Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang
YANG AWAL DAN YANG AKHIR

Saturday, May 23, 2026

MIL 162 : MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PVTUDM NS KE 8


TEKS UCAPAN PENASIHAT PVTUDM
CAWANGAN NEGERI SEMBILAN

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN 
KALI KE 8
23 MEI 2026
DEWAN ORANG RAMAI SENALING
KUALA PILAH
NEGERI SEMBILAN


Bismillahirrahmanirrahim.

Saudari pengacara Majlis

YB Dato’ Adnan bin Abu Hassan, Ahli Parlimen Kuala Pilah selaku tetamu khas perasmi MAT PVTUDM NS kali ke 8.

Y.Bhg Mej Jen Dato' Hj Muhammad Muzammir Ong bin Abdullah, Naib YDP Majlis Tertinggi Gabungan Persatua-persatuan Veteran ATM selaku pemerhati dari  PVTUDM Induk.

Y.Bhg Lt Kol Razali bin Hassan, Pengerusi PVTUDM Cawangan Negeri Sembilan serta barisan Ahli Jawatankuasa.

Y.Bhg Meh Mohd Razifi bin Hj Tumin, Pengarah JHEV Negeri Melaka/Negeri Sembilan,

Y. Bhg Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan, Puan-Puan yang dirahmati Allah sekelian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Selamat pagi dan Salam Sejahtera.

Selamat datang dan terima kasih saya ucapkan,
Warga PVTUDM Cawangan N. Sembilan,
Walaupun semua dah jadi tok ki dan tok wan,
Masing-masing masih tampan dan rupawan.

Jauh memandu merentas daerah
Berkumpul kita di Kuala Pilah
Dewan Senaling tempat bermesyuarah
Semoga segalanya Allah permudah

Saya amat terharu dengan sambutan ahli persatuan yang terpaksa merentas daerah untuk sama-sama menjayakan MAT kita ini. Ada antaranya datang berkaki empat (bertongkat) namun tetap bersemangat untuk hadir.

Ini adalah kali pertama PVTUDMNS mengadakan MAT di luar daerah Seremban. Selain dari bertukar angin dengan suasana dan persekitaran, mungkin ada yang berhasrat untuk meneruskan agenda di bandar Kolopilah kerana saya dimaklumkan kedai-kedai emas di sini menawarkan harga yang terbaik di Malaysia. Terima kasih kepada En Mohd Supian Ketua Zon Kolo Pilah dan AJKnya yang banyak membantu membuat persediaan MAT kali ini.


Selain hadir untuk bermesyuarat, ambillah kesempatan waktu emas ini untuk menemui rakan seperjuangan yang sudah lama terpisah sejak bersara dari perkhidmatan. Dengan usia serta fizikal yang kita miliki hari ini, kita tidak mempunyai masa yang panjang untuk bertandang atau menziarahi rumah rakan-rakan kita.

Selaku Penasihat, peranan saya hanya menasihat apabila diminta, memantau dan menegur perjalanan persatuan sentiasa berjalan di atas landasan yang betul, mengikut dasar dan peraturan yang telah ditetapkan dalam AKTA Hal Ehwal Veteran ATM 2012 (Akta 740).

Cekal berusaha Veteran Nismilan,
Membantu sesama rakan seperjuangan,
Kekalkan semangat setia kawan,
Terus berbangga dengan perkhidmatan,

Selaku penasihat juga, saya sentiasa memberi sokongan dan galakkan kepada usaha inovasi dan kreativiti persatuan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan, kesejahteraan, motivasi dan kebajikan ahli, memperbaiki sosio-ekonomi, dan memelihara nama baik PVTUDM serta bekas majikan kami TUDM dan ATM amnya.

Saya juga dimaklumkan , lebih dari dua ribu pesara atau veteran TUDM yang bermastautin di NS Negeri Beradat ini. Namun sejak ditubuhkan pada tahun 2016, hanya 570 veteran TUDM yang muncul untuk menjadi ahli PVTUDM CNS.

Dalam hal ini, nasihat saya ialah setiap ahli yang ada akaun facebook, instagram, watsapp dll untuk meningkatkan lagi promosi bagi mengajak rakan2 untuk menyertai PVTUDM.

Hari ini juga saya ingin memulakan kempen secara lebih agresif untuk menggalakkan ahli untuk mendaftarkan isteri masing-masing menjadi Ahli Bersekutu PVTUDM supaya apabila ahli meninggal dunia, keluarganya akan terus menerima pelbagai faedah dan kemudahan yang boleh diperolehi sebagai ahli.

Tuan-tuan tidak perlu berfikir dua kali untuk membuat keputusan. Hanya dengan yuran pendaftaran RM20.00 ahli akan mendapat faedah seumur hidup.

Daun dipegang oleh ranting
Ranting dipegang oleh dahan
Dahan dipegang oleh batang
Batang dipegang oleh akar

Kehidupan sebuah persatuan itu ibarat sebatang pokok. Setiap bahagian mempunyai peranannya masing-masing namun semuanya membawa atau memegang satu objektif iaitu kekuatan persatuan.

Ranting yang kering menyebabkan daun jatuh berguguran.
Dahan yang rapuh menyebabkan ranting dan daun jatuh ke tanah
Akar yang reput menyebabkan seluruh pokok akan menyembah bumi,

Begitulah ibaratnya persatuan kita, ahli dan ahli jawatankuasa mempunyai peranan masing-masing. Tanpa gaji dan elaun mahupun tuntutan perbelanjaan, AJK tanpa mengira masa dan berkorban tenaga melaksanakan tugas dan dengan ikhlas dan tekun memastikan persatuan terus hidup dan aktif. Keutamaan aktiviti kami adalah kebajikan Ahli. Oleh itu, kemana sahaja kita berada, kita sentiasa membawa agenda kebajikan dalam setiap program yang dianjurkan. Dengan peruntukan tahunan yang amat terhad dari PVTUDM induk, sudah pasti kita perlu berusaha untuk menambah tabung kita. Dari itu, saya amat menggalakkan agar ahli yang berkemampuan supaya membuat sumbangan derma bulanan kepada tabung Kebajikan kita untuk digunakan bagi membantu sahabat2 kita yang memerlukan.

Setelah duduk bersama AJK selama satu tahun ini, ingin merakamkan penghargaan dan kekaguman saya di atas kegigihan semua AJK menjalankan peranan mereka dengan cekal walaupun menghadapi pelbagai kekangan. Ketepikanlah perbezaan pendapat atau pun gaya pengurusan, optimakan kelebihan yang ada dan abaikan kelemahan demi untuk memperkukuhkan perjuangan demi untuk kegemilangan PVTUDMNS.

Oleh itu, saya menyeru seluruh ahli PVTUDMNS untuk terus memberi sokongan moral dan material kepada AJK persatuan ini agar mereka dapat melaksanakan tugas dengan cekap dan cemerlang.

Akhir kata, saya ingin menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada YB Dato’ Adnan, Ahli Parlimen KoloPilah yang sudi melapangkan masa memenuhi undangan kami untuk merasmikan MAT kami tahun ini. (11 jemputan)

Terimakasih juga kepada wakil PVTUDM Induk yang diamanahkan untuk memantau perjalanan MAT kita. Terima kasih kepada Dato’/Datin serta warga PVTUDM NS yang berada dalam dewan ini untuk menjayakan MAT kita tahun ini.

Selamat bermesyuarat dengan penuh ketenangan dan penuh persaudaraan semoga perjalanan mesyuarat dan program kita pada hari ini sentiasa dalam limpahan rahmat Allah swt sehingga selesai.

Wabillahi taufik wal hidayah, wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

23 Mei 2026

Mej Jen Dato’ Hj Toharudin bin Ab Rasid TUDM (Bersara)
PSAT DSAP PAT KAT KMN AMN PJM PPS PPA lmt
Penasihat
PVTUDM Cawangan Negeri Sembilan