Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang
YANG AWAL DAN YANG AKHIR

Thursday, November 21, 2013

AF 062a: KERJAYA DALAM TUDM

nak masuk tudm?
^KERJAYA DALAM TUDM^

TUDM adalah organisasi dimana aku mengaut rezeki sepanjang lebih 30 tahun yang lalu.  TUDM menukar gaya hidup aku dari seorang pemuda kampung yang berkeperibadian 'kekampungan'  (panjang kalau nak diceritakan) kepada seorang individu yang - seperti yang ada sekarang.

TUDM memperkenalkan kepada aku banyak benda yang patut dan tak patut aku tahu- aku kenal disko semasa dalam TUDM, aku kenal video XXX pun semasa dalam TUDM - pertama kali aku lempang anak orang (ragging) pun semasa dalam TUDM - banyak lagi peristiwa dan pengalaman yang sebahagiannya tak patut diceritakan. Bukan bermaksud untuk mengungkit benda-benda yang tidak baik- tapi sebagai pelajaran dan pengajaran - kalau kita tahu apa itu kejahatan maka kita tahu jalan untuk menuju kebaikan.

Aku sangat-sangat percaya bahawa senior-senior aku telah melalui perkara yang lebih teruk dari apa yang aku kena. Namun setelah selesai 'orientasi' atau 'ragging' itu, kami bersahabat baik dan hidup seperti adik beradik. Tidak berdendam. Jika bertemu. kadang cerita-cerita lama ini akan menjadi bahan ketawa.

Itu cakap pasal benda kurang elok, untuk jadi pengajaran.  Untuk benda-benda kebajikan, rasanya tak perlu diceritakan- kerana ia boleh membawa timbulnya perasaan takbur,  riak, ujub dan sebagainya.  Kalau kita tenggelam dengan perasaan kebaikan sahaja- kita akan lalai - lupa diri dan mungkin kita tidak sedar kita sedang menuju kemungkaran.



Walaupun cita-cita asal aku masuk TUDM adalah untuk menjadi juruterbang dan aku telah mendapat peluang merentas jalan ke arah cita-cita itu, namun perjalanan hidupku dalam TUDM melalui liku-liku yang berbeza.  Tiada penyesalan.  Aku, seperti aku yang ada sekarang, tetap berbangga menjadi warga TUDM.

TUDM yang memberi peluang kepada aku menjejaki banyak negara di dunia - dari yang dekat seperti Singapura, Indonesia, Brunei dan Thailand kepada yang jauh menyeberang lautan seperti India, USA, Canada, Britain, Sepanyol, Italy dan Rusia.  malah pulau Hawaii yang terletak di tengah Lautan Pasifik pun pernah aku jejaki.

Dari duit gaji TUDM aku dapat menjejakkan kaki ke tanah suci untuk menunaikan ibadah Haji dan Umrah. Pastinya kebanyakan senior-senior aku juga dapat ke Mekah hasil dari gaji atau gratuiti atau pampasan semasa bekerja dalam TUDM. Sama ada sebahagian atau keseluruhan. Kecuali ketika berkhidmat segala gaji digunakan untuk pelaburan, membeli aset dan membesarkan anak-anak. Pastinya dividen atau keuntungan dari aset itu juga yang digunakan untuk meneruskan kehidupan.

Dalam TUDM aku dapat kenal ramai orang- YB-YB, Tan Sri-Tan Sri, Dato/Datuk-Dato'/Datuk (dan Datin-Datin), ahli-ahli korporat dan pelbagai karakter manusia dari pelbagai peringkat.

Dalam TUDM aku berpeluang menebus dosaku kerana gagal dalam pengajian di UTM sebelum aku masuk TUDM.  Aku berjaya mendapat diploma dan ijazah dari ITM.  Walaupun aku buat Master secara persendirian, namun ia adalah sebahagian dari gaji yang aku perolehi atas kapasiti sebagai pegawai TUDM.

Tiada sebab untuk aku mengatakan TIDAK BAIK kepada TUDM.  Sebab itu, aku naik heran bila tengok dan baca facebook, bagaimana bekas pegawai-pegawai TUDM yang membina darah daging dengan gaji TUDM, memberak bertan-tan hasil makanan yang dibeli dari gaji TUDM, membesar dan menyekolahkan anak-anak dengan gaji sebagai anggota TUDM, tetapi bila berhenti dan bersara, mengutuk TUDM.  Tidak bersetuju dengan menghina sesuatu dasar adalah perkara berbeza.  Mereka mengutuk kepimpinan sekarang 'like nobody business'. Kononnya mereka telah INSAF dan ingin menebus kesilapan yang lalu supaya kemungkaran tidak berterusan. Kebanyakannya (saya ULANGI bukan semua TAPI kebanyakan)  kurang sedar diri bahawa semasa mereka  dalam perkhidmatan pun tidak memberikan sumbangan yang berkesan. Malah sebahagiannya 'dead wood' yang berlagak sebagai senior tetapi 'stubborn'. Seolah-olah TUDM tidak memberi apa-apa faedah dan sumbangan kepada mereka.  Mereka berbangga bahawa ''aku dah buat itu dan ini tapi tidak dihargai".  Mereka lupa, kalau tanpa izin ALLAH, apa pun mereka buat tidak memberi apa-apa makna.  ALLAH lebih mengetahui apa nawaitu mereka ketika membuat sumbangan itu.

Maka, sekarang- biarpun telah berada di penghujung kerjaya, aku ingin memberitahu 'umum' bahawa TUDM adalah kerjaya yang baik dan menyeronokkan.

Sekali lagi aku ulangi, biarpun cita-cita asal aku masuk TUDM adalah untuk menjadi seorang PILOT TUDM dan telah diberi peluang untuk mengikuti kursus penerbangan - dan aku gagal - aku tetap tidak pernah menyesal menyertai TUDM.  Biarpun aku tidak merasa menjadi seorang JENERAL seperti yang dicita-citakan oleh setiap pegawai tentera - aku tetap tidak menyesal.


“Jika sekiranya kamu bersyukur nescaya akan aku tambah nikmat untukmu. Dan jika kamu kufur (atas nama-Ku), ingatlah azab dari-Ku amat pedih.” - Surah Ibrahim: Ayat 7.

Di bawah Tajuk ini aku paparkan sedikit maklumat tentang bagaimana rupa dan karakter yang diperlukan oleh bakal pegawai dan anggota TUDM bagi memenuhi hasrat Air Force - Next Generation (AF-NG).

Bagaimanapun maklumat ini masih belum sempurna. Akan ditambah dari semasa ke semasa.




Sebelum anda mengambil keputusan untuk menyertai TUDM, anda harus bertanya diri anda dahulu soalan ini.  Mengapa aku nak masuk TUDM?

(1)   Kerana ke'glamor'an?.  Kalau saja nak glamor, baik tak usah.  Walaupun ada unsur glamor sebagai seorang anggota tentera, ditakuti jika satu ketika keadaan tidak dapat memenuhi kehendak anda untuk merasai glamor itu, anda akan bosan dan kecewa. Atau anda lupa anda adalah anggota tentera kerana mengejar glamor - berpoya-poya.

(2)   Kerana kesegakan?.  Memakai seragam tentera memang lah segak.  Tapi kesegakkan di bawa bersama dengan disiplin.  Jika anda tidak mampu menjalani hidup dengan kongkongan disiplin, bermula hingga buka mata hingga anda tutup mata, anda akan tertekan.  Bila anda tertekan anda akan melanggar disiplin. Anda akan dihukum dan anda akan kecewa juga. Lagi satu, jika anda nak bersandarkan kepada kesegakkan sahaja, anda akan berlagak. Banyak terjadi, anggota berpangkat laskar udara (setaraf dengan prebet) berlagak jadi pegawai. Malah ada yang menipu semasa bersanding berlagak pakai uniform pegawai!

(3)   Kerana megah dan bangga?.  Saya pun bangga jadi seorang pegawai TUDM. Megah kerana apa? gaji? smart? uniform? gaya? Bangga dengan kerjaya anda boleh meningkatkan motivasi anda.  Tetapi terlalu megah boleh merosakkan anda kerana ia boleh menyebabkan anda jadi takbur dan merendahkan orang lain.

(4)   Kerana ikut-ikut kawan?.  Elakkan dari hanya mengikut orang lain kecuali diiringi dengan minat. Kadangkala anda dah desprade cari kerja, lalu ikut ajakan kawan pergi temuduga dan anda diterima masuk.  Kawan anda ada minat tapi anda tidak.  Akhirnya apabila sudah berada di dalam tentera, anda terperangkap kerana tidak menyangka bahawa kerjaya tentera tidak sesuai dengan diri anda. Anda menyusahkan diri sendiri dan organisasi anda.

(5)   Kerana galakkan keluarga?. Jika anda ada darah pahlawan mengalir dalam diri anda, ia lebih mudah.  Anda telah tahu apa yang bakal anda lalui.  Semasa anda mengambil keputusan untuk memohon,anda telah tahu dan faham segala risiko yang dihadapi. Ia membantu anda untuk menghadapi cabaran.  Pasti anda malu untuk undur ke belakang sama ada disebabkan andamalu kepada keluarga anda atau anda bertekad untuk menjadi yang lebih baik dari mereka.

(6)   Kerana minat?. Minat adalah kunci utama kejayaan anda.  Ia akan menjadi pendorong anda untuk melalui setiap cabaran.  Hanya, kadangkala apabila berlaku perkara yang anda tidak jangka telah menyebabkan anda hilang minat dan kecewa.  Tapi, minat sahaja pun tak cukup- ia mesti diikuti dengan komitmen atau kesungguhan.

(7)   Kerana kebetulan?.   Anda orang yang tak kesah dengan semua faktor di atas, saja-saja mohon dan diterima.  Anda lalui sahaja setiap tahap walaupun anda tidak suka.  Akhirnya anda didatangi rasa minat, rasa bangga dan telah menjadikan anda committed. Akhirnya anda sukses dalam kerjaya ini.





Jika anda telah mempunyai minat dan memenuhi syarat akademik yang dikehendaki, anda masih belum sempurna untuk memohon. Anda perlu mengukur diri anda sama ada anda mempunyai ciri-ciri berikut kerana ia akan memberi 'nilai tambah' untuk anda menjadi warga TUDM yang lebih cekap dan berkesan:

(1)   Minat IT (IT Savvy).  ITC adalah keperluan mandatori (kemestian) pada masa sekarang.  Hampir semua proses dan sistem kerja menggunakan komputer.  Tak tau komputer adalah seperti buta huruf (tak tau membaca dan menulis) dalam tahun 60an dulu.

(2)   Cerdik dan analitik. Jangan baca hanya yang tersurat - tetapi lihat apa yang tersirat.  Pegawai yang cerdik tidak hanya membaca tetapi  meneliti, memahami dan menganalisa apa yang dibacanya.

(3)   Tahan lasak.  Sebagai anggota tentera bukan sahaja perlu segak/tampan - must be physically fit and healthy - mampu bekerja melebihi waktu kerja biasa - multi-role - working day and night - and robust - gunung kan ku daki, lembah ku turuni, semak kan ku redahi - harus mempunyai semangat yang kental.

(4)   Kreatif dan Inovatif. Dalam tentera banyak kekangan dan kekurangan sumber. Oleh itu untuk menjadi efektif, anda perlu kreatif dan innovatif.  Tetapi AWAS! Terlampau keatif kadangkala boleh menyebabkan kita lupa yang kita telah menyalahi peraturan. Doing thing right and doing the right things. Innovatif baik untuk meningkatkan kecekapan - sentiasa sensitif dengan keliling kita - improve mana-mana bahagian dalam sistem kerja yang kurang cekap.

(5)   Berfikiran ke hadapan. Buat sesuatu kerja bukan untuk selesaikan masalah hari ini sahaja.  Kalau begitu keadaannya, esok akan timbul masalah yang sama.  Looking forward for improvement.

Ciri-ciri di atas bukan sesuatu yang ditulis sebagai MESTI tapi jika anda memilikinya, ia  membantu anda untuk bergerak dengan lebih cekap dan berkesan dalam kerjaya anda.

Selain dari syarat fizikal seperti berat badan, ketinggian, ukuran dada, BMI, tahap kesihatan serta syarat-syarat kemasukan lain (khususnya kelulusan akademik), untuk menjadi seorang anggota TUDM yang cemerlang, anda perlu memegang nilai-nilai berikut walaupun sebagai insan yang normal, ia sukar untuk dipenuhi.

Sebelum anda mengambil keputusan untuk menyertai TUDM, anda harus bertanya diri anda sama ada anda ingin menjadi Pegawai atau Laskar Udara?  Pertama sekali, ia tertakluk kepada kelayakan akademik anda.

Bagaimanapun, jika anda memiliki kelulusan akademik yang membolehkan anda memohon menyertai Pegawai, anda tak semestinya dapat apa yang anda inginkan.  Ia tertakluk kepada temuduga, khususnya ujian IQ dan leadership test.  Jadi, anda mungkin ada diploma atau ijazah tapi anda tidak berjaya mencapai tahap IQ yang diperlukan untuk menjadi seorang Pegawai TUDM.

Dalam TUDM terdapat banyak jenis tauliah Pegawai.  Bagaimanapun, untuk calun dari kalangan orang awam, anda ada 3 pilihan sahaja, iaitu:

(1)   Lepasan SPM/STPM yang memenuhi syarat dan layak boleh memohon memasuki Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) untuk mengikuti kursus peringkat jazah yang ditawarkan.

(2)   Lepasan diploma atau ijazah yang memenuhi syarat dan layak boleh memohon memasuki TUDM melalui pengambilan Skim Pegawai Graduan.


(3)   Lepasan SPM yang memenuhi syarat dan layak boleh memohon memasuki Kolej Tentera Udara untuk mengikuti kursus Diploma in Aeronautical Engineering dan seterusnya mengikuti latihan asas penerbangan (telah dimansuhkan sejak 2013).

KEPAKARAN DALAM TUDM

PEGAWAI

(1)   Cawangan Juruterbang- mengandungi:

         (a)   Juruterbang Pejuang

         (b)   Juruterbang Angkut

         (c)   Juruterbang Helikopter

         (d)   Jurumalim

(2)    Cawangan Kejuruteraan

(3)    Cawangan Materiel  (dahulunya Logistik)

(4)    Cawangan Tadbir (dahulunya Urusetia) termasuk Pasukan Khas Udara (PASKAU)

(5)    Cawangan Pengurusan Ruang Angkasa- mengandungi:

         (a)   Kawalan Trafik Udara

         (b)   Kawalan Pertahanan Udara

         (c)   Bomba

LAIN-LAIN PANGKAT

(1)   ‘Crew’ Penerbangan

-  Kuarter Master Udara

-  Pramugari

-  Jurutera Penerbangan

(2)   Sistem Darat (Pengurusan Ruang Angkasa )

-  Pembantu Kawalan Trafik Udara

-  Pembantu Kawalan Pertahanan Udara

-  Juruteknik Komunikasi

-  Aerofireman

(3)   Kejuruteraan

-  Juruteknik Aeromekanik

-  Juruteknik Avionik

-  Juruteknik Air Sirface Equipment (ASE)

-  Juruteknik Information Technology (IT) 

(4)   Materiel

 -  Jurusistem Logistik

-  Pemandu

(5)  Tadbir

-  Pembantu Tadbir

-  Jurulatih Jasmani

-  Pembantu Sajian

-  Pembantu Pertahanan (Provos + PASKAU)

-  Pancaragam



 SYARAT KEMASUKAN PEGAWAI TUDM

PERHATIAN 
SEMUA SYARAT KEMASUKKAN DI BAWAH BOLEH DIPINDA DARI SEMASA KE SEMASA


LALUAN PERTAMA
 UNIVERSITI PERTAHANAN NASIONAL MALAYSIA (UPNM)


Universiti Pertahanan Nasional Malaysia mengambil DUA kategori pelajar iaitu Pegawai Kadet dan Pelajar Awam. Pegawai Kadet ditaja sepenuhnya oleh Angkatan Tentera Malaysia, diberi elaun dan lain-lain bantuan seperti pakaian, makan dan minum. Namun Pegawai Kadet tertakluk kepada Akta Angkatan Tentera 1972 serta perlu menjalani Latihan Ketenteraan semasa mengikuti pengajian di UPNM.

Manakala sebagai Pelajar Awam, pelajar akan ditanggung oleh PTPTN (dengan syarat perlu memohon) ataupun penaja kewangan lain seperti MARA, JPA, Kerajaan Negeri dan sebagainya tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh badan pembiaya tersebut. Pelajar Awam tidak menjalani Latihan Ketenteraan tetapi perlu mematuhi kehidupan berdisiplin semasa berada di UPNM.

Syarat kemasukan ke UPNM juga terbahagi kepada dua, iaitu Jurusan Perubatan dan Jurusan Kejuruteraan dan Sains.

Program yang ditawarkan adalah seperti berikut:

(1)   Pusat Asasi Pertahanan.

(a)   Asasi Kejuruteraan Pertahanan (Z0440)

(b)   Asasi Sains dan Teknologi Pertahanan (Z0880)

(c)   Asasi Pengurusan Sumber Pertahanan (Z0220)

(d)   Asasi Perubatan Pertahanan (Z0080)


(2)   Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan

(a)   Sarjana Muda Doktor Perubatan (ZM00)

(3)   Fakulti Kejuruteraan.

(a)   Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (ZK01)

(b)   Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (ZK08)

(c)    Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Komunikasi) (ZK25)

(d)   Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Kuasa) (ZK50)

(4)   Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan

(a)   Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Sistem Komputer) (ZC27)

(b)   Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem Cerdas) (ZC20)

(c)   Sarjana Muda Teknologi Maritim (ZG37)

(5)   Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan

(a)   Sarjana Muda Pengajian Strategi (ZP44)

(b)   Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan (ZP45)

Oleh kerana jurusan Perubatan tidak ada kaitan dengan kerjaya TUDM, maka saya terus kepada syarat kemasukan ke Program Asasi Kejuruteraan Pertahanan atau kursus-kurus berorientasikan Sains dan Teknikal:

Calun mestilah memenuhi Syarat Am Universiti dan Syarat Khas Program.

Syarat Am Universiti:

1.     Lulus STPM atau setaraf dengan mendapat sekurang-kurangnya Gred C NGMP 2) dalam mata pelajaran Pengajian Am dan

2.     Lulus STPM atau setaraf dengan mendapat sekurang-kurangnya Gred C (NGMP 2) dalam dua mata pelajaran lain.

3.     Memenuhi syarat ketenteraan bagi lantikan Pegawai Kadet :

(a)   Umur : 17 tahun 6 bulan hingga 20 tahun

(b)   Tinggi (minimum) : 1.62 m (lelaki) dan 1.57 m (perempuan)

(c)   Berat (minimum) : 47.5 kg (lelaki) dan 45.0 kg (perempuan)

(d)   Ukuran dada (minimum) : 76 sm (lelaki sahaja)

(e)   Body Mass Index : 17 - 23.

(f)    Taraf perkahwinan : Bujang

(g)   Penglihatan : Tidak cacat penglihatan dan tidak rabun warna serta tidak memakai cermin mata dan kanta lekap.

(h)   Calon mestilah tidak mempunyai tapak kaki rata (FLAT FOOT)

(i)    Calon mestilah tiada sebarang kecacatan atau kecederaan dan tidak mempunyai penyakit keturunan.

(j)   Kesihatan : Diakui sihat dan tidak cacat anggota oleh Pegawai Perubatan Kerajaan termasuk pemeriksaan x-ray serta disahkan oleh Pegawai Perubatan Angkatan Tentera Malaysia

4.     Lulus ujian dan temu duga.


LALUAN KEDUA
SKIM PEGAWAI GRADUAN

Terbuka kepada semua warganegara Malaysia (Graduan Ijazah dan Diploma). Laluan ini tidak dilaksanakan sepanjang masa (setiap tahun). Pengambilan cara ini hanya dibuat apabila diperlukan sahaja.

Syarat:

(1)  Graduan Tugas Am : Tidak melebihi 27 tahun

(2)  Graduan Tugas Ikhtisas (Kejuruteraan/ Pendidikan/ Pengajian Islam) : Tidak melebihi 30 tahun

(3)   Kesihatan : Mempunyai tahap kesihatan yang baik dan tidak rabun warna dan tanpa cermin mata/kanta lekap

(a)   Tinggi/Berat Minimum : Lelaki - 162 sm / 50kg / Perempuan - 157 sm / 45 kg

(b)   BMI(Body Mass Index) : 18 - 27

Untuk memohon, sila hantar surat permohonan dan profil peribadi (resume) beserta:

-Salinan Ijazah/ Diploma
-Salinan SPM atau setaraf
-Salinan transkrip akademik
-Salinan kad pengenalan
-Surat pengiktirafan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam(JPA) bagi calon IPTS dan luar negara.
-Sampul surat berukuran 20 X 28 sm beralamat sendiri dan bersetem RM1 (sila nyatakan sama ada pilihan anda ialah Tentera Darat atau Tentera Laut DiRaja Malaysia atau Tentera Udara DiRaja Malaysia) kepada :

Cawangan Tenaga Kerja
Bahagian Perkhidmatan Anggota
Markas Angkatan Tentera Malaysia
Kementerian Pertahanan
( Untuk Perhatian : Sel C )
Karung Berkunci No 11006
50990 KUALA LUMPUR



PERHATIAN

MULAI 2013, SEMUA PENGAMBILAN UNTUK PEGAWAI KETIGA-TIGA PERKHIDMATAN ATM (DARAT/UDARA/LAUT) HANYA DIBUAT MELALUI UNIVERSITI PERTAHANAN NASIONAL MALAYSIA (UPNM)

INI BERMAKNA, PENGAMBILAN MELALUI KTD, KTL dan KTU TELAH DIHENTIKAN
  
SYARAT KEMASUKAN KE LAIN-LAIN PANGKAT 

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mempelawa Warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk berkhidmat sebagai Perajurit Muda TUDM:

KELAYAKAN AKADEMIK

Syarat kelayakan diberi kepada calon-calon yang lulus di peringkat SPM/SPMV seperti berikut:

(1)   Tred Juruteknik, Sistem Udara dan Sistem Darat: Kepujian Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains di peringkat SPM/ SPMV

(2)   Lain-lain Tred: Kepujian dalam Bahasa Malaysia dan lulus Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains di peringkat SPM/SPMV

LAIN-LAIN KELAYAKAN:

(1)   Warganegara Malaysia.

(2/   Berumur di antara 18 - 25 tahun pada tarikh angkat sumpah.

(3)   Sihat tubuh badan dan tidak cacat anggota.

(4)   Penglihatan hendaklah terang.

(5)   Berat badan minima 47.5 kg bagi lelaki dan 40.5 kg bagi wanita.

(6)   Ketinggian 1.57 meter (lelaki) dan 1.47 meter (wanita).

(7)   Body Mass Index (BMI) antara 18 - 25 (lelaki) dan 18 - 25 (wanita).

(8)   Ukuran dada biasa 76 sm (lelaki sahaja)

Calun-calun yang berjaya dalam pemilihan akan dipanggil untuk menjalani latihan perajurit muda (Pramuda) atau latihan rekrut di Institut Latihan Tentera Udara (ITU), Ipoh selama 6 bulan.

Setelah menamatkan latihan PEGAWAI atau PRAMUDA, mereka akan diserapkan ke dalam Cawangan-cawangan (mengikut Tred/Ketukangan) dan perlu menjalani latihan asas ketukangan masing-masing di pusat-pusat latihan berikut:

(1)   Pusat Latihan Terbang 1 (PULATIBANG 1) bagi latihan asas juruterbang sayap kaku. Mulai 2015 dikenali sebagai Institut Penerbangan 1 (INSPEN 1).

(2)   Pusat Latihan Terbang 2 (PULATIBANG 2) bagi latihan asas juruterbang sayap rotary. Mulai 2015 dikenali sebagai Institut Penerbangan 2 (INSPEN 2).

(3)   Institut Pengurusan Ruang Angkasa (INSPRA) bagi latihan asas trafik udara, kawal dan lapor, komunikasi dan kebombaan.

(4)   Institut Teknologi Aerospace (ITAS) bagi latihan asas kejuruteraan/teknikal.

(5)   Institut Teknologi Senjata dan Bahan Letupan (ITSBL) bagi latihan asas teknikal persenjataan (armament).

(6)   Institut Latihan Pengurusan Materiel (INSMAT) bagi latihan asas logistik, perakaunan, penstoran dan pemanduan kenderaan)

(7)   Institut Latihan Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR) bagi latihan asas pengurusan pentadbiran (urusetia) dan perkeranian.


  HUT TUDM 52 PADA 01 JUN 2010 





UNTUK MAKLUMAT LANJUT KEPADA PEMBACA YANG BERMINAT DENGAN KERJAYA JURUTERBANG (TUDM) SILA BACA TAJUK AF 044: ANDA MAHU JADI JURUTERBANG TUDM?.






4 comments:

  1. Assalamua'likum, terima kasih banyak atas perkongsian. Banyak sangat info berguna. Saya baca sebab chilhood crush saya TUDM.
    Susah sangat nak dapat reply. Ada 2 kebarangkalian, sama ada tak berminat, ataupon sibuk. Tu yang try hard cuba nak memahami kerjaya TUDM ni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih saudara di atas minat ke atas blog ini.

      Delete
    2. Assalamualaikum. Sudi kiranya Ita untuk membeli buku tulisan saya yang diiklankan di dalam blog ini. Terima kasih

      Delete
  2. Assalamualaikum, terima kasih atas perkongsiannya tuan. Saya bersyukur dapat jumpa blog yang masih aktif di tahun 2023. Boleh tak encik terangkan berkenaan AQM sbb partner saya sdg mengambil trade trsbut.

    Saya sangat memerlukan info tersebut bagi memahami laluan kerjayanya dan betul ke ramai yg dah khwin ambil trade ini bercerai? Saya amat mengharapkan tuan dapat kongsikanny

    ReplyDelete