Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang
YANG AWAL DAN YANG AKHIR

Tuesday, January 22, 2019

AF 134: PAHLAWAN GUBIR


PAHLAWAN GUBIR

Sukar untuk membayangkan, suatu ketika dahulu dalam tahun 1974, penulis masih berusia 15 tahun, berada dalam Tingkatan 3 (tahun untuk mengambil Peperiksaan SRP), satu kumpulan seramai  60  anggota tentera kita  dari Rejimen  Gerak Khas (RGK) atau KOMANDO telah bertempur  dengan 400 musuh (Pengganas Komunis) di dalam hutan berdekatan dengan sempadan Thailand (kira-kira 100km dari pekan Baling atau lebih 60km dari pekan Sik, Kedah). 


KAMPUNG GUBIR

Kampung Gubir (Poskod : 08210) adalah sebuah kampung di  tepian Tasik Gubir (juga dikenali sebagai dengan Tasik Muda) bersambung dengan Tasik Pedu di pendalaman daerah Sik, Kedah serta berhampiran dengan sempadan Malaysia-Thailand.  Tasik Muda merupakan punca aliran Sungai Muda (sungai terpanjang dan terbesar di negeri Kedah yang berakhir di Kota Kuala Muda.  Tasuik Gubir, Ahning dan Pedu di hulu Sungai Muda merupakan punca bekalan air untuk negeri Kedah dan Pulau Pinang.  Manakala hilir Sungai Muda merupakan sempadan rasmi antara negeri Kedah dan Pulau Pinang (Seberang Perai). Jarak Kg Gubir kira-kira 43km dari pekan Sik dan 70.7 km dari bandaraya Alor Setar. 

Jarak Kg Gubir dari Pekan Sik
 
 Jarak Kg Gubir dari Bandaraya Alor Setar

Tasik Gubir 

Tasik Gubir (juga dipanggil Tasik Muda dan juga Ulu Muda) diwartakan dalam tahun 1932 sebagai hutan simpan kekal seperti Tasik Pedu dan Danau Ahning. Tasik Gubir berkeluasan 105,000 hektar dikelilingi oleh Hutan Hujan Ulu Muda dan Hutan Simpan Pedu yang berusia 150-170 juta tahun.  Terdapat 3 tasik dan empangan di sini iaitu Muda (Gubir), Pedu dan Ahning.

Sebahagian dari Kg Gubir

Pangkalan Nelayan Darat Tasik Gubir

Empangan Gubir

https://ms.wikipedia.org/wiki/Kampung_Gubir

KEM GUBIR

s

s





Kem Gubir 1970an (aerial view) - ehsan blog Dr Nor Ibrahim

Kem Gubir 2010 (aerial view) - ehsan blog Dr Nor Ibrahim

https://xnuripilot.blogspot.com/2010/08/kem-gubir.html









OPERASI GUBIR 2
(20 April 1976 - 3 Mei 1976)


Operasi Gubir 2, dilancarkan pada 15 April 1976. Objektif utama operasi ini adalah untuk menawan kem latihan MNLA yang dipanggil Target Bravo[1], yang mempunyai rangkaian terowong bawah tanah di sempadan Malaysia-Thailand. Operasi itu dijalankan melalui serangan udara dengan langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan perangkap yang dipasang di sekitar kawasan itu. Tiga helikopter Nuri digunakan untuk memasukkan perintah dan merancang pengunduran mereka[2].

Pada 17 April, kawasan sasaran telah dibom dan ditembak dengan artileri dan sokongan udara sebelum serangan bermula. Walau bagaimanapun, semasa menghampiri Sasaran Bravo, armada helikopter telah diserang oleh pemberontak MNLA, memaksa misi itu dibatalkan. Serangan kedua pada 21 April 1976 menawan kem tanpa perlawanan, walaupun tiga komando cedera akibat perangkap dan terpaksa dipindahkan ke Alor Setar. [3][4][5]. Penembakan pesawat berhampiran Gubir adalah insiden pertama di mana gerila menembak jatuh sebuah pesawat semasa pemberontakan komunis di Malaysia sejak 1948[6]. Mokhtar Hashim, timbalan menteri pertahanan, juga merakamkan ucapan takziah kepada mangsa serangan itu[7].

Operasi Gubir 2 berakhir pada 1 Mei 1976 dengan kejayaan, apabila semua sasaran utama, terutamanya kem gerila MNLA, telah dinyahaktifkan dan dimusnahkan[8]. Lebih daripada 3,000 anggota tentera terlibat dalam operasi ini dan berjaya menawan tiga kem komunis di dalam hutan. Tentera terakhir yang ditempatkan di Gubir telah dipindahkan pada 3 Mei, menandakan berakhirnya operasi ini selepas 19 hari[9]. Namun begitu, keadaan di Gubir, yang masih menyaksikan hampir 300 pejuang gerila bersembunyi di dalam hutan, serta peningkatan keganasan dalam pemberontakan, adalah antara faktor yang mendorong kerajaan mengarahkan tambahan 30,000 anggota Tentera Laut Malaysia pada pertengahan 1976. [10] Baki helikopter Nuri terus berkhidmat kepada TUDM sehingga mereka bersara pada 2020-an[11].






Kesah 1:
Pengalaman OPS GUBIR 1976 Dihujani Peluru Komunis

Pengalaman berhadapan detik cemas ketika helikopter Nuri dinaiki ditembak komunis ketika terbabit dalam OPS GUBIR pada April 1976 masih tersemat di sanubari Sarjan (B) Haris bin Dan (berusia 69 tahun pada tahun 2018).

Sjn Haris yang ketika itu berusia 27 tahun tidak pernah sesekali dapat melupakan saat helikopter yang membawanya bersama anggota X Skuadron Rejimen Gerak Khas (RGK) dihujani peluru di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Menurut Haris, pasukan beliau telah berada di Gubir selama dua atau tiga minggu untuk melaksanakan tugas membersihkan kawasan berkenaan daripada ancaman komunis. Hari berkenaan (diserang komunis) adalah hari terakhir kami di sana sebelum pulang ke Kem Sungai Udang, Melaka. Segalanya berjalan lancar ketika helikopter mendarat untuk mengambil kami sebelum tiba-tiba ditembak ketika take off.

Artikel ini disiarkan di My METRO pada Selasa, 7 Ogos 2018 @ 11:33 AM

OPERASI GUBIR 2
(20 April 1976 - 3 Mei 1976)

Susulan kepada pertempuran dan serang hendap yang dilancarkan oleh pengganas komunis, Angkatan Tentera Malaysia mengambil keputusan untuk melancarkan serangbalas terhadap musuh disebuah kawasan yang disyaki kubu kuat mereka. Dianggarkan 400 anggota pengganas berkubu disitu berserta dengan 3,600 jerangkap samar yang telah dipasang sekitarnya.

Operasi dirancang berdasarkan maklumat SEP (Surrendered Enemy Personnel) yang dikenali sebagai Abdullah. Dia mengatakan yang dia telah dilatih disebuah kem di kawasan pergunungan berhanpiran sempadan Thai. Kem tersebut mampu menempatkan beberapa ratus pengganas komunis dan dilengkapi dengan generator elektrik dan juga mesin cetak. Bagaimanapun dia tidak dapat memastikan lokasi kem tersebut dengan tepat. Seorang pegawai tentera mengatakan dia pernah nampak kawasan kebun sayur seperti yang dikatakan oleh Abdullah dan mahu Abdullah mengikutnya untuk mengecam kawasan tersebut. Bagaimanapun Abdullah enggan kerana khuatir akan keselamatan dirinya. Setelah berbincang, mereka bersetuju untuk melakukan tinjauan dari udara.

Formasi yang terlibat adalah seperti berikut:

(1)   Markas 2 Divisyen Infantri (2 DIV) - Mej Jen Dato' Mahmood Sulaiman
(2)   Markas 6 Briged Infantri (2 BGD) - Brig Jen Dato' Arulparagasam
(3)   Rejimen Pertama Gerak Khas Malaysia (1 RGKM) - Lt Kol Hasbullah bin Yussof
(4)   Markas Jurutera 2 Divisyen (JUTRA 2 DIV) - Lt Kol Dicky Mei York Chee
(5)   No. 3 Skuadron Jurutera (3 SKN JUTRA 2 DIV) - Mej Akhbar Khan
(6)   Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) - kawasan operasi untuk No. 3 Skn (Nuri) yang berpangkalan di TUDM Butterworth)

Kekuatan Pasukan Penggempur - X Skuadron, 1 RGKM:

a. Ketua Skuadron - Kapt Sudirman Haji Ahmad
b. Ketua Terup - Lt Aziz Rashid & Lt Azizan
c. Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) - 57 orang

Kekuatan Detasmen Jurutera - Gabungan 1 dan 2 Terup, 3 Skuadron Jurutera

a. Ketua - Lt M Basri (23 Apr hingga 25 Apr 1976), diambilalih Lt M Mior Safian
b. LLP - 18 anggota

Tugasan Utama Jurutera - membantu pasukan komando RGKM

a. membina tempat mendarat helikopter
b. membersihkan jerangkap samar

Serangan Udara

Pada 16 April 1976, jet-jet CL-41G Tebuan dari No. 6 Skuadron dan F5E Tiger II dari No. 12 Skuadron TUDM telah terlibat dalam melakukan serangan udara. Sebahagian Tebuan dilengkapi dengan mini-gun dan roket, manakala sebahagian lagi membawa bom-bom 500 lbs. Helikopter Allouette bertindak sebagai Forward Air Controller (FAC) untuk menandakan sasaran.

Serangan pertama tidak memberi banyak kesan kerana kawasan hutan tebal cukup memberi perlindungan kepada sasaran. Bagaimanapun serangan bertubi-tubi itu akhirnya berjaya membuatkan sebahagian besar pengganas komunis berundur ke sempadan Thai melalui terowong khas yang telah mereka bina. Laporan yang diterima keesokkannya menunjukkan terdapat kesan-kesan darah dikawasan sasaran.

Pendaratan Pasukan Penggempur.

Percubaan pertama gagal kerana mereka diserang terlebih dahulu oleh penganas komunis. Percubaan kali ke-2 diiringi oleh helikopter gunship Allouette. Anggota-anggota komando Gerakhas (RGK) menggunakan 3 buah helikopter Nuri untuk masuk ke kawasan sasaran. Ini adalah satu-satunya cara 'insertion' kerana kawasan sekitar telah dipasang banyak jerangkap samar.

Helikopter ke-2 mula-mula menurunkan anggota, bagaimanapun teknik rapelling tidak dapat dilakukan kerana tali tersangkut di pokok. Kaedah winching (menggunakan kabel yang dijana mesin) kemudian digunakan. Bagaimanapun, kedatangan mereka disedari oleh pasukan musuh. Pengganas komunis menembak helikopter dengan pelancar grened M79 tetapi tersasar mengenai pokok.

Pertempuran berlangsung selama kira-kira setengan jam. Kedudukan tersebut akhirnya berjaya ditawan oleh RGKM tetapi memakan korban dengan 11 anggota RGK terbunuh, manakala 22 pengganas komunis dapat dibunuh. Mereka meneruskan pembersihan jerangkap samar dikawasan laluan dan menyediakan Landing Point (LP) untuk pendaratan anggota Jurutera yang akan meneruskan kerja-kerja memusnahkan jerangkap samar serta membuat penyiasatan dan kajian lanjut keatas terowong yang ditemui.

Dalam proses pengeledahan dan pembersihan 3 anggota cedera RGK telah tercedera terkena jerangkap samar, mereka ialah:

(1)   Sjn Ahmad Jantan - cedera parah di kaki
(2)   Truper Yaacob Hassan - cedera parah di kaki
(3)   Truper Hussin Mahbeb - cedera parah di tangan



Kesah 2:
Pengalaman Bertempur Dengan 400 Pengganas Komunis Di Gubir

Artikel tulisan Azian Abdul Aziz  ini disiarkan di Utusan Malaysia pada 02 April 2004.



Pengalaman getir ini diceritakan sendiri oleh seorang pesara ATM, Kapten Sudirman Ahmad, ketika bertugas dalam Rejimen Gerak Khas (RGK) atau komando dalam tahun 1974. Pengalaman menggempur kem pengganas komunis sebuah perkampungan kecil pengganas di sempadan Malaysia-Thailand itu masih segar dalam ingatan Sudirman. Beliau yang ketika itu berusia 23 tahun, dan tidak dapat melupakan detik-detik cemas bersama anggota-anggotanya yang terpaksa bertarung dengan maut untuk menghapuskan musuh negara.

Sudirman yang mengetuai satu Skuadron Gerak Khas bersama 60 anggota komando telah menerima arahan untuk melaksanakan operasi di Gubir (sebuah kem kecil kira-kira 43km dari pekan Sik) untuk menggempur dan memusnahkan sebuah kem pengganas komunis yang terbesar di kawasan sempadan yang dipercayai dihuni oleh 400 pengganas komunis.

Oleh kerana perkampungan tersebut dikawal ketat oleh pihak pengganas serta dipercayai dipasang dengan 3,600 jerangkap samar, kesemua anggota misi serangan telah dihantar menggunakan helikopter pada waktu malam.

Menurut Kapt Sudirman, segala-galanya berjalan lancar sehingga kedatangan mereka disedari pihak pengganas dan bermulalah pertempuran di antara kedua-dua pihak. Pertempuran selama hampir setengah jam antara kedua-dua belah pihak itu telah mengorbankan 11 anggota RGK. 'Bayangkanlah kekuatan anggota tentera hanya 60 orang berbanding musuh dengan kekuatan 400 orang.

Demi negara dan bangsa Malaysia, pasukan keselamatan tetap bertahan dan seramai 22 pengganas durjana berjaya ditewaskan. Berbekalkan semangat waja yang bersemarak dalam diri setiap anggota,  walaupun tidak menerima sebarang bantuan dan anggota tambahan, mereka untuk terus bertempur sehingga enam hari enam malam bagi melumpuhkan kekuatan musuh.

Pada hari berikutnya, sebuah helikopter Nuri TUDM bersama 11 anggota tentera termasuk dua orang anggota komando menyerang dari udara. Malangnya helikopter tersebut telah ditembah jatuh oleh mortar musuh dan kesemua kru udara serta penumpangnya telah terkorban.   Lanjutan dari peristiwa itu, pasukan RGK di bawah pimpinan Kapt Sudirman telah diarahkan berundur. Kem pengganas dimusnahkan dengan tembakan meriam daripada pasukan bantuan dari luar kem.

Walaupun diarah undur, pasukan RGK terpaksa bergerak ke hadapan kerana  tiada tempat yang selamat dan hampir kesemua kawasan di belakang mereka telah dipasang jerangkap samar. Kapt Sudirman sendiri tercedera akibat terkena tembakan dan hampir terkena jerangkap samar tetapi Allah melindungi beliau dan beliau selamat menyebelahinya dan beliau terselamat. Akhirnya kumpulan beliau sampai ke kawasan bukit dan berlindung di atas kawasan itu sehingga  bantuan tiba untuk mengambil mereka.

Pada sebelah malam katanya, sebuah helikopter datang untuk mengeluarkan mereka dari kem tersebut dengan melakukan 14 penerbangan ulang-alik.

Tetapi katanya, 15 orang anggotanya terpaksa bertahan di atas bukit kerana pihak pengganas telah mengetahui kedatangan bantuan udara itu dan mereka terpaksa menghentikan penerbangan kerana kawasan bukit telah dikepung.

Kesemua 15 anggotanya terpaksa berundur dan melarikan diri menuju hutan dan sesat selama dua hari di situ. ''Sepanjang dua hari itu, mereka telah bertembung dan bertempur dengan pengganas beberapa kali, sebelum diberi bantuan keluar dari hutan berkenaan.

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0402&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_05.htm#ixzz5dRbw7p6x
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Related image



Pembersihan Dalam Terowong

Pembersihan didalam terowong diteruskan pada 25 April 1976. Laluan dalam terowong yang telah dibersihkan dari jerangkap samar akan diletupkan. Tugas ini dilaksanakan oleh Terup 1 dan Terup 2 dari 3 Skuadron Jurutera. Ketika didalam terowong, team yang diketuai oleh Lt Meor telah berada jauh dihadapan. Lt. M Basri dengan ditemani L/Kpl Abdullah pula menuruni 31 anak tangga didalam terowong tersebut. Mereka menggunakan lampu suluh kerana suasana didalam terowong itu agak gelap. Ketika itu Lt M Basri terlihat satu guni beras yang diletakkan disebelah kiri laluan dan mengesyaki terdapat jerangkap samar disitu. Beliau mengarahkan anggota-anggota lain mengikuti rapat disebelah kanan.

Sebaik saja Lt. Muda Basri melangkah kakinya ke kanan, tiba-tiba berlaku satu letupan kuat. Dia rebah dan senjata yang dibawanya terpelanting. Dia telah mengalami kecederaan dipunggung. Ketika itu juga L/Kpl Abdullah menjerit memberitahu bahawa dia tercedera didada. Sememangnya jerangkap samar itu dipasang pada ketinggian yang menjadikan jantung sebagai sasaran. Beliau diusung naik keluar dari terowong dalam keadaan parah dan setibanya di permukaan, beliau menghembuskan nafas terakhir.

Lt Kol (B) Hj Basri bin Hj Omar PGB telah kembali ke Rahmatullah pada hari Isnin 24hb Disember 2018 bersamaan 16 Rabiulakhir 1440H dan jasadnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Tentera Islam Kem Sg Besi.

  Image result for lt kol basri pgb meninggal dunia

Tragedi Nuri Ditembak Jatuh - 26 April 1976

Sebuah helikopter Nuri yang membawa bekalan peluru, bahan letupan (untuk memusnahkan terowong) dan juga 11 penumpang serta krew telah ditembak jatuh oleh pengganas komunis. Berikut adalah senarai mangsa yang terkorban didalam tragedi itu:

(1)   Kapt (U) Choo Yeok Boo PGB, No. 7 Skuadron (Kapten Pesawat)

(2)   Lt (U) Chung Ming Teck PTU, No. 10 Skuadron, Kapten Pesawat
(3)   Kapt (U) Mustapha Kamal bin Mohamad Shafie KPK, No. 7 Skuadron (Co-pilot)
(4)   Lt (U) Wan Munsiff bin Wan Salim KPK, No. 10 Skuadron (Co-pilot)  
(5)   Sjn Leong Yee Heng PTU, No. 10 Skuadron, AQM
(6)   Mej Haris bin Rejab, MMLO Haadyai
(7)   Kapt Sulaiman bin Abdullah, Markas 6 Briged Infantri
(8)   Lt Ibrahim bin Zakaria, Batalion ke-3 RAMD
(9)   Sjn Kamis bin Dolmat, Batalion ke-3 RAMD
(10) L/Kpl Kamarulzaman bin Zakaria, X Skuadron Rejimen Gerakhas (RGK)
(11) L/Kpl Suandi bin Saim, X Skuadron RGK



terkorban

Pada 27 April 1976, elemen Jurutera dan sebahagian anggota komando dikeluarkan dari kubu pengganas tersebut setelah berjaya memusnahkan terowong dan bunker. Mereka bergerak menuju ke "extraction point". Helikopter melakukan bebrapa penerbangan ulang-alik sehinggalah ia disedari oleh sepasukan pengganas komunis. Penerbangan terpaksa dihentikan, baki 18 anggota komando RGK terpaksa ditinggalkan dan mereka diarah melakukan RV (rendezvous) disatu kawasan berhampiran LP (landing point) dimana sepasukan komando akan menanti ketibaan mereka untuk dibawa keluar.

1 Mei 1976

Kumpulan 18 anggota komando itu diketuai oleh Lt M Aziz Rashid (bersara Lt. Kol). Dianggarkan terdapat seramai 60 pengganas komunis mengepung lokasi mereka. Kawasan ini ditanam dengan anak pokok getah. Pengganas komunis datang dengan menaiki lori. Lt M Aziz memecahkan anggotanya kedalam 3 kumpulan. Mereka diingatkan tidak menembak musuh kecuali kehadiran mereka sangat jelas kerana hendak menjimatkan peluru. Anehnya, mereka tidak diserang pada malam itu. Beliau sempat menghubungi Z Skuadron dan dia dimaklumkan helikopter Nuri tidak dapat mengambil mereka kerana lokasi didapati tidak selamat. Seterusnya, beliau diarahkan untuk RV dengan sepasukan komando yang telah ditugaskan untuk menyelamatkan mereka.

2 Mei 1976

Markas Taktikal di Gubir telah menghantar 2 x helikopter Allouette (gunship) ke lokasi yang dilaporkan oleh Lt M Aziz. Beliau telah mengarahkan Alouette tersebut menembak kekawasan tertentu yang dipercayai ada pengganas komunis. Setiap helikopter mneghamburkan 200 butir peluru meriam 20 mm HE (High Explosive). Lt. M Aziz dan anggotanya bergerak keluar tetapi tidak mengikut "track" yang sedia ada, dikhuatiri ianya telah dipasang jerangkap samar. Dalam perjalanan, mereka menemuai sebuah kem pengganas komunis yang telah ditinggalkan secara tergesa-gesa mungkin menyelamatkan diri dari serangan helikopter Allouette tadi.

Menyedari yang musuh akan terus memburu mereka, menjelang malam, Lt. M Aziz mengarahkan anggotanya membuat "rumah batu" (hammock juga digelar Jungle Hotel - Jungtel). Ini bukan kebiasaan bagi anggota komando kerana mereka biasanya tidur berhamparkan ponco diatas tanah. Rupanya ini adalah umpan untuk mengelirukan pasukan musuh. Mereka bergerak meninggalkan lokasi itu dan menuju ke kawasan tinggi untuk membuat serang hendap.Seperti malam sebelumnya, arahan jangan menembak kecuali kehadiran musuh jelas. Selain itu anggota diingatkan kemungkinan pangganas komunis akan memasang lampu suluh pada hujung kayu panjang dan menyuluh kearah atas untuk mensasarkan tembakan. Sebagaimana yang dijangkakan, memang benar musuh meghampiri kawasan khemah (Jungtel) mereka kerana kelihatan cahaya lampu suluh menghala keatas.

3 Mei 1976

Menjelang pagi mereka turun semula ke Jungtel dan mendapati banyak kesan tapak kaki disitu, dianggarkan kira-kira 40 pengganas komunis telah menggelidah kawasan itu. Mereka meneruskan perjalan ke RV dan apabila tiba dikawasan sempadan Malaysia-Thai terdapat tanda lakaran jerangkap samar yang dilekatkan pada 2-3 batang pokok. Memang pengganas komunis akan meninggalkan tanda jika sesuatu kawasan itu telah dipasang jerangkap samar supaya kawan-kawan mereka akan menghindari kawasan tersebut.

Bagi mengelak dari terkena jerangkap samar, mereka mengikat 3 beg galas (haversack) dengan tali dan melontar kearah laluan dihadapan. Kemudian tali akan ditarik perlahan-lahan, sekiranya ada jerangkap samar yang meletup, itu tidak akan memudaratkan mereka kerana mereka berada dalam jarak yang selamat. Proses ini diulang sehinggalah mereka selamat tiba di kawasan RV. Sepasukan komando RGK dari Y Skuadron yang diketuai oleh Lt. M Rajasegaran telah menanti mereka. Inilah kali pertama dalam beberapa hari mereka berpeluang bertemu makanan! Seterusnya mereka bergerak menuju ke LP dan diterbangkan oleh helikopter Nuri ke Kem Gubir. Ketika disana, Lt. M Aziz telah dimaklumkan pihak atasan telah menyediakan 18 keranda seandainya mereka tidak dapat kembali dengan selamat.

kem gubir

 ops  

Artikel ini ditulis oleh Mej Dr Haji Noor Ibrahim bin Sulaiman TUDM (Bersara) dalam blognya “Jottings of Ex Nuripilot” pada Rabu, 25 Ogos 2010

Tragedi 26 April 1976...Selamat Pulang
dari blog; xnuri pilot (Mej Dr Nor Ibrahim TUDM (Bersara).

Saya terbaca satu artikel dalam kolum 'Perajurit', Utusan Malaysia bertarikh 12 Oktober 2002 melalui satu 'forum'. Ianya mengisahkan bagaimana sekumpulan 9 warga komando  yang dapat memboloskan diri dari kepungan sejumlah 300 pengganas komunis.  Kejadian berlaku pada April 1976 ketika Ops Gubir. Saya memang teruja untuk menyiarkan artikel tersebut. Kalah cerita 'Rambo'!Tetapi sebelum itu, saya perlu memastikan kesahihannya.

Saya dicadangkan untuk menghubungi Lt Kol Aziz Rashid (B) (gambar) untuk mendapatkan kepastian cerita tersebut. Setelah beberapa bulan mencuba, akhirnya, pada 23 Ogos 2010 jam 2130, saya telah bertemu dengan beliau di Hotel Samila, Alor Setar. Saya sebenarnya tidak mengenali beliau. Saya memberitahu beliau cerita saya tentang 'Tragedi Gubir' tergantung kerana tidak mengetahui bagaimana 18 (bukannya 9) mereka yang 'tertinggal' selepas Ops Gubir (menawan kem pengganas komunis) selamat kembali ke Gubir. Menurut Lt (U) Murad, beliau tidak berkesempatan untuk mebawa keluar baki  18 warga komando tersebut disebabkan hari sudah gelap. Malah, ketika 'approach' ke lokasi itu, Nuri beliau telah ditembak. Penerbangan tersebut pada 1 Mei 1976, jam lebih kurang 1830. Mereka selamat mendarat di Gubir.

1 Mei 1976...Malam Pertama. Tinggallah 18 anggota komando yang diketuai oleh Lt M Aziz Rashid. Menurut beliau, dianggarkan sejumlah 60 pengganas komunis (PK) telah mengepung kawasan yang mereka berada. Lokasi ini ditanam dengan anak pokok getah. PK  datang menaiki lori dan menjadikan malam itu macam satu pesta...mungkin meraikan Hari  Pekerja agaknya...He...He...He. Keriangan PK jelas kelihatan kerana mereka (PK) mengguna lampu picit. Aziz memecahkan anggotanya kepada 3 kumpulan dan diarah menduduki 3 lokasi (lihat lakaran). Seorang sentri ditempatkan di antara lokasi 3 dan 1&2. Arahan beliau ialah mereka jangan menembak melainkan kehadiran PK sangat jelas. Ini kerana mereka kekurangan peluru. Malam itu besengkang mata mereka semua. Anehnya...PK tidak menyerang mereka! Beliau sempat menghubungi 'Z' skuadron yang beroperasi di kawasan Gubir untuk memaklumkan keadaan di lokasi. Beliau dimaklum Nuri tidak akan mengambil mereka keesokan hari kerana lokasinya tidak selamat. Seterusnya, beliau diarahkan untuk RV (rendezvous) dengan satu kumpulan komando yang ditugaskan untuk 'menyelamatkan' mereka di satu lokasi di kawasan Malaysia, berhampiran dengan satu LP.

2 Mei...Hari ke2.  Markas Taktikal di Gubir telah menghantar 2  Alouette 'gunships' ke lokasi Aziz pagi itu. Sebelum bateri set radio 'mati', mengenali pilot gunship, beliau telah mengarah Lt (U) Khalid Ali untuk '..hang bantai' kawasan tertentu. Apa lagi...Khalid pun habiskan kesemua lebih dari 200 butir 20mm HE. Setelah gunships beredar, Aziz dan anak buahnya meninggalkan lokasi tanpa sebarang sarapan kerana kehabisan makanan. Sudah pasti mereka tidak mengambil jalan mudah dengan mengikut 'track' yang sedia ada kerana kemungkinan besar sudah dipasang dengan jerangkap samar dan mungkin juga akan diserang hendap. Mereka bergerak berpandukan arah kompas. Dalam perjalanan, mereka terjumpa 'kem' PK yang ditinggal secara tergesa-gesa. Masih ada periuk, makanan, sebilah pisau dan dokumen yang disahkan  kepunyaan Ketua Pasukan Penyerang (Assault Force). Kemungkinan PK melarikan diri akibat tembakan gunships.

Sama seperti malam terdahulu, mereka sedar PK sentiasa mengekori mereka tetapi tidak menyerang atau  membuat serang hendap terhadap mereka. Bila malam menjelma, Aziz memerintahkan anggotanya membuat 'rumah batu' (membuat 'hammock'). Memang terkejut mereka mendengar arahan ini...dalam keadaan getir sebegini masih fikirkan keselesaan untuk tidur!  Ini kerana sebarang pergerakan ketika berada di atas hammock akan mengeluarkan bunyi. Sudah pasti keadaan ini memudahkan PK mengesan kedudukan mereka. Kebiasaannya, warga komando hanya tidur berhamparkan ponco atas tanah.

Ini hanya 'umpan'. Aziz meninggalkan 'Jungtel' (jungle hotel) ke lokasi di atas bukit berhampiran untuk mengatur serang hendap. Seperti terdahulu, arahan beliau jangan tembak melainkan kewujudan PK dipastikan. Menurutnya, PK akan pasang lampu picit yang diikat di penghujung kayu. Mereka (PK) akan menyuluh ke arah atas dengan andaian anggota komando akan makan umpan dan seterusnya akan menembak ke arah cahaya tersebut. Pada malam itu, memang seperti yang dijangkakan ...komando kita melihat cahaya ke arah 'atas'.  Alhamdulillah, mereka patuh pada arahan dan tidak termakan umpan  tersebut. Sekiranya tidak, PK akan dapat mengesan kedudukan serang hendap. Apa akan terjadi...Wallahualam!

3 Mei...Hari ke3. Menjelang pagi, Aziz dan anak buahnya turun ke Jungtel. Betul jangkaan Aziz...kem mereka telah dicerobohi oleh PK! Terdapat begitu banyak kesan tapak kaki di kawasan kem...dianggarkan lebih kurang 40 PK. Mereka meneruskan perjalanan menuju ke RV. Apabila tiba di sempadan Malaysia/Thailand, terdapat lakaran JS yang dilekat di batang 2-3 pokok. Mungkin untuk menakutkan wira-wira yang kelaparan ini. Bagi mengelak dari terkena JS, Aziz  mengarahkan tiga 'haversack' diikat dengan tali dan dilontar kearah yang akan dilalui. Kemudian haversack tersebut ditarik. Sekiranya terdapat JS, ianya akan meletup tetapi tidak akan mengena mereka. Ini diikuti pula sebatang kayu untuk 'prod' bagi menentukan laluan tersebut selamat.

Proses ini berterusan dan akhirnya mereka tiba di lokasi RV. Di sana, satu pasukan warga komando dari 'Y' skuadron yang diketuai oleh Lt M Rajasegaran sedia menunggu mereka...dengan makanan! Menurut Aziz, buat pertama kali beliau habis makan 1 'mess tin' nasi kerana terlalu lapar. Seterusnya, kesemua mereka bergerak ke LP. Wira-wira ini diterbangkan oleh Nuri dari LP ke Kem Gubir.

Aziz dimaklumkan pihak atasan sudah mengarahkan untuk menyediakan 18 keranda untuk mereka semua.  Beliau memohon cuti 3 hari dari Pegawai Memerintah, arwah Lt Kol Hasbullah, untuk berjumpa dengan ibu-bapanya.


DALAM PROSES KEMAS KINI
(10/1/2026)


https://www.sinarharian.com.my/article/753049/berita/semasa/11-perwira-gugur-dalam-op-gubir-ii

WIRA DAN MISI - Lt. Kol. Basri bin Haji Omar PGB (Bersara)

Beliau dilahirkan pada 22 Mei 1952 di Merbok Kedah mendapat pendidikan awal di negeri Kedah dan bersekolah menengah di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh pada tahun 1970 sebelum melanjutkan pelajaran ke Royal Military College (RMC/ Maktab Tentera Diraja) dan seterusnya ditauliahkan di dalam perkhidmatan ATM pada 14 April 1972 sebagai Pegawai Kejuruteraan di dalam Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan seterusnya mendalami bidang kejuruteraan di Pune, India pada tahun 1981.

Selaku pegawai Askar Jurutera, beliau banyak terbabit di dalam operasi melibatkan penanaman, pembersihan dan pemusnahan bom dan jerangkap samar. Pernah pada musim hujan bulan November dan Disember 1975, beliau dan pasukannya berhadapan cabaran mencabar terlibat di dalam projek penanaman jerangkap samar di perbatasan Malaysia Thai iaitu sepanjang 5 km tanpa henti dalam suasana hujan lebat yang berterusan.

Satu peristiwa yang tidak boleh dilupakan beliau ialah semasa beliau mengetuai Pasukan Jurutera membersihkan jerangkap samar di dalam sebuah terowong yang ditinggalkan oleh pengganas komunis setelah diasak oleh Pasukan Komando Tentera Darat (TD) di sempadan Malaysia-Thai iaitu dalam kawasan Gubir dalam negeri Kedah ( Op Gubir 2). Tindakan itu telah diputuskan kerana sebelum itu, ramai anggota pasukan keselamatan telah menjadi mangsa jerangkap samar dan menyebabkan kecederaan parah atau kematian. Oleh itu, Dato Mahmud, Panglima 2 Divisyen pada masa itu mahukan supaya tempat persembunyian pengganas komunis pula diserang setelah informasi diperolehi daripada anggota musuh yang menyerah diri berkenaan kewujudan satu sistem terowong bawah tanah yg digunakan oleh musuh secara aktif.

Gerakan ini tidak melibatkan askar Infantri biasa, sebaliknya, Pasukan Khas (Komando) telah diaturgerakkan. Pergerakan dari kem Gubir ke kawasan operasi adalah dengan menggunakan helikopter NURI dan mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk ke kawasan sempadan. Kesemua anggota terlibat didaratkan dengan kaedah rapelling dan winching kerana kawasan itu tdak mempunyai tempat pendaratan heli (Landing pad). Komando yang terlibat adalah seramai lebih kurang 60 orang dan Tim Jurutera diaturgerakkan sebagai pembantu untuk membersih jerangkap samar dan membuat landing pad untuk pendaratan heli.

Pada 20 Apr 1976, hanya Lt. M. Meor dan pasukannya saja yang masuk bersama Komando dengan menggunakan 5 buah NURI untuk menyerang namun cubaan pertama kemasukan gagal kerana mereka terlebih dahulu diserang oleh pengganas komunis. Percubaan kedua berjaya kerana NURI diiringi oleh pesawat Allouette yang bertindak sebagai gunships. Semasa proses winching down, pengganas komunis telah memberikan reaksi agresif dari bawah menyebabkan anggota Komando yang turun terpaksa bertempiaran mencari perlindungan untuk bertindak balas. Semasa pihak Komando memberikan tentangan, tiba-tiba saja musuh didapati ‘hilang’.

Pada masa itu lah Sjn. Mat Jantan telah terpijak jerangkap samar dan putus kaki , diikuti Sjn. Husin . Selepas itu Tim Jurutera pula didaratkan untuk membuat pembersihan dan lain-lain tugas yang berkaitan. Lt. M. Mior membuat anggaran bahawa di kawasan itu, terdapat lebih kurang 3,600 jerangkap samar yang tertanam. Oleh kerana jerangkap samar terlalu banyak, Tim Jurutera terpaksa membuat lorong selamat terlebih dahulu untuk membolehkan askar berjalan dan tidur/berehat dengan selamat. Makanan dihantar dari Kem Gubir melalui udara, cuma minuman sahaja yang dibawa oleh setiap individu yang terlibat.

Peristiwa itu bermula pada 22 Apr 1976, di mana Lt. M. Basri tiba di Kem Gubir dari Kem Sangro, Taiping. Pada 23 Apr, beliau telah digerakkan dengan helikopter ke kawasan operasi. Pada petang 24 Apr, mereka telah berjaya memperolehi satu peta yang menunjukkan satu sistem terowong di bawah kem pengganas tersebut. Ini telah menjawab persoalan bagaimana pengganas ‘hilang’ dengan tiba-tiba semasa bertempur dengan Komando pada hari pertama. Difahamkan bahawa terowong tersebut bersambung terus ke negara Thailand. Penemuan sistem terowong yang agak sistematik binaannya itu merupakan penemuan pertama dalam sejarah Tentera Darat Malaysia. Maka, menjadi satu tugas bagi Tim Jurutera untuk membuat penyiasatan dan kajian lanjut ke atas struktur tersebut.

Pada hari pertama proses pembersihan, semuanya berjalan lancar dan pada hari kedua, selaku ketua tim, Lt. M. Basri ingin melihat sendiri bagaimana anak-anak buahnya sedang membuat pembersihan jerangkap samar. Tim Jurutera kedua yang diketuai oleh Lt. Meor pula berada jauh di bahagian hadapan.

Dengan ditemani oleh L/Kpl Abdullah, mereka menuruni 31 anak tangga di dalam terowong tersebut. Ketika itu, Lt. M. Basri ttelah terlihat satu guni beras yang dilipat dan diletakkan di sebelah kiri. Terdetik di hatinya mengesyaki kemungkinan di situ ada suis jerangkap samar yang jika dipijak, pasti akan menghasilkan letupan. Lalu, beliau telah memberi arahan supaya L/Kpl. Abdullah dan yang lain-lain mengikuti rapat di sebelah kanan. Dalam suasana gelap di tempat itu mereka terpaksa menggunakan lampu suluh untuk bergerak.

Sebaik saja Lt. M. Basri melangkah kaki ke sebelah kanan, tiba-tiba satu letupan kuat berlaku. Ia telah mengakibatkan beliau rebah dan senjata yang dibawanya juga terpelanting. Ketika itu, kedengaran suara L/Kpl Abdullah menjerit mengatakan bahawa dia sudah terkena jerangkap samar. Lt. M. Basri mengalami kecederaan di bahagian punggung. Walaupun kelihatan tidak begitu serius, kesakitannya telah membuatkan beliau terpaksa diberi suntikan morfin, manakala pakaiannya koyak rabak dimamah serpihan bahan letupan jerangkap samar.

L/Kpl. Abdullah pula mengalami kederaan parah di bahagian dada. Sememangnya pemasangan jerangkap samar dibuat sebegitu untuk mendapat impak maksima dengan mensasarkan organ penting manusia. Beliau diusung naik keluar dari terowong dalam keadaan parah. Meski cuba diselamatkan, setiba di permukaan, beliau menghembuskan nafas terakhir.

Menurut Lt. Kol. Basri, Allahyarham Abdullah adalah seorang anggota yang baik, patuh kepada perintah dan komited dalam tugas. Apa yang sangat menyedihkan ialah semasa pemergian beliau, isterinya sedang mengandung. Jenazah L/Kpl. Abdullah telah dibawa ke Taiping untuk diuruskan sebelum dibawa ke kampung halamannya di Melaka.

Dalam peristiwa lain, pada 22 Apr 1976 Tpr. Yaacob dari unit Komando GGK telah terkena jerangkap samar dan putus kakinya. Secara kebetulan, Tpr. Yaacob merupakan rakan sedarjah Lt.M. Basri semasa bersekolah di Kedah. Beliau telah di wadkan di hospital Alor Setar. Pak Omar, bapa kepada Lt.M. Basri mendapat kejutan besar apabila datang melawat Yaacob bersama bapanya Pak Hasan. Tidak disangkanya, anaknya juga turut tercedera sama dan diwadkan di situ juga.

Di Hospital Alor Setar, pada 25 Apr, Lt.M. Basri telah dikunjungi oleh Mej. Haris Rejab - pegawai TD yang bertugas di RBCO Songkhla semasa beliau dalam perjalanan balik ke Sungai Petani. Sungguh mengejutkan apabila surat khabar keluaran 27 dan 28 Apr melaporkan tentang NURI kemalangan di kawasan operasi Gubir ditembak Komunis. Mej. Haris adalah antara krew dan penumpang yang telah terkorban. Seorang lagi adalah Lt. Wan Munsif – yang merupakan seorang Pegawai Jurutera yang telah mengambil alih projek Lt.M. Basri di Kelantan, dan selepas itu telah beralih angin menjadi seorang juruterbang TUDM

https://ulksniper.wixsite.com/wra-tacticalist/single-post/2016/12/21/wira-dan-misi-lt-kol-basri-bin-haji-omar-pgb-bersara#:.

11 perwira gugur dalam Op Gubir II

Koperal (B) Jonathan kongsi pengalaman diserang hendap komunis di Bukit Gubir

Pengalaman Ops Gubir II masih segar dalam ingatan Jonathan Julian apabila rakan seperjuangannya meninggal dunia apabila helikopter dinaiki mereka ditembak musuh semasa Ops Gubir II.
Pengalaman Ops Gubir II masih segar dalam ingatan Jonathan Julian apabila rakan seperjuangannya meninggal dunia apabila helikopter dinaiki mereka ditembak musuh semasa Ops Gubir II.

SHAH ALAM - “Peluru datang dari setiap arah hingga ramai cedera semasa bertempur dengan komunis. Ada yang putus kaki dan tangan kerana jerangkap samar.”

Itu gambaran Koperal (B) Jonathan Julin Bandong, 70, ketika mengimbau pengalaman diserang pengganas komunis dalam Op Gubir II di Bukit Gubir, Kedah pada 1976.

Bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berkata, serangan di kem komunis terbesar di sempadan Malaysia - Thailand itu bermula setelah beliau pulang dari operasi serang hendap di Ipoh, Perak.

“Masa itu, saya sedang bercuti di Melaka sebelum diminta segera pulang ke Kem Sungai Udang.

“Sampai di kem, kelihatan sebahagian anggota X-Ray Skuadron telah berbaris di depan pejabat skuadron serta bersedia menaiki trak.

“Selepas siap berkemas dan membawa kelengkapan, kami menaiki trak menuju ke Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka, di mana sebuah pesawat menunggu untuk berlepas ke Kedah,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Jonathan Julian (kanan) bersama rakan sepasukan .
Jonathan Julian (kanan) bersama rakan sepasukan .

Menurutnya, ketika tiba di lapangan terbang di Kedah, mereka segera menuju ke kem Gubir sebelum berkumpul untuk mendengar taklimat.


    “Taklimat itu berdasarkan maklumat daripada salah seorang anggota komunis yang menyerah diri semasa Op Gubir I.

    “Kami dimaklumkan kira-kira 400 askar komunis berada di kem tersebut. Seramai 36 anggota X Skuadron diminta untuk mencari, menyerang, membunuh musuh dan menawan kem komunis itu.

    “Tanpa berfikir panjang, saya bersama seorang kawan berasal dari Sarawak, Wilfred Chulan mendaftarkan diri menyertai Op Gubir II,” katanya.

    Jonathan berkata, kawasan Bukit Gubir itu telah dikepung oleh batalion dari Rejimen Renjer Diraja, Rejimen Askar Melayu Diraja serta anggota komando dari Zulu Skuadron.

    Menurut bapa kepada tiga anak itu, selepas sarapan pada 24 April 1976, beliau bersama rakan sepasukan yang diketuai Leftenan Aziz menaiki tiga helikopter Nuri pergi ke kem komunis.

    “Sejurus selesai kami mendarat serentak di tiga lokasi berasingan, tiba-tiba saya terdengar beberapa dentuman kuat.

    “Ketika saya mencari perlindungan, kami dihujani peluru musuh, kami kemudian berbalas tembakan serta membaling bom tangan ke arah komunis,” katanya.

    Ujar Jonathan, pihaknya dimaklumkan tiga anggota tentera iaitu Sarjan Ahmad Jantan, Truper Yaacob Hassan dan Truper Hussin Mahbeb cedera parah akibat jerangkap samar.

    “Beberapa helikopter Nuri cuba menghampiri kem komunis itu bagi menghantar pasukan komando untuk membantu kami, namun gagal disebabkan tembakan daripada pihak musuh,” katanya.

    Geledah terowong musuh

    Bercerita lanjut, kata beliau, sekumpulan tentera daripada Skuadron Jurutera diketuai oleh Leftenan Muda Basri dan dibantu oleh anggota komando diarahkan menggeledah terowong yang dibuat musuh di kaki Bukit Gubir, pada keesokan hari.

    “Difahamkan terowong itu ada beberapa bilik seperti pejabat serta klinik kesihatan, seorang anggota tentera menjumpai guni yang disusun rapi.

    “Tiba-tiba berlaku satu letupan kuat.. seorang anggota tentera berpangkat koperal meninggal di tempat kejadian, manakala Basri tercedera. Selepas mayat dibawa keluar dari terowong, operasi penggeledahan dihentikan serta-merta,” ujarnya.

    Beliau berkata, sebuah helikopter Nuri yang membawa bekalan peluru, bahan letupan untuk memusnahkan terowong dan juga 11 penumpang serta krew telah ditembak jatuh oleh komunis pada 26 April 1976.

    “Dua rakan sepasukan X-Ray Skuadron, Lans Koperal Kamarulzaman Zakaria dan Lans Koperal Suandi Saim yang menaiki helikopter tersebut turut terkorban,” katanya.

    Kata anak jati Sarawak itu, beliau bersama rakan sepasukan terpaksa menyelinap masuk ke Thailand disebabkan helikopter tidak dapat mendarat di Malaysia.

    “Kami kemudian dikepung oleh komunis, sehingga patah balik ke Malaysia dibantu oleh pasukan komando dari Y dan Z Skuadron balik ke kem Gubir.

    “Baki 18 anggota komando terpaksa ditinggalkan dan mereka diarah melakukan RV (rendezvous) di satu kawasan berhampiran LP (landing point),” katanya.

    Minat jadi askar

    Mengimbas detik awal pembabitannya dalam pasukan ATM, anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, minat terhadap dunia ketenteraan sejak remaja dan pengalaman melihat kampungnya diganggu pengganas komunis menjadi pendorong untuk menyertai pasukan keselamatan itu.

    “Saya menjalani latihan asas di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 2 Februari 1974, sebelum mengikuti Kursus Komando di Kem Sungai Udang, Melaka.

    “Sepanjang 10 tahun perkhidmatan, saya terlibat dalam pelbagai operasi termasuk Op Jala, Op Gonzales dan Op Daoyai Musnah,” katanya yang menamatkan perkhidmatan pada 1 Februari 1984.

    Jonathan yang memiliki ijazah dalam bidang kejuruteraan berkata, beliau kemudian bekerja dengan sebuah syarikat minyak dan gas serta Kementerian Kesihatan Malaysia.

    “Saya mengakui rasa terkilan apabila pengorbanan kami seolah-olah dilupakan. Ramai kawan yang gugur dan cedera diberi penghargaan, tetapi kami yang masih hidup jarang dipeduli,” katanya.

    Beliau juga berharap anggota tentera baharu berkhidmat dengan jujur dan ikhlas kepada negara.


    Jonathan.

    Biodata

    Nama: Jonathan Julin Bandong

    Status: Berkahwin

    Anak: 3 orang

    Tarikh lahir: 1 Januari 1956

    Berasal: Mukah, Sarawak

    Tarikh masuk ATM: 2 Februari 1974

    Tarikh tamat perkhidmatan: 1 Februari 1984

    Tempoh perkhidmatan dalam ATM: 10 tahun

    Pangkat: Koperal

    Ringkasan AI

    • Koperal (B) Jonathan Julin Bandong mengimbau pengalaman bertempur dengan pengganas komunis di Bukit Gubir, Kedah pada 1976
    • Serangan terhadap kem komunis bermula selepas Jonathan pulang dari operasi di Ipoh, dimana beliau dan pasukannya diarahkan menyerang kem tersebut
    • Beliau bersama 35 anggota lain diberikan taklimat berdasarkan maklumat dari anggota komunis yang menyerah diri semasa Op Gubir I
    • Kawasan tersebut telah dikepung oleh batalion dari Rejimen Renjer Diraja, Rejimen Askar Melayu Diraja dan anggota komando dari Zulu Skuadron sebelum serangan
    • Jonathan dan pasukannya mengalami perlawanan hebat serta menghadapi jerangkap samar yang menyebabkan cedera parah kepada beberapa anggota tentera