar-askar India. Kapten Rix dan kesemua pegawai British yang bertugas dengan Batalion Pertama Askar Melayu terbunuh.

Burhan Muslim yang tinggal di Bukit Chandu menceritakan beliau bersama sepupunya pergi ke sebuah banglo di Bukit Chandu beberapa hari selepas pertempuran itu. Di dalam salah sebuah banglo di Pepys Lane, beliau melihat mayat-mayat yang dicincang bertaburan. Di dalam sebuah bilik terdapat mayat seorang pegawai Melayu. Lehernya telah dikelar berulang kali dan uniformnya berlumuran darah. Daripada lencana di uniform tersebut Burhan merumuskan mayat itu mayat seorang pegawai. Burhan merasakan mayat itu kemungkinan merupakan mayat Leftenan Adnan.

Korban Pertempuran

Sepanjang kempen mempertahankan Semenanjung Tanah Melayu dan khususnya semasa mempertahankan Singapura pada 12 Februari hingga 14 Februari 1942, Rejimen Askar Melayu mengalami kehilngan seramai 159 orang pegawai dan anggota yang terbunuh (6 orang pegawai British, 7 orang pegawai Melayu dan 146 orang lain-lain pangkat). Ramai lagi yang cedera. Bilangan askar Jepun yang terbunuh dalam pertempuran dengan askar Melayu tidak diketahui, tetapi bilangannya tentu ramai.

Kesan

Walaupun telah menjadi tradisi bagi Tentera British untuk mewujudkan rejimen-rejimen terdiri daripada rakyat pribumi jajahan yang ditakluki, pihak British hanya bersetuju menubuhkan pasukan Askar Melayu dalam tahun 1936 setelah didesak oleh Raja-Raja Melayu. Apabila perang meletus, banyak pihak termasuk kepimpinan tentera British sendiri meragui keupayaan anggota-anggota Askar Melayu .


Pada keseluruhannya, Pertempuran Pasir Panjang pada amnya dan Pertempuran Bukit Candu khususnya menampilkan keperwiraan anggota-anggota pasukan Askar Melayu , yang sebelum itu diragukan keupayaan mereka sebagai perwira. Menurut penulis British Noel Barber yang mengarang buku “Sinister Twilight”, menggambarkan pasukan Askar Melayu sebagai “sebuah pasukan tentera regular yang terdiri daripada anak-anak watan yang diperintah oleh pegawai-pegawai British yang berbahasa Melayu yang melukiskan kepincangan keputusan British untuk tidak mewujudkan lebih banyak pasukan sepertinya sebelum meletusnya perang, di mana askar-askar terdiri daripada anak-anak watan ini akan bermati-matian mempertahankan tanah air mereka”.


  
  
 
  

Jeneral A. E. Percival sendiri mengambil maklum bahawa pasukan Askar Melayu telah menunjukkan apa yang dapat dicapai oleh pasukan yang mempunyai semangat esprit de corps dan disiplin diri yang tinggi. Anggota Askar Melayu bertahan di pertahanan mereka sehingga mereka gugur kesemuanya.


Pertempuran Pasir Panjang dan Pertempuran Bukit Candu melibatkan pegawai dan anggota Askar Melayu mencontohkan bentuk pengorbanan tertinggi pasukan tersebut untuk menegakkan “tanggungjawab, kehormatan dan kedaulatan negara”. Pertempuran ini kini dikenangi di sebuah pusat peringatan Reflections at Bukit Chandu di Singapura dikendalikan oleh Arkib Negara Singapura.


Lt Adnan Saidi.jpg
Lt Dato' Adnan bin Saidi

Adnan bin Mohd Saidi atau lebih dikenali sebagai Lt. Adnan Saidi dilahirkan di Kampung Sungei Ramal, Kajang, Selangor pada tahun 1915. Adnan Saidi merupakan anak sulung dalam keluarganya. Adik-adiknya, Ahmad bin Saidi dan Amarullah bin Saidi juga merupakan anggota tentera. Ahmad Saidi terbunuh dalam pertempuran selepas dia memasuki angkatan laut pada tahun 1939. Kapalnya, HMS Pelanduk, ditenggelamkan oleh Jepun dalam pelayaran ke Australia.

Adnan Saidi menerima pendidikan di Pekan Sungei Ramal dalam aliran Inggeris. Dia merupakan pelajar yang rajin dan berjaya dalam pengajiannya. Selepas menamatkan pengajiannya, Adnan terpilih sebagai guru pelatih dan mengajar (alma mater) selama lebih satu tahun. Adnan Saidi kemudiannya mengambil keputusan untuk memasuki tentera.

Pada tahun 1933, ketika berusia 18 tahun, Adnan Saidi memasuki Rejimen Askar Melayu (Malay Regiment). Setahun kemudian, dia terpilih sebagai rekrut terbaik. Pada tahun 1936, Adnan dilantik ke pangkat Sarjan – kenaikan pangkat yang pantas bagi seorang tentera muda. Pada tahun 1937, Adnan Saidi terpilih untuk mewakili platunnya dalam perbarisan memberi hormat di London bagi menyambut pertabalan Raja George VI. Tidak lama selepas itu, Adnan Saidi sekali lagi dinaikkan pangkat kepada Kompeni-Sarjan-Major dan dihantar ke Singapura untuk kursus latihan pegawai. Setelah menamatkan kursus beliau dinaikkan menjadi pegawai dengan pangkat Leftenan Muda, Adnan Saidi dilantik sebagai ketua Platun ke-7, Kompeni 'C' .

Sekembalinya Lt. Adnan Saidi daripada London, dia berkahwin dengan seorang guru dikampungnya, Puan Sophia Pakih Muda dan mendapat tiga orang anak: dua lelaki, Mokhtar dan Zainudin (yang tinggal di Seremban dan Johor), dan seorang anak perempuan. Tetapi bayi perempuannya meninggal sejurus selepas kejatuhan Singapura.

Pada akhir 1941, Lt. Adnan Saidi ditempatkan di Singapura dan membawa keluarganya bersama-sama. Mereka tinggal di rumah besar di Pasir Panjang, dalam kawasan yang dikhaskan untuk keluarga Rejimen Askar Melayu.

Apabila berita peperangan Perang Dunia II semakin hampir, dan pihak Jepun bersedia untuk menjajah Singapura, Lt. Adnan menghantar keluarganya kembali ke kampung mereka di Kajang Ini merupakan masa yang getir bagi Lt. Adnan kerana isterinya, Sophia, sedang mengandungkan anak mereka yang ketiga. Ini merupakan kali terakhir mereka bersama.

Pertempuran di Bukit Candu

Sejarah pendaratan Jepun di Tanah Melayu dan tindakan pantas tentera Jepun memaksa Tentera British berundur ke Singapura. Pertempuran-pertempuran akhir mempertahankan Singapura termasuk pertempuran di Pasir Panjang yang lebih dikenali sebagai Pertempuran Bukit Candu. Bukit Candu dinamakan sempena kilang memproses candu yang dahulunya terletak di kaki bukit tersebut.

Pertempuran sengit telah berlarutan beberapa hari sebelumnya. Tentera Jepun yang biasa bertempur dari ketumbukan Tentera ke 25 yang terkenal berjaya mengatasi kedudukan pertahanan strategik di Singapura. Bukit Candu menandakan sempadan pertahanan terakhir. Ia merupakan kedudukan pertahanan penting di Singapura berasaskan dua alasan strategik; ia boleh melihat bahagian utara Singapura dan selain itu, sekiranya pihak Jepun mengawal permatang, ia memberikan mereka laluan langsung ke kawasan Alexandra. Kawasan Alexandra merupakan tapak depoh bekalan peluru dan bekalan utama, hospital tentera dan kemudahan utama Tentera British. Dengan itu, permatang tersebut perlu dipertahankan bersungguh-sungguh.

Pertahanan permatang itu telah ditugaskan kepada Kompeni 'C' . Kompeni 'C' merupakan sebahagian satu pasukan kecil Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu (1 Melayu). Batalion 1 Melayu dan Batalion 2 Melayu,[1] bersama-sama dengan batalion ke-2 "Loyal Regiment" Tentera British dipusatkan menjadi Briged Infantri Pertama Malaya (1st Malaya Brigade)

Pada 13 Februari 1942, Division Chrysanthemum Tentera Imperial Jepun yang handal di bawah pemerintahan Lt. Gen. Renya Mutaguchi menumpukan perhatian mereka kepada persisiran selatan Singapura - Permatang Pasir Panjang. Pada pagi tersebut, permatang tersebut dibedil bertalu-talu dengan sokongan udara, mortar berat dan bedilan meriam. Kompeni 'C' dan Lt. Adnan Saidi ketika itu[2] telah ditempatkan di Perkampungan Pasir Panjang telah memberikan tentangan hebat. Akhirnya tentera Jepun terpaksa berundur disebabkan tentangan sengit daripada Kompeni 'C'. Adnan dan orang-orangnya telah membina benteng pertahanan Rejimen di kawasan tanah tinggi, yang dikenali sebagai Celah (Gap). Walaupun mempunyai bilangan anggota yang lebih ramai, pasukan Jepun di bawah Major Kimura gagal menembusi barisan pertahanan di Celah (Gap).

Pada tengah malam 14 Februari 1942, Kompeni 'C' menerima perintah untuk bergerak ke tapak pertahanan baru - Pt. 226, Bukit Candu. Lebih ramai askar tambahan ditempatkan ke pasukan di bawah pimpinan Adnan – menjadikan jumlah keseluruhannya 42 kesemuanya. Selepas meninjau persekitaran dengan cermat, Lt. Adnan Saidi memerintah orang-orangnya untuk memperkukuhkan benteng pertahanan mereka dengan beg pasir. Kawasan bukit tersebut dikelilingi dengan benteng beg pasir.

Pada awal petang 14 Februari, pihak Jepun melancarkan serangan berhelah. Daripada Jalan Pepys Road mendaki Pt.226, Adnan Saidi yang ketika itu berusia 27 tahun, memantau kontinjen "tentera Sikh" daripada Tentera British India (British-Indian Army) mara. Penglihatannya yang tajam dan kecerdasan fikirannya membolehkan Lt. Adnan perasan sesuatu tidak kena apabila menyedari tentera berturban yang mara itu bergerak dalam kumpulan berempat dan bukannya bertiga seperti Tentera British. Menyedari helah tersebut, Lt. Adnan Saidi dan anak buahnya melepaskan tembakan dan berjaya membunuh sekitar 20 orang musuh pada jarak dekat, dengan itu memaksa tentera Jepun berundur.

Dua jam kemudian, tentera Jepun telah melancarkan serangan besar-besaran dalam bilangan yang besar. Serangan tersebut menumpaskan Lt. Adnan Saidi dan tenteranya. Dengan bilangan yang jauh lebih kecil dan kekurangan peluru, Regimen Melayu bertempur dalam pertempuran sehingga ke mati.walaupun leftenan adnan terkorban,namun lebih daripada 800 askar yang telah dibunuh oleh leftenan adnan dan regimennya.

Gugurnya Seorang Perwira

Pertempuran sengit berlanjutan di Bukit Candu. Semua jenis senjata digunakan, termasuk bom tangan dan senjata automatik. Lt. Adnan sendiri mengendalikan senjata mesingan jenis Lewis gun. Dalam kebanyakan kes, askar bertempur dalam pertempuran berhadapan menggunakan bayonet. tetapi, mereka kekal bertahan mengecewakan pihak musuh. Dalam pertempuran yang berikutnya pegawai dan tentera mati. Adnan cedera parah tetapi enggan berundur dan sebaliknya menyuruh orang-orangnya berjuang sehingga ke titisan darah terakhir. Keberaniannyalah yang menaikkan semangat juang orang-orangnya untuk bertahan bersungguh-sungguh.

Korporal Yaakob, yang mendapat Pingat Keberanian Medal of Gallant, merupakan salah seorang daripada mereka yang terselamat dalam pertempuran Bukit Candu. Dalam kacau-bilau pertempuran, beliau yang cedera jatuh di atas mayat mereka yang terkorban. Beliau terselamat dengan berpura-pura mati disamping mayat rakannya dan melihat kematian mengerikan Adnan Saidi. Musuh yang menang berjaya menawan Lt. Adnan. Akibat perasaan dendam kerana keberaniannya melawan Jepun, ketua platun itu diseret sebelum diserkup dengan guni. Tentera Jepun kemudiannya telah menggantungkan kakinya pada pokok ceri.[3], [4] Kerana meradang akibat kehilangan ramai rakan, tentera Jepun kemudiannya telah menikamnya dengan bayonet berkali-kali. Dalam kejadian lain disebut lehernya telah dikelar. Kejadian ini dilihat oleh Koperal Yaakob. Selepas pertempuran, pihak Jepun melarang sesiapapun menurunkan mayatnya untuk dikebumikan, dan tiada seorangpun yang berani. Malah menurut beberapa sumber, tubuh Lt. Adnan Saidi yang dicacatkan itu dibakar menjadi abu.

Beberapa tahun lalu, Haji Burhan Muslim, yang tinggal berhampiran Bukit Candu, teringat telah memanjat bukit dengan sepupunya beberapa hari selepas pertempuran tersebut. Dalam salah satu rumah banglo yang terdapat di bukit Lorong Pepys, dia melihat mayat askar Melayu yang dipancung merata-rata. Dalam salah satu bilik, terdapat mayat seorang tentera Melayu yang lehernya dikelar. Pakaian seragamnya basah dengan darah. Melihat kepada lencana yang terdapat pada pakaian seragamnya, Haji Burhan percaya bahawa dia adalah pegawai berpangkat. Dia percaya bahawa mayat tersebut mungkin mayat Lt. Adnan Saidi, (mungkin membuktikan mayat Lt. Adnan Saidi tidak dibakar).

Keberanian Lt. Adnan Saidi bersama kontinjen 42 orang anggota Askar Melayu yang telah bertempur mati-matian untuk mempertahankan permatang Pasir Panjang merupakan satu episod yang kini kekal dalam lipatan sejarah. Pertempuran sengit itu disebut khusus dalam perutusan Lt. General A. E. Percival berkenaan Pemerintahan Operasi Malaya dari tarikh Disember 1941 sehingga 15 Februari 1942:

"Selepas dua jam dibedil dengan meriam dan motar, tentera Jepun menyerang Regimen Melayu yang mempertahankan Permatang Pasir Panjang. Regimen Melayu bertempur dengan gagah beraninya tetapi mengalami kehilangan jiwa yang teruk, dan menjelang petang musuh sampai ke Celah (Permatang Pasir Panjang)..."

"After two hours of heavy shelling and mortaring, the Japanese attacked the Malay Regiment which was holding Pasir Panjang Ridge. The latter fought magnificently, but suffered heavy casualties, and by afternoon the enemy had reached the Gap (Pasir Panjang Ridge)…"

Di tapak bersejarah ini, pertempuran bagi pertahanan terakhir Singapura telah berlarutan selama 48 jam, berakhir dengan satu-satunya pertempuran jarak dekat tangan-ke-tangan (yang direkodkan) dengan Tentera Jepun.


www.wikipedia.org


The Sothern Ridges Jan 2009 028-1

Bersempena dengan Hari Ulang Tahun Keputeraan DYMM Sultan Selangor pada 8 Mac 2001, Almarhum Leftenan Adnan bin Saidi telah diberi anugerah Darjah Datuk Setia Sultan Sakahuddin Abdul Aziz Shah (DSSA) pada 31 Julai 2001 (posthumous) bersempena dengan sambutan Hari Pahlawan.

http://www.glogster.com/andreaskosasih/bukit-chandu/g-6m5c7ijp3033fsm9m6oi2a0

No comments:

Post a Comment