Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang
YANG AWAL DAN YANG AKHIR

Friday, November 9, 2018

AF 132 SPECIAL TRIBUTE TO FADZLETTE OTHMAN MERICAN

Fadzlette Othman Merican
 SI GENIT MENCIPTA SEJARAH 
 GEMILANG 



Sejak mencapai kemerdekaan ataupun sejak ATM ditubuhkan, pencapaian wanita dalam ATM tidak pernah menjadi perbualan. Masyarakat menerima kenyataan bahawa wanita tidak perlu mengambil bahagian aktif dalam organisasi ketenteraan. Sehingga tahun 1980an, penglibatan wanita hanya melibatkan tugas dalam bangunan sahaja seperti Kor Kesihatan Diraja (dulunya Kor Ubatan dan Gigian); Kor Perkhidmatan Am (KPA)(Gaji, Perkeranian, Pelajaran atau Perhubungan Raya); dan Rejimen Askar Wataniah. 

Sehingga akhir tahun 1990an, pencapaian tertinggi pegawai wanita dalam ATM adalah pangkat Leftenan Kolonel, dan majoritinya adalah Pegawai Perubatan dan Pergigian.

Pada bulan Oktober 1998, Lt Kol (Dr) Roshidah binti Ishak (Pakar Pergigian) melakar sejarah sebagai pegawai ATM yang pertama dinaikkan ke pangkat Kolonel. Roshidah juga menjadi pegawai wanita pertama dinaikan ke pangkat Brigedier Jeneral pada 1 Jan 2007 dan seterusnya menjadi pegawai wanita pertama dinaikan ke pangkat Mejar Jeneral pada 20 Nov 2015. Bagaimanapun Dr Roshidah merupakan pegawai Tugas Ikhtisas. Mej Jen Datuk (Dr) Roshidah bersara pada bulan April 2017.

Selepas Roshidah, beberapa orang lagi pegawai wanita telah dinaikkan ke pangkat Brigedier Jeneral.

(1)   Brig Jen Dato' (Dr) Thavachelvi a/p S. Tangarajah (Pakar Obstetrik dan Ginekologi) - dinaikkan ke pangkat Brig Jen pada tahun 2009. Dr Thavachelvi merupakan pegawai wanita kedua dinaikkan ke pangkat Brig Jen dan beliau juga merupakan pegawai Tugas Ikhtisas.

(2)   Brig Jen Dato' Norhuda bin Haji Ahmad (Kor Risik Diraja) dinaikkan ke pangkat Brig Jen pada 17 Feb 2011. Norhuda yang ditauliahkan dalam Rejimen Askar Wataniah merupakan pegawai wanita Tugas Am pertama dinaikkan ke pangkat tersebut. 


(3)   Brig Jen Dato' Fadzlette Othman Merican binti Idris Merican (KPA-PR) dinaikkan ke pangkat Brig Jen pada 15 Dis 2013. Fadzlette merupakan pegawai wanita Tugas Am (perkhidmatan tetap) pertama dinaikkan ke pangkat tersebut. Fadzlette juga merupakan pegawai dari kumpulan wanita pertama (seramai 4 orang) ditauliahkan sebagai Pegawai Tauliah Tetap ATM.


(4)   Brig Jen Datin (Dr) Roza Anon binti Mohd Ramlee (Pakar Pergigian) dinaikkan ke pangkat Brig Jen pada 9 Nov 2015.


(5)   Brig Jen (Dr) Sharifah Azlin Juliana binti Syed Zainal (Pakar Pergigian) dinaikkan ke pangkat Brig Jen pada 9 Nov 2015.


(6)   Brig Jen Suriakala a/p Suriabagavan (KPA- Perkeranian) dinaikkan ke pangkat Brig Jen pada 9 Jun 2016.

(7)   Brig Jen Dato' Yohanez binti Ahmad TUDM. Yohanez dinaikkan ke pangkat Brig Jen TUDM pada 12 Ogos 2016. Yohanez juga merupakan pegawai wanita TUDM pertama dinaikkan ke pangkat Lt Kol (2004) dan Kolonel (2012). Yohanez bersara pada bulan April 2017.


(8)   Brig Jen Hajjah Fadzilah binti Abdullah TUDM dinaikkan ke pangkat Brig Jen TUDM pada 9 Januari 2019, merupakan juruterbang wanita pertama dinaikkan ke pangkat Brig Jen.

Dari 9 pegawai kanan wanita yang berpangkat Brigedier Jeneral ke atas, empat darinya adalah pegawai Professional Duty List (dari Kor Kesihatan DiRaja).

Fadzlette naik Mejar Jeneral

Pada 17 November 2017, warga ATM digemparkan dengan kenaikan pangkat Brigedier Jeneral  Datuk Fadzlette Othman Merican bin Idris Merican kepada Mejar Jeneral. Pemakaian pangkat itu menyaksikan Fadzlette sebagai satu-satunya wanita yang masih berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memakai pangkat berkenaan (pada tarikh tersebut). 

Pemakaian pangkat beliau disempurnakan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim di pejabat TPM. Semasa kenaikan pangkat ini, Fadzlette menyandang jawatan  Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri. Fadzlette bertugas dengan  Zahid sejak 2015, ketika Zahid menjadi Menteri Pertahanan.



Apa Mereka Kata?

Kenaikan pangkat Fadzlette menjadi buah mulut (bahan membawang) di kalangan pegawai ATM terutama pegawai lelaki. Menjadi perdebatan yang panas dan emosional dalam media sosial, terutamanya dalam laman facebook. Mereka mempertikaikan kelayakan beliau untuk menjawat jawatan setinggi itu dalam ATM. Alasan mereka, untuk seseorang pegawai mendapat pangkat Mej Jen perlu memerintah sebuah Divisyen Tentera Darat.

Malah ada penulis dalam media sosial mengutuk MINDEF dan Majlis Angkatan Tentera (MAT) yang telah meluluskan kenaikan pangkat ini dengan bahasa kesat. Mereka juga mempertikaikan hak TPM menggunakan pegawai kanan tentera untuk menjawat jawatan Setiausaha Akhbar.

Kebanyakan yang menyuarakan rasa tidak puas hati dan pandangan negatif dan emosional adalah pesara ATM. 

Dalam satu sidang akhbarnya pada 22 Nov 2017, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor membuat penjelasan bahawa pemakaian pangkat Mejar Jeneral kepada Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican bukanlah menggunakan perjawatan sedia ada dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebaliknya ia menjawat perjawatan di Jabatan Perdana Menteri (JPM). Selaku Setiausaha Akhbar TPM, perjawatan berkenaan adalah bertaraf Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) Gred C iaitu sama taraf dengan dengan Mejar Jeneral dalam ATM. Tidak timbul juga isu perjawatan ATM dibawa ke JPM. 

Menurut PAT lagi, kenaikan pangkat bagi seseorang pegawai kanan tentera perlu melalui pemilihan Majlis Angkatan Tentera (MAT) yang dipengerusikan Menteri Pertahanan dan turut disertai Panglima perkhidmatan dalam ATM. Dalam dunia moden hari ini, wanita juga boleh menyumbangkan peranan besar pembangunan negara. Bahkan pada satu ketika juga, tentera darat pernah membuka peluang sebanyak 40 perjawatan infantri kepada wanita.

Salah satu maklum balas komuniti luar ATM yang memberikan justifikasi kelayakan Fadzlette untuk kenaikan pangkat tersebut.

Response Awam

Today, I've received a screenshot alleging the military had wrongly promoted Major General Fadzlette Othman Merican to her current rank, alleging that she, as a woman officer who is also the press officer for Deputy Prime Minister DS Ahmad Zahid Hamidi does not deserve the rank.

The allegation, purported to be from a former air force major, claimed that she is not fit to be promoted to a rank which would qualify her to lead an Army Division. It is with regret that the allegation was thrown without considering Major General Fadzlette's contribution to Malaysian Armed Forces.

I first met her on 8th March 2008 in Port Dickson. She was instrumental in building the relationship between Malaysian Armed Forces and key alternative media players, now known as bloggers.

It was largely through her effort that both mainstream media and alternative media get to learn and even participate in military exercises.

This effort led to better understanding of the role of military in nation-building. This effort is further paid in 2013, where many of these alternative media players played a role helping to disseminate information to the general public on the Lahad Datu and Semporna terrorist intrusion.

Maj Gen Fadzlette had also been instrumental in advising the DPM on military-related matters, which led to her appointment as his press officer. In her role, she had vetted for and ensure information released to press Corp does not affect the operational secrecy of Malaysian Armed Forces as a whole.

Maj Gen Fadzlette has shown exemplary work as an officer of His Majesty Armed Forces. 
While she may be holding a pen instead of carrying a rifle, one must remember that a pen is mightier than a sword.


Fadzlette semasa berpangkat Kolonel

Apa Kata Fadzlette?

Mejar Jeneral Dato' Fadzlette Othman Merican menganggap kenaikan pangkatnya sebagai satu semangat dan cabaran untuk beliau terus bekerja lebih keras dan gigih di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), selepas 37 tahun berkhidmat di dalam pasukan.

Fadzlette melahirkan rasa kesyukurannya terhadap pengurniaan pangkat tersebut dan berterima kasih kepada Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, pihak ATM, ahli keluarga serta rakan-rakan yang banyak menyokong dan memberi kepercayaan kepadanya selama ini.

Tiada cara lain untuk berjaya melainkan dengan usaha yang keras dan minat yang mendalam terhadap kerjaya yang kita ceburi. 

Tanggungjawabnya yang pelbagai dan semakin berat, Fadzlette memberitahu, sebagai wanita, beliau perlu fleksibel dan tidak melihat tanggungjawab itu sebagai bebanan. Ketika di rumah beliau memakai topi sebagai ibu, isteri dan kakak dalam keluarga dan ketika di pejabat, beliau menjalankan tugas sebagai Setiausaha Akhbar dengan sebaik mungkin. Semua ini dapat dilakukan hasil daripada sokongan padu yang diterima daripada ahli keluarga, terutamanya suami yang sangat memahami kerjayanya.

Menjadi seorang pegawai kanan wanita dalam organisasi yang didominasi oleh lelaki bukanlah mudah. Namun cabaran tersebut sudah lama diatasi Fadzlette yang sudah mula memakai pangkat Kolonel sejak 2008 lagi. Menurut Fadzlette, ATM sudah lama membuka ruang kenaikan pangkat dan tidak pernah mendiskriminasi anggota dan pegawai wanitanya. Beliau juga sangat menggalakkan supaya para wanita di luar sana mencuba kerjaya di ATM kerana inilah peluang kita untuk membuktikan bahawa wanita berpotensi untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.

Siling kaca yang menghalang kemajuan wanita dalam bidang ini telah lama dipecahkan, maka beliau berharap kejayaannya dapat menjadi teladan dan pemangkin semangat buat anggota-anggota wanita yang lain untuk merebut peluang yang terhidang.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/fadzlette-wanita-tunggal-berpangkat-mejar-jeneral-dalam-atm-1.554731#ixzz5Vc2h3MR0
© Utusan Melayu (M) Bhd


Fadzlette semasa berpangkat Brigedier Jeneral 

Kenali Dato' Fadzlette

Secara peribadi, aku kurang mengenali Dato' Fadzlette kerana kami tidak pernah berpeluang bertugas di jabatan yang sama. Hanya mengenali beliau sebagai Pegawai Perhubungan Raya (PRO) di Bahagian Perhubungan Raya, MINDEF semasa beliau berpangkat Mejar.

Di awal atau pertengahan tahun 1990an, beliau tinggal di OMQ Jalan Golok selang sebuah rumah dengan OMQ 4501 yang aku duduki antara tahun 1993 - 2007. Kebetulan, anak sulung beliau Syed Farid yang ketika itu bersekolah rendah (belajar) mengaji Qur'an di rumahku. Ketika itu, isteriku mengajar anak-anak jiran sekeliling membaca Iqra' dan alQur'an. Ramai juga, hampir 20 orang di sebelah pagi dan petang.

Jadi, ada dua kali aku mengunjungi pejabatnya untuk berbincang tentang anaknya. Di situ sajalah aku mengenalinya. Selain dari itu, sehingga beliau dinaikkan ke pangkat Lt Kol, Kol dan Brig Jen, aku hanya mengenalinya melalui peranan besarnya sebagai Pegawai Perhubungan Raya ATM dan MINDEF.

Dalam tahun 2002 (semasa aku berkhidmat di Kementerian Kewangan), Fadzlette pernah membantu aku untuk menghantar satu artikel yang aku tulis untuk disiarkan di akhbar Utusan Malaysia. Tajuk artikel itu ialah "Cabaran dan Masa Depan Program Kontraktorisasi Senggaraan Pesawat TUDM".

Semasa beliau bertugas sebagai pegawai khas (akhbar) di Seri Perdana, aku (bertugas sebagai Duty Colonel) pernah beberapa kali berjumpa dengan beliau mengiringi isteri mantan PM di Terminal Pergerakan Udara Subang.





dengan berpakaian sebegini, tiada siapa akan menjangka beliau ialah
Mej Jen Dato' Fadzlette

My Views

Berkaitan dengan kenaikan pangkat Fadzlette ke Mejar Jeneral, aku melihat kepada aspek yang lebih luas. Pendapat peribadiku ini bukan berasaskan atau disebabkan aku mengenali dia tetapi berasaskan rasional bukan emosional:

(1)   Lazimnya, setiap pegawai kanan ATM yang telah mencapai pangkat Kolonel adalah layak untuk dinaikkan ke pangkat lebih tinggi lagi iaitu, Brigedier Jeneral,  Mejar Jeneral dan seterusnya, dengan syarat ada kekosongan jawatan dan disokong oleh pegawai atasannya serta diluluskan oleh Majlis Angkatan Tentera (MAT). Fadzlette adalah layak mengikut bidang kepakaran, pengalaman dan kelayakan akademiknya. Fadzlette bukan baru 20 atau 25 tahun berkhidmat TETAPI sudah 38 tahun. Selain dari itu, ada perjawatan yang layak untuk diisi. Ramai lagi rakan seangkatannya (same intake) yang telah berpangkat Jeneral dua dan tiga bintang. 

(2)   Perjawatan Fadzlette adalah di luar perjawatan ATM ataupun MINDEF. Ia tidak mengganggu atau menghalang perjalanan kerjaya (kenaikan pangkat) pegawai kanan lain sama ada dari Kor yang sama atau yang lain dalam ATM. Walaupun ia dilihat sebagai perlantikan politik, ia masih berkaitan dengan tugasnya. Jika Fadzlette bertugas di MINDEF, peranannya hanya untuk ATM/MINDEF, sekadar hal ehwal ketenteraan dan pertahanan sahaja tetapi sebagai SU Akhbar TPM, ia meliputi bidang yang lebih luas hingga ke peringkat antarabangsa.

(3)   Sepatutnya, perlantikan Fadzlette harus dilihat sebagai satu penghormatan kepada pegawai ATM, apa lagi pencapaian seorang pegawai wanita. Kebetulan Fadzlette adalah wanita, sebab itu banyak dipersoalkan. Kalau penyandangnya lelaki keadaan mungkin berbeza. Fadzlette sebenarnya telah memecahkan glass ceiling dalam kerjaya dan bidang kepakarannya.

(4)  Pangkat Mejar Jeneral yang ada dalam ATM pun banyak kategori. Hanya ada 4 Mejar Jeneral sahaja yang memerintah Divisyen dalam Tentera Darat, yang lainnya membuat tugas staf. Ada yang luas ada yang kecil bidang tugasnya. Contoh Mejar Jeneral yang membuat tugas Asisten Ketua Staf (AKS) di Markas TD berbeza peranan dan tanggungjawabnya dengan Mejar Jeneral yang membuat tugas AKS Perkhidmatan Anggota (AKSPA) di Markas ATM. Malah di bawah AKSPA ada beberapa orang Mejar Jeneral seperti Pengarah KAGAT, Pengarah Provos Marsyal serta hampir 10 orang Brigedier Jeneral. Selain dari itu, ada juga pegawai ATM yang dinaikkan ke pangkat Mejar Jeneral untuk jawatan Pengarah di MINDEF yang perjawatan asalnya hanya untuk Kolonel sahaja. Ia tidak pernah dipertikaikan.

(5)  Membuat tugas dalam perjawatan umum (terbuka kepada sektor awam dan politik) adalah satu kelebihan kepada pegawai ATM yang terpilih. Suatu ketika dulu, pernah pegawai kanan ATM dilantik menjadi Duta ke Holland (almarhum Lt Jen Mohd Sany). Pernah juga pegawai ATM dinaikkan pangkat Jeneral penuh atas jawatan sebagai Komander Pasukan Pengaman di Somalia (UNOSOM) yang lazimnya hanya untuk pegawai berpangkat Mej Jen atau Lt Jen sahaja (Jen Aboo Samah). Penasihat Ketenteraan (PK) kepada MENHAN tidak wujud dalam perjawatan. Ia menggunakan perjawatan ATM berpangkat Brig Jen. Adakah Brig Jen bertugas sebagai PK MENHAN hendak dibandingkan dengan rakan sejawatnya yang memerintah sebuah Briged?.  Jadi, bukan satu perkara yang perlu dipersoalkan untuk Fadzlette berpangkat Mej Jen membuat tugas SU Akhbat TPM. Ada perjawatan dan ada kelayakan. Ini melambangkan bahawa pegawai ATM adalah pegawai yang versatile dalam apa jua keadaan dan situasi.

(6)   Di Istana Negara terdapat tiga Juruiring Tentera berpangkat Brig Jen. Adakah sesiapa pernah mempertikai kedudukan 3 orang Jeneral yang menjadi Juruiring di Istana Negara dengan membandingkan dengan tugas sepatutnya memerintah 3 buah Briged?. Pernah juga jawatan Dato' Maharaja Lela, Istana Negara disandang oleh pegawai ATM berpangkat Mej Jen. Wajarkah untuk sesiapa mempertikaikan perlantikan tersebut?. Adakah anda mahu membandingkan tugas Dato' Maharaja Lela dengan Panglima Divisyen Infantri?

Itulah yang aku maksudkan sebagai pemikiran mengikut rasional dan emosional. Akhir sekali ialah merujuk kepada pegangan kita kepada Rukum Iman ke 6 iaitu "Percaya kepada Qadha' dan Qadar Allah". Manusia hanya berusaha, berdoa dan tawakkal. Ketetapan adalah hak Allah swt, malah telah tertulis sebelum ruh kita dipasangkan dengan tubuh badan kita. Mempertikaikannya adalah sama seperti mempertikaikan hak Allah swt.


Utusan Online
(7 Januari 2007)
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Polis_%26_Tentera&pg=te_01.htm#ixzz5Vc26fy2U © Utusan Melayu (M) Bhd




"YOU DON'T HAVE TO PLAY MASCULINE TO BE A STRONG WOMAN"
-Mary Elizabeth Winstead-


MEJAR JENERAL DATO' HAJJAH FADZLETTE OTHMAN MERICAN BINTI IDRIS MERICAN DIMP PAT KAT KMN KMW PJM PPS PPA (BERSARA) (3001629)

Fadzlette dilahirkan di Hospital Bangsar, Kuala Lumpur pada 10 Nov 1962 dan nama penuhnya ialah Fadzlette Othman Merican binti Idris Merican. Kehidupan zaman kanak-kanaknya kerap berpindah negeri kerana mengikuti ayahnya yang juga merupakan seorang pegawai Kor Armor Diraja (dulunya Kor Peninjau Diraja - bersara Leftenan Kolonel), Tentera Darat Malaysia. Datuk sebelah ibunya, Buyong bin Saad merupakan salah satu dari 25 anak Melayu yang menyertai kumpulan pertama (pioneer) Kompeni Percubaan Askar Melayu pada 1 Feb 1933 yang menjadi nukleas kepada penubuhan ATM hari ini. 




Sekolah terakhirnya ialah Methodist Girl School (MGS), Jalan Cenderasari (dulu Jalan Young- juga Jalan Hospital (Tanglin), Kuala Lumpur di mana Fadzlette menamatkan Tingkatan 5 dan mengambil peperiksaan MCE pada tahun 1979. 


Related image
 Methodist Girl School, Kuala Lumpur

Sebaik sahaja menamatkan Tingkatan 5 (lulus MCE) di MGS, atas desakan ayahnya, Fadzlette yang mempunyai enam orang adik beradik ini menyertai latihan Pegawai Kedet Tauliah Tetap (Panggilan ke 21) di Maktab Tentera Diraja mulai Jun 1980. Sebelum ini, abangnya Fadzli Merican juga menyertai ATM dalam Kor Artileri (Fadzli bersara dalam pangkat Lt Kol dan meninggal dunia pada bulan Mei 2018.


Enam beradik, anak-anak allahyarham Lt Kol Idris Merican (Bersara)


Latihan Pegawai Kadet 

Selaku Pegawai Kadet kumpulan pertama yang diambil untuk berkhidmat secara tetap, Fadzlette telah melalui pengalaman yang unik dan mungkin tidak pernah dilalui oleh pegawai atau anggota tentera wanita pada masa kini. Menjadi kumpulan pertama adalah satu perkara yang amat baru bagi pegawai atau jurulatih lelaki pada masa itu. Pada peringkat awal, mereka terpaksa diasingkan daripada kadet lelaki dan adakalanya melakukan perbarisan sekadar lima orang dalam satu kumpulan. Ini kerana jurulatih tidak pernah melatih kadet wanita sebelum ini. 



Fadzlette tidak dapat lupa apabila Pegawai Kadet wanita terpaksa memakai baju Physical Training (PT) atau senaman yang direka khusus untuk kadet lelaki. Baju PT lelaki itu memiliki banyak lubang untuk pengaliran udara yang boleh menampakkan susuk badan, kami yang wanita pun terpaksa juga pakai kerana itu yang diarahkan dan sebagai Pegawai kadet tidak berani membantah kerana jurulatih yang garang-garang belaka.

Namun perkara-perkara itu hanya bersifat sementara dan ia telah diatasi oleh pihak ATM secara perlahan-perlahan. Pada masa itu sebenarnya ATM sendiri sedang melalui fasa perubahan dan penyesuaian dengan kehadiran kadet wanita. Keadaan semakin berubah dan mereka dapat menyesuaikan diri dengan kadet-kadet lelaki sehingga adakalanya banyak pihak tidak sedar bahawa mereka adalah kadet wanita kerana pakaian yang sama, tubuh yang tegap, kulit menjadi gelap, rambut pendek, perawakan yang tegas. Ia hanya dapat dibezakan sebagai wanita ketika bercakap sahaja.

  
  
  
BORING betulll, yang kemudian didulukan, yang dulu dikemudiankan, asyik tuuu je,  harap-harap instructor tak soal aku kat belakang ni.

  
city girl, dapat naik rakit

perbarisan pentauliahan, hilang semua sakit sengal selama dua tahun

Fadzlette sebenarnya bercita-cita untuk menjadi seorang arkitek tetapi ayahnya yang juga seorang anggota tentera banyak mendorong agar menyertai badan beruniform itu. Sifat tentera sudah sebati dalam diri dan jiwa ayahnya dan ayahnya terlalu inginkan jika boleh semua anak-anaknya menyertai bidang ketenteraan. Malah, ayahnya sendiri  yang mengisi borang permohonan untuk memasuki tentera pada tahun 1980. Malah, Fadzlette bercita-cita menjadi Pegawai Kor Armor seperti ayahnya kerana sejak kecil meminati kereta kebal.

Darah ketenteraan yang mengalir kuat dalam tubuh Fadzlette sebenarnya bukan setakat dari ayahnya. Datuknya dari sebelah ibu, Buyong Abu adalah antara 25 anak watan yang pertama menyertai Askar Melayu pada 1933. Sehingga berkahwin Fadzlette dikelilingi oleh keluarga tentera kerana suami dan bapa mertua pun anggota tentera juga.

Semasa menjalani latihan di MTD, Fadzlette di dalam Kompeni Alam Shah (dua yang lain ialah Kompeni Syed Putra dan Kompeni Abdul Rahman). Antara rakan seangkatan dengan Fadzlette yang mencapai kedudukan yang tinggi dalam ATM ialah Ackbal Abdul Samad (Jen TUDM, Tan Sri), Masrani Paiman (bersara Mej Jen, Datuk), Redzuan Baharudin (bersara Lt Jen, Datuk), Hasan Ali (bersara Lt Jen, Datuk); Ismet Nayan Ismail (bersara Brig Jen, Dato'); Kamarul Fauzi (Brig Jen, Dato'), Raja Ahmad Ikram Raja Othman (bersara Mej Jen TUDM, Dato'); Md Din Abu (bersara Mej Jen, Dato'); dan Mohd Kenali Basiron (Brig Jen, Dato').

Setelah ditauliahkan pada bulan Jun 1982 dalam Kor Perkhidmatan Am (KPA) Bahagian Perhubungan Raya beliau bertugas di pelbagai peringkat organisasi ATM seperti Kuching, Kota Kinabalu dan Pulau Pinang. Namun sebahagian besar tempoh kerjayanya berkhidmat di Kementerian Pertahanan. 


Semasa menjadi pegawai muda bertugas sebagai Pegawai Seranta


menghadiri alah satu Seminar Pegawai Perhubungan Raya


Selain menghadiri kursus-kursus kerjaya sebagai pegawai ATM, sepanjang perkhidmatannya, Fadzlette telah terpilih menghadiri pelbagai kursus yang berkaitan atau tidak dengan kepakaran dan pengurusan media di dalam dan di luar negara.  Antaranya, ialah Kursus Penasihat Pertahanan, Chemical Biological, Radiological and Nuclear (CBRN) Course, Terrorist Attack and CBRN Awareness Course dengan kerjasama Univ, Diploma in English di DLIELC, Lackland Air Base, San Antonio, Texas USA dan Diploma in Public Affairs Officer di Defence Information School di Fort Meade Army Education Center, Maryland USA. Fadzlette juga pernah menghadiri Public Affairs Symposium di Hawaii


Fadzlette semasa menghadiri Public Affairs Officer di Defence Indormation School di Fort Meade Army Education Center, Maryland USA

Fadzlette semasa menghadiri kursus di Defence Language Institute, English Language Centre (DLIELC) Lackland, San Antonio USA

Bagi meningkatkan kelayakan akademiknya, Fadzlette juga mendapat biasiswa Kementerian Pertahanan untuk melanjutkan pengajian tertiary di Institut Teknologi MARA (sekarang Universiti) dari tahun 1988 hingga 1991 dan dianugerahi Bachelor of  Mass Communication (Public Relations) dan seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan dikurniakan ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengurusan Komunikasi) pada tahun 1995.

Fadzlette terpilih mengikuti kursus staf di Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) Haigate pada tahun 2001 dan lulus (psc) serta menerima Diploma Pengajian Strategik Pertahanan dari Universiti Malaya. 



Fadzlette menerima Diploma MTAT dari MENHAN (Dato' Sri Najib)

menghadiri bengkel PR di Bukit Fraser

Pengalaman Bernilai

Fadzlette mempunyai pengalaman luas dalam bidang perception management dan berperanan besar dalam meningkatkan imej ATM dan MINDEF di peringkat nasional dan antarabangsa.  Kadangkala wartawan gemar memanupulasikan sesuatu sumber berita agar menjadi panas atau glamour bagi menarik pembacanya. Di sini  Public Relation Officer dalam sesebuah organisasi memainkan peranan penting dalam memberikan situasi dan latar belakang sebenar sesuatu sumber berita.

Berada di lokasi sebenar adalah pengalaman yang bernilai tinggi bagi seseorang Pegawai Seranta (PRO) wartawan (journalist) bagi mendapat gambaran sebenar sebelum diterjemahkan dalam bentuk penulisan. Antara tugasan penting Fadzlette yang tidak dapat dilupakan ialah pengalaman membawa kumpulan media ke kawasan operasi seperti, operasi MALBATT di Bosnia Herzegovina, penempatan tentera di Terumbu Layang-Layang, kawasan OP PASIR di Timur Sabah, penempatan tentera di Pulau Perak dan Tasik Banding serta penglibatan trup ATM dan bantuan perubatan di Cambodia, Bosnia, Pakistan, Morocco.

Selain dari itu, Fadzlette juga berpeluang menghadiri upacara penugasan pegawai dan anggota dari Batalion Pertama RAMD yang ditumpangkan ke London Distict Public Duties  yang membuat tugas dengan kawalan istiadat di Buckingham Palace, St James Palace, Windsor Palace dan London Tower. Fadzlette juga berpeluang menyertai lawatan Menteri Pertahanan lokasi pembinaan kapal selam TLDM di Toulon, Perancis.

Fadzlette merupakan pegawai  Tauliah Tetap wanita pertama yang dinaikkan pangkat Kolonel dan Jeneral. Sebelum ini pegawai-pegawai wanita yang mencapai pangkat Kolonel ke atas merupakan sama ada Pegawai Tugas Ikhtisas atau pegawai yang diserapkan dari Rejimen Askar Wataniah.


Fadzlette berkahwin dengan Syed Feisal Alsagof pada tahun 1986. Syed Feisal juga seorang pegawai tentera (bersara Kapten) dan kini menjalankan perniagaan sendiri. Perkahwinan mereka dikurniakan dua orang putera dan seorang puteri; Syed Farid Alsagof (lahir 1987) kini bertugas sebagai seorang juruterbang di syarikat penerbangan swasta; Syarifah Farihan Alsagof (lahir 1992); dan Syed Faris Alsagof (lahir 1993). Syed Farid dan Syed Faris mewarisi darah satria kedua ayah dan bondanya  dengan meneruskan pengajian menengah di Maktab Tentera Diraja (MTD). Syed Faris kemudiannya melanjutkan pengajian ketenteraan di Australian Defence Force Academy (ADFA) dan meneruskan kerjaya  seorang pegawai ATM apabila ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja.


Image may contain: 5 people, people standing and beard 
Fadzlette bersama suami dan tiga anak-anaknya


Syed Faris, graduan ADFA, Canberra mewarisi kerjaya ayah dan bondanya


bersama anak kedua Sharifah Farihan dan anak ketiga, Syed Faris



Perawakan

SEKALI imbas, Fadzlette Othman Merican Idris Merican kelihatan seperti wanita biasa yang memiliki keperibadian yang dipenuhi sikap lemah-lembut dan rupa paras yang menarik. Bagi yang tidak mengenali beliau, mungkin akan beranggapan dirinya hanyalah seorang suri rumah yang ideal.

Namun, Fadzlette setelah 38 tahun berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mesra dengan panggilan 'Kak Long' oleh rakan pegawai-pegawai ATM telah mencipta sejarah sebagai wanita pertama dalam sejarah Kor Perkhidmatan Am (KPA) (Perhubungan Raya) yang dipakaikan pangkat Kolonel, Brigedier Jeneral dan Mejar Jeneral. Beliau juga adalah satu-satunya pegawai wanita yang kekal hingga tarikh persaraan daripada 5 Pegawai Kadet Wanita Tauliah Tetap Panggilan ke 21 yang juga kumpulan pertama wanita Tauliah Tetap diambil untuk berkhidmat dalam cabang darat ATM pada tahun 1980. Empat orang lagi rakan wanita seangkatannya ialah; Pegawai Kadet (PK) Norazaliah (tidak menamatkan latihan), PK Norkiah binti Jalaludin (bersara Mejar; PK Norizam binti Md Yusof (bersara Kapten dan telah meninggal dunia pada bulan Jun 2018) dan PK Rozita binti Abdul Ghani (bersara Kapten).


Empat serikandi perintis yang berjaya menamatkan latihan bersama Pegawai Kadet Tauliah Tetap Intake ke 21; dari kiri Fadzlette, Rozita, Noorkhiah and Norizam (allahyarhamah)

Penampilan dirinya yang lemah-lembut kerap mengelirukan banyak pihak mengenai siapa dirinya yang sebenar. Fadzlette menceritakan bagaimana tanggapan masyarakat kepada bidang ketenteraan adalah agak berbeza dengan penampilan dirinya itu. Masyarakat lazimnya beranggapan bahawa tentera wanita mesti bersifat kasar, berkulit gelap dan tegas seperti lelaki. 

Namanya Fadzlette Othman Merican itu sendiri membuatkan sesiapa sahaja yang tidak pernah bertemu atau bercakap dengannya menyangka beliau adalah lelaki. Bagi orang yang buat kali pertama menghubungi melalui telefon pastinya akan terperanjat apabila yang menjawab dan memperkenalkan diri adalah suara lembut seorang wanita.

Sebaliknya, orang yang mengenalinya secara umum (sebagai seorang wanita) akan membuat telahan bahawa namanya ialah Fadzlette binti Othman Merican. 


Related image
salah satu tugas Fadzlette di pejabat


menghargai sumbangan staf bawahan


menghadiri majlis istiadat ketenteraan

Berkaitan tugasnya sebagai Pegawai Perhubungan Raya, ia mempunyai peranan yang amat bermakna kerana menjadi jambatan penghubung antara pihak tentera dan orang awam. Selain itu, jabatan itu juga telah membentuk dirinya daripada seorang gadis biasa kepada seorang wanita yang telah banyak menyaksikan konflik dan bencana di dunia luar Malaysia seperti di Bosnia dan Indonesia.

Fadzlette tidak pernah menyesal menyertai bidang tentera bahkan gembira melihat bagaimana ATM kini banyak memberikan peluang dan ruang kepada pembangunan kerjaya anggota dan pegawai wanita. Beliau sendiri menggalakkan wanita menyertai ATM.


Fadzlette segak berpakaian kombat

Image result for fadzlette pakai Kolonel
  
Sebagai PRO, Fadzlette juga sampai ke kawasan operasi barisan hadapan 


menyertai pertandingan dalam aktiviti BAKAT

Image may contain: 2 people, people standing
Reunion skot Regular 21 MTD


“Feminism isn’t about making women strong. Women are already strong. It’s about changing the way the world perceives that strength” 
-G.D. Anderson-


Memecah Tradisi KEMENTAH

Pangkat tertinggi (perjawatan hakiki) dalam kerjaya sebagai pegawai Kor Perkhidmatan Am (PR) hanyalah setakat Mejar. Terdapat satu perjawatan hakiki Lt Kol adalah jawatan terbuka (Darat/Laut/Udara) sebagai Timbalan Pengarah Perhubungan Awam KEMENTAH. Jawatan itu disandang oleh Fadzlette sejak tahun 2001.  Mengikut perjawatan MINDEF, Pengarahnya adalah seorang pegawai (perkaderan) dari Kementerian Penerangan.

Pada tahun 2006, Fadzlette telah membuat keputusan untuk masa depan kerjayanya sebagai Pegawai Perhubungan Awam dengan bersara awal dan permohonannya telah pun diluluskan oleh Majlis Angkatan Tentera (MAT). Beliau telahpun mendapat tawaran jawatan yang baik dari PETRONAS. Bagaimanapun Fadzlette telah diberikan tawaran untuk menarik balik persaraannya dan kembali semula berkhidmat dalam ATM untuk mengambil-alih jawatan Pengarah Perhubungan Awam KEMENTAH yang melayakkan beliau untuk dinaikkan ke pangkat Kolonel. Dalam keadaan yang begitu kritikal dengan perasaan yang amat berat dan serba salah, beliau terpaksa melupakan hasrat untuk bersara awal demi untuk mengutamakan keperluan perkhidmatan ATM.

Fadzlette dinaikkan pangkat sebagai Kolonel berkuatkuasa pada bulan September 2006. Itulah rezeki Fadzlette yang (menurut katanya) telah menjadi bahan gosip di kalangan pegawai-pegawai ATM, seolah-olah beliau sanggup kembali ke ATM kerana pangkat dan jawatan. Tanpa Fadzlette menerima jawatan itu, berkemungkinan jawatan itu tidak akan pernah dirasai oleh pegawai ATM. Benar, setelah beliau mengosongkan jawatan itu pada tahun 2013, sehingga beliau bersara (2019), belum ada lagi pegawai ATM yang diberi peluang mengisi perjawatan tersebut.


Penyempurnaan pemakaian pangkat Kolonel oleh PTD (Jen Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddindan) dan TPTD (Lt Jen Datuk Masood Zainal Abidin) pada Sep 2006


Sepanjang tempoh perkhidmatan di dalam ATM, beliau pernah menjadi Pengarah Perhubungan Raya KEMENTAH, Pegawai Khas di Jabatan PM, Pengarah Media Tentera Darat dan kemudiannya dipinjamkan ke KDN sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Dalam Negeri, Pada tahun 24 Disember 2013, Fadzlette dinaikkan ke pangkat Brigedier Jeneral.


Pemakaian pangkat Brig Jen untuk Fadzlette yang disempurnakan oleh YBhg PTD (Jen Raja Mohamed Affandi) pada 24 Dis 2013


Fadzlette memperlihatkan karisma sebagai seorang Jeneral


Kebolehan dan keupayaan Fadzlette diiktiraf oleh kepimpinan MINDEF. Apabila Dato Seri Najib Tun Razak dilantik menjadi Perdana Menteri, beliau dipinjamkan ke Jabatan Perdana Menteri untuk menjaga hal ehwal seranta isteri Perdana Menteri.

Pada 29 November 2014, Fadzlette telah menerima anugerah kebesaran Dato' Indra Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato' dari KDYMM Sultan Pahang.


Setelah beliau menamatkan tugas di JPM dan kembali ke MINDEF, Menteri Dalam Negeri pada masa itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang pernah menjadi Menteri Pertahanan dari tahun 2009 hingga 2013 telah memohon kepada MINDEF supaya Fadzlette dipinjamkan ke KDN untuk membuat tugas Setiausaha Akhbar Menteri Dalam Negeri dan tugas ini diteruskan apabila Zahid dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada bulan Julai 2015.


memberi tabik hormat kepada panji-panji Diraja semasa menghadiri istiadat perbarisan Hari Pahlawan  


Sebagai mengiktiraf perkhidmatan dan sumbangannya selama 38 tahun, Fadzlette telah menerima anugerah Darjah Kebesaran Persekutuan, Negeri dan Darjah Kepahlawanan ATM seperti berikut:

(1)   Darjah Dato' Paduka Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato'.

(2)   Pahlawan Angkatan Tentera (PAT).

(3)   Kesatria Mangku Negara (KMN).

(4)  Kesatria Mangku Wilayah Persekutuan (KMW).

(5)  Pingat Jasa Malaysia (PJM).

(6)  Pingat Perkhidmatan Setia (PPS).

(7)  Pingat Perkhidmatan Am (PPA)



bertugas semasa 5th ASEAN Ministerial Meeting on Drug Matters 2016 di Singapura


Zahid Nuclear Security Summit 2016 di Washington DC


Hari Penamaan calon PRU13 di Sek Men Sains (SMS) Bagan Datuk

  
bertugas semasa lawatan di kompleks Kastam 

sebagai SU Akhabar, penampilan satu perkara yang amat penting


 bersama rakan setugas di JPM/KDN

bertugas melawat perkampungan orang Asli Kg Tohoi, Perak (2015)

Apa Tugas Setiausaha Akhbar Menteri?

TUGAS sebagai Setiausaha Akhbar kepada mana-mana Menteri Kabinet menuntut komitmen tinggi untuk memikul tanggungjawab besar, namun pada masa sama membuka peluang meraih pendedahan yang bukan calang-calang.

Penyandang jawatan itu antara lain perlu berperanan seperti pengamal media, pegawai perhubungan awam, perunding dan jurugambar, di samping menyalurkan maklumat segera kepada Menteri mengenai sebarang isu berkaitan Kementerian, terutama sebelum sidang media berlangsung.

Sepanjang tempoh bertugas, Setiausaha Akhbar pasti berpeluang menimba banyak pengalaman berharga dan pendedahan luas bersama pasukan kerja yang membantu Menteri mencurah khidmat kepada rakyat.

Berikut antara kriteria dan bidang tugas sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri:

(1)   Sanggup bekerja tidak tentu masa kerana banyak acara perlu dihadiri menteri siang dan malam, malah pada hari cuti.

(2)   Sentiasa berdedikasi dan mengutamakan Menteri.

(3)   Sentiasa peka dengan isu semasa.

Bidang tugas Setiausaha Akhbar:

(1)   Menyalurkan maklumat isu berkaitan Kementerian kepada Menteri, terutama sebelum sidang media.

(2)   Menyediakan teks ucapan dan kenyataan akhbar Menteri.

(3)   Menyediakan jemputan rasmi acara Kementerian kepada media.

(4)   Memantau media cetak, media sosial dan elektronik membabitkan isu semasa berkaitan Kementerian dan Menteri.


(5)   Menjaga dan menaikkan imej Menteri (dan Kementerian) di mata masyarakat.


Awat muka pucat lesi ni Dato'? Laaaaaa rupanya takut airrrr- 

waktu senang - menikmati hidangan Raja Buah 

mencuba peralatan sistem Simulator semasa DSA


Sebagai mengiktiraf kecemerlangan dan sumbangan besar terhadap pengurusan seranta sepanjang tugasnya, beliau telah ditukarkan ke jawatan hakiki yang lebih tinggi bertaraf JUSA C dan melayakkannya untuk dinaikkan ke pangkat Mejar Jeneral pada 16 November 2017. Kenaikan ini menjadikan Fadzlette sebagai pegawai wanita yang terkanan dalam ATM.

Namunnya, ruangkerjanya di luar MINDEF menyebabkan beliau tidak boleh melaksanakan tugas sebagai Pengerusi Hal Ehwal Wanita Tentera Darat.



  
  
Penyempurnaan pemakaian pangkat Mej Jen untuk Brig Jen Dato' Fadzlette Othman Merican oleh YAB TPM  pada 16 Nov 2017. 

Fadzlette memecah tradisi sebagai Pegawai Wanita Tugas Am ATM yang pertama mencapai ke pangkat Mejar Jeneral. Sebelum ini Mej Jen Dr Roshidah merupakan Pegawai Tugas Khas (Perubatan) dan juga pegawai wanita ATM pertama memakai pangkat Mejar Jeneral.



Persaraan Fadzlette

Mengikut peraturan perkhidmatan dan persaraan yang sedia ada, tarikh persaraan wajib bagi Mej Jen Dato' Fadzlette ialah pada 9 November 2022. 

Sebagaimana yang dijelaskan di peringkat awal tadi, perlantikan dan kenaikan pangkat Fadzlette adalah berasaskan perkaderan atau pinjaman khas, maka apabila Zahid tidak lagi menjadi Timbalan Perdana Menteri (selepas Kerajaan BN tewas dalam PRU 14 pada 9 Mei 2018), Fadzlette mempunyai obligasi untuk mengundurkan diri dari perkhidmatan kerana tiada perjawatan yang setaraf dan bersesuaian di MINDEF. 

Sehubungan itu, Fadzlette mengambil opsyen untuk bersara secara pilihan atau bersara lebih awal mulai 5 Januari 2019.

Pada 10 November 1962, Fadzlette dilahirkan oleh ibunya (di Hospital Bangsar) tetapi kedua ibu-bapanya tinggal di Rumah Keluarga (Quarters) di Kem MINDEF, membesar di Kem MINDEF, sebahagian besar kehidupan masa kecilnya dan zaman persekolahannya di kem-kem tentera. Fadzlette mengikut jejak kerjaya ayahnya (Lt Kol Idris Merican) dan juga datuknya sebagai seorang pegawai tentera. Memulakan kerjayanya sebagai pegawai muda di MINDEF malah sebahagian besar kerjayanya dihabiskan di MINDEF dan tinggal di Quarters MINDEF juga. Berkahwin dengan pegawai tentera, dua dari 3 anaknya mendapat pendidikan di Maktab Tentera Diraja (RMC) dan anak bongsunya (lelaki) memilih kerjaya sebagai pegawai tentera. Anak sulungnya pula berkahwin dengan anak seorang pegawai tentera. Di akhir kerjayanya, rumah terakhir juga di Kem MINDEF, ia-itu di No 1, Jalan Handalan 1/2, Perumahan Tunku Osman Jewa. Begitulah ringkasan hidup Fadzlette yang sebahagian ahli keluarganya berdarah tentera dan kehidupannya diselubungi oleh persekitaran dan budaya tentera. 


OMQ terakhir yang diduduki oleh Fadzlette selama 10 tahun sebelum menamatkan perkhidmatannya dalam ATM

SUDAH PASTI, persaraan Fadzlette telah memadamkan sinaran sebutir bintang yang mencipta satu kelainan dalam catatan tinta sejarah Angkatan Tentera Malaysia.  Perjalanan kerjaya beliau terlalu jauh ke hadapan berbanding dengan rakan sekerjayanya dalam ATM sama ada dari kalangan pegawai lelaki atau wanita. Satu rekod pencapaian yang amat sukar disamai apalagi untuk dipecahkan.





Mej Jen Dato' Fadzlette membuat kunjungan hormat (sebelum persaraan) ke Panglima Tentera Darat, Jen Dato' Seri Ahmad Hasbullah pada 31 Oktober 2018


ALBUM KELUARGA

bersama suami tercinta Syed Feisal AlSagoff


wajah kepuasan menerima menantu

 
bersama suami di majlis pernikahan puteri mereka


Perkahwinan anak keduanya Sharifah Farihan


bersama suami menerima cucu pertama


bermanja dengan cucu tunggalnya

makan malam bersama ahli keluarga



bersama anak bungsunya

sentiasa ceria dan memberikan senyuman

ALBUM SANTAI

Pegawai kanan ATM dan juga seorang surirumah

menyambut hari ulang tahun kelahiran bersama-sama skot Regular 21

 



Dato' tu Dato' juga, jumpa geng tetap membawang jugak

 Fadzlette bertemu skot seperjuangan yang sama memula dan menamatkan perjuangan  dalam tahun 1980; kiri Rozita dan kanan Norkiah


Alhamdulillah aku dapat menyiapkan penulisan ini tepat pada tarikh hari ulang tahun (HUT) kelahiran Dato' Fadzlette ke 56, iaitu HUT yang terakhir disambut semasa dalam perkhidmatan.

Selain dari mendapat gambar dari laman facebook dan twitter (milik beliau dan sahabat-sahabat beliau), aku amat berterimakasih kepada Dato' Fadzlette sendiri. Pertama; kerana memberikan keizinan untuk untuk merealisasikan penulisan ini; kedua; kerana memberikan kerjasama yang amat baik untuk membolehkan aku mendapat maklumat-maklumat berkaitan dirinya khususnya gambar-gambar dari album peribadi beliau yang tidak pernah diterbitkan di mana-mana media.

Sejak mempunyai hasrat untuk menulis artikel (memoir) tentang beliau, aku memberanikan diri untuk menghubungi beliau bagi mendapatkan lebih banyak maklumat tentang perjalanan kerjaya beliau. 

Tanpa maklumat ini, tidak mungkin artikel ini dapat ku tulis sepanjang dan seperinci ini. Apatah lagi, bahan-bahan penulisan yang bersifat peribadi yang tidak dapat diperolehi dari sumber lain seperti akhbar, majalah atau sumber internet.

bergambar bersama YAB Timbalan PM (29 Nov 2018)

bergambar bersama Ketua Pengarah INTAN, Dato' Suriani binti Dato' Ahmad


MAJLIS MAKAN MALAM REGIMENTAL PERSARAAN PEGAWAI-PEGAWAI  KANAN TENTERA DARAT MALAYSIA
30 Nov 2018

Fadzlette berdiri hadapan no 2 dari kiri bersama pegawai-pegawai kanan TDM yang diraikan

Fadzlette bersama rakan-rakan dari Tauliah Tetap 20 dan 21


Fadzlette bersama suami yang mengiringi semasa MMMR persaraannya






“Women are the real architects of society” 
-Harriet Beecher Stowe-


SELAMAT BERSARA dan dirgahayu
KEPADA
MEJ JEN DATO' HJH FADZLETTE OTHMAN MERICAN
SEMOGA DATO' SERTA KELUARGA SENTIASA DALAM KERAHMATAN ALLAH SWT