Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang
YANG AWAL DAN YANG AKHIR

Tuesday, July 22, 2025

M 157 : LOMPAT KIJANG OLEH NIZAM JAFFAR

 


JENERAL TAN SRI MOHD NIZAM BIN HJ JAFFAR
PMN PSD SSPK PSAT DSDK PMW PAT SMP SDK KMN BCK PJM PNBB (Lubnan) MBA (Notts) DipStrat (UKM) FScholar (UPNM) nrc CID (France) psc (US)
PAT  KE 23  

SEDIKIT TENTANG JAWATAN PAT  

Panglima Angkatan Tentera (PAT) adalah jawatan tertinggi dalam organisasi ATM. Sebelum tahun 1980, nama jawatan ini dikenali sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera (KTAT) atau Chief of Armed Forces Staff (CAFS).

Sejak jawatan ini diwujudkan pada 1 Jan 1964, secara tradisi, penyandangnya adalah pegawai kanan dari Tentera Darat (Army) - lebih spesifik lagi dari Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD). Tradisi ini mengambil kira bahawa Tentera Darat adalah pasukan yang paling kanan di kalangan ketiga-tiga perkhidmatan ATM (Darat, Laut dan Udara). Ia juga mengambil kira kekuatan ketumbukan Tentera Darat adalah yang terbesar berbanding kekuatan TLDM dan TUDM,

Faktor sejarah juga mendukung kuat keperluan KTTD mengetuai ATM.  Sejak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 sehingga terbentuknya Malaysia pada 16 Sep 1963, tiada organisasi bernama Angkatan Tentera Persekutuan Tanah Melayu!.  Tentera Darat mengungguli operasi ketenteraan di Semenanjung Tanah Melayu. Penyandang jawatan KTTD yang bertaraf 'Mej Jen' hanya diambil alih oleh anak tempatan iaitu Mej Jen Tunku Osman bin Tunku Mohammad Jewa pada 5 Sep 1962. Kemudiannya jawatan ini dinaikkan taraf kepada Lt Jen pada tahu yang sama.

Ketika itu, peranan TLDM dan TUDM masih ditahap pasukan bantuan kepada Tentera Darat. KTTL dan KTTL masih disandang (dipinjamkan) oleh pegawai dari Tentera British (Royal Navy dan Royal Air Force) - yang berpangkat Captain/Commodore dan Group Captain/Air Commodore.

Ketika ATM ditubuhkan secara rasmi pada 1 Jan 1964, KTTD ketika itu, Lt Jen Tunku Osman Jewa telah dilantik menjadi Ketua Turus Angkatan Tentera (KTAT) yang pertama dari kalangan anak Malaysia. Jawatan KTAT dinaikkan ke taraf Jeneral (Jeneral 4 Bintang).

Kepimpinan tertinggi TLDM dn TUDM hanya diambil alih oleh anak tempatan pada 1 Okt 1967. Commodore K. Thanabalasaingam untuk TLDM dan Air Commodore Sulaiman bin Sujak untuk TUDM. Kedua-dua jawatan tersebut bertaraf Jeneral 1 Bintang. Pada 1 Jan 1974, taraf jawatan KTTL dan KTTU dinaikan kepada Jeneral 2 Bintang, iaitu Rear Admiral
 (RAdm) dan Air Vice Marshall (AVM). 

Pada 1 Jan 1977 nama jawatan Ketua Turus dipinda menjadi Panglima. Maka singkatan nama KTAT, KTTD, KTTL dan KTTU ditukar kepda PAT, PTD, PTL dan PTU. Jawatan PTD dinaiktaraf kepada Jeneral (4 bintang) manakala jawatan PTL dan PTU dinaik taraf kepada 3 bintang [Laksamana Madya dan Leftenan Jeneral (Udara). Dari segi kekananan pangkat Panglima ketiga-tiga perkhidmatan,  PTD masih kekal penyandang yang paling kanan, iaitu berpangkat Jeneral 4 Bintang. Manakala KTTL dan KTTU hanya berpangkat Jeneral 3 Bintang.

Kesemua PAT (anak Malaysia) dari yang pertama hingga ke 14 adalah  penyandang jawatan PTD sebelum dilantik menjadi PAT kecuali PAT ke 5, Jen Tan Sri Ibrahim bin Ismail (menerima gelaran Tun setelah bersara). Jawatan Tun Ibrahim sebelum dilantik menjadi PAT pada 1 Jul 1970 ialah Setiausaha Kerja Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan untuk mentadbir negara semasa perisytiharan darurat lanjutan dari tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Pada 1 Jan 1999, pangkat jawatan PTL dan PTU dinaik taraf kepada Jeneral penuh, iaitu Laksamana dan Jeneral TUDM. Dengan itu pangkat ketiga-tiga Ketua Perkhidmatan (Darat, Laut dan Udara) telah menjadi sama taraf.

Tradisi kepimpinan tertinggi ATM dari kalangan pegawai kanan TD ini dipecahkan apabila PTL ketika itu, Laksamana Tan Sri Mohd Anwar  bin Hj Mohd Noor telah dilantik menjadi PAT ke 15 pada 29 Apr 2005.  Pada 1 Sep 2009 giliran PTU, Jen Tan Sri Azizan bin Ariffin TUDM  pula diberi laluan untuk menjadi PAT ke 17. Individu ketiga bukan dari TD yang dilantik menjadi PAT ialah Jen Tan Sri Affendi bin Hj Buang TUDM, PAT ke 21.

SPEKULASI PAT KE 23  

Spekulasi tentang penggantian PAT mula merebak pada pertengahan Januari 2025 dikalangan warga ATM. PAT ke 22, Jen Tan Sri Mohammad bin Ab Rahman mula bertugas pada 6 Sep 2023 dan sepatutnya bersara wajib (60 tahun) pada 14 Mac 2024. Terdapat sumber tidak rasmi (radio karat) menyatakan bahawa perkhidmatan beliau telah dilanjutkan untuk tempoh dua tahun sehingga 31 Jan 2026. Namun sumber tersebut menyatakan tempoh lanjutan tersebut beliau dipendekkan ke 31 Jan 2025 sahaja. Kerajaan mencari pengganti Mohammad.

Akhbar=akhbar tempar mula membuat spekulasi pada 27 Jan 2025 dengan menyatakan bahawa bakal PAT ke 23 bukan dari kalangan 3 Panglima Perkhidmatan yang sedia ada (sebagaimana tradisi sebelumnya). Tiga Panglima Perkhidmatan sedia ada ialah:
  • Jen Tan Sri Muhammad Hafizzudeain bin Jantan (PTD) - dilantik pada 6 Sep 2023.
  • Laksmn Datuk Zulhelmy bin Ithnain (PTL) - dilantik pada 23 Sep 2024.
  • Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM (PTU) (59 tahun) - dilantik pada 7 Mac 2022.
Majlis Angkatan Tentera boleh sahaja mencadangkan (untuk perkenan Yang DiPertuan Agong) mana-mana salah satu nama di atas. Ketiga-tiganya layak dan memenuhi syarat. Namun 3 nama yang disar-warkan oleh akhbar tempatan (media cetak dan elektronik) bukan salah satu dari mereka bertiga. Berita calon PAT yang dibesarkan adalah tiga orang pegawai kanan  ATM berpangkat Leftenan Jeneral berikut:
  • Lt Jen Datuk Zahani bin Zainal Abidin TUDM (57 tahun) - Panglima Angkatan Bersama (PAB) yang dinaikkan pangkat pada 1 Jul 2022.
  • Lt Jen Datuk Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim (55 tahun) - Timbalan PTD yang dinaikkan pangkat pada 18 Apr 2023.
  • Lt Jen Datuk Mohd Nizam bin Jaffar (58 tahun) - Assisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) - dinaikkan pangkat pada 7 Nov 2024 tetapi berkuatkuasa pada 23 Feb 2024.
Ia benar-benar di luar kebiasaan. Tiada siapa yang dapat menjelaskan mengapa boleh jadi demikian. Pastinya ada sebab musababnya. Allah (swt) Maha Mengetahui.

PERLANTIKAN SEBAGAI PAT

Pada 31 Jan 2025, segala teka teki telah menjadi kenyataan. Nama Lt Jen Datuk Mohd Nizam bin Hj Jaffar telah diumumkan sebagai Panglima Angkatan Tentera ke 23 menggatikan Jen Tan Sri Dato' Seri Mohammad bin Ab Rahman. 

Tip: Jika mengambil kira jawatan terakhir yang disandang (sebelum dilantik menjadi PAT)  adalah AKSPA, maka berikut adalah jawatan-jawatan HAKIKI (Jen/Lt Jen dan setaraf ) yang lebih kanan yang dipintas oleh Mohd Nizam:
  1. Panglima Tentera Darat.
  2. Panglima Tentera Laut.
  3. Panglima Tentera Udara.
  4. Ketua Staf Markas ATM.
  5. Panglima Angkatan Bersama.
  6. Timbalan Panglima Tentera Darat.
  7. Timbalan Panglima Tentera Laut.
  8. Timbalan Panglima Tentera Udara.
  9. Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan.
  10. Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan.
  11. Naib Canselor UPNM.
  12. Presiden PUSPAHANAS.
  13. Panglima Medan Barat Tentera Darat.
  14. Panglima Medan Timur Tentera Darat.
  15. Panglima Armada Barat TLDM.
  16. Panglima Armada Timur TLDM.
  17. Panglima Operasi Udara.
  18. Panglima Pendidikan dan Latihan Udara.
  19. Ketua Pegawai Eksekutif MiDAS.
"KITA MERANCANG, ALLAH JUGA MERANCANG. KETAHUAILAH, ALLAH ADALAH SEBAIK-BAIK PERANGANG" - Maksud Ayat 30 : Surah Al Anfal. 

PERSONALITI

Mohd Nizam bin Hj Jaffar dilahirkan pada 3 Ogos 1966 di Johor Bahru, Johor hDarul Ta’zim merupakan bekas pelajar (putera) Maktab Tentera Diraja (RMC) dari tahun 1982 - 1983.  Di atas kecemerlangannya, Nizam terpilih mengikuti latihan Pegawai Kadet (SMC Siri 853) di Royal Military Academy (RMA) Sandhurst, England dari tahun 1986 - 1987.

RMAS OCdt Mohd Nizam

Kerjaya ketenteraan Mohd Nizam setelah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda bermula sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) dan seterusnya dipertanggungjawabkan sebagai Juruiring (Aide-de-Camp) kepada Timbalan Panglima Tentera Darat (1989-1990) dan Panglima Angkatan Tentera ketika itu, Jeneral Tan Sri Mohamed Hashim bin Mohd Ali (1990-1992). 

Selain pelbagai kursus kerjaya ketenteraan di dalam negara, Mohd Nizam juga telah diberi penghormatan menghadiri kursus professional military education (PME) yang berprestij tinggi seperti Junior Command and Staff Course di Bangladesh; Mid Career Management Course di Pakistan; Command and General Staff Course di Fort Leavenworth, Amerika Syarikat dan Le Collège Interarmées de Défense di  Paris, Perancis. 

Ketika berpangkat Lt Kol, Mohd Nizam  pernah menyandang tugas sebagai Pegawai Memerintah Batalion ke19 RAMD dari 15 Feb 2003 hingga 13 Ogos 2004. 19 RAMD adalah pasukan pertama beliau memulakan kerjaya sebagai pegawai muda. Beliau juga pernah berkhdmat sebagai PS1 Tenikal di Jabatanarah Infantri, Markas Tentera Darat sebelum dinaikkan ke pangkat Kol untuk menyandang jawatan Pengarah Infantri. 

Mohd Nizam mencipta sejarah sebagai pegawai kanann ATM yang pertama terpilih menghadiri kursus Global Peace Operations Initiative (GPOI) Peace Support Operations Contingent Commander Course di Monterey, Amerika Syarikat sebelum dilantik sebagai Komander Malaysian Battalion (MALBATT) 2 di Lubnan dari 27 Apr 2010 hingga 25 Jan 2011.

Sepulangnya dari Lubnan, Mohd Nizam telah diberi kepercayaan menjadi Juruiring Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-14 dari tahun 2011 hingga 2016 dan dinaikkan ke pangkat Brig Jen.

Semasa berpangkat Brig Jen juga , Mohd Nizam telah diberi kepercayaan memikul beberapa jawatan penting sama ada di dalam organisasi Tentera Darat mahu pun di peringkat ATM; seperti:
  • Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia, Ipoh; dan
  • Pengarah Pengurusan Latihan di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MPLDTD), Port Dickson.
Mengunjungi Naib Canselor UNIMAS ketika memegang jawatan Pengarah Pengurusan Latihan MPLDTD

Mohd Nizam telah terpilih sebagai salah seorang peserta dalam kumpulan pertama (first batch) untuk menghadiri kursus  PME tertinggi di dalam ATM di Maktab Ketahanan Nasional (MKN atau NRC) dari 3 Sep 2019 hingga 30 Sep 2020. Beliau telah dinobatkan sebagai peserta terbaik dan menerima  The National Resilience College Award oleh NRC Directing Staff Council. Setamatnya dari kursus tersebut beliau telah dilantik menjadi Komandan Maktab Ketahanan Nasional (MKN) mulai1 Okt 2020 - MKN yang baru ditubuhkan pada 31 Jul 2019 adalah salah satu institusi latihan ketenteraan di bawah payung Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) di Putrajaya. Mohd Nizam merupakan Komandan kedua menggantikan Lt Jen Dato' Yusof bin Aziz.

Terima tugas Komandan MKN

Ketika menjadi Komandan MKN, Mohd Nizam dinaikkan ke pangkat Mej Jen pada 9 Feb 2021.

Kenaikan ke pangkat Mej Jen pada 9 Feb 2021 disempurnakan oleh PTD ketika itu, Jen Tan Sri Zamrose bin Mohd Zain

Mengambil alih jawatan AKSPA mulai 20 Dis 2023

Pada 20 Dis 2023, Mohd Nizam telah ditukarkan ke Bahagian Perkhidmatan Anggota Markas ATM (MK ATM - BPA) untuk mengambil alih jawatan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA). Pada 9 Nov 2024, Mohd Nizam telah naikkan ke pangkat Lt Jen berkuatkuasa pada 24 Feb 2024. Beliau kekal dengan menyandang jawatan AKSPA.
.
Pemakaian pangkat Lt Jen untuk Mohd Nizam disempurnakan oleh PAt, Jen Tan Sri Mohammad bin Ab Rahman pada 9 Nov 2024.

Mohd Nizam juga memiliki ijazah Master of Business Administration (MBA) dari University of Nottingham dan merupakan salah seorang peneriima anugerah 
sebagai Fellow Scholar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). 

Kemuncak kecemerlangan serta dedikasinya dalam perkhidmatan, Mohd Nizam telah dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Ke-23 pada 31 Januari 2025 dan dinaikkan ke pangkat Jeneral pada tarikh yang sama. 

Penyempurnaan pangkat Jeneral 4 Bintang oleh YB MENHAN dan PAT yang terdahulu

Serah terima jawatan dan tongkat kuasa sebagai PAT ke 23

Hari pertama melapor diri sebagai PAT

Hari pertama memasuki pejabat PAT - 4 Feb 2025



Di Istana Negara pada 2 Jun 2025, sempena dengan Hari Keputeraan Rasmi SPB Yang DiPertuan Agong XVII Sulltan Ibrahim, Mohd Nizam telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima (PMN) yang membawa gearan Tan Sri.


Jen Tan Sri Mohd Nizam bin Hj Jaffar telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Risia binti Sheikh Ali Omar Bajarai dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.


BILA PENULIS KENAL TS NIZAM NI?  

Terus terang penulis nyatakan bahawa pertama kali penulis mendengar nama Mohd Nizam adalah ketika beliau berpangkat Kolonel - sebagai Pengarah Infantri. Sekitar tahun 2008/2009. Ketika itu, penulis juga berpangkat Kol, membuat tugas Ketua Staf Khidmat di Markas Logistik Udara. Salah seorang pegawai staf di bawah penulis (Mej Hayazi TUDM) merupakan Setiausaha Sepak Takraw ATM, manakala Mohd Nizam adalah Pengerusinya. Jadi kerap kali, jika ada tournament atau mesyuarat berkaitan Persatuan Sepak Takraw ATM, Hayazi (allahyarham Lt Kol) akan memohon pelepasan dari penulis dengan menyebut 'salam mohon izin' dari Kol Mohd Nizam.

Tip: Ketika itu, kewibawaan Mohd Nizam telah mula menyerlah di barisan 'middle management' pegawai Tentera Darat. Nama Mohd Nizam juga telah disebut-sebut sebagai pewaris kepimpinan TD atau dalam bahasa mudah kami disebut sebagai "future PTD".

Semasa Mohd Nizam menjadi Juruiring YDPA XIV (sekitar 2011 - 2016) penulis kerap bertemu dengan Mohd Nizam di Terminal Pergerakan Udara  (TPU) Pangkalan Udara Subang. Setiap 2-3 bulan, penulis kerap membuat tugas 'DUTY COLONEL' yang perlu berada di TPU  untuk menyambut atau menghantar VVIP yang disenaraikan seperti YDPA, RPA, Raja-Raja Melayu, PM dan TPM.

Perkenalan kami menjadi lebih rapat di penghujung perkhidmatan penulis. Penulis berpeluang menyertai delegasi pengiring Kontigen MALBATT 850-6 dari 13 hingga 20 Sep 2018.  Kontigen M850-6 yang diketuai oleh Kol Azhan bin Mohd Othman akan mengambil alih tugas M850-5 yang dipimpin oleh Kol Khairul Annuar bin Abd Aziz (Sep 2017 - Sep 2018). Ketika itu, penulis berpangkat Brig Jen TUDM bertugas sebagai Ketua Pengarah Operasi Logistik, Bahagian Logistik Pertahanan, Markas ATM. Manakala Mohd Nizam juga berpangkat Brig Jen (Datuk) merupakan Panglima 2 Briged di Ipoh.

Anggota delegasi kanan yang lain adalah terdiri dari Mej Jen Datuk Md Tajri bin Alwee, Panglima Latihan TD - Ketua Delegasi (bersara Mej Jen); Mej Jen Dato' Tajuddin bin Abd Ghani (bersara Mej Jen); Laksda Dato' Aris Adi Tan bin Abdullah (bersara Laksdya);  Brig Jen Datuk Hj Mohd Nizam bin Jaafar; Brig Jen Dato' Md Din bin Abu (bersara Mej Jen); Brig Jen Hj Abd Malik bin Amid (bersara Mej Jen); dan Laksma Hj Mohd Ridzuan bin Hamzah (bersara Laksda, Datuk). 

Pegawai-pegawai lain dalam kumpulan delegasi adalah Kol Dr Saravanan; Kol Adi Ridzwan bin Abdullah (bersara Mej Jen); Kol Hj Semaon bin Marjuki (sekarang Mej Jen, Dato’); Kol Yazid bin Salim (bersara Brig Jen - meninggal dunia pada 28 Jun 2025); Kol Robaai bin Rahmat (bersara Mej Jen); Kol Norazman bin Selamat (bersara Mej Jen); Kol Loh Kooi Leong (bersara Brig Jen); Kept Kamarudin bin Omar TLDM (sekarang Laksma); Kept Shaiful Nizam bin Abd Manan TLDM (bersara Laksma); Lt Kol Ab Rahman bin Mahmood (bersara Kol); Lt Kol Hjh Zainon binti Mohamed (telah bersara); Lt Kol (Ustazah) Nafisah binti Noordin (telah bersara); Lt Kol Wan Amir Zaki bin Wan Hassan TUDM (sekarang Kol TUDM); Mej Raja Mohd Azanim Putera bin Raja Yaacob (sekarang Lt Kol) dan Mej (Ustaz) Mohd Azlan Shah bin Abd Razak.  Dua lagi peserta adalah  Mej Jen Dato' Azman bin Mohd Rosli (B); dan Lt Kol Abd Talib bin H Darwami (B) dari PERNAMA.

Selama seminggu berkampung di Wisma Perwira Kem Maarakah, Lubnan menjadikan kumpulan kami begitu rapat dan mesra. Sepulangnya dari Lubnan, kami mengekalkan persahabatan melalui WAG dan kekal hingga sekarang.





Pada 28 Nov 2018, penulis melakukan tugas rasmi - lawatan kerja ke beberapa kem tentera atau atau rumah masak di bawah kontrak penswastaan perkhidmatan katering bagi Zon Utara. Lawatan ini melibatkan unit-unit di Ipoh, Sungai Petani dan Alor Setar.  Semasa tim lawatan berada di Ipoh, penulis sempat menziarahi Brig Jen Datuk Mohd Nizam di pejabatnya di Markas 2 Briged. Beliau yang ketika itu agak sibuk dengan tugas rasminya masih tetap meluangkan masa untuk menerima kehadiran penulis.

Begitulah serba ringkas perkenalan penulis dengan Jen Tan Sri Mohd Nizam. Walaupun singkat namun penuh bermakna.

Pada pemerhatian penulis, Mohd Nizam mempunyai perwatakan yang tenang, tingkah laku yang berhemah dan amat menghormati rakan pegawai yang lain, mudah dihampiri, mudah mesra TETAPI tidak akan bersembang berlebih-lebihan. 

Sebagai sahabat dari perkhidmatan lain, detik hati ini ada juga tertanya-tanya, mengapa bagaimana nama Mohd Nizam boleh hilang dari kitaran radar Tentera Darat? Jawapannya biarlah disimpan sendiri oleh Panglima-Panglima Tentera Darat sendiri. 


menerima kunjungan PTU yang baru

menghadiri perbarisan serah terima tugas PTU pada 26 Jun 2025

Menerima Darjah Kebesaran SSPK dari DYMM Sultan Kedah pada 22 Jun 2025


Pada hari serah terima tugas PTU pada 26 Jun 2025

Majlis mengadap DYMM YDP Besar NS pada 16 Jul 25

bersama mantan PAT di hari terakhir perkhidmatannya

ANUGERAH DARJAH KEBESARAN , BINTANG & PINGAT 

  1. SERI SETIA PAHLAWAN KEDAH (SSPK) - Jun 2025 - membawa gelaran Dato' Seri Pahlawan. 
  2. PANGLIMA MANGKU NEGARA (PMN) - Jun 2025 - membawa gelaran Tan Sri.
  3. PANGLIMA SETIA ANGKATAN TENTERA (PSAT) - 2024 
  4. PANGLIMA SETIA DIRAJA (PSD) - 2014 -membawa gelaran Datuk.
  5. PANGLIMA MAHKOTA WILAYAH (PMW) - 2012 - membawa gelaran Datuk.
  6. DATO' SETIA DIRAJA KEDAK (DSDK) - membawa gelaran Dato'. 
  7. PAHLAWAN ANGKATAN TENTERA (PAT)
  8. SETIA MAHKOTA PAHANG (SMP)
  9. SETIA DIRAJA KEDAH (SDK)
  10. KESATRIA MANGKU NEGARA (KMN) - 
  11. BINTANG CEMERLANG KEDAH (BCK)
  12. PINGAT JASA MALAYSIA (PJM)
  13. PINGAT PERKHIDMATAN SETIA (PPS)
  14. PINGAT PERKHIDMATAN AM (PPA)
  15. PINGAT NEGARA BANGSA-BANGSA BERSATU (PNBB) (LUBNAN)
LOMPAT KIJANG OLEH NIZAM JAFFAR

Kenapa penulis sebut Lompat Kijang? Kalau Lompat Jauh, hanya sekali lompat sudah diukur jaraknya. Tetapi Lompat Kijang atau dalam Bahasa Inggerisnya Triple Jump, athlete perlu membuat tiga lompatan. Lompatan pertama Mohd Nizam dinaikkan ke pangkat Lt Jen ketika masih menyandang perjawatan hakiki Mej Jen (AKSPA), lompatan kedua beliau tidak perlu memegang jawatan hakiki Lt Jen malah memintas segala Lt Jen yang sedia ada, dan lompatan terakhirnya, beliau tidak perlu menyandang tugas PTD, terus melangkau ke jawatan PAT.

Ramai kenalan penulis bertanya soalan ini : Apa pendapat penulis tentang perlantikan Mohd Nizam sebagai PAT?
Beliau bukan sahaja memintas begitu ramai pegawai berpangkat Jeneral dan Lt Jen yang lebih kanan darinya serta melanggar kebiasaan (tradisi) pelantikan PAT dari kalangan 3 Panglima Perkhidmatan? Bahkan bukan dari kalangan penyandang perjawatan hakiki Lt Jen?

Jawapan penulis : Sebelum menjawab soalan di atas, penulis ingin penjelasan terlebih dahulu perkara berikut. Dari latar belakang kerjaya/kursus yang cemerlang; graduan RMAS Sandhurst, graduan US Staff College, dan graduan French Defence College, pernah jadi ADC PAT, pernah jadi ADC YDP Agong, kenapa beliau hanya dipertimbangkan ke National Resillience College setelah hampir 10 tahun menyandang pangkat Brig Jen? Kemana hilangnya nama beliau ketika satu demi satu (puluhan) junior beliau naik ke pangkat Mej Jen dan Lt Jen?

Laluan kerjaya beliau di penghujung perkhidmatan mempunyai sedikit persamaan yang penulis pernah lalui sebelum ini. Itu sahaja komen penulis.

KESIMPULANnya, Percaya kepada Allah, percaya kepada Qada' dan Qadar (ketentuan) Allah. 

....Maksud firman Allah (swt):
"DAN (INGATLAH) TATKALA TUHANMU MEMBERITAHU; SESUNGGUHNYA JIKA KAMU BERSYUKUR, PASTI KAMI AKAN TAMBAH NIKMAT KEPADAMU; DAN JIKA KAMU KUFUR, SESUNGGUHNYA AZABKU AMAT PEDIH".
(Surah Ibrahim : Ayat 7)


https://www.mafhq.mil.my/index.php/ms/
https://www.mafhq.mil.my/index.php/ms/maklumat/berita/738-jeneral-tan-sri-dato-seri-mohammad-serahkan-tampuk-pemerintahan-kepada-jeneral-datuk-haji-mohd-nizam#
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/01/1181316/jeneral-3-bintang-bakal-pecah-tradisi-teraju-angkatan-tentera

Monday, June 30, 2025

AF 156 : MEGA REUNION VETERAN MATERIEL 5.0

 

MEGA REUNION VETERAN MATERIEL
2025



JAWATAN KUASA PENGANJURAN MREUVM 5.0 
TAHUN 2025

PENGERUSI
MEJ JEN DATO' HJ TOHARUDIN BIN AB RASID TUDM (B)
KETUA SEKRETARIAT
KAPT NASARUDDIN BIN A AZIZ TUDM (B)
BENDAHARI 
KOL KAMARUDIN BIN KASSIM TUDM (B)
SETIAUSAHA KERJA
PW U I (B) ADAM BIN ZAHARI
PEN SETIAUSAHA KERJA
PW U II (B) NOEZAR BT MOHAMED
AHLI JAWATAN KUASA
MEJ MOHAMAD ZULKEFLY BIN MAT ISA (B) - SAJIAN 1
MEJ AHMAD ISHAK BIN HJ DOLLAH TUDM (B) - TETAMU
PW U I (B) MOKHTAR BIN HAMZAH - SAJIAN 2
PW U I (B) JAMALUDIN BIN PEAI - FOTOGRAFI 
PW U I (B) DR ATHIAPPAN A/L NARAYANAN - PUBLISITI
PW U II (B) SAHAROL KHAIRANI BIN ADAN - DEKORASI
KPL U (B) ABD GHANI BIN SAHAT - SISTEM KOMUNIKASI

  

    

    

D-DAY







TEKS UCAPAN PENGERUSI
MAJLIS MEGA REUNION VETERAN MATERIEL KE 5
29 JUN 2025
DEWAN ANGKASA RAYA
PANGKALAN UDARA SENDAYAN, NEGERI SEMBILAN


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ

Melati kuntum tumbuh melata,
Sayang merbah di pohon cemara,
Basmalah dan salam pembuka bicara,
Selamat datang hadirin yang mulia.

Saudari pengacara Majlis,

Y. Bhg Dato Seri/Datin Seri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan, Puan-Puan yang dirahmati Allah sekelian,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Selamat Tengahari - Salam Sejahtera dan Salam Maal Hijrah 1447.

    YBhg Brig Jen Hj Nor Azmi bin Hj Abd Rahman TUDM, AKS Materiel dan Puan Hjh Saliha.
YBhg Brig Jen Jasmi bin Che Ismail TUDM, Timbalan AKS Log Pertahanan, MK ATM.
YBhg Lt Kol Junaidi bin Abd Aziz TUDM, Pemangku Komander PUSEN
YBhg Lt Kol Mohd Amin Mohd Nor TUDM Ketua Cwg Materiel PUSEN
YBhg Puan Hjh Noraini binti Mohd Yunus - terima kasih kak Ani di atas kesudian memenuhi jemputan kami untuk hadir ke majlis ini.

Dari utara, membawa sejahtera
Dari selatan membawa kerahmatan,
Dari timur membawa makmur,
Dari barat membawa berkat.
 
 Kiri dan kanan rakan dan taulan,
Di hadapan pula teman sepermainan,
Pandang  belakang pernah berjiran,
Pusing keliling semua kenalan. 

Saya bagi pihak AJK Penganjur dengan penuh kesyukuran mengucapkan selamat datang kepada semua yang hadir menyambut salam silaturrahmi kami dengan bersusah payah mengenepikan segala kesulitan dan halangan, tetap berusaha melapangkan masa untuk memastikan Mega Reunion Veteran Materiel kali ke 5 ini dapat dijayakan pada hari ini. Walaupun pada tarikh tutup pendaftaran (15/6) hanya sejumlah 328 yang berdaftar, masih jauh dari sasaran kami (400). Namun dalam minggu terakhir ini (hingga semalam) permintaan untuk hadir meningkat mendadak - mencapai lebih 430 peserta termasuk 192 ahli keluarga - pun begitu agak dukacita kerana terdapat beberapa peserta yang menarik diri di saat akhir atas perkara yang tidak dapat dielakkan.

 Paluan rebana meriah bergema
Menjadi pusaka warisan bangsa
Hadirnya tuan memeriahkan suasana
 Kami menyambut penuh gembira

Sebelum saya meneruskan ucapan ini, saya ingin memeklumkan bahawa, tanpa mengira latar belakang perkhidmatan pangkat dan gelaran, semua Veteran Materiel yang hadir adalah tuan rumah, bukan tetamu. Saya bersama AJK saya hanya diberi amanah untuk mengelola atau menyusun atur majlis ini sahaja. Tetamu kita adalah pasangan kita atau pengiring yang hadir, penerima sumbangan, serta nama-nama yang saya sebutkan di awal tadi.  Jadi, harapan saya, janganlah ada yang terasa kecil hati atau terkilan kerana tidak dilayani atau disantuni sebagai tetamu. Kerusi meja yang disediakan adalah untuk memastikan semua ada tempat. Selepas ini, silalah menjelajah di serata pelusuk dewan ini untuk menemui rakan-rakan masing-masing.

Pemimpin sering bertukar tangan,
Memikul amanah bukannya ringan,
Menabur jasa bakti sumbangan,
Jadi sebutan sepanjang zaman

Selaku Pengerusi Mega Reunion kali ke 5 ini, saya ingin MENGALU-ALUKAN KEHADIRAN  mantan barisan kepimpinan Materiel yang telah melapangkan diri dan masa untuk hadir menyertai kita hari ini:

Selepas ini, saya akan gunakan istilah Prima Tumang untuk jawatan AKS Materiel kerana nama jawatan ini telah kerap bertukar dari ASBEK (1980 - 1989), APTU Materiel (1989-2001) dan AKS Materiel (mulai 2001 hingga hari ini).

YBhg Brig Jen Dato’ Anim bin Harun TUDM (B) dan Datin Zainab bt Ahmad; - (Prima Tumang ke 2). rekod peg Materiel paling muda dinaikkan ke pkt 1 bintang (40 tahun) - peg Mat pertama mendapat kelulusan Master (UK) dan satu-satunya peg Mat yang pernah menyandang jawatan Pgh Perancang Pembangunan di BSTB.

YBhg Brig Jen Dato’ Mohd Idris bin Saman TUDM (B)  dan Datin Fauziah bt Ibrahim; (PT ke 7) - seorang pemimpin yang sangat tenang and very fatherly character dan mempunyai tulisan yang cantik dan kemas. Berpeluang berkhidmat di bawah Dato Idris 1996 - 1998.

YBhg Mej Jen Dato’ Ali Nasirudin bin Hj Ibrahim TUDM (B) dan Datin Ruhaiyah; (PT ke 8)- peg kanan Materiel pertama menyandang pangkat Mej Jen TUDM) - satu2nya yg pernah menyandang AKS Mat dan AKS LP serta AKSPA - terkenal dengan workaholic & perfectionist - REKOD sampai kini tidak main golf - saya pecah rekod beliau. tidak main golf hingga bersara;

YBhg Brig Jen Dato’ Othman bin Abd Majid TUDM (B)  (PT ke 9) - memegang jawatan PT hanya 6 bulan - mulanya tidak main golf tapi hanya bertahan setakat Kol sahaja. Saya berkhidmat di bawah beliau pada 1996-1998. Keistimewaan - rambut kekal lebat dan hitam.

YBhg Mej Jen Dato’ Azizan bin Shaari TUDM (B)  dan Datin Rogayah bt Abd Samad ; (PT ke 13) - penyandang PT yang paling lama (8 tahun) - saya berpeluang 6 kali berkhidmat dengan Dato’ Azizan - pertama SEKLOG 1983 - Kuantan (1986) - MPPU 1990 - Bhg Mat (2004) - MLU (2007) - Bhg Mat (2014/2015) - Di Kuantan kami duduk satu blok OMQ - kalau saya outstation dan overnight, bila malam, isteri saya akan lari turun ke bawah - tumpang tidur.

  

  

Saya sekali lagi mengucapkan penghargaan tidak terhingga kepada Puan Hjh Noraini yang secara simboliknya mewakili Prima Tumang ke 6 (Allahyarham BG Hj Abdul Rahman bin Mohd Rais TUDM (B). Golf set (1993).

Selain dari AY BG Hj Abdul Rahman TUDM (B)  (11 Sep 2004), dua lagi mantan Prima Tumang telah pulang ke rahmatullah, iaitu;

Allahyarham BG Dato’ Hj Mohd Tahir bin Abdul Rahman TUDM (B)  - 2002; dan

Allahyarham MG Dato’ Hj Amir bin Hashim TUDM (B)  - yang baru meninggalkan kita pada 12 Mac yang lalu.

Sama2 kita doakan semoga arwah ketiga2 mantan pemimpin kita ini dihimpunkan bersama arwah para syuhadak dan solihin.

Saya juga turut mengalukan kehadiran;
YBhg Brig Jen Dato’ Muhamamd Shuairi Abdullah dan Datin Dr Azrina (selamat pulang ke tanah air); dan

YBhg Brig Jen Mohd Fakhri bin Yahya dan Puan Siti Zamrud.

Mantan barisan kepimpinan yang tidak dapat hadir bersama kita hari ini atas sebab2 yang tidak dapat dielakkan, mereka menyampaikan salam permohonan maaf mereka - amat teruja untuk bersama2 kita.

YBhg Brig Jen Dato’ Richard Robless TUDM (B)  (PT ke 5);

YBhg Brig Jen Dato’ Roslan bin Kasim TUDM (B)  (PT ke 12);

YBhg Brig Jen Dato’ Yohanez binti Ahmad TUDM (B) (PT ke 14);

YBhg Brig Jen Dato’ Dr Mohd Yunus bin Masjuki TUDM (B)  (PT ke 15);

YBhg Mej Jen Dato’ Zainal bin Abd Manaf TUDM (B)  (PT ke 16);

YBhg Brig Jen Dato’ Mior Azam bin Mior Safi TUDM (B);

YBhg Brig Jen Dato’ Rodzuan bin Abd Ghani TUDM (B);

YBhg Brig Jen Dato’ Othman bin Ahmad TUDM (B)

YBhg Brig Jen Izani bin Saleh TUDM (B); dan

YBhg BG Hj Sharani bin Kamarudin TUDM (B).

Selain dari itu Materiel juga telah melahirkan beberapa pemimpin barisan kedua yang tidak kurang hebatnya seperti Kol Lee Theng Kooi, mendiang Kol Loke Kok Lye, allahyarham  Kol Mohamad Awanglah, allahyarham Kol Ishak Mohamed, allahyarham Kol Ahmad Haidir Mohd Yusoff, allahyarham  Kol Mahamad Fazim Ismail, allahyarham  Kol Mohd Zaki Ishak, allahyarham  Kol Kamarudin Mohamad, Kol Abd  Wahab Enok, Kol Jemaat Atan, Kol Gopalan Manickam, Kol Kamarudin Kassim, Kol Mohd Amran Yaakob dan Kol Ahmad Nazri Nayan (dan ramai lagi yang masih berkhidmat) yang mempunyai sejarah dan sumbangan masing-masing.










YBhg Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan2, Puan2 yang saya hormati sekelian,

Pada hari ini, pihak penganjur turut menjemput 3 general Materiel yang sedang berkhidmat (BG Nor Azmi, BG Jasmi dan BG Norizan tidak dapat hadir kerana masih berada di Tanah Suci) dengan objektif untuk mewujudkan jambatan antara veteran dengan yang kepimpinan yang  masih berkhidmat - dengan harapan - tradisi ‘reunion’ ini ada diteruskan setelah mereka bersara kelak.

Tinggalkan muda menuju tua,
Pengalaman lalu sama digali,
Sahabat lama tidak bersua,
Di depan mata kini kembali
 
Nasi dihidang berlauk gelama,
Pemanis mulutnya bahulu kukus,
Lama sudah tak bertemu mata,
Namun persaudaraan tak pernah putus.

Setiap veteran yang hadir pada hari ini ‘sama ada pegawai atau LLP’ pastinya mempunyai sejarah silamnya sendiri dalam kerjaya. Setiap orang meninggalkan atau meyimpan pelbagai kenangan - ada yang pahit, ada yang masam, dan tentunya banyak sekali kenangan yang manis.  

Ada yang gembira dengan pencen yang ada,
Melayan watsap, tiktok dan messenger,
Ada yang terus bekerja sebelum ajal tiba,
Ada berkebun ada yang berniaga,
Ada yang tertipu rakan kongsi yang haloba,
Tak kurang juga yang terperangkap dengan kelicikan scammer,
Ada yang gagal ada yang berjaya,

Ada yang mahu bercerita
dengan nada santai dan selamba,
Pengalaman menjadi bahan jenaka.
Setiap perbualan diiringi gelak ketawa.

Ada yang tidak sanggup menerima realiti,
luka di hati sukar diubati,
semuanya dipendam di dalam hati,
terus berdiam diri membawa ke mati.
 
Setelah bersara, budaya hidup kita berubah,
saban tahun usia bertambah,
Ramai sakit lutut, nak bangun pun susah,
Mata makin kabur, uban subur bercambah.

Bila bersara ramai yang balik negeri,
Ada yang merantau membawa diri,
Rakan seperjuangan sukar ditemui,
Hari ini dah sukar dikenali.

Atas sebab itulah, AJK kali ini memilih tema yang berbeza dengan tema-tema yang lalu, iaitu: 
SEKALI BERJUMPA SELAMANYA KITA BERSAUDARA

Sama ada pertemuan bermula semasa menjalani latihan rekrut atau pegawai kadet, atau; pertemuan bermula semasa menghadiri kursus, atau; bertugas dalam satu unit, satu skuadron atau satu pejabat,


Di sebalik kegembiraan dan ketekunan bekerja,
Pasti ada terkasar atau tersilap bahasa,
Ketika  seronok bergurau senda,
Pasti ada terlepas kata mengata,
Ketika bersukan dan beradu tenaga,
Siku menyiku perkara biasa
 
Dalam kerjaya lebih banyak dugaan,
Bodek membodek mencari perhatian,
Yang kerja kuat boleh ketinggalan,
Kerana pangkat sanggup bunuh kerjaya kawan.
 
Itulah ringkasnya antara asam garam dalam kehidupan kerjaya kita. Setelah bersara, kita menjalani kehidupan yang berbeza - kekuatan diri yang diterap semasa berkhidmat banyak membantu kita untuk terus hidup - bersemangat, berusaha dengan pelbagai cara dan gaya.

















YBhg Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan2, Puan2 yang saya hormati sekelian,

Hari ini kita dapat melihat sebahagian dari sahabat-sahabat kita, saudara-saudara seperjuangan kita- dari pelbagai jawatan dan pangkat - dari pelbagai intake yang sebahagiannya tidak pernah ditemui semasa dalam perkhidmatan, tetapi sebenarnya kita adalah bersaudara melalui pertalian darah keturunan atau bangsa yang sama iaitu Bekalan, Logistik dan Materiel, yang di dalamnya ada suku etnik MT, suku Bahan Letupan, suku Bahanapi, suku Kataloguing, suku Pergerakan Udara, suku Kewangan dan sebagainya.
 
Oleh itu, reunion ini adalah salah satu pelantar atau kaedah yang terbaik untuk mengembalikan keharmonian - melupakan kekeruhan dan kepahitan - saling bermaafan - merapatkan silaturrahim - bertukar dan berkongsi pengalaman - dan akhirnya menerima dan redha bahawa apa sahaja kita terima semasa dalam perkhidmatan adalah ketentuan Tuhan (Allah swt).
 
Biduk lalu kiambang bertaut
Hanyut perahu ke tepi pantai
Kisah dahulu usah disebut-sebut
Saling bermaafan kasih sayang tersemai
 
Dalam kesempatan ini, saya juga ingin merekodkan bahawa sebahagian dari keluarga Materiel kita terus bekerja keras setelah bersara, membina kerjaya baru melalui perjalanan getir - penuh cabaran untuk mencapai kejayaan dan kedudukan. Maka lahirlah nama2 besar dalam lapangan tertentu.
 
Dato’ Sri Abdul Subhan, Dato’ Ramli Jonid, Dato’ Ali Hanafiah, Dato’ Kabol Surat, Dato’ Jamaludin Hassan, Dato’ Nabil Abd Kadir, Dato Hj Othman Hitam, Dato’ Yap Mou Soon, Dato’ Hj Abdul Rahman Mohammad, Dato’ Hj Hashim Ismail,  Dato’ Fadzil  dan mungkin ramai lagi yang saya tidak upaya untuk menyebut - ada antaranya yang hadir bersama kita hari ini. Malah salah seorang LU yang pernah berkhidmat di bawah saya pada tahun 1982memperolehi ijazah Doktor Falsafah setelah bersara; iaitu Dr Athiapan.
 
Saya TIDAK sesekali bermaksud untuk meletakkan gelaran Dato’ itu sebagai ukuran prestasi atau pencapaian -  tetapi lebih kepada pandangan dari sudut usaha dan perjalanan serta cabaran yang mereka lalui sebelum sampai ke tahap pengiktirafan itu.
 
Y.Bhg Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan2, Puan2 yang saya hormati sekelian,
 
Kehadiran kita dari jauh dan dekat hari ini, bukan sekadar untuk bertemu sahabat handai, menjamu selera hingga bersurai dan pulang dengan harapan jika dipanjangkan usia, dapat bertemu lagi di masa akan datang. Misi kita lebih jauh dari itu - melangkaui alam setelah kita meninggal dunia kelak.
 
Oleh itu, marilah kita sama-sama beriltizam untuk sama-sama memegang prinsip bahawa komuniti VETERAN MATERIEL  yang kita telah bina dan kita hias selama bertahun-tahun akan terus kukuh dan dihargai oleh warisan keturunan dan generasi kita di masa akan datang.
 
Khusus kepada penerima sumbangan - JANGAN SESEKALI menganggap sumbangan ini sebagai gambaran meletakkan Tuan/Puan pada taraf yang berbeza, bukan juga sebagai satu kelemahan atau kerendahan. Ia adalah simbol keprihatinan kami, endah kami dan ingatan mesra kami kepada saudara-saudara dan rakan seperjuangan kami. Semoga Allah swt terus mempermudahkan dan memberkati perjalanan hidup Tuan2/Puan sekeluarga.











Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin menyampaikan ucapan penghargaan saya kepada barisan AJK yang dengan hati terbuka menerima pelawaan saya untuk bersama-sama merancang, memantau perkembangan, menyusun atur sehingga ia dapat disempurnakan pada hari ini.

Terima kasih Kol Kamarudin, Mej Zulkifli, Mej Ahmad Ishak, Kapt Nasarudin, En Adam, En Jamaludin, Dr. Athiapan, En Mokhtar, En Shaharol Khairani, Pn Noezar, dan En Ghani.
 
Bagi pihak mereka semua, kami memohon ampun dan maaf di atas apa jua kelemahan yang berlaku sepanjang majlis ini, atau majlis ini tidak semeriah seperti yang diharapkan.
 
Merdu bertingkah alunan suara,
Anak dusun memasang pelita,
 Andai terlanjur patah bicara,
 Serendah hati kemaafan dipinta
 
  Setelah nanti majlis disempurna,
 Cacat dan kurang pastinya ada,
 Itu kelemahan manusia biasa,
Usah dibawa menjadi cerita.
 
Saya tidak akan melupakan, beberapa individu yang ada bersama kita, atau tidak ada bersama kita, dan organisasi milik sahabat-sahabat kita yang telah ikhlas dan bermurah hati memberi sokongan kewangan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh kutipan penyertaan kita. Juga kepada pihak pengurusan PU Sendayan yang sentiasa membantu dan memberi kerjasama bagi memudahkan perancangan dan perjalanan majlis ini. Saya serahkan kepada Allah swt untuk menentukan ganjarannya.
 
Pergi memancing si ikan sepat,
Bawa bekal pisang sesikat,
Budi tuan saya sentiasa diingat,
Jadi kenangan sepanjang hayat.
 
Saya juga mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan diberi oleh sifu-sifu kita yang sepakat memberi kepercayaan kepada saya untuk mengetuai JK Penganjuran Majlis Reunion Veteran Materiel 5.0 ini.
Walaupun diantaranya tidak dapat bersama kita hari ini atas kesulitan masing-masing, mereka sentiasa mendukung dari belakang sama ada dari aspek moral dan material. Sekali lagi saya menyerahkan segala2nya kepada Allah swt untuk membalas ganjarannya.
 
**Jawatan kuasa juga turut membincangkan rancangan masa depan pelaksanaan Mega Reunion ini. Setelah mengambil kira kesesuaian masa, faktor usia, kesihatan, komitmen pesara, kewangan serta jarak perjalanan peserta, Jawatankuasa juga telah mengusulkan agar majlis REUNION ini di adakan dua tahun sekali sebagai tempoh yang sesuai.
 
Sekali lagi, saya memohon maaf jika ucapan saya ini agak panjang dan memaksa Dato2/Datin2/Tuan2/Puan2 untuk menunggu terlalu lama.
 
Semoga kita semua dapat terus bersama-sama sehingga selesai majlis dan acara. Marilah kita sama2 berdoa kepada Allah swt, agar awal majlis ini dalam keredhaanNya, perjalanan majlis dalam kerahmatanNya dan diakhiri dengan keampunanNya. Setelah selesai majlis ini nanti, kami mengiringi perjalanan pulang Y.Bhg Dato-Dato, Datin-Datin, Tuan2 & Puan2 dengan doa agar semua akan terus dipelihara dan dilindungi Allah dari apa jua musibat dan kesulitan dan selamat sampai ke destinasi masing-masing.
 
Akhir kata, “SEKALI KITA BERJUMPA SELAMANYA KITA BERSAUDARA
 
Terima kasih! Terima kasih! dan Terima kasih!.
Wabillahi taufik wal hidayah, wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

29 Jun 2025
 
Mej Jen Dato’ Hj Toharudin bin Ab Rasid TUDM (B)
Pengerusi
Jawatankuasa Penganjur Mega Reunion Veteran Materiel 2025

 

     


 





MAAF JIKA TERDAPAT PESERTA YANG GAMBARNYA TIADA DI DALAM BLOG INI. TERDAPAT LEBIH 400 GAMBAR YANG PERLU SAYA LIHAT SATU PERSATU SEBELUM MEMILIHNYA. JIKA ADA KALANGAN PESERTA YANG INGIN WAJAHNYA DIABADIKAN, SILA WATSAPP SAYA GAMBAR TERSEBUT. SATU SAHAJA


KALAU ADA UMUR KITA PANJANG

BOLEH KITA BERTEMU LAGI


SIJIL PENGHARGAAN UNTUK AJK