Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang
YANG AWAL DAN YANG AKHIR

Tuesday, July 22, 2025

M 157 : LOMPAT KIJANG OLEH NIZAM JAFFAR

 


JENERAL TAN SRI MOHD NIZAM BIN HJ JAFFAR
PMN PSD SSPK PSAT DSDK PMW PAT SMP SDK KMN BCK PJM PNBB (Lubnan) MBA (Notts) DipStrat (UKM) FScholar (UPNM) nrc CID (France) psc (US)
PAT  KE 23  

SEDIKIT TENTANG JAWATAN PAT  

Panglima Angkatan Tentera (PAT) adalah jawatan tertinggi dalam organisasi ATM. Sebelum tahun 1980, nama jawatan ini dikenali sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera (KTAT) atau Chief of Armed Forces Staff (CAFS).

Sejak jawatan ini diwujudkan pada 1 Jan 1964, secara tradisi, penyandangnya adalah pegawai kanan dari Tentera Darat (Army) - lebih spesifik lagi dari Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD). Tradisi ini mengambil kira bahawa Tentera Darat adalah pasukan yang paling kanan di kalangan ketiga-tiga perkhidmatan ATM (Darat, Laut dan Udara). Ia juga mengambil kira kekuatan ketumbukan Tentera Darat adalah yang terbesar berbanding kekuatan TLDM dan TUDM,

Faktor sejarah juga mendukung kuat keperluan KTTD mengetuai ATM.  Sejak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 sehingga terbentuknya Malaysia pada 16 Sep 1963, tiada organisasi bernama Angkatan Tentera Persekutuan Tanah Melayu!.  Tentera Darat mengungguli operasi ketenteraan di Semenanjung Tanah Melayu. Penyandang jawatan KTTD yang bertaraf 'Mej Jen' hanya diambil alih oleh anak tempatan iaitu Mej Jen Tunku Osman bin Tunku Mohammad Jewa pada 5 Sep 1962. Kemudiannya jawatan ini dinaikkan taraf kepada Lt Jen pada tahu yang sama.

Ketika itu, peranan TLDM dan TUDM masih ditahap pasukan bantuan kepada Tentera Darat. KTTL dan KTTL masih disandang (dipinjamkan) oleh pegawai dari Tentera British (Royal Navy dan Royal Air Force) - yang berpangkat Captain/Commodore dan Group Captain/Air Commodore.

Ketika ATM ditubuhkan secara rasmi pada 1 Jan 1964, KTTD ketika itu, Lt Jen Tunku Osman Jewa telah dilantik menjadi Ketua Turus Angkatan Tentera (KTAT) yang pertama dari kalangan anak Malaysia. Jawatan KTAT dinaikkan ke taraf Jeneral (Jeneral 4 Bintang).

Kepimpinan tertinggi TLDM dn TUDM hanya diambil alih oleh anak tempatan pada 1 Okt 1967. Commodore K. Thanabalasaingam untuk TLDM dan Air Commodore Sulaiman bin Sujak untuk TUDM. Kedua-dua jawatan tersebut bertaraf Jeneral 1 Bintang. Pada 1 Jan 1974, taraf jawatan KTTL dan KTTU dinaikan kepada Jeneral 2 Bintang, iaitu Rear Admiral
 (RAdm) dan Air Vice Marshall (AVM). 

Pada 1 Jan 1977 nama jawatan Ketua Turus dipinda menjadi Panglima. Maka singkatan nama KTAT, KTTD, KTTL dan KTTU ditukar kepda PAT, PTD, PTL dan PTU. Jawatan PTD dinaiktaraf kepada Jeneral (4 bintang) manakala jawatan PTL dan PTU dinaik taraf kepada 3 bintang [Laksamana Madya dan Leftenan Jeneral (Udara). Dari segi kekananan pangkat Panglima ketiga-tiga perkhidmatan,  PTD masih kekal penyandang yang paling kanan, iaitu berpangkat Jeneral 4 Bintang. Manakala KTTL dan KTTU hanya berpangkat Jeneral 3 Bintang.

Kesemua PAT (anak Malaysia) dari yang pertama hingga ke 14 adalah  penyandang jawatan PTD sebelum dilantik menjadi PAT kecuali PAT ke 5, Jen Tan Sri Ibrahim bin Ismail (menerima gelaran Tun setelah bersara). Jawatan Tun Ibrahim sebelum dilantik menjadi PAT pada 1 Jul 1970 ialah Setiausaha Kerja Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan untuk mentadbir negara semasa perisytiharan darurat lanjutan dari tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Pada 1 Jan 1999, pangkat jawatan PTL dan PTU dinaik taraf kepada Jeneral penuh, iaitu Laksamana dan Jeneral TUDM. Dengan itu pangkat ketiga-tiga Ketua Perkhidmatan (Darat, Laut dan Udara) telah menjadi sama taraf.

Tradisi kepimpinan tertinggi ATM dari kalangan pegawai kanan TD ini dipecahkan apabila PTL ketika itu, Laksamana Tan Sri Mohd Anwar  bin Hj Mohd Noor telah dilantik menjadi PAT ke 15 pada 29 Apr 2005.  Pada 1 Sep 2009 giliran PTU, Jen Tan Sri Azizan bin Ariffin TUDM  pula diberi laluan untuk menjadi PAT ke 17. Individu ketiga bukan dari TD yang dilantik menjadi PAT ialah Jen Tan Sri Affendi bin Hj Buang TUDM, PAT ke 21.

SPEKULASI PAT KE 23  

Spekulasi tentang penggantian PAT mula merebak pada pertengahan Januari 2025 dikalangan warga ATM. PAT ke 22, Jen Tan Sri Mohammad bin Ab Rahman mula bertugas pada 6 Sep 2023 dan sepatutnya bersara wajib (60 tahun) pada 14 Mac 2024. Terdapat sumber tidak rasmi (radio karat) menyatakan bahawa perkhidmatan beliau telah dilanjutkan untuk tempoh dua tahun sehingga 31 Jan 2026. Namun sumber tersebut menyatakan tempoh lanjutan tersebut beliau dipendekkan ke 31 Jan 2025 sahaja. Kerajaan mencari pengganti Mohammad.

Akhbar=akhbar tempar mula membuat spekulasi pada 27 Jan 2025 dengan menyatakan bahawa bakal PAT ke 23 bukan dari kalangan 3 Panglima Perkhidmatan yang sedia ada (sebagaimana tradisi sebelumnya). Tiga Panglima Perkhidmatan sedia ada ialah:
  • Jen Tan Sri Muhammad Hafizzudeain bin Jantan (PTD) - dilantik pada 6 Sep 2023.
  • Laksmn Datuk Zulhelmy bin Ithnain (PTL) - dilantik pada 23 Sep 2024.
  • Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM (PTU) (59 tahun) - dilantik pada 7 Mac 2022.
Majlis Angkatan Tentera boleh sahaja mencadangkan (untuk perkenan Yang DiPertuan Agong) mana-mana salah satu nama di atas. Ketiga-tiganya layak dan memenuhi syarat. Namun 3 nama yang disar-warkan oleh akhbar tempatan (media cetak dan elektronik) bukan salah satu dari mereka bertiga. Berita calon PAT yang dibesarkan adalah tiga orang pegawai kanan  ATM berpangkat Leftenan Jeneral berikut:
  • Lt Jen Datuk Zahani bin Zainal Abidin TUDM (57 tahun) - Panglima Angkatan Bersama (PAB) yang dinaikkan pangkat pada 1 Jul 2022.
  • Lt Jen Datuk Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim (55 tahun) - Timbalan PTD yang dinaikkan pangkat pada 18 Apr 2023.
  • Lt Jen Datuk Mohd Nizam bin Jaffar (58 tahun) - Assisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) - dinaikkan pangkat pada 7 Nov 2024 tetapi berkuatkuasa pada 23 Feb 2024.
Ia benar-benar di luar kebiasaan. Tiada siapa yang dapat menjelaskan mengapa boleh jadi demikian. Pastinya ada sebab musababnya. Allah (swt) Maha Mengetahui.

PERLANTIKAN SEBAGAI PAT

Pada 31 Jan 2025, segala teka teki telah menjadi kenyataan. Nama Lt Jen Datuk Mohd Nizam bin Hj Jaffar telah diumumkan sebagai Panglima Angkatan Tentera ke 23 menggatikan Jen Tan Sri Dato' Seri Mohammad bin Ab Rahman. 

Tip: Jika mengambil kira jawatan terakhir yang disandang (sebelum dilantik menjadi PAT)  adalah AKSPA, maka berikut adalah jawatan-jawatan HAKIKI (Jen/Lt Jen dan setaraf ) yang lebih kanan yang dipintas oleh Mohd Nizam:
  1. Panglima Tentera Darat.
  2. Panglima Tentera Laut.
  3. Panglima Tentera Udara.
  4. Ketua Staf Markas ATM.
  5. Panglima Angkatan Bersama.
  6. Timbalan Panglima Tentera Darat.
  7. Timbalan Panglima Tentera Laut.
  8. Timbalan Panglima Tentera Udara.
  9. Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan.
  10. Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan.
  11. Naib Canselor UPNM.
  12. Presiden PUSPAHANAS.
  13. Panglima Medan Barat Tentera Darat.
  14. Panglima Medan Timur Tentera Darat.
  15. Panglima Armada Barat TLDM.
  16. Panglima Armada Timur TLDM.
  17. Panglima Operasi Udara.
  18. Panglima Pendidikan dan Latihan Udara.
  19. Ketua Pegawai Eksekutif MiDAS.
"KITA MERANCANG, ALLAH JUGA MERANCANG. KETAHUAILAH, ALLAH ADALAH SEBAIK-BAIK PERANGANG" - Maksud Ayat 30 : Surah Al Anfal. 

PERSONALITI

Mohd Nizam bin Hj Jaffar dilahirkan pada 3 Ogos 1966 di Johor Bahru, Johor hDarul Ta’zim merupakan bekas pelajar (putera) Maktab Tentera Diraja (RMC) dari tahun 1982 - 1983.  Di atas kecemerlangannya, Nizam terpilih mengikuti latihan Pegawai Kadet (SMC Siri 853) di Royal Military Academy (RMA) Sandhurst, England dari tahun 1986 - 1987.

RMAS OCdt Mohd Nizam

Kerjaya ketenteraan Mohd Nizam setelah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda bermula sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) dan seterusnya dipertanggungjawabkan sebagai Juruiring (Aide-de-Camp) kepada Timbalan Panglima Tentera Darat (1989-1990) dan Panglima Angkatan Tentera ketika itu, Jeneral Tan Sri Mohamed Hashim bin Mohd Ali (1990-1992). 

Selain pelbagai kursus kerjaya ketenteraan di dalam negara, Mohd Nizam juga telah diberi penghormatan menghadiri kursus professional military education (PME) yang berprestij tinggi seperti Junior Command and Staff Course di Bangladesh; Mid Career Management Course di Pakistan; Command and General Staff Course di Fort Leavenworth, Amerika Syarikat dan Le Collège Interarmées de Défense di  Paris, Perancis. 

Ketika berpangkat Lt Kol, Mohd Nizam  pernah menyandang tugas sebagai Pegawai Memerintah Batalion ke19 RAMD dari 15 Feb 2003 hingga 13 Ogos 2004. 19 RAMD adalah pasukan pertama beliau memulakan kerjaya sebagai pegawai muda. Beliau juga pernah berkhdmat sebagai PS1 Tenikal di Jabatanarah Infantri, Markas Tentera Darat sebelum dinaikkan ke pangkat Kol untuk menyandang jawatan Pengarah Infantri. 

Mohd Nizam mencipta sejarah sebagai pegawai kanann ATM yang pertama terpilih menghadiri kursus Global Peace Operations Initiative (GPOI) Peace Support Operations Contingent Commander Course di Monterey, Amerika Syarikat sebelum dilantik sebagai Komander Malaysian Battalion (MALBATT) 2 di Lubnan dari 27 Apr 2010 hingga 25 Jan 2011.

Sepulangnya dari Lubnan, Mohd Nizam telah diberi kepercayaan menjadi Juruiring Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-14 dari tahun 2011 hingga 2016 dan dinaikkan ke pangkat Brig Jen.

Semasa berpangkat Brig Jen juga , Mohd Nizam telah diberi kepercayaan memikul beberapa jawatan penting sama ada di dalam organisasi Tentera Darat mahu pun di peringkat ATM; seperti:
  • Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia, Ipoh; dan
  • Pengarah Pengurusan Latihan di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MPLDTD), Port Dickson.
Mengunjungi Naib Canselor UNIMAS ketika memegang jawatan Pengarah Pengurusan Latihan MPLDTD

Mohd Nizam telah terpilih sebagai salah seorang peserta dalam kumpulan pertama (first batch) untuk menghadiri kursus  PME tertinggi di dalam ATM di Maktab Ketahanan Nasional (MKN atau NRC) dari 3 Sep 2019 hingga 30 Sep 2020. Beliau telah dinobatkan sebagai peserta terbaik dan menerima  The National Resilience College Award oleh NRC Directing Staff Council. Setamatnya dari kursus tersebut beliau telah dilantik menjadi Komandan Maktab Ketahanan Nasional (MKN) mulai1 Okt 2020 - MKN yang baru ditubuhkan pada 31 Jul 2019 adalah salah satu institusi latihan ketenteraan di bawah payung Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) di Putrajaya. Mohd Nizam merupakan Komandan kedua menggantikan Lt Jen Dato' Yusof bin Aziz.

Terima tugas Komandan MKN

Ketika menjadi Komandan MKN, Mohd Nizam dinaikkan ke pangkat Mej Jen pada 9 Feb 2021.

Kenaikan ke pangkat Mej Jen pada 9 Feb 2021 disempurnakan oleh PTD ketika itu, Jen Tan Sri Zamrose bin Mohd Zain

Mengambil alih jawatan AKSPA mulai 20 Dis 2023

Pada 20 Dis 2023, Mohd Nizam telah ditukarkan ke Bahagian Perkhidmatan Anggota Markas ATM (MK ATM - BPA) untuk mengambil alih jawatan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA). Pada 9 Nov 2024, Mohd Nizam telah naikkan ke pangkat Lt Jen berkuatkuasa pada 24 Feb 2024. Beliau kekal dengan menyandang jawatan AKSPA.
.
Pemakaian pangkat Lt Jen untuk Mohd Nizam disempurnakan oleh PAt, Jen Tan Sri Mohammad bin Ab Rahman pada 9 Nov 2024.

Mohd Nizam juga memiliki ijazah Master of Business Administration (MBA) dari University of Nottingham dan merupakan salah seorang peneriima anugerah 
sebagai Fellow Scholar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). 

Kemuncak kecemerlangan serta dedikasinya dalam perkhidmatan, Mohd Nizam telah dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Ke-23 pada 31 Januari 2025 dan dinaikkan ke pangkat Jeneral pada tarikh yang sama. 

Penyempurnaan pangkat Jeneral 4 Bintang oleh YB MENHAN dan PAT yang terdahulu

Serah terima jawatan dan tongkat kuasa sebagai PAT ke 23

Hari pertama melapor diri sebagai PAT

Hari pertama memasuki pejabat PAT - 4 Feb 2025



Di Istana Negara pada 2 Jun 2025, sempena dengan Hari Keputeraan Rasmi SPB Yang DiPertuan Agong XVII Sulltan Ibrahim, Mohd Nizam telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima (PMN) yang membawa gearan Tan Sri.


Jen Tan Sri Mohd Nizam bin Hj Jaffar telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Risia binti Sheikh Ali Omar Bajarai dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.


BILA PENULIS KENAL TS NIZAM NI?  

Terus terang penulis nyatakan bahawa pertama kali penulis mendengar nama Mohd Nizam adalah ketika beliau berpangkat Kolonel - sebagai Pengarah Infantri. Sekitar tahun 2008/2009. Ketika itu, penulis juga berpangkat Kol, membuat tugas Ketua Staf Khidmat di Markas Logistik Udara. Salah seorang pegawai staf di bawah penulis (Mej Hayazi TUDM) merupakan Setiausaha Sepak Takraw ATM, manakala Mohd Nizam adalah Pengerusinya. Jadi kerap kali, jika ada tournament atau mesyuarat berkaitan Persatuan Sepak Takraw ATM, Hayazi (allahyarham Lt Kol) akan memohon pelepasan dari penulis dengan menyebut 'salam mohon izin' dari Kol Mohd Nizam.

Tip: Ketika itu, kewibawaan Mohd Nizam telah mula menyerlah di barisan 'middle management' pegawai Tentera Darat. Nama Mohd Nizam juga telah disebut-sebut sebagai pewaris kepimpinan TD atau dalam bahasa mudah kami disebut sebagai "future PTD".

Semasa Mohd Nizam menjadi Juruiring YDPA XIV (sekitar 2011 - 2016) penulis kerap bertemu dengan Mohd Nizam di Terminal Pergerakan Udara  (TPU) Pangkalan Udara Subang. Setiap 2-3 bulan, penulis kerap membuat tugas 'DUTY COLONEL' yang perlu berada di TPU  untuk menyambut atau menghantar VVIP yang disenaraikan seperti YDPA, RPA, Raja-Raja Melayu, PM dan TPM.

Perkenalan kami menjadi lebih rapat di penghujung perkhidmatan penulis. Penulis berpeluang menyertai delegasi pengiring Kontigen MALBATT 850-6 dari 13 hingga 20 Sep 2018.  Kontigen M850-6 yang diketuai oleh Kol Azhan bin Mohd Othman akan mengambil alih tugas M850-5 yang dipimpin oleh Kol Khairul Annuar bin Abd Aziz (Sep 2017 - Sep 2018). Ketika itu, penulis berpangkat Brig Jen TUDM bertugas sebagai Ketua Pengarah Operasi Logistik, Bahagian Logistik Pertahanan, Markas ATM. Manakala Mohd Nizam juga berpangkat Brig Jen (Datuk) merupakan Panglima 2 Briged di Ipoh.

Anggota delegasi kanan yang lain adalah terdiri dari Mej Jen Datuk Md Tajri bin Alwee, Panglima Latihan TD - Ketua Delegasi (bersara Mej Jen); Mej Jen Dato' Tajuddin bin Abd Ghani (bersara Mej Jen); Laksda Dato' Aris Adi Tan bin Abdullah (bersara Laksdya);  Brig Jen Datuk Hj Mohd Nizam bin Jaafar; Brig Jen Dato' Md Din bin Abu (bersara Mej Jen); Brig Jen Hj Abd Malik bin Amid (bersara Mej Jen); dan Laksma Hj Mohd Ridzuan bin Hamzah (bersara Laksda, Datuk). 

Pegawai-pegawai lain dalam kumpulan delegasi adalah Kol Dr Saravanan; Kol Adi Ridzwan bin Abdullah (bersara Mej Jen); Kol Hj Semaon bin Marjuki (sekarang Mej Jen, Dato’); Kol Yazid bin Salim (bersara Brig Jen - meninggal dunia pada 28 Jun 2025); Kol Robaai bin Rahmat (bersara Mej Jen); Kol Norazman bin Selamat (bersara Mej Jen); Kol Loh Kooi Leong (bersara Brig Jen); Kept Kamarudin bin Omar TLDM (sekarang Laksma); Kept Shaiful Nizam bin Abd Manan TLDM (bersara Laksma); Lt Kol Ab Rahman bin Mahmood (bersara Kol); Lt Kol Hjh Zainon binti Mohamed (telah bersara); Lt Kol (Ustazah) Nafisah binti Noordin (telah bersara); Lt Kol Wan Amir Zaki bin Wan Hassan TUDM (sekarang Kol TUDM); Mej Raja Mohd Azanim Putera bin Raja Yaacob (sekarang Lt Kol) dan Mej (Ustaz) Mohd Azlan Shah bin Abd Razak.  Dua lagi peserta adalah  Mej Jen Dato' Azman bin Mohd Rosli (B); dan Lt Kol Abd Talib bin H Darwami (B) dari PERNAMA.

Selama seminggu berkampung di Wisma Perwira Kem Maarakah, Lubnan menjadikan kumpulan kami begitu rapat dan mesra. Sepulangnya dari Lubnan, kami mengekalkan persahabatan melalui WAG dan kekal hingga sekarang.





Pada 28 Nov 2018, penulis melakukan tugas rasmi - lawatan kerja ke beberapa kem tentera atau atau rumah masak di bawah kontrak penswastaan perkhidmatan katering bagi Zon Utara. Lawatan ini melibatkan unit-unit di Ipoh, Sungai Petani dan Alor Setar.  Semasa tim lawatan berada di Ipoh, penulis sempat menziarahi Brig Jen Datuk Mohd Nizam di pejabatnya di Markas 2 Briged. Beliau yang ketika itu agak sibuk dengan tugas rasminya masih tetap meluangkan masa untuk menerima kehadiran penulis.

Begitulah serba ringkas perkenalan penulis dengan Jen Tan Sri Mohd Nizam. Walaupun singkat namun penuh bermakna.

Pada pemerhatian penulis, Mohd Nizam mempunyai perwatakan yang tenang, tingkah laku yang berhemah dan amat menghormati rakan pegawai yang lain, mudah dihampiri, mudah mesra TETAPI tidak akan bersembang berlebih-lebihan. 

Sebagai sahabat dari perkhidmatan lain, detik hati ini ada juga tertanya-tanya, mengapa bagaimana nama Mohd Nizam boleh hilang dari kitaran radar Tentera Darat? Jawapannya biarlah disimpan sendiri oleh Panglima-Panglima Tentera Darat sendiri. 


menerima kunjungan PTU yang baru

menghadiri perbarisan serah terima tugas PTU pada 26 Jun 2025

Menerima Darjah Kebesaran SSPK dari DYMM Sultan Kedah pada 22 Jun 2025


Pada hari serah terima tugas PTU pada 26 Jun 2025

Majlis mengadap DYMM YDP Besar NS pada 16 Jul 25

bersama mantan PAT di hari terakhir perkhidmatannya

ANUGERAH DARJAH KEBESARAN , BINTANG & PINGAT 

  1. SERI SETIA PAHLAWAN KEDAH (SSPK) - Jun 2025 - membawa gelaran Dato' Seri Pahlawan. 
  2. PANGLIMA MANGKU NEGARA (PMN) - Jun 2025 - membawa gelaran Tan Sri.
  3. PANGLIMA SETIA ANGKATAN TENTERA (PSAT) - 2024 
  4. PANGLIMA SETIA DIRAJA (PSD) - 2014 -membawa gelaran Datuk.
  5. PANGLIMA MAHKOTA WILAYAH (PMW) - 2012 - membawa gelaran Datuk.
  6. DATO' SETIA DIRAJA KEDAK (DSDK) - membawa gelaran Dato'. 
  7. PAHLAWAN ANGKATAN TENTERA (PAT)
  8. SETIA MAHKOTA PAHANG (SMP)
  9. SETIA DIRAJA KEDAH (SDK)
  10. KESATRIA MANGKU NEGARA (KMN) - 
  11. BINTANG CEMERLANG KEDAH (BCK)
  12. PINGAT JASA MALAYSIA (PJM)
  13. PINGAT PERKHIDMATAN SETIA (PPS)
  14. PINGAT PERKHIDMATAN AM (PPA)
  15. PINGAT NEGARA BANGSA-BANGSA BERSATU (PNBB) (LUBNAN)
LOMPAT KIJANG OLEH NIZAM JAFFAR

Kenapa penulis sebut Lompat Kijang? Kalau Lompat Jauh, hanya sekali lompat sudah diukur jaraknya. Tetapi Lompat Kijang atau dalam Bahasa Inggerisnya Triple Jump, athlete perlu membuat tiga lompatan. Lompatan pertama Mohd Nizam dinaikkan ke pangkat Lt Jen ketika masih menyandang perjawatan hakiki Mej Jen (AKSPA), lompatan kedua beliau tidak perlu memegang jawatan hakiki Lt Jen malah memintas segala Lt Jen yang sedia ada, dan lompatan terakhirnya, beliau tidak perlu menyandang tugas PTD, terus melangkau ke jawatan PAT.

Ramai kenalan penulis bertanya soalan ini : Apa pendapat penulis tentang perlantikan Mohd Nizam sebagai PAT?
Beliau bukan sahaja memintas begitu ramai pegawai berpangkat Jeneral dan Lt Jen yang lebih kanan darinya serta melanggar kebiasaan (tradisi) pelantikan PAT dari kalangan 3 Panglima Perkhidmatan? Bahkan bukan dari kalangan penyandang perjawatan hakiki Lt Jen?

Jawapan penulis : Sebelum menjawab soalan di atas, penulis ingin penjelasan terlebih dahulu perkara berikut. Dari latar belakang kerjaya/kursus yang cemerlang; graduan RMAS Sandhurst, graduan US Staff College, dan graduan French Defence College, pernah jadi ADC PAT, pernah jadi ADC YDP Agong, kenapa beliau hanya dipertimbangkan ke National Resillience College setelah hampir 10 tahun menyandang pangkat Brig Jen? Kemana hilangnya nama beliau ketika satu demi satu (puluhan) junior beliau naik ke pangkat Mej Jen dan Lt Jen?

Laluan kerjaya beliau di penghujung perkhidmatan mempunyai sedikit persamaan yang penulis pernah lalui sebelum ini. Itu sahaja komen penulis.

KESIMPULANnya, Percaya kepada Allah, percaya kepada Qada' dan Qadar (ketentuan) Allah. 

....Maksud firman Allah (swt):
"DAN (INGATLAH) TATKALA TUHANMU MEMBERITAHU; SESUNGGUHNYA JIKA KAMU BERSYUKUR, PASTI KAMI AKAN TAMBAH NIKMAT KEPADAMU; DAN JIKA KAMU KUFUR, SESUNGGUHNYA AZABKU AMAT PEDIH".
(Surah Ibrahim : Ayat 7)


https://www.mafhq.mil.my/index.php/ms/
https://www.mafhq.mil.my/index.php/ms/maklumat/berita/738-jeneral-tan-sri-dato-seri-mohammad-serahkan-tampuk-pemerintahan-kepada-jeneral-datuk-haji-mohd-nizam#
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/01/1181316/jeneral-3-bintang-bakal-pecah-tradisi-teraju-angkatan-tentera