Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang
YANG AWAL DAN YANG AKHIR

Tuesday, January 22, 2019

AF 134: SEJARAH GUBIR YANG BERDARAH


Image result for pekan gubir

Pengalaman bertempur dengan 400 pengganas komunis di Gubir

Artikel ini disiarkan di Utusan Malaysia pada 02 April 2004

Bayangkan jika anda bersama 60 rakan tentera bertempur dan berbalas tembakan dengan 400 musuh dalam hutan, tentunya suatu pengalaman yang sukar dilupakan.
Inilah yang dialami oleh Kapten Sudirman Ahmad, 49, ketika bertugas dalam Rejimen Gerak Khas (RGK) atau komando sekitar tahun 1970-an.

Pengalaman menggempur kem pengganas komunis di sebuah perkampungan kecil di sempadan Malaysia-Thailand, 24 tahun lalu, masih segar dalam ingatan Sudirman.
Ketika itu, beliau berusia 23 tahun, dan tidak dapat melupakan detik-detik cemas bersama anggota-anggotanya yang terpaksa bertarung dengan maut untuk menghapuskan musuh negara.

Sudirman yang mengetuai skuadron bersama 60 anggota komando, diarahkan ke Gubir untuk menyerang kem komunis yang terbesar di kawasan sempadan, yang dipercayai dihuni 400 pengganas komunis.

Oleh kerana perkampungan tersebut dikawal ketat oleh pihak pengganas serta dipercayai dipasang dengan 3,600 jerangkap samar, kesemua anggota pasukannya dihantar untuk menyerang kem tersebut menggunakan helikopter pada waktu malam.
Menurut beliau, segala-galanya berjalan lancar sehingga kedatangan mereka disedari pihak pengganas dan bermulalah pertempuran di antara kedua-dua pihak.
Menurutnya, pertempuran hampir setengah jam antara kedua-dua belah pihak telah mengorbankan 11 anggotanya.

''Bayangkanlah kekuatan anggota kami hanya 60 orang dan pengganas ketika itu menyerang dengan kekuatan 400 anggota.

''Namun kami tetap bertahan walaupun 11 dari kami telah terkorban,'' katanya mengingati detik-detik cemas ketika operasi di Gubir pada tahun 1974.

Bagaimanapun katanya, 22 pengganas berjaya ditewaskan dan ini menyemarakkan lagi semangat mereka untuk terus bertempur sehingga enam hari enam malam bagi melumpuhkan kekuatan pengganas, walaupun tidak mendapat sebarang bantuan pada waktu itu.

Hari seterusnya kata beliau, sebuah helikopter bersama 11 anggota tentera termasuk dua orang anggota komando menyerang dari udara tetapi malangnya kesemua mereka terkorban kerana helikopter tersebut meletup akibat serangan balas dari pengganas.
Selepas peristiwa itu katanya, mereka diarahkan berundur seketika setelah kawasan pertempuran dimusnahkan dengan tembakan meriam daripada pasukan bantuan dari luar kem.

''Kami terpaksa maju ke hadapan walaupun diarah berundur kerana tiada tempat yang selamat dan hampir kesemua kawasan dipasang jerangkap samar,'' katanya.
Beliau sendiri tercedera akibat terkena tembakan dan hampir terkena jerangkap samar tetapi nasib masih menyebelahinya dan beliau terselamat.

Akhirnya kata beliau, mereka sampai ke kawasan bukit dan berlindung di atas kawasan itu sementara menunggu bantuan datang.

Pada sebelah malam katanya, sebuah helikopter datang untuk mengeluarkan mereka dari kem tersebut dengan melakukan 14 penerbangan ulang-alik.

Tetapi katanya, 15 orang anggotanya terpaksa bertahan di atas bukit kerana pihak pengganas telah mengetahui kedatangan bantuan udara itu dan mereka terpaksa menghentikan penerbangan kerana kawasan bukit telah dikepung.

Kesemua 15 anggotanya terpaksa berundur dan melarikan diri menuju hutan dan sesat selama dua hari di situ. ''Sepanjang dua hari itu, mereka telah bertembung dan bertempur dengan pengganas beberapa kali, sebelum diberi bantuan keluar dari hutan berkenaan,'' katanya menamatkan cerita.

Kini, walaupun telah bersara beliau masih aktif dengan menganggotai Kelab Bekas Komando dan menjalankan pelbagai aktiviti bermanfaat di samping mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan seperjuangan.

Oleh: AZIAN ABD AZIZ
.
Pengalaman Ops Gubir 1976 dihujani peluru Komunis

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 11:33 AM

Arau: Pengalaman berhadapan detik cemas ketika helikopter Nuri dinaiki ditembak komunis ketika terbabit dalam Ops Gubir pada April 1976 masih tersemat disanubari Sarjan (B) Haris Dan, 69.

Dia yang ketika itu berusia 27 tahun tidak pernah sesekali dapat melupakan saat helikopter yang membawanya bersama anggota X Skuadron Rejimen Gerak Khas (RGK) dihujani peluru di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

“Kami berada di Gubir sudah lama, seingat saya sudah dua hingga ke tiga minggu ditugaskan membersihkan kawasan berkenaan daripada ancaman komunis.

“Hari berkenaan (diserang komunis) adalah hari terakhir kami di sana sebelum pulang ke Kem Sungai Udang, Melaka.

“Segalanya berjalan lancar ketika helikopter mendarat untuk mengambil kami sebelum tiba-tiba ditembak,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pida Baru, Tambun Tulang di sini.
 fmuda sentiasa berhati-hati kerana musuh negara ketika ini bukan lagi berada di dalam hutan seperti pada zamannya.

“Musuh sentiasa memerhati, jadi berhati-hatilah. Sebagai anggota keselamatan dan sebagai rakyat jadilah individu yang bertanggungjawab dan amanah demi negara.

“Anda tidak merasai peritnya pengorbanan demi negara. Jagalah keamanan dan kemerdekaan yang diperjuangkan generasi sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan di My METRO pada Selasa, 7 Ogos 2018 @ 11:33 AM


OPERASI GUBIR 2
(20 April 1976 hingga 3 Mei 1976)

Susulan kepada pertempuran dan serang hendap yang dilancarkan oleh pengganas komunis, Angkatan Tentera Malaysia mengambil keputusan untuk melancarkan serangbalas terhadap musuh disebuah kawasan yang disyaki kubu kuat mereka. Dianggarkan 400 anggota pengganas berkubu disitu berserta dengan 3,600 jerangkap samar yang telah dipasang sekitarnya.

Operasi dirancang berdasarkan maklumat SEP (Surrendered Enemy Personnel) yang dikenali sebagai Abdullah. Dia mengatakan yang dia telah dilatih disebuah kem di kawasan pergunungan berhanpiran sempadan Thai. Kem tersebut mampu menempatkan beberapa ratus pengganas komunis dan dilengkapi dengan generator elektrik dan juga mesin cetak. Bagaimanapun dia tidak dapat memastikan lokasi kem tersebut dengan tepat. Seorang pegawai tentera mengatakan dia pernah nampak kawasan kebun sayur seperti yang dikatakan oleh Abdullah dan mahu Abdullah mengikutnya untuk mengecam kawasan tersebut. Bagaimanapun Abdullah enggan kerana khuatir akan keselamatan dirinya. Setelah berbincang, mereka bersetuju untuk melakukan tinjauan dari udara.

Formasi yang terlibat adalah seperti berikut:

1. Markas 2 Divisyen Infantri - Mej Jen Dato' Mahmood Sulaiman
2. Markas 6 Briged Infantri - Brig Jen Dato' Arulparagasam
3. Rejimen Gerak Khas Malaysia (1 RGKM) - Lt Kol Hasbullah bin Yussof
4. Markas Jurutera 2 Divisyen - Lt Kol Mei York Chee
5. No. 3 Skuadron Jurutera - Mej Akhbar Khan
6. Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)

Kekuatan Pasukan Penggempur - X Skuadron, 1 RGKM (60 sukarela)

a. Ketua Skuadron - Kapt Sudirman Haji Ahmad
b. Ketua Terup - Lt Aziz Rashid & Lt Azizan
c. Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) - 57 orang

Kekuatan Detasmen Jurutera - Gabungan 1 dan 2 Terup, 3 Skuadron Jurutera

a. Ketua - Lt. M Basri (23 Apr hingga 25 Apr 1976), diambilalih Lt. M Mior Safian
b. LLP - 18 anggota

Tugasan Utama Jurutera - membantu pasukan komando RGKM

a. membina tempat mendarat helikopter
b. membersihkan jerangkap samar

Serangan Udara

Pada 16 April 1976, jet-jet CL-41G Tebuan dari No. 6 Skuadron dan F5E Tiger II dari No. 12 Skuadron TUDM telah terlibat dalam melakukan serangan udara. Sebahagian Tebuan dilengkapi dengan mini-gun dan roket, manakala sebahagian lagi membawa bom-bom 500 lbs. Helikopter Allouette bertindak sebagai Forward Air Controller (FAC) untuk menandakan sasaran.

Serangan pertama tidak memberi banyak kesan kerana kawasan hutan tebal cukup memberi perlindungan kepada sasaran. Bagaimanapun serangan bertubi-tubi itu akhirnya berjaya membuatkan sebahagian besar pengganas komunis berundur ke sempadan Thai melalui terowong khas yang telah mereka bina. Laporan yang diterima keesokkannya menunjukkan terdapat kesan-kesan darah dikawasan sasaran.

Pendaratan Pasukan Penggempur.

Percubaan pertama gagal kerana mereka diserang terlebih dahulu oleh penganas komunis. Percubaan kali ke-2 diiringi oleh helikopter gunship Allouette. Anggota-anggota komando Gerakhas (RGK) menggunakan 3 buah helikopter Nuri untuk masuk ke kawasan sasaran. Ini adalah satu-satunya cara 'insertion' kerana kawasan sekitar telah dipasang banyak jerangkap samar.

Helikopter ke-2 mula-mula menurunkan anggota, bagaimanapun teknik rapelling tidak dapat dilakukan kerana tali tersangkut dipokok. Kaedah winching (menggunakan kabel yang dijana mesin) kemudian digunakan. Bagaimanapun, kedatangan mereka disedari oleh pasukan musuh. Pengganas komunis menembak helikopter dengan pelancar grened M79 tetapi tersasar mengenai pokok.

Pertempuran berlangsung selama kira-kira setengan jam. Kedudukan tersebut akhirnya berjaya ditawan oleh RGKM tetapi memakan korban dengan 11 anggota RGK terbunuh, manakala 22 pengganas komunis dapat dibunuh. Mereka meneruskan pembersihan jerangkap samar dikawasan laluan dan menyediakan Landing Point (LP) untuk pendaratan anggota Jurutera yang akan meneruskan kerja-kerja memusnahkan jerangkap samar serta membuat penyiasatan dan kajian lanjut keatas terowong yang ditemui.

Dalam proses pengeledahan dan pembersihan 3 anggota cedera RGK telah tercedera terkena jerangkap samar, mereka ialah:

1. Sjn Ahmad Jantan - cedera parah dikaki
2. Truper Yaacob Hassan - cedera parah dikaki
3. Truper Hussin Mahbeb - cedera parah ditangan

Pembersihan Dalam Terowong

Pembersihan didalam terowong diteruskan pada 25 April 1976. Laluan dalam terowong yang telah dibersihkan dari jerangkap samar akan diletupkan. Tugas ini dilaksanakan oleh Terup 1 dan Terup 2 dari 3 Skuadron Jurutera. Ketika didalam terowong, team yang diketuai oleh Lt Meor telah berada jauh dihadapan. Lt. M Basri dengan ditemani L/Kpl Abdullah pula menuruni 31 anak tangga didalam terowong tersebut. Mereka menggunakan lampu suluh kerana suasana didalam terowong itu agak gelap. Ketika itu Lt M Basri terlihat satu guni beras yang diletakkan disebelah kiri laluan dan mengesyaki terdapat jerangkap samar disitu. Beliau mengarahkan anggota-anggota lain mengikuti rapat disebelah kanan.

Sebaik saja Lt. Muda Basri melangkah kakinya ke kanan, tiba-tiba berlaku satu letupan kuat. Dia rebah dan senjata yang dibawanya terpelanting. Dia telah mengalami kecederaan dipunggung. Ketika itu juga L/Kpl Abdullah menjerit memberitahu bahawa dia tercedera didada. Sememangnya jerangkap samar itu dipasang pada ketinggian yang menjadikan jantung sebagai sasaran. Beliau diusung naik keluar dari terowong dalam keadaan parah dan setibanya di permukaan, beliau menghembuskan nafas terakhir.

Lt Kol (B) Hj Basri bin Hj Omar PGB telah kembali ke Rahmatullah pada hari Isnin 24hb Disember 2018 bersamaan 16 Rabiulakhir 1440H dan jasadnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Tentera Islam Kem Sg Besi.

  Image result for lt kol basri pgb meninggal dunia

Tragedi Nuri Ditembak Jatuh - 26 April 1976

Sebuah helikopter Nuri yang membawa bekalan peluru, bahan letupan (untuk memusnahkan terowong) dan juga 11 penumpang serta krew telah ditembak jatuh oleh pengganas komunis. Berikut adalah senarai mangsa yang terkorban didalam tragedi itu:

(1)   Kapt (U) Choo Yeok Boo PGB, No. 7 Skuadron (Kapten Pesawat)

(2)   Lt (U) Chung Ming Teck PTU, No. 10 Skuadron, Kapten Pesawat
(3)   Kapt (U) Mustapha Kamal bin Mohamad Shafie KPK, No. 7 Skuadron (Co-pilot)
(4)   Lt (U) Wan Munsiff bin Wan Salim KPK, No. 10 Skuadron (Co-pilot)  
(5)   Sjn Leong Yee Heng PTU, No. 10 Skuadron, AQM
(6)   Mej Haris bin Rejab, MMLO Haadyai
(7)   Kapt Sulaiman bin Abdullah, Markas 6 Briged Infantri
(8)   Lt Ibrahim bin Zakaria, Batalion ke-3 RAMD
(9)   Sjn Kamis bin Dolmat, Batalion ke-3 RAMD
(10) L/Kpl Kamarulzaman bin Zakaria, X Skuadron Rejimen Gerakhas (RGK)
(11) L/Kpl Suandi bin Saim, X Skuadron RGK




terkorban

Pada 27 April 1976, elemen Jurutera dan sebahagian anggota komando dikeluarkan dari kubu pengganas tersebut setelah berjaya memusnahkan terowong dan bunker. Mereka bergerak menuju ke "extraction point". Helikopter melakukan bebrapa penerbangan ulang-alik sehinggalah ia disedari oleh sepasukan pengganas komunis. Penerbangan terpaksa dihentikan, baki 18 anggota komando RGK terpaksa ditinggalkan dan mereka diarah melakukan RV (rendezvous) disatu kawasan berhampiran LP (landing point) dimana sepasukan komando akan menanti ketibaan mereka untuk dibawa keluar.

1 Mei 1976

Kumpulan 18 anggota komando itu diketuai oleh Lt M Aziz Rashid (bersara Lt. Kol). Dianggarkan terdapat seramai 60 pengganas komunis mengepung lokasi mereka. Kawasan ini ditanam dengan anak pokok getah. Pengganas komunis datang dengan menaiki lori. Lt M Aziz memecahkan anggotanya kedalam 3 kumpulan. Mereka diingatkan tidak menembak musuh kecuali kehadiran mereka sangat jelas kerana hendak menjimatkan peluru. Anehnya, mereka tidak diserang pada malam itu. Beliau sempat menghubungi Z Skuadron dan dia dimaklumkan helikopter Nuri tidak dapat mengambil mereka kerana lokasi didapati tidak selamat. Seterusnya, beliau diarahkan untuk RV dengan sepasukan komando yang telah ditugaskan untuk menyelamatkan mereka.

2 Mei 1976

Markas Taktikal di Gubir telah menghantar 2 x helikopter Allouette (gunship) ke lokasi yang dilaporkan oleh Lt M Aziz. Beliau telah mengarahkan Alouette tersebut menembak kekawasan tertentu yang dipercayai ada pengganas komunis. Setiap helikopter mneghamburkan 200 butir peluru meriam 20 mm HE (High Explosive). Lt. M Aziz dan anggotanya bergerak keluar tetapi tidak mengikut "track" yang sedia ada, dikhuatiri ianya telah dipasang jerangkap samar. Dalam perjalanan, mereka menemuai sebuah kem pengganas komunis yang telah ditinggalkan secara tergesa-gesa mungkin menyelamatkan diri dari serangan helikopter Allouette tadi.

Menyedari yang musuh akan terus memburu mereka, menjelang malam, Lt. M Aziz mengarahkan anggotanya membuat "rumah batu" (hammock juga digelar Jungle Hotel - Jungtel). Ini bukan kebiasaan bagi anggota komando kerana mereka biasanya tidur berhamparkan ponco diatas tanah. Rupanya ini adalah umpan untuk mengelirukan pasukan musuh. Mereka bergerak meninggalkan lokasi itu dan menuju ke kawasan tinggi untuk membuat serang hendap.Seperti malam sebelumnya, arahan jangan menembak kecuali kehadiran musuh jelas. Selain itu anggota diingatkan kemungkinan pangganas komunis akan memasang lampu suluh pada hujung kayu panjang dan menyuluh kearah atas untuk mensasarkan tembakan. Sebagaimana yang dijangkakan, memang benar musuh meghampiri kawasan khemah (Jungtel) mereka kerana kelihatan cahaya lampu suluh menghala keatas.

3 Mei 1976

Menjelang pagi mereka turun semula ke Jungtel dan mendapati banyak kesan tapak kaki disitu, dianggarkan kira-kira 40 pengganas komunis telah menggelidah kawasan itu. Mereka meneruskan perjalan ke RV dan apabila tiba dikawasan sempadan Malaysia-Thai terdapat tanda lakaran jerangkap samar yang dilekatkan pada 2-3 batang pokok. Memang pengganas komunis akan meninggalkan tanda jika sesuatu kawasan itu telah dipasang jerangkap samar supaya kawan-kawan mereka akan menghindari kawasan tersebut.

Bagi mengelak dari terkena jerangkap samar, mereka mengikat 3 beg galas (haversack) dengan tali dan melontar kearah laluan dihadapan. Kemudian tali akan ditarik perlahan-lahan, sekiranya ada jerangkap samar yang meletup, itu tidak akan memudaratkan mereka kerana mereka berada dalam jarak yang selamat. Proses ini diulang sehinggalah mereka selamat tiba di kawasan RV. Sepasukan komando RGK dari Y Skuadron yang diketuai oleh Lt. M Rajasegaran telah menanti mereka. Inilah kali pertama dalam beberapa hari mereka berpeluang bertemu makanan! Seterusnya mereka bergerak menuju ke LP dan diterbangkan oleh helikopter Nuri ke Kem Gubir. Ketika disana, Lt. M Aziz telah dimaklumkan pihak atasan telah menyediakan 18 keranda seandainya mereka tidak dapat kembali dengan selamat.


kem gubir

 ops  

Artikel ini ditulis oleh Mej Dr Haji Noor Ibrahim bin Sulaiman TUDM (Bersara) dalam blognya “Jottings of Ex Nuripilot” pada Rabu, 25 Ogos 2010

Tragedi 26 April 1976...Selamat Pulang
dari blog; xnuri pilot (Mej Dr Nor Ibrahim TUDM (Bersara).

 Saya terbaca satu artikel dalam kolum 'Perajurit', Utusan Malaysia bertarikh 12 Oktober 2002 melalui satu 'forum'. Ianya mengisahkan bagaimana sekumpulan 9 warga komando  yang dapat memboloskan diri dari kepungan sejumlah 300 pengganas komunis.  Kejadian berlaku pada April 1976 ketika Ops Gubir. Saya memang teruja untuk menyiarkan artikel tersebut. Kalah cerita 'Rambo'!Tetapi sebelum itu, saya perlu memastikan kesahihannya.

Saya dicadangkan untuk menghubungi Lt Kol Aziz Rashid (B) (gambar) untuk mendapatkan kepastian cerita tersebut. Setelah beberapa bulan mencuba, akhirnya, pada 23 Ogos 2010 jam 2130, saya telah bertemu dengan beliau di Hotel Samila, Alor Setar. Saya sebenarnya tidak mengenali beliau. Saya memberitahu beliau cerita saya tentang 'Tragedi Gubir' tergantung kerana tidak mengetahui bagaimana 18 (bukannya 9) mereka yang 'tertinggal' selepas Ops Gubir (menawan kem pengganas komunis) selamat kembali ke Gubir. Menurut Lt (U) Murad, beliau tidak berkesempatan untuk mebawa keluar baki  18 warga komando tersebut disebabkan hari sudah gelap. Malah, ketika 'approach' ke lokasi itu, Nuri beliau telah ditembak. Penerbangan tersebut pada 1 Mei 1976, jam lebih kurang 1830. Mereka selamat mendarat di Gubir.

1 Mei 1976...Malam Pertama. Tinggallah 18 anggota komando yang diketuai oleh Lt M Aziz Rashid. Menurut beliau, dianggarkan sejumlah 60 pengganas komunis (PK) telah mengepung kawasan yang mereka berada. Lokasi ini ditanam dengan anak pokok getah. PK  datang menaiki lori dan menjadikan malam itu macam satu pesta...mungkin meraikan Hari  Pekerja agaknya...He...He...He. Keriangan PK jelas kelihatan kerana mereka (PK) mengguna lampu picit. Aziz memecahkan anggotanya kepada 3 kumpulan dan diarah menduduki 3 lokasi (lihat lakaran). Seorang sentri ditempatkan di antara lokasi 3 dan 1&2. Arahan beliau ialah mereka jangan menembak melainkan kehadiran PK sangat jelas. Ini kerana mereka kekurangan peluru. Malam itu besengkang mata mereka semua. Anehnya...PK tidak menyerang mereka! Beliau sempat menghubungi 'Z' skuadron yang beroperasi di kawasan Gubir untuk memaklumkan keadaan di lokasi. Beliau dimaklum Nuri tidak akan mengambil mereka keesokan hari kerana lokasinya tidak selamat. Seterusnya, beliau diarahkan untuk RV (rendezvous) dengan satu kumpulan komando yang ditugaskan untuk 'menyelamatkan' mereka di satu lokasi di kawasan Malaysia, berhampiran dengan satu LP.

2 Mei...Hari ke2.  Markas Taktikal di Gubir telah menghantar 2  Alouette 'gunships' ke lokasi Aziz pagi itu. Sebelum bateri set radio 'mati', mengenali pilot gunship, beliau telah mengarah Lt (U) Khalid Ali untuk '..hang bantai' kawasan tertentu. Apa lagi...Khalid pun habiskan kesemua lebih dari 200 butir 20mm HE. Setelah gunships beredar, Aziz dan anak buahnya meninggalkan lokasi tanpa sebarang sarapan kerana kehabisan makanan. Sudah pasti mereka tidak mengambil jalan mudah dengan mengikut 'track' yang sedia ada kerana kemungkinan besar sudah dipasang dengan jerangkap samar dan mungkin juga akan diserang hendap. Mereka bergerak berpandukan arah kompas. Dalam perjalanan, mereka terjumpa 'kem' PK yang ditinggal secara tergesa-gesa. Masih ada periuk, makanan, sebilah pisau dan dokumen yang disahkan  kepunyaan Ketua Pasukan Penyerang (Assault Force). Kemungkinan PK melarikan diri akibat tembakan gunships.

Sama seperti malam terdahulu, mereka sedar PK sentiasa mengekori mereka tetapi tidak menyerang atau  membuat serang hendap terhadap mereka. Bila malam menjelma, Aziz memerintahkan anggotanya membuat 'rumah batu' (membuat 'hammock'). Memang terkejut mereka mendengar arahan ini...dalam keadaan getir sebegini masih fikirkan keselesaan untuk tidur!  Ini kerana sebarang pergerakan ketika berada di atas hammock akan mengeluarkan bunyi. Sudah pasti keadaan ini memudahkan PK mengesan kedudukan mereka. Kebiasaannya, warga komando hanya tidur berhamparkan ponco atas tanah.

Ini hanya 'umpan'. Aziz meninggalkan 'Jungtel' (jungle hotel) ke lokasi di atas bukit berhampiran untuk mengatur serang hendap. Seperti terdahulu, arahan beliau jangan tembak melainkan kewujudan PK dipastikan. Menurutnya, PK akan pasang lampu picit yang diikat di penghujung kayu. Mereka (PK) akan menyuluh ke arah atas dengan andaian anggota komando akan makan umpan dan seterusnya akan menembak ke arah cahaya tersebut. Pada malam itu, memang seperti yang dijangkakan ...komando kita melihat cahaya ke arah 'atas'.  Alhamdulillah, mereka patuh pada arahan dan tidak termakan umpan  tersebut. Sekiranya tidak, PK akan dapat mengesan kedudukan serang hendap. Apa akan terjadi...Wallahualam!

3 Mei...Hari ke3. Menjelang pagi, Aziz dan anak buahnya turun ke Jungtel. Betul jangkaan Aziz...kem mereka telah dicerobohi oleh PK! Terdapat begitu banyak kesan tapak kaki di kawasan kem...dianggarkan lebih kurang 40 PK. Mereka meneruskan perjalanan menuju ke RV. Apabila tiba di sempadan Malaysia/Thailand, terdapat lakaran JS yang dilekat di batang 2-3 pokok. Mungkin untuk menakutkan wira-wira yang kelaparan ini. Bagi mengelak dari terkena JS, Aziz  mengarahkan tiga 'haversack' diikat dengan tali dan dilontar kearah yang akan dilalui. Kemudian haversack tersebut ditarik. Sekiranya terdapat JS, ianya akan meletup tetapi tidak akan mengena mereka. Ini diikuti pula sebatang kayu untuk 'prod' bagi menentukan laluan tersebut selamat.

Proses ini berterusan dan akhirnya mereka tiba di lokasi RV. Di sana, satu pasukan warga komando dari 'Y' skuadron yang diketuai oleh Lt M Rajasegaran sedia menunggu mereka...dengan makanan! Menurut Aziz, buat pertama kali beliau habis makan 1 'mess tin' nasi kerana terlalu lapar. Seterusnya, kesemua mereka bergerak ke LP. Wira-wira ini diterbangkan oleh Nuri dari LP ke Kem Gubir.

Aziz dimaklumkan pihak atasan sudah mengarahkan untuk menyediakan 18 keranda untuk mereka semua.  Beliau memohon cuti 3 hari dari Pegawai Memerintah, arwah Lt Kol Hasbullah, untuk berjumpa dengan ibu-bapanya.

3 comments:

  1. Alhamdulillah ayah saya selamat walaupun tangannya cacat kekal dan peluru menembusi dada tapi dia selamat kerana peluru tdk terkena pada organ penting..selalu dengar cerita dan pengalaman ayah saya tentang perang gubir

    ReplyDelete
    Replies
    1. sy berminat utk mengetahui lebih lanjut ttg cerita ini

      Delete
  2. Saya memang berminat mengikuti kesah perajurit kita yg gugur di tembak musuh khusus kwsn gubir dan lebuhraya timur barat.meski pun saya bekas anggota vat.69 komando pernah bertempur dgn pehak komunis.salam takziah buat wira-wira yg telah terkorban.

    ReplyDelete