Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang
YANG AWAL DAN YANG AKHIR

Sunday, November 20, 2016

AF 103 MOHAMMAD BIN NGAH SAID SATU NAMA ISTIMEWA


Image may contain: 1 person, sitting and indoor
ALMARHUM
LT JEN TAN SRI MOHAMED BIN NGAH SAID TUDM
satu nama istimewa dalam sejarah TUDM


Masa aku mula-mula masuk TUDM (melapor diri ke Pusat Latihan Terbang II, TUDM Kluang dalam bulan Januari 1981, almarhum Mohamed bin Ngah Said atau popular dengan panggilan Jeneral Mat Ngah adalah Timbalan PTU.

Pada masa itu kedua PTU dan TPTU bernama Mohamed. PTU bernama Lt Jen Mohamed bin Taib (dipanggil Jen Mat Taib atau Datuk Mat Taib) dan Timbalannya bernama Mej Jen Datuk Mohamed bin Ngah Said (dipanggil Jen Mat Ngah atau Datuk Mat Ngah).

Kedua-duanya memulakan kareer dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan bertukar haluan kerjaya kepada juruterbang TUDM. Keduanya bermula sebagai juruterbang pesawat angkut. Bagaimanapun Jen Mat Ngah bertukar kepada juruterbang helicopter.

Kedua Jen Mat atau Datuk Mat ini Berjaya ke kemuncak kerjayanya sebagai Panglima Tentera Udara,  Datuk Mat Taib (PTU ke 7: 1977 - 1983) dan Datuk Mat Ngah (PTU ke 8: 1984 - 1990). 

Kedua-duanya juga telah meninggal dunia. Datuk Mat Taib pada 28 Julai 2002 dan Datuk Mat Ngah pada 8 Disember 2013.


Biodata Ringkas

Mohamed bin Ngah Said di lahirkan di Lahat, Ipoh pada 18 Mac 1938. Menceburkan diri dalam ATM dengan menyertai latihan asas ketenteraan di FMC, Port Dickson dan kemudiannya terpilih mengikuti latihan pegawai kedet di Royal Military Academy, Sandhurst. Beliau ditauliahkan sebagai Lt Muda ke Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) pada bulan Ogos 1959.

Pada bulan Jun 1960, Mohamed menyertai Royal Malayan Air Force atau Tentera Udara Diraja Persekutuan (TUDP) dan terpilih mengikuti latihan asas penerbangan di United Kingdom dari Sep 1960 hingga 17 Sep 1961.  Sepulangnya dari menamatkan kursus itu dan dianugerahi sayap penerbangan, beliau ditugaskan sebagai juruterbang di No 1 Skn, KL Base untuk menerbangkan pesawat Twin Pioneer. Maka bermulalah kehidupan beliau dalam TUDM dengan mennyandang pelbagai jawatan di beberapa pangkalan TUDM untuk bertugas sebagai Co-Pilot, Juruterbang, Jurulatih Penerbang, Ketua Skuadron dan Pegawai Memerintah.

Pada 27 Jun 1962, semasa berpangkat Flying Officer, pesawat Scotish Aviation Twin Pioneer yang diterbangkannya telah jatuh terhempas di Fort Tapong, Perak dalam salah satu misi operasi udara. Pesawatnya rosak teruk tetapi beliau bersama co-pilot dan 12 penumpangnya telah terselamat.

Image may contain: 3 people
TS MNS di zaman pegawai muda

Mohamed kemudiannya bertukar menjadi juruterbang helikopter dan merupakan juruterbang pioneer pesawat Alouette 111B yang baru dibeli oleh Kerajaan pada tahun 1963. Pada tahun 1965 beliau terpilih mengikuti kursus jurulatih penerbangan helikopter di United Kingdom.

Apabila No 7 Skn ditubuhkan di Pangkalan TUDM Kuching pada tahun 1968, Mohamed yang pada masa itu berpangkat Sqn Ldr telah menjadi Ketua Skuadonnya yang pertama. 

Sepanjang perkhidmatannya sebelum menjawat jawatan tertinggi dalam TUDM, beliau berpengalaman menjawat pelbagai jawatan penting seperti Pegawai Memerintah TUDM Kuching, Komandan TUDM Alor Setar, Panglima Udara (PANGUD) sebelum dilantik menjadi Timbalan PTU pada 1 Jun 1975 dan dinaikkan ke pangkat Mej Jen (U).

Image may contain: 1 person, standing and outdoor
melawat kawasan operasi.

Pada 29 Ogos 1983, PTU pada masa itu, Lt Jen Datuk Mohamed bin Taib telah melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana di United Kingdom, Mohamed (Mat Ngah) telah diberi kepercayaan untuk memangku jawatan PTU.  Seterusnya Mohamed telah dilantik menjadi Panglima Tentera Udara (PTU) pada 1 Okt 1984 dan dinaikkan ke pangkat Lt Jen (U).  Beliau dikurniai gelaran Tan Sri pada tahun 1987 dan merupakan PTU pertama malah pegawai ATM berpangkat Lt Jen (dan setaraf) yang menerima gelaran itu.

Sepanjang perkhidmatannya Mohamed telah mengikuti pelbagai kursus di luar Negara dan yang terakhir adalah di National Defence College di Delhi, India.


Image may contain: 3 people, people standing

Setelah menjawat PTU selama 5 tahun, Mohamed  bersara dari TUDM pada 18 Mac 1990 ketika berusia 52 tahun.  Setelah bersara beliau dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah Kuantan Flour Mills Bhd, Promet Berhad dan Cadbury Bhd.  Beliau  juga pernah menjadi Lembaga Pengarah Bakti Udara Sdn Bhd sebelum menubuhkan syarikat sendiri bernama McNa Bhd.

Tan Sri Mohamed bin Ngah Said telah meninggal dunia pada 8 Dis 2013 di Hospital Tawakkal, Kuala Lumpur pada jam 1805H ketika berusia 75 tahun.




Semasa dalam perkhidmatan allahyarham amat terkenal ilmu pengetahuan yang luas dan mendalam serta mempunyai sikap yang tegas dan amat mengambil perhatian dan mudah mesra kepada warga TUDM. Pada masa yang sama beliau mempunyai kehidupan sosial yang amat luas dan menjalin hubungan baik dengan semua peringkat warga TUDM dan pada masa yang sama mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin Kerajaan serta Raja-Raja Melayu.

Selain amat baik dalam permainan golf beliau mempunyai kegemaran ke atas sukan lasak khususnya motorsikal berkuasa tinggi.

Mohamad Ngah Said berkahwin dengan Puan Sri Lat Kamariah bt Abd Rahman dan dikurniakan 5 cahaya mata.


Image may contain: 1 person, car  
Image may contain: 3 people, people standing and outdoor  

Salah seorang anak perempuannya yang bernama Laa Ee pernah berkhidmat dalam TUDM di awal tahun 90an dan menamatkan perkhidmatan dalam pangkat Kapten.

Manakala dua orang menantu lelakinya merupakan juruterbang pesawat pejuang TUDM. Seorang (suami Laa Ee) bernama Hizar telah menamatkan perkhidmatan dalam pangkat Kapten dan seorang lagi (suami Datin Laynette) bernama Dato' Zahani, kini masih berkhidmat dalam TUDM dalam pangkat Mejar Jeneral.

Image may contain: 2 people, indoor  

Mat Ngah Yang Ku kenali

Sebagai pegawai muda (subaltern) semasa almarhum Tan Sri Mohamed bin Ngah Said (TSMNS) menerajui kepimpinan TUDM sudah tentu jarak kami begitu jauh sama ada dari aspek urusan rasmi atau urusan sosial. Jadi, peluang untuk menghampiri beliau memang tak ada langsung. Semasa beliau memangku jawatan PTU selama setahun antara Ogos 1983 - Ogos 1984, aku masih berpangkat Lt Muda (U) dan Lt (U), bertugas di TUDM Kuantan. Pasti hanya melihat wajah beliau dari jauh sahaja apabila beliau ada tugasan atau lawatan ke pangkalan udara tersebut.

Pada bulan Jun 1986 aku melanjutkan pengajian ke ITM selama 3 tahun. Apabila aku tamat belajar pada bulan Jun 1989 baru aku dinaikkan ke pangkat Kapt TUDM. Sehingga beliau bersara pada bulan Mac 1990, aku memang tidak berpeluang mendekati beliau. Sebagai pegawai muda (junior officer) untuk bersemuka dengan PTU adalah sesuatu yang menggerunkan. Malah, seberapa boleh jangan sampai bertembung dengan PTU. Kalau boleh tak mahu tengok pun bayang-bayang PTU.

Biasanya pegawai yang berpangkat Lt Kol ke atas yang mempunyai peluang menghadiri mesyuarat atau berbincang semuka dengan PTU.


Image may contain: 3 people, people sitting and indoor

Oleh itu, maklumat tentang keperibadian, gaya dan cara kepimpinan TSMNS hanya aku perolehi melalui persembangan dengan pegawai-pegawai yang senior dalam TUDM. Mohon perbetulkan jika TIDAK TEPAT. Secara ringkasnya, apa yang dikhabarkan kepada aku, bahawa TSMNS adalah seorang pemimpin yang:

Highly Knowledgeable, Dedicated and Firm. TSMNS diceritakan sebagai seorang Jeneral yang amat dedikasi dalam melaksanakan tugas, mengutamakan kecemerlangan organisasi dan amat tegas dalam membuat keputusan. Antara sebabnya ialah allahyarham mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam banyak perkara. Perwatakannya yang serius dan garang membolehkan allahyarham menguasai suasana mesyuarat. Jeneral-jeneral yang lain tidak akan membuka mulut jika tidak mempunyai fakta yang betul dan lengkap.

Brave and Vocal. Ini juga satu keistimewaan allahyarham TSMNS. Allahyarham sangat berani dan tegas dalam mengutarakan atau memanjangkan isu TUDM ke peringkat atasan seperti dalam forum atau mesyuarat peringkat Menteri, KSU atau PAT. Allahyarham bukan jenis bersifat YES SIR. Jika terdapat perkara yang bertentangan dengan peraturan operasi TUDM beliau akan membantah. Jika membawa perkara untuk kepentingan TUDM, allahyarham akan berjuang berhabis-habisan sehingga berjaya atau diiktiraf. Pembawaan karakter dari typical pegawai Askar Melayu yang tegas. kasar dan berani dicernakan dengan norma dan gaya Tentera Udara yang agak kebaratan, dan gentleman menajdikan beliau tegas berani dan berhemah.

Suit to all kind of people and situation (versatile). Ini kelebihan allahyarham TSMNS. Beliau boleh bergaul dengan semua peringkat warga TUDM. Allahyarham amat prihatin dengan kebajikan anggota bawahan dan mempastikan semua rintihan disampaikan ke Pegawai Memerintah secara berdokumen. Oleh itu allahyarham memperkenalkan Sistem Pengurusan Unit (SPU). Arahan SPU masih diamalkan oleh semua unit TUDM sehingga sekarang.

Rujukan: UDARA/TAD/580/1 bertarikh 21 Jan 85. Surat Arahan Perlaksanaan SPU oleh Panglima Tentera Udara - Lt Jen Tan Sri Mohamed bin Ngah Said TUDM.


Image may contain: 6 people, people sitting

Allahyarham juga mempunyai hubungan yang rapat dengan Raja-raja Melayu termasuk Yang Di Pertuan Agong. Ada satu cerita dari seorang pegawai kanan. Pada masa itu Yang DiPertuan Agong adalah almarhum Sultan Johor. Tuanku memanggil PAT, maka PAT datang mengadap Tuanku dengan terkepit-kepit dan tertunduk-tunduk (macam ketakutan). Faham-faham saja lah karakter Sultan Johor pada masa itu. Tapi bila Tuanku melaung nama TSMNS, allahyarham menyahut 'Tuanku' dari jauh dengan mengangkat tangan sambil datang hampir kepada Tuanku.

Rugged, Stylo and Flamboyant. Seperti yang tajuk blog ini, allahyarham TSMN adalah insan yang istimewa yang masih belum ada gantinya dalam senarai kepemimpinan TUDM. Dari segi fesyen pakaian, beliau amat advanced. Gaya pakaiannya seperti anak muda bersesuaian dengan hobinya kepada kativiti lasak.

Allahyarham juga merupakan pengendali Motorsikal Berkuasa Tinggi (MBT) yang hebat dan mahir. Allahyarham merupakan pengasas (founder) dan President of Malaysian Superbike Club. Semasa berkhidmat dan setelah bersara allahyarham aktif menyertasi kembara bermotorsikal sama ada di dalam atau di luar negara.


Image may contain: 3 people, people sitting and people standing  
Image may contain: 3 people, people sitting, sunglasses and indoor  

Testimonial

Keratan dari buku tulisan Sqn Ldr Monty Choy (RMAF retired), rakan seperjuangan almarhum pada tahun 1962. Buku bertajuk 'The Flying Dragon', 2014. Sqn Ldr Choy semasa berpangkat Flying Officer pernah terlibat dalam kemalangan pesawat Scootish Twin Pioneer pada 27 Jun 1962. Kapten pesawatnya adalah Flt Lt Mohamad Ngah Said.

Keratan dari satu muka surat buku tersebut menceritakan tentang dating pertama TSMN dengan seorang gadis yang akhirnya menjadi pasangan hidup sehingga akhir hayatnya.

Image may contain: text



......masih mencari bahan untuk menyambung penulisan.
saya amat mengalu-alukan sumbangan maklumat dari para pembaca yang mengenali dan pernah bertugas bersama allahyarham semasa hayatnya.



Berita Kematian


Bekas PTU meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 09 Jan 2013 - Bekas Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Mohamed Ngah Said meninggal dunia di Hospital KPJ Tawakal di Jalan Pahang di sini Ahad akibat jangkitan bakteria. Allahyarham meninggal kira-kira 6 petang, semalam.

Pegawai Perhubungan Awam TUDM, Mejar Roslan Salam berkata Allahyarham dimasukkan ke wad selama seminggu akibat jangkitan sejak Khamis lepas.

"Jenazah dibawa pulang ke rumahnya di Setapak dan akan disembahyangkan di Masjid Ibnu Sina pada jam 8 pagi Isnin sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Setapak," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohamed, 75, menyandang jawatan Panglima TUDM dari 29 Ogos 1983 sehingga 18 Mac 1990. - Bernama

Jenazah Tan Sri Mohamed Ngah Said selamat disemadi
9 Disember 2013

KUALA LUMPUR - Jenazah bekas Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Leftenan Jeneral (B), Tan Sri Mohamed Ngah Said selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Titiwangsa di sini, hari ini.

Jenazah Mohamed disemadikan kira-kira 10.30 pagi selepas disembahyangkan di Masjid Ibnu Sina, Jalan Ayer Keroh, Setapak di sini.

Upacara pengebumian Allahyarham diberikan penghormatan penuh ketenteraan oleh kira-kira 100 pegawai dan anggota tentera.

Mohamed, 75, meninggal dunia di Hospital KPJ Tawakal di sini malam tadi akibat jangkitan kuman selepas dimasukkan ke hospital sejak Khamis lepas.

Allahyarham Mohamed meninggalkan isteri Puan Sri Lat Kamariah Abdul Rahman, 72, dan enam anak berusia dari 20 hingga 49 tahun serta 10 cucu.

Beliau menyandang jawatan Panglima TUDM dari 29 Ogos 1983 sehingga 18 Mac 1990.

Sementara itu, anak keempat Allahyarham, Iskandar Zulkarnain, 40, berkata arwah bapanya adalah seorang yang peramah dan bertanggungjawab.

"Ayah seorang yang tegas dalam kerjanya namun mudah mesra dengan anggotanya tanpa mengira pangkat," katanya kepada pemberita. - Bernama


a video
TRIBUTE to TSMNS

 


Cerita Mengenai Allahyarham TSMNS

Mungkin ramai warga TUDM sendiri tidak mengetahui tentang arwah. Arwah adalah salah seorang pelopor pesawat helikopter TUDM. Alouette 111 mula berkhidmat dalam TUDM pada 1963 dan arwah adalah antara anak watan yang menjadi juruterbang 'Cepung' tersebut. Bila tibanya pula si 'Burung Besi', wujudlah No 7 Skn yang berpangkalan TUDM Kuantan dan Sqn Ldr Mohamed Ngah Said sebagai Ketua Skn yang pertama (1968).

Tidak lama kemudian, masih 1968, No 7 Skn berpecah kepada dua: No 7 dan No 10 Skn. No 7 Skn berpindah ke TUDM Kuching manakala No 10 Skn berpangkalan di TUDM Kuantan. Arwah pula dilantik sebagai Pegawai Memerintah TUDM Kuching pada 15/5/1968. No 7 Skn diserah kepada Sqn Ldr Ahmad Merican S T Merican (allahyarham- bersara Mej Jen Dato', TPTU): Sqn Ldr Ben Lee pula menjawat Ketua No 10 Skn yang pertama.

Allahyarham juga adalah 'PANGUD (Panglima Udara)'  di MARUD (Markas Udara) ketika Pasukan Keselamatan melancar pelbagai operasi di era saya, seperti 'Ops Selamat Sawadee'.

Seorang rakan seperjuangan menceritakan satu insiden ketika berkhidmat di No 3 Skn, TUDM Butterworth. Pesawat Nuri rakan ini telah ditembak oleh pengganas komunis di kawasan operasi Selamat Sawadee. Pada malam itu, beliau terima panggilan telefon di Mes Pegawai. Sipemanggil mengenalkan dirinya... 'Ini Md Ngah' dan bertanya khabar tentang insiden tembakan itu. Rakan saya memberitahu....'hoi...jangan main2 lah'. Masa tu dah jadi kebiasaan members suka 'menyakat'. Lepas tu, sipemanggil kata 'Ini Md Ngah...PANGUD'. Apa lagi, kawan saya terus 'attention'  walaupun bercakap dalam telefon. Entah-entah beliau hentak kaki semasa nak 'sedia'. Maklum saja le....mana biasa seorang Lt terima panggilan dari Pangud, waktu malam pulak tu. . Inilah contoh seorang Panglima yang sungguh prihatin terhadap anggotanya.

...dari catatan Mej Haji Nor Ibrahim dalam blognya... xnuripilot.blogspot.com

Allahyarham juga seorang pemimpin yang inovatif dan bersungguh dalam merealisasikan impiannya. Salah satu usaha untuk menggalakkan penglibatan anggota teknikal TUDM dalam industri aeroangkasa adalah dengan menubuhkan sebuah kelab atau persatuan yang dinamakan sebagai Kit Plane Association of Malaysia pada tahun 1986. Persatuan ini beroperasi di Pangkalan TUDM Kuala Lumpur. Agak malang usaha murni ini tidak diteruskan oleh kepimpinan TUDM seterusnya

...DARI catatan facebook Kapten Dr Hj Ahmad Damanhuri bin Ibrahim - Sejarawan Penerbangan

Image may contain: one or more people

PELANCARAN KAPAL TERBANG “RAND ROBINSON KR2” DAN “HELIKOPTER ROTARWAY EXECUTIVE E-90” DIREKACIPTA OLEH TENTERA UDARA DIRAJA MALAYSIA (TUDM)

Pada 30 November 1986, dua buah pesawat terbang hasil rekacipta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu 'Rand Robinson KR2' (9M-KPA) dan 'Helicopter Rotorway Executive E-90 '  telah dilancarkan.

Upacara pelancaran telah disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia di Pengkalan TUDM Sungai Besi, Kuala Lumpur. Panglima TUDM pada masa itu ialah Lt Jen Tan Sri Mohamed bin Ngah Said.

Semasa pelancaran, kapal terbang ‘Rand Robinson KR2’ telah diterbangkan oleh Kolonel (U) Gopal Ramdass (Bersara Mejar Jenderal Dato’) manakala ‘Helicopter Rotorway Executive E-90 telah diterbangkan oleh Mejar (U) Lim Tow Liang (Bersara Kol TUDM).

Pesawat terbang ini merupakan ciptaan pertama rakyat Malaysia, dihasilkan oleh Kit Plane Association of Malaysia (KITFAM) di mana persatuan ini sebahagian besarnya dianggotai oleh anggota TUDM.

Salah seorang daripada ahli KITFAM yang masih menjadi sahabat karib saya sehingga kini ialah Encik Abdul Mutalib bin Abdullah, jurutera penerbangan Kelab Aero (Penerbangan) Perak.

KITFAM telah ditubuhkan pada tahun 1985 bertujuan untuk melahirkan reka bentuk yang penuh inovasi dalam bidang pembinaan dan pemasangan pesawat terbang di negara ini.

Kerja-kerja pemasangan kedua-dua pesawat terbang yang mempunyai dua tempat duduk ini bermula pada akhir tahun 1985.

Kapal terbang Rand Robinson KR 2 yang menggunakan enjin Volkswagen (VW) 2000 (Turbo) siap pada bulan Mac 1986 dan Helicopter Rotorway Executive E-90 pula siap pada bulan Mei 1986.

Usaha-usaha pembangunan dalam bidang teknologi ini berkait rapat dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kemampuan penggunaan teknologi tinggi dalam pelbagai bidang di negara ini.


SEMOGA ALLAH SWT MELIMPAHKAN KERAHMATAN DAN PENGAMPUNAN KE ATAS RUH ALMARHUM









4 comments:

  1. General Ngah, I hope you get this message, also I hope you are well. Please contact me at this email address. Would connect with you old friend.
    Marty Dandridge

    ReplyDelete
  2. Dear Mr. Marty Dandrige,

    So sorry to inform you that General Ngah has passed 7 years ago. On behalf of the family, thank you for taking the time to reconnect with him.

    ReplyDelete
  3. Dia ayah saudara saya.alfatihah utk arwah pakcik

    ReplyDelete