Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang
YANG AWAL DAN YANG AKHIR

Monday, August 28, 2017

AF111 ABDUL RAHMAN RAIS: JENERAL BERHATI LUHUR




JENERAL BERHATI LUHUR
ALMARHUM BRIG JEN HAJI ABDUL RAHMAN BIN MOHD RAIS TUDM


Almarhum Brigedier Jeneral Haji Abdul Rahman bin Mohd Rais adalah Assisten Ketua Staf Materiel yang ke 6 sejak jawatan tersebut diwujudkan pada tahun 1980. Semasa jawatan ini diwujudkan, ia dinamakan Assisten Panglima Tentera Udara (APTU) Bekalan dan Wang atau ASBEK. Pada tahun 1990 ia ditukar menjadi APTU Materiel dan pada tahun 1999 jawatan ini dijenamakan sebagai Assisten Ketua Staf Materiel.

Ketika memakai uniform tentera Brig Jen Abdul Rahman menggunakan name tag "ABDUL RAHMAN". Manakala dalam surat menyurat rasmi, beliau menggunakan nama "ABDUL RAHMAN RAIS".

Kerana sifat kebapaannya, di belakang beliau pegawai-pegawai Material memanggilnya dengan nama mesra "Pak Rahman" (bunyinya Pak Raman). Mungkin kerana beliau merupakan graduan SESKO-AU Bandung.

Bagaimana timbul idea untuk menulis tentang almarhum ini?. Kebetulan saya baru beberapa minggu add in Kol Amer Mahmud dan Aref Zaharin (anak kedua dan ketiga almarhum) dalam senarai facebook friends. Selepas mengikuti  posting beliau, banyak gambar-gambar semasa beliau masih kecil bersama ayah dan ibunya. Lalu terlintas dalam fikiran saya untuk menulis sesuatu, seperti yang saya pernah buat untuk dua mantan PTU (almarhum Datuk Mohamed bin Taib dan almarhum Tan Sri Mohamed bin Ngah Said). Lalu saya meminta Amer mendapatkan gambar-gambar portrait almarhum semasa berpangkat Brig Jen. Amat sukar memperolehi gambar-gambar ini dari rekod TUDM. Setelah endapat beberapa gambar, aku pun mula menulis berasaskan biodata almarhum (dari rekod TUDM) dan pengalamanku semasa berkhidmat di bawah almarhum.

Abdul Rahman dilahirkan di Kampong Belahan Tampok, Rengit, Batu Pahat Johor pada 3 Sep 1943. Dari gaya percakapannya, almarhum berketurunan Jawa (seperti saya juga). Tetapi sepanjang saya mengenalinya, almarhum tidak pernah cakap Jawa. Cuma sesekali sahaja dalam bentuk gurauan. Kalau mengikut apa yang saya tahu, majority penduduk perkampungan Belahan Tampok ini adalah dari keturunan Bugis.

Almarhum mendapat didikan awal di sekolah rendah di kampung tersebut dan Sekolah Tinggi Batu Pahat (perlu pengesahan). Lantaran keputusan peperiksaan yang cemerlang, almarhum telah terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 4 Sains di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) iaitu Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh pada tahun 1958.  Kalau mengambil kira STAR dibuka pada bulan Januari 1957, almarhum merupakan intake kedua sekolah tersebut.

Almarhum pernah bercerita kepada saya megenai kehidupannya semasa zaman persekolahannya di STAR Ipoh. Waktu itu sekolah berasrama penuh amat sedikit. Di awal tahun 60an, selain dari MCKK Kuala Kangsar dan TKC Seremban hanya ada 5 lagi SBP di Malaysia ketika itu, iaitu SDAR Seremban, STAR Ipoh, STF JB, SSAH Jira dan SAS Cheras. Ketika cuti sekolah pelajar akan menaiki keretapi untuk pulang ke kampung. Almarhum akan naik di Stesen Ipoh dan turun di Stesen Kluang. Bila sampai di Seremban, pelajar TKC yang pulang ke selatan akan naik. Masa inilah pelajar-pelajar SBP lelaki dari sebelah utara seperti MCKK dan SAS akan berentap menunjuk bakat masing-masing untuk berjinak dengan pelajar TKC. Kadang, almarhum akan singgah dan menginap di rumah kawan-kawan sebelum pulang ke kampung.

Semasa di STAR, almarhum sangat aktif dalam bidang sukan. Almarhum merupakan seorang pemain Kriket yang cekap. Almarhum pernah mewakili Negeri Perak dalam pertandingan peringkat kebangsaan. Setelah berkhidmat dalam TUDM, almarhum juga pernah mewakili pasukan Kriket ATM dan pernah merangkul juara kebangsaan.

Almarhum lulus peperiksaan MCE dari STAR pada tahun 1959 dan peperiksaan HSC pada tahun 1961. Menurut cerita almarhum, selepas tamat HSC almarhum bekerja di sebuah syarikat perlombongan di Ipoh sebelum sebelum menyertai latihan Pegawai Kadet  di Federal Military College pada 4 Sep 1964.

Abdul Rahman ditauliahkan ke pangkat Pilot Officer pada 17 Feb 1965 dan almarhum memulakan kerjaya dalam TUDM sebagai Air Movement Officer di Pangkalan TUDM Labuan mulai 1 Jan 1966 hingga 30 Jun 1967. Semasa di Labuan beliau mengikuti Kursus Fund Regiment (1966).  Pada 1 Ogos 1967 almarhum ditukarkan ke Pangkalan TUDM Kuala Lumpur untuk menjawat tugas sebagai Senior Air Movement Officer (SAMO).

Pada 1 Oktober 1967 Abdul Rahman dinaikkan ke pangkat Flying Officer dan pada 10 Julai 1968, almarhum dinaikkan ke pangkat Flight Lieutenant . Almarhum mengikuti Young Officer Ordnance Course di Army Ordnance School pada tahun 1968. Seterusnya pada 30 Sep 1968 almarhum bertukar jawatan di unit yang sama sebagai O i/c Stock Control and Accounting Flight (SCAF) dan seterusnya dilantik menjadi Ketua Cawang Bekalan (OC Supply) pada 31 Mac 1969.

Almarhum melangsungkan perkahwinan dengan Puan Noraini binti Mohd Yunus, seorang pendidik (guru) berusia 21 tahun yang berasal dari Batu Gajah, Perak pada tahun 1966. Ketika itu almarhum berusia

Pada 1 Nov 1969 almarhum ditukarkan ke Pangkalan TUDM Kuantan untuk memegang jawatan Ketua Cawang Bekalan sehingga 25 Feb 1971. Dari TUDM Kuantan, almarhum kembali ke Kuala Lumpur, ditukarkan Markas Udara  pada 21 Sep 1971 untuk menjawat Staff Officer 3 (SO 3) Equipment dan kemudian dinaikkan ke pangkat Squadron Leader pada 7 Jan 1972 untuk ditukarkan ke jawatan SO2 Supply/Finance di Markas yang sama.

Pada pada tahun yang sama, Abdul Rahman berpeluang berkhidmat sebagai Penasihat Pertahanan (DA) di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Ottawa, Canada. Penyandang jawatan tersebut turut membuat tugas sebagai Supply Liaison Officer (SLO) yang menguruskan dukungan logistik pesawat TUDM kerana pada waktu itu Malaysia mempunyai beberapa buah pesawat yang dibeli dari Canada seperti Caribou dan Tebuan. Almarhum menamatkan tugas di luar Negara pada bulan Mei 1975. Sepulangnya dari Canada almarhum ditumpangkan ke jawatan Principal Supply Control Officer (PSCO) di Depoh Bekalan (DEBEK) TUDM di TUDM Kuala Lumpur dan diukarkan pada 25 Mac 1976.

Seterusnya almarhum berpindah tugas ke Bahagian Turus Tentera Udara (BTTU) sebagai Pegawai Turus 2  Bekalan 3 (PT 2 Bek 3) pada 25 Okt 78), kemudiannya ke jawatan PT2 Bek 2B pada 10 Mac 79 dan kembali ke DEBEK pada 27 Ogos 79 untuk menjawat jawatan PSCO untuk kali kedua. Pada masa itu, PSCO merupakan satu jawatan yang terkanan di DEBEK selepas jawatan Pegawai Memerintah. 

Pada 1 Jul 1980 almarhum dinaikkan ke pangkat Leftenan Kolonel (Udara) untuk menyandang jawatan Pegawai Turus 1 Pembelian (PT 1 Beli)  di BTTU. Seterusnya pada 16 Okt 1980, almarhum dilantik menjadi Pegawai Memerintah DEBEK, sehingga 1 Jan 1983 sebelum bertukar ke Markas Bantuan Udara (MABANUD) sebagai Pegawai Turus Kanan (PTK) Bekalan. 

Abdul Rahman dinaikkan ke pangkat Kolonel (Udara) pada 10 Apr 1984 dan dilantik menjadi Ketua Staf Bantuan, Markas Pemerintahan Pertahanan Udara (MK HANUD).

Abdul Rahman dilantik menjadi Pengarah Materiel pada 7 Julai 89,  dan memangku jawatan APTU Materiel dari 1991 hingga 15 Feb 92 apabila APTU Materiel ketika itu bercuti atas urusan mahkamah. Berlaku isu kepercayaan oleh pucuk pimpinan TUDM ke atas kewibawaan kepimpinan Materiel. Mulai Feb 1992 hingga Jun 1993, jawatan APTU Materiel disandang oleh pegawai dari luar Cawangan Materiel, iaitu Brig Jen Dato' Tunku Jaafar Laksamana TUDM (Juruterbang) dan Brig Jen Dato' Wan Abdul Majid bin Abdullah TUDM (Kejuruteraan).

Setelah krisis kepimpinan Materiel dipulihkan pada pertengahan tahun 1993, terdapat persaingan untuk memilih APTU Materiel. Kedua-dua pegawai Materiel yang berpangkat Kolonel pada masa itu, iaitu Kol Richard Robless (Kol: 24 Mac 1984) dan Kol Abd Rahman (Kol: 10 Apr 84). Kepimpinan TUDM telah melantik Richard Robless menjadi APTU Materiel pada dan dinaikkan ke pangkat Brig Jen TUDM mulai 15 Feb 1992.

Pada 16 Feb 1992, almarhum dilantik menjadi Pegawai Memerintah Pusat Materiel Udara (PMU, dulunya DEBEK). Jawatan Pengarah Materiel diambil-alih oleh Kol Ahmad Haidir bin Mohd Yusof TUDM.

Kerjaya almarhum mencapai kemuncaknya apabila almarhum kembali ke DTU untuk menyandang jawatan APTU Materiel pada 1 Jun 93. Almarhum dinaikkan kepangkat Brigedier Jeneral TUDM pada 8 Jan 94. 

Almarhum Brig Jen Abdul Rahman bin Mohd Rais TUDM bersara secara pilihan pada 4 Sep 1996 ketika berusia 53 tahun. Almarhum menyerahkan jawatan APTU Materiel kepada penggantinya, Brig Jen Mohd Idris bin Saman TUDM. 23 tahun.



menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada penggantinya

Menerima Tabik Hormat semasa Perbarisan Persaraan di PU Labuan

Dalam salah satu perbualan dengan saya dengan almarhum di pejabatnya sebelum beliau memulakan cuti sebelum persaraan , almarhum menyatakan bahawa beliau bersara awal adalah untuk memberi laluan kepada Kol Mior Azam atau Kol Mohd Idris (hanya dua pegawai Materiel berpangkat Kolonel masa itu) berpeluang mendapat kenaikan pangkat. Ketika itu, ada ura-ura bahawa PTU pada masa itu mahu melantik Kol Soon LC menjadi APTU Materiel. Almarhum menemui PTU dan juga PAT pada masa itu, jika bukan Kol Mior Azam atau Kol Mohd Idris yang mengambil alih tempat beliau, beliau akan menarik semula permohonan persaraan awalnya.

Pada waktu itu, saya hanya berpangkat Mejar, kurang mengerti maksud yang tersirat kenapa almarhum mengambil keputusan itu. Setelah mencapai ke tahap sekarang baru saya memahami betapa luhur dan mulianya hati almarhum. Almarhum tidak tamak atau gila jawatan dan kuasa. Walaupun baru 2 tahun menyandang pangkat Brig Jen dan memegang jawatan APTU Materiel, satu jawatan tertinggi dalam Materiel pada masa itu) almarhum dengan hati terbuka mahu membuka jalan kepada pegawai bawahannya untuk sama merasai nikmat Allah.

Berbeza dengan sebahagian pegawai-pegawai kanan sekarang yang terlalu sayangkan jawatan dan kuasa, bertapak bertahun-bertahun, enggan memberi laluan kepada orang lain. Malah ada yang merasa dirinya amat penting sehingga minta (merayu-rayu) untuk menambah tempoh perkhidmatan melebihi usia persaraan, seolah-olah orang lain tidak ada kemampuan menjalankan tugas yang dibuatnya.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya beliau berpeluang menghadiri pelbagai kursus ikhtisas, staf dan pengurusan seperti di dalam dan luar negara seperti Fund Regiment Course (1966), Weapon and Space Orientation, Squadron Officer Course dan Special Air Operations Course, di USA (1971), Kursus Staf di Sekolah Staf dan Komando Angkatan Udara (SESKO-AU) Bandung, Indonesia (1975).  Beliau juga berpeluang mengikuti kursus Diploma in Management Studies selama setahun di University of Manchester Institute of Technology and Science (UMIST), United Kindom (1977), mengikuti kursus staf tinggi di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) pada tahun 1982 dan Air War College, Alabama, USA pada tahun 1988. Dalam sejarah TUDM, almarhum merupakan satu-satunya Pegawai Logistik (Materiel) yang pernah diberi penghormatan mengikuti kursus di US Air War College ini.

Di atas kecemerlangan dan sumbangan bakti almarhum kepada negara, almarhum telah dikurnikan beberapa bintang dan pingat kebesaran seperti, Pahlawan Angkatan Tentera (PAT), Johan Mangku Negara (JMN), Setia Mahkota Johor (SMJ), Kesatria Mangku Negara (KMN) dan Pingat Ibrahim Sultan (PIS).






Hubungan Saya dan Almarhum

Saya pertama kali berkhidmat dengan almarhum ialah pada tahun 1993 apabila bertukar sebagai PS2 SISMAT C (Sumber Manusia) sebaik sahaja TUDM melaksanakan reorganisasi secara besar-besaran. Beliau juga yang menyempurnakan kenaikan pangkat saya ke Mejar TUDM. Saya berpeluang dapat selalu berbincang secara empat mata dengan beliau berkaitan dengan perancangan pegawai-pegawai Materiel. Beliau tidak banyak kerenah tetapi tegas dalam membuat keputusan.  Peluang inilah yang membolehkan saya menerima banyak nasihat secara terus dari almarhum.

Pada tahun 1993 , almarhum pernah menawarkan kepada saya tugas sebagai Pegawai Logistik dalam Tim Projek Perolehan Pesawat MiG29 di Moscow. Bagaimanapun dengan penuh tertib saya tolak kerana saya lebih berminat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.  Pada masa itu, saya amat berkeinginan untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah di ITM. Beliau merestui penolakan saya dan meminta saya mencadangkan nama untuk menggantikan saya. Saya mencadangkan nama Mej Zainudin bin Sahak (beliau bersara dalam pangkat Lt Kol TUDM).

Lebih kurang pada tahun 1997, ADA di London, Mej Mohd Ariffin bin Musa TUDM telah hampir menamatkan tempoh khidmatnya di sana. Calon utama pengganti ialah Mej Mohd Zahari bin Jamaludin TUDM.  Zahari juga salah seorang calon untuk kenaikan pangkat Lt Kol. Apabila Bahagian Anggota meminta calon stand-by sekiranya Zahari tidak jadi pergi, almarhum memberikan nama saya sebagai calon simpanan untuk menjadi Penolong Penasihat Pertahanan di United Kingdom. Bagaimanapun Zahari telah pergi ke London.

Kelangsungan dari hubungan baik di pejabat, almarhum amat mempercayai saya dan menganggap saya seperti anaknya. Malah semasa menguruskan perkahwinan anak sulungnya (Adham Qalid) saya diberi kepercayaan menguruskan kewangan. Puluh ribu juga jumlah wang yang aku kendalikan kerana menyelesaikan pembayaran bil-bil perkhidmatan seperti sewa pinggan mangkok, kompang, silat dan pelbagai lagi perbelanjaan kecuali masakan. Cuma sikap aku yang tidak pandai mengambil peluang dari kebaikan hati almarhum. Selain dari itu, aku juga tak pandai (malu) membawa keluarga mengunjungi rumahnya supaya lebih rapat dengan keluarga almarhum walaupun beliau berulang kali menyuruh aku mebawa isteri dan anak-anak bertandang ke rumah. Pada masa itu, aku ada dengar juga terdapat pegawai yang amat perihatin, membawa isteri dan membawa hadiah ke rumah pegawai-pegawai kanan. Aku tidak mempunyai keistimewaan itu.

Dalam salah majlis yang diadakan di rumah almarhum, almarhum ada bertanya kepada saya,

"Bila nak start main golf ni?" Saya diam. Dia tanya lagi,

"Kamu ada golf set tak?" Saya jawab tak ada.

Lalu beliau masuk ke bilik setor rumahnya dan mengambil satu golf set lama.

"Nah, ambik ni, pergi belajar main golf". Pastinya, dengan harapan aku akan memulakan permainan selepas itu. 

Beberapa bulan selepas itu, dia tanya lagi.

"Dah main golf?"  Dengan senyuman yang tak ada makna, aku jawab,

"Belum Tuan". 

Lepas itu adalah 3 atau 4 kali, apabila bertemu dengan almarhum, soalan yang sama ditanya dan jawapan dari aku juga adalah sama. Sehinggalah beliau dia bersara, aku belum juga mula main. Dan nampaknya almarhum memang kempunan mahu melihat aku main golf sehingga beliau bersara pada tahun 1996 dan hinggalah beliau pulang ke rahmatullah. Sememangnya sehingga saat ini setelah lebih 10 tahun almarhum meninggalkan dunia yang fana ini, saya masih belum mahu bermain golf.

Semasa dalam perkhidmatan, almarhum sangat aktif dalam pengurusan sukan ragbi dan pernah menjadi Presiden Persatuan Ragbi ATM dan Naib Presiden Kesatuan Ragbi Kebangsaan. Oleh kerana pasukan ragbi ATM merupakan jaguh ragbi negara, almarhum rapat dengan Panglima-panglima ATM.


 


Brigedier Jeneral Abdul Rahman Rais meninggal dunia pada 18 Sep 2006 setelah mengalami penyakit ketumbuhan di otak untuk beberapa tahun. Sebelum itu, almarhum juga pernah menjalani pembedahan di kepala. Selepas menjalani pembedahan, keadaan fizikalnya agak lemah dan memerlukan bantuan untuk bergerak. Biarpun dalam keadaan begitu, apabila ada majlis rasmi seperti tahlil hari TUDM, almarhum tetap menghadirkan diri. Almarhum meninggalkan kita pada usia 63 tahun, seusia dengan kewafatan Rasulullah (saw).

Almarhum meninggalkan seorang balu, Puan Hajjah Noraini Mohd Yunus (mesra dengan panggilan Kak Ani) dan mempunyai  3 orang anak lelaki; anak sulung almarhum, Adham Qalid (bekas juruterbang pesawat Angkut TUDM dan berhenti dalam pangkat Mejar TUDM), anak keduanya Amer Mahmud (seorang juruterbang jet pejuang TUDM, masih berkhidmat dan sekarang berpangkat Kolonel TUDM) manakala anak bungsunya Arief Zaharin menyertai bidang perniagaan. Ini menunjukkan darah satria yang mengalir dalam tubuh almarhum turut diwarisi oleh anak-anak almarhum. Keluarga almarhum tinggal menetap di Taman Melawati. 

Puan Norani (Kak Ani) yang saya kenali adalah seorang wanita yang memiliki keperibadian serta sifat keibuan yang tinggi. Penyayang, sentiasa senyum, percakapannya lemah lembut dan mudah mesra. Tidak langsung memiliki sifat ego sebagai isteri seorang Jeneral. Penampilannya dalam majlis-majlis rasmi atau tidak rasmi juga amat sederhana.

Semoga Allah swt mengampuni dosa almarhum dan dihimpunkan di kalangan roh para salihin dan aminin.

Dalam salah satu perbualan dengan sahabat-sahabat almarhum, mereka menceritakan bahawa almarhum  seorang yang berpekerti mulia, amat pemurah dan amat sayangkan saudara-maranya. Almarhum sentiasa membantu saudara-mara yang susah di kampung dari segi kewangan terutama untuk membiayai pelajaran anak-anak mereka. Itulah antara sifat mulia yang dimiliki oleh almarhum.

Sebelum sukan golf menjadi popular di kalangan pegawai-pegawai ATM, almarhum mempunyai kegemaran memancing. Almarhum pernah bercerita mengenai kegilaannya memancing. Pantang ada orang beritahu lokasi memancing yang baik, almarhum akan pergi atau cari. Biasanya kegiatan memancing akan bermula selepas jam 10 malam sehingga pagi. Malah, almarhum pernah bercerita, sanggup membawa Kak Ani yang masih dalam pantang untuk pergi memancing. Membawa khemah dan bahan makanan, memasang unggun api (berkelah) demi untuk memenuhi hobi tersebut.

Salah seorang dari adik almarhum, juga menceburkan diri dalam bidang ketenteraan. Namanya Mohd Johari (Joe). Mohd Johari ditauliahkan dalam Kor Kelengkapan (Kor Ordnans Diraja) Tentera Darat Malaysia dalam tahun 1975. Semasa berpangkat Kapten (lebih kurang tahun 1980) Joe telah bertukar ke perkhidmatan TUDM, dalam Cawang Logistik. Mungkin pertukaran ini dengan bantuan almarhum juga.

Dalam tahun 1981, Kapt Joe mengikuti  Kursus Asas Pegawai Bekalan di Institut Teknologi Udara (ITU), TUDM Kinrara. Apabila aku gagal dalam latihan penerbangan di TUDM Kluang lebih kurang bulan Jun 1981, aku ditumpangkan ke Cawang Logistik dan pada bulan Sep 1981 aku mengikuti Fasa Pergerakan Udara (lebih kurang sebulan setengah). Fasa tersebut merupakan salah satu fasa dari keseluruhan Kursus Asas Pegawai Bekalan yang mengambil masa 9 bulan. Setelah tamat fasa tersebut aku bersama 5 lagi pegawai tumpangan dikeluarkan semula dari kursus tersebut untuk bertugas  di unit-unit TUDM yang mempunyai Cawang Pergerakan Udara. Aku ditukarkan ke TUDM Kuching pada bulan Okt 1981.

Pada awal tahun 1982, Kapt Joe telah ditukarkan ke TUDM Kuching untuk mengambil-alih jawatan Ketua Cawang Logistik (KCL). Jadi kami bertemu semula di sana dan aku berkhidmat di bawah perintah beliau. Beliau dinaikkan ke pangkat Mejar (Udara) dalam tahun tersebut. Semasa aku bertukar keluar dari TUDM Kuching pada bulan Apr 1983, beliau masih lagi di sana.

Joe bersara dari TUDM dalam tahun ....... dalam pangkat Lt Kol TUDM. Jawatan terakhir Lt Kol Hj Mohd Johari bin Mohd Rais TUDM ialah Pengarah Jabatanarah Udara 4 di Bahagian Operasi, Markas TUDM.



Datukship

Almarhum merupakan satu-satunya pegawai TUDM berpangkat Brig Jen yang tidak menerima gelaran Dato'. Mungkin perkhidmatannya sebagai Brig Jen agak singkat, menyebabkan beliau tidak sempat menerima anugerah. Atau kerana almarhum adalah anak kelahiran Johor, negeri yang Sultannya amat sukar mengurniakan anugerah Dato'.

Ramai Jeneral-Jeneral TUDM yang bersara sebelum menerima gelaran Dato' tetapi beberapa tahun selepas persaraan mereka menerima gelaran itu seperti Brig Jen Parameswaran TUDM, Brig Jen Abdullah Omar TUDM, Brig Jen Mohd Tahir TUDM, Brig Jen Abu Hasan Ali TUDM, Brig Jen Anim Harun dan dan Brig Jen Soon Lian Cheng TUDM.

Almarhum secara sukarela bersara dari TUDM sebelum mencapai usia persaraan wajib. Almarhum tidak menunggu mendapat gelaran Dato' sebelum bersara (almarhum boleh berbuat demikian jika mahu). Ini bermakna almarhum bukanlah seorang yang gilakan darjat dan title.

Mengenangkan jasa dan bakti almarhum kepada negara, ATM khasnya, adalah wajar kepimpinan TUDM membawa mengadap kepada KDYMM Sultan Pahang, selaku Kolonel YDP TUDM untuk mencadangkan supaya almarum dianugerahi dengan gelaran Dato' (secara posthumous).

Cerita-cerita Lain

Kesah diceritakan oleh Mej Dato' Hj Ramli bin Jonid (Bersara). One fine day arwah Jen Rahman and arwah Tan Sri Mat Ngah (Lt Jen Tan Sri Mohamed bin Ngah Said) were invited to play golf by one  ex RMAF Colonel, a good friend to arwah TS Mat Ngah (I presumed).  So, both of them invited me to play with them..  Bila sampai Kajang Hill, this retired Colonel brought a friend of him. Now become five. Extra one for one flight.

And, suddenly, this ex Colonel asked me to leave the place (since i was not invited by him). I was surprised when Gen rahman said to that ex Colonel, "If Ramjo (referred to Dato Ramli) cannot play, we (refer to him dan Tan Sri)  will not be playing either".

And surprisingly Tan Sri Mat Ngah agreed with his decision.  Finally the latter's fried got to leave the place. I salute to arwah for being firmed, and as a friend  he really stood by me...alfatihah to both of allahyarham

.

  

gambar-gambar almarhum dan keluarga adalah ehsan dari anak almarhum, Kol Amer Mahmud dan Aref Zaharin


Amer Mahmud salah satu dari 2 putera almarhum yang meneruskan legasi darah perwira ayahandanya. Abangnya, Adham Qalid, juga bekas juruterbang TUDM telah  menamatkan perkhidmatan dalam pangkat Mejar. Amer dinaikkan ke pangkat Kolonel pada 17 Mac 2017 dan seterusnya dinaikkan ke pangkat Brigedier Jeneral TUDM pada bulan 20 Sep 2018. 

Image may contain: 3 people, people standing  

Image may contain: 2 people, including Amer Mahmud, people smiling, closeup
menemui bondanya Puan Hajjah Noraini pada hari dinaikkan ke pangkat Jeneral satu bintang.



No comments:

Post a Comment