Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang
YANG AWAL DAN YANG AKHIR

Wednesday, February 18, 2026

MIL 161 : TSUNAMI ATM 2025

 


HABIS HABIS HABIS
TSUNAMI MELANDA ATM

MUQADDIMAH

SIAPA sahaja yang melalui (dengan pengetahuan dan kesedaran) waktu atau tempoh berlakunya TSUNAMI ACHEH pada penghujung tahun 2004, sudah pasti tidak dapat melupakan peristiwa itu sehingga mati.

Pada jam 00.58.53 (UTC) 26 Disember 2004 berepipusat di pantai barat Sumatera (Indonesia), berlaku gempa bumi pada skala magnitud memen 9.1 hingga 9.3 Skala Richter dan intensiti Mercalli maksimum IX (kekerasan). Gempa tujahan bawah laut adalah disebabkan Plat Tektonik India diturunkan oleh Plat Tektonik Burma dan mencetuskan satu siri TSUNAMI yang dahsyat di sepanjang pantai sebahagian besar utara Lautan Hindi (melibatkan negara Indonesia, Malaysia, Thailand, Myanmar, India, Sri Lanka hingga ke pantai timur benua Arika). Lantunan ombak Tsunami yang mencapai ketinggian sehingga 30 meter ini telah   membunuh antara 230,000 hingga 280,000 jiwa di 14 buah negara. Indonesia adalah negara yang paling teruk menerima kesan diikuti oleh Sri Lanka, India dan Thailand.

Genap 21 tahun kemudian. TSUNAMI menggempur Malaysia pula.

Rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita menggemparkan. Pada 26 Disember 2025, Panglima Tentera Darat (PTD) Malaysia yang telah diputuskan  oleh Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) kali ke 631 yang bersidang pada 19 November 2025 untuk mengambil alih jawatan Panglima Angkatan Tentera mulai 1 Januari 2026 telah diarahkan untuk mengambil cuti serta merta bagi membolehkan siasatan dijalankan ke atas PTD yang didakwa melalui pendedahan dan laporan SPRM oleh Sdr Badrul Hisham bin Saharin (Che'gu Bard) yang menyatakan bahawa PTD terlibat dengan skandal rasuah bernilai jutaan RM.

Sebagai seorang pesara Pegawai Kanan ATM yang pernah dipertanggungjawabkan mengawal peruntukan kewangan (logistik) serta mengendalikan perolehan bernilai tinggi dengan syarikat tempatan dan antarabangsa,  pastinya penulis amat terkejut dengan berita ini.

Bukan penulis sahaja, malah seluruh rakyat Malaysia terutamanya warga ATM dan veteran ATM. Bukan sahaja terkejut tetapi kecewa, MALU dan TERHINA.  Bukan sahaja dengan dakwaan tersebut tetapi terpaksa membaca dan mendengar cemuhan masyarakat melalui semua saluran media yang ada, khususnya influencer dan netizen di MEDSOS. Setiap hari ada sahaja siaran YOUTUBE, INSTAGRAM, TIKTOK yang menghina dan memperlekehkan kewibawaan dan integriti ATM.

Puncak kekecewaan ini adalah apabila dalam titah pembukaan Parlimen ke 5 Penggal ke 15 pada 19 Januari 2026, Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong XVII Sultan Ibrahim membuat ungkapan seperti berikut:

"Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah dalam ATM sampai ke peringkat tertinggi. Agaknya selepas ini saya terpaksa lantik Sarjan jadi PAT. Ini hanyalah sekelumit  daripada segunung atau tip of the iceberg."

Ia tercatat dalam Hansard Parlimen dan kekal sehingga hari kiamat. Bunyi titah tersebut seperti jenaka tetapi ia maksudnya terlalu dalam dan bagi satu tikaman yang menusuk hingga ke jantung seluruh warga ATM.

PENGALAMAN DAN UJIAN PENULIS

SEBELUM penulis mengulas lanjut isu dan 'potensi' kes skandal PTD ini, penulis ingin berkongsi pengalaman berhubung dengan pengurusan kewangan, kontrak dan perolehan di dalam TUDM.  Sebagai mantan Pegawai Materiel (dahulunya dikenali sebagai Pegawai Bekalan (Supply) dan juga Logistik) berurusan dengan kontraktor dan perolehan ini telah penulis hadapi sejak penulis berpangkat Leftenan Muda (Udara) ketika bertugas di TUDM Kuantan pada tahun 1983 hingga 1986.

Sebagai Pegawai Kumpulan Pensetoran (Stockholding Group) penulis turut bertanggungjawab ke atas kontraktor dobi dan jahitan. Penulis pernah dikejar oleh kontraktor yang meminta (mendesak) penulis untuk menandatangani proforma yang diubahsuai. Bayangkan seorang ahli udara yang menghantar sepasang baju ditulis 10 helai. Anggota yang tidak pernah hantar dobi pun ada borang hantar dobi. Tujuannya untuk menambah kuantiti pakaian yang dihantar dobi bagi mendapatkan tuntutan bayaran yang lebih tinggi.

Penulis bukan seorang yang warak atau terlalu baik perangainya. Apa lagi zaman itu masih kuat dengan aktiviti ye ye dan sosial kebaratan yang lain, di mana botol arak masih berbaris di dalam bar (Mes Pegawai/Bentara), di mana setiap tahun ada aktiviti disco, tombola dan lain-lain lagi. Bukan penulis mahu berbangga dengan pengalaman yang dilalui ini tetapi itulah realiti waktu itu.

TETAPI, penulis menolak untuk memenuhi permintaan kontraktor kerana yang penulis tahu ketika itu ialah PERKARA ITU ADALAH SALAH. Walaupun kontraktor ada menyebut bahawa dulu memang macam ini, semua pegawai sign, namun penulis tetap enggan. Penulis dengar, ada pegawai yang sign benda itu.

Sebagai Pegawai Bekalan di PULATIBANG III, penulis mendapat kepercayaan melebihi 100% dari Pegawai Memerintah untuk membuat pembelian tempatan (Local Purchase Order) bagi peruntukan Training Grants dan Unit Self Help.  Bayangkan, pada setiap masa, Pegawai Memerintah telah menandatangani dua atau tiga  Borang Am 75 (Gen 75) kosong. Ini bagi memudahkan penulis membuat urusan pembelian ketika beliau tidak ada. Cuba bayangkan, jika penulis rambang mata, apa yang penulis boleh lakukan. 

Ketika penulis berpangkat Kapten TUDM, penulis telah diberi amanah menyandang jawatan Pegawai Staf 2 (PS2) Belanjawan Latihan di Departmen Tentera Udara (1991 - 1993). Selain merancang dan mengawal peruntukan latihan untuk seluruh TUDM, penulis juga terlibat dengan urusan penempahan tiket penerbangan untuk pegawai TUDM yang mengikuti kursus luar negara.

Ketika penulis berpangkat Mejar TUDM penulis berpeluang berkhidmat di Bahagian Perolehan Kerajaan di Kementerian Kewangan dari 2000 hingga 2004, sebagai Desk Officer yang menguruskan semua permohonan Special to Air dari semua Kementerian. Di situlah tumpuan atau lubuk pelobi segala jenis dan kategori kontraktor dalam dan luar negara. Terlalu ramai yang menawarkan pelbagai imbuhan untuk membantu memudahkan urusan mereka. Jika anda mahu, anda boleh popular, anda boleh main golf atau pergi karaoke/kelab malam setiap minggu.

Ketika berpangkat Leftenan Kolonel TUDM, penulis menyandang jawatan Pegawai Staf 1 (PS1) Pengurusan Kontrak di Markas Tentera Udara (2005 - 2007) dan PS1 Khidmat Pembaikan diikuti oleh Pemangku Ketua Staf Khidmat (KSK) di Markas Logistik Udara (2007 - 2009) dan kemudiannya sebagai KSK sebanyak dua kali (2009 - 2010 dan 2012 - 2014)

Markas Logistik Udara (MLU) merupakan Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang memegang portion terbesar dalam peruntukan Belanjawan Mengurus TUDM, purata RM600 - 800 juta setahun. Sebagai KSK bertanggungjawab kepada Panglima Logistik Udara, penulis terlibat secara langsung dalam perancangan dan kawalan belanjawan, menguruskan puluhan kontrak perolehan senggaraan dan pembekalan alatganti pesawat/peralatan TUDM. MLU adalah LUBUK PUAKA, sudah ramai pegawai TUDM yang terjebak dalam jerangkap samar yang sentiasa mengikuti pergerakan kita. Pelbagai kes dan skandal salah guna kuasa, pecah amanah, rasuah dan ketidakpatuhan peraturan yang berlaku. Malah pernah seorang Panglima kehilangan segala-galanya di Markas ini. Namun kerana wang dan kesenangan, segala kepahitan dan derita cepat dilupakan.

Pun begitu, penulis amat bersyukur kepada Allah swt yang telah memelihara penulis dari tergiur dengan dengan pelbagai bentuk rayuan syaitan atau terlibat dengan perbuatan salah guna kuasa, apa lagi menerima upah atau hadiah untuk mempermudahkan proses kerja sama ada untuk kepentingan sendiri (personal ininterest) atau untuk memberi laluan mudah kepada pihak kontraktor.

Malah penulis pernah menerima Letter of Demand (LOD) dari peguam kontraktor kerana didakwa memburukkan nama baik syarikat. Puncanya penulis telah menulis surat kepada pihak syarikat supaya menyiasat satu penemuan (yang dilaporkan dengan bukti) bahawa terdapat dokumen tuntutan bayaran kerja  senggaraan dari pihak syarikat yang menggunakan cop jawatan dan tandatangan palsu pegawai TUDM.

Penulis maklum bahawa pemilik syarikat ini mempunyai hubungan baik dengan pihak atasan sejak sekian lama. Beliau tidak dapat menerima kandungan surat dari penulis. Namun perkara tersebut dapat diselesaikan apabila pegawai atasan penulis mahu bertanggungjawab ke atas tindakan penulis. Penulis amat BERBANGGA mempunyai pemimpin atasan yang ACCOUNTABLE sebegini.

Pun begitu, di satu peristiwa yang lain, penulis juga pernah diMAKAN oleh pegawai atasan sendiri (yang lain) apabila penulis mengambil tindakan enggan meluluskan perolehan yang melanggar tatacara. Bayangkan, penulis selaku pegawai atasan (Commanding Officer) menemui salahlaku pegawai bawahan (Unit's Officer Commanding) membuat pembelian yang tidak mematuhi peraturan bernilai hampir RM3 juta, namun setelah dibuat lembaga siasatan, pihak atas membuat kata pemutus - pegawai (OC) tersebut tidak diambil apa-apa tindakan TETAPI penulis sebagai CO dipersalahkan kerana tidak mempastikan pegawai tersebut membuat kerja dengan betul!. Penulis amat BENGANG mempunyai pemimpin atasan yang BANGANG sebegini.

TSUNAMI ATM

Kembali kepada Tsunami yang melanda ATM pada 26 Disember 2025. Penulis tidak akan mengulas apa-apa ke atas peristiwa ini kerana perkara masih di peringkat siasatan SPRM dan proses pembuktian, pendakwaan dan seterusnya masih memerlukan tempoh masa yang panjang.

Walaupun YDP Agong sendiri telah membuat kenyataan sebegitu bisa, perlu diketahui bahawa dalam melaksanakan tugasnyas, kedudukan baginda adalah kebal di sisi Undang-undang Negara (immunity) - Perkara 32(4) Perlembagaan Persekutuan.

Penulis tidak mahu memandai-mandai membuat andaian sendiri berasaskan maklumat yang didengar melalui berita, press conference dan youtube. Biar SPRM dan PDRM melaksanakan tugas mereka.

Setakat ini, hanya Che'gu Bard sahaja yang mempunyai kekuatan jasmani dan rohani untuk bercakap perkara ini. Ia bukan isu politik kerana tiada satu pun pemimpin politik sama ada pihak Kerajaan atau pembangkang yang menggunakan isu ini. Hanya Menteri Pertahanan sahaja yang terpaksa bercakap atau mengulas kerana isu ini berlaku di dalam rumah beliau.

Penulis hanya ingin menumpukan penulisan mengenai implikasi dari landaan Tsunami ini kepada imej dan masa depan organisasi ATM.

CERITA PURBA

Isu atau skandal berkaitan dengan perolehan di Kementerian Pertahanan bukan benda baru. Sebelum penulis memasuki TUDM (1980) penulis telah membaca berita tentang seorang pegawai berpangkat Kolonel dipenjarakan kerana terlibat dalam penyalahgunaan kuasa di Kementerian Pertahanan.  Malah kedengaran juga bahawa antara sebab Panglima Tentera Laut dan Panglima Tentera Udara dibersarakan adalah dikaitkan dengan perolehan kapal TLDM dan pesawat TUDM. Alasan mengatakan untuk memberi peluang kenaikan pangkat kepada pegawai lain adalah kurang logik kerana kedua-dua Panglima itu berusia awal 40an ketika bersara.

Sepanjang perkhidmatan penulis beberapa perolehan Kementerian Pertahanan menjadi bahan perbualan di belakang terutamanya di kalangan warga ATM. Antaranya ialah berkaitan dengan perolehan perolehan  pesawat F5E (USA), Skyhawk (USA), kapal Friget (UK), Corvette (Italy), Patrol Craft (Sweden), artileri pertahanan udara JERNAS (UK), artileri MLRS Astros (Brazil), kapal selam Scorpene (Perancis/Sepanyol), kapal LCS (China), peralatan Perisikan, peralatan Hospital ATM dan puluhan lagi. Oleh kerana (selain dari kes pegawai perisikan dan pegawai perubatan) tiada siasatan,tangkapan atau perbicaraan maka mungkin mereka terlepas (atau dilindungi) atau anggaplah ia sebagai khabar angin atau fitnah sahaja.

Semasa penulis berkhidmat di Kementerian Kewangan (2000 - 2004), penulis pernah membaca surat layang yang disebarkan (ketika itu penggunaan  MEDSOS maya amat terhad) untuk mendedahkan penglibatan pemimpin politik tertentu dalam skandal perolehan sistem pertahanan negara. Sebahagian dari kandungan surat layang tersebut, ditulis dalam bentuk humour. Penulis permudahkan cerita tersebut.

Seorang Menteri Pertahanan dari sebuah negara Afrika telah melawat Malaysia. Menteri ini dibawa melawat sebuah skuadron pesawat pejuang dalam sebuah Pangkalan Udara.

Pada sebelah malamnya, Menteri  tersebut menjadi tetamu ke satu jamuan makan malam di kediaman peribadi Menteri Pertahanan Malaysia. Tetamu VIP tersebut terpegun dengan kemewahan rumah Menteri Malaysia. Besar, luas, cantik dan dilengkapi dengan peralatan yang mewah. Lalu beliau bertanya kepada Menteri Malaysia,

"Tuan Menteri, saya kagum dengan rumah tuan. Pastinya gaji Menteri Malaysia sangat tinggi hingga mampu membina rumah sebegini besar, cantik dan mewah."

Jawab Menteri Malaysia,

"Sahabatku Tuan Menteri, pagi tadi tuan telah melawat skuadron pesawat pejuang di sebuah Pangkalan Udara. Tuan nampak tak ada 20 buah jet pejuang di situ?.

"Mengikut taklimat tadi, Ketua Skuadron kata ada 18 pesawat sahaja." jawab Menteri Afrika.

Menteri Malaysia tersenyum lebar, sambil merapatkan mulutnya ke telinga Menteri Afrika dan berbisik, 

"Kalau Tuan nak tahu, di mana 2 buah jet lagi, rumah inilah harganya....."

Menteri Afrika, menganggukkan kepalanya beberapa kali. 

**** Cerita ini belum habis, tetapi penulis pasti mesejnya telah sampai ke sanubari pembaca. Oleh itu, penulis tangguhkan dulu kerana ingin memberi tumpuan kepada hasrat sebenar tajuk episod ini. 

Itu cerita lebih 20 tahun yang lalu. Maksudnya 20 tahun lalu, VIP yang terpalit dengan skandal 1MDB sekarang ini telah pun dikaitkan (melalui surat layang) dengan skandal yang lain. Anggaplah ia hanya satu dongeng atau cerita rakyat.

Nota 1. Kes ketirisan dalam perolehan peralatan pertahanan negara ini bukan terhadi kepada perolehan baru bahkan turut melibatkan perolehan sistem dukungan, senggaraan, pembelian alat ganti serta projek naiktaraf (upgrading).

Nota 2.  Penulis adalah alumni MINDEF, maka ulasan dan penulisan hanya melibatkan apa yang pernah penulis alami, lihat dan dengar di MINDEF sahaja. Penulis amat yakin, ketirisan tidak hanya berlaku di MINDEF, ia berlaku di semua Kementerian dan Jabatan Kerajaan tidak terkecuali Badan Berkanun yang mempunyai peranan sebagai Pegawai Pengawal Kewangan (Financial Comptroller) dan banyak Pusat Tanggungjawab (PTJ) di bawahnya.

Penulis mengajak pembaca kepada isu yang menjadi tajuk utama penulisan ini. Sekali lagi penulis ingin tekankan bahawa penulisan ini tidak sama sekali mensasari individu secara peribadi (personalised) kerana sebahagiannya adalah kenalan dan rakan baik penulis, pernah berjiran dan sebagainya. Kita serahkan kepada SPRM, PDRM, Peguam Negara dan Mahkamah melaksanakan tugas mereka.

1.    KEKECEWAAN.  

Berita pendakwaan ke atas mantan PAT dan mantan PTD, dua pegawai terkanan dalam hierarki perjawatan organisasi ATM serta Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan sudah tentunya sesuatu yang sangat mengecewakan seluruh warga negara Malaysia lebih-lebih lagi warga ATM. Ia amat cepat mengundang gunjingan yang berlarutan yang hampir 100% menyuarakan kehilangan hormat ke atas kepimpinan dalam ATM. Walaupun ini pertama kali berlaku kes yang melibatkan pegawai kanan bertaraf Jeneral di dalam ATM, ia adalah pertama kali melibatkan PAT dan PTD. 

ATM adalah benteng pertahanan negara. ATM adalah harapan terakhir rakyat untuk menghadapi musuh negara jika kaedah lain gagal dicapai. Pandangan awam, jika pemimpin tertinggi ATM begitu mudah diperdaya untuk menerima rasuah, maka apakah lagi yang boleh diharapkan dari anggota bawahannya?. Apakah rasuah ini tidak boleh berlaku jika ia diberikan oleh agen musuh bagi mendapatkan maklumat keselamatan negara?

Bayangkan, apabila berlaku perubahan pucuk pimpinan di dalam ATM, perkara yang tidak pernah tercicir dalam Ucapan Perintah Ulung mereka adalah tanggungjawab, akauntabiliti, disiplin dan integriti.

2.   MEKANISMA

Penglibatan dua pemimpin tertinggi dalam jenayah rasuah tidak boleh berlaku dengan penglibatan satu atau dua orang sahaja.  Proses pembinaan sebuah MENARA 10 TINGKAT mesti bermula dari bawah. Ia memerlukan tapak pembinaan, bahan binaan, buruh binaan, peralatan binaan dan pastinya kos pembinaan, dan ia memerlukan perancangan yang rapi - rangkaian pakar-pakar binaan, jurutera dan arkitek, perunding sumber manusia dan pakar kewangan. Ia juga mempunyai banyak proses yang dilalui untuk setiap aspek seperti bajet, rekabentuk dan kejuruteraan dan spesifikasi sebelum keputusan mauktamad dibuat.

Ramai netizen menyebut kenapa hanya pegawai ATM jadi sasaran? Kenapa KSU, TKSU, SUB Perolehan tidak disiasat. Mereka yang membuat memuktamadkan    keputusan dalam Lembaga Perolehan (atau lazim disebut sebagai Lembaga Tender).

Ini yang perlu netizen ketahui. Pendakwaan yang berlaku adalah berasaskan maklumat dengan disokong oleh dokumen transaksi kewangan yang jelas. Dalam sistem perolehan Kerajaan (termasuk MINDEF) proses tender, sebut harga dan perolehan terus dilaksanakan secara on-line (elektronik). Kebanyakan 'hanky-panky' berlaku sebelum proses tender atau sebut harga. Setiap perolehan bernilai besar sama ada secara tender, sebut harga atau rundingan terus perlu ada operational dan technical spesification. Kedua-dua spesifikasi ini disediakan sendiri oleh perkhidmatan (ATM: Darat - Laut - Udara) mengikut kehendak mereka. Permainan dan persepakatan antara 'General' dan pembekal yang berpotensi sebenarnya telah bermula di sini.  Apabila proses tender dibuka dan ditutup mengikut prosedur yang ditetapkan, proses seterusnya adalah Jawatankuasa Penilaian Harga (lazimnya diketuai oleh pegawai awam) dan Jawatankuasa Penilaian Teknikal (diketuai oleh pegawai teknikal ATM - mengikut kepakaran). Pegawai ini dilantik oleh Panglima Perkhidmatan. Maka dipaksi inilah bertemunya Spesisifikasi (Operasi/Teknikal) ATM dengan Penilaian Teknikal ATM. Mereka inilah yang menyenaraikan cadangan mengikut keutamaan dari tertinggi (paling memenuhi spesifikasi) dengan yang terendah.

Kesimpulannya: Apabila spesifikasi yang disediakan oleh perkhidmatan mempunyai kesamaan dengan produk yang diingini (kontraktor yang telah dikenalpasti), maka ia diperkuatkan lagi dengan sokongan Jawatankuasa Teknikal. Semuanya dilaksanakan oleh satu rangkaian yang dibentuk disetiap peringkat dan sudut.

Di peringkat Lembaga Perolehan Kementerian, KSU selaku pengerusi hanya membuat keputusan berasaskan laporan dan cadangan yang dibuat dalam sistem. Setiap Panglima Perkhidmatan mempunyai wakil dalam Lembaga Perolehan tersebut.  Kecuali terdapat perkara-perkara yang janggal, selagi tiada bantahan dari ahli Lembaga, KSU akan membuat keputusan berasaskan cadangan yang dibentangkan. Kecuali anda mampu membawa bukti bahawa KSU telah disogok oleh mana-mana pihak, maka KSU dan pegawai-pegawai awam dianggap telah melaksanakan tanggungjawab mengikut peraturan Kerajaan.

Nota: Penulis sengaja tidak memberi penjelasan secara terperinci setiap proses dalam sistem perolehan. Cukuplah bagi pembaca untuk mengetahui, dicelah mana para 'General' ini boleh melibatkan diri dalam rangkaian rasuah ini.

3.  KESETIAAN

Apa yang sedang berlaku ini sudah pastinya amat mengecewakan harapan rakyat kepada ATM sebagai agensi menjaga keselamatan negara. Namun penulis percaya, kes ini (jika ia benar berlaku) adalah semata-mata bermotifkan kepentingan peribadi sebagai mana kes-kes rasuah lain yang melibatkan tokoh politik dan pegawai Kerajaan lain. Ia isu HARTA dan WANITA. Ia bukan dikaitkan dengan menjual negara atau pegawai ATM boleh dibeli untuk melepaskan rahsia negara. Penulis percaya, mereka tetap setia kepada negara, sedia berkorban setiap masa untuk mempertahankan negara.

Namun, penyakit rasuah tetap amalan KEJI yang dibenci Allah (swt) dan juga manusia. Jika tidak dibanteras, penyakit ini akan menjadi wabak yang merosakkan organisasi. 

IMPLIKASI RASUAH DALAM KEPIMPINAN ATM

Penyakit rasuah ini secara tidak langsung tetap memberi kesan kepada organisasi ATM, keselamatan negara dan keselamatan warga ATM, antaranya:

(1)   ATM menggunakan peralatan di bawah spesifikasi.

(2)   Peruntukan kewangan pertahanan.

(3)   Rangkaian yang mengawal kerjaya.

(4) Barisan kepimpinan yang berpura-pura - Integriti bagaikan doa semasa memulakan ucapan.

KESIMPULAN PUNCA DAN PENYEBAB

Punca berlakunya rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa terlalu banyak namun penulis tidak ingin menyimpulkannya dengan menyalinkan sebuah hadis Rasulullah (saw) berikut (Riwayat Bukhari 6437 dan Muslim 1049); 

وَعَنِ ابْنِ عَبَّاس وأنس بن مالك رَضِي الله عنْهُم أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم قَالَ 
 « لَوْ أَنَّ لابْنِ آدَمَ وَادِياً مِنْ ذَهَبِ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ لَهُ وادِيانِ ، وَلَنْ يَمْلأَ فَاهُ إِلاَّ التُّرَابُ ،
 وَيَتُوب اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ » مُتَّفَقٌ عَليْهِ

"Dari Ibnu Abbas dan Anas bin Malik (ra), bahawasanya Rasulullh (saw) bersabda, Andainya seseorang anak Adam (manusia) diberi (memiliki) satu lembah emas,
nescaya ia menginginkan dua lembah emas lagi dan sama sekali tidak akan memenuhi mulutnya (merasa puas) selain tanah (setelah dia mati) dan Allah menerima taubat dari orang-orang yang bertaubat"- Muttafaqun 'alaih.



Penulis tidak mengulas setiap kes kerana ia masih dalam kes mahkamah. Ulasan boleh menyebabkan kekeliruan di kalangan pembaca yang sedang 'mabuk benci' terhadap integriti kepimpinan organisasi ATM. Pembaca boleh mengikuti berita dari semasa ke semasa.

RUJUKAN BERITA:

(1)   https://ms.wikipedia.org/wiki/Gempa_bumi_dan_tsunami_Lautan_Hindi_
2004
(2)   https://www.sinarharian.com.my/article/761446/berita/semasa/chegubard-lapor-polis-
dakwa-kes-pengubahan-wang-haram-libat-pegawai-atasan-atm
(3)   https://ms.wikipedia.org/wiki/Skandal_rasuah_tender_perolehan_
Tentera_Darat_Malaysia
(4)   https://malaysiagazette.com/2025/12/23/sprm-buka-kertas-siasatan-
dakwaan-rasuah-libat-seorang-pegawai-kanan-tentera/
(5)   https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/12/1489809/panglima-tentera-darat-bercuti-serta-merta-sehingga-siasatan-selesai
(6)   https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/01/1495691/
muhammad-hafizuddeain-mohon-bersara-awal-mulai-1-januari-khaled
(7)   https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/12/1490622/sprm-geledah-kediaman-rasmi-pejabat-di-mindef-suspek-masuk-icu
(8)   https://www.astroawani.com/berita-malaysia/bekas-panglima-tentera-darat-hadir-ke-ibu-pejabat-sprm-554498
(9)   https://www.sinarharian.com.my/article/763145/berita/semasa/bekas-panglima-tentera-darat-hadir-ke-ibu-pejabat-sprm
(10)  https://www.hmetro.com.my/utama/2026/01/1312600/agaknya-lepas-ini-
saya-terpaksa-lantik-sarjan-saja-jadi-pat-agong-zahir
(11)  https://www.bharian.com.my/berita/kes/2026/01/1502640/kes-rasuah-
pegawai-kanan-tldm-5-lagi-ditahan-ada-kaitan-syarikat-kroni
(12)  https://malaysiagazette.com/2026/01/21/mantan-pat-bekas-ptd-serta-
isteri-akan-didakwa/ 
(13)  https://www.nytimes.com/1978/06/04/archives/malaysia-sentences-
exofficer-to-7-years-for-f5-kickbacks.html
(16)  https://malaysiagazette.com/2020/10/27/terkini-bekas-ketua-perisikan-
dan-dua-pegawai-kanan-atm-dituduh-rasuah-rm3-5-juta/
(17)  https://www.sinarharian.com.my/article/53988/berita/mahkamah/rasuah-
dr-kunaseegaran-dijel-18-bulan-denda-rm300000
(18)  https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/01/1502811/bekas-kp-
perisikan-pertahanan-dituduh-terima-suapan-as20000-rm64000

RINGKASAN KES

aaa


Chegubard lapor polis dakwa kes pengubahan wang haram libat pegawai atasan ATM
22 Disember 2025 02:33pm

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Satu laporan polis dibuat terhadap seorang pegawai atasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung dakwaan berkaitan isu pengubahan wang haram. 
Laporan dakwaan itu dibuat Aktivis Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada Isnin.




c





SPRM buka kertas siasatan dakwaan rasuah libat seorang pegawai kanan tentera

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berhubung dakwaan rasuah yang melibatkan seorang pegawai kanan tentera.
Beliau menegaskan, semua siasatan dijalankan secara bebas dan profesional berasaskan fakta serta bukti selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Terdahulu, SPRM mengambil maklum dakwaan yang dibangkitkan oleh seorang aktivis semalam berhubung dakwaan aliran masuk wang ke dalam akaun bank seorang pegawai kanan tentera.
Menurut sumber, pada kira-kira 11.30 pagi hari ini, pegawai SPRM telah hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek yang melibatkan Tentera Darat dari tahun 2023 hingga kini.
Sumber memaklumkan, fokus siasatan adalah tertumpu kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tenderterbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
“Transaksi kewangan mencurigakan yang dikaitkan dengan individu-individu tertentu yang dinamakan dalam dakwaan tersebut juga akan diteliti,” kata sumber.
Semalam, Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan menunggu hasil siasatan rasmi sebelum mengambil tindakan seterusnya berhubung dakwaan kes pengubahan wang haram melibatkan seorang pegawai atasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, MINDEF menghormati sepenuhnya proses undang-undang yang sedang dan akan dijalankan, selaras dengan komitmen kementerian terhadap pematuhan undang-undang serta prinsip keadilan. – MalaysiaGazette: 23 dIS 2025.
ATM akan mulakan proses cari PAT baharu.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled menjelaskan, antara alasan Muhammad Hafizuddeain memutuskan untuk bersara adalah bagi membolehkan ATM memulakan proses melantik PAT yang baharu.
"Sekarang posisi (jawatan) itu dipangku Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri (Dr) Zulhelmy Ithnain, jadi proses untuk memulakan pencarian PAT akan dilakukan sebelum kelulusan itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
"Ia juga menjadi antara sebab beliau memohon untuk persaraan awal, bagi membolehkan kita mengisi jawatan PAT. Namun soal jawatan tertinggi ini adalah membabitkan proses di mana Majlis Angkatan Tentera akan memainkan peranan sebelum ia diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
"Sekiranya Tuanku tidak bersetuju dengan mana-mana nama itu, maka kita akan bawakan lagi nama sehingga Tuanku perkenan," katanya.
Sebelum ini, BH melaporkan bekas Panglima Tentera Darat bersama dua isterinya ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait projek perolehan tender Tentera Darat Malaysia (TDM).
SPRM memaklumkan bekas PTD itu dikehendaki memberi keterangan pada 28 Disember lalu, namun tidak dapat berbuat demikian kerana dimasukkan ke hospital.

SPRM juga hadir ke Kementerian Pertahanan pada 23 Disember lalu bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek membabitkan Tentera Darat sejak tahun 2023.

Selepas menyita enam akaun bank milik pegawai itu dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan, SPRM turut menyita tiga jongkong emas, kenderaan mewah serta 23 utas jam jenama Rolex.

Sebelum itu, Mohamed Khaled mengesahkan Tan Sri Muhammad Hafizuddeain diarahkan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan kes yang dilaporkan terhadap beliau selesai.


 KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga selesai siasatan kes yang dilaporkan terhadap beliau.

Menteri Pertahanan, Datuk Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan langkah itu bagi memberi ruang pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang telah dilapor membabitkan pegawai berkenaan.

"Bagi memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang telah dilaporkan melibatkan Panglima Tentera Darat, beliau akan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga selesai siasatan.

"Langkah pentadbiran ini diambil bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar tanpa sebarang konflik kepentingan," katanya.

Kenyataan itu tidak memperincikan kes membabitkan Muhammad Hafizuddeain, namun ia dipercayai susulan laporan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempergiatkan siasatan terhadap perolehan tentera.

Terdahulu pada 23 Disember lalu, laporan media memetik Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Difahamkan, siasatan awal SPRM tertumpu kepada projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
Kelmarin, media melaporkan tiga individu sudah dipanggil SPRM untuk dirakam keterangan berhubung siasatan perolehan projek tentera yang turut membabitkan semakan ke atas beberapa akaun disyaki ada kaitan amalan rasuah.

Terdahulu, SPRM mengambil aduan dan merakam keterangan Ketua BERSATU Bahagian Port Dickson, Chegubard atau nama sebenar, Badrul Hisham Shaharin mengenai perincian maklumat yang beliau peroleh.

Chegubard mendakwa terdapat 'aliran tunai besar' dikesan dalam akaun bank seorang pegawai dan ahli keluarganya, yang disyaki berpunca daripada syarikat-syarikat yang memperoleh projek ketenteraan. Beliau merujuk kepada audit forensik dokumen yang diterimanya tanpa nama, mendakwa pegawai berkenaan menerima wang antara RM50,000 hingga RM60,000 setiap bulan ke dalam akaun bank.

Dokumen berkenaan, dakwanya, turut menunjukkan pemindahan wang dalam jumlah lebih besar, mencecah ratusan ribu ringgit ke dalam akaun yang dikaitkan dengan pegawai terbabit. Beliau juga mendakwa dana itu dipindahkan daripada akaun syarikat-syarikat yang telah memperoleh projek ketenteraan. 

Pegawai suruhanjaya itu juga ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan tumpuan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah PTJ Tentera Darat.

KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan sudah menghantar surat untuk bersara daripada perkhidmatan tentera, bermula 1 Januari lalu. Perkara itu diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang berkata hasrat berkenaan dimaklumkan dalam satu surat yang diserahkan oleh peguam Muhammad Hafizuddeain.

Sehubungan itu, beliau berkata, ATM ketika ini dalam proses untuk mencari pengganti bagi mengisi jawatan Panglima Angkatan Tentera. Pada 31 Disember lalu, Khaled mengumumkan pelantikan Muhammad Hafizuddeain sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang diputuskan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631, ditangguhkan.

Pelantikan Muhammad Hafizuddeain sebagai PAT diputuskan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 yang berlangsung pada 19 November lalu dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 1 Disember.
Turut diputuskan melalui mesyuarat sama ialah pelantikan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman, sebagai Panglima Tentera Darat ke-31 berkuat kuasa 1 Januari 2026.
"Saya ingin memaklumkan sudah menerima surat daripada peguam Muhammad Hafizuddeain yang kini sedang bercuti dan memaklumkan hasratnya untuk bersara awal daripada Angkatan Tentera Darat bermula 1 Januari tahun ini.

"Maka dengan permohonan untuk bersara awal ini, ia membolehkan kita memulakan proses untuk mencari pengganti kerana seperti kita sedia maklum, Majlis Angkatan Tentera sebelum ini sudah membuat keputusan untuk beliau menjadi PAT.

"Tetapi keputusan (majlis) ditangguhkan kerana kes yang beliau hadapi dan keputusan untuk menjawat jawatan PAT sepatutnya pada 1 Januari tahun ini tidak dilaksanakan serta ditangguhkan. Maka dengan pengumumannya untuk bersara awal bermula 1 Januari, jawatan PAT kosong.

SPRM geledah kediaman rasmi, pejabat di MINDEF, suspek masuk ICU

Oleh Ilah Hafiz Aziz - Disember 29, 2025 @ 4:28pm


KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan tentera yang terbabit dalam siasatan berkaitan aliran tunai besar dalam akaun bank dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital, sejak semalam.

Difahamkan, suspek dikehendaki memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, namun tidak dapat berbuat demikian.


Sumber berkata, tiada keterangan lanjut diambil oleh SPRM setakat ini.

"SPRM dimaklumkan sehingga hari ini, suspek masih menerima rawatan dan belum dapat dirakam keterangan," katanya hari ini.


Sementara itu, sumber berkata, SPRM sudah menyita beberapa barangan mewah bernilai tinggi termasuk jam tangan dan beg tangan mewah milik pegawai kanan tentera itu. 

"Siasatan SPRM ketika ini memfokuskan kepada aliran wang yang disyaki masuk ke dalam akaun milik seorang pegawai kanan tentera yang kini disiasat sebagai suspek dalam satu kes rasuah membabitkan projek perolehan Tentera Darat Malaysia.

"Kelmarin, SPRM sudah menjalankan operasi menggeledah di pejabat Tentera Darat di Kementerian Pertahanan (MINDEF) serta di kediaman rasmi suspek bermula sekitar jam 5 petang hingga 12 tengah malam.

"Penggeledahan tidak menghasilkan sebarang sitaan wang tunai," katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, sumber memaklumkan, siasatan tetap diteruskan dengan memanggil saksi-saksi utama membabitkan kontraktor yang dipercayai memperoleh projek berkaitan Tentera Darat.

"Setakat ini, SPRM sudah merakam keterangan lima pemilik syarikat dan jumlah keseluruhan saksi yang dipanggil bagi membantu siasatan adalah 10 orang," katanya.
Katanya, agensi itu juga sedang menyiasat kira-kira 40 syarikat yang disyaki terbabit dalam pemberian wang rasuah dan siasatan terhadap syarikat berkenaan sedang dijalankan secara berperingkat.

SPRM dijangka akan terus memperluaskan siasatan termasuk aspek aliran kewangan, perolehan projek dan kaitan individu serta syarikat yang terbabit selaras peruntukan undang-undang di bawah Akta SPRM 2009.
Minggu lalu, sepasukan anggota SPRM hadir ke MINDEF untuk mengesan projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki juga mengesahkan satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009

Bekas Panglima Tentera Darat hadir ke ibu pejabat SPRM: 

07 Januari 2026 04:27pm



PUTRAJAYA - Bekas Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM) Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang ini dipercayai bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes rasuah tender perolehan TDM.

Beliau dilihat tiba pada jam 3.10 petang dengan diiringi beberapa individu ketika memasuki bangunan ibu pejabat SPRM.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Muhammad Hafizuddeain telah diarah bercuti sehingga pihak berkuasa selesai menjalankan siasatan berhubung dakwaan membabitkan beliau.

Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman kemudian dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-31, berkuat kuasa 1 Jan lepas.

Pada 23 Disember lepas, pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan dan tumpuan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.

Semalam, SPRM menahan reman 17 pengarah syarikat yang disyaki terlibat dalam rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat. - Bernama

....

Skandal rasuah tender perolehan Tentera Darat Malaysia (Jawi: سکندل رسواه تيندر ڤراوليهن تنترا دارت مليسيا) merupakan satu skandal rasuah besar berkaitan tender perolehan yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Darat Malaysia (TDM) pada tahun 2025. Skandal rasuah ini melibatkan beberapa pegawai kanan ATM dan TDM tertinggi, termasuklah Jeneral Tan Sri Dato' Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan. Skandal rasuah ini masih di dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada awal tahun 2026. Skandal ini telah didedahkan oleh aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin (atau lebih dikenali sebagai Chegubard) melalui pembongkaran dan pendedahan dokumen Ops Sun Tzu dan Ops Yamashita kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM.[1]

Latar belakang

Pada 1 Mac 2025, Kementerian Pertahanan mengumumkan rancangan untuk membuka semula tender bagi penyewaan helikopter UH-60 Black Hawk untuk Tentera Darat Malaysia (TDM).[2][3] Keputusan itu susulan kegagalan kontraktor sebelumnya, Aerotree Defence and Services Sdn Bhd, untuk menyerahkan helikopter dalam tempoh masa yang dipersetujui.[4][3] Kontrak pajakan terdahulu, bernilai RM187 juta untuk pajakan empat helikopter selama lima tahun, telah ditamatkan pada November 2024 selepas kelewatan penghantaran berulang kali meskipun terdapat lanjutan.[5] Perolehan asal bertujuan untuk menangani kekurangan helikopter utiliti berikutan penggantungan helikopter S-61A Nuri yang lebih lama.[6] Beberapa syarikat mengemukakan cadangan untuk membekalkan helikopter di bawah tender baharu ini, dengan nilai projek dan tempoh pajakan lima tahun dikekalkan pada RM200 juta untuk empat helikopter. Tentera Darat Malaysia menekankan bahawa "cadangan daripada mana-mana pihak yang berkemampuan akan dipertimbangkan."[3]

Dalam tempoh yang sama, Tentera Darat Malaysia juga dijangka menerima empat helikopter AW149 di bawah kontrak pajakan yang lebih luas yang melibatkan 28 helikopter selama 15 tahun dengan kos yang dilaporkan sebanyak RM16 bilion.[7] Penghantaran helikopter AW149 dijangka bermula pada tahun 2027.[8] Pengambilalihan ini bertujuan untuk meningkatkan kapasiti pengangkutan udara operasi dan menangani jurang keupayaan. Helikopter yang selebihnya dalam program ini telah diperuntukkan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Peristiwa

Pada pertengahan 2025, Jeneral Muhammad Hafizuddeain Jantan secara meluas dianggap sebagai calon utama untuk pelantikan sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT), dengan sokongan yang dilaporkan daripada Majlis Angkatan Tentera. Pada masa tersebut, majlis itu sedang bersedia untuk mengesyorkan beliau sebagai pengganti Mohd Nizam Jaffar, yang dijadualkan akan bersara wajib pada tahun 2026.

Pada bulan Ogos 2025, perhatian orang ramai beralih kepada perolehan pertahanan susulan titah diraja oleh Raja Sultan Ibrahim Iskandar semasa perarakan ulang tahun ke-60 Rejimen Operasi Khas di Kem Iskandar, Johor. Baginda menyuarakan kebimbangan mengenai cadangan pemerolehan dan penyewaan helikopter tentera yang lebih lama, termasuk helikopter UH-60 Black Hawk yang dilaporkan berusia lebih 30 tahun, dan mengetengahkan isu-isu lama yang berlarutan dengan armada helikopter Nuri. Dalam titah baginda, Baginda mengarahkan MINDEF untuk "membatalkan perolehan aset udara usang" dan memberi amaran agar tidak "mengulangi keputusan perolehan sebelumnya, termasuk pemerolehan pesawat Skyhawk terpakai." Baginda menekankan bahawa "tiada kompromi harus dibuat mengenai keselamatan dan keberkesanan aset tentera" dan menyuarakan kebimbangan mengenai perantara atau bekas pegawai tentera yang terlibat dalam proses perolehan, dengan menyatakan bahawa amalan sedemikian boleh menyebabkan "kos yang melambung tinggi dan penggunaan peruntukan pertahanan yang tidak cekap." Baginda selanjutnya menyatakan bahawa pemerolehan "aset yang tidak sesuai, terlalu mahal, atau tidak selaras dengan keperluan operasi boleh memberi implikasi kepada keselamatan negara dan keselamatan kakitangan." Susulan titah Yang di-Pertuan Agong, tender pada Ogos 2025 untuk helikopter utiliti, termasuk UH-60 Black Hawks, secara teknikalnya dibiarkan terbuka tetapi secara efektifnya dibatalkan. Mohd Nizam mengumumkan pematuhan terhadap panduan diraja, dengan menyatakan bahawa Angkatan Tentera Malaysia "tidak akan mencadangkan Black Hawks," sebagai penghormatan kepada arahan Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Kementerian kemudiannya mengalihkan penilaian ke arah helikopter utiliti alternatif, mengutamakan keselamatan operasi dan jangka hayat perkhidmatan yang lebih lama. Tiada pekeliling dalaman formal atau arahan Kabinet dikeluarkan untuk menghentikan tender tersebut, dan pematuhan diuruskan melalui panduan kepimpinan operasi dan bukannya perintah yang didokumenkan.

Walaupun terdapat perkembangan ini, rancangan untuk pajakan Black Hawk terus dibincangkan secara terbuka. Laporan pada awal tahun 2025 menganggarkan nilai projek tersebut sebanyak RM185 juta hingga RM200 juta untuk pajakan empat helikopter selama lima tahun, dengan beberapa syarikat swasta dilaporkan menyertainya, ada yang dikaitkan dengan pegawai kanan tentera.

Pada akhir Disember 2025, Muhammad Hafizuddeain secara rasmi dilantik untuk menggantikan Mohd Nizam sebagai Panglima Angkatan Tentera berikutan kelulusan Majlis Angkatan Tentera dan perkenan awal diraja. Walau bagaimanapun, pelantikannya digantung di tengah-tengah aduan dan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang sedang dijalankan terhadap dakwaan penyelewengan dalam perolehan Tentera Darat Malaysia antara 2023 dan 2025.

Perbongkaran dan siasatan

Pada 27 Disember 2025, Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin telah meletakkan Muhammad Hafizuddeain bercuti serta-merta. Laksamana Zulhelmy IthnainPanglima Tentera Laut Diraja Malaysia, telah dilantik sebagai Pemangku Panglima Angkatan Tentera melalui kuasa menteri. Menjelang 31 Disember 2025, Muhammad Hafizuddeain telah direman untuk siasatan ketika pihak berkuasa menyemak lebih 158 projek Tentera Darat dan pelbagai kontrak kecil untuk potensi penyelewengan perolehan dan penglibatan kartel.



Pada awal Januari 2026, L:eftenan Jeneral Azhan Md Othman telah dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-31 pada 1 Januari. Muhammad Hafizuddeain telah disoal siasat oleh SPRM pada 6 Januari. Pada 7 Januari, beliau dan dua isterinya telah ditangkap berhubung siasatan tersebut. Penangkapan tersebut melibatkan 17 pengarah syarikat yang disyaki terlibat dalam rangkaian berkaitan perolehan yang lebih luas. Muhammad Hafizuddeain telah direman selama tujuh hari sehingga 14 Januari, manakala isteri-isterinya telah direman untuk tempoh yang lebih singkat. Dalam tempoh ini, SPRM merampas aset yang dikaitkan dengan Muhammad Hafizuddeain dan keluarganya, berjumlah RM11.4 juta. Ketua SPRM Azam Baki menyatakan semasa sidang akhbar pada 15 Januari 2026 bahawa rampasan tersebut termasuk "RM4.4 juta tunai, RM1.4 juta dalam mata wang asing, 26 jam tangan mewah bernilai RM2.3 juta, barang kemas dan emas bernilai lebih RM3.4 juta, dan sebuah kenderaan mewah bernilai RM360,000." Beliau seterusnya menyatakan bahawa 75 akaun bank syarikat bernilai RM32.5 juta telah dibekukan dan SPRM merancang untuk meneruskan permohonan pelucuthakan di bawah Seksyen 41 Akta SPRM 2009, selaras dengan peruntukan AMLA 2001, sementara menunggu kelulusan mahkamah. Aset tersebut dikaitkan dengan 22 kertas kesalahan predikat yang berkaitan dengan siasatan perolehan yang sedang dijalankan.

Susulan pembebasannya daripada tahanan reman pada 14 Januari 2026, Muhammad Hafizuddeain memasuki persaraan awal berkuat kuasa 1 Januari 2026. Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin mengesahkan bahawa Muhammad Hafizuddeain "mengemukakan permintaan persaraan awal" dan perkara ini memudahkan pemilihan Panglima Angkatan Tentera yang baharu kerana tiada pertuduhan telah difailkan terhadapnya dan beliau bukan lagi pegawai aktif. Laksamana Zulhelmy Ithnain kekal sebagai Pemangku Panglima Angkatan Tentera pada pertengahan Januari 2026 sementara menunggu pengesahan pelantikan tetap. Kementerian itu telah mengumumkan pembaharuan sebagai tindak balas kepada siasatan tersebut, termasuk rancangan untuk "memperbaiki rangka kerja antirasuah, menyemak semula semua proses tender agar selaras dengan amalan terbaik dan melaksanakan disiplin, pendigitalan dan AI yang lebih ketat untuk tadbir urus dan ketelusan." Langkah-langkah ini dijadualkan untuk dilaksanakan pada tahun 2026 bersama-sama peruntukan bajet pertahanan sedia ada.


Sejak kebelakangan ini, pendedahan demi pendedahan berkaitan isu rasuah aset pertahanan khususnya yang melibatkan perolehan dan urus niaga strategik telah dibawa ke ruang awam oleh individu awam seperti Chegu Bard. Saya mendapati pendedahan ini bukan bersifat rambang atau bersandar kepada khabar angin; sebaliknya, ia hadir bersama maklumat yang rinci, tersusun dan kelihatan bersumberkan dokumen rasmi.
Lalu timbul satu persoalan dalam diri saya dan yang wajar ditanya secara rasional dan berfakta iaitu dari manakah datangnya maklumat sedemikian rinci, siap tarikh, siap nama, siap angka dan gambar?
Jom kita sama-sama fikir secara asas atau rasional, bagi sesuatu perjanjian jual beli atau kontrak rasmi, hanya tiga pihak yang lazimnya menyimpan dokumen lengkap dan sah iaitu Kontraktor, Peguam yang mengendalikan perjanjian, dan Jabatan itu sendiri; dalam konteks ini, Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Jika ditimbang secara logik dan pengalaman, adalah sukar untuk membayangkan kontraktor akan secara sukarela membuka pekung sendiri yakni membunuh diri. Begitu juga pihak peguam, yang terikat dengan kerahsiaan profesional dan risiko perundangan. Maka, secara munasabah, saya lebih cenderung mempercayai bahawa maklumat ini datang dari dalam organisasi sendiri sama ada daripada pegawai, anggota, atau staf awam yang mempunyai akses sah kepada dokumen berkenaan. Persoalan seterusnya, pada saya yang lebih penting bukanlah siapa, tetapi mengapa dia atau mereka bertindak demikian?
Mengapa ada individu dari dalam sanggup mengambil risiko untuk mendedahkan maklumat yang boleh menggoncang institusi atau merosakkan imej organisasinua sendiri? Jawapannya tidak semestinya bersifat tunggal. Mungkin wujud rasa tidak puas hati terhadap ketidakadilan. Mungkin ada unsur cemburu melihat kemewahanyang melampau. Atau mungkin juga dan ini yang paling mulia kerana tidak sanggup menanggung dosa kering, tidak rela bersubahat dengan kemungkaran yang berlapikkan sistem dan jawatan.
Makanya, Atas sebab itu, saya tidak bersetuju jika kumpulan ini disamakan dengan peribahasa “api di dalam sekam” yang membawa makna niat jahat, pembakaran dari dalam, atau pengkhianatan tersembunyi. Malah, istilah “membocorkan maklumat” juga tidak tepat untuk mereka yang bertindak demi kebenaran dan kepentingan awam. Sebaliknya, saya memilih untuk menamakan mereka dengan peribahasa yang baharu saya cipya, yang lebih adil dan bermaruah iaitu “Benih baik tersembunyi, hasilnya memayungi bumi.” Makaudnya Niat dan amal yang senyap melahirkan manfaat yang luas. Ataupun, “Subur di akar, rendang di dahan.” yang memberi makaud Asal yang baik melahirkan kesan yang kuat dan berpanjangan. Mereka ini bukan perosak sistem, tetapi pembetul arah. Bukan pengkhianat institusi, tetapi penyelamat maruahnya.
Justeru, pada pandangan saya, MINDEF wajar berterima kasih, dan bukan bersikap defensif. Barangkali disebabkan kelicikan, kepintaran dan jaringan tersusun pihak yang terlibat dalam rasuah, sistem dalaman sendiri gagal “menghidu” jenayah yang berlaku. Tanpa pendedahan dari luar yang hakikatnya berpunca dari dalam, kemungkaran ini mungkin terus tersorok, terpelihara dan diwariskan.
Individu-individu ini sepatutnya dipanggil dalam sesi khas tertutup, diraikan secara beradab, diberi penghargaan, jika bukan dalam bentuk pengiktirafan rasmi, sekurang-kurangnya jamuan, sijil, atau pampasan kos dan risiko yang mereka tanggung demi mendapatkan maklumat tersebut. Jangan sibuk bertanya dari mana maklumat diperoleh, siapa orang dalam, atau bagaimana rantaian itu berlaku. Biarlah itu kekal rahsia mereka. Tugas institusi hanyalah menghargai dan bertindak.
Akhirnya, saya akui dengan jujur:
pendedahan demi pendedahan ini menjadikan saya antara manusia yang paling gembira di atas muka bumi. Bukan kerana aib terbuka, tetapi kerana masih ada harapan untuk organisasi saya menjadi lebih baik dan dihormati selpas ini. Masih ada insan yang memilih kebenaran walau terpaksa berdiam. Masih ada benih baik yang tersembunyi dan hasilnya kini mula memayungi bumi.
FB
Pena Celoreng