GAJAH MATI MENINGGALKAN TULANG,
HARIMAU MATI MENINGGALKAN BELANG,
MANUSIA MATI MENINGGALKAN NAMA
"Sejarah manusia membuktikan manusia yang baik meninggalkan nama yang baik, dikenang amal bakti, sumbangan dan kebaikannya. Manakala manusia yang jahat akan dikenang akan kezaliman dan kejahatannya."
HARIMAU MATI MENINGGALKAN BELANG,
MANUSIA MATI MENINGGALKAN NAMA
"Sejarah manusia membuktikan manusia yang baik meninggalkan nama yang baik, dikenang amal bakti, sumbangan dan kebaikannya. Manakala manusia yang jahat akan dikenang akan kezaliman dan kejahatannya."
Tanpa mengambil kira kalangan Rasulullah, para Anbiya' dan
para ulama', banyak pemimpin atau individu yang namanya sentiasa disebut dan
dijadikan idola walaupun ia telah meninggal dunia beratus tahun dahulu. Nama seperti Abu Bakar AsSiddiq, 'Umar bin
alKhattab, 'Umar bin Abdul 'Aziz, Salahuddin alAyubi, Muhammad alFateh, Hassan
alBana, Muhammad 'Abduh, Idris Marbawi, Tok Kenali, Tun Dr Ismail, Tun Razak
dan lain-lainnya sentiasa dikenang atas jasa dan sumbangan dalam bidang
masing-masing.
Kebaikan bukan terhad kepada orang Muslim. Walaupun
kebaikan manusia yang hakiki di sisi Allah swt perlu meletakkan keimanan dan
ketaqwaan di senarai teratas, pandangan kemanusiaan tetap memberikan keluhuran
jiwa seseorang sebagai asas untuk mengenang nama mereka. Nama-nama seperti
Asoka, Mother Theresa dan Mahatma Gandhi dikenang sebagai tokoh agung zaman
berzaman. Malah nama-nama yang diselangi dengan skandal peribadi seperti Lady
Diana, Achmad Soekarno tetap dikenang sebagai idola.
LT ADNAN DAN REJIMEN ASKAR MELAYU
Leftenan Adnan bin Saidi bukanlah seorang Panglima Perang
seperti General Percival, Admiral Mountbatten, General MacAthur, General
Yamamoto atau General Gamal Abdul Nasser. Adnan juga bukan seorang Panglima
Briged atau seorang Pegawai Memerintah sebuah Batalion. Dia hanya seorang Ketua
Platun dalam Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD).
Bermula dengan hanya 25 pemuda Melayu, sebuah Kompeni
Percubaan Askar Melayu telah diwujudkan pada 1 Mac 1933. Mereka dilatih dan
diperintah oleh pegawai-pegawai dan SNCO berbangsa Inggeris. Pada 1 Jan 1935,
Rejimen Askar Melayu ditubuhkan dengan kekuatan 150 orang sahaja.
Pada 1 Jan 1938, Batalion Pertama Askar Melayu ditubuhkan
dengan kekuatan 17 pegawai British, 6 pegawai Askar Melayu, 11 Pegawai Waren
(majoriti bangsa British) serta 759 lain-lain pangkat. Ini diikuti dengan
penubuhan batalion kedua pada 1 Dis 1941, beberapa bulan sebelum tercetusnya
Perang Dunia II.
Pertempuran Pasir Panjang
Pertempuran Pasir Panjang, yang berlangsung antara 13 dan
14 Februari 1942, sebahagian daripada serangan Empayar Jepun terhadap Singapura
sewaktu Perang Dunia Kedua.
Pertempuran Pasir Panjang merupakan pertempuran besar yang
terakhir antara pasukan pertahanan British di bawah Leftenan Jeneral Arthur
Percival dan pasukan penyerang Jepun (Tentera Darat Ke-25) yang diperintah
Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita di pulau Singapura.
Di pihak pertahanan, pertempuran melibatkan ketumbukan
Briged Infantri Pertama Malaya yang dipertanggung jawab mempertahankan sektor
pertahanan barat daya dan selatan pesisiran pantai, yang paling hampir bandar
Singapura sendiri (sektor pertahanan yang digelar Singapore Fortress atau 'Kubu
Singapura'). Briged Malaya merupakan lapisan pertahanan terakhir sebelum bandar
dan pelabuhan Singapura dari arah barat. Pertempuran ini berjalan selama 48 jam
dan menjulang nama Rejimen Askar Melayu menjadikannya satu pasukan tentera yang
disegani di kalangan pasukan Tentera Komanwel. Jeneral Percival menyerah kalah
sehari selepas Pertempuran Pasir Panjang.
Sebuah kubu kecil ('Pillbox') peninggalan pertahanan
Pasir Panjang
Pertempuran ini bermula pada hari Jumaat, 13 Februari 1942
apabila pasukan Rejimen Askar Melayu yang ditugaskan untuk menghalang kemaraan
pasukan elit Tentera Imperial Jepun menuju kawasan Pasir Panjang di Singapura
bertembung dengan pasukan penyerang. Pasukan Askar Melayu mengadakan pertahanan
di satu rabung dipanggil dengan nama Rabung Pasir Panjang (Pasir Panjang Ridge).
Sebelum itu seramai 13,000 orang tentera Jepun melakukan
pendaratan amfibi di bahagian barat laut Singapura berdekatan Sarimbun dan mula
bergerak ke arah selatan menuju Pasir Panjang. Mereka menawan lapangan terbang
kecil RAF Tengah yang terletak di bahagian barat pulau Singapura dalam
pergerakan mereka ke selatan menuju bandar Singapura dan pelabuhannya. Tentera
seramai 13,000 orang ini merupakan sebahagian penting kekuatan keseluruhan
kekuatan tentera Jepun seramai 36,000 orang yang mengambil bahagian dalam
serangan ke atas Singapura.
Pada hari Selasa, 10 Februari 1942, askar-askar Jepun dapat
melepasi barisan pertahanan di Jurong. Pertempuran kecil-kecilan berlaku di
kawasan yang dikawal oleh Kompeni C Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu (Komp
C, 1 Melayu). Anggota-anggota Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu (2 Melayu)
berundur dari garisan pertahanan di Sungai Jurong. Briged Ke-44 India juga
terpaksa berundur, sambil diserang askar Jepun. Pengunduran ini menyebabkan
bahagian kanan garisan pertahanan 2 Melayu terdedah. 2 Melayu terpaksa berundur
sama untuk mengekalkan keutuhan barisan pertahanan.
Pada hari Rabu, 11 Februari 1942, askar Jepun dengan
bantuan kereta kebal mara menggunakan Jalan Jurong, Jalan Ulu Pandan Dan Jalan
Reformatory (sekarang ini "Clementi Road"). Periuk api, kawat berduri
dan halangan lain digunakan untuk cuba menyekat kemaraan askar Jepun. Kubu-kubu
kecil (pillbox) yang dipertahankan oleh askar-askar juga tidak dapat menyekat
kemaraan askar Jepun.
Pada jam 8.00 malam, kedudukan Askar Melayu di sebelah
barat Jalan Reformatory dibedil dengan artileri Jepun. Unit Askar Melayu yang
mengawal kawasan Pasir Panjang juga mula menerima serangan tinjauan oleh
unit-unit peninjau askar Jepun.
Pada Khamis, 12 Februari 1942, Panglima Malaya Command,
Leftenan Jeneral Percival mengarahkan barisan pertahanan diketatkan dan
meliputi Empangan Pierce dan Empangan MacRitchie. Pasukan Jepun memperbaharui
serangan-serangan di merata-rata tempat di barisan hadapan dengan serangan
kereta kebal dan bedilan artileri. Di sebelah barat, pasukan Askar Melayu
bersama-sama Batalion Kedua Rejimen Loyal (2 Loyal) British dan Briged Ke-44
India (sebahagian daripada Divisyen Infantri ke-17 (India British)) menentang
dan menghentikan kemaraan askar-askar Jepun.
Pasukan Askar Melayu yang menjadi sebahagian daripada
formasi Briged Infantri Pertama Malaya ditugaskan bertahan di Pasir Panjang.
Briged ini diperintah Brigadier GGR Williams. Briged Pertama Malaya,
bersama-sama Briged Ke-44 India dan Briged Infantri Kedua Malaya, menjadi
sebahagian ketumbukan Singapore Fortress yang menjadi lapisan pertahanan
terakhir Singapura. Briged Malaya terdiri daripada Batalion Kedua Rejimen Loyal
(2 Loyal) di bawah pimpinan Leftenan Kolonel Mordaunt Elrington serta Batalion
Pertama Rejimen Askar Melayu (1 Melayu) di bawah pimpinan Leftenan Kolonel
J.R.G Andre, yang terdiri daripada kurang tiga seksyen Platun Mortar, Platun
Penangkis Kapal Terbang dengan Platun Pengangkut Bren Gun di bawah perintah
Kapten RRC Carter bertindak sebagai pasukan simpanan. Batalion ketiga briged
ini terdiri daripada Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu (2 Melayu) di bawah
perintah Leftenan Kolonel F.W. Young. Batalion Kedua ini baru ditubuhkan dan
tidak mempunyai platun-platun bantuan seperti Platun Mortar, Penangkis Kapal
terbang dan Pengangkut Bren Gun. Mereka ditugaskan mempertahankan jalan masuk
ke permatang Pasir Panjang, yang dikenali sebagai The Gap. Briged India ke-44
ditempatkan di rusuk kanan mereka. Pertahanan Pasir Panjang kebanyakannya
dilakukan Batalion Pertama Askar Melayu (1 Melayu) oleh sebab batalion kedua
rejimen itu, 2 Melayu, yang terlibat dengan pertempuran awal di Jurong,
ditempatkan di bahagian timur sektor pertahanan yakni di Kranji dan kemudiannya
di Mount Faber.
Kereta Kebal Jepun dalam Pertempuran Singapura
Pertempuran besar pertama antara Rejimen Askar Melayu
dengan tentera Jepun berlaku pada lebih kurang jam 2.00 petang 13 Februari
1942, hari Jumaat. Divisyen Ke-18 Tentera Darat Ke-25 Jepun menyerang pinggir
pantai barat daya sepanjang Permatang Pasir Panjang dan di kedua-dua belah
Jalan Ayer Rajah. Pasukan Jepun didahului oleh Rejimen Infantri Ke-56 di bawah
perintah Kolonel Yoshio Nasu. Rejimen ini menyerang permatang itu di sebelah
pagi dengan dibantu pasukan artileri.
Satu daripada unit yang mempertahankan garisan pertahanan
ialah Kompeni B, Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu. Kompeni B terpaksa
berundur ke Pasir Panjang ekoran tembakan hebat daripada tentera Jepun yang
disokong oleh tembakan artileri serta kereta kebal. Namun, sebelum perunduran
dapat disempurnakan, pasukan Jepun berjaya menembusi kedudukan pertahanan
Kompeni B. Berlaku pertarungan hebat dan anggota Kompeni B bertempur
berdepan-depan menggunakan bayonet terhadap tentera Jepun. Sebilangan daripada
anggota Kompeni B 1 Melayu dapat menyelamatkan diri sementara ramai yang
menjadi tawanan perang. Penerobosan ini memaksa Briged Infantri ke-44 India dan
Briged Infantri Pertama Malaya berundur ke garisan pertahanan di Mount Echo
(persimpangan Jalan Ayer Raja dan Jalan Depot) di Buena Vista di pinggir pantai
selatan pulau Singapura.
Serangan Kedua
Pada hari Sabtu 14 Februari, pasukan Jepun sekali lagi
membuat serangan hebat ke atas kedudukan Askar Melayu. Kali ini serangan ke
atas kedudukan yang dipertahan oleh Askar Melayu dimulakan pada jam 8.30 pagi,
dan serangan Jepun sekali lagi dibantu oleh serangan mortar dan bedilan
artileri.
Tetapi serangan ini dan beberapa serangan selepasnya
berjaya dipatahkan Askar Melayu. Pertarungan jarak dekat termasuk pergelutan
menggunakan bayonet berlaku di merata kedudukan yang dipertahankan oleh Askar
Melayu.
Satu serangan hebat dengan sokongan kereta kebal dibuat ke
atas kedudukan Askar Melayu, dan kali ini pasukan Jepun berjaya menembusi
barisan pertahanan di sebelah kiri, memaksakan pengunduran askar-askar yang
bertahan di sana. Mereka berundur ke garisan pertahanan lain di persimpangan
Jalan Ayer Raja dan Jalan Depoh melalui kilang batu bata dan parit besar ke
Bukit Chermin. Disebabkan pasukan-pasukan di sebelah kiri dan kanan kedudukan
mereka tidak dapat bertahan, Briged Infantri Pertama Malaya terpaksa bersama-sama
berundur menduduki kedudukan pertahanan baru di Bukit Chandu bagi mengekalkan
keutuhan barisan pertahanan.
Bukit Chandu
Pihak Jepun menyerang kedudukan Briged Pertama Malaya
sepanjang hari pada 14 Februari. Kedudukan mereka bertambah rumit kerana Mejar
Jeneral Gordon Bennett, Panglima Divisyen Ke-8 Australia, hanya membenarkan
pasukan artilerinya menembak lokasi musuh yang mengancam lokasi tentera
Australia. Justeru Briged Malaya tidak mendapat bantuan artileri Australia yang
ditempatkan bersebelahan mereka.
Pada pagi 14 Februari Divisyen Ke-18 Jepun,dengan didahului
bedilan hebat mortar dan artileri selama dua jam, melancarkan serangan, sekali
lagi, ke atas barisan pertahanan Briged Pertama Malaya.
Briged Malaya berjaya menangkis serangan ini dan beberapa
serangan lain dalam pertempuran depan-depan. Kedua-dua pihak mengalami korban
perang dan menanggung kerugian besar. Pada jam 4.00 petang, dengan dibantu
kereta kebal, pihak Jepun (Divisyen Ke-18) berjaya menembusi rusuk kiri barisan
pertahanan. Para tentera yang bertahan di rusuk ini terpaksa berundur ke
garisan pertahanan baharu yang bermula dari persimpangan Jalan Ayer Rajah dan
Jalan Depot merentasi Kilang Batu Bata dan sepanjang salur hingga ke Bukit
Chermin. Oleh sebab unit di kedua-dua rusuk tidak dapat mempertahankan
kedudukan masing-masing, Briged Pertama Malaya telah awal lagi mula berundur
pada jam 2.30 petang. Pada ketika inilah Kompeni C Batalion Pertama Rejimen
Askar Melayu diarah bergerak ke barisan pertahanan baharu di Bukit Chandu.
Bukit Chandu mengambil sempena nama kilang pemprosesan
candu yang terletak di kaki bukit. Bukit Chandu menjadi lokasi pertahanan
penting kerana dua sebab: ia terletak di tanah tinggi di utara pulau; dan penawan
kawasan ini oleh pihak Jepun akan membuka jalan kepada mereka untuk mara ke
kawasan Alexandria di mana terletaknya depot peluru, Hospital Tentera Alexandra
dan kawasan-kawasan penting lain. Bukit Chandu juga merupakan tempat pertahanan
terakhir Kompeni C Rejimen Askar Melayu
.
Peta Singapura menunjukkan kedudukan Briged Pertama
Malaya di Pasir Panjang serta kedudukan tentera di bawah pemerintahan British
pada tahun 1942.
Kedudukan Kompeni C dipisahkan daripada lokasi Kompeni D, 1
Melayu oleh sebuah terusan yang menyalur ke arah Depot Minyak Normanton. Semasa
pertempuran minyak terbakar di dalam terusan dan kebakaran minyak ini menyekat
perunduran Kompeni C, yang diperintah Kapten HH Rix, ke arah selatan, yakni
menuju arah lokasi Kompeni D.
Pada sebelah petang tentera Jepun meneruskan serangan
terhadap Bukit Chandu dengan menyamar sebagai tentera Rejimen Punjab (India
British). Anggota Kompeni C dapat meneka penyamaran ini kerana tentera British
lazimnya bergerak dalam tiga barisan dan bukan empat seperti dilakukan Jepun
yang sedang menyamar. Kompeni C melepaskan tembakan apabila penyamar sampai di
lokasi mereka dan berjaya membunuh atau mencederakan beberapa orang penyamar.
Sementara itu Kompeni D, 1 Melayu menduduki kawasan di
rusuk kanan batalion berdekatan kilang batu bata Alexandra. Pada awal senja
sebarisan infantri Jepun juga bergerak di atas jalan menuju Alexandra. Mereka
diserang hendap Kompeni D dan juga unit lain dan mengalami kerugian teruk.
Lebih kurang 100 mayat dijumpai selepas serang hendap tersebut.
Pertempuran Terakhir
Tidak lama kemudian tentera Jepun melancarakan serangan
hebat dan beramai-ramai terhadap kedudukan 1 Melayu. Serangan hebat ini berjaya
mengatasi pertahanan Askar Melayu dan barisan pertahanan di sektor Pasir
Panjang berjaya ditembusi pihak Jepun. Rejimen Askar Melayu meneruskan
pertempuran mahupun kekurangan peluru dan bekalan. Sekali lagi serangan ini
menyaksikan pertempuran berdepan-depan dengan bayonet. Lt Adnan bin Saidi
(mengambil alih pemerintahan Kompeni C selepas kematian Kapten Rix) mengalami
kecederaan teruk tetapi enggan menyerah kalah dan mengarahkan anggotanya
meneruskan perjuangan. Akhirnya Pasir Panjang jatuh ke tangan Jepun. Adnan
Saidi ditawan, namun tentera Jepun tidak melayannya sebagai tawanan perang.
Beliau dipukul dan diikat kepada sebatang pokok lalu ditikam berkali-kali
dengan bayonet. Memetik laporan Dol Ramli[5] dan Leftenan DH Webber,[6]
sejarawan Alan Warren melaporkan bahawa mayat Lt Adnan kemudiannya digantung,
kepala ke bawah, pada sebuah pokok bagi meraikan kejayaan mereka ke atas
barisan pertahanan Bukit Chandu.
Korban
Rejimen Askar Melayu mengalami korban nyawa seramai 159
anggota, termasuk tujuh orang pegawai Melayu dan enam orang pegawai British
sepanjang Kempen Tanah Melayu dan Singapura. Tidak dapat dipastikan berapa
orang mengalami kecederaan; kebanyakan kematian dan kecederaan dialami rejimen
tersebut antara 12 hingga 14 Februari 1942. Lebih kurang 600 ratus anggota
Rejimen yang terselamat dikumpulkan di kawasan Kelab Golf Keppel di mana mereka
dipisahkan daripada pegawai British mereka dan menjadi tawanan perang bersama-sama
anggota Tentera India British. Tidak dapat dipastikan berapa orang tentera
Jepun yang terkorban atau tercedera dalam pertempuran ini.
Kesan Pertempuran
Pertempuran Pasir Panjang tidak berapa signifikan dari segi
strategi ketenteraan. Semenjak pendaratan Tentera Darat Ke-25 Jepun pada 8
Februari,unit-unit di bawah pemerintahan markas Kubu Singapura ('Singapore
Fortress') yang ditempatkan di sana hanya ditugaskan untuk mempertahankan jalan
masuk ke rabung tersebut. Laluan ini penting oleh sebab ia membuka jalan ke
kawasan-kawasan penting seperti depot peluru dan hospital tentera, dan juga ke
pekan Singapura itu sendiri. Penempatan Briged Malaya ini merupakan sebahagian
daripada rancangan pihak Malaya Command untuk memperketatkan lagi pertahanan
Pekan Singapura. Akan tetapi sebaliknya mereka berdepan dengan pasukan tempur
utama Jepun.
Tambah pula, pada malam 14 Februari, keadaan sudah menjadi
amat genting bagi pihak yang bertahan. Dari segi pertahanan, mereka tidak
mempunyai kekuatan udara bagi menangkis serangan pengebom Jepun, tentera laut
sudah tiada dengan kehilangan Pangkalan Tentera Laut di utara pulau, dan
semangat sebilangan tentera Australia, India dan British sudah menjunam.
Memetik laporan George Wort, seorang pegawai Batalion Pertama Askar Melayu dan
Leftenan Kolonel Elrington, pegawai memerintah Batalion Kedua Rejimen Loyal,
yang sama sama mempertahankan Pasir Panjang, penulis Peter Elphick memperikan
bagaimana segelintir tentera Komanwel meninggalkan tugas apabila berdepan dengan
musuh.[8] Tentera Darat di bawah pemerintahan Percival tidak berdaya melakukan
serangan balas.[9] Penduduk awam pula diancam kematian dan kecederaan akibat
pertempuran dan pengeboman. Tambah pula kehilangan empangan besar menjejaskan
bekalan air dengan teruk. Pada malam 14/15 Februari Percival dan
panglima-panglimanya membuat perhitungan sama ada mahu terus melawan atau
menyerah diri.
Namun, anggota Askar Melayu tidak menyedari semua itu dan
terus berjuang. Leftenan Adnan bin Saidi diperikan oleh ramai orang Malaysia
dan Singapura sebagai wira kerana tindakan beliau di Bukit Chandu — beliau
mengarahkan anggotanya berjuang terus dan tidak menyerah kalah. Ketaatan Askar
Melayu ini bukan sahaja diakui pegawai British mereka, tetapi juga panglima
tertinggi mereka di Singapura:
"Rejimen Askar Melayu menunjukkan apa yang boleh
tercapai dengan esprit de corps ('semangat setia kawan') dan disiplin. Mereka
tidak berganjak dari pos mereka dan ramai yang terkorban ... Askar muda dan
yang belum diuji ini menunjukkan kebolehan mereka setanding tentera yang
terbaik di Malaya, khususnya ketegaran mereka semasa mempertahankan Rabung
Pasir Panjang semasa kemuncak Pertempuran Singapura, mereka menjadi contoh
kesetiaan dan ketabahan yang akan menjadi tradisi ulung Rejimen mereka dan
menjadi inspirasi kepada generasi-generasi selepas mereka."
Lt Gen Arthur Percival,
Panglima Malaya Command
petikan daripada laman web rasmi Rejimen Askar Melayu
Diraja
Pertempuran Bukit Candu
Pertempuran Bukit Chandu adalah satu pertempuran semasa
serangan Jepun ke atas Singapura semasa Perang Dunia II. Pertempuran ini
menjulang nama Rejimen Askar Melayu menjadikannya satu pasukan tentera yang
disegani di kalangan pasukan tentera Komanwel.
Pertempuran ini adalah sebagai lanjutan kepada Pertempuran
Pasir Panjang yang berlaku pada hari sebelumnya. Pertempuran ini juga
menampilkan keberanian askar Melayu, khususnya Leftenan Muda Adnan bin Saidi
yang sanggup berkorban semasa memberikan tentangan berhabis-habisan kepada
askar Jepun.
Selepas Pertempuran Pasir Panjang, Kompeni “C” dari
Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu diarahkan berundur ke kedudukan Pt. 226
di Bukit Candu. Pemerintah Tentera British mengarahkan pasukan Askar Melayu
bertahan di Bukit Candu. Sekiranya kedudukan ini jatuh ke tangan askar Jepun,
mereka akan mempunyai laluan terbuka menuju Jalan Alexandra di mana terdapat
depot Tentera British, tempat simpanan peluru dan juga Hospital Alexandra
Tentera British.
Setelah pasukan tentera Komanwel di sebelah kiri dan
sebelah kanan barisan pertahanan pasukan Askar Melayu berundur ke garisan
pertahanan yang baru, pasukan Askar Melayu juga terpaksa berundur. Kompeni “C”
di bawah pimpinan Kapten H.R. Rix diperintahkan menduduki kedudukan pertahanan
di Pt. 226, Bukit Candu. Bukit Candu dinamakan sempena terdapatnya sebuah
kilang memproses candu milik kerajaan British di kaki bukit ini. Di bukit
inilah, Kompeni “C” 1 Melayu membuat pertahanan kali terakhir mereka menghadapi
serangan Jepun.
Bedilan Berterusan
Kompeni “C” 1 Melayu ditugaskan bertahan di Bukit Candu
(kini Kent Ridge). Mereka dibedil berterusan oleh pasukan artileri Jepun yang
mahu memberikan sokongan kepada pasukan mereka yang membuat serangan. Bukit
Candu merupakan kedudukan pertahanan yang penting kerana ia merupakan kawasan
tinggi yang membolehkan pasukan yang menguasai kawasan tersebut dapat melihat
keseluruhan Pulau Singapura di sebelah utara. Dan juga, sekiranya Jepun
menguasai Bukit Candu, mereka akan boleh mara tanpa halangan ke Jalan
Alexandra, yang menempatkan penempatan tentera yang penting.
Kedudukan Kompeni “C” dipisahkan dengan kedudukan Kompeni
“D” oleh satu parit besar. Parit berkenaan penuh dengan minyak yang terbakar,
akibat tumpahan daripada tangki simpanan di Depoh Normanton. Parit besar yang
dipenuhi minyak yang terbakar ini menghalang pengunduran Kompeni “C” ke arah
selatan. Kompeni “C” berada di bawah pemerintahan Kapten H.R. Rix, seorang
pegawai yang pandai berbahasa Melayu. Kapten Rix menggesa askar-askarnya untuk
berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir. Kapten H.R. Rix terbunuh
bersama-sama anak buahnya dalam pertempuran di Bukit Candu.
Askar Jepun cuba menggunakan muslihat untuk memperdayakan
askar-askar Melayu yang bertahan di Bukit Candu. Mereka menghantar satu
kumpulan askar Jepun yang menggunakan pakaian uniform askar Punjabi untuk cuba
menghampiri kedudukan Kompeni “C” Askar Melayu . Tetapi, anggota-anggota
kompeni “C” menyedari muslihat ini apabila melihat askar Jepun yang berpakaian
uniform askar Punjabi tersebut berkawat dalam barisan berempat-empat dan bukannya
dalam barisan bertiga-tiga seperti kelaziman pasukan Tentera British. Mereka
dibiarkan hampir ke garisan pertahanan Kompeni “C” Askar Melayu sebelum
dihujani dengan peluru dari mesingan Lewis , mengakibatkan kehilangan jiwa yang
banyak dan ramai anggota Jepun yang lain cedera. Askar Jepun yang terselamat
bergolek dan merangkak turun semula ke tempat selamat untuk menyelamatkan diri
mereka.
Serangan Terakhir
Leftenan Muda Adnan bin Saidi menjadi lambang keberanian
Askar Melayu
Pada jam 4.00 petang, askar Jepun melancarkan serangan
habis-habisan ke atas kedudukan Askar Melayu di Bukit Candu. Walaupun hampir
kehabisan peluru dan dengan bilangan anggota yang jauh lebih sedikit berbanding
dengan bilangan askar Jepun, Askar Melayu terus menentang serangan askar Jepun.
Tetapi mereka tidak berdaya menahan serangan daripada pasukan yang jauh lebih
besar dan pasukan Jepun terus mara menghampiri kedudukan Askar Melayu .
Pelbagai senjata digunakan oleh Askar Melayu yang bertahan di sana, termasuklah
bom tangan, pistol dan bayonet.
Leftenan Muda Adnan bin Saidi menggunakan mesingan Lewis
untuk menentang askar-askar Jepun dan berjaya membunuh ramai askar Jepun.
Walaupun terpaksa bertempur dalam jarak dekat dengan kadangkala terpaksa
menggunakan bayonet dan tangan mereka, Askar Melayu terus mematahkan usaha
askar Jepun untuk menguasai kedudukan tersebut. Ramai pegawai dan anggota Askar
Melayu yang menjadi korban. Leftenan Muda Adnan bin Saidi sendiri cedera parah,
tetapi masih berdegil tidak mahu berundur dan terus memberikan tentangan.
Keberanian beliau membakar semangat anak-anak buahnya untuk terus berjuang.
Keperwiraan Askar Melayu
Walaupun dilihat sebagai satu kekalahan kepada Askar
Melayu, pertempuran ini melihatkan keperwiraan Rejimen Askar Melayu dan daya
juang yang tinggi. Ada pihak yang berpendapat sekiranya pasukan artileri
Australia yang berada berhampiran diberikan kebenaran membantu pasukan Askar
Melayu semasa pertempuran ini, kemungkinan besar keputusannya agak berlainan,
dan mungkin perwira-perwira Melayu ini akan mencapai kemenangan.
Mubin Sheppard, seorang pegawai British yang menjadi
tawanan perang selepas penyerahan diri Tentera British, menceritakan mengenai
sahabatnya Leftenan Muda Adnan bin Saidi sebagai … “walaupun bilangan musuh
jauh lebih ramai daripada bilangan askar-askarnya, dan dia dibom secara
berterusan, Adnan terus berjuang dan menyebabkan kemalangan jiwa yang besar di
kalangan askar-askar Jepun. Adnan pasti tidak menyerah diri walau apapun yang
terjadi. Dia begitu dedikasi kepada perjuangannya. Sebelum pertempuran, dia menyeru
anggota-anggota platunnya untuk "biar putih tulang, jangan putih
mata".
Walau apapun, Tentera British, Tentera Australia, Tentera
India British dan Tentera Jepun sendiri kagum dengan kebolehan Askar Melayu.
Koperal Yaakob, salah seorang daripada hanya beberapa orang
askar Melayu yang terselamat semasa Pertempuran Bukit Chandu menyaksikan
pembunuhan Leftenan Muda Adnan. Dalam keliru pertempuran, Yaakob rebah dan
jatuh di atas mayat askar-askar lain yang terkorban. Dia membuat seperti orang
mati.
Menurut Yaakob, tentangan hebat yang diberikan oleh Askar
Melayu menyebabkan orang-orang Jepun naik berang dan apabila Adnan ditawan,
mereka mengheretnya dan menolaknya masuk ke dalam satu karung guni. Askar Jepun
kemudiannya menggantungkan Adnan dengan kaki di sebatang pohon ceri dan
menikamnya menggunakan bayonet berulang kali. Leher Adnan juga dikelar berulang
kali. Askar Jepun memberikan amaran kepada orang tempatan untuk tidak
mengalihkan mayat Adnan, dan mayatnya tidak diusik walaupun lama selepas
pertempuran tamat untuk diuruskan pengkebumiannya.
Askar-askar Australia yang bertahan berhampiran dengan
Bukit Chandu melihat keberanian Askar Melayu semasa pertempuran. Menurut
Leftenan Penrod V. Dean dari pasukan Batalion 2/4 Mesingan, anggota Askar
Melayu menggali kubu pertahanan tetapi jelas sekali mereka tidak mempunyai
persenjataan yang banyak. Mereka menentang askar Jepun dengan menggunakan
senapang sahaja, dan apabila askar Jepun berjaya menembusi benteng pertahanan
mereka, askar-askar Melayu melawan mereka menggunakan bayonet. Mereka menyerbu
askar Jepun menggunakan bayonet dan berjaya menangkis kemaraan askar Jepun ke
arah Reformatory Road. Jelas sekali askar Melayu cukup berani. Mereka berjuang
bermati-matian, tetapi bilangan askar Jepun terlalu ramai - untuk setiap orang
anggota Askar Melayu ada 10 ataupun 12 orang askar Jepun. Keadaan mereka
bagaikan retak menunggu belah.
Keesokan hari Jeneral A. E. Percival megarahkan Tentera
British untuk menyerah diri. Pihak Jepun mengasingkan pegawai dan anggota
lain-lain pangkat dari pasukan askar Melayu. Anggota-anggota lain pangkat
dihantar ke Farrer Park untuk bersama-sama dengan askar-askar India. Kapten Rix
dan kesemua pegawai British yang bertugas dengan Batalion Pertama Askar Melayu
terbunuh.
Burhan Muslim yang tinggal di Bukit Chandu menceritakan
beliau bersama sepupunya pergi ke sebuah banglo di Bukit Chandu beberapa hari
selepas pertempuran itu. Di dalam salah sebuah banglo di Pepys Lane, beliau
melihat mayat-mayat yang dicincang bertaburan. Di dalam sebuah bilik terdapat
mayat seorang pegawai Melayu. Lehernya telah dikelar berulang kali dan
uniformnya berlumuran darah. Daripada lencana di uniform tersebut Burhan
merumuskan mayat itu mayat seorang pegawai. Burhan merasakan mayat itu kemungkinan
merupakan mayat Leftenan Adnan.
Korban Pertempuran
Sepanjang kempen mempertahankan Semenanjung Tanah Melayu
dan khususnya semasa mempertahankan Singapura pada 12 Februari hingga 14
Februari 1942, Rejimen Askar Melayu mengalami kehilngan seramai 159 orang
pegawai dan anggota yang terbunuh (6 orang pegawai British, 7 orang pegawai
Melayu dan 146 orang lain-lain pangkat). Ramai lagi yang cedera. Bilangan askar
Jepun yang terbunuh dalam pertempuran dengan askar Melayu tidak diketahui,
tetapi bilangannya tentu ramai.
Kesan
Walaupun telah menjadi tradisi bagi Tentera British untuk
mewujudkan rejimen-rejimen terdiri daripada rakyat pribumi jajahan yang
ditakluki, pihak British hanya bersetuju menubuhkan pasukan Askar Melayu dalam
tahun 1936 setelah didesak oleh Raja-Raja Melayu. Apabila perang meletus, banyak
pihak termasuk kepimpinan tentera British sendiri meragui keupayaan
anggota-anggota Askar Melayu .
Pada keseluruhannya, Pertempuran Pasir Panjang pada amnya
dan Pertempuran Bukit Candu khususnya menampilkan keperwiraan anggota-anggota
pasukan Askar Melayu , yang sebelum itu diragukan keupayaan mereka sebagai
perwira. Menurut penulis British Noel Barber yang mengarang buku “Sinister
Twilight”, menggambarkan pasukan Askar Melayu sebagai “sebuah pasukan tentera
regular yang terdiri daripada anak-anak watan yang diperintah oleh
pegawai-pegawai British yang berbahasa Melayu yang melukiskan kepincangan
keputusan British untuk tidak mewujudkan lebih banyak pasukan sepertinya
sebelum meletusnya perang, di mana askar-askar terdiri daripada anak-anak watan
ini akan bermati-matian mempertahankan tanah air mereka”.
Jeneral A. E. Percival sendiri mengambil maklum bahawa
pasukan Askar Melayu telah menunjukkan apa yang dapat dicapai oleh pasukan yang
mempunyai semangat esprit de corps dan disiplin diri yang tinggi. Anggota Askar
Melayu bertahan di pertahanan mereka sehingga mereka gugur kesemuanya.
Pertempuran Pasir Panjang dan Pertempuran Bukit Candu
melibatkan pegawai dan anggota Askar Melayu mencontohkan bentuk pengorbanan
tertinggi pasukan tersebut untuk menegakkan “tanggungjawab, kehormatan dan
kedaulatan negara”. Pertempuran ini kini dikenangi di sebuah pusat peringatan
Reflections at Bukit Chandu di Singapura dikendalikan oleh Arkib Negara
Singapura.
Lt Dato' Adnan bin Saidi
Adnan bin Mohd Saidi atau lebih dikenali sebagai Lt. Adnan
Saidi dilahirkan di Kampung Sungei Ramal, Kajang, Selangor pada tahun 1915.
Adnan Saidi merupakan anak sulung dalam keluarganya. Adik-adiknya, Ahmad bin
Saidi dan Amarullah bin Saidi juga merupakan anggota tentera. Ahmad Saidi
terbunuh dalam pertempuran selepas dia memasuki angkatan laut pada tahun 1939.
Kapalnya, HMS Pelanduk, ditenggelamkan oleh Jepun dalam pelayaran ke Australia.
Adnan Saidi menerima pendidikan di Pekan Sungei Ramal dalam
aliran Inggeris. Dia merupakan pelajar yang rajin dan berjaya dalam
pengajiannya. Selepas menamatkan pengajiannya, Adnan terpilih sebagai guru
pelatih dan mengajar (alma mater) selama lebih satu tahun. Adnan Saidi
kemudiannya mengambil keputusan untuk memasuki tentera.
Pada tahun 1933, ketika berusia 18 tahun, Adnan Saidi
memasuki Rejimen Askar Melayu (Malay Regiment). Setahun kemudian, dia terpilih
sebagai rekrut terbaik. Pada tahun 1936, Adnan dilantik ke pangkat Sarjan –
kenaikan pangkat yang pantas bagi seorang tentera muda. Pada tahun 1937, Adnan
Saidi terpilih untuk mewakili platunnya dalam perbarisan memberi hormat di
London bagi menyambut pertabalan Raja George VI. Tidak lama selepas itu, Adnan
Saidi sekali lagi dinaikkan pangkat kepada Kompeni-Sarjan-Major dan dihantar ke
Singapura untuk kursus latihan pegawai. Setelah menamatkan kursus beliau
dinaikkan menjadi pegawai dengan pangkat Leftenan Muda, Adnan Saidi dilantik
sebagai ketua Platun ke-7, Kompeni 'C' .
Sekembalinya Lt. Adnan Saidi daripada London, dia berkahwin
dengan seorang guru dikampungnya, Puan Sophia Pakih Muda dan mendapat tiga
orang anak: dua lelaki, Mokhtar dan Zainudin (yang tinggal di Seremban dan
Johor), dan seorang anak perempuan. Tetapi bayi perempuannya meninggal sejurus
selepas kejatuhan Singapura.
Pada akhir 1941, Lt. Adnan Saidi ditempatkan di Singapura
dan membawa keluarganya bersama-sama. Mereka tinggal di rumah besar di Pasir
Panjang, dalam kawasan yang dikhaskan untuk keluarga Rejimen Askar Melayu.
Apabila berita peperangan Perang Dunia II semakin hampir,
dan pihak Jepun bersedia untuk menjajah Singapura, Lt. Adnan menghantar
keluarganya kembali ke kampung mereka di Kajang Ini merupakan masa yang getir
bagi Lt. Adnan kerana isterinya, Sophia, sedang mengandungkan anak mereka yang
ketiga. Ini merupakan kali terakhir mereka bersama.
Pertempuran di Bukit Candu
Sejarah pendaratan Jepun di Tanah Melayu dan tindakan
pantas tentera Jepun memaksa Tentera British berundur ke Singapura.
Pertempuran-pertempuran akhir mempertahankan Singapura termasuk pertempuran di
Pasir Panjang yang lebih dikenali sebagai Pertempuran Bukit Candu. Bukit Candu
dinamakan sempena kilang memproses candu yang dahulunya terletak di kaki bukit
tersebut.
Pertempuran sengit telah berlarutan beberapa hari
sebelumnya. Tentera Jepun yang biasa bertempur dari ketumbukan Tentera ke 25
yang terkenal berjaya mengatasi kedudukan pertahanan strategik di Singapura.
Bukit Candu menandakan sempadan pertahanan terakhir. Ia merupakan kedudukan
pertahanan penting di Singapura berasaskan dua alasan strategik; ia boleh
melihat bahagian utara Singapura dan selain itu, sekiranya pihak Jepun mengawal
permatang, ia memberikan mereka laluan langsung ke kawasan Alexandra. Kawasan Alexandra
merupakan tapak depoh bekalan peluru dan bekalan utama, hospital tentera dan
kemudahan utama Tentera British. Dengan itu, permatang tersebut perlu
dipertahankan bersungguh-sungguh.
Pertahanan permatang itu telah ditugaskan kepada Kompeni
'C' . Kompeni 'C' merupakan sebahagian satu pasukan kecil Batalion Pertama
Rejimen Askar Melayu (1 Melayu). Batalion 1 Melayu dan Batalion 2 Melayu,[1]
bersama-sama dengan batalion ke-2 "Loyal Regiment" Tentera British
dipusatkan menjadi Briged Infantri Pertama Malaya (1st Malaya Brigade)
Pada 13 Februari 1942, Division Chrysanthemum Tentera
Imperial Jepun yang handal di bawah pemerintahan Lt. Gen. Renya Mutaguchi
menumpukan perhatian mereka kepada persisiran selatan Singapura - Permatang
Pasir Panjang. Pada pagi tersebut, permatang tersebut dibedil bertalu-talu
dengan sokongan udara, mortar berat dan bedilan meriam. Kompeni 'C' dan Lt.
Adnan Saidi ketika itu[2] telah ditempatkan di Perkampungan Pasir Panjang telah
memberikan tentangan hebat. Akhirnya tentera Jepun terpaksa berundur disebabkan
tentangan sengit daripada Kompeni 'C'. Adnan dan orang-orangnya telah membina
benteng pertahanan Rejimen di kawasan tanah tinggi, yang dikenali sebagai Celah
(Gap). Walaupun mempunyai bilangan anggota yang lebih ramai, pasukan Jepun di
bawah Major Kimura gagal menembusi barisan pertahanan di Celah (Gap).
Pada tengah malam 14 Februari 1942, Kompeni 'C' menerima
perintah untuk bergerak ke tapak pertahanan baru - Pt. 226, Bukit Candu. Lebih
ramai askar tambahan ditempatkan ke pasukan di bawah pimpinan Adnan –
menjadikan jumlah keseluruhannya 42 kesemuanya. Selepas meninjau persekitaran
dengan cermat, Lt. Adnan Saidi memerintah orang-orangnya untuk memperkukuhkan
benteng pertahanan mereka dengan beg pasir. Kawasan bukit tersebut dikelilingi
dengan benteng beg pasir.
Pada awal petang 14 Februari, pihak Jepun melancarkan
serangan berhelah. Daripada Jalan Pepys Road mendaki Pt.226, Adnan Saidi yang
ketika itu berusia 27 tahun, memantau kontinjen "tentera Sikh"
daripada Tentera British India (British-Indian Army) mara. Penglihatannya yang
tajam dan kecerdasan fikirannya membolehkan Lt. Adnan perasan sesuatu tidak
kena apabila menyedari tentera berturban yang mara itu bergerak dalam kumpulan
berempat dan bukannya bertiga seperti Tentera British. Menyedari helah
tersebut, Lt. Adnan Saidi dan anak buahnya melepaskan tembakan dan berjaya
membunuh sekitar 20 orang musuh pada jarak dekat, dengan itu memaksa tentera
Jepun berundur.
Dua jam kemudian, tentera Jepun telah melancarkan serangan
besar-besaran dalam bilangan yang besar. Serangan tersebut menumpaskan Lt.
Adnan Saidi dan tenteranya. Dengan bilangan yang jauh lebih kecil dan
kekurangan peluru, Regimen Melayu bertempur dalam pertempuran sehingga ke
mati.walaupun leftenan adnan terkorban,namun lebih daripada 800 askar yang
telah dibunuh oleh leftenan adnan dan regimennya.
Gugurnya Seorang Perwira
Pertempuran sengit berlanjutan di Bukit Candu. Semua jenis
senjata digunakan, termasuk bom tangan dan senjata automatik. Lt. Adnan sendiri
mengendalikan senjata mesingan jenis Lewis gun. Dalam kebanyakan kes, askar
bertempur dalam pertempuran berhadapan menggunakan bayonet. tetapi, mereka
kekal bertahan mengecewakan pihak musuh. Dalam pertempuran yang berikutnya
pegawai dan tentera mati. Adnan cedera parah tetapi enggan berundur dan
sebaliknya menyuruh orang-orangnya berjuang sehingga ke titisan darah terakhir.
Keberaniannyalah yang menaikkan semangat juang orang-orangnya untuk bertahan
bersungguh-sungguh.
Korporal Yaakob, yang mendapat Pingat Keberanian Medal of
Gallant, merupakan salah seorang daripada mereka yang terselamat dalam
pertempuran Bukit Candu. Dalam kacau-bilau pertempuran, beliau yang cedera
jatuh di atas mayat mereka yang terkorban. Beliau terselamat dengan
berpura-pura mati disamping mayat rakannya dan melihat kematian mengerikan
Adnan Saidi. Musuh yang menang berjaya menawan Lt. Adnan. Akibat perasaan
dendam kerana keberaniannya melawan Jepun, ketua platun itu diseret sebelum
diserkup dengan guni. Tentera Jepun kemudiannya telah menggantungkan kakinya
pada pokok ceri.[3], [4] Kerana meradang akibat kehilangan ramai rakan, tentera
Jepun kemudiannya telah menikamnya dengan bayonet berkali-kali. Dalam kejadian
lain disebut lehernya telah dikelar. Kejadian ini dilihat oleh Koperal Yaakob.
Selepas pertempuran, pihak Jepun melarang sesiapapun menurunkan mayatnya untuk
dikebumikan, dan tiada seorangpun yang berani. Malah menurut beberapa sumber,
tubuh Lt. Adnan Saidi yang dicacatkan itu dibakar menjadi abu.
Beberapa tahun lalu, Haji Burhan Muslim, yang tinggal
berhampiran Bukit Candu, teringat telah memanjat bukit dengan sepupunya
beberapa hari selepas pertempuran tersebut. Dalam salah satu rumah banglo yang
terdapat di bukit Lorong Pepys, dia melihat mayat askar Melayu yang dipancung
merata-rata. Dalam salah satu bilik, terdapat mayat seorang tentera Melayu yang
lehernya dikelar. Pakaian seragamnya basah dengan darah. Melihat kepada lencana
yang terdapat pada pakaian seragamnya, Haji Burhan percaya bahawa dia adalah
pegawai berpangkat. Dia percaya bahawa mayat tersebut mungkin mayat Lt. Adnan
Saidi, (mungkin membuktikan mayat Lt. Adnan Saidi tidak dibakar).
Keberanian Lt. Adnan Saidi bersama kontinjen 42 orang
anggota Askar Melayu yang telah bertempur mati-matian untuk mempertahankan
permatang Pasir Panjang merupakan satu episod yang kini kekal dalam lipatan
sejarah. Pertempuran sengit itu disebut khusus dalam perutusan Lt. General A.
E. Percival berkenaan Pemerintahan Operasi Malaya dari tarikh Disember 1941
sehingga 15 Februari 1942:
"Selepas dua jam dibedil dengan meriam dan motar,
tentera Jepun menyerang Regimen Melayu yang mempertahankan Permatang Pasir
Panjang. Regimen Melayu bertempur dengan gagah beraninya tetapi mengalami
kehilangan jiwa yang teruk, dan menjelang petang musuh sampai ke Celah
(Permatang Pasir Panjang)..."
"After two hours of heavy shelling and mortaring, the
Japanese attacked the Malay Regiment which was holding Pasir Panjang Ridge. The
latter fought magnificently, but suffered heavy casualties, and by afternoon
the enemy had reached the Gap (Pasir Panjang Ridge)…"
Di tapak bersejarah ini, pertempuran bagi pertahanan
terakhir Singapura telah berlarutan selama 48 jam, berakhir dengan satu-satunya
pertempuran jarak dekat tangan-ke-tangan (yang direkodkan) dengan Tentera
Jepun.
www.wikipedia.org
Bersempena dengan Hari Ulang Tahun Keputeraan DYMM Sultan
Selangor pada 8 Mac 2001, Almarhum Leftenan Adnan bin Saidi telah diberi
anugerah Darjah Datuk Setia Sultan Sakahuddin Abdul Aziz Shah (DSSA) pada 31
Julai 2001 (posthumous) bersempena dengan sambutan Hari Pahlawan.
http://www.glogster.com/andreaskosasih/bukit-chandu/g-6m5c7ijp3033fsm9m6oi2a0